You are on page 1of 26

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/366577714

PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEKOLAH


MENENGAH KERAJAAN DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Article · December 2022

CITATIONS READS

0 6,303

1 author:

Adibah Hazwani Abdullah


Universiti Brunei Darussalam
3 PUBLICATIONS 0 CITATIONS

SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Adibah Hazwani Abdullah on 25 December 2022.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


PERANAN PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEKOLAH
MENENGAH KERAJAAN DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Nurul Adibah Hazwani Binti Abdullah (17B5004)


Akademi Pengajian Brunei
Universiti Brunei Darussalam

Penyelia: Dayang Noralipah Binti Haji Mohamed

ABSTRAK

Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling memainkan peranan yang penting di peringkat sekolah
terutama dalam membantu perkembangan akademik dan personaliti pelajar, maka beberapa
program telah dijalankan untuk mencapai perkara tersebut. Objektif kajian ini adalah untuk
mengkaji kaedah yang diaplikasikan dalam program-program tersebut dan peranan yang
dimainkan oleh kaunselor semasa ia dijalankan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu
menemubual responden dari pegawai-pegawai Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar,
Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan dan kaunselor dari tiga buah sekolah yang
terpilih serta maklumat-maklumat daripada buku dan kajian lepas. Dapatan kajian telah
menunjukkan program-program yang dilaksanakan memang menfokuskan kepada perkembangan
akademik dan personaliti pelajar serta beberapa kaedah telah digunakan dalam program tersebut.
Kaunselor juga telah memainkan peranan yang penting semasa program dijalankan.

Kata Kunci: bimbingan, kaunseling, akademik, personaliti, kaunselor, kaedah

1
ABSTRACT

Guidance and counseling services play an important role at the school level, especially in assisting
development of academic and personality among the students, therefore several programs have
been conducted to achieve this. The objective of this study is to examine the methods applied in
such programs and role played by counselors while the programs are being conducted. This
research uses a qualitative method that is to interview respondents from officers of Counseling
Unit, Student Affairs Division, Schools Department, Ministry of Education and counselors from
three selected schools; also, information from previous books and studies. The findings of the study
have shown that the programs implemented are focused on development of academic and
personality among the students and several methods have been used in the program. Counselors
have also played an important role during the program.

Keywords: guidance, counseling, academic, personality, counselor, methods

2
1.1 PENGENALAN

Bimbingan merupakan bantuan yang diberikan kepada seseorang untuk menentukan matlamat-
matlamat jangka pendek dan panjang, merancang cara-cara bertindak dan memperbaiki tingkah
laku dalam aspek-aspek yang dirasakan perlu oleh individu tersebut (Alice Crow, 1964). Selain
daripada itu, McDaniel dan Shaftel (1957) juga berpendapat bimbingan adalah suatu pola
perkhidmatan yang merangkumi orientasi, maklumat pendidikan dan kerjaya, inventori individu,
kaunseling, penempatan dan aktiviti susulan. Bimbingan bertujuan untuk membantu para pelajar
menyesuaikan peribadi, emosi, sosial dan akademik mengikut persekitaran persekolahannya.
Selain itu, untuk mengenal pasti masalah-masalah yang mengganggu pencapaian akademik pelajar
serta membantu mereka memperolehi kemahiran-kemahiran yang tertentu untuk menyelesaikan
masalahnya.

Manakala, kaunseling ialah satu proses yang mana kaunselor membantu klien supaya bertingkah
laku dengan cara yang berkesan, (Delaney dan Eisenberg, 1977). Hansen, J. (1972), telah
mendefinisikan kaunseling sebagai proses yang membantu klien mempelajari teknik-teknik baru
untuk mengendalikan dan menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Tujuannya adalah untuk
mengembangkan kefahaman dan celik akal yang boleh membantu klien menghadapi dan
menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dari segi jangka panjang. Selain itu, untuk
mempercepatkan perubahan tingkah laku ke arah yang positif serta membiasakan dirinya dengan
hidup berdisiplin agar mencapai matlamat perkembangan kendiri yang munasabah.

Oleh yang demikian, Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah,
Kementerian Pendidikan bersama dengan kaunselor-kaunselor sekolah telah menyediakan
program-program yang meliputi empat komponen iaitu Perkembangan Personaliti, Perkhidmatan
Kaunseling, Perkembangan Akademik dan Pendidikan Kerjaya. Tujuannya adalah untuk
mengembangkan potensi akademik, sahsiah, rohani dan jasmani yang seimbang serta membantu
memiliki kemahiran-kemahiran untuk menghadapi pelbagai situasi hidup masa kini dan masa
depan. Di samping itu untuk memahami minat, bakat, potensi dan mampu memilih subjek, jurusan
dan cita-cita kerjaya.

3
1.2 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian yang telah dilakukan ini mempunyai beberapa objektif seperti berikut: -

 Untuk mengenal pasti program-program bimbingan dan kaunseling yang dijalankan bagi
sekolah menengah kerajaan di Negara Brunei Darussalam.
 Untuk mengkaji kaedah yang diaplikasikan dalam membantu perkembangan akademik dan
personaliti pelajar.
 Untuk mengkaji peranan yang dimainkan oleh kaunselor semasa program-program
tersebut dijalankan dan tindakan susulan.
 Untuk mengenal pasti persamaan dan perbezaan dalam menjalankan perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling di sekolah yang mempunyai berlainan dan satu jantina.

1.3 METODOLOGI KAJIAN

Metodologi merupakan suatu formula dalam penerapan kajian iaitu terdapat langkah-langkah dan
hasilnya. Ia adalah cara atau teknik yang disusun secara teratur digunakan oleh pengkaji untuk
mengumpulkan data dan maklumat. Maka dengan itu, pengkaji telah menggunakan beberapa
kaedah untuk memperolehi dapatan kajian termasuklah merangka reka bentuk kajian serta
menyediakan sampel dan instrumen kajian.

1.3.1 Reka Bentuk Kajian

Metodologi adalah terdiri dari fasa-fasa yang akan membimbing pengkaji memilih metod dan
prosedur yang tepat serta peralatan yang akan digunakan sehingga perjalanan kajian tersebut lebih
terarah dalam mencapai objektif kajian. Oleh yang demikian, pengkaji telah menggunakan dua
kaedah untuk mendapatkan dan mengumpulkan data-data serta maklumat-maklumat dengan teliti
iaitu melalui kaedah kualitatif dan sumber sekunder.

