You are on page 1of 7

Pengenalan Media Pengajaran Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran.

Media pengajaran merupakan satu komponen teknologi pengajaran dan menjadi penyokong kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Teknologi pengajaran ialah sub komponen teknologi pendidikan. Media berasal daripada perkataan Itali yang bermaksud perantara. Istilah media sering kali dikaitkan dengan wahana penyebaran maklumat. Kita sering kali mengaitkan media dengan media massa. Mengikut Yusup Hasim (1997), media diistilahkan sebagai peralatan dan bahan perisian yang dibina dan dirancang untuk tujuan menyampaikan maklumat dan pengetahuan. Mengikut Reiser dan Gagne (1983), media ialah sebarang cara fizikal yang membolehkan mesej pengajaran disampaikan. Percival dan Ellington (1984), membahagikan media kepada dua, iaitu peralatan fizikal teknologi pendidikan dan saluran komunikasi massa. Media juga merupakan alat yang dapat membantu guru meningkatkan proses pengajaran dengan menawarkan pengalaman sebenar yang tidak dapat diperolehi melalui cara lain. Media boleh ditakrifkan sebagai bahan yang menjadi saluran komunikasi untuk penyampaian maklumat dan ilmu pengetahuan daripada penghantar kepada penerima yang mencakupi perkakasan, peralatan dan bahan. Seseorang guru juga dianggap sebagai media kerana guru menjadi penyampai maklumat yang amat berkesan kepada murid. Penggunaan media menjadi keperluan yang amat penting dalam kehidupan dunia tanpa sempadan khususnya kepada guru kerana keberkesanan penyampaian maklumat kepada dipengaruhi oleh ransangan daripada media yang digunakan. Heinich, Molenda dan Russel (1981), mendefinisikan pengajaran sebagai penyusunan dan pengumpulan maklumat untuk menghasilkan pembelajaran. Menurut Romiszowski (1988), pengajaran ialah proses berorientasikan matlamat yang dirancang terlebih dahulu. Pengajaran digunakan dalam konteks pendidikan dan latihan khususnya untuk guru dan pelajar. Matlamat pengajaran berbeza mengikut konteks. Jika pengajaran digunakan dalam konteks mendidik para murid

pelajar, maka tujuan pengajaran adalah untuk meningkatkan proses pembelajaran bagi sesuatu kemahiran dan pengetahuan. Begitu sebaliknya jika pengajaran digunakan sebagai latihan, maka tujuan pengajaran berubah kepada peningkatan kemahiran prestasi seseorang dalam sesuatu bidang. Selain itu, media mempunyai pengaruh yang besar dalam pengajaran dan pembelajaran. Alat dan bahan media ini dapat membantu guru dalam pencapaian sesuatu objektif pembelajaran dengan lebih berkesan. Pemilihan media yang bersesuaian dengan aktiviti yang dijalankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu guru menyalurkan maklumat yang sepatutnya dengan lancar dan efektif. Menurut Yusup Hashim (1992), media pengajaran ialah peralatan atau perkakasan dan bahan (perisian) media yang telah dikenal pasti. Dibina atau dipinda untuk menyokong atau mengendalikan sendiri proses pengajaran dan pembelajaran. Heinich (1994), mendefinisikan media pengajaran ialah media yang mebawa mesej bertujuan untuk pengajaran. Penggunaan media pengajaran melibatkan komunikasi dua hala, iaitu guru dengan pelajar. Media pengajaran merupakan salah satu faktor yang menjadi penentu kepada keberkesanan pengajaran guru. Media pengajaran juga boleh dikatakan sebagai penghubung antara guru dengan pelajar. Naim (2000), menegaskan bahawa media pengajaran ialah apa-apa sahaja bentuk benda, bahan dan peralatan sama ada konkrit atau abstrak yang dapat digunakan dan diekploitasikan oleh seseorang untuk mencapai objektif pembelajaran. Media merupakan alat yang dapat membantu guru bagi meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan jika guru dapat menggunakan kreativiti, menggabungjalinkan penggunaan media dalam pengajarannya dan meransang seluruh pancaindera para pelajar kerana belajar merupakan fitrah manusia. Proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dalam suasana yang menyeronokkan dan menyelesakan sekiranya pelajar meminati dan menyukai proses pengajaran dan pembelajaran yang diikuti.

