You are on page 1of 18

PENGHARGAAN

Syukur kepada Allah S.W.T yang telah memberi taufik dan hidayah sehingga usaha penulisan ilmiah ini berjaya jua akhirnya. Penulisan ilmiah ini bertujuan memenuhi kehendak kursus EDU 3107 Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak.

Penulisan ilmiah ini mengandungi beberapa tajuk kecil yang menyentuh beberapa aspek berkaitan tajuk iaitu Mengatasi masalah pelajar yang suka ponteng sekolah menggunakan terapi seni. Aspek yang disentuh ialah kaunseling dan masyarakat, definisi terapi seni, dan lain-lain.

Tajuk ini dipilih bertujuan untuk memberi penerangan secara ringkas mengenai cara mengatasi masalah yang sering dihadapi oleh guru iaitu masalah murid yang sering meminta perhatian guru di dalam kelas.

Pada kesempatan ini saya percaya bahawa masih ada ruang yang perlu dibaiki dalam penulisan ilmiah ini. Dengan demikian, pandangan dan teguran yang membina amat diperlukan bagi memantapkan penulisan ilmiah saya di masa akan datang. Saya berharap agar penulisan ini dibaca dengan kritis dan memberi manfaat dalam meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai terapi seni dalam mengatasi masalahmasalah pembelajaran di dalam kelas.

Akhirnya, saya mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua rakan-rakan yang telah menyumbang idea kepada saya dalam menyiapkan penulisan ilmiah ini. Terima kasih juga diucapkan kepada pensyarah kursus ini iaitu Encik Kundayis yang memberi tunjuk ajar dan panduan penulisan ilmiah ini.

MUHAMMAD FIRDAUS BIN ABD RAHANI PISMP Pendidikan Jasmani Semester 7 IPG Kampus Kent

PENGENALAN
Dewasa ini, masalah disiplin dalam kalangan murid-murid sekolah sama ada sekolah rendah ataupun sekolah menengah semakin hangat diperkatakan dalam media massa terutamanya di dada-dada akhbar, kaca televisyen dan lain-lain lagi. Peningkatan kadar masalah disipin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak ini menimbulkan tanda tanya dan meresahkan semua pihak terutamanya ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat. Semua pihak mula bingung memikirkan mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Masalah ini semakin sukar untuk dibendung terutamanya gejala ponteng sekolah. Gejala ponteng sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai cendawan tumbuh selepas hujan walaupun berbagai -bagai langkah telah dibuat, ponteng telah menjadi penyebab kepada pembabitan utama murid-murid dalam pelbagai kegiatan berunsur negative seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi. Penguatkuasaan peraturan sekolah semata-mata tidak memadai bagi menangani masalah gejala ponteng sekolah, namun masyarakat khususnya ibu bapa dan murid juga perlu diberikan kesedaran mendalam menangani masalah ini.

Tambahan pula pada era globalisasi ini, kemajuan dalam bidang teknologi maklumat agak membimbangkan beberapa pihak terutamanya ibu bapa dan guru. Hal ini kerana dengan adanya alat-alat teknologi yang canggih seperti internet dan telefon bimbit, murid-murid akan lebih mudah terpengaruh dengan perkara-perkara negatif. Mereka akan menjadikan alat-alat canggih ini sebagai medium untuk mereka melakukan perkara negatif seperti menyebarkan gambar-gambar yang tidak senonoh, melayari laman web lucah dan sebagainya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa gejala kemerosotan disiplin dan tingkah laku murid sering dikaitkan dengan teori psikologi perkembangan remaja. Remaja dalam lingkungan umur antara 10 hingga 18 tahun dianggap masa yang paling kritikal dalam peringkat perkembangan manusia.

Oleh itu, semua pihak terutamanya ibu bapa, guru dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan masalah disiplin murid-murid di sekolah dapat diatasi daripada terus berlarutan, bukannya dengan menuding jari menyalahkan antara satu sama lain.