4
1.3.2 Kerangka Kajian
Perkembangan
Program-program Personaliti
Membantu
Perkhidmatan Bimbingan pembangunan pelajar
dan Kaunseling bagi Sekolah dilihat dari segi Perkembangan
Menengah
Akademik

Kaedah yang digunakan dan kemahiran yang


Peranan Kaunselor dikuasai.
Kursus yang diberikan kepada kaunselor.

Rajah ini menunjukkan pengkaji akan mengkaji program-program Perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling bagi sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam. Pengkaji akan melihat
bagaimana program-program tersebut membantu pembangunan pelajar dari segi perkembangan
akademik dan personaliti pelajar setelah mengikutinya. Selain daripada itu, pengkaji juga akan
mengkaji peranan yang dimainkan oleh kaunselor semasa program-program dijalankan serta
kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh kaunselor. Oleh itu, pengkaji akan mengenal pasti
kursus-kursus yang disertai oleh para kaunselor tersebut.

1.3.3 Persampelan Kajian

Bilangan responden hanya dalam enam orang sahaja. Responden yang dipilih adalah pegawai-
pegawai dan kaunselor-kaunselor yang bekerja di bawah Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal
Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan iaitu dua orang pegawai Sub-Unit
Menengah, Unit Kaunseling, seorang kaunselor dari Sekolah Menengah Rimba II, dua orang
kaunselor dari Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dan seorang kaunselor dari Sekolah Tinggi
Perempuan Raja Isteri.

1.3.4 Instrumen Kajian

Instrumen kajian merupakan aspek dalam teknik pengumpulan data yang mana hasilnya akan
dikembangkan atau dianalisa oleh pengkaji. Dengan itu, pengkaji telah menggunakan dua
instrumen kajian iaitu temubual dan sumber sekunder.

5
1.3.4.1 Temubual

Kaedah kualitatif yang digunakan adalah temubual. Temubual bagi kajian ini telah dilakukan pada
bulan Januari yang lepas berdasarkan soalan-soalan yang telah disediakan awal oleh pengkaji.
Segala maklumat-maklumat dan data-data yang diperolehi telah dipersetujui oleh para responden
untuk kegunaan kajian ini.

1.3.4.2 Sumber Sekunder

Sumber sekunder digunakan untuk menambah dan menyokong dapatan kajian yang telah
diperolehi oleh pengkaji. Sumber tersebut adalah mendapatkan maklumat-maklumat berdasarkan
daripada buku, jurnal, latihan ilmiah dan sebagainya. Pengkaji hanya menggunakan rujukan
daripada buku-buku dan tesis-tesis daripada perpustakaan dan laman sesawang yang berkaitan
dengan tajuk, objektif dan dapatan kajian.

2.1 DAPATAN KAJIAN

Dapatan kajian yang dibincangkan diperolehi daripada temubual yang telah dilakukan dan
disokong oleh pendapat-pendapat sarjana atau kajian-kajian lepas yang berkaitan termasuklah
program-program perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, perbincangan kajian kes,
perbandingan kaedah yang digunakan dalam melaksanakan program-program bimbingan dan
kaunseling, peranan kaunselor dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah menengah
dan kursus-kursus yang diikuti oleh kaunselor sekolah menengah.

2.1.1 Program-program Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah

Hasil daripada temubual bersama Hajah Rosimah binti Haji Ibrahim dan Haji Halip bin Bujang
(Pegawai Unit Kaunseling) telah didapati bahawa setiap sekolah menengah kerajaan yang ada di
Negara Brunei Darussalam memang mengadakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dan
menfokuskan kepada perkembangan akademik dan personaliti pelajar serta kerjaya mereka. Oleh
itu, terdapat beberapa program bimbingan dan kaunseling yang diselenggarakan oleh institusi dan
sekolah-sekolah yang berkaitan mengikut keperluan dan kesesuaian persekitaran sekolah tersebut.
Program-program tersebut adalah di bawah kendalian sekolah-sekolah menengah masing-masing

6
dan sentiasa dalam pemantauan Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-
Sekolah, Kementerian Pendidikan.

Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan
mula ditubuhkan pada tahun 1983 di bawah Unit Dermasiswa dan Kesejahteraan. Pada tahun 2015,
unit ini bertukar nama kepada Unit Kaunseling Dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, selaras
dengan perubahan struktur organisasi Jabatan Sekolah-Sekolah yang baru. Misinya adalah
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang holistik, ke arah pembentukan pelajar yang
berkualiti serta visinya ialah bersama menanai kecemerlangan generasi baru. Walau
bagaimanapun, sekarang unit kaunseling dan kerjaya telah dipecahkan kepada satu unit yang
berbeza. Antara tugas dan tanggungjawab pegawai kaunseling adalah menganjurkan program dan
aktiviti perkhidmatan dan pendidikan, program bimbingan dan kaunseling, menyediakan
informasi terkini berkaitan pengiktirafan kelulusan, menilai kebolehan, minat dan personaliti
pelajar atau individu menggunakan ujian-ujian kerjaya dan sebagainya. Program-program yang
dijalankan oleh Unit Kaunseling untuk perkembangan akademik dan personaliti pelajar adalah
Program Awareness of attendance and social factor (AASF), Program Stabiliti, Integriti,
Nasionalisme, Akauntabiliti dan Rohani (S.I.N.A.R), Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)
dan Pembimbing Rakan Remaja (PRR) dan Program Bimbingan Kelompok O Level (BKOL).

2.1.1.1 Program Awareness of attendance and social factor (AASF)

Program ini adalah untuk memantau kehadiran pelajar serta masalah-masalah sosial. Ia
dilaksanakan di setiap sekolah menengah mengikut kes-kes yang terdapat di sekolah tersebut
seperti pelajar yang kedatangannya kurang daripada 85 peratus, kesihatan mental dan sebagainya.
Menurut Hajah Rosimah binti Haji Ibrahim, terdapat sebuah sekolah yang membuat soal kaji
selidik tentang bahaya rokok. Para pelajar telah menjawab soal kaji selidik tersebut dan satu
laporan dibuat oleh kaunselor tentang sejauhmana pengetahuan pelajar mengenai hal berkenaan.
Jika ada beberapa pelajar yang kurang mengetahui tentang hal tersebut maka satu program atau
pameran tentang rokok akan dilaksanakan.