Faktor Penggunaan Media Pengajaran Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Dalam pengajaran dan pembelajaran, kegunaan media pengajaran bergantung kepada keadaan dan keperluan pengajaran. Penggunaan media menggerakkan pelajar untuk berinteraksi dengan guru dan rakan sebaya serta aktif dalam aktiviti yang dibuat dalam kelas. Penglibatan pelajar semasa menggunakan media membolehkan guru mengesan kemajuan pelajar dan dapat memberikan kesan positif kepada pembelajaran mereka. Mengikut Kassim Abbas (2006), terdapat lima faktor dalam penggunaan media pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu persediaan diri, persekitaran, kelas, pengunaan item dan tindakan susulan. Persediaan diri adalah seseorang guru perlu melihat dan menggunakan terlebih dahulu media yang hendak digunakan supaya mereka dapat mengetahui langkah-langkah yang terdapat dalam media yang hendak digunakan. Langkah ini juga penting supaya proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan media berjalan lancar. Contohnya, jika guru hendak menggunakan perisian semasa mengajar, mereka hendaklah melihat keseluruhan isi kandungan perisian itu. Jika ingin menggunakan video, mereka perlu menonton terlebih dahulu video tersebut. Hal ini perlu dilakukan supaya guru mengetahui isi kandungan yang terdapat dalam media tersebut dan dapat merancang dengan teliti set induksi, aktiviti-aktiviti berkaitan dan penutup proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga boleh bersedia dengan jawapan terhadap segala maklum balas dan persoalan daripada pelajar. Persediaan persekitaran adalah guru perlu menyediakan peralatan yang berkaitan dengan media yang ingin digunakan terlebih dahulu supaya berada dalam keadaan bersedia dan boleh digunakan apabila tiba waktu mengajar pelajar. Contohnya, jika ingin menggunakan perisian subjek tertentu, guru perlu menyediakan makmal komputer dengan membuat tempahan terlebih dahulu dan memastikan semua peralatan berkaitan berfungsi dengan baik. Selain itu,

persediaan kelas adalah guru guru memberitahu pelajar peralatan yang digunakan, sebab peralatan tersebut dipilih, isi kandungan yang boleh dipelajari dan jelaskan cara menggunakan item tersebut. Penjelasan tentang aktiviti yang akan dilakukan semasa menggunakan peralatan media tersebut kepada pelajar dapat membantu penglibatan yang aktif daripada pelajar. Semasa menggunakan media pengajaran yang dipilih, guru memastikan keselesaan penggunaan media tersebut kepada pelajar, seperti suara yang jelas, skrin yang besar yang dapat menanyangkan bahan dengan jelas supaya pelajar dapat memahami maklumat yang disampaikan dengan baik. Selepas tamat penggunaan, pastikan media ditutup supaya tidak menggangu proses pengajaran guru. Selepas penggunaan media tersebut, guru perlu membuat aktiviti susulan seperti perbincangan, lakonan semula, sesi soal jawab mahupun ujian pendek bagi memastikan penggunaan media tersebut dapat memberikan kesan yang maksimum kepada pelajar. Lebih baik lagi jika pelajar dapat membuat refleksi tentang penggunaan media tersebut.

Teori-Teori Berkaitan Selain daripada bukti-bukti kejayaan penggunaan media pengajaran seperti peta grafik, peta minda dan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, terdapat juga beberapa teori serta pandangan yang sesuai atau yang menyokong penggunaan peta minda dan peta grafik dapat memberi manfaat kepada proses pembelajaran. Antaranya Teori Pembelajaran Gestalt /Kognitif, Teori Ausubel, dan Teori Pelbagai Kecerdasan (Gardner). Ahli-ahli psikologi gestalt atau kognitif berpendapat, dalam proses pembelajaran, pelajar membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Ragbir Kaur (2006) menyatakan, setiap kali seseorang individu itu belajar, dia akan menyusun segala pengalaman yang dipelajari dan menyimpannya di dalam ingatan. Penggunaan peta minda adalah selari dengan pendapat mazhab gestalt yang berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun,

menyimpan dan menggunakan semula segala pengalaman yang tersimpan untuk membolehkan dia menghubungkaitkan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah dihadapi. David Ausubel seorang ahli psikologi kognitif yang menekankan penguasaan maklumat melalui penggunaan bahasa yang bermakna. Menurut Ragbir Kaur (2006), maklumat yang dipelajari secara bermakna dapat diingat dengan lebih lama berbanding dengan apa yang dipelajari secara hafazan. Dr. Ismail Zain dalam artikel akhbar Utusan Malaysia bertarikh 13hb Jun 2005, telah menyatakan pembelajaran secara hafalan tidak dapat membentuk insan yang kritis dan kreatif, malah tidak sesuai dengan zaman yang serba maju ini. Selanjutnya beliau berpendapat penggunaan peta minda dan pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna. Gardner yang terkenal dengan teori kecerdasan pelbagai menyatakan bahawa kecerdasan adalah kebolehan seseorang untuk menyelesaikan masalah. Menurut Ramlan Hamzah dan Lily Mastura Harun (2006) dalam penyelesaian masalah terdapat pelbagai cara bukan hanya tertumpu kepada satu cara tertentu sahaja dan Gardner telah mengenalpasti sembilan jenis kecerdasan yang ada dalam diri individu. Dalam proses pembelajaran menggunakan peta minda adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid yang mempunyai kecerdasan visual dan ruang, kecerdasan bahasa dan kecerdasan interpersonal. Dalam sesuatu kumpulan pembelajaran yang dibentuk mungkin terdapat ahli kumpulan yang berbeza kecerdasan. Perbezaan tersebut dapat membantu murid-murid untuk menghasilkan peta minda yang kreatif dan asli.

