You are on page 1of 25

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

(PPSMI)

1.0 Pengenalan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ialah nama
rasmi bagi satu dasar pendidikan Malaysia yang menetapkan bahasa Inggeris menggantikan
bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematik di
semua peringkat pendidikan. Dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak
dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada tahun 2003. Akhirnya pada
8 Julai 2009, dasar ini akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2012 seperti yang diumumkan
oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah kajian mendalam dilakukan.[1]

2.0 Sejarah perlaksanaan


PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat
Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke4, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, ia dilaksanakan
secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua
murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah
untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk
peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.[2]

3.0 Objektif
Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia[3]:
Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan
kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan

persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi. Umum
mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan
penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan
baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan
dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam
bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini. Ketika mencadangkan dasar ini, Tun
Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan
diharapkan

dasar

ini

memberi

kelebihan

kompetitif

kepada

negara,

mencontohi

kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan
bahasa Inggeris.[4]

4.0 Pelaksanaan
PPSMI dilaksanakan kepada kemasukan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun
persekolahan 2003; pelajar-pelajar lain pula tidak terlibat, sebaliknya meneruskan pembelajaran
Sains dan Matematik dalam bahasa perantara lama. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI
berbentuk pakej yang terdiri daripada komponen-komponen berikut:
a) Buku Teks (Textbook): Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan
pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
b) Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book): Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk
murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik
yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang
dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik
Tahap Satu sahaja.
c) Buku Panduan Guru (Teacher's Guide): Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai
sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru
mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti

guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik
untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
d) MyCD (Pupil's CD-ROM): MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan
kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui
persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif,
permainan, simulasi dan e-ujian.
e) CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM): CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam
merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM
Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan
pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan
Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
f) Buku Amali Sains (Science Practical Book): Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan
mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran
dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap
Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
g) Buku Glosari: Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk
mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.
Bagi perlaksanaan pada sekolah-sekolah jenis kebangsaan (Cina) setelah bantahan dibuat
oleh Dong Jiao Zong satu kompromi oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional, satu formula 2-43 telah dilaksanakan mulai tahun 2003 untuk Tahap I dengan menggunakan bahasa Inggeris dan
bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala
bagi Tahap II, formula 6-2-3-2 telah dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk tujuan tersebut.[5]

5.0 Hasil dan reaksi


Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan
idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan
pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran

murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa
perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di
peringkat sekolah rendah.
Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa
ibundanya bukan bahasa Inggeris (luar bandar) akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang
bahasa ibundanya merupakan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat
memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti
peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran
berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka. [1]
Sokongan terhadap perlaksanaannya juga bergantung kepada bahasa ibunda/harian yang
digunakan. Dengan itu pembaca akhbar Inggeris yang cenderung menggunakan bahasa Inggeris
dalam pertuturan harian menyokong perlaksanaannya, sementara pembaca akhbar berbahasa
Tempatan (Akhbar Melayu, India dan Cina) yang bahasa ibunda bukan bahasa Inggeris
cenderung membantah perlaksanaannya.

5.1 Prestasi akademik


5.1.1 Peperiksaan
Pada tahun 2007, kelompok pelajar sekolah menengah pertama yang melalui PPSMI mengambil
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Keputusan rasmi memperlihatkan peningkatan, khususnya
bagi mata pelajaran berkenaan ilmu sains dan matematik. Menurut pemangku Pengarah Jabatan
Pendidikan Johor, Ramlan Sariman, mata pelajaran Biologi menunjukkan peningkatan kelulusan
sebanyak 4.87% (91.45%-96.32%), Matematik Tambahan 6.81% (68.61%-74.76%), Fizik 8.76%
(94.87%-97.63%), Matematik 1.04% (77.61%-78.65%) dan Sains Tambahan 4.29% (86.25%90.54%), sekaligus membuktikan bahawa bahasa perantara bukan penghalang dalam kejayaan
dalam pelajaran peringkat menengah.[2]
Pada tahun 2008, 518,616 pelajar sekolah rendah perintis PPSMI menduduki Ujian
Penilaian Sekolah Rendah. Para pelajar diberi pilihan menjawab soalan Sains dan Matematik
dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau Tamil atau lebih dari satu bahasa tersebut. Pada 13

November, keputusan rasmi dilaporkan mencatatkan hasil yang menggalakkan dari segi
penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik. Ketua Pengarah
Pendidikan Datuk Alimuddin Mohd Dom dilaporkan berkata, 159,234 orang murid (31% dari
keseluruhan pelajar) menjawab kertas Sains dalam bahasa Inggeris sementara untuk kerta
Matematik, bilangannya adalah 238,153 orang (46%).[3]
Walau bagaimanapun, keputusan ini dipertikaikan oleh sesetengah pihak. Menurut
Presiden Kesatuan Guru-guru Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Mohd Arshad, "sebanyak
31.1 peratus murid-murid yang menguasai pembelajaran itu khususnya subjek sains ataupun
matematik adalah dari kalangan mereka yang tinggal di bandar dan mempunyai latar belakang
keluarga berpendidikan. Mereka yang tinggal di luar bandar masih lagi menggunakan bahasa
ibunda, maka memberi kesan kepada jurang perbezaan yang jauh," di samping menggesa
kerajaan memperkasakan Bahasa Inggeris itu sendiri dengan menambahkan waktu pembelajaran
selaras dengan subjek bahasa lain.[4]

