You are on page 1of 6

1

PENGURUSAN PERALATAN AMALI DALAM PENGAJARAN


AMALI FIZIK

Nurzatulshima Kamarudin

Abstrak: Kaedah amali melibatkan tiga teknik pengajaran iaitu: penerangan, kerja amali
dan perbincangan; mampu menerapkan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni secara
serentak. Penggunaan kaedah amali banyak berfokus kepada penglibatan pelajar dalam
menyelesaikan masalah yang diberi. Bagi tujuan penyelesaian masalah, peralatan yang
sesuai akan digunakan seperti alat radas, bahan kimia, spesimen dan sebagainya. Kertas
kerja ini bertujuan memaparkan hasil kajian terhadap guru Fizik yang mengendalikan
kaedah amali. Fokus kajian adalah terhadap pengurusan peralatan amali sepanjang kelas
amali dijalankan. Seramai lima orang guru Fizik dipilih melalui persampelan bertujuan dari
sekolah menengah harian biasa di Zon Tengah. Instrumen pemerhatian dan soal selidik
terbuka telah digunakan dalam kajian ini, manakala data yang diperolehi telah dianalisis
secara manual berdasarkan tema yang bersesuaian dengan persoalan kajain. Hasil kajian
mendapati semua guru Fizik telah menyediakan peralatan amali sebelum pelajar sampai ke
makmal. Mereka juga telah menyediakan manual amali sebagai panduan kepada pelajar
terutama mengenai peralatan & prosedur amali. Hasil penganalisisan soal selidik terbuka
menunjukkan semua guru menyatakan kekurangan peralatan masih lagi berlaku untuk amali
tertentu. Selain itu, mereka juga menekankan perlunya kehadiran pembantu makmal dalam
membantu pengendalian kelas amali terutama dalam aspek pengurusan peralatan. Sebagai
rumusan kajian, satu senarai cadangan pengurusan peralatan amali Fizik dikemukakan bagi
memantapkan perlaksanaan kaedah amali oleh guru-guru Fizik khasnya dan guru-guru Sains
amnya.

Kata kunci: Kaedah amali; guru Fizik; pembelajaran Fizik; peralatan amali.


PENGENALAN
Kemahiran pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru merupakan salah satu kriteria ukuran
dalam Standard Guru Malaysia yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM
(Bahagian Pendidikan Guru, BPG 2009). Elemen-elemen dalam kemahiran P&P merangkumi
kemahiran guru dalam menguasai perancangan P&P; melaksanakan P&P; memantau,
mentaksir dan menilai serta mengurus bilik darjah. Berdasarkan standard yang digariskan,
tugas seorang guru bukan sahaja sebagai pengajar, mereka juga memainkan peranan penting
sebagai pengurus pembelajaran.

Kemahiran pengurusan amat diperlukan dalam memastikan proses P&P berjalan lancar.
Menurut Charles dan Senter (2002), pengurusan amat penting dalam pengajaran, malahan
tanpa pengurusan yang cekap, pengajaran bilik darjah amat sukar berlaku. Proses pengurusan
meliputi perancangan, pengendalian, pengarahan dan pengawalan (Fayol 1988; Aizzat et al.
2006). Lemlech (2004) pula menyatakan proses pengurusan yang perlu dilakukan agar pembelajaran
berjalan lancar termasuk perancangan kurikulum, penyusunan prosedur dan bahan. Selain itu,
penyusunan persekitaran, pemantauan pelajar dan pengambilkiraan masalah turut perlu diurus dalam
membantu melicinkan proses P&P.

Tahap pengurusan P&P bergantung kepada kaedah dan teknik pengajaran yang dipilih.
Banyak elemen persekitaran yang perlu diurus bagi memastikan P&P berjalan lancar. Bagi
guru sains yang memilih kaedah amali, pengajaran secara amali akan lebih lancar sekiranya
mereka dapat mengurus segala keperluan amali. Menurut Harlen (2000) serta Sweeney dan
Paradis (2003), pengurusan kaedah amali merupakan bahagian yang paling sukar dalam
pengajaran sains. Guru perlu mengurus pelbagai elemen persekitaran pembelajaran yang
2
terlibat seperti pelajar, pembantu makmal, kandungan, alatan amali dan perubatan,
keselamatan, masa dan kemudahan makmal (Hayward 2003; Kalu 2004).