Program AASF ini dijalankan dalam jangka dua tahun dalam beberapa fasa. Oleh itu, kaunselor
akan membuat kajian, data, analisis dan hasil dapatannya akan dibentangkan kepada pegawai Unit
Kaunseling. Penyelia program akan memantau sejauhmana perkembangan program tersebut
berjalan.

7
2.1.1.2 Program Stabiliti, Integriti, Nasionalisme, Akauntabiliti dan Rohani (S.I.N.AR)

Program ini merupakan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei,
Jabatan Penjara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Unit Perundangan Islam, Jabatan
Pembangunan Masyarakat dan Biro Kawalan Narkotik bersama kaunselor serta guru-guru
bimbingan sekolah rendah, menengah dan maktab kerajaan. Ia merupakan program pencegahan
awal kepada para pelajar di sekolah-sekolah agar mereka tidak terpengaruh dengan perkara atau
perilaku negatif yang boleh menjejaskan akademik, akhlak dan masa depan mereka.

2.1.1.3 Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Pembimbing Rakan Remaja (PRR)

Program Pembimbing Rakan Sebaya dijalankan di sekolah menengah, manakala Pembimbing


Rakan Remaja dijalankan di Pusat Tingkatan Enam. Dalam program ini, terdapat kursus asas dan
lanjutan untuk membantu pelajar yang terpilih iaitu pelajar yang mempunyai akademik dan
personaliti terbaik menimba ilmu pengetahuan, pengalaman dan meningkatkan kemahiran mereka
bagi menjadi pemimpin pelajar yang berwibawa dan berkarisma. PRS dan PRR ini akan membantu
para pelajar yang mempunyai masalah dari segi akademik mahupun peribadi. Ia juga merupakan
satu khidmat sokongan yang penting dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah
menengah. Golongan sasaran bagi program ini ialah dari kalangan pelajar tahun 7 dan 9. Perisian
program dibuat oleh pegawai Unit Kaunseling dan kaunselor yang akan menyampaikannya.

2.1.1.4 Program Bimbingan Kelompok O Level (BKOL)

Program BKOL adalah program yang memerlukan para pelajar tahun 11 dikeluarkan sehari dan
dikelompokkan dalam kumpulan-kumpulan kecil (dalam 10-15 pelajar). Pegawai Unit Kaunseling
dan kaunselor-kaunselor yang dijemput akan memberikan taklimat perisian-perisian program
seperti personaliti yang negatif ke positif, cara pembelajaran, pengurusan masa dan sebagainya.
Gambar 1 menunjukkan contoh perisian program BKOL.

8
Gambar 1: Perisian Program BKOL

Sumber: Hasil dari temubual bersama Haji Halip bin Bujang (Pegawai Unit Kaunseling)

2.1.2 Kajian Kes

Tiga buah sekolah dipilih untuk kajian ini yang terletak di Daerah Brunei dan Muara, iaitu Sekolah
Menengah Rimba II, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dan Sekolah Tinggi Perempuan Raja
Isteri. Ini adalah untuk melihat program-program bimbingan dan kaunseling yang dijalankan di
sekolah-sekolah tersebut dan cara ia dilaksanakan memandangkan sekolah yang dipilih
mempunyai berlainan jantina pelajar.
9
2.1.2.1 Sekolah Menengah Rimba II

Sekolah Menengah Rimba II adalah sebuah sekolah menengah kerajaan yang terletak di
Rancangan Perumahan Negara Rimba dan termasuk dalam Kluster 4. Sekolah ini menawarkan
pendidikan menengah dari tahun 7 hingga 11 dan mempunyai gabungan pelajar lelaki dan
perempuan. Dalam sekolah ini terdapat satu bahagian yang dikenali sebagai Perkhidmatan
Bimbingan dan Kaunseling. Kaunselor yang bertugas di sekolah ini ialah Dayang Nur Hasiefah
binti Abdullah. Beberapa program perkhidmatan bimbingan dan kaunseling telah dijalankan di
sekolah ini termasuklah Program Study Skills, Program Teknik Relaksasi, Program ‘iHelp’ dan
Program Lakastah ke Sekolah (PLKS).

2.1.2.1.1 Program Study Skills

Ia merangkumi teknik-teknik belajar, motivasi, belajar secara berkumpulan (pelajar diajar kaedah
belajar secara dalam kumpulan, apa yang perlu dilakukan, objektifnya dan sebagainya). Program
ini adalah untuk pelajar tahun 7 hingga 11 dan bermula dari bulan Januari hingga Oktober, di
bawah bimbingan secara berkelompok. Selain daripada itu, didalamnya juga meliputi program
‘Growth Mindset’ yang bertujuan untuk mengajar pelajar supaya tidak berputus asa dan
mengambil langkah seterusnya jika berhenti di suatu tempat. Contoh aktiviti yang dibuat adalah
seperti melipat kapal terbang menggunakan kertas.

2.1.2.1.2 Program Teknik Relaksasi

Program ini merupakan terapi muzik untuk pelajar bagi menenangkan fikiran dan menstabilkan
emosi pelajar serta mengajarkan para pelajar teknik penafasan yang betul terutama bagi membantu
pelajar yang mempunyai masalah anxiety.

2.1.2.1.3 Program ‘iHelp’

Program ‘iHelp’ dijalankan pada tahun 2020 setelah pelajar kembali semula ke sekolah selepas
lama bercuti kerana Covid-19. Sesi motivasi pagi ini membantu pelajar untuk bersemangat belajar
semula di kelas. Dengan itu, pelajar akan lebih menghargai masa belajar di kelas dan waktu
pembelajaran bersama guru. Program ini disampaikan oleh kaunselor kepada pelajar-pelajar tahun
7, 8 dan 11 selama 15-20 minit sebelum kelas dimulakan.

10
2.1.2.1.4 Program Lakastah ke Sekolah (PLKS)

Program ini mengumpulkan pelajar yang mempunyai kehadiran di bawah 85 peratus untuk
diberikan motivasi supaya mereka ini mahu hadir ke sekolah dan akan bertanya kepada mereka
sebab mereka tidak hadir ke sekolah. Dengan itu, pihak sekolah akan membantu mengikut
kesusahan yang dihadapi oleh pelajar seperti menyediakan perkhidmatan bas dan seumpamanya.
Jika hal ini masih berterusan maka pelajar tersebut akan dipanggil oleh kaunselor untuk diberikan
kaunseling individu.