5.2 Kaji selidik akademik


5.2.1 Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina)
Kajian "Tahap Kompetensi Guru dalam PPSMI serta Implikasinya terhadap Pembangunan
Modal Insan Murid" mendapati dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) membantutkan tahap kecerdasan murid serta merugikan generasi akan
datang. Kajian ini mendapati PPSMI hanya mampu menunjukkan peningkatan minimum kepada
penguasaan bahasa Inggeris sebanyak empat peratus dan pada masa yang sama mengurangkan
minat untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik.[5]
Kajian oleh Permuafakatan Badan Ilmuah Nasional ini menggunakan kepakaran 53 pakar
bahasa dan melibatkan tujuh universiti awam dibuat pada Jun hingga Disember 2008. Antara
universiti terlibat termasuklah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.[6]
Kos kajian adalah sebanyak RM470,000, melibatkan 15,089 orang daripada pelbagai
jenis dan aliran sekolah dari pelbagai kawasan perbandaran seluruh negara. Seramai 553 guru

termasuk pengetua, guru besar dan penolong kanan sekolah turut dipilih sebagai sampel bagi
kajian yang dijalankan selama tujuh bulan.
Antara hasil kajian juga mendapati PPSMI:
a) menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid
yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran
terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
b) PPSMI telah dan akan membunuh minat, semangat dan keghairahan murid-murid untuk
belajar Sains dan Matematik sejak di peringkat sekolah rendah lagi.
c) Hasil kajian merumuskan PPSMI harus ditamatkan dan mengembalikan sistem pengajaran
sebelum dasar itu diperkenalkan pada 2003. Laporan eksekutif kajian ini diedarkan buat pertama
kali kepada umum di Kongres Kebudayaan Melayu Kedua anjuran Gabungan Persatuan Penulis
Nasional (Gapena), Persatuan Sejarah Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara dan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur pada 18 Mac 2009.

5.2.2 Kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007)
Kajian antarabangsa yang dinamakan Trends in International Mathematics and Science Study
(TIMSS 2007) [7] dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut Hill,
Massachusetts, Amerika Syarikat. Kajian penting ini walaupun tidak merujuk secara khusus
kepada dasar PPSMI tetapi ia mengenai pencapaian matematik dan sains (pelajar Gred 8 atau
Tingkatan 2) yang membabitkan 59 negara termasuk Malaysia pada tahun 2007.[8]
Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar Malaysia dalam matematik dan
sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508
mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak 34 mata. Skor sains pula merosot
kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492 bagi kohort 1999. Ini mencatatkan
penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.
Kemerosotan skor purata pencapaian pelajar Malaysia sebanyak 34 mata bagi matematik
dan 40 mata bagi sains adalah besar, mengikut laporan itu dan terbesar sekali di kalangan 59

negara itu. Antara hasil kajian, didapati hanya dua peratus pelajar Malaysia tergolong dalam
kategori Advanced Benchmark Matematik dalam TIMSS 2007 berbanding enam peratus pada
2003.
Bagi kategori Highbench Mark (skor 550), peratus dalam kategori ini merosot kepada 18
peratus pada 2007 daripada 30 peratus pada 2003. Dalam Intermediate Benchmark (skor 475)
pula merosot daripada 71 peratus dalam 2003 kepada 50 peratus bagi 2007. Penurunan Malaysia
adalah paling ketara berbanding negara lain.
Berdasarkan perbandingan dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia dalam ketiga-tiga
kategori matematik juga merosot. Dalam kategori Advanced Benchmark Mathematics TIMSS
2007, hanya dua peratus pelajar Malaysia berada dalam kategori ini berbanding Taiwan (45
peratus), Korea (40 peratus), Singapura (40 peratus), Jepun (26 peratus), Hungary (10 peratus),
England dan Russia (lapan peratus), Amerika Syarikat (enam peratus) dan Serbia (lima peratus).
Dalam kategori 'High Benchmark 550' Matematik, hanya 18 peratus pelajar Malaysia
tergolong kategori ini, berbanding Taiwan dan Korea (71 peratus), Singapura (70 peratus), Jepun
(61 peratus) England (35 peratus), Hungary 36 (peratus), Russia (33 peratus), Amerika Syarikat
(31 peratus), Australia dan Serbia (24 peratus) dan Romania (20 peratus). Secara bandingan
dengan negara lain, peratus pelajar Malaysia yang tergolong dalam ketiga-tiga kategori
pencapaian sains juga merosot secara mendadak.
Laporan TIMSS mengenai faktor yang dikaitkan dengan pencapaian matematik dan sains
ialah di kebanyakan negara mendapati pelajar belajar matematik dan sains dalam bahasa
keluarga (home language) puratanya lebih tinggi pencapaian ujian TIMSS berbanding pelajar
yang belajar kedua-dua mata pelajaran ini dalam bukan bahasa keluarga atau bahasa kedua/asing.
Hasil kajian TIMSS ini menunjukkan wujud hubungan rapat antara proses pembelajaran
matematik dan sains dalam bahasa asing, selain bahasa ibunda dengan kelemahan dalam prestasi
subjek berkenaan. Semua negara dalam kajian TIMSS 2007 yang pelajarnya mengguna bahasa
keluarga dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah seperti Taiwan, Korea, Jepun,
Singapura, England dan Romania mencapai skor yang tinggi.

5.2.3 Kajian Prof Dr Nor Hashimah Jalaludin


Satu kajian telah dilakukan oleh Prof Dr Nor Hashimah pada tahun 2004 menunjukkan
75% pelajar setuju belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris mendatangkan masalah
pemahaman dan 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan Sains dan
Matematik dengan berkesan. Kajian sama yang dibuat ke atas guru pula mendapati 96% guru
setuju pelajar semakin kurang minat dalam Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris
dan 98% guru setuju pelajar mempunyai masalah memahami Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris. Sampel bagi kajian ini adalah seramai 971 orang pelajar bumiputera dan bukan
bumiputera dalam aliran kebangsaan dan jenis kebangsaan di bandar dan luar bandar. Sementara
bagi guru ia melibatkan 43 orang guru yang berpengalaman mengajar 1 hingga 20 tahun berumur
melebihi 25 tahun pada tahun kajian dibuat.[9]