Berdasarkan kerja kursus individu bagi subjek Bimbingan dan Kaunseling (EDU 3107), kami guru pelatih perlu membuat tugasan yang mana kami perlu

membincangkan persoalan-persoalan seperti berikut : a. Sejauh manakah asas-asas kemahiran dalam kaunseling dapat membantu dalam membawa kepada pengajaran dan pembelajaran yang efektif. b. Apakah program intervensi yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah ponteng di sekolah.

SOALAN 2

SEJAUH MANAKAH GURU BIASA SEBAGAI GURU PEMBIMBING DALAM ASPEK MENGENALPASTIKAN MASALAH YANG BERLAKU DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH
Selepas meneliti laporan orientasi khidmat bimbingan dan kaunseling, kita sebagai guru biasa juga boleh memainkan peranan sebagai guru pembimbing untuk mengenalpasti masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Saya bimbang jika masalah pelajar ini dibiarkan akan berlarutan sehingga mereka memasuki sekolah menengah dan ke peringkat lebih tinggi.

Masalah yang dikenal pasti di sekolah saya ialah kes ponteng sekolah. Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah keluarga seseorang murid itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan pelajar.

Selepas meneliti satu per satu permasalahan berkaitan pelajar, saya merasakan bahawa kita sebagai guru biasa juga boleh berperanan sebagai guru pembimbing. Kita tidak seharusnya terlalu mengharapkan kepada guru bimbingan dan kaunseling sahaja apabila masalah seperti ponteng sekolah ini berlaku di sekolah yang kita mengajar.

1) Cara mengenalpasti masalah


1.1 Pemerhatian

i.

Pemerhatian di dalam kelas

Saya mengajar subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan jasmani bagi kelas tahun 5, dimana Debnie belajar. Selama saya mengajar di kelas tersebut, Debnie merupakan murid yang pendiam dan sering tidak hadir ke sekolah.

Untuk subjek Bahasa Melayu, saya sering membuat aktiviti kumpulan. Daripada pemerhatian saya semasa murid-murid saya semasa mereka sedang melakukan aktiviti kumpulan, saya dapat lihat Debnie sering kali membuat kerja lain semasa ahli kumpulan yang lain sedang membuat kerja. Jangkaan awal saya ialah Debnie seorang yang tidak menyukai aktiviti yang melibatkan murid-murid lain dan hanya mahu belajar semasa aktiviti individu.

Saya juga dapati Debnie selalu menagih perhatian. Setiap kali saya mengajukan soalan dan memberi tugasan, dia kerap bertanyakan soalan dan tidak suka diganggu oleh rakan-rakannya.

ii.

Pemerhatian di luar kelas

Selama 7 minggu saya berpraktikum di sekolah ini, saya dapati Debnie sentiasa menyendiri di kelas mahupun di luar kelas. Semasa rehat, Aidil akan pergi ke tempat makan RMT dan kemudian kembali ke kelas membuat kerja sendiri. Saya jarang melihat Debnie bermain dengan kawan-kawan yang lain.

1.2 Temuramah

i.

Guru kelas

Guru kelas bagi tahun 5 ialah Puan Mariah. Saya telah menemuramah Puan Mariah pada 4 Mac 2014, bertempat di bilik guru Sekolah Kebangsaan Tinambak. Saya telah menanyakan beberapa soalan yang berkaitan dengan permasalah Aidil di dalam kelas dan juga masalah keluarga (Lampiran 1).

Puan Mariah telah memberitahu bahawa Debnie sering tidak datang ke sekolah sebelum saya mula berpraktikum di sekolah ini. Dalam masa 1 minggu, hanya 3 hingga 4 kali dia akan datang ke sekolah. Analisis kedatangan Aidil juga pernah dilaksanakan dari awal tahun (lampiran 2).

Hal ini telah menyebabkan Puan Mariah untuk menghubungi keluarga Debnie untuk meminta Debnie ke sekolah. Selain itu, Puan Mariah juga sering datang ke rumah Debnie untuk mengambilnya untuk dibawa ke sekolah.

ii.

Guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani

Guru mata pelajaran Pendidikan Jasmani bagi tahun 5 ialah guru pembimbing saya sendiri, iaitu Encik Gerry P.Lucien. Saya telah menemuramah Encik Gerry pada 5 Mac 2014, bertempat di bilik guru. Seperti temuramah saya bersama Encik Gerry, saya juga telah menanyakan soalan-soalan yang sama kepada Encik Rosman. (Lampiran 3)

Encik Gerry telah memberitahu bahawa Debnie seorang yang suka menyendiri semasa kelas pendidikan jasmani. Debnie akan mudah hilang tumpuan dan melihat benda-benda atau perkara di sekelilingnya.

Namun begitu, Encik Gerry telah berjaya menarik perhatian Debnie di dalam kelas Pendidikan Jasmani dengan menghubungkaitkan pelajaran pendidikan Jasmnai dan juga Dunia Seni Muzik. Hal ini kerana Encik Gerry dapat mengenalpasti apa yang diminati oleh Debnie.

iii.

Keluarga

Saya telah menemuramah abang Debnie yang juga merupakan bekas murid sekolah ini iaitu Rizaidi dan saya telah menemuramah Rizaidi tentang permasalah Debnie di rumah (Lampiran 4).

Daripada temuramah bersama Rizaidi, saya mendapati bahawa Debnie dan Rizaidi mempunyai hubungan yang tidak baik. Mereka sering bergaduh dan sering tidak bersehaluan. Debnie tidak akan pergi ke sekolah bersendirian. Selalunya Debnie akan pergi ke sekolah sendiri atau diambil oleh Puan Mariah. Namun begitu, Debnie tidak mempunya apa-apa masalah bersama ayah dan ibunya.

iv.

Rakan-rakan

Selain daripada itu, saya juga telah menemuramah beberapa rakan sekelas Debnie seperti Joanne, Audrey dan Nurisyah. Saya telah memilih mereka secara rawak. Saya telah menyediakan soalan-soalan temuramah mereka (Lampiran 6).

Joanne merupakan murid yang pernah rapat dengan Debnie semasa tahun 2013. Namun begitu, tahun ini, Arif memberitahu bahawa mereka sudah tidak rapat lagi kerana sikap Debnie yang sudah berubah sejak awal Januari lagi. Menurut Joanne, Debnie menjadi agak pendiam dan sering tidak datang ke sekolah dan telah menyebabkan hubungan mereka menjadi renggang.

Audrey dan Nurisyah dua-dua berpendapat bahawa Debnie sering tidak memberi kerjasama kepada rakan-rakan jika mereka diarahkan untuk membuat kerja berkumpulan. Jika cikgu mengarahkan setiap kumpulan untuk membawa bahan-bahan ke sekolah, Debnie selalu tidak membawa atau tidak datang ke sekolah dan telah menyusahkan rakan-rakan dalam kumpulan Debnie sendiri.

v.

Murid menggunakan terapi seni

Saya telah meminta kebenaran guru kelas tahun 5, Puan Mariah untuk membuat terapi seni terhadap Debnie kerana ketiaadan guru dan saya meminta untuk mengganti kelas pada waktu tersebut. Saya telah menyediakan Debnie dua keping kertas A4 dan juga plastisin. Saya telah meminta Debnie untuk melipat kertas tersebut kepada 2 bahagian. Kemudian, saya telah meminta Debnie untuk menerangkan lukisannya sendiri.

Untuk situasi Aidil di rumah, Debnie telah menceritakan serba sedikit tentang keluarganya. Aidil telah melukiskan rumah idamannya. Daripada apa yang diceritakan oleh Debnie, saya dapat mengetahui bahawa Debnie datang daripada keluarga yang miskin. Ayah Debnie iaitu seorang pemandu lori dan menjadi tulang belakang dalam memberi nafkah kepada keluarga Debnie. Di rumah, Debnie tidak rapat dengan adik beradik yang lain.

