You are on page 1of 6

Bidang-Bidang Dalam Kajian Ilmu Linguistik

Secara umumnya, bidang-bidang yang menjadi kajian dalam linguistik dapat dibahagikan
kepada lima yang utama iaitu Linguistik Am, Linguistik Gunaan, Linguistik Sejarah, Linguistik
Perbandingan dan Linguistik Deskriptif. Sifatnya yang sangat luas menyebabkan terdapat
beberapa tokoh lagi memecahkan setiap bidang linguistik itu kepada beberapa bahagian seperti
stilistik, etnolinguistik, sosiolinguistik, psikolinguistik, semantik, retorik, pragmatik dan semiotik
berdasarkan disiplin atau bidang yang dikaji. Selain itu, terdapat juga tokog-tokoh linguistik yang
memecahkan bidang-bidang linguistik kepada fonologi, semantik, sintaksis, morfologi, leksis
dan sebagainya untuk memberikan gambaran kepada masyarakat.
Linguistik Am
Merujuk pada bidang yang mengkaji aspek-aspek teori ilmu linguistik secara am. Perkara-
perkara yang dikaji dalam bidang linguistik am ini ialah
1. Penubuhan konsep-konsep yang meliputi soal-soal mendefinisikan aspek-aspek dan
daerah kajiannya secara am.
2. Soal-soal yang menentukan sifat-sifat am yang ada pada semua bahasa secara sejagat.
3. Hal yang menentukan cara-cara dan kaedah-kaedah tertentu yang boleh digunakan
dalam penghuraian bahasa secara deskriptif dan sebagainya.
Linguistik Gunaan
Juga dikenali sebagai linguistik terapan. Bidang ini diterapkan dalam pelbagai jenis bidang dan
tidak terhad dalam pendidikan bahasa sahaja. Linguistik gunaan digunakan untuk mengkaji
bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa seperti kaedah pengajaran bahasa, menguji
kemahiran bahasa, membentuk bahan bantu mengajar serta membantu murid-murid gagap
menguasai bidang fonetik dan fonemik.
Terdapat empat prinsip dalam kajian linguistik gunaan. Prinsip yang pertama ialah
linguistik ini berasaskan pada teori dan prinsip. Linguistik ini tidak hanya bergantung pada
teknik dan prosedur mempraktikkan sesuatu. Ia melihat prinsip, rasional, generalisasi hipotesis
serta teori yang dapat menerapkan fenomena atau aktiviti yang dihadapi secara praktikal.
Prinsip yang kedua ialah linguistik gunaan mempunyai pelbagai asas. Linguistik gunaan
adalah bersifat kepelbagaian yang menerima bahan daripada pelbagai jenis sumber daripada
ilmu linguistik, psikologi, neuropsikologi, sosiologi, antropologi, pendidikan, falsafah, logik dan
kaedah saintifik. Walau bagaimanapun, tidak semua aspek ilmu terlibat kerana melihat pada
keperluan dan kesesuaian. Linguistik huraian diutamakan kerana ianya menghubungkan disiplin
lain menjati satu dan jitu.
Prinsip linguistik gunaan yang ketiga ialah ianya tidak terhad pada pengajaran dan
pembelajaran bahasa semata-mata. Linguistik gunaan mempunyai hubungan dalam semua
bidang yang mempunyai kaitan dengan bahasa seperti patologi pertuturan, penterjemahan,
reka bentuk sistem penulisan, perancangan bahasa dan lain-lain yang berkaitan tentang
bahasa. Namun, bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa menjadi sokongan terbesar
dalam kajian linguistik gunaan dalam menghadapi tugas-tugas praktikal yang sewajarnya.
Prinsip linguistik gunaan yang terakhir ialah linguistik ini melihat setiap tugasan sebagai
sesuatu yang baharu. Sifat linguistiknya yang pelbagai menyebabkan setiap bidang tugas yang
dihadapi berasaskan bidang ilmu yang khusus. Oleh itu, linguistik terapan mempertimbangkan
mustahaknya tugas-tugas tersebut kerana akan memberikan kesan terhadap pengkaedahan
dan pendekatan yang akan digunakan oleh linguistik ini.
Fungsi linguistik gunaan
1. Menambah pengetahuan guru bahasa mengenai bahasa.
2. Kebolehan menjangkau masalah-masalah dan kesukaran pembelajaran bahasa.
3. Sebagai dorongan untuk menguasai isi bahasa iaitu tatabahasa dengan baik.
4. Lebih berupaya membimbing murid serta mampu mengatur sesi pengajaran dan
pembelajaran murid-murid dalam aspek tatabahasa.
5. Guru dapat menyumbangkan ilmu pengetahuan kepada murid melalui teknik dan
kaedah yang sesuai menurut teori linguistik yang dipelajari.
