You are on page 1of 7

UCAPAN PERASMIAN

YB DATO SRI ROHANI ABDUL KARIM


MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN
MASYARAKAT

MAJLIS PERASMIAN

KARNIVAL KELUARGA: JOM SIHAT KELUARGA SELAMAT


#Negaraku_KeluargaBahagia_KPWKM
#JuhKambohSarawakOhHaa

DEWAN MASYARAKAT, KG. SPINANG, PUSA, SARAWAK

21 OKTOBER 2017 (SABTU)

9.30 PAGI

1
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera, Salam Kekeluargaan dan

Salam NegaraKu Keluarga Bahagia

1. Alhamdulillah, bersyukur saya ke-hadrat ALLAH S.W.T. kerana


dengan limpah kurnia dan inayahNya dapat kita bersama-sama
berkumpul di Dewan Masyarakat Kg. Spinang ini sempena Karnival
Keluarga: Jom Sihat Keluarga Selamat. Terima kasih kepada semua
serta penduduk kampung kerana dapat meluangkan masa hadir
memeriahkan majlis pada pagi ini.

2. Terima kasih dan tahniah juga kepada penganjur program iaitu


Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),
Negeri Sarawak di atas penganjuran program yang sangat baik ini.

3. Kesihatan teras utama dalam mewujudkan keluarga bahagia,


sejahtera dan selamat. Ukuran kebahagian dan keselamatan sebenar
sesebuah keluarga tidak hanya dilihat daripada aspek materialistik
seperti rumah, kereta, barang kemas dan sebagainya. Sebaliknya aspek
kesihatan adalah perkara utama dan penting. Sesuai dengan tema
program pada hari ini, Jom Sihat Keluarga Selamat.

4. Karnival Keluarga: Jom Sihat Keluarga Selamat yang diadakan


ini adalah usaha LPPKN dalam membudayakan gaya hidup sihat
kalangan masyarakat. Kebanyakan perkhidmatan terutamanya yang
memfokuskan kepada kekeluargaan dan kesihatan dibawa oleh LPPKN
dan agensi jemputan lain pada hari ini.
2
5. Saya dimaklumkan, seawal pagi tadi telah dijalankan pameran
agensi-agensi di bawah kementerian saya, saringan kesihatan percuma,
suntikan vaksinasi HPV percuma, ujian pap smear percuma dan
pendaftaran mamogram. Selain itu, Agensi Antidadah Kebangsaan
(AADK) turut mengadakan pameran interaktif.

6. Selepas sahaja selesai majlis perasmian ini pula akan diadakan


ceramah dan demonstrasi daripada pihak Jabatan Bomba dan
Penyelamat (BOMBA). Sebenarnya dua (2) slot ini merupakan antara
slot yang terkandung dalam Modul Pendidikan Keselamatan Keluarga
dan Anak (PEKA). Pada hemat saya, Modul PEKA ini sangat bagus dan
perlu diperluaskan ke agensi-agensi lain. Mungkin LPPKN boleh
merancang ke arah memanfaatkan modul yang sangat baik ini. Terima
kasih juga saya ucapkan kepada pihak BOMBA di atas kesudian
menjayakan program ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Keselamatan daripada Kebakaran di Rumah

7. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi kebakaran Pusat


Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Keramat Kuala Lumpur yang mengorbankan
21 orang pelajar. Benar, setelah siasatan dilakukan didapati bahawa
kejadian kebakaran ini adalah perbuatan khianat. Saya percaya ajal dan
maut di tangan Tuhan dan semestinya terdapat hikmah yang cukup
besar di sebalik kejadian ini. Namun demikian, antara iktibar yang boleh
kita ambil daripada kejadian ini adalah tentang pentingnya pelan
kebakaran yang berfungsi sebagai panduan jika berlaku kebakaran di

3
sesuatu kawasan. Aspek pemasangan jeriji yang bersesuai serta laluan
kecemasan perlu turut diperhatikan.

8. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan


Penyelamat Malaysia (BOMBA) pada 2015, sebanyak 40,865 kes
kebakaran telah dilaporkan. Daripada statistik tersebut Selangor
mencatatkan kes kebakaran tertinggi iaitu sebanyak 6,827 kes, diikuti
dengan Johor sebanyak 6,807 kes dan Perak 3,589 kes. Daripada data
yang sama juga, sebanyak 97.8% kes adalah diketahui puncanya, dan
saya percaya ianya boleh dielakkan. Walaupun Sarawak bukanlah
negeri yang mencatatkan angka tertinggi dalam kes kebakaran, namun
langkah-langkah pencegahan perlu diambil peduli.

Haruan Makan Anak (Sumbang Mahram)

9. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya bercakap berkenaan


perkara ini. Kes Haruan Makan Anak atau Sumbang Mahram tampak
semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Saya kerap kali mengulangi
perkara ini kerana saya perlu menggesa semua pihak agar mengambil
tindakan drastik bagi menangani perkara ini. Satu kes yang menyentak
hati kita sebagai ibu bapa berlaku di Serian, iaitu seorang remaja
perempuan (19 tahun) mendakwa telah dirogol oleh bapa kandung,
datuk dan dua (2) orang bapa saudaranya semenjak beliau berumur 13
tahun lagi. Lebih menyedihkan, remaja ini juga mendakwa adik
perempuannya yang kini berumur 14 tahun juga telah dirogol semenjak
berumur 9 tahun lagi.