Untuk situasinya di sekolah, Debnie telah menceritakan tentang kehidupannya di sekolah. Debnie jarang bermain bersama rakan-rakannya..

Untuk terapi menggunakan plastisin pula, Debnie membina sekuntum bunga. Dia memberitahu saya bahawa dia sukakan bunga kerana warnanya yang menarik perhatian selain baunya yang harum.

2) Program Intervensi Masalah Ponteng


Langkah 1: Sesi kaunseling individu

Cara yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ponteng sekolah ini ialah dengan memanggil murid untuk mengadakan sesi kaunseling secara individu. Menurut Cottle dan Downie (1970), kaunseling di bawah bimbingan secara individu merujuk kepada proses perbincangan antara seorang kaunselor dan seorang kliennya, yang mana kaunselor berusaha menolong kliennya memahami diri sendiri dan menerima masalah yang dihadapinya, sehingga dia membuat pertimbangan dan mengambil keputusan daripada pilihan-pilihan yang boleh membantunya mengatasi masalah.

Kita harus sedar bahawa sesi kaunseling tidak semestinya boleh dikendalikan oleh guru bimbingan dan kaunseling sahaja, tetapi sebaliknya kita sebagai guru biasa juga boleh memainkan peranan tersebut dalam mengatasi masalah yang berlaku dalam kalangan murid-murid di sekolah seperti kes ponteng sekolah ini. Berkemungkinan daripada sesi kaunseling secara individu ini boleh dapat membantu murid daripada

berkelakuan negatif secara berterusan di sekolah. Hal ini kerana sesi kaunseling individu ini akan membuat murid itu membina kemahiran dan keyakinan untuk menyelesaikan masalah diri sendiri serta membantu murid supaya membuat keputusan secara rasional dan praktikal. Secara tidak langsung akan menjalinkan hubungan baik di antara kita dan murid berkenaan sekali gus mengubah pemikiran tidak rasionalnya yang mana murid membuat andaian dengan mengatakan bahawa semua guru telah membenci dan tidak menyayangi dirinya. Maka, di sekolah tiada seorang pun yang dia boleh bergantung harap dan percayai.

Merujuk kepada Pietrofesa (1971) telah menyenaraikan empat jenis kaunseling individu iaitu kaunseling krisis, kaunseling pembekal kemudahan, kaunseling

pencegahan dan kaunseling perkembangan. Berdasarkan permasalahan oleh murid tersebut, saya merasakan jenis kaunseling yang sesuai adalah kaunseling

perkembangan yang mana kaunseling ini akan menolong murid itu membina konsep diri dan perkembangan individu dalam hubungannya dengan orang lain dan persekitaran.

Langkah 2: Terapi seni

Semasa dalam kaunseling individu, guru dapat mengaplikasikan terapi seni bersama murid tersebut. Melalui terapi seni yang telah saya jalankan Debnie berjaya meluahkan hatinya yang telah terpendam. Melalui luahan ini, Debnie telah berasa hatinya lebih tenang dan ringan.

Debnie berjaya melepaskan segala yang terpendam dengan luahan dan tangisan. (Luahan dalam kaunseling)

Langkah 3: Pendekatan penyayang

Dalam masa yang sama, guru juga mengambil pendekatan penyayang sepertimana yang dinyatakan oleh Abdul Rahman al Nahlawi bahawa sifat kasih sayang terhadap kanak-kanak merupakan kecenderungan asasi dalam fitrah manusia dan binatang. Pendekatan penyayang ini mungkin boleh membantu murid untuk berubah kepada lebih baik kerana melalui perbincangan bersama guru.

Saya dan guru pembimbing saya berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan ke atas murid dengan merotan di khalayak ramai tidak sewajarnya kerana hal ini boleh mengakibatkan emosinya terganggu walaupun tujuan sebenar pihak sekolah adalah untuk memberikan pengajaran kepadanya sekali gus kepada murid-murid yang lain.

