You are on page 1of 13

REFLEKSI MINGGU 1

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu pertama ini dengan jayanya. Pada semester 3 bagi guru pelatih PISMP IPG di Malaysia, kami diwajibkan mengambil kursus Kokurikulum- Unit Beruniform. Antara badan unit tersebut ialah Pengakap, Pandu Puteri, Kadet Remaja, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia. Pada minggu pertama ini, perjumpaan pertama ialah bertujuan untuk pembahagian unit-unit beruniform. Alhamdulillah, saya dan empat orang rakan

sekelas lagi telah terpilih untuk menjadi sebahagian daripada ahli Pergerakan Puteri Islam Malaysia. Seusai pembahagian unit-unit beruniform, kami diminta untuk berkumpul dalam unit masing-masing bagi memulakan sesi perjumpaan rasmi kali yang pertama. Seperti biasa, perjumpaan dimulakan dengan taklimat ringkas oleh pensyarah penasihat kami iaitu Encik Wan Suhaimi Wan Setapa dan Encik Rosmadi Dollah. Seterusnya, kami meneruskan agenda kedua iaitu perlantikan ahli jawatankuasa bagi PPIM PISMP Semester 3 Ambilan Januari 2012. Perjumpaan kami berakhir tepat jam 4.00 petang. Antara perkara yang telah saya timba sepanjang perjumpaan pertama ialah nilai keterbukaan dan positif. Dalam pembahagian unit beruniform, pemilihan bukanlah di tangan kami sebaliknya sudah ditentukan oleh pihak pentadbiran. Justeru, saya menerima dengan hati yang terbuka dan berfikiran positif. Selain itu, saya juga dapat belajar betapa pentingnya satu badan yang berorganisasi secara sistematik. Contohnya melalui perlantikkan ahli jawatankuasa dapat memastikan sesuatu organisasi dapat berfungsi dengan baik. Selain itu, nilai kerjasama dan tanggungjawab setiap ahli amat diperlukan bagi melicinkan perjalanan sesuatu organisasi.

REFLEKSI MINGGU 2
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu kedua ini dengan jayanya. Perjumpaan kedua kali ini diadakan di Dewan Terbuka NN. Antara agenda utama ialah pengenalan kepada tatacara pejumpaan Pergerakan Puteri Islam Malaysia dan pengenalan kepada Lagu Puteri. Memandangkan pensyarah penasihat tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu, kami diminta untuk meneruskan perjumpaan tanpa seliaan mereka. Di sinilah saya dapat melihat nilai

tanggungjawab, kerjasama dan kebolehan mengurus dalam kalangan kami. Meskipun tanpa pengawasan pensyarah, kami masih dapat meneruskan perjumpaan dengan lancar hasil tanggungjawab ahli jawatankuasa, kerjasama ahli-ahli lain dan yang penting nilai disiplin dalam diri masing-masing. Semasa perjumpaan ini, saya mula sedar betapa pentingnya penyertaan saya dalam unit beruniform semasa di zaman persekolahan. Saya sedar betapa beruntungnya saya dapat meneruskan legasi unit beruniform PPIM dari zaman sekolah sehinggalah sekarang. Sebagai contoh, semasa sesi menyanyi lagu Puteri, saya dapat memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan lain yang masih baru dalam badan beruniform ini. Sekali gus saya dapat mengaplikasikan apa yang telah saya pelajari di bangku sekolah. Antara perkara yang saya timba semasa aktiviti tersebut ialah disiplin diri. Tatacara perjumpaan ini terdiri daripada beberapa siri iaitu nyanyian lagu Negaraku, Lagu Puteri dan Asma Al-Husna, kawad statik dan lapor diri. Sebagai contoh dengan aktiviti kawad dapat mendisiplinkan diri. Sebagai bakal guru, disiplin merupakan satu nilai penting yang perlu ada dalam diri. Seorang guru yang baik mestilah mempunyai disiplin diri yang tinggi supaya dapat menjadi teladan ikutan murid.

