You are on page 1of 10

PEMBINAAN PERSEKITARAN BILIK DARJAH YANG MESRA BUDAYA.

1.0 Pengenalan Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh rakyat berbilang kaum daripada pelbagai latar belakang budaya yang hidup aman dan damai bersama. Integrasi antara kaum ini seterusnya membentuk budaya Malaysia. Budaya ini menjadi sebahagian daripada budaya pendidikan di sekolah yang turut meliputi budaya dari segi lokasi, pekerjaan ibu bapa, pendidikan yang diterima, status ekonomi, sosial, keturunan, kuasa politik, bangsa, bahasa, adat resam, kepercayaan dan jantina. Justeru itu, bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, adalah penting bagi guru dan pihak sekolah untuk membina persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Guru perlulah kreatif dan bijak dalam menyediakan pelan bilik darjah yang mesra budaya. Umur, tahap persekolahan, minat dan keperluan murid-murid dalam kelas tersebut perlulah diambil kira dalam penyediaan pelan bilik darjah ini. Hasil daripada pembelajaran dalam persekitaran bilik darjah yang mesra budaya ini, kita dapat melahirkan murid-murid tanpa mengira latar belakang sosio budaya yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Murid-murid ini seterusnya akan membentuk masyarakat yang harmonis dan aman serta berjaya.

2.0 Konsep budaya dan kepelbagaian kelompok di Malaysia Konsep kebudayaan sangat meluas, merangkumi pelbagai komponen dan boleh dianalisis melalui pelbagai cara (Berry, 2000). Perkataan budaya adalah berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit, budhi dan perkataan Melayu iaitu daya. Perkataan budhi membawa maksud kecergasan fizikal dan akal, manakala perkataan daya bererti kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh.

Cantuman perkataan-perkataan ini, budaya boleh memberi maksud gabungan kecergasan pemikiran, kuasa, tenaga serta pengaruh seseorang individu boleh mencetuskan buah fikiran yang mampu memahami seterusnya menyelesaikan sesuatu permasalahan. Penyelesaian ini seterusnya menjadi amalan sekelompok masyarakat yang kemudiaannya dijadikan sebagai

sebahagian daripada budaya setempat yang diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya. John W.Santrock (2007) mendefinisikan budaya sebagai the behaviour, patterns, beliefs, and all other products of a particular group of people that are passed on from generation to generation. Takrifan lain bagi budaya adalah hasil interaksi antara beberapa kumpulan masyarakat dengan persekitaran melewati satu tempoh masa yang lama iaitu banyak tahun. Budaya itu sendiri boleh mempengaruhi identiti, cara pembelajaran, dan tingkah laku sosial ahlinya (Bornstein, M.H., 1999; Goodnow, 1995). Keseluruhannya, budaya merupakan cara hidup yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat merangkumi cara pemikiran, tingkah laku, kepercayaan, adat resam, sistem sosial, ekonomi, politik dan pendidikan. Kebudayaan turut diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya dan dalam masa yang sama budaya itu boleh mengalami pengubahsuaian mengikut persekitaran semasa. Di sekolah, kepelbagaian budaya antara kelompok murid adalah daripada sudut lokasi, pekerjaan ibu bapa, pendidikan yang diterima, status ekonomi, sosial, keturunan, kuasa politik, bangsa, bahasa, adat resam, kepercayaan dan jantina. Di samping itu, budaya turut meliputi peralatan dan kelengkapan, sistem ekonomi, sistem kemasyarakatan, bahasa, kesenian, sistem pengetahuan, kepercayaan dan kerajaan (Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Maskon, 2010).