Bagi memastikan pembelajaran melalui amali berhasil, faktor-faktor yang mempengaruhi
proses pembelajaran perlu diambilkira dan diurus. Lawson (2000) menghuraikan antara
elemen penting yang perlu diurus oleh guru sains dalam kaedah amali adalah peruntukan
masa, keupayaan aktiviti dalam perkembangan pelajar, keselamatan serta kesediaan
peralatan. Sampson (2004) pula mengemukakan lima isu penting yang perlu diurus jika guru
mengunakan pendekatan inkuiri iaitu: a) ciri dan rutin bilik darjah, b) penggunaan masa dan
transisi, c) penglibatan pelajar, d) keselamatan dan e) penjagaan dan penggunaan peralatan.
Beliau menegaskan bahawa kesemua isu tersebut perlu diurus seawal peringkat perancangan
sehingga selesai kaedah tersebut digunakan. Hayward (2003) menegaskan bahawa alat radas
dan bahan memberi sokongan optimum kepada P&P secara amali

Kajian ini bertujuan memaparkan cara guru Fizik mengurus kaedah amali. Fokus kajian adalah
terhadap pengurusan peralatan amali sepanjang kelas amali dijalankan. Berdasarkan sorotan
literatur, didapati guru jarang dan cuba mengelak daripada menjalankan amali. Antara faktor
penting yang dikenal pasti sebagai punca masalah tersebut kerana kekurangan peralatan
amali. Antara hasil kajian yang berkaitan peralatan amali adalah kajian oleh Siti Aisyah et al.
(2004), Syopiah (2002), Tang Hai Teng (1998) yang mendapati alat radas dan bahan masih
tidak mencukupi. Selain itu, Sharifah Maimunah (2001) menyatakan bahawa kualiti P & P
sains boleh ditingkatkan dengan menambah makmal dan peralatan yang mencukupi dan
terkini.

Objektif kajian

Objektif kajian ini adalah untuk:
a. mengenal pasti cara pengurusan peralatan amali dalam pengajaran amali Fizik.
b. mengenal pasti persepsi guru terhadap pengurusan peralatan amali dalam pengajaran amali
Fizik.

Pengendalian aktiviti amali memerlukan guru bertindak sebagai pengurus yang cekap. Ini
kerana walaupun aktiviti amali telah dirancang dengan baik, suasana pembelajaran akan
menjadi kelam kabut jika ianya tidak dikendali dan diurus dengan baik (Jones & Harty 1981;
Packard & Race 2000).

METODOLOGI KAJIAN

Kajian yang dijalankan berbentuk kajian kes yang bertujuan mendapatkan cara guru
mengurus peralatan amali dalam pengajaran amali Fizik. Seramai lima orang guru Fizik telah
dipilih secara persampelan bertujuan. Kesemua guru yang terlibat mengajar Fizik di sekolah
menengah harian biasa yang terletak di Zon Tengah, Semenanjung Malaysia.

Jadual 1 menunjukkan maklumat guru yang menjadi responden kajian. Semua guru terpilih
berbangsa Melayu dengan seorang daripadanya lelaki. Semua guru mempunyai pengalaman
mengajar melebihi lapan tahun. Bagi mendapatkan maklumat berkaitan kekerapan mereka
menjalankan amali, didapati Guru A, C dan D membuat amali hanya berdasarkan keperluan
Penilaian Kerja Amali (PEKA). Berdasarkan maklumat, markah penilaian amali yang perlu
dihantar hanya dua hingga tiga markah setiap pelajar. Ini menunjukkan guru jarang
menjalankan kaedah amali.
3


Jadual 1 Maklumat responden kajian

Guru Jantina Bangsa
Kelayakan
akademik
Pengalaman
Mengajar
Kekerapan
menggunakan
kaedah amali
Guru A Perempuan Melayu
Sarjana
Muda Sains
13
Mengikut
keperluan PEKA
Guru B Lelaki Melayu
Sarjana
Muda
Kejuruteraan
8
Sekali setiap bab
Guru C Perempuan Melayu
Sarjana
Muda
Kejuruteraan
10
Mengikut
keperluan PEKA
Guru D Perempuan Melayu
Sarjana
Muda Sains
15
Mengikut
keperluan PEKA
Guru E Perempuan Melayu
Sarjana
Muda Sains
15
Mengikut
keperluan

Instrumen pemerhatian dan soal selidik terbuka telah digunakan dalam kajian ini, dengan pengesahan
dan kebolehpercayaan instrumen telah dipersetujui oleh pakar penyelidikan pendidikan. Pengesahan
maklumat diperkukuhkan lagi hasil penganalisisan data dari kajian rintis. Menurut Noraini (2010),
salah satu kaedah berkesan untuk memastikan instrumen direka mengukur apa yang sepatutnya diukur
adalah melalui kajian rintis. Hasil penganalisisan data kajian rintis, penambahbaikan instrumen dapat
dilaksanakan.