REFLEKSI MINGGU 3
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu ketiga ini dengan jayanya. Seperti biasa, perjumpaan dimulakan dengan tatacara perjumpaan sebelum apa-apa aktiviti dijalankan. Kali ini perjumpaan dijalankan dengan pengawasan pensyarah penasihat. Memandangkan pada minggu lepas perjumpaan diadakan tanpa seliaan pensyarah, terdapat banyak kekurangan. Oleh itu pada sesi kali ini, pensyarah telah menegur dan menambah baik sedikit sebanyak tentang tatacara yang diadakan. Kami menerima dengan hati terbuka kerana sesuai dengan fitrah manusia yang mempunyai kekurangan. Selepas itu kami bergerak ke bilik kuliah untuk sesi kuliah oleh pensyarah penasihat. Memandangkan ini baru perjumpaan kedua, kami diberi taklimat tentang kandungan kursus secara terperinci. Selain itu, kami dikehendaki menyediakan satu buku log PPIM. Buku log tersebut perlu mengandungi beberapa perkara penting seperti sejarah penubuhan PPIM, falsafah, matlamat, objektif dan lain-lain.

REFLEKSI MINGGU 4
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu keempat ini dengan jayanya. Perjumpaan dimulakan dengan tatacara perjumpaan. Alhamdulillah masuk minggu keempat sesi tatacara perjumpaan semakin berjalan lancar dan hanya mengambil masa yang singkat kerana kami sudah dapat menyesuaikan diri. Selepas itu kami bergerak ke kelas untuk sesi kuliah oleh pensyarah penasihat. Pada minggu ini kami telah menjalani kuliah secara rasmi. Antara perkara yang telah kami pelajari ialah ikrar puteri. Setiap ahli PPIM mestilah bukan sahaja perlu menghafal ikrar ini tetapi hendaklah menjadi ikrar ini sebagai amalan harian. Antara intipati ikrar ialah mentaati perintah Allah, Rasul, ibu bapa dan guru. Selain itu, sentiasa memperkukuhkan iman dan meningkatkan akhlak. Semasa kuliah , kami sempat mengambil sedikit masa untuk melantik pembaca ikrar dan doa bagi setiap minggu sepanjang 15 minggu perjumpaan yang diadakan. Pada setiap minggu dua orang ditugaskan untuk masing-masing menjadi pembaca ikrar dan pembaca doa. Hal ini dilaksanakan untuk melicinkan lagi perjalanan perjumpaan akan datang. Selain itu, melalui pembahagian tugasan seperti ini dapat membina rasa tanggungjawab dalam diri setiap ahli serta memberi peluang kepada setiap ahli untuk memainkan peranan dalam persatuan. Di sini saya dapat simpulkan beberapa perkara. Yang pertama ialah latihan yang kerap penting untuk memastikan sesuatu rutin dapat berjalan dengan betul dan berjalan lancar. Latihan dapat meningkatkan prestasi sesuatu aktiviti atau kerja. Seterusnya, untuk menjadi muslimah yang berjaya kita hendaklah menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan sepatutnya dan sentiasa berusaha memperbaiki diri. Akhir sekali, sifat tanggungjawab amat penting bagi memastikan keberkesanan sesuatu organisasi.

REFLEKSI MINGGU 5
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu kelima ini dengan jayanya. Seperti kebiasaan, perjumpaan kali ini dimulakan dengan tatacara