5.2.4 Kajian UPSI


Pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris menerbitkan hasil kajian mengenai kesan dasar
PPSMI pada April 2008, berasaskan tiga kali tinjauan soal selidik dan ujian terhadap muridmurid Tahun Lima, iaitu pada bulan-bulan Februari 2007 (sampel bersaiz 1564 orang) dari 27
buah sekolah rendah; Julai 2007 (636 orang) dari 13 buah sekolah; dan Januari 2008 (1703
orang) dari 28 buah sekolah. Menurut abstrak kajian tersebut [10]:

Lebih 80% murid menyatakan yang guru Matematik dan Sains mereka mengguna
campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua mata
pelajaran ini. Purata lebih 70% murid menyatakan mereka tidak faham/kurang faham
pengajaran guru Matematik dan dan 80% Sains dalam Bahasa Inggeris, dan mereka
sukar/agak sukar mempelajari kedua-dua mata pelajaran ini. Prestasi murid dalam
Ujian Matematik dan Sains rendah, terutama item-item yang memerlukan murid
membaca arahan dalam Bahasa Inggeris dan menyelesaikan masalah. Bagi kohort
Januari 2008 skor min Matematik 7.89 daripada skor maksimum 20.0; dan skor min
Sains hanya 4.08 daripada maksimum 14.00. Skor min Bahasa Inggeris juga rendah iaitu
11.87 daripada skor maksimum 31.0. Kelemahan ini nyata sekali di kalangan murid

Melayu dan murid Orang Asli, berbanding murid Cina dan India. Dapatan dari
kajian-kajian ini menunjukkan objektif asal dasar PPSMI tidak tercapai, bahkan negatif:
ia menyusah dan melemahkan lagi pembelajaran Matematik dan Sains pelajar, dan
terlalu sedikit meningkatkan pembelajaran Bahasa Inggeris pelajar.
Kajian ini turut menerima bidasan oleh sesetengah pihak kerana kajiannya yang tidak
kurang kepincangannya. Antara kelemahan utama yang ditekankan adalah: kelemahan guru
berbahasa Inggeris dikaitkan dengan kegagalan dasar padahal ini masih boleh dibaiki;
kekurangan analisa statistik dalam data yang memerlukan sampel terlibat dibahagi mengikut
latar belakang sekolah dan murid; ketiadaan kelompok kawalan sebagai alat perbandingan
statistik untuk mengukuhkan hujahnya, memandangkan semua sekolah mengajar dalam bahasa
Inggeris [11]; perbandingan hasil soalan berbahasa Inggeris dan soalan berbahasa Malaysia, yang
mana hanya 37.3% menjawab soalan berbahasa Malaysia berkenaan dengan betul berbanding
39.6% yang menepati soalan berbahasa Inggeris itu, menjadikan hasil kajian ini seolah-olah tidak
menyokong dengan sebaiknya saranan kajian ini agar memansuhkan dasar ini. [12]

5.3 Reaksi dari bidang pendidikan


5.3.1 Kesan negatif
Menurut satu memorandum yang dikarang bersama oleh 11 pertubuhan pendidikan
sekitar hujung tahun 2007, dinyatakan bahawa kajian-kajian telah dijalankan untuk membuktikan
bahawa PPSMI membawa kesan negatif di peringkat sekolah rendah, termasuk amaran dari
Kongres Pendidikan Melayu Kedua bahawa 500,000 orang pelajar Melayu akan keciciran dalam
mata pelajaran terbabit kerana lemah menguasai bahasa Inggeris; formula-formula "2-4-3" dan
"6-2-3-2" bagi SJK(C) bukan sahaja menjejaskan pembelajaran Sains dan Matematik, bahkan
juga bahasa Cina di kalangan murid-murid; Persatuan Pendidikan Tamil juga meluahkan
kebimbangan murid-murid SJK(T) yang kebanyakannya berasal dari keluarga miskin turut akan
menghadapi keciciran kerana ketidakmampuan menguasai bahasa Inggeris, sekaligus
memburukkan keadaan sosio-ekonomi masyarakat India kerana anak-anak sukar disalurkan ilmu
untuk menaikkan taraf hidup masyarakat mereka.[13]

5.3.2 Bahasa setempat lebih sesuai


Memorandum 11 pertubuhan tersebut turut menyentuh satu laporan kajian UNESCO yang turut
menegaskan bahawa pembelajaran mata pelajaran terpenting di peringkat sekolah rendah lebih
sesuai diajar dalam bahasa setempat. Ini sejajar dengan resolusi pendidikan yang diluluskan oleh
UNESCO (1951:691) yang berbunyi:

Berkenaan kepentingan pendidikan, kami menggesa supaya bahasa ibunda digunakan


selama yang boleh dalam semua peringkat pendidikan. Ini lebih-lebih lagi penting
supaya kanak-kanak memulakan pendidikan mereka dalam bahasa ibunda sebagai
bahasa penghantar, kerana itulah bahasa yang sangat mereka fahami, dan penggunaan
bahasa ibunda akan menghapuskan kelainan antara bahasa di rumah dan bahasa di
sekolah.

(On educational grounds we recommend that the use of the mother tongue be extended to as late
a stage in education as possible. In particular, pupils should begin their schooling through the
medium of the mother tongue, because they understand it best and because to begin their school
life in the mother tongue will make the break between home and school as small as possible.)
[14], [15]
Selain itu, memorandum juga merujuk laporan bertajuk Education for All: Policy Lessons
From High-Achieving Countries [16] ditulis oleh Santosh Mehrotra pada tahun 1998. Mehrotra
menegaskan kepentingan mengutamakan bahasa ibunda sebagai bahasa perantara dalam buku
yang dikarangnya bersama Enrique Delamonica bertajuk Eliminating Human Poverty:
Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth yang mencatatkan pemerhatian terhadap
persada pendidikan di benua Asia Selatan dan Afrika sub-Sahara, di mana adalah didapati
bahawa jika bahasa perantara bukan bahasa ibunda, lebih-lebih lagi jika ibu bapa pelajar itu buta
huruf, maka bertambah buruklah masalah belajar dalam persekitaran yang dikelilingi
kemiskinan, diiringi kemungkinan keciciran bertambah. [17]