2.1.2.2 Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (MSOAS)

Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien telah ditubuhkan pada 15hb Oktober 1951 dan merupakan
sekolah yang hanya mempunyai pelajar lelaki sahaja dan terletak di Bandar Seri Begawan. Sekolah
ini termasuk dalam Kluster 1 dan menyediakan pendidikan menengah selama lima tahun dari tahun
7 hingga 11. Bagi memantau masalah-masalah atau membantu para pelajar di sekolah ini,
Bahagian Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling telah ditubuhkan dan kaunselor yang bertugas
di sekolah ini ialah Haji Roslan bin Haji Yakub dan Dayang Heimeilia binti Jaafar. Program-
program perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang telah dilaksanakan di sekolah ini adalah
seperti Program Legasi Anak SOAS #kamianaksoas, Program All Boys Talk, Program Titih Purih
PRS SOAS, Program Bakti Purih, Program Masbuk, Klinik-Klinik Bimbingan dan Bimbingan
berfokus.

2.1.2.2.1 Program Legasi Anak SOAS #kamianaksoas

Ini merupakan program perkongsian dengan alumni-alumni MSOAS iaitu bekas pelajar MSOAS
yang sudah berjaya dan memegang jawatan tinggi. Mereka akan berkongsi pengalaman bekerja,
teknik belajar yang telah digunakan dan sebagainya kepada para pelajar. Ianya adalah untuk
menarik minat dan semangat para pelajar MSOAS supaya mereka belajar bersungguh-sungguh
demi mencapai cita-cita masing-masing.

2.1.2.2.2 Program All Boys Talk

Program ini adalah untuk mengajar pelajar untuk menjaga keterampilan diri, sentiasa kemas dan
seumpamanya. Memandangkan pelajar sekolah ini hanya terdiri dari pelajar lelaki sahaja, maka ia

11
adalah salah satu langkah supaya para pelajar ini kelihatan segak, kemas dan wangi supaya dapat
memberikan keselesaan kepada mereka untuk belajar dan guru-guru yang mengajar mereka.

2.1.2.2.3 Program Titih Purih PRS SOAS

Program ini bertujuan untuk berkongsi dengan Pembimbing Rakan Muda (PRM) iaitu murid-
murid sekolah rendah tentang pengalaman belajar di sekolah menengah dan memotivasikan murid-
murid ini untuk belajar bersungguh-sungguh. Ia diadakan sama ada murid-murid sekolah rendah
ini datang ke Maktab SOAS atau PRS yang datang ke sekolah mereka.

2.1.2.2.4 Program Bakti Purih

Program ini berbentuk khidmat masyarakat yang memberikan peluang kepada para pelajar
membuat kerja amal seperti membersihkan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien yang terletak di
Bandar Seri Begawan. Antara aktiviti yang dilakukan adalah seperti mencat dinding masjid,
membersihkan di lantai dua dan sebagainya.

2.1.2.2.5 Program M.A.S.B.U.K

Program M.A.S.B.U.K adalah program yang dijalankan bersama pelajar-pelajar tahun 8 sebagai
usaha tambahan dan persediaan sebelum menghadapi peperiksaan SPE dan lebih menfokuskan
tentang pengurusan masa. Ia dijalankan secara kolaborasi bersama guru-guru mata pelajaran
Melayu Islam Beraja (MIB) dan dilaksanakan semasa kelas MIB mengikut sukatan pelajaran
minggu tersebut. Perisian program adalah seperti kemahiran pengurusan masa yang berkesan,
jadual belajar berkesan, mengurus masa mengikut keutamaan dan kepentingan serta petua untuk
menggunakan masa dengan berkesan. Pengertian M.A.S.B.U.K adalah singkatan dari ‘Masa
Adalah Sangat Berharga Untuk Kejayaan’, di mana kaunselor ikut masuk dalam subjek MIB untuk
menjalankan program bimbingan mereka.

2.1.2.2.6 Klinik-Klinik Bimbingan

Kaunselor-kaunselor akan masuk ke kelas-kelas secara bergilir-gilir selama satu jam untuk
memberitahu para pelajar supaya datang ke bilik kaunseling jika mereka menghadapi masalah atau
memerlukan pertolongan berkaitan akademik ataupun peribadi. Di samping itu juga,
mempromosikan mengenai perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang ditawarkan.

12
2.1.2.2.7 Bimbingan berfokus

Ini akan digunakan jika didapati dalam sebuah kelas tersebut mempunyai pelajar yang
berkeperluan khas seperti autism dan seumpamanya Maka dengan itu, kaunselor akan masuk ke
kelas tersebut untuk memberitahu kawan-kawan sekelasnya supaya memahami diri pelajar
tersebut. Ini adalah untuk menggelakkan pelajar berkeperluan khas tersebut tidak mengalami
tekanan dan kurang selesa semasa berada di kawasan sekolah.

2.1.2.3 Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri

Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri merupakan sebuah sekolah yang hanya terdiri dari pelajar
perempuan sahaja dan terletak di Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan serta termasuk dalam
Kluster 1. Sekolah ini juga menyediakan pendidikan menengah dari tahun 7 hingga 11 iaitu selama
lima tahun. Satu bahagian Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling ditubuhkan untuk menangani
masalah-masalah yang dihadapi oleh para pelajar. Kaunselor yang bertugas di sekolah ini ialah
Dayang Noorhayati binti Hj Awang dan menjalankan beberapa program perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling seperti Program ‘Amazing You’, Program Kesedaran dan Program Kerjaya.

2.1.2.3.1 Program ‘Amazing You’

Dalam program ini para pelajar tahun 8 dan 11 lebih diberikan tumpuan dengan mengajarkan
tentang kemahiran belajar memandangkan mereka akan menduduki peperiksaan besar iaitu
Peperiksaan SPE dan GCE ‘O’ Level atau IGCSE. Keputusan-keputusan peperiksaan mereka juga
akan sentiasa dipantau supaya tidak ada permasalahan yang akan timbul nanti. Bagi kelas tahun 7,
9 dan 10 pula turut diberikan perhatian dengan mengajarkan para pelajar kemahiran mencatat nota,
menyusun nota dengan betul dan seumpamanya.

