You are on page 1of 3

Jenis Jenis Kurikulum

Berlandaskan teori dan matlamat kurikulum maka wujudlah pelbagai jenis kurikulum dari
semasa ke semasa mengikut perubahan keperluan pendidikan negara. Jenis jenis kurikulum
antaranya ialah Kurikulum Ideal, Kurikulum Rasmi, Kurikulum Formal, Kurikulum Operasi,
Kokurikulum, Kurikulum Teras, Kurikulum Integrasi dan Kurikulum Aktiviti.

Kurikulum Ideal
Kurikulum ideal ialah kurikulum yang digubal dan dibentuk berlandaskan pedagogi,
psikologi dan teori kurikulum.Kurikulum Ideal mengandungi unsur unsur utama yang
terdapat dalam falsafah dan matlamat pendidikan Negara, kehendak dan aspirasi masyarakat.
Komponen komponen yang terdapat dalam kurikulum ideal antaranya ialah Matlamat dan
Tujuan Kurikulum, Sukatan Pelajaran dan Huraiannya, Bahan Bahan Pelajaran termasuk
Buku Panduan Guru, Sistem Pelaksanaan dan Penilaian Kurikulum. Kurikulum idea dibentuk
oleh pakar kurikulum dengan merujuk kepada pandangan pandangan orang yang terlibat
dalam sistem pendidikan persekolahan termasuk ahli ahli pendidikan tinggi.

Kurikulum Rasmi
Di Malaysia, Pusat Perkembangan Kurikulum adalah bertanggungjawab mengubal dan
membentuk kurikulum rasmi bagi sekolah rendah dan sekolah menengah seperti KBSR dan
KBSM. Kurikulum rasmi menjadi panduan asas untuk penulisan buku teks, persediaan
ringkasan mengajar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta panduan dalam setiap
peringkat persekolahan kebangsaan.

Kurikulum Formal
Kurikulum formal adalah berlandaskan matlamat pendidikan negara dan mengandungi segala
isi pengajaran dan pembelajaran serta penilaian di dalam bilik darjah, termasuk aktiviti
aktiviti kokurikulum yang merujuk kepada aktiviti aktiviti persatuan, kelab, permainan dan
unit beruniform. Kurikulum formal merangkumi kurikulum akademik yang dilaksanakan
melalui kurikulum pengajaran dan kurikulum operasi. Penggubalan kurikulum ini adalah
diuruskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Negara.

Kurikulum Operasi
Kurikulum operasi adalah merujuk kepada ringkasan mengajar yang disediakan oleh guru,
mengikut jadual waktu sekolah dan sukatan pelajaran yang terkandung dalam kurikulum
rasmi atau kurikulum formal.

Kokurikulum
Kokurikulum dikenali sebagai kurikulum tambahan atau pendidikan pada waktu lapang atau
aktiviti kelas tambahan. Aktiviti aktiviti kokurikulum merupakan sebahagian kurikulum
formal yang merangkumi aktiviti aktiviti persatuan, kelab, permainan dan sukan serta unit
beruniform yang dijalankan di luar bilik darjah. Aktiviti kokurikulum tidak termasuk dalam
jadual waktu mata pelajaran di sekolah. Aktiviti kokurikulum merupakan aktiviti di luar
sukatan pelajaran dan disertai oleh pelajar mengikut kepandaian dan minat mereka.
Kokurikulum adalah bertujuan bagi mengembangkan keperluan intelek, kebolehan dan
bakat, meluaskan ilmu pengetahuan, meningkatkan kesihatan, meningkatkan kemahiran
pemikiran dan memupuk nilai- nilai murni di kalangan pelajar.

Kurikulum Teras
Kurikulum teras dibentuk berlandaskan kurikulum roda yang mula digunakan pada awal abad
ke-20. Pembentukan kurikulum ini ialah menggabungjalinkan satu demi satu tema agar
menjadi perhubungan baru di antara mata pelajaran. Kurikulum teras mengutamakan
perkembangan individu dan keperluan masyarakat. Masa pengajaran diperuntukkan kira
kira 40% bagi mengajar mata pelajaran teras manakala masa yang lain adalah digunakan bagi
mengajar mata pelajaran pilihan. Oleh itu, setiap pelajar wajib mengambil pelajaran teras
seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Sejarah.

Kurikulum Integrasi
Kurikulum Integrasi ialah kurikulum penyerapan atau kurikulum mata pelajaran gabungan.
Kurikulum ini menggabungkan beberapa mata pelajaran yang berkaitan dan menghasilkan
mata pelajaran baru. Contohnya mata pelajaran Kajian Tempatan dalam KBSR adalah
merangkumi unsur unsur sejarah, geografi dan kewarganegaraan.Mata pelajaran Sains
KBSM pula merangkumi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi.

Kurikulum Aktiviti
Kurikulum aktiviti pula dikenali sebagai kurikulum pengalaman atau kurikulum berpusatan
pelajar kerana kurikulum aktiviti adalah dirancang dan dibentuk berlandaskan minat dan
keperluan. Ciri ciri kurikulum aktiviti ialah:

(a) Aktiviti digunakan sebagai pusat kurikulum. Isi pelajaran dihadkan kepada pengalaman
harian pelajar memerlukan pelajar belajar melalui kaedah praktik iaitu belajar daripada
kehidupan seharian dan pengalaman diri sendiri.

(b) Isi kandungan kurikulum adalah dipilih berdasarkan minat dan keperluan pelajar serta
mengikut perbezaan individu.

(c) Bentuk mata pelajaran diubah dengan menjadi bentuk sintesis sebagai tugasan dan
aktiviti.

You might also like