5.3.3 Dasar memihak kepada keluarga di bandar


Bill Templer, seorang pensyarah kanan yang melawat di Fakulti Pendidikan Universiti
Malaya, berhujah dalam satu surat kepada akhbar, bahawa dasar ini berat sebelah kepada anakanak keluarga bandar yang berpendapatan tinggi, sambil meluaskan lagi jurang antara yang kaya
dan miskin, baik di bandar mahupun di luar bandar, malahan boleh juga menjejaskan
pemahaman konsep sains dan matematik kepada murid-murid biasa kerana mereka tidak
mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka.[18]

5.4 Reaksi awam


5.4.1 Bantahan golongan sasterawan, budayawan dan cendekiawan
Kebanyakan cendekiawan antaranya Prof Diraja Ungku Aziz termasuk golongan
sasterawan dan budayawan menyatakan penentangan kepada dasar PPSMI. Ini termasuk
kesemua Sasterawan Negara yang masih hidup di antaranya A. Samad Said, Prof Muhammad Hj
Salleh dan Anwar Ridhwan bersatu menyatakan pendirian menentang dasar PPSMI.[19] Mereka
menyatakan penentangan mereka dalam satu kenyataan bersama di sidang media pada 5 Mei
2009.[20]
Enam alasan yang diberikan diringkaskan seperti berikut:
a) Malaysia seharusnya mencontohi sistem pendidikan negara Scandinavia, Belanda, Belgium
dan Switzerland yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan tidak mengabaikan bahasa
ibunda.
b) Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang bukan sahaja datang daripada negara-negara
berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak berasal daripada negara bukan berbahasa Inggeris seperti
Perancis, Jerman, Jepun, Spanyol, Switzerland, India dan Bangladesh. Yang mencemerlangkan
mereka bukanlah bahasa lnggeris tetapi ilmu yang baru dan eksperimen yang penuh tekun dan
berterusan.
c) Beberapa masalah yang dihadapi Malaysia bukan berpunca daripada penguasaan bahasa
Inggeris. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah oleh Inggeris yang menggunakan bahasa

itu sebagai bahasa pengantar di sekolah tetapi masih tidak cemerlang dalam pentadbiran,
ekonomi dan ilmu. Sebaliknya di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi.
d) Kegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan
pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama
menjadi lingua franca".
e) Penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis
kewarganegaraan: yang pertama warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains
dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai
bidang-bidang sastera dan sains sosial, iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan
lebih rendah darjatnya.
f) Mereka menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas,
relevan dan kemaskini. Mereka tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa
antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajarkan.
Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa, MaIaysia perlu mempunyai sebuah
bahasa penyatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat
sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.

5.4.2 Ahli politik yang menyokong


Perbahasan mengenai dasar PPSMI tidak terlepas pandangan ahli politik, baik pihak
pembangkang mahupun pemerintah. Antara ahli politik yang mendukung dasar PPSMI ialah
Mukhriz Mahathir, anak kepada pencadang dasar itu sendiri. Beliau pernah menyatakan bahawa
tujuan mengajar matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bukanlah untuk
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, sebaliknya memudahkan rakyat mencapai
pengetahuan yang bernilai dalam bidang sains dan matematik melalui pengetahuan bahasa
Inggeris.[21]

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye turut menyokong PPSMI, beliau dilihat hanya
mengesyorkan untuk kerajaan bagi menangani kelemahan daripada dasar PPSMI ini dengan
lebih berkesan khususnya yang melibatkan kefasihan guru-guru dalam bahasa Inggeris. Namun
beliau tetap berpendirian bahawa tidak perlu dimansuhkan dasar PPSMI itu.[22]

5.4.3 Ahli politik yang menentang


Pada April 2008, pemimpin de facto Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
berkata "Pakatan Rakyat tetap tidak akan bertolak ansur mengenai kedudukan bahasa
kebangsaan dan lain-lain hal yang telah diputuskan melalui Perlembagaan Persekutuan sebelum
ini, dan "pimpinan mestilah serius dalam usaha meletakkan semula bahasa ibunda sebagai bahasa
pengantar Sains dan Matematik."[23] Anwar mengulangi ikrar beliau untuk mengembalikan
pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda sewaktu parti campuran Pakatan
Rakyat pimpinan beliau menerima memorandum membantah PPSMI dari Gerakan Mansuhkan
PPSMI di Kuala Terengganu pada 15 Januari 2009.[24]
YB Khairy Jamaluddin, naib ketua Pemuda UMNO, turut menggesa agar dikembalikan
bahasa kebangsaan sebagai perantara mata pelajaran Sains dan Matematik. Katanya,
"(Berdasarkan maklum balas akar umbi) bahasa Inggeris jadi tembok penghadang untuk fahami
sains dan matematik. Guru pun ada masalah untuk mengajar, bukan sahaja lidah tergeliat, proses
pengajaran juga terencat. Saya takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran."
Tambahnya lagi, cara terbaik bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris ialah dengan
memantapkan teknik pengajaran subjek itu secara menyeluruh, antara lain dengan
memperkenalkan pelajaran sastera bahasa Inggeris di sekolah.[25]
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan satu-satunya parti politik di Malaysia yang benarbenar memperjuangkan pengembalian bahasa Melayu sebagai bahasa untuk medium pengajaran
bagi subjek sains dan matematik, ini kerana menurut beliau, PPSMI yang diperkenalkan oleh
Kabinet Malaysia sejak tahun 2002, telah melanggar sekurang-kurangnya 5 peruntukan
perundangan dan Perlembagaan Malaysia iaitu, Perkara 8 (1) dan 153 Perlembagaan Persekutuan
Malaysia, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan 1996, Peraturan Mahkamah Tinggi 1987,