perjumpaan. Tetapi yang berbeza hanyalah perjumpaan kali ini diadakan di padang. Namun tempat bukanlah halangan yang besar. Alhamdulillah, menjelang minggu kelima, tatacara perjumpaan semakin berjalan lancar. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Kini, masa yang diambil untuk melakukan tatacara semakin singkat. Masa yang lebih itu, bolehlah kami manfaatkan untuk aktiviti yang lebih berfaedah lagi. Pada perjumpaan ini, buat kali pertamanya kami diberikan pendedahan tentang kawad kaki sepanjang di IPG Kampus Kota Bharu. Ini adalah latihan untuk perbarisan unit beruniform bersempena Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) yang bakal diadakan. Dalam latihan, kami telah bergabung dengan Pandu Puteri. Memandangkan, saya sudah pernah menyertai kawad kaki ketika di bangku sekolah dahulu, saya sedikit sebanyak sudah dapat menguasai beberapa kemahiran. Akan tetapi, disebabkan sudah hampir dua tahun tidak berkawad, saya banyak melakukan kesilapan. Jadi benarlah bahawa, latihan yang kerap dalam setiap bidang amat perlu. Di sini, saya dapat mengenal pasti satu kelemahan latihan kawad ini ialah nisbah bilangan ahli yang ramai dengan seorang pensyarah menyukarkan latihan ini menjadi berkesan. Ini adalah kerana pensyarah tersebut tidak dapat mengenal pasti mana-mana guru pelatih yang belum berkemahiran dan mungkin terlepas pandang. Semasa sesi pemilihan ahli kawad untuk perbarisan unit beruniform sempena KOT, saya telah sukarela untuk menyertainya. Hal ini adalah kerana saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mengaplikasikan pengalaman yang lepas pada masa akan datang.

REFLEKSI MINGGU 6
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu keenam ini dengan jayanya. Perjumpaan kali ini dimulakan dengan tatacara perjumpaan. Buat kali pertama, Puan Rashidah, pensyarah penasihat PPIM bersama kami. Kami amat bersyukur kerana kali ini beliau berpeluang bersama kami untuk perjumpaan. Setelah tatacara selesai, beliau membuat sedikit pembetulan mengenai prosedur tatacara iaitu berkenaan penaik bendera dan pembaca doa. Teguran beliau ini amatlah berguna kepada kami, kerana kami sudah masuk minggu keenam, tetapi masih terdapat beberapa kelemahan semasa perjumpaan. Tetapi itu bukanlah penghalang kepada kami, sebaiknya menjadi iktibar dan pengajaran kepada kami untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama. Seusai perjumpaan, kami bergerak ke bilik kuliah P3 untuk sesi kuliah. Antara agenda pada hari tersebut ialah pemilihan nama kumpulan. Dalam kumpulan kami telah berbincang untuk mencari nama-nama yang dirasakan sesuai bertemakan nama-nama puteri. Kami, ahli kumpulan 1 telah mengambil keputusan menamakan kumpulan kami dengan nama Puteri Hang Li Po. Semasa sesi perbincangan ini kami berpeluang untuk menyuarakan pendapat masing-masing dan mencari kata sepakat dalam menamakan kumpulan. Secara tidak langsung, peluang komunikasi bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan malah dapat memupuk semangat kerjasama dan toleransi dalam kalangan kami. Seterusnya, Puan Rashidah telah membentangkan satu slaid power point berkenaan dengan pengurusan dan pentadbiran PPIM. Antara perkara yang telah saya timba semasa sesi ini ialah mengenai penubuhan PPIM dengan lebih lanjut lagi. Selain itu, info-info lain yang telah saya timba ialah berkenaan pendaftaran ahli,struktur unit, pengurusan folio, pakaian seragam ahli dan pemimpin serta lainlain lagi.

REFLEKSI MINGGU 7
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu keenam ini dengan jayanya. Perjumpaan dimulakan dengan tatacara perjumpaan di dewan NN. Agenda untuk perjumpaan kali ini ialah latihan kawad kaki bersempena Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT). Agenda ini khususnya ditujukan kepada 33 0rang peserta yang terlibat, akan tetapi 20 orang ahli yang lain turut melibatkan diri dalam aktiviti ini sebagai sokongan kepada rakan-rakan lain. Latihan pada kali ini ialah latihan kawad kaki rasmi buat julung kalinya. Oleh itu sebelum memulakan latihan, ketua platun terlebih dahulu menyusun kami dalam barisan bertiga-tiga. Jika dahulu kami tidak serius dan sering bermain-main semasa kawad, kali ini kami lebih serius dan berdisiplin. Selesai menyusun barisan, kami didedahkan dengan kawad asas iaitu kawad statik terlebih dahulu. Semasa berkawad, barulah saya sedar bahawa penyertaan saya dalam kawad kaki semasa di sekolah rendah dahulu sebenarnya tidak sia-sia. Alhamdulillah, semasa latihan ini saya tidak melakukan terlalu banyak kesilapan kerana saya telah mengingati apa yang diajar oleh jurulatih kawad kami dahulu. Benarlah pengalaman lepas sebenarnya menjadi pengajaran kepada kita pada hari ini. Di samping bermanfaat kepada saya, ilmu dan kemahiran yang telah saya pelajari dapat juga saya kongsikan dengan rakan-rakan lain. Hal ini sebenarnya secara tidak langsung memberikan kebaikan kepada saya. Apabila saya mengajar rakan saya, secara tidak langsung saya juga dapat membaiki kekurangan saya dan dapat mengingati serta menguasai kemahiran dengan lebih baik lagi.