6. Melahirkan seorang guru bahasa yang lebih baik.
Linguistik gunaan amat penting dalam mengajarkan bahasa. Untuk melahirkan guru
bahasa yang berjaya, seseorang guru itu perlu menambah pengetahuannya dalam bidang
bahasa psikologi atau psikolinguistik. Aplikasi linguistik dalam pengajaran bahasa perlu seiring
dengan penggunaan pengetahuan psikologi dalam pembelajaran murid. Maksudnya, ilmu
linguistik digunakan dalam sesi pengajaran guru manakala psikologi banyak dilihat dalam
penguasaan isi pelajaran yang diterima melalui cara-cara tertentu dalam sesuatu pengajaran.
Linguistik gunaan merujuk kepada penggunaan penyelidikan linguistik dalam
pengajaran bahasa, tetapi dapatan-dapatan penyelidikan linguistik juga telah digunakan
untuk banyak bidang yang lain. Oleh itu dapat dirumuskan bahawa linguistik terapan
merupakan sekumpulan daripada beberapa disiplin yang berhubungan.
Linguistik gunaan mengambil dapatan-dapatan dalam linguistik teoris dan
menggunakannya untuk bidang-bidang yang lain. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa
linguistik gunaan merujuk kepada penggunaan penyelidikan linguistik dalam pengajaran
bahasa dan dapatan-dapatan penyelidikan linguistik ini banyak digunakan untuk banyak
bidang yang lain.
Banyak bidang linguistik gunaan pada hari ini melibatkan penggunaan komputer
secara eksplisit. Misalnya, sintesis pertuturan dan pengecaman pertuturan
menggunakan pengetahuan fonetik dan fonemik untuk memberikan antara muka suara
kepada komputer. Contoh yang lain dapat dilihat dalam penggunaan linguistik
pengiraan dalam penterjemahan mesin dan penterjemahan dibantu komputer. Bidang-
bidang terapan itu merupakan antara bidang-bidang yang amat berhasil pada tahun-
tahun kebelakangan ini disebabkan oleh kuasa perkomputeran yang semakin
meningkat. Pengaruh linguistik gunaan juga boleh dikesan dalam teori-teori sintaksis
dan semantik dengan adanya bantuan teknologi komputer.
Linguistik Sejarah
Turut dikenali sebagai linguistik historis iaitu cabang kajian yang berusaha memperlihatkan
perkembangan sesuatu bahasa dari segi sejarah yang dilalui melalui masa (dari awal
kemunculan sehingga pada tahap tertentu). Bidang ini juga mengkaji perubahan-perubahan dan
asal usul (etimologi) sesuatu bahasa. Segala punca dan akibat yang dialami adalah hasil
daripada perubahan untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku terhadap bahasa itu.
Punca-punca perubahan mungkin berpunca dari dalam (sikap penutur) dan juga dari luar
(pengaruh asing dalam bahasa).
Kajian historis ini turut tertumpu pada kajian lebih daripada satu zaman. Namun,
pengasingan zaman adalah mustahil untuk dilakukan kerana perubahan dalam bahasa itu
berlaku secara berperingkat (evolusi) dan bukannya berubah secara drastik. Pemisahan yang
dibuat hanya untuk tujuan kepentingan kajian semata-mata. Dalam bahasa Melayu misalnya,
pemisahan zaman dibuat berdasarkan pengaruh yang mendatang. Bahasa Melayu dipisahkan
berdasarkan pengaruh pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, sebelum kedatangan agama
Islam, sebelum dan selepasa penjajahan berlaku.
Perkara lain yang ditekankan dalam cabang linguistik ini ialah kajian dibuat secara
sinkronik dan diakronik. Kajian sinkronik merujuk pada kajian secara terperinci yang dikaji untuk
beberapa zaman dalam masa tertentu dan tempat yang tertentu. Manakala kajian secara
diakronik pula merujuk pada kajian perbandingan antara beberapa zaman untuk melihat
perbezaan, perubahan dan perkembangan bahasa yang dikaji.
Kajian dalam linguistik ini membandingkan aspek-aspek seperti fonologi, morfologi, sintaksis,
makna, ejaan, sistem tulisan dan lain-lain yang igin dikaji.
Linguistik Perbandingan
Juga turut dikenali sebagai linguistik komparatif kerana bidang linguistik ini membuat kajian
perbandingan antara bahasa-bahasa sekeluarga atau berlainan rumpun. Tujuan kajian
perbandingan dibuat adalah untuk melihat ciri-ciri perubahan dan persamaan antara bahasa
sekeluarga mahupun bahasa seinduk lain yang mungkin sudah tidak digunakan lagi.