Penyata Razak 1956, Laporan Rahman Talib 1960. Tambahan, kaedah pelaksanaan PPSMI oleh
kerajaan Barisan Nasional dilihatnya sebagai suatu konsep prikmatik (percubaan yang dilakukan
jika tidak berjaya akan diundurkan).[26]

5.4.4 Penentangan awam: Gerakan Mansuhkan PPSMI


Sekitar akhir tahun 2008 dan awal tahun 2009, bangkitnya sebuah pergerakan bergelar
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang matlamat utamanya adalah memastikan dasar PPSMI
dimansuhkan secepat mungkin. Gerakan yang asalnya dikenali sebagai "Sekretariat Selamatkan
Bahasa Melayu" ini dipimpin Datuk Dr Hassan Ahmad, bekas ketua pengarah Dewan Bahasa
dan Pustaka.[27] Walaupun kelihatan erat dengan Pakatan Rakyat, GMP menolak tanggapan
bahawa mereka menyokong parti campuran tersebut[28], apatah lagi ada juga beberapa ahli
politik Barisan Nasional yang menyokong perjuangan mereka, misalnya Datuk Puad Zarkashi
dari UMNO.[29]
GMP mengadakan tunjuk perasaan pertama mereka di ibu kota, di perkarangan pusat
beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 31 Januari 2009, yang dihadiri oleh tokohtokoh berkenaan bahasa seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, penyair Dinsman dan
Pyanhabib, ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena) Ibrahim Ghaffar, aktivis teater
Khalid Salleh, serta ahli-ahli politik Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, dan Kamaruzzaman
Mohamad,[30] dan juga pejuang bahasa-bahasa Cina dan India seperti Yayasan Tamil Malaysia
dan Dong Jiao Zong.[31] Kemuncak bantahan GMP ke atas PPSMI ditunjukkan melalui
perarakan secara besar-besaran pada 7 Mac, di mana mereka menyerahkan memorandum kepada
Yang di-Pertuan Agong untuk memohon campur tangan baginda dalam menyelesaikan isu
PPSMI.[32]
Perjuangan GMP turut dibantu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang
cuba mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana melaksanakan dasar PPSMI
yang didakwa mereka sebagai mencabuli Perkara 152 Perlembagaan yang menetapkan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi.[33], di samping dilaporkan merancang untuk mengadakan tunjuk
perasaan

bergelar

"Keranda

152",

sempena

dakwaan

PPSMI tersebut

pada

bulan

Februari.[34]Akan tetapi pada 15 Februari 2009, tunjuk perasaan "Keranda 152" itu tidak

menjadi kenyataan, akhirnya mereka membuat laporan polis berhubung pelaksanaan dasar
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di Balai
Polis Brickfields, Kuala Lumpur yang diiringi kira-kira 20 tokoh bahasa dan diketuai oleh Ketua
1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussin dan berkata, laporan tersebut merupakan proses pertama
Gapena menggunakan saluran itu.[35]
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut kuat membangkang dasar
PPSMI. Pada 18 Februari 2009, PKPIM mengikut jejak Gapena membuat laporan polis yang
seumpamanya terhadap kerajaan di Balai Polis Gombak, Selangor.[36]

6.0 Perspektif
6.1 Perundangan: Percanggahan dengan perlembagaan
Menurut Prof Dr Aziz Bari, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sangat
jelas dalam Perkara 152 di mana segala urusan rasmi baik di peringkat persekutuan dan negeri
hendaklah dijalankan dalam bahasa itu. Walaupun terdapat pengecualian kepada penggunaan
bahasa Melayu oleh Yang Dipertuan Agong, PPSMI tidak boleh dihujah sebagai sesuatu yang
dibenarkan tambahan pula dasar ini tidak dilaksanakan melalui parlimen tetapi dibuat oleh pihak
eksekutif secara tiba-tiba yang sepatutnya perlu melalui proses rundingan dan perbincangan
awam.[37] Polisi ini sudah pun dicabar pada tahun 2002 yang oleh empat orang pelajar Melayu
Perak pada tahun 2002 kerana melanggar Perkara 152.[38] Menurut Prof Dr Aziz lagi,
mahkamah belum membuat keputusan mengenai PPSMI sedangkan dalam kes Universiti
Merdeka pada tahun 1981,[39] isu Perkara 152 Perlembagan Persekutuan telah timbul dan
diputuskan oleh mahkamah. Dalam kes Universiti Merdeka ini, mahkamah telah menolak
petisyen penubuhan Universiti Merdeka yang akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa
pengantar kerana bertentangan dengan Perkara 152.
Menurut bekas pengerusi MAS, Tan Sri Dato' Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata
bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains tidak sah di sisi
undang-undang kerana bertentangan dengan seksyen 17(1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan
dengan sendirinya bercanggah dengan kehendak dan tujuan Artikel 152(1) dan 152(6)

Perlembagaan Malaysia.[40] Kenyataan ini disokong oleh ramai penulis muda Malaysia seperti
Faisal Tehrani[41] dan lain-lain.

7.0 Nasib PPSMI


7.1 Rencana utama: Pemansuhan PPSMI
Sepanjang separuh kedua tahun 2008, Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima sesi
persidangan meja bulat di kalangan ahli-ahli akademik, persatuan ibu bapa dan guru, kesatuan
perguruan dan pertubuhan bukan kerajaan, untuk mengkaji semula dasar PPSMI dan dijangka
mengambil keputusan terhadap PPSMI pada hujung tahun, berdasarkan keputusan UPSR dan
faktor-faktor lain.[42] Di sidang terakhir pada bulan Disember, usul-usul yang dikemukakan para
hadirin persidangan dikumpul menjadi tujuh pilihan berkenaan nasib dasar ini, iaitu:[43]
a) Meneruskan PPSMI seperti sedia ada;
b) Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi
meneruskan PPSMI di sekolah menengah;
c) Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah;
d) Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan
sepenuhnya di sekolah menengah;
e) Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah;
f) Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa
pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah
menengah; dan
g) Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains
dalam mata pelajaran lain.