2.1.2.3.2 Program Kesedaran

Memandangkan sekolah ini hanya mempunyai pelajar perempuan sahaja, maka beberapa jenis
program kesedaran telah diberikan. Tujuannya adalah supaya mereka dapat menjaga diri mereka
dari perkara-perkara yang negatif. Contohnya, program ‘Sayangi Diri’ iaitu para pelajar diajar cara
untuk menggelakkan diri daripada gangguan seksual. Ia diadakan di dewan sekolah dengan hanya

13
ada guru-guru perempuan sahaja yang dibenarkan hadir supaya para pelajar tidak berasa malu dan
lebih mudah untuk bertanya sebarang persoalan.

2.1.2.3.3 Program Kerjaya

Ini bertujuan untuk memberitahu para pelajar mengenai hala tuju setelah mereka selesai
menduduki peperiksaan ataupun naik kelas seperti subjek-subjek yang perlu mereka pelajari
mengikut cita-cita mereka dan informasi-informasi selepas peperiksaan ‘O’ Level’. Umpamanya,
jika mereka ingin menjadi seorang doktor maka subjek yang perlu mereka pelajari hendaklah
berkaitan dengan sains; begitu juga para pelajar tahun 11 selepas mendapat keputusan peperiksaan
‘O’ Level mereka, adakah mereka ingin melanjutkan pelajaran ke pusat tingkatan enam atau
sekolah teknikal dan sebagainya.

2.1.3 Perbandingan kaedah yang digunakan dalam melaksanakan program-program


bimbingan dan kaunseling

Program-program yang dirancang atau dijalankan ini adalah berbentuk bimbingan dan kaunseling
kelompok. Dengan menfokuskan kepada semua pelajar di ketiga-tiga buah sekolah iaitu Sekolah
Menengah Rimba II, Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dan Sekolah Tinggi Perempuan Raja
Isteri dari tahun 7 hingga 11 dan lebih diberikan keutamaan kepada tahun 8 dan 11 yang akan
menduduki peperiksaan besar. Oleh yang demikian, pengkaji telah mendapati ada persamaan dan
perbezaan dalam kaedah yang digunakan oleh para kaunselor dari ketiga-tiga sekolah berkenaan
dalam perkembangan akademik pelajar.

2.1.3.1 Kaedah pengajaran akademik

Bagi kaedah ini, terdapat persamaan dalam para kaunselor dari ketiga-tiga sekolah menggunakan
inventori Visual, Auditori dan Kinestetik (V.A.K) untuk melihat gaya pembelajaran yang sesuai
dengan diri individu pelajar sama ada belajar secara visual, auditori atau kinestetik. Setelah
mengetahui hal tersebut, pelajar akan dibahagikan dalam beberapa kumpulan dan diajar bagaimana
pelajar boleh belajar menggunakan gaya pembelajaran yang sesuai dengan diri mereka supaya
mereka belajar dengan lebih efektif. Gambar 2 adalah contoh inventori V.A.K yang digunakan
oleh Dayang Heimeilia binti Jaafar.

14
Gambar 2: Inventori V.A.K

Sumber: Hasil temubual bersama Dayang Heimeilia binti Jaafar (Kaunselor MSOAS)

2.1.3.2 Kaedah pengajaran kemahiran belajar

Bagi kaedah pengajaran kemahiran belajar, terdapat perbezaan cara kaunselor mengajarkan
kemahiran belajar berdasarkan program-program yang telah dijalankan. Umpamanya, Sekolah
Menengah Rimba II telah membuat program yang bertajuk Program ‘Study Skills’ yang mana

15
semua pelajar tahun 7 hingga 11 diajar teknik-teknik belajar dengan betul, diberikan motivasi dan
lain-lain. Memandangkan sekolah ini mempunyai gabungan pelajar lelaki dan perempuan, maka
program ini lebih menfokuskan mengajar pelajar belajar secara dalam kumpulan (bercampur).
Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri pula dalam Program ‘Amazing You’ membantu pelajar-
pelajar dengan mengajar mereka mencatat nota dengan betul serta memantau perkembangan
keputusan-keputusan peperiksaan pelajar dan jika timbul permasalahan maka akan diberikan sesi
kaunseling. Ia lebih memberikan tumpuan kepada pelajar tahun 8 dan 11. Manakala, para pelajar
Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dari tahun 7 sudah diajar cara penjadualan belajar yang betul
sehingga mereka berada di tahun 11 dan juga Program M.A.S.B.U.K yang menfokuskan tentang
pengurusan masa. Memandangkan sekolah ini hanya terdiri dari pelajar lelaki sahaja maka teknik-
teknik belajar itu awal diajarkan supaya pelajar tidak lalai dan menggunakan teknik-teknik tersebut
sehingga selesai persekolahan. Mereka turut diberikan persediaan dan persiapan yang lengkap
sebelum menduduki peperiksaan serta untuk memastikan mereka dalam keadaan yang sihat mental
dan fizikal.

2.1.3.3 Kaedah perkembangan personaliti

Bagi perkembangan personaliti, ketiga-tiga sekolah memberikan perhatian terhadap kaedah yang
digunakan namun terdapat perbezaan kaedah yang digunakan memandangkan komposisi pelajar
yang berbeza antara ketiga-tiga sekolah berkenaan. Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien telah
menjalankan Program ‘All Boys Talk’ iaitu mengajar pelajar untuk menjaga kebersihan dan
penampilan diri supaya sentiasa nampak kemas serta berasa selasa semasa belajar. Pelajar-pelajar
ini juga diberikan peluang untuk membuat beberapa kerja amal iaitu keluar dari kawasan sekolah
mereka dalam Program Bakti Purih. Manakala, Sekolah Menengah Rimba II lebih kepada
memberikan program berbentuk motivasi dalam kawasan sekolah, umpamanya Program Lakastah
ke Sekolah (PLKS) iaitu mengumpulkan pelajar-pelajar yang kedatangannya di bawah 85 peratus
untuk diberikan motivasi supaya pelajar ini semangat untuk belajar dan rajin datang ke sekolah
serta membantu jika pelajar ini mengalami masalah-masalah sosial yang boleh merubah tingkah-
laku mereka.

