You are on page 1of 3

REFLEKSI Saya berasa sungguh gembira kerana akhirnya saya berjaya melalui lima hari Pengalaman berasaskan Sekolah

selama lima hari di Sekolah Kebangsaan Pasoh 2 (F) yang berdekatan dengan kediaman saya. Selama lima hari di sekolah tersebut, banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman yang saya peroleh di sana. Layanan dan kerjasama yang diberikan oleh warga SK Pasoh 2 menjadikan saya seronok berada di sekolah tersebut. Guru-guru langsung tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan ilmu mereka dalam bidang keguruan. Banyak ilmu yang saya peroleh daripada mereka. Guru-guru di sekolah tersebut banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan PBS saya pada kali ini. Tugasan PBS saya pada kali ini berkenaan dengan bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Tugasan tersebut perlu dilaksanakan mengikut hari iaitu dari hari pertama hinggalah hari terakhir saya di sekolah tersebut. Pada hari pertama, saya telah mengumpul maklumat mengenai sekolah. Bagi mendapatkan segala maklumat tersebut saya telah berjumpa dengan Guru Penolong Kanan 1 iaitu Tuan Haji Ayu Ali Bin Samathulla. Beliau merupakan seorang guru yang sangat berpengalaman terutamanya dalam bidang Pendidikan Jasmani. Beliau banyak memberikan saya maklumat yang saya perlukan di samping berkongsi pengalaman beliau. Pada hari kedua dan ketiga pula, saya telah berjumpa dengan guru panitia Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, iaitu Puan Khairul Najiha Binti Abd Aziz. Walaupun baru lima tahun mengajar dan merupakan seorang perempuan, beliau telah memegang jawatan tersebut kerana pengalaman beliau di Institut Pendidikan Guru melayakkan beliau memegang jawatan tersebut. Beliau merupakan seorang guru yang sangat komited. Katanya, disebabkan jumlah murid yang sedikit di sekolah tersebut, guru Pendidikan Jasmani tidaklah terlalu ramai. Peralatan sukan juga bukanlah dalam jumlah yang besar. Di sekolah tersebut terdapat beberapa gelanggang bola sepak, sepak takraw dan bola baling yang pada pendapat saya berada dalam keadaan yang baik dan selalu digunakan. Sekolah tersebut sangat popular dengan sukan bola balingnya di samping gimnastik.

Hari yang seterusnya, saya meminta izin kepada guru Pendidikan Jasmani untuk melihat proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Atas kerjasama beliau, saya diberi keizinan untuk melihat dan membantu beliau untuk melaksanakan ujian SEGAK. Pada hari itu, ujian tersebut dijalankan pada murid tahun 4. Kebanyakan murid tahun 4 tersebut, boleh melakukan ujian tersebut dengan baik, namun terdapat segelintir yang tidak melakukan ujian SEGAK dengan perlakuan yang betul. Hari yang terakhir, aktiviti saya di sekolah diteruskan lagi dengan membantu guru untuk melaksanakan ujian SEGAK. Selepas murid tahun 4 tersebut tamat melaksanakan ujian SEGAK tersebut, mereka dibenarkan untuk bermain bola baling. Berdasarkan pemerhatian saya, ternyata murid-murid sekolah tersebut telah diasah bakatnya dalam sukan bola baling. Hal ini kerana boleh dikatakan keseluruhan murid tahun 4 boleh bermain bola baling dengan baik dan mengetahui peraturan untuk bermain. Secara umumnya, saya melihat sekolah tersebut mempunyai penglibatan yang sangat aktif dan baik dalam bidang sukan. Sekolah tersebut mempunyai penglibatan yang seimbang. Maksudnya di sini, sekolah tersebut tidak hanya menumpukan perhatian terhadap bidang kokurikulum namun bidang kurikulum juga tidak diabaikan. Secara keseluruhannya, guru-guru di SK Pasoh 2 (Felda) memberikan kerjasama yang sangat baik terutamanya dalam membantu saya menyiapkan tugasan ini. Saya sangat berterima kasih terhadap mereka. Namun begitu terdapat beberapa kelemahan yang boleh dipertingkatkan lagi. Contohnya, sekolah tersebut kurang menitikberatkan penjagaan alatan sukan. Oleh itu, terdapat sedikit kelemahan di situ. Alatan sukan perlulah diselenggara dengan baik supaya boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama dan tidak mendatangkan kecederaan kepada murid apabila menggunakannya. Saya rasakan guru panitia Pendidikan Jasmani perlulah memberikan perhatian terhadap perkara ini. Selain itu, murid-murid juga perlulah didedahkan kepada pelbagai permainan supaya mereka tidak bosan. Hal ini kerana apabila saya bertanya kepada mereka sama

ada mereka pernah bermain permainan kecil atau tidak. Mereka menjawab tidak, guru hanya menumpukan terhadap permainan bola baling sahaja. Oleh itu, saya merasakan guru perlulah mempelbagaikan pengajaran dalam bidang sukan. Kesimpulannya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga SK Pasoh 2 ( Felda) atas kerjasama yang diberikan. Saya berasa sungguh bersyukur kerana diterima dengan baik di sekolah tersebut. Layanan dan perkongsian ilmu dan pengalaman yang diberikan tidak akan saya lupakan dan didahulukan dengan ribuan terima kasih.

You might also like