Untuk kajian pemerhatian, penyelidik telah membuat tiga kali pemerhatian pelaksanaan kelas
amali setelah responden guru member maklumat tentang amali yang akan dijalankan.
Pengkaji mula membuat pemerhatian dengan bertemu guru untuk mendapatkan Rancangan
Pengajaran yang dibuat untuk hari yang ditetapkan. Satu salinan Rancangan Pengajaran
diambil untuk diteliti. Kemudian, pengkaji memasuki makmal tempat kaedah amali
dijalankan. Pengkaji merekodkan maklumat peralatan yang akan digunakan dengan bantuan
pembantu makmal. Sebaik pelajar sampai dan pengajaran dimulakan, pengkaji merekodkan
segala aktiviti dan komunikasi berkaitan pengurusan peralatan dan radas yang dilaksanakan
oleh responden. Bagi instrumen soal selidik terbuka, semua responden diberi masa setengah
jam untuk menjawab. Semua soal selidik dipulangkan lengkap berjawab.

Penganalisisan data dibuat secara manual berdasarkan objektif kajian. Untuk data soal
selidik, pengkaji menyenaraikan maklumat yang diperolehi mengikut kata kunci yang
dibentuk. Hasil data pemerhatian, pengkaji mengkategorikan mengikut kata kunci yang sama
bagi semua responden.

PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN

a. Mengenal pasti cara pengurusan peralatan amali dalam pengajaran amali Fizik.

Melalui analisis pemerhatian yang dilakukan, didapati semua guru tidak menulis peralatan dan radas
yang diperlukan dalam Rancangan Pengajaran. Bagaimanapun, mereka mencatatkan tajuk amali yang
dilakukan serta manual amali yang dirujuk. Berdasarkan manual amali yang disediakan, peralatan dan
bahan amali yang diperlukan ada dicatatkan. Untuk pelaksanaan amali, guru telah memaklumkan
kepada pembantu makmal sekurang-kurangnya sehari sebelum amali dijalankan. Mengikut rekod
4
permohonan peralatan, semua guru memohon peralatan dan bahan berdasarkan bilangan kumpulan
yang dibentuk. Mereka tidak menyediakan lebih dengan alasan semua peralatan dan bahan yang
disediakan adalam dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
Apabila tiba waktu amali, semua guru tidak membenarkan pelajar masuk tanpa kebenarannya. Situasi
ini bagi mengelakkan pelajar bermain dengan peralatan dan bahan yang disediakan. Pelajar
dibenarkan masuk dan terus berada dalam kumpulan masing-masing berdasarkan meja amali. Bagi
kumpulan pelajar yang ramai, guru mengarahkan pelajar mengecilkan kumpulan dengan bergerak ke
meja lain. Situasi ini menunjukkan guru peka kepada pengurusan pelajar yang memberi kesan kepada
penggunaan peralatan dan bahan amali.

Dalam sesi penerangan, semua guru memberi tujuan amali serta prosedur amali. Ia diikuti dengan
maklumat peralatan dan bahan yang diperlukan. Didapati hanya guru D dan E yang menunjukkan
setiap peralatan yang diperlukan serta cara menggunakannya. Situasi ini membantu pelajar agar dapat
menggunakan peralatan dengan cara yang betul. Didapati juga, tiada seorang guru pun mengingatkan
pelajar cara memastikan peralatan yang digunakan selamat dan dijaga dengan baik. Bagi pengagihan
peralatan pula, semua guru mengarahkan setiap kumpulan mengambil satu set. Bagaimanapun, semua
guru tidak mengarahkan hanya wakil kumpulan sahaja yang mengambilnya. Keadaan ini mengundang
suasana yang kelam kabut serta tidak terkawal.

Apabila pelajar telah mula memasang peralatan dan radas, didapati semua guru mula memantau
aktiviti pelajar. Didapati dalam kelas Guru A, C dan D, pembantu makmal turut membantu pelajar
menguruskan peralatan. Situasi ini menjadikan amali yang dibuat berjalan lancar dan data yang tepat
diperolehi. Pemantauan guru dan pembantu makmal juga menyebabkan pelajar terkawal dari bermain
atau menyalahguna peralatan dan bahan yang disediakan. Selesai menjalankan amali, semua guru
mengarahkan pelajar membersihkan peralatan dan bahan serta memulangkan kembali.

b. Mengenal pasti persepsi guru terhadap pengurusan peralatan amali dalam pengajaran
amali Fizik.