Bukan sahaja usaha dari sekolah-sekolah yang berkenaan, Program S.I.N.A.R yang dilakukan oleh
Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah juga merupakan satu
inisiatif untuk membantu dalam perkembangan personaliti pelajar dengan mendedahkan kepada

16
pelajar mengenai dadah, demonstrasi sebatan, hukum kanun dan isu-isu sosial yang lain. Ini adalah
supaya pelajar dapat menjauhkan diri dari perkara-perkara yang negatif dan menjaga akhlak
mereka. Program ini berbentuk taklimat, sesi soal jawap dan kuiz yang diadakan di sebuah sekolah
yang dipilih menjadi tuan rumah dan sekolah-sekolah yang lain datang ke sekolah tuan rumah
tersebut.

2.1.3.4 Rumusan perbandingan program dan kaedah

Oleh yang demikian, berdasarkan dari laporan, data atau analisis yang dibuat oleh kaunselor
program-program yang telah dijalankan ini membantu meningkatkan akademik dan personaliti
pelajar dengan mengajar mereka teknik-teknik belajar yang betul, mengetahui gaya pembelajaran
yang sesuai, membantu mengawal emosi, memberikan kesedaran dan sebagainya. Gambar 3
menunjukkan contoh laporan bagi Program PLKS yang dibuat oleh Dayang Nur Hasiefah binti
Abdullah.

Gambar 3: Laporan Program PLKS

Sumber: Hasil temubual bersama Dayang Nur Hasiefah binti Abdullah (Kaunselor Sekolah
Menengah Rimba II)

Hal ini dapat disokong dengan penyataan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (1984) bahawa
bimbingan dan kaunseling kelompok bertujuan sebagai pencegahan atau kesedaran dan pelajar

17
didedahkan dengan aktiviti-aktiviti bagi meningkatkan kesedaran kendiri, membina minat
terhadap pekerjaan, jenis kerjaya yang dipilih dan lain-lain. Dayang Heimeilia binti Jaafar telah
berpendapat bahawa sama ada sekolah tersebut mempunyai satu atau berlainan jantina cabaran
yang dihadapi adalah sama sahaja sebab para pelajar ini adalah ‘blooming teenagers’ yang
mempunyai tanggungjawap sebagai pelajar mahupun seorang anak. Apa yang boleh dibezakan
dapat dilihat dari segi bagaimana pelajar lelaki atau perempuan menunjukkan mahupun
mengendalikan perasaan atau masalah mereka serta kemahiran kaunselor dalam membantu
pelajar-pelajar tersebut. Sehubungan dengan itu, Dayang Nur Hasiefah binti Abdullah juga
menyatakan bahawa sekolah yang mempunyai berlainan jantina pelajar tidak menjadi penghalang
untuk mereka mengikuti program-program tersebut serta mereka memberikan kerjasama yang baik
dengan kaunselor.

2.1.4 Kaunseling Individu

Menurut ketiga-tiga kaunselor yang telah ditemubual iaitu Dayang Heimeilia binti Jaafar, Dayang
Noorhayati binti Hj Awang dan Dayang Nur Hasiefah binti Abdullah, kaunseling individu hanya
akan dilakukan sama ada pelajar datang dengan secara sukarela bertemu para kaunselor,
disarankan oleh guru-guru akademik pelajar atau melalui inventori-inventori yang telah dilakukan
yang mana pelajar telah didapati memerlukan khidmat bantuan kaunseling. Selain itu, jika
sekiranya pencapaian akademik mahupun personaliti pelajar didapati menurun atau tidak
menunjukkan sebarang perubahan setelah mengikuti program, maka kaunselor sendiri yang akan
memanggil pelajar tersebut untuk sesi kaunseling individu. Hal ini disokong dengan pendapat dari
Mohamed Fadzil Che Din (2005) telah mentakrifkan pelajar berisiko sebagai individu yang
mempunyai kecenderungan untuk keluar dari sistem pendidikan; lazimnya pelajar yang
mempunyai pencapaian akademik yang rendah, tahap motivasi belajar yang rendah, terlibat
dengan masalah disiplin dan sebagainya.

Kaunseling individu dikatakan memberi impak yang besar dalam perubahan tingkah laku pelajar
kerana ia memudahkan pelajar untuk mengongsikan masalahnya, bercurhat dan seumpamanya.
Dengan itu, kaunselor dapat membantu pelajar menjadi celik akal dalam menyelesaikan masalah
yang mereka hadapi.

18
Antara masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar adalah berkaitan dengan keluarga, kawan
sebaya, gaming, kewangan, emosi dan sebagainya. Selain itu, Dayang Heimeilia binti Jaafar dan
Dayang Noorhayati binti Hj Awang juga menyatakan bahawa masalah hala tuju pelajar merupakan
masalah utama di sekolah. Menurut Sidek (2002), pemilihan kerjaya yang sesuai telah menjadi
masalah utama dalam kalangan pelajar-pelajar menengah atas terutama tingkatan yang kurang
mendapat pendedahan kerjaya dan maklumat mengenai pekerjaan.

2.1.5 Peranan Kaunselor dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah


Menengah

Menurut American School Counselor Association (2005) menyatakan kaunselor memainkan


peranan yang penting dalam menangani isu peribadi-sosial, akademik, kerjaya dan keperluan
pelajar serta membantu guru-guru mengatasi masalah tingkah laku pelajar. Oleh itu, kaunselor
setentunya memainkan peranan dalam menjalankan program-program tersebut kerana mereka
bertindak sebagai fasilitator (pemudah-cara), iaitu menyampaikan perisian-perisian program dan
membantu para pelajar yang mengikuti program tersebut melakukan aktiviti.

Di samping itu, kaunselor juga akan mengambil tindakan susulan sekiranya didapati pelajar
tersebut mempunyai masalah atau memerlukan bantuan secara individu. Ini dapat diselaraskan
dengan kajian yang dilakukan oleh Fadilah binti Zaini dan Maisarah binti Ishak (2006) yang
bertajuk ‘Peranan Kaunselor Dalam Pembangunan Pelajar: Kajian Kes Terhadap Kaunseling
Kelompok di Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (KUKTEM), Kuantan,
Pahang’ yang mana aspek tindakan susulan menunjukkan persepsi pelajar adalah tinggi kerana
mereka berasa tindakan susulan ini penting untuk membincangkan kesan setelah mengikuti
program. Ini adalah supaya dapat menilai sejauh mana perubahan yang berlaku dalam diri pelajar
serta tindakan awal dapat diambil untuk membantu masalah-masalah yang dihadapi. Kajian
tersebut telah membuktikan bahawa tindakan susulan sangat diambil berat oleh kaunselor setelah
menjalankan proses kaunseling.