REFLEKSI MINGGU 8

REFLEKSI MINGGU 9
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu kesembilan ini dengan jayanya. Seperti biasa perjumpaan dimulakan dengan tatacara perjumpaan. Dalam tatacara pada kali ini, kami sedaya-upaya melakukan yang terbaik daripada sebelum ini sebagai persediaan menghadapi perbarisan sempena Kejohanan Olahraga Tahunan. Alhamdulillah, berkat komitmen dan kerjasama daripada semua ahli, kami dapat menjalankan tatacara dengan sempurna sekali. Seterusnya, kami bergerak ke dewan K39 untuk sesi kuliah. Kuliah pada hari tersebut dikendalikan oleh Encik Norlan bin Zakaria. Sesi kuliah pada hari tersebut digabung dengan guru pelatih dari Pandu Puteri dan topik kuliah pada hari tersebut ialah Bantu Mula. Sebelum ini, saya belum pernah didedahkan dengan bantu mula dan hanya mengetahui perkara mengenai bantu mula secara umum dan kasar sahaja melalui bacaan secara tidak langsung. Sesungguhnya, kuliah pada kali ini sangat bermanfaat kepada saya. Banyak perkara yang telah saya timba dan dapat sepanjang dua jam kuliah ini. Antara perkara yang telah saya pelajari ialah jenis-jenis kecederaan seperti kecederaan pada tisu lembut, kekejangan otot dan dislokasi. Selain itu, sebelum ini saya tidak tahu luka sebenarnya terdiri daripada pelbagai jenis iaitu aprasi (cakaran pada kulit), potongan dan tebukan. Melalui kuliah ini saya telah dapat mengetahui pelbagai ilmu baru dan berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian saya. Seterusnya, saya turut mempelajari tentang pengurusan kecederaan. Ilmu yang diperoleh ini amat berguna kepada saya. Sebagai contoh, TOTAPS dapat membantu saya dalam mengurus kecederaan dalam sukan. Saya merupakan guru pelatih dalam minor Pendidikan Jasmani. Sebagai bakal guru Pendidikan Jasmani, saya perlu menguasai kemahiran ini dengan baik sekali. Ini adalah sebagai persediaan kepada saya kelak sekiranya mengalami situasi di mana murid saya tercedera semasa melakukan aktiviti sukan. Apabila saya sudahpun menguasai kemahiran ini, saya dapat menghadapi situasi ini dengan tenang dan dapat merawat mereka terlebih dahulu sebelum bantuan profesional tiba.