Hasil penganalisisan soal selidik terbuka menunjukkan semua guru menyatakan bahawa pelajar lebih
seronok dan aktif menjalankan amali kerana mereka boleh berinteraksi sesame pelajar serta dengan
peralatan dan bahan yang disediakan. Guru turut menyatakan kaedah amali mempunyai kelebihan
tersendiri kerana pelajar diberi peluang menggunakan peralatan dan bahan sains untuk menyelesaikan
masalah. Pelajar juga lebih aktif dan berkemahiran saintifik apabila mereka menggunakan peralatan
dan bahan yang disediakan.

Dari data kekurangan kaedah amali serta masalah yang dihadapi dalam kaedah amali, semua guru
menyatakan masih lagi terdapat kekurangan peralatan untuk amali tertentu. Mereka menyatakan
bahawa peralatan yang diperlukan tiada, tidak memenuhi spesifikasi, tidak mencukupi serta tidak
berfungsi dengan baik. Ada juga seorang guru yang menyatakan kaedah amali bermasalah untuk
dilaksanakan kerana pelajar tidak terkawal dan sering bermain dengan peralatan dan bahan yang
disediakan.

Dalam mendapatkan pandangan guru tentang kaedah amali, analisis data menunjukkan guru cadangan
supaya bajet ditambah untuk membeli peralatan amali. Mereka juga mencadangkan supaya bilangan
pelajar dalam setiap kelas sains dikurangkan supaya guru dapat membentuk kumpulan amali yang
kecil. Situasi ini bagi memastikan semua pelajar dapat berinteraksi dengan peralatan dan bahan yang
digunakan. Selain itu, guru juga mencadangkan agar pembantu makmal sentiasa ada di makmal
sepanjang kelas amali dijalankan. Ia bertujuan membantu memantau pelajar memasang dan
menggunakan peralatan dangan betul serta mengelakkan penyalahgunaannya.

KESIMPULAN

5
Pengajaran amali yang juga dikenali sebagai kerja amali, kerja makmal, eksperimen atau
ujikaji, dilaksanakan di makmal yang berorientasikan pelajar. Ia melibatkan peralatan dan
perkakasan makmal, bahan kimia, spesimen segar atau awet (Nurzatulshima 2011; Jordan et
al. 2011). Pembelajaran melalui amali lebih cepat berlaku kerana pelajar menjalankan
penyiasatan sendiri bagi memperolehi maklumat melalui bahan yang sebenar.

Charles dan Senter (2002) menyatakan pengurusan adalah amat penting dalam pengajaran,
tanpanya pengajaran akan gagal atau sukar berlaku. Dalam amali sains, pengurusan juga amat
penting memandangkan kerja amali dilakukan sendiri oleh pelajar serta melibatkan pelbagai
peralatan dan bahan. Harlen (2000) dan Nurzatulshima (2010) turut menyatakan bahawa
guru-guru sains meletakkan kecekapan pengurusan kelas sebagai keperluan utama dalam
menjalankan aktiviti amali. Guru perlu mempunyai kemahiran mengurus agar amali yang
dilakukan dengan pelbagai peralatan dan bahan dapat disempurnakan dengan baik.

Sebagai rumusan kajian, aspek pengurusan peralatan dan bahan amali perlu ditekankan oleh
semua guru sains yang menjalankan pengajaran amali. Guru perlu menyediakan peralatan dan
bahan amali dengan bilangan yang sesuai serta dapat berfungsi dengan baik. Peranan
pembantu makmal perlu dioptimumkan agar pengurusan peralatan amali lebih berkesan
dalam pengajaran amali. Berikut merupakan cadangan pengurusan peralatan amali bagi
memantapkan perlaksanaan kaedah amali oleh guru-guru Fizik khasnya dan guru-guru Sains amnya:

a) Mengenal pasti peralatan amali yang diperlukan untuk amali yang dipilih
b) Memeriksa kesediaan peralatan dan bahan amali
c) Memastikan kecukupan peralatan dan bahan amali
d) Menyediakan manual amali yang mengandungi butiran peralatan dan bahan amali
e) Menempah peralatan dan bahan amali sekurang-kurangnya tiga hari sebelum amali
f) Memeriksa peralatan dan bahan amali yang disediakan sebelum kelas amali
g) Membahagi pelajar kepada beberapa kumpulan kecil
h) Memberi penerangan prosedur amali yang lengkap
i) Menekankan prosedur pungutan data yang betul
j) Memaklumkan jenis, kuantiti dan lokasi peralatan dan bahan yang diperlukan
k) Menunjukkan cara penggunaan peralatan dan bahan yang diperlukan
l) Menekankan aspek keselamatan semasa menggunakan peralatan dan bahan amali
m) Mengarahkan pelajar mengambil dan memulangkan peralatan dan bahan amali
dengan teratur
n) Mengawal aktiviti amali pelajar dengan bantuan pembantu makmal