Kajian Berkaitan Kajian-kajian berkaitan dengan penggunaan peta/nota grafik dan peta minda telah banyak dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di kalangan pendidik sendiri. Antaranya ialah Altablig bt Ali (2006), Asma binti Ishak (2005), Rusilah Jais et. al (2004), dan Sim Ah Hock

et.al (1997). Begitu juga terdapat kajian yang berkaitan dengan pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berbantukan komputer oleh Kam Foo Kong (2006). Altablig bt Ali (2006) telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda dalam mengingati konsep atau fakta sejarah ke atas 35 orang pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Pekan Baru, Parit Buntar. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan pelajar yang berpencapaian sederhana telah meningkat sebanyak 60% manakala pelajar yang lemah hanya 6% sahaja. Beliau merumuskan bahawa penggunaan peta minda dapat membantu pelajarpelajar sederhana mengingat fakta sejarah bagi mendapat markah terutamanya dalam soalan struktur Kertas 2. Asma binti Ishak (2005), telah menjalankan kajian ke atas 30 orang murid tahun 4 Arif di Sekolah Kebangsaan Jelempok. Kajian beliau, penggunaan peta minda dapat meningkatkan kemahiran mencatat nota. Dapatan kajian beliau menunjukkan berlaku peningkatan kumpulan pencapaian tinggi dalam ujian pasca menjadi 40% berbanding ujian pra 7%. Bagi kumpulan pencapaian rendah pula menurun kepada 3% dalam ujian pasca berbanding 40% dalam ujian pra. Sehubungan itu beliau berpandangan bahawa penggunaan peta minda dalam mencatat nota adalah berjaya. Seterusnya Rusilah Jais et. al (2004) juga telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda bagi mata pelajaran matematik di kalangan pelajar perakaunan. Kajian tersebut melibatkan seramai 158 responden di kalangan pelajar-pelajar matrikulasi. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan pelajar yang mendapat gred A sebanyak 26.6% dalam ujian pasca berbanding 7% dalam ujian pra. Pelajar yang mendapat gred B juga meningkat daripada 7.6% dalam ujian pra kepada 12% dalam ujian pasca. Bagi gred C menunjukkan penurunan peratus dalam ujian pasca iaitu 3.2% berbanding 10.1% dalam ujian pra. Rusilah Jais et. al (2004) merumuskan bahawa penggunaan peta minda dalam mata pelajaran matematik adalah berkesan.

Sim Ah Hock et.al (1997), telah menjalankan kajian tentang kesan strategi pemetaan konsep terhadap pemprosesan maklumat Sains dengan berbantukan komputer ke atas 141 orang pelajar semester 3 di lima buah maktab perguruan. Dapatan kajian tersebut dirumuskan bahawa, terdapat perbezaan min dalam ketiga-tiga pemboleh ubah bersandar antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan adalah signifikan, dengan kumpulan eksperimen memperolehi skor yang lebih tinggi daripada kumpulan kawalan. Oleh itu dapatan kajian menyokong pengintegrasian strategi pemetaan konsep untuk memproses maklumat dengan pembelajaran berbantukan komputer. Kam Foo Kong (2006), menjalankan kajian ke atas 42 orang pelajar tingkatan 1L di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keledang. Kajian beliau tentang meningkatkan minat pelajar kepada mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan melalui kaedah pembelajaran berbantukan komputer. Hasil dapatan kajian beliau menunjukkan pelajar yang memperolehi skor 40% ke atas (lulus) dalam ujian pasca meningkat kepada 86% berbanding 47.6% dalam ujian pra. Pelajar yang memperolehi skor 40% ke bawah (gagal) pula menurun kepada 14% dalam ujian pasca berbanding 52.4% dalam ujian pra. Dengan demikian Kam Foo Kong merumuskan bahawa kaedah pengajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan menggunakan komputer telah menunjukkan peningkatan pencapaian yang ketara.

You might also like