Pada 8 Januari 2009, Datuk Hishamuddin berkata keputusan muktamad mengenai nasib
PPSMI hanya akan dicapai pada "tahun hadapan", walaupun hampir selesai mengkaji segala
maklum balas yang dikumpul.[44]
Setelah Dato' Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pentadiran negara selaku
Perdana Menteri pada bulan April, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi
Menteri Pelajaran baru. Pada bulan Mei, Tan Sri Muhyiddin berkata beliau masih belum puas
hati dengan yang hasil kajian yang pernah dilakukan dan dibentangkan di sesi perbincangan meja
bulat, oleh itu tidak dapat mencapai kata putus mengenai nasib dasar PPSMI[45], sebaliknya
masih membuka pintu kepada kajian dan memorandum baru oleh semua pihak mengenai isu
ini.[46]
Akhirnya pada 8 Julai 2009, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengumumkan dasar PPSMI diberhentikan mulai tahun 2012 setelah melakukan kajian
mendalam.[47]. Dalam pada itu Tun Mahathir Mohamad memberi reaksi tidak puas hati, lalu
mengadakan undian isu tersebut di blognya bagi menguji sikap terhadap dasar Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).[48] Hasilnya dari 100,024
undi, 86% penjawab mengundi tidak kepada soalan sama ada matapelajaran sains dan matematik
harus kembali ke bahasa kebangsaan sebagai pengantar.[49]
Bagaimanapun, pada 9 Ogos, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan para pelajar yang
memulakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris boleh meneruskannya
hingga tamat sekolah menengah[50] sekaligus menundakan pemansuhan sepenuhnya PPSMI ke
tahun 2014. Sehubungan dengan itu, beliau memperkenalkan dasar MBMMBI (Memartabatkan
Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris) sebagai ganti PPSMI yang memberi tumpuan
kepada peningkatan pembelajaran matapelajaran bahasa-bahasa, sambil mengaku bahawa
kerajaan tidak akan kembali ke dasar PPSMI.[51] Pada masa yang sama, kerajaan berdepan
dengan gesaan agar sekolah berbahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikembalikan dalam
sistem pendidikan negara demi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan anak-anak
Malaysia.[52]
Pada 7 Mei 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan yang difailkan
pada 21 Januari 2006 oleh empat orang pelajar, termasuk Mohammad Syawwaal Mohammad

Nizar (anak lelaki Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin), agar mengisytiharkan PPSMI
sebagai batal dan tidak sah, setelah hakim memutuskan bahawa "dua surat pekeliling ikhtisas
berhubung pelaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (Cina dan Tamil)
adalah tidak bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan."[53]
Sekitar masa kontoversi PPSMI memuncak, wujudnya sebuah pertubuhan penyokong
PPSMI,

bernama

Persatuan

Ibu

Bapa

Untuk

Pendidikan

Malaysia

(PAGE)

yang

memperjuangkan PPSMI supaya dijadikan pilihan untuk sekolah-sekolah yang ingin


menyambung pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Atas tujuan tersebut,
mereka menghantar memorandum kepada kerajaan pada 19 Januari 2011.[54] Tegas Pengerusi
PAGE Datin Noor Azimah Abdul Rahim, "pencapaian cemerlang" pelajar dalam peperiksaan
awam yang diambil oleh pelajar yang menjalani PPSMI pada tahun 2010 membuktikan
keberkesanan dasar tersebut, malah penguasaan Bahasa Kebangsaan di kalangan pelajar tidak
terjejas pula oleh pelaksanaan dasar tersebut.[54] Tambahnya pula, PPSMI tidak pernah
mendukung gagasan pembelajaran bahasa Inggeris menerusi Sains dan Matematik, sebaliknya
bertujuan membantu pemerolehan ilmu dalam bahasa Inggeris selaku lingua franca ilmu sains
dan matematik.[55] Bagaimanapun kajian tempatan itu tidak mengambil kira dapatan kajian
antarabangsa dalam "Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS
2007)".[56] Kajian tersebut dibuat oleh Sekolah Pendidikan Lynch, Boston College, Chestnut
Hill, Massachusetts, Amerika Syarikat. Hasil kajian menunjukkan skor purata pencapaian pelajar
Malaysia dalam matematik dan sains merosot dengan ketara. Skor matematik 2007 merosot
kepada 474 mata berbanding 508 mata pada 2003 dan 519 bagi 1999, iaitu penurunan sebanyak
34 mata. Skor sains pula merosot kepada 471 mata pada 2007 daripada 510 pada 2003 dan 492
bagi kohort 1999. Ini mencatatkan penurunan 40 mata antara 2007 dan 2003.
Pada April 2011, Kementerian Pendidikan mengumumkan hasrat untuk membenarkan
semula pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris untuk sekolah-sekolah
terpilih.[55]
Pada 4 November 2011, Kabinet Malaysia telah memutuskan pemansuhan Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah "kekal" dan
kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula PPSMI seperti dituntut sesetengah pihak.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merangkap sebagai Menteri Pelajaran Malaysia,

Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PPSMI di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam Bahasa
Melayu sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah bagi kedua-dua mata pelajaran
itu akan dilaksanakan sepenuhya pada 2021.
Kabinet juga memutuskan untuk membenarkan murid kohort PPSMI untuk meneruskan
pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris sehingga Tingkatan Lima.
Ini bermakna murid kohort PPSMI boleh memilih sama ada untuk meneruskan Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia atau dalam kedua-dua bahasa apabila mereka
memasuki Tingkatan 1 bermula tahun depan.[57]
Dalam perkembangan lain, dalam satu wawancara televisyen di TV3 dalam program Soal
Jawab yang disiarkan kepada umum pada jam 11.00 malam 9 November 2011, Tan Sri
Muhyiddin telah mengakui PPSMI yang dijalankan di Malaysia, telah menemui kegagalan dan
tidak mencapai hasrat dan dasar kerajaan dalam menggunakan kaedah pembelajaran Sains dan
Matematik dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya beliau dilihat lebih berpendirian dalam
menegakkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris
(MBMMBI). Walaubagaimanapun dalam wawancara tersebut, Tan Sri Muhyiddin tidak
menjelaskan secara terperinci tentang kesan dan nasib pelajar lepasan persekolahan yang akan
melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi khususnya di Malaysia, yang kini rata-rata IPT
(baik IPTA dan IPTS) menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara pengajaran dan
mengenepikan bahasa Melayu. Di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat hanya
merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa perantara dan pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam
pelbagai bidang.