3.0 Kepelbagaian sosio-budaya dan implikasinya dalam pengajaran dan pembelajaran Bagi skop pendidikan masa kini, budaya di sekolah adalah cermin kepada budaya masyarakat. Pendidikan di sekolah adalah mengikut acuan budaya masyarakat. Ini menunjukkan budaya masyarakat memberi pengaruh yang agak besar kepada suasana dan cara didikan murid-murid di sekolah. Sudah menjadi tanggungjawab guru di negara ini untuk mendidik muridmurid mengikut acuan budaya Malaysia ke arah melahirkan masyarakat yang berbudaya Malaysia. Ini adalah penting untuk interaksi dan penyesuaian diri murid-murid itu dalam suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dengan pelbagai latar belakang budaya. Seterusnya melalui pendidikan sebegini, hasrat melahirkan masyarakat 1 Malaysia akan tercapai. Masyarakat di Malaysia mempunyai pelbagai sosio budaya yang boleh diklasifikan berdasarkan perbezaan bangsa, struktur masyarakat atau kelas sosial, kepercayaan, bahasa, adat resam dan jantina. Murid-murid di sekolah wajar didedahkan dengan kepelbagaian sosio budaya dalam masyarakat bagi mewujudkan pembelajaran yang kondusif dalam persekitaran yang mengandungi pelbagai sosio budaya.

4.0 Pembinaan pengajaran dan pembelajaran serta persekitaran bilik darjah yang mesra budaya Pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang mesra budaya akan menggalakkan interaksi dan integrasi di kalangan murid dalam situasi yang kondusif. Marzano (2003) berpendapat tindakan guru dalam bilik darjah mempunyai impak dua kali ganda dalam pencapaian murid berbanding dengan polisi sekolah berkenaan kurikulum, penilaian kerjasama antara guru dan penglibatan masyarakat. Disebabkan itu, guru memainkan peranan besar dalam menyediakan persekitaran efektif yang mampu merangsang perkembangan murid dalam pembelajaran.

Dua aspek penting yang perlu diambill kira semasa membina persekitaran ini ialah aspek fizikal dan sosio-emosi. Dari segi fizikal, guru perlu merancang susunan kedudukan dan susunan kerusi meja yang bersesuaian, penggunaan ruang dalam bilik darjah, peralatan asas yang mencukupi, bahan bantu mengajar dalam keadaan baik, serta pengudaraan dan pencahayaan yang cukup. Penyediaan persekitaran fizikal yang baik boleh mengubah suasana belajar yang membosankan, kurang selesa dan tidak ceria, kepada

pembelajaran yang menyeronokkan, selesa, segar, ceria. Secara tidak langsung, tumpuan murid terhadap pengajaran serta rangsangan belajar di kalangan murid meningkat. Keadaan fizikal yang baik sahaja tidak mencukupi untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran, pengurusan sosio-emosi yang berkesan juga perlu diseimbangkan. Motivasi atau kuasa dalaman akan membangkit, mengarah dan mengawal minat dan tingkah laku murid (Woolfolk, 1990). Justeru itu, emosi murid perlu diurus dengan baik bagi mewujudkan pembelajaran yang berkesan melalui teknik mengajar yang bersesuaian, motivasi, ganjaran dan peneguhan serta menitikberatkan kebajikan serta keperluan murid. Selain daripada itu, murid perlu didedahkan dengan pengetahuan mengenai kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Ini boleh diterapkan melalui teknik pengajaran yang lebih berorientasikan murid bagi mewujudkan lebih interaksi dan kerjasama antara murid-murid daripada pelbagai latar belakang budaya. Disamping itu, pemilihan tajuk pembelajaran dan contoh yang berkaitan kepelbagaian budaya perlu digunakan. Guru juga seharusnya tidak bersikap pilih kasih dan lebih sensitif dengan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif bagi mana-mana murid. Nilai-nilai murni seperti kerjasama, kasih sayang, setiakawan juga perlu disuburkan dalam diri murid-murid tanpa mengira bangsa dan agama. Elemen-elemen ini sekiranya diaplikasikan dalam bilik darjah dapat mewujudkan persekitaran mesra budaya dan dapat merangsang pembelajaran murid-murid.

