You are on page 1of 3

HALANGAN DAN TENTANGAN

Umumnya, di samping usaha dan rundingan yang dijalankan bagi melaksanakan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, terdapat juga beberapa halangan dalam mencapai matlamat tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui penentangan terhadap rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang kelihatan sejak awal lagi dengan kewujudan pihak yang tidak bersetuju terhadap rancangan tersebut. Mereka terdiri daripada sesetengah pihak terutamanya mereka yang bukan berketurunan Melayu seperti orang Cina.[5]

Selain itu, di kalangan orang Melayu juga wujud PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya[6] yang secara jelas dipengaruhi PKM atau Parti Komunis Malaya yang menentang rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Bagi bukan Melayu, hasil daripada rasa tidak setuju ini telah direalisasikan dengan penubuhan AMCJA atau All Malaya Council of Joint Action[7] setelah Kesatuan Cina Melaka yang ditubuhkan oleh Tan Cheng Lock tidak begitu berpengaruh dalam politik sebelumnya.

Pada peringkat awal, badan ini turut disertai oleh badan-badan Melayu yang tidak bersetuju dengan rancangan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu tetapi telah keluar dari AMCJA. Pada Januari 1947, badan-badan pertubuhan Melayu yang telah keluar dari AMCJA termasuklah PKMM telah bergabung menubuhkan PUTERA atau Pusat Tenaga Rakyat. Kedua-dua badan politik ini akhirnya telah bergabung dalam menentang Perjanjian Persekutuan yang dilakukan dalam pelbagai sudut termasuklah usaha membangkitkan perasaan orang ramai.[8]

Walaupun pelbagai penentangan dilakukan, Persediaan untuk meggubal Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu rancak dijalankan oleh jawatankuasa yang dianggotai 12 orang wakil Raja-raja, UMNO dan pegawai-pegawai British[9] dan akhirnya Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah berjaya ditubuhkan bagi menggantikan Malayan Union dan merupakan satu kejayaan hebat yang disambut oleh pelbagai etnik. Namun kejayaan ini turut diratapi oleh sesetengah pihak seperti AMCJA, PUTERA dan sebagainya terutamanya orang-orang Cina yang berasa telah tertipu kerana merasakan mereka lebih setia kepada British semasa perang.[10]

KESAN-KESAN

Bermulanya Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mengembalikan semula status quo politik Raja-raja Melayu, negeri-negeri Melayu dan pengiktirafan kepada orang Melayu sebagai peribumi.[27] Hal ini kerana, semasa Malayan Union dibentuk, kuasa Sultan hanya terbatas kepada soal agama sahaja dengan menjadi presiden majlis di negeri masing-masing. Namun, dengan perlembagaan baru ini, kedaulatan Raja-raja Melayu telah dikembalikan.[28] Disamping itu, hal yang berkaitan kewarganegaraan telah kembali meletakkan kaum Melayu dalam keadaan selesa kerana peraturan-peraturan yang kembali diketatkan. Malah, orang-orang Melayu berasa kedudukan mereka sebagai bumiputera telah diselamatkan dan hal ini dapat dilihat misalnya pelbagai sambutan meriah yang diadakan sebagai tanda kemenangan dalam mengembalikan hak mereka. Gerakan menuntut kemerdekaan itu bolehlah dikatakan bermula dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948.[29] Hal ini dapat dilihat kerana Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 adalah dipinda serta diubah pada tahun 1951, 1953 dan tahun-tahun berikutnya yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan.[30] Walaupun gerakan nasionalisme telah lama

bermula,[31] namun usaha secara diplomasi lebih berjaya dalam mencapai kemerdekaan dan cara ini telah kelihatan di beberapa negara lain seperti di India melalui gerakan yang dipimpin oleh Gandhi. Justeru itu, Pembentukan persekutuan hasil gabungan negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu, dan Negeri-negeri Selat[32] serta tolak ansur dalam menghasilkan syarat-syarat Perjanjian Persekutuan merupakan langkah diplomasi dalam menuntut kemerdekaan. Mukadimah di sebalik perjanjian persekutuan Tanah Melayu 1948 telah melahirkan keinginan Kerajaan United Kingdom dan Raja-raja Melayu untuk mengarah kepada pembentukan Kerajaan Sendiri.[33] Tujuan ini dapat dilihat malalui ucapan MacDonald ketika membuat pengumuman mengenai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang menegaskan bahawa matlamat akhir Kerajaan British ialah memberi taraf berkerajaan sendiri kepada negara ini.[34] Namun, di sebalik kenyataan ini, British pada asasnya meletakkan kepentingan ekonominya sebagai sangat mustahak dan disebabkan itu, huru-hara politik mestilah dielakkan dari tercetus di Persekutuan ini dan kerjasama politik dari semua bangsa penting dalam menjamin kestabilan politik.[35] Suatu aspek yang dapat dilihat di sini ialah tujuan untuk berkerajaan sendiri itu adalah bagi menggalakkan kerjasama serta tolak ansur semua pihak, dan hal ini merupakan satu kepentingan ekonomi bagi British kerana politik yang stabil akan menggalakkan ekonomi. Di sebalik kejayaan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah terjadi pula kesan serta-merta iaitu tindakan Parti Komunis Malaya yang cuba merebut kuasa dan mahu menggulingkan kerajaan[36] dengan menjalankan dasar melumpuhkan ekonomi

[37] dan pemberontakan ini

bermula pada 18 Jun 1948.[38] Hal ini telah membawa kepada pengisytiharan darurat serta pengenalan Rancangan Bringgs. KESIMPULAN Secara keseluruhannya, pembentukan perlembagaan Persekutuan 1948 merupakan desakan dan tentangan yang diketuai oleh UMNO yang menentang Malayan Union. Namun, walaupun UMNO dilihat sebagai tunjang yang menentang Malayan Union, parti-parti yang lain turut menentangnya seperti PKMM dan sebagainya. Apa yang jelas, idea British yang mahu mewujudkan negara kesatuan yang mempunyai status bangsa baru yang sama dalam unit politik Malaya terpaksa berkubur dengan penentangan yang menyeluruh terutama dari penduduk Tanah Melayu. Kesan daripada inilah, Pesekutuan Tanah Melayu diperkenalkan yang sedikit sebanyak membela kepentingan masyarakat pribumi. Ringkasnya, melalui pesekutuan Tanah Melayu 1948 juga telah membuka jalan juga kepada Perlembagaan Tanah Melayu 1957 sekaligus membawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang menjadi penamat penguasaan kolonial British.

You might also like