Umpamanya, kaunselor telah menggunakan hasil dapatan daripada inventori Depression, Anxiety,
Stress (D.A.S.H) untuk mengenal pasti tahap depresi atau tekanan yang dihadapi oleh pelajar. Jika
berada di tahap yang sederhana maka kaunselor hanya akan mengajar tatacara mengendalikan

19
tekanan. Akan tetapi jika berada di tahap yang tinggi, pelajar tersebut akan dirujuk ke pakar
psikritarik untuk menerima rawatan lebih lanjut. Gambar 4 adalah contoh inventori D.A.S.H yang
digunakan oleh Dayang Heimeilia binti Jaafar.

Gambar 4: Inventori D.A.S.H

Sumber: Hasil temubual bersama Dayang Heimeilia binti Jaafar (Kaunselor MSOAS)

2.1.6 Kursus-kursus yang diikuti oleh kaunselor sekolah menengah

Bagi menangani masalah-masalah pelajar, kaunselor telah mengikuti beberapa kursus atau bengkel
untuk meningkatkan kemahiran mereka bagi membantu para pelajar yang setentunya menjadi
sebahagian dari tanggungjawab mereka. Hal ini disokong dengan kajian yang dilakukan oleh
Munirah binti Ahmad Kamil (2013) yang bertajuk ‘Penggunaan Teknik dan Intervensi Kaunseling
Dalam Menangani Pelajar Berisiko Di Sekolah Menengah’ telah menyatakan kaunselor sekolah
perlu mempunyai kemahiran dalam menangani keperluan peribadi, sosial dan kerjaya pelajar yang
secara langsung akan memberi kesan kepada kejayaan akademik mereka.

Oleh yang demikian, Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah,
Kementerian Pendidikan telah menyediakan beberapa kursus atau bengkel untuk meningkatkan

20
kemahiran kaunselor dalam menangani permasalahan pelajar. Umpamanya, kursus ‘Psycho
Pendidikan’ iaitu mengenai kesedaran kesihatan mental yang dijalankan dengan memanggil pakar
kaunseling dari luar negara untuk memberikan bengkel yang bertajuk ‘Train the Trainers’ kepada
para kaunselor sekolah rendah, menengah dan Pusat Tingkatan Enam. Bengkel ini bertujuan untuk
mengajar kaunselor-kaunselor cara menggunakan inventori D.A.S.H seperti cara mengira dan lain-
lain. Menurut Hajah Rosimah binti Haji Ibrahim, inventori D.A.SH ini memang digunakan oleh
kaunselor senegara untuk mengetahui tahap kesihatan mental pelajar.

Menurut Haji Halip bin Bujang, terdapat satu lagi kursus yang dinamakan kursus ‘Intervensi
Dadah’. Kaunselor akan diajar tatacara untuk menangani pelajar-pelajar yang terlibat dengan
dadah. Selain itu, kaunselor juga diajarkan kaedah penyampaian kaunseling kepada pelajar-pelajar
yang terlibat dengan dadah. Selain daripada itu, Kursus Asas dan Lanjutan Bimbingan dan
Kaunseling diadakan bagi guru-guru sekolah rendah dan menengah untuk menjadi guru bimbingan
atau komuniti kaunseling di sekolah tersebut. Guru-guru bimbingan ini akan diberikan taklimat
bagaimana membantu kaunselor dalam menangani masalah pelajar seperti cara memberikan sesi
bimbingan, membuat aktiviti dan sebagainya. Sesi kongsi sama di antara semua kaunselor sekolah
menengah dengan pegawai-pegawai Unit Kaunseling juga diadakan untuk membincangkan
masalah-masalah yang dihadapi oleh kaunselor dan pembaikan yang perlu dibuat serta
mengongsikan program-program yang mereka lakukan di sekolah dan hasil dari program-program
tersebut.

Menurut Hajah Rosimah binti Haji Ibrahim, kemahiran-kemahiran kaunselor ini perlu sentiasa
ditingkatkan dari masa ke semasa. Hal ini dapat disokong dengan pendapat dari Lawrence M.
Brammer (1985) iaitu kewibawaan dan kemahiran seseorang kaunselor itu menentukan
perkhidmatan kaunseling itu lebih menyakinkan dan berkesan. Justeru itu, kaunselor-kaunselor
sekolah ini bukan sahaja mengikuti kursus yang disediakan oleh Unit Kaunseling tetapi mereka
membuat inisiatif sendiri dengan mengikuti kursus, bengkel dan seminar secara dalam talian sama
ada secara percuma atau membayar sendiri. Contohnya, Kursus Art Therapy – AD HTP &
Grafology, Certified Practitioner Parenting Coach, Kelas Terapi Kaunseling – Isu Kesihatan
Mental, Certified Neo NLP & Certified Critical Incident Stress Management, yang pernah diikuti
oleh kaunselor Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri. Setelah mengikuti kursus-kursus ini mereka
akan mengongsikan teknik-teknik yang dipelajari dengan kaunselor-kaunselor dan guru-guru

21
bimbingan yang lain. Dalam hal ini bukan sahaja kaunselor tetapi pegawai Unit Kaunseling sendiri
juga melakukannya untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka supaya dapat
memimpin kaunselor-kaunselor sekolah menengah ini.