5.0 Pelan lantai bilik darjah mesra budaya Sebelum melakar pelan ini, saya terlebih dahulu mengenalpasti kedudukan pintu, tingkap sebagai sumber cahaya dan udara, plug elektrik dan papan putih dalam bilik darjah. Ini dapat membantu saya untuk merancang susun atur bilik darjah. Dalam pelan lantai bilik darjah yang saya bina, terdapat beberapa elemen yang boleh membawa kepada persekitaran mesra budaya di dalam bilik darjah. (1) Meja guru Meja guru diletakkan di hadapan kelas, menghadap meja murid bagi membantu berlakunya kontek visual antara murid dan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan meja guru adalah di bahagian tepi kelas bukan di tengah supaya penglihatan murid pada papan putih tidak terhalang. Meja ini tidak diletakkan di sebelah pintu supaya laluan keluar masuk tidak terhalang, sebaliknya diletakkan di sebelah tingkap bagi memberi pencahayaan dan pengudaraan yang cukup untuk keselesaan guru. Keselesaan guru dapat merangsang semangat untuk guru mengajar dalam emosi yang positif. (2) Rak guru Rak guru diletakkan di sebelah meja guru bagi kemudahan guru untuk menyimpan bahan bantu belajar termasuk CD untuk kegunaan murid. (3) Meja murid Meja murid disusun mengikut kumpulan berempat berbentuk V supaya memudahkan berlakunya komunikasi antara ahli dalam kumpulan. Susunan ini turut menggalakkan pembelajaran berorientasikan murid yang membolehkan murid terlibat secara aktif dalam pembelajaran. Di samping itu, susun atur sebegini memudahkan murid menjalankan aktiviti berkumpulan. Dengan susunan berbentuk V, pergerakan murid

menghadap papan putih turut diminimumkan bagi memberi keselesaan kepada murid-murid, di samping mengekalkan kontek visual antara guru dengan murid. Meja murid juga tidak diletakkan di depan pintu.

(4) Sudut multi-media Di sudut ini, disediakan sebuah komputer dengan jaringan internet untuk penggunaan murid yang disambungkan ke plug elektrik yang di dinding bahagian tersebut. Sudut ini diletakkan berhampiran meja guru bagi memudahkan murid mendapat bimbingan guru semasa

penggunaannya. Ini juga dapat memberi kelebihan kepada guru untuk memantau murid-murid agar menggunakan multi-media secara bijak dan bermanfaat. Guru juga perlu menyediakan peraturan penggunaan multimedia ini. Rasionalnya adalah supaya semua murid dapat menikmati kemudahan ini, pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar dan mengelakkan berlakunya kerosakan atau kemalangan. (5) Sudut bacaan Di satu sudut di bahagian belakang kelas dikhaskan sebagai sudut bacaan. Di sudut ini, dihamparkan permaidani dan diletakkan beberapa bantal untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada di rumah. Beberapa rak yang memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar, majalah turut disusun di sudut ini untuk bacaan umum dan rujukan murid. Bahan-bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menjaganya kerana merasakan mereka turut memberi sumbangan bahan bacaan. Peraturan penggunaan ruangan ini turut dibina seperti bahan bacaan tidak boleh dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu disusun kembali di atas rak selepas digunakan dan sebagainya. Peraturan sebegini boleh mengelakkan berlakunya kerosakan dan kehilangan bahan bacaan ini.