Pihak sekolah sepatutnya haruslah memberikan perhatian kepada murid tersebut dengan membuat siasatan penyebab murid itu tidak hadir ke sekolah dan sebagainya. Bukan dengan mengambil tindakan yang drastik tanpa usul periksa iaitu merotan di depan semua orang. Tindakan ini boleh juga dikatakan menjatuhkan maruah seseorang.

Dalam hubungan kasih sayang guru kepada muridnya, Ibnu Khaldun telah menegaskan dalam kitabnya Al Muqaddimmah hukuman yang terlalu keras ketika mengajar membahayakan murid, lebih-lebih lagi kanak-kanak kecil, murid-murid hamba atau khadam (orang suruhan) yang tidak berbakat, jika diasuh dengan cara menggunakan kekerasan dan paksaan akan sebati dengan kekerasan pula. Ibnu Khaldun berpendapat bahawa kesan pendidikan dengan kekerasan akan merosakkan sifat-sifat kemanusiaan pada diri kanak-kanak, sama ada perseorangan atau social, bila mereka dikasari timbul dalam diri kanak-kanak untuk mempertahankan diri, menjaga maruah dan kehormatan.

Seperti kes murid yang ponteng sekolah ini, selepas dikasari dengan merotannya, telah timbul dalam dirinya untuk mempertahankan diri, menjaga maruah dan mendapat kehormatan orang lain dengan menunjukkan sikap gangsterisme serta membuli rakan-rakan-rakan lain. Guru boleh mengaplikasikan pendekatan penyayang ini untuk membantu murid berubah kepada arah kebaikan kerana pendekatan ini mudah untuk dilaksanakan dengan menjadi pendengar secara empatik. Secara tidak langsung, guru dapat mendekatkan diri dengan murid dan mengenal lebih mendalam. Murid akan merasakan bahawa sebenarnya orang sekelilingnya sangat mengambil berat terhadap dirinya dan menyayanginya. Murid itu juga akan meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap kita sebagai gurunya untuk dia meluahkan perasaan.

Langkah 4: Perjumpaan bersama waris

Seterusnya, jika masalah masih tidak lagi selesai, guru boleh membuat inisiatif untuk membuat perjumpaan waris. Melalui perjumpaan waris, guru boleh

membincangkan masalah yang dihadapi oleh murid ini. Guru haruslah menjelaskan bahawa murid ini mempunyai masalah yang berkaitan dengan latar belakang keluarga dan perlu diberi perhatian serius oleh ibubapa mereka sendiri. Kita perlu sedar bahawa kewujudan bimbingan dan kaunseling ini bukanlah sekadar untuk memberikan bimbingan dan kaunseling kepada murid-murid, namun kita boleh menjadikan sebagai medium untuk guru, ibu bapa duduk bersama-sama anak-anak mereka mendapatkan bimbingan dan kaunseling. Bukan menjadi satu kesalahan jika ibu bapa juga meminta untuk dibimbing dan mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman seperti guru bagi mengatasi masalah mereka dengan anak-anak mereka. Tambahan pula, anak-anak ini lebih banyak meluangkan masa di sekolah bersama-sama guru mereka berbanding berada di rumah. Oleh itu, guru sering dikatakan sebagai ibu bapa yang kedua kepada murid-murid di sekolah.

Berbalik kepada masalah ponteng sekolah ini, dengan membuat perjumpaan waris, guru boleh menceritakan bahawa perubahan murid di sekolah begitu ketara lebih-lebih lagi kehadirannya ke sekolah. Melalui perjumpaan ini, guru boleh cuba untuk selongkar dengan lebih mendalam mengenai keadaan situasi keluarga murid, seterusnya memberikan nasihat yang sepatutnya kepada ibu bapa ini supaya mereka sedar mereka masih perlu bersama-sama memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada murid tersebut dalam mendidiknya ke arah kebaikan.