3. CADANGAN

Berdasarkan daripada dapatan kajian, beberapa cadangan dapat dikemukakan bagi rujukan pihak
yang tertentu untuk memperbaiki atau meningkatkan lagi perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
di setiap sekolah menengah kerajaan yang ada di Negara Brunei Darussalam. Cadangannya adalah
seperti berikut:

1. Pengkaji telah mendapati bahawa bagi sekolah yang mempunyai pelajar lelaki dan
perempuan, sepatutnya di sekolah tersebut mempunyai dua orang kaunselor iaitu seorang
kaunselor lelaki bagi menangani masalah pelajar lelaki dan seorang kaunselor perempuan
bagi menangani masalah pelajar perempuan. Walau bagaimanapun, melihat kepada
bilangan kaunselor sekolah yang ada pada masa ini, ia tidak mencukupi untuk membuat
sedemikian. Oleh itu, pihak tertentu boleh membuat beberapa inisiatif untuk menarik minat
belia-belia terutama yang berada di peringkat universiti untuk menjadi seorang kaunselor.
Umpamanya, dengan lebih mendedahkan perkara-perkara yang berkaitan dengan
kaunseling seperti taklimat, kursus, bengkel atau program sukarelawan kaunseling kepada
para belia. Ini adalah supaya para belia tertarik dengan bidang kaunseling dan ingin
menjadi sebahagian daripadanya. Maka dengan itu, bilangan kaunselor akan bertambah
dan para pelajar pun akan berasa lebih selesa untuk mengongsikan masalah atau meminta
bantuan kaunselor.
2. Program-program yang berkaitan dengan pornografi, kehamilan di bawah umur dan
perkara yang berkaitan dengannya belum ada dilaksanakan. Pihak yang berkuasa perlu
mengadakan program ini di sekolah-sekolah menengah kerana hal ini bukan sesuatu yang
baru malahan ia semakin berleluasa ditambah lagi dengan teknologi yang semakin canggih
dan sasarannya lebih kepada remaja-remaja ini. Pihak yang berkuasa boleh membuat
program kesedaran mengenai hal ini untuk para pelajar sekolah menengah supaya dapat
mencegah mereka daripada melakukan hal tersebut dan seterusnya akan menjejaskan

22
akademik serta personaliti mereka. Program-program kesedaran ini boleh dibuat dalam
beberapa fasa dengan meminta pandangan daripada pelajar setelah mengikutinya.

4. PENUTUP
Kesimpulannya, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang dijalankan di sekolah menengah
memainkan peranan yang penting dalam membantu perkembangan akademik dan personaliti
pelajar. Berdasarkan dari program-program yang telah dilaksanakan, ia menunjukkan perubahan
yang positif dalam diri pelajar. Justeru itu, dapat dilihat bahawa para pelajar ini mempercayai
bahawa program-program bimbingan dan kaunseling dapat membantu dalam menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Ia juga dapat diselaraskan dengan kajian yang dibuat oleh Mazuki bin
Salim dan Wati binti Mohamad (2013) bertajuk ‘Kepentingan Perkhidmatan dan Aktiviti
Bimbingan dan Kaunseling Dalam Kalangan Pelajar Politeknik Kuala Terengganu’ menunjukkan
bahawa kesedaran pelajar mengenai kaunseling adalah sangat baik walaupun pelajar belum ada
sepenuhnya keberanian untuk berjumpa dengan pegawai psikologinya. Di samping itu, kaunselor
juga sentiasa berusaha menjayakan program-program tersebut serta membantu para pelajar supaya
menjadi seorang yang berguna setelah mereka keluar dari alam persekolahan. Pengkaji
mengharapkan kajian ini dapat digunakan untuk sebarang pembaikan terutama dari segi program
dan memberikan perhatian kepada cadangan yang telah dikemukakan.

23
RUJUKAN

Arinah Ulfa Rizka. nd. Makna Metodologi Penelitian. diperolehi dari


https://core.ac.uk/download/pdf/151573657.pdf (7hb April 2021)

Ee Ah Meng. 1997. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Penerbit Fajar Bakti SDN.BHD

Fadilah Binti Zaini dan Maisarah binti Ishak. 2006. Peranan Kaunselor Dalam Pembangunan
Pelajar: Kajian Kes Terhadap Kaunseling Kelompok di Kolej Universiti Kejuruteraan dan
Teknologi Malaysia (KUKTEM) Kuantan, Pahang. diperolehi dari
http://eprints.utm.my/id/eprint/147/2/FadilahZaini2006_Peranankaunselordalampembangunanpel
ajar.pdf (10hb Jun 2020)

Fahmi Zaidi. 2018. Bimbingan dan Kaunseling. diperolehi dari


http://maribersamaberjaya.blogspot.com/2018/07/bimbingan-dan-kaunseling.html?m=1
(24hb Jun 2020)

Mazuki bin Salim dan Wati Binti Mohamad. 2013. Kepentingan Perkhidmatan dan Aktiviti
Bimbingan dan Kaunseling Dalam Kalangan Pelajar Politeknik Kuala Terengganu. diperolehi
dari
http://digilib.mercubuana.ac.id/manager/t!@file_artikel_abstrak/Isi_Artikel_699643876553.pdf
(25hb Jun 2020)

Mohd Sani Ismail, Abdul Hakim Abdullah, Aman Daima Md Zain, Mohd Hasrul Shuhari, Mohd
Rahim Ariffin. 2018. Kematangan Kerjaya Pelajar: Implikasinya Terhadap Kaunseling
Kerjaya.diperolehi dari
https://journal.unisza.edu.my/jimk/index.php/jimk/article/view/295 (25hb Jun 2020)

Muhd Mansur Abdullah, Siti Nordinar Mohd. Tamin. 1993. Pengantar Kaunseling. Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur

24
Munirah binti Ahmad Kamil. 2013. Penggunaan Teknik dan Intervensi Kaunseling Dalam
Menangani Pelajar Berisiko di Sekolah Menengah. diperolehi dari
https://core.ac.uk/download/pdf/153834095.pdf (10hb April 2021)

Roslee Ahmad. 2002. Peranan Kaunselor Dalam Penerapan dan Pemupukan Nilai-Nilai Murni
Melalui Program Kaunseling Terhadap Remaja Di Sekolah: Satu Wadah Bersepadu Antara Guru
dan Kaunselor. diperolehi dari
https://www.researchgate.net/publication/317087523_PERANAN_KAUNSELOR_DALAM_PE
NERAPAN_DAN_PEMUPUKAN_NILAI-
NILAI_MURNI_MELALUI_PROGRAM_KAUNSELING_TERHADAP_REMAJA_DI_SEKO
LAH_SATU_WADAH_BERSEPADU_ANTARA_GURU_DAN_KAUNSELOR (22hb Jun
2020)

Tang Chee Yee. 1989. Bimbingan dan Kaunseling: Perkhidmatan, Prosedur dan Kemahiran.
Kumpulan Budiman SDN.BHD

Unit Kaunseling dan Kerjaya. 2019. Diari 2019. Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-
Sekolah, Kementerian Pendidikan

25

View publication stats

You might also like