Perbandingan dibuat berdasarkan beberapa aspek tertentu sahaja atau seluruh aspek
bahasa-bahasa yang dibandingkan itu. Linguistik ini turut memperlihatkan hubungan yang erat
dengan linguistik huraian kerana huraian yang lengkap diperlukan terlebih dahulu tentang
aspek-aspek tertentu bahasa yang dibuat perbandingan sebelum aktiviti membandingkan
dilaksanakan. Walau bagaimanapun, jika seorang ahli bahasa itu melakukan kerja-kerja
perbandingan, penghuraian antara bahasa yang hendak dibandingkan itu perlu diperoleh
secara deskripftif sebelum kerja membandingkan dibuat.
Linguistik perbandingan membuat kajian dalam aspek-aspek berikut;
1. Sebutan
2. Perkataan
3. Ayat
4. Antara beberapa bahasa yang dikaji
Hasil kajian dapat memberi kesimpulan bahawa bahasa yang dikaji itu berasal daripada
satu rumpun atau induk yang sama. Pada masa yang sama, kajian akan dapat memperlihatkan
apakah perubahan-perubahan yang berlaku terhadap bahasa induk itu tadi sehingga
menyebabkan kemunculan beberapa bahasa anak yang dituturkan oleh kumpulan penutur
yang berlainan.
Contohnya, hasil kajian yang telah dibuat terhadap bahasa kepulauan Melayu
mendapati bahasa Melayu, bahasa Indonesia, Jawa, Sunda, Batak, Tagalog, Bugis, Banjar,
Minangkabau dan bahasa-bahasa sekitarnya berasal daripada satu induk iaitu bahasa Melayu.
Hasil dapatan menunjukkan terdapat beberapa persamaan dari segi perkataan, makna
dan struktur bahasanya. Ahli sejarah memberi pendapat bahawa bahasa Melayu berasal
daripada Yunan yang akhirnya tersebar ke kawasan-kawasan nusantara. Penutur-penutur
aslinya terdiri daripada Kumpulan Melayu Proto dan Kumpulan Melayu Deutro di kawasan-
kawasan Asia Tenggara pada tahun 2000 dan 1000 s.m. kumpulan-kumpulan ini kemudiannya
berpecah ke kawasan-kawasan yang berlainan dan membawa bersama bahasa yang mereka
tuturkan.
Oleh itu, dapat dikatakan bahawa linguistik perbandingan ialah satu cabang linguistik
sejarah yang membuat pembandingan bahasa-bahasa supaya dapat menentukan perhubungan
sejarah antara bahasa-bahasa itu. "Perhubungan" membayangkan asal yang sama atau
bahasa proto, dan linguistik perbandingan bertujuan untuk membina semula bahasa-bahasa
proto dan menentukan perubahan-perubahan yang telah berlaku pada bahasa-bahasa yang
didokumenkan itu.
Teknik asas linguistik perbandingan ialah kaedah perbandingan yang bertujuan
untuk membandingkan sistem-sistem fonologi, sistem-sistem morfologi, sintaksis, dan
leksikon. Pada dasarnya, setiap perbezaan antara dua bahasa yang berkait harus
dapat diterangkan dengan amat munasabah, dan perubahan-perubahan sistematik,
umpamanya dalam sistem-sistem fonologi atau morfologi, dijangka amat tetap.
Walaupun bahasa-bahasa proto yang dibina semula melalui kaedah-kaedah
perbandingan adalah andaian, pembinaan semula ini mungkin mempunyai daya
peramalan.
Jika bahasa-bahasa berasal daripada asal-usul yang amat jauh, dan tidak rapat
hubungannya, kaedah perbandingan tidak begitu berguna. Khususnya, percubaan
untuk menghubungkan dua bahasa proto yang dibina semula melalui kaedah
perbandingan secara amnya tidak menghasilkan keputusan yang telah diterima secara
meluas. Sebilangan kaedah yang berdasarkan analisis statistik untuk perbendaharaan
kata telah dikembangkan untuk mengatasi pengehadan ini. Asas teori untuk kaedah-
kaedah ini ialah bahawa butir-butir perbendaharaan boleh dipadankan tanpa sebarang
pembinaan semula yang terperinci dan membandingkan jumlah butir perbendaharaan
kata akan mengelakkan ketidaktepatan individu.
Linguistik Deskriptif
Bidang linguistik ini juga turut dikenali sebagai linguistik huraian. Bidang linguistik ini mengupas
bahasa mengikut cara-cara saintifik yang merangkumi usaha-usaha untuk menentukan kaedah
dan teknik dalam menghuraikan bahasa tertentu sahaja. Linguistik deskriptif ini berupa bidang
disiplin yang mempraktikkan teori-teori dan teknik tertentu linguistik am apabila berhadapan
dengan tugas menghuraikan bahasa tertentu. Perkara yang dihuraikan dalam bidang ini
merangkumi aspek-aspek seperti fonologi, fonetik, fonemik, morfologi dan sintaksis sesuatu
bahasa.

You might also like