10. Selepas itu, diikuti pula dengan kes seorang kanak-kanak


perempuan berusia tujuh (7) tahun di Sibu telah dirogol beberapa kali
oleh datuk dan bapa saudaranya. Yang menghairankan saya, mengikut

4
rekod pihak polis, datuk kepada kanak-kanak ini sebenarnya pernah
dipenjara selama 12 tahun dan dikenakan lima (5) sebatan kerana
merogolnya anaknya sendiri iaitu ibu saudara kepada mangsa.
Nampaknya hukuman penjara dan sebatan tidak dapat memberikan
kesedaran kepada si datuk. Hasil siasatan juga mendapati bahawa
mangsa dibiarkan tinggal dengan datuknya di Sungai Durin, Sibu
manakala si ibu tinggal di Mukah. Pada saya perkara ini perlu dipandang
serius, kerana tanggungjawab utama menjaga anak-anak adalah
terletak di bahu ibu bapa dan bukanlah datuk nenek.

11. Berdasarkan rekod kementerian saya, PDRM dan Parlimen


Malaysia, sebanyak 3,272 kes sumbang mahram telah dilaporkan sejak
2006 hingga 2015. Daripada statistik tersebut majoriti mangsa sumbang
mahram adalah berumur 13 hingga 15 tahun (96 orang pada 2013; 125
orang pada 2014 dan 103 orang pada 2016). Ini bukanlah angka-angka
yang membanggakan. Keadaan ini perlu ditangani segera.

12. Selain itu, Kementerian saya melalui LPPKN sering mengadakan


program turun padang ke sekolah-sekolah bagi menjalankan Program
Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI). Berdasarkan
rekod LPPKN Sarawak, dari 2014 hingga 2016 sebanyak 210 program
PEKERTI telah dijalankan di sekolah-sekolah di Sarawak dengan
memberi manfaat kepada 23,986 pelajar. Semoga usaha murni LPPKN
ini memberi manfaat dan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan
pelajar dan remaja kita.

13. Selain daripada itu, Bengkel Kejurulatihan (TOT) PEKERTI telah


diadakan untuk guru-guru sekolah, Pensyarah Institut Pendidikan Guru
Malaysia (IPGM), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dan NGO-
NGO di seluruh Malaysia termasuk Sarawak. Jadi, saya menyeru agar

5
kesemua jurulatih yang telah diberi TOT ini memanfaatkan ilmu dengan
menjalankan program di agensi masing-masing.

14. Saya juga menggesa semua pihak supaya mengadakan program-


program kesedaran tentang gejala sumbang mahram ini. Jangan malu
jangan seganlah, jemputlah kami terutamanya LPPKN bagi memberi
penerangan tentang perkara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Program Wellbeing of Women (WOW)

15. Seperti saya nyatakan awal tadi, kesihatan adalah merupakan


tunggak kebahagian. Baru-baru ini LPPKN telah melancarkan Kempen
Wellbeing of Women atau singkatannya “WOW”. Program ini
memberikan penekanan kepada pengesanan awal kanser pangkal
rahim. Seramai 50,000 wanita disasarkan akan mendapat manfaat
daripada program ini. Berita baiknya adalah ujian pap smear diberi
secara PERCUMA !

16. Menurut National Health and Morbidity Survey (2006), hanya 47.3
peratus sahaja wanita yang menjalani ujian Pap smear. Kementerian
Kesihatan Malaysia telah melaporkan sebanyak 2000 hingga 3000
kemasukan ke hospital bagi kes kanser serviks setiap tahun (Devi
Beena et al. 2008).

17. Kanser serviks adalah kanser ketiga tertinggi dihidapi kalangan


wanita di Malaysia [(Malaysian National Cancer Registry Report 2007-
2011 (2015)]. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan seperti

6
menjalankan program saringan ujian Pap smear dan program-program
kesedaran kepentingan menjalankan saringan ujian Pap smear, kadar
kematian disebabkan kanser ini masih lagi tinggi. Jadi saya menyeru
semua wanita di negeri ini dan seluruh Malaysia bagi memanfaatkan
Program WOW ini. Buangkan rasa takut dan malu, tidak sampai satu
minit pun prosedur pap smear ini.

Penutup

18. Akhir kata, terima kasih tidak terhingga saya ucapkan kepada
semua pihak yang turut sama menjayakan program ini. Semoga
Karnival Keluarga: Jom Sihat Keluarga Selamat ini mendapat
keberkatan Ilahi. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan
kepada semua pihak yang terlibat. Semoga segala usaha murni kita ini
diteruskan untuk masa-masa akan datang.

19. Dengan kata-kata itu dan dengan dengan lafaz mulia


Bismillahirrahminirrahim, saya merasmikan Karnival Keluarga: Jom
Sihat Keluarga Selamat. Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

You might also like