You are on page 1of 3

Karangan contoh 7

RENCANA - Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang

Dalam era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami anjakan paradigma daripada
sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak
pembangunannya.Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang
kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan
masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan
mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar
umbi sejak dahulu lagi.

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang-orang yang tersayang
dandikasihi termasuk keturunan moyang yang sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua
jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga luas. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang,
kakak serta adik. Keluarga luas pula terdiri daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik,
dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang kian menggamit perhatian
semua pihak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu
menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli
keluarga dalam memahami serta saling menghormati sesama sendiri. Hubungan kekeluargaan yang
semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok.
Tamsilannya, keratan akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang
bapa bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan orang
lain di rumah. Kejadian sumbang mahram ini ialah satu insiden yang amat menyedihkan dam
memalukan. Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang, ahli-ahli keluarga akan
menghadapi masalah untuk berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana
hubungan yang renggang ini telah memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu,
ahli-ahli keluarga tidak memahami antara satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan
faham mudah berlaku. Kejadian ini akan mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli-ahli keluarga
bermusuhan sesama sendiri.

Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada
masalah pengabaian ahli-ahli keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan
warga emas yang uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi
asing kepada masyarakat metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden hari ini
beranggapan bahawa golongan warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka.
Oleh itu, mereka bertindak menghantar golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan uzur
ke rumah orang tua-tua. Mereka langsung tidak memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa
diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula golongan ibu bapa yang masih muda dan
mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka ke dalam tong sampah mahupun
meletakkannya di tepi jalan dan kaki lima. Amalan yang hina ini dipercayai dilakukan atas sebab ibu
bapa tidak bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk membela seorang bayi.
Angkara mengabaikan ahlii keluarga khususnya warga emas merupakan senario yang amat
memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.

Pepatah Melayu ada mengatakan “Masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang
bertiup”. Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu hubungan
kekeluargaan yang semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh media massa. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa sikap ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin
utama kepada kemelut ini. Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan
beranggapan bahawa kerjaya dan wang ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka
turut beranggapan bahawa kemewahan dan kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai
status sosial mahupun kemampuan individu dalam masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama
sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi semua insan di seantero marcapada.
Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat ditukar beli dengan wang ringgit.
Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya semata-mata untuk kepuasan dan
keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak-anak mereka dan menggantikan kasih sayang dengan
sogokan wang ringgit. Anak-anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar fikiran dan
pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan segala
isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik-tolak dari sinilah gejala
sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.

Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru haruslah ditangani
dengan segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah
diambil secara berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga.
Masa yang diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik-baiknya, segala
konflik atau masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu dibawa bersama untuk
dibincangkan.Tambahan pula, ahli-ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari
keluarga supaya ahli keluarga dapat bersama-sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat
dan aktiviti kokurikulum.

Selain itu, ahli-ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan
agama dan moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng mengenai didikan agama
dan moral. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang
utuh. Melalui pengenalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (1989), subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan.
Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam
menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian, pelajar mutakhir ini hanya menganggap
bahawa subjek-subjek ini lebih berorientasikan peperiksaan daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata
yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal. Jadi, pihak sekolah dan pelajar
haruslah berganding bahu sama ada dalam memberi kesedaran tentang kepentingan hubungan
kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar pergolakan mahupun
konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.

Sebagai intiha, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak.
Penerapan nilai-nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak-anak muda haruslah
dilakukan sejak dari usia yang muda lagi. Bak kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan kesedaran mengenai keperluan sebuah
institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin dan pelopor kepada kepimpinan
negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk pimpinan negara kelak.
Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral supaya hubungan
kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita mengjangkau sehabis
tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi kebudayaan dan nilai-
nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya untuk menopang dagu dan menuding jari.
Misi dan visi rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor dan
terkemuka di seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat
ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin
negara kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna.
Pendek kata, segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu dalam
menangani kemelut hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku
Syurgaku”. Jangan jadikan rumah sebagai lembah pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah
sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang gembira dan bukannya sebagai satu tempat yang
menimbulkan suasana yang tegang.

You might also like