Maka, hasil daripada perbincangan ini sedikit sebanyak boleh membantu untuk mengatasi masalah murid ini. Selain itu, secara tidak langsung, ibu bapa akan menyedari bahawa institusi sesebuah kekeluargaan adalah merupakan wadah penting dalam membantu ahli-ahlinya menghadapi pancaroba dalam kehidupan. Menurut Everts (1994), terdapat tiga tugas dan peranan keluarga iaitu membantu ahli-ahli keluarga dalam memenuhi kehendak-kehendak individu serta perkembangan diri, membimbing dan mengawasi tingkah laku ahli-ahlinya, dan akhir sekali ialah mendidik individu menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Oleh itu, peranan yang dimainkan oleh kedua ibu bapa perlu diberi perhatian kerana ianya penting bagi menentukan keberkesan sesebuah institusi keluarga.

Langkah 5: Peranan guru mata pelajaran

Cara yang seterusnya yang akan mengatasi masalah murid yang ponteng sekolah ini adalah peranan guru mata pelajaran bagi kelas subjek ini. Sebagaimana yang kita tahu, tugas sebagai seorang guru adalah memberikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terbaik kepada murid-murid. Oleh itu, bagi murid ini, saya berpendapat berkemungkinan keinginannya untuk ke sekolah ini terbantut kerana semua guru mata pelajaran di kelas tersebut telah menjadikannya sasaran semasa P&P dijalankan. Hal ini sedikit sebanyak boleh mengganggu emosinya untuk belajar.

Murid tersebut merasakan guru-gurunya sengaja menjadikan dirinya sebagai bahan untuk ditertewakan oleh rakan-rakan kerana murid itu sedia maklum pencapaiannya dalam bidang akademik tidak cemerlang seperti rakan yang lain. Selain itu, melalui pemerhatian, P&P yang dijalankan dalam kelas murid itu agak membosankan bagi kelas yang muridnya lemah seperti subjek ini. Berdasarkan pembacaan dan pengalaman yang ada, murid-murid ini lebih mudah faham sesuatu jika mereka belajar daripada aktiviti yang menarik seperti bermain.

Maka, sebagai seorang guru, kita haruslah merancang sesi pengajaran dan pembelajaran yang mungkin akan menarik minat subjek ini untuk datang ke sekolah dan akan merasa satu kerugian jika ketinggalan di dalam kelas. Guru perlu merancang pembelajarannya secara sistematik sebelum memasuki ke bilik darjah. Perancangan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dibuat oleh guru perlu mengambil pertimbangan dari segi objektif pembelajaran, isi pengajaran, bahan-bahan bantu mengajar, aktiviti pembelajaran dan pengurusan kemudahan. Semasa membuat perancangan P&P ini, perkara yang paling utama yang perlu diambil perhatian ialah objektif pembelajaran yang mana guru haruslah memastikan bahawa ianya ditentukan berdasarkan kepada sasaran sukatan pelajaran, pengetahuan sedia ada murid dan tahap kebolehan mereka. Objektif pembelajaran biasanya disediakan berdasarkan prinsip bertingkah laku, iaitu perubahan tingkah laku murid dapat dikesan secara eksplisit selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran telah selesai dijalankan. Pemilihan isi pembelajaran yang telah dipilih untuk disampaikan hendaklah boleh membantu murid-murid mencapai objektif pembelajaran mereka. Pemilihan strategi dan kaedah mengajar pula berkait rapat dengan pencapaian objektif pembelajaran. Strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai membolehkan guru merancang isi pembelajaran lebih sistematik dan mampu menarik minat murid ini meneruskan pembelajaran di dalam kelas termasuklah murid-murid yang lain sekali gus mencapai objektif pembelajaran yang dikehendaki. Selain itu, perancangan pengajaran ini meliputi usaha memilih dan menyediakan bahan bantu mengajar yang akan digunakan semasa sesi P&P dijalankan di dalam kelas oleh guru ataupun murid-murid. Dengan adanya bahan

bantu mengajar ini, sesi P&P yang dijalankan akan bertambah menarik dan menyeronokkan murid-murid untuk belajar.