6.1 Persepsi pelajar


Berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran Malaysia, berkenaan dengan peratusan pelajar
yang memilih untuk meneruskan pembelajaran bagi subjek sains dan matematik dalam bahasa
Melayu, sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3
Januari 2011 memilih menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dan dwibahasa bagi

mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik. Manakala hanya 11 peratus pelajar memilih
belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.
Berdasarkan peratusan tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
berkata ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa
Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran
dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.
Beliau turut mendakwa, bahawa anggaran tersebut telah lama diramalkan, kerana itu
kerajaan menetapkan untuk meminda PPSMI kepada MBMMBI.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyifatkan dasar yang diputuskan itu sesuai
dengan tahap keupayaan pelajar yang akan mengikuti proses Pembelajaran dan Pengajaran
(P&P) bagi Sains dan Matematik.
Jawatankuasa Khas MBMMBI merumuskan 164,324 pelajar bersetuju menggunakan
bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik, berbanding
56,025 orang pelajar berhasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik
pula seramai 56,248 pelajar.
Selebihnya seramai 258,622 orang pelajar berhasrat untuk mempelajari Sains dan
261,600 orang lagi ingin pelajari Matematik dalam dwibahasa.
Tambahan itu, Muhyiddin akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris pada tahun 2012
bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan
negara.
Katanya, majlis tersebut bakal berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan
tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan
kerjasama dengan Universiti Cambridge.
Muhyiddin juga menetapkan mulai tahun depan beberapa sekolah dipilih menyertai
projek rintis apabila ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka menerusi
konsep maya.[58]

Rujukan
1. "PPSMI dimansuhkan mulai 2012". Malaysiakini. 8 Julai 2009. Diperoleh pada 8 Julai 2009.
2. "Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI)". Kementerian Pelajaran
Malaysia. 2008-08-07. Diperoleh pada 2009-02-16.
3. Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik (PPSMI) Kementerian Pelajaran
Malaysia
4. MacKinnon, Ian (2008-01-18). "Immersion is a difficult lesson". The Guardian. Diperoleh
pada 2008-07-20.
5. KEMBALIKAN BAHASA IBUNDA: Mengembalikan Penggunaan Bahasa Ibunda Sebagai
Bahasa Pengantar Dan Bahasa Peperiksaan Bagi Mata Pelajaran Sains Dan Matematik Di
Sekolah Rendah; Memorandum kepada Y.A.B. DatoSeri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia Daripada Pertubuhan-Pertubuhan Pendidikan Pelbagai Kaum, 27
November 2007.
6. Mother TongueBest for Learning
7. Farik Zolkepli (2008-03-14). "Official: Use of English not a hindrance". the Star. Diperoleh
pada 2008-07-20.
8. Chapman, Karen; MacIntyre, Ian (2008-11-14)."Many more opt for English". Diperoleh pada
2008-11-16.
9. Salmiyah Harun (2008-11-16). "Penggunaan BI dalam UPSR 2008 belum membanggakan Kesatuan Guru". Harakah. Diperoleh pada 2008-11-16.
10. Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI
11. Laporan Eksklusif Pembina
12. Sila klik untuk muat turun laporan

13. Dr Isahak Haron (2009-03-04). "Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik".
Berita Harian.
14. "Penerimaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris". Bahasa dan Budaya
(blog). 2009-02-04. Diarkibkan daripada asalpada 2009-02-06. Diperoleh pada 2009-03-18.
15. Prof. Emeritus Dato Isahak Haron et. al. (April 2008). "KESAN DASAR PENGAJARAN
MATEMATIK DAN SAINS DALAM BAHASA INGGERIS DI SEKOLAH RENDAH".
Diperoleh pada 2008-09-07.
16. "Continue Teaching Science and Maths in English". 2008-09-15. Diperoleh pada 2008-0916.
17. Noraini Yaacob (2008-09-12). "Teaching SCIENCE & MATH IN ENGLISH: Survey
conclusions may be flawed, not policy". New Straits Times. Diperoleh pada 2008-09-13.
18. Bilingualism By Suzanne Romaine.
19. The Use of Vernacular Languages.
20. "Sains, Matematik dalam BI: Kajian Unesco tidak dipeduli". Harakah. 2006-11-24.
Diperoleh pada 2008-07-20. "Unesco quotes from 'Education for All: Policy Lessons From HighAchieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef': "In a situation where the
parents are illiterate...if the medium of instruction in school is a language that is not spoken at
home the problems of learning in the environment characterized by poverty are compounded,
and the chances of drop-out increase correspondingly."
21.