REFLEKSI MINGGU 10
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu kesepuluh ini dengan jayanya. Seperti biasa, perjumpaan dijalankan di dewan NN dan dimulakan dengan tatacara perjumpaan. Selepas ucapan dan taklimat oleh ketua pensyarah penasihat Encik Rosmadi b. Dollah, ahli-ahli PPIM bergerak ke padang untuk aktiviti latihan kawad kaki sempena Kejohanan Olahraga Tahunan. Latihan kawad ini dijalankan dengan konsisten dan penuh disiplin memandangkan minggu hadapan adalah hari KOT peringkat IPGKKB. Setiap ahli memberi sepenuh tumpuan dan komitmen. Meskipun, terdapat beberapa perkara yang belum sempurna seperti tangan tidak paras dan hentak kaki yang tidak sekata, namun kami berusaha untuk mengatasi setiap kekurangan itu. Setiap ahli kawad menunjukkan komitmen dan tanggungjawab semasa berkawad. Jika ada rakan yang melakukan kesalahan secara tidak sengaja, kami akan menegur secara berhemah dan cuba untuk mengatasi kesilapan secara bersama-sama. Di samping itu, kami juga saling memberi semangat dan sokongan antara satu sama lain. Hal ini dapat menaikkan semangat kerjasama dan kekitaan antara kami. Meskipun dengan cuaca yang tidak menentu, kami tetap memberi sepenuh komitmen semasa berkawad. Bagi kami itu bukanlah sebagai faktor penghalang untuk kami meneruskan latihan sebaliknya sebagai cabaran untuk kami tempuhi. Di samping itu, latihan kawad ini juga sebenarnya melatih disiplin dan taat kepada ketua. Sebagai contoh, dalam kawad terdapat beberapa disiplin yang perlu dipatuhi oleh ahlinya. Selain itu, sebagai ahli kawad kita hendaklah patuh dan mendengar arahan ketua. Untuk membiasakan diri dengan suasana KOT kelak, kami telah bergerak ke padang untuk menjalankan rehearsal secara tidak formal. Di sana kami berpeluang untuk membuah refleksi tahap latihan yang telah diadakan, mengetahui kekurangan dan mencari jalan penyelesaian kepada kekurangan tersebut.

REFLEKSI MINGGU 11
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu kesembilan ini dengan jayanya. Pada minggu ini telah diadakan kejohanan olahraga tahunan (KOT) kali ke-31 anjuran Guru Pelatih IPGKKB semester 5 dengan kerjasama Unit Kokurikulum. Setelah beberapa hari melakukan latihan intensif sempena perbarisan, hari ini sudah tiba untuk mengukur tahap mana kebolehan kami. Persaingan pada hari tersebut sangat sengit. Pertandingan perbarisan dibahagikan kepada dua kategori iaitu perbarisan rumah sukan dan perbarisan unit beruniform. Bagi kategori unit beruniform, penyertaan melibatkan daripada unit beruniform seperti PPIM, Pandu Puteri, Pengakap,Badan Bulan Sabit Malaysia dan Kadet Remaja Sekolah. Kami telah turun seawal 7.30 pagi ke padang untuk membuat persiapan pada saat-saat akhir seperti pakaian seragam. Ini adalah pengalaman yang paling menarik dalam diri saya kerana buat kali pertama di dalam hidup saya berkawad dengan berpakaian baju kurung. Pada mulanya, saya amat kekok dan berasa sangat tidak selesa akan tetapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Dalam masa tidak sampai jam sebelum perbarisan bermula, saya sudahpun dapat membiasakan diri dengan berkawad dengan berbaju kurung. Memandangkan perbarisan bermula pada 8.30 pagi, kami mengambil kesempatan menggunakan masa yang singkat tersebut untuk melakukan latihan buat kali terakhir. Seperti biasa, kami berlatih dengan lebih bersemangat. Semasa menunggu perbarisan dimulakan, kami berpeluang untuk melihat latihan yang

diadakan oleh pasukan kawad dari unit-unit beruniform lain. Mereka semua sangat bagus. Hal ini telah menimbulkan semangat daya saing yang sihat dalam diri kami dan membakar semangat untuk kami melakukan yang lebih baik lagi Pada hari tersebut, kami cuba untuk memberikan yang sebaik mungkin. Meskipun berasa gementar, kami berusaha mengatasinya dengan cara memberi sokongan sesama sendiri. Alhamdulillah, berkat kerjasama, komitmen, disiplin, sokongan dan latihan yang intensif, pasukan kami telah dapat memberi persembahan yang terbaik meskipun tidak dinobatkan sebagai juara.