RUJUKAN
Aizzat Mohd. Nasurdin, Intan Osman & Zainal Ariffin Ahmad. 2006. Pengantar
Pengurusan. Universiti Sains Malaysia: Utusan Publications& Distributors Sdn. Bhd.
Bahagian Pendidikan Guru (BPG). 2009. Standard Guru Malaysia. Bahagian Pendidikan
Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Charles, C.M. & Senter, G.W. 2002. Elementary Classroom Management. 3
rd
Ed. Boston:
Allyn and Bacon.
Fayol, H. 1988. General and Industrial Management. London: Pitman.
Harlen, W. 2000. Teaching, Learning and Assessing Science 5-12. 3
rd
.Ed. London: Paul
Chapman Publishing Ltd.
Hayward, D. 2003. Teaching and Assessing Practical Skills in Science. Cambridge:
Cambridge University Press.
6
Jordan, R.C., Ruibal_Villasenor, M., Hmelo-Silver, C. E & Etkina, E. 2011. Laboratory
materials: Affordances or constraints? Journal of Research in Science Teaching. 48(9):
1010-1025.
Kalu, I. 2004. Secondary school students perceptions of the environment of the science
laboratory. Science Education International. 15(2): 115 124.
Lawson, A.E. 2000. Managing the inquiry classroom: Problems and solutions. Dalam The
American Biology teacher. 62 (9): 641-648.
Lemlech, J.K. 2004. Teaching in Elementary and Secondary Classrooms: Building a
Learning Community. Upper Saddle River, New Jersey: Pearson Merrill Prentice Hall.
Noraini Idris. 2010. Penyelidikan dalam pendidikan. Kuala Lumpur: McGraw Hill.
Nurzatulshima Kamarudin. 2010. Pengurusan peralatan dan bahan amali dalam pengajaran
amali Fizik. Prosiding Seminar Kebangsaan Aplikasi Sains dan Matematik 2010. Johor
Bahru. 8-10 Disember.
Nurzatulshima Kamarudin. 2011. Pengurusan masa dalam pelaksanaan amali sains oleh guru
novis. Transformasi Dan Inovasi Dalam Pendidikan. Zamri Mahmood, Jamalulail Abdul
Wahab & Mohamed Sani Ibrahim (Editor). Fakulti Pendidikan: UKM.
Sampson, V. 2004. The science management observation protocol. The Science Teacher. 71
(10): 30-33.
Sharifah Maimunah Syed Zin. 2001. Pembangunan Pendidikan 2001-2010: Pendidikan
Menengah. Kertas kerja Seminar Pembangunan Pendidikan 2001-2010: Perancangan
Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan. Kuala Lumpur. 8-10 Oktober.
Siti Aisyah Abd. Rahman & Suhaili Zakaria. 2004. Pendidikan Sains dan Teknologi di
Malaysia: Tinjauan Terhadap Pelaksanaannya ke Arah Pembangunan Malaysia. Kertas
kerja Persidangan Kebangsaan Sains, Teknologi dan Masyarakat: Ke Arah Pembangunan
yang Bersepadu. Universiti Malaya: Kuala Lumpur. 10-11 Disember.
Sweeney, A. E. & Paradis, J. A. 2003. Developing a laboratory model for the professional
preparation of future Science teachers: A situated cognition perspective. Dalam Research
in Science Education. 34 (2): 195 219.
Syopiah Abdul Rahman. 2002. Persepsi pelajar Terhadap Pengajaran Amali Sains
berdasarkan Kelengkapan Makmal, Kemampuan Aktiviti Makmal untuk memupuk Nilai-
nilai murni dan Meningkatkan Minat Pelajar. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Tang Hai Teng. 1998. Persepsi pelajar terhadap P & P Fizik di lima buah sekolah menengah
kebangsaan di daerah Pontian dan hubungannya dengan pencapaian Fizik tingkatan
empat. Kertas Laporan. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.


PENGHARGAAN
Kertas kerja ini merupakan sebahagian daripada penyelidikan yang dibiayai oleh Skim Geran
Penyelidikan Universiti (RUGS), Universiti Putra Malaysia. (No. Projek: 06-01-09-0863RU).

You might also like