Mehrotra, Santosh; Delamonica, Enrique (2007)."6.2". Eliminating Human Poverty:

Macroeconomic & Social Policies for Equitable Growth. CROP: International Studies in Poverty
Research (dalam bahasa Inggeris) (edisi ke-1). International Social Science Council.
ms. 181.ISBN 978-1-84277-773-2. Diperoleh pada 2008-07-25.
22. Templer, Bill (2008-09-11). "TEACHING SCIENCE AND MATHEMATICS IN
ENGLISH: Students' attitudes". New Straits Times. Diperoleh pada 2008-09-13.
23. Lima sasterawan negara tolak PPSMI

24. Pernyataan Akhbar oleh Sasterawan Negara


25. Ng U-En. "Mukhriz enlightens the critics"(dalam bahasa Bahasa Inggeris). The Malay Mail.
Diperoleh pada 2008-12-21.
26. Dasar PPSMI tidak perlu dimansuh-Utusan Online
27. H Fansuri (2008-04-16). "Agenda Pakatan Rakyat selepas merdeka daripada penjajahan
BN".Harakah. Diperoleh pada 2008-07-25.
28. Lanjusoh, Khairul Azlam Mohamad, Intan Abdullah (2009-01-15). "Pakatan Rakyat mahu
rombak semula PPSMI". Diperoleh pada 2009-01-19. Unknown parameter |publihser=ignored
(bantuan)
29. "Pemuda: Kembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam BM". Bernama (mSTAR
Online). 2007-11-08. Diperoleh pada 2008-07-26.
30. Wawancara Berita TVPas, sedutan dari laman Youtube-Mansuh PPSMI bukan tiket BN
untuk digelar pejuang bangsa Nizar
31.

Jimadie

Shah

Othman

(2009-01-08). "Sah,

Dr

Hassan

ketuai

bantahan

PPSMI". Malaysiakini. Diperoleh pada 2009-01-19.


32. Jimadie Shah Othman (2009-01-19). "GMP tolak tanggapan sokong pembangkang di
KT".Malaysiakini. Diperoleh pada 2009-01-19.
33.

Jimadie

Shah

Othman

(2009-01-19).

"http://www.malaysiakini.com/news/96772".Malaysiakini.
34.

Jimadie Shah Othman (2009-01-31). "Gerakan anti-PPSMI julung kali ke jalan".

Malaysiakini. Diperoleh pada 2009-02-01.


35. Jimadie Shah Othman (2009-01-31). "Aktivis Tamil, Cina sertai bantah PPSMI".
Malaysiakini.
36. Jimadie Shah Othman (2009-01-21)."Perhimpunan bantah PPSMI pada 7 Mac".
Malaysiakini. Diperoleh pada 2009-02-01.

37. Jimadie Shah Othman (2009-01-12). "Saman K'jaan: Gapena jumpa peguam hari ini".
Malaysiakini. Diperoleh pada 2009-02-01.
38. Jimadie Shah othman (2009-01-06). "PPSMI: Gapena rancang adakan 'perarakan
keranda'".Malaysiakini. Diperoleh pada 2009-01-19.
39. "PPSMI: Gapena buat laporan polis". Malaysiakini. 2009-02-15. Diperoleh pada 2009-0215.
40.

Jimadie Shah Othman (2009-02-18). "PPSMI: Satu lagi laporan polis terhadap

kementerian". Diperoleh pada 2009-02-18.


41. Abd Aziz Bari, "PPSMI dalam konteks perlembagaan", di Seminar Halatuju Dasar PPSMI
dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, Kolej Universiti Islam Selangor, 14 Mac 2009.
42. Isu Matematik dan Sains - UMNO sedar langgar undang-undang?
43. Merdeka University Berhad v Government of Malaysia ( 1981 ) 2 MLJ 356
44. [http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=utusan_malaysia&sec=
Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive"Melihat PPSMI dari sudut undang-undang", Utusan Online.
16 Disember 2008.
45. "Apartheid Kenyataan Faisal Tehrani Berhubung PPSMI". 2009-01-08. Diperoleh pada
2009-02-18. Unknown parameter |blog= ignored (bantuan)
46.

"Keputusan

Bukan

Semata-mata

Berdasarkan

Keputusan

UPSR,

Kata

Hishammuddin".Bernama. 2008-07-15. Diperoleh pada 2008-07-23.


47. Haika Khazi (2008-12-17). "7 pilihan ajar Sains, Matematik". Berita Harian. Diperoleh pada
2008-12-21.
48. Chapman, Karen (2009-01-08). "'No rush to decide on medium of instruction'". The Star.
Diperoleh pada 2009-01-08.
49. "Saya masih belum puas hati hasil kajian PPSMI - Muhyiddin". mStar Online. 2009-05-05.
Diperoleh pada 2009-05-07.

50. Chapman, Karen (2009-05-04). "Muhyiddin wants more info on Maths & Science issue
before final decision". The Star. Diperoleh pada 2009-05-07.
51. "PPSMI: Dr Mahathir minta undian pembaca blog". Malaysiakini.com. 9 Julai 2009.
52.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM

BAHASA INGGERIS (PPSMI), Dr. Mahathir Mohamad, 13 Mac 2009. Dicapai pada 20 April
2010.
53. Chapman, Karen (9 Ogos 2009). "DPM: Those who started Maths, Science in English can
continue". The Star. Diperoleh pada 19 Ogos 2009.
54. "Kerajaan Tidak Akan Kembali Kepada PPSMI, Kata Muhyiddin". Bernama. 20 Oktober
2009. Diperoleh pada 20 April 2010.
55. "Time to bring back English medium schools". The Star. 12 April 2010. Diperoleh pada 20
April 2010.
56. "Mahkamah Tolak Permohonan Isytihar PPSMI Sebagai Tidak Sah". 7 Mei 2010. Diperoleh
pada 11 Mei 2010.
57. Memorandum Kepada Najib Minta PPSMI Dijadikan Opsyen, Bernama (mStar Online), 19
Januari 2011. Dicapai pada 11 April 2011.
58. New twist in PPSMI saga, The Star, 10 April 2011. Dicapai pada 11 April 2011.
59. Sila klik untuk muat turun laporan
60. Pemansuhan PPSMI sekolah rendah 2016, sekolah menengah 2021
61. Berita Harian Online-Keputusan guna bahasa Melayu tepat

You might also like