3) Penutup
Memang tidak dapat dinafikan, kita sebagai guru mempunyai pengalaman hidup yang lebih banyak jika dibandingkan dengan murid-murid. Maka, guru boleh menggunakan pengalamannya yang lepas dan pengetahuan yang sedia ada tentang asam garam kehidupan ini, untuk membimbing murid tersebut membuat keputusan yang bijaksana dan rasional dalam mengatasi masalah seperti masalah keluarganya. Namun, kita perlu ingat dan tahu bahawa kita hanya memberikan cadangan kepada murid ini mengenai cara mengatasinya, tetapi hak untuk membuat keputusan adalah di tangan murid itu sendiri. Guru perlu memastikan keputusan yang dipilih oleh murid ini perlulah berasaskan nilai-nilai murni dan agama.

REFLEKSI
Saya amat bersyukur kerana kerja kursus ini tiba pada masa yang sesuai iaitu pada awal semester. Pada masa inilah, kita mempunyai masa yang lebih lapang dan banyak. Oleh itu, kerja kursus ini tidak banyak memberi tekanan kepada saya. Dalam kerja kursus ini berfokus dalam aspek orientasi khidmat bimbingan & kaunseling. Dalam tugasan ini, saya perlu menyediakan satu laporan mengenai aspek orientasi perkhidmatan dan contoh-contoh program yang dianjurkan oleh unit bimbingan kaunseling sekolah. Ini tidak dapat dinafikan bahawa kerja kursus ini adalah sangat menarik perhatian saya. Dengan ini, saya mendapat peluang untuk mengkaji teori-teori kaunseling yang berguna. Saya juga berharap saya dapat memahami lebih banyak maklumat tentang orientasi khidmat bimbingan & kaunseling supaya menggunakan pada pelajar-pelajar masa depan.

Semasa menerima kerja kursus ini, Puan Dayang Mayang telah memberi penerangan yang sangat jelas kepada saya. Dengan itu, saya bermula mendapatkan pelbagai sumber maklumat daripada perpustakaan, laman web serta menanya soalan pada pensyarah. Dalam proses ini, masalah yang dihadapi oleh saya ialah memahami maklumat-maklumat yang dapat dicari kerana kebanyakkan maklumat ini adalah dalam bahasa Inggeris.

Akhir kata, saya ingin meminta maaf ke atas kesilapan yang saya telah lakukan kepada ahli kumpulan saya dan rakan-rakan sekalian. Saya juga ingin berucap terima kasih kepada mereka dan pensyarah kerana memberi sokongan dan bantuan kepada saya untuk menghabiskan kerja kursus ini.

RUJUKAN
Abdul Ghani Sulaiman. (2009). Kemahiran Asas Kaunseling. Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim.

Dr. Mazanah Baba, Zainal Madon. (2007). Kaunseling Individu. PTS Professional.

Kamarulzaman Kamaruddin. (2009). Psikologi Perkembangan: Panduan Guru. Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim.

Mook Soon Sang. (2010). Bimbingan & Kaunseling Kanak-kanak. Selangor : Siri Pengajian Profesional.

Peranan Ibu Bapa dalam Menangani Masalah Sosial Remaja, Sapora Sipon. http://ddms.usim.edu.my/bitstream/handle/123456789/2729/Peranan%20Ibu%20 Bapa%20Dalam%20Menangani%20Masalah%20Sosial%20Remaja.pdf?sequen ce=1. Dilayari pada 14 Februari 2013.

Strategi Pendekatan Penyayang dalam Pendidikan, Haji Mahyuddin bin Ashaari. http://iepistemology.net/attachments/1133_jp-v9n3%20Strategi%20Pendekatan%20Penyayang%20Dalam%20Pendidikan%20%20Mahyuddin%20Ashaari.pdf. Dilayari pada 11 Februari 2013.

You might also like