REFLEKSI MINGGU 14
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu ke-14 ini dengan jayanya. Setelah menjalankan program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan bercuti selama seminggu, kami meneruskan perjumpaan pada minggu ke-14 di dewan terbuka NN. Seperti biasa perjumpaan dimulakan dengan tatacara perjumpaan. Setelah selesai tatacara perjumpaan, kami bergerak ke kelas P3 untuk sesi kuliah. Sebelum memulakan sesi kuliah, Encik Rosmadi telah mengumumkan sebuah berita gembira kepada kami. PPIM telah diumumkan sebagai Johan sebenar pertandingan barisan sempena KOT. Memandangkan terdapat sedikit kepincangan teknikal, kami telah dinobatkan sebagai naib johan. Saya sangat gembira dan bersyukur mendengar berita tersebut. Tajuk kuliah kami pada minggu ini ialah asas pertolongan cemas dan fokus utama sesi kuliah pada kali ini ialah amali membalut luka dan kecederaan. Sebelum memulakan sesi amali, beliau telah memberi kuliah secara sepintas lalu mengenai tujuan dan prinsip-prinsip pertolongan cemas. Dalam sesi amali tersebut, kami diajar cara balutan luka dan kecederaan dengan menggunakan kain anduh segi tiga. sebelum membuat balutan, saya terlebih dahulu dikenalkan dengan kain anduh segi tiga ini. Sebelum ini hanya pernah mendengar mengenai kain anduh ini digunakan untuk menganduh tangan yang patah sahaja. Akan tetapi melalui sesi ini, saya mendapat pendedahan bahawa kain anduh mempunyai pelbagai fungsi balutan seperti membalut luka di kepala, kaki, paha dan tapak tangan. Saya turut diajar ikatan buku sila. Semasa sesi ini, saya telah dipilh daripada tiga orang untuk melakukan demonstrasi di hadapan rakan-rakan lain. Pada mulanya, saya berasa gementar dan khuatir kerana saya belum dapat memahirkan diri dalam ikatan buku sila dan balutan kepala. Alhamdulillah dengan bantuan dan sokongan rakan-rakan saya dapat melakukan dengan baik sekali. Sesungguhnya pengalaman ini amat berguna kepada saya untuk diaplikasi pada masa hadapan.

REFLEKSI MINGGU 15
Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana berkat dan keizinanNya, saya dapat menyiapkan refleksi untuk minggu ke-15 ini dengan jayanya. Selesai sahaja tatacara perjumpaan, kami bergerak ke dewan K39 untuk sesi kuliah bersama Encik Wan Suhaimi b. Wan Setapa. Tajuk kuliah pada hari ini juga berkaitan dengan Pertolongan Cemas. Kuliah ini diadakan kesinambungan daripada kuliah-kuliah sebelum ini dan bersempena persediaan kami untuk menghadapi Ujian Akhir Kursus (UAK) yang bakal menjelang tiba. Jika pada minggu lepas, hampir 90% kuliah berdasarkan latihan amali, kali ini sesi kali ini ialah seratus peratus secara kuliah. Pada pendapat saya kuliah kali ini lebih berkesan dan saya mendapat input yang lebih. Hal ini adalah kerana, pada kali ini pensyarah menggunakan tayangan slaid power point dengan gambar-gambar. Penggunaan bahan visual dan grafik dapat menarik perhatian saya jika dibandingkan dengan sesi kuliah secara verbal semata-mata. Selain itu, disebabkan saya sudah mendapat pendedahan mengenai pertolongan cemas di dalam dua kuliah sebelum ini, saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam memahami apa yang dibentangkan oleh pensyarah dalam sesi ini. Sebaliknya, saya dapat mengingati dan cuba untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam kuliah sebelum pada sesi kali ini. Semasa kuliah ini juga saya dapat mengetahui kualiti yang patut ada dalam diri seorang penyelamat iaitu bertanggungjawab, cekal, berjiwa tekal,

berpengetahuan serta yang paling penting mempunyai pengetahuan dan keyakinan diri. Oleh itu, saya dapat melakukan muhasabah diri dan cuba mempersiapkan diri saya dengan semua ciri-ciri tersebut untuk menjadi seorang penyelamat. Terdapat banyak perkara dan pengetahuan yang telah saya timba sepanjang sesi kuliah selama dua jam tersebut. Diharapkan saya dapat mengaplikasikan setiap pengetahuan yang telah ditimba pada masa akan datang.

You might also like