(6) Meja bulat Meja bulat diletakkan di tengah bahagian belakang kelas bagi membolehkan murid berehat atau berbincang. Oleh itu, kedudukannya adalah berhampiran dengan bekas air minuman. (7) Bekas air minuman Satu bekas air minuman yang besar diletakkan di antara sudut bacaan dan tempat simpanan bekal makanan. Ini dapat menggalakkan murid-murid untuk minum banyak air untuk kesihatan. Satu jadual disediakan untuk menyelenggara bekas air minuman ini. (8) Tempat simpanan bekal makanan Semua murid dikehendaki menyimpan bekal makanan masing-masing di sini. Sekiranya bekal makanan diletakkan di meja murid, andainya makanan itu tertumpah, ruang meja murid akan kotor dan mungkin juga akan mengotorkan buku-buku murid. Selain daripada itu, bekal makanan itu juga boleh menarik perhatian murid sehingga mengganggu tumpuan murid semasa belajar. (9) Tempat simpanan barang murid Di sini, murid-murid boleh menyimpan beg sekolah dan barangbarang mereka yang lain. Ini dapat memberi keselesaan kepada muridmurid agar dapat belajar tanpa gangguan. (10) Papan kenyataan Dimuatkan jadual tugasan murid, hasil kerja murid, dan gambar aktiviti murid pada papan kenyataan untuk rujukan dan hiburan. Dalam jadual tugasan ini, murid-murid dibahagikan mengikut turutan hari dan tugas membersihkan kelas. Murid-murid turut merasa bangga melihat hasil kerja mereka dipamerkan dan secara tidak langsung mencetuskan minat mereka untuk belajar. Dalam hasil kerja murid turut terdapat input yang bermanfaat kepada semua murid.

(11) Akuarium dan pokok berpasu Ini dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran murid melalui penjagaan ikan dan pokok. Disamping itu, sifat tanggungjawab dapat dipupuk ke dalam diri murid-murid apabila mereka perlu menjaga ikan, membersihkan akuarium, dan menyiram pokok. (12) Bakul sampah Dengan adanya bakul sampah, kebersihan bilik darjah dapat dijaga kerana murid-murid perlu membuang sampah ke dalam bakul sampah. (13) Peti pertolongan cemas Peti pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas dan berhampiran dengan meja guru. Penggunaan peti pertolongan cemas ini perlu mendapat keizinan guru. Setiap kelas perlu mempunyai peti pertolongan cemas kerana kita tidak dapat menjangka bila berlakunya kemalangan. Dengan adanya peti ini, rawatan kecemasan dapat diberikan dengan segera apabila berlakunya kemalangan. (14) Pemadam api Pemadam api amatlah penting sekiranya berlaku kebakaran. Dengan adanya pemadam api dalam bilik darjah, kebakaran kecil dapat dipadamkan dengan segera serta dapat dielakkan daripada merebak. Guru perlu menjemput pegawai bomba ke sekolah untuk menerangkan kepada tindakan yang perlu mereka ambil sekiranya berlaku kebakaran dan bagaimana cara untuk menggunakan pemadam api. (15) Jam dan kalendar Jam perlu diletakkan di hadapan kelas untuk melatih murid menghargai masa. Kalendar pula digunakan untuk rujukan tarikh. Dalam kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa penting seperti Hari

Kebangsaan. Ini dapat melatih murid supaya peka dengan peristiwaperistiwa penting sebegini. (16) Pengasah pensel Pengasah pensel diletakkan berhampiran bakul sampah untuk kemudahan murid di samping menjaga kebersihan kelas. Ini juga dapat mengelakkan murid daripada menggunakan pisau untuk mengasah pensel bagi keselamatan murid. (17) Pencahayaan dan pengudaraan Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk keselesaan murid dan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan dan pengudaraan yang mencukupi. Susun atur perabot dalam bilik darjah juga disusun tidak menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan pengudaraan. 6.0 Rumusan Kesimpulannya, Kemahiran guru menggunakan kreativiti serta

mengaplikasikan pengetahuan dan teknik yang bersesuaian amatlah penting dalam mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Gabungan elemen-elemen fizikal dan sosio-emosi dapat mewujudkan suasana yang lebih harmoni yang membantu ke arah pencapaian objektif pembelajaran. Bilik darjah ini adalah kondusif untuk semua murid tanpa mengira perbezaan sosio-budaya sama ada dari segi bangsa, struktur masyarakat atau kelas sosial, kepercayaan, bahasa, adat resam mahupun jantina. Murid yang belajar dalam kelas ini mendapat motivasi yang baik yang mendorong semangat mereka untuk belajar.

7.0 Penutup Diharapkan bilik darjah mesra budaya dapat diwujudkan di setiap sekolah bagi memberi peluang yang sama rata kepada semua murid untuk menikmati pembelajaran yang kondusif.

You might also like