You are on page 1of 8

Kreativiti Guru dalam Pengajaran Bahasa

Oleh
Izani Hj Daud
Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kreativiti guru dalam pengajaran dan
pembelajaran (P & P) akan dapat membantu pembangunan modal insan untuk
melahirkan pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan berkebolehan bagi
memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Kaedah pengajaran hari ini tidak
lagi dibelenggu oleh buku teks yang berpusat kepada guru semata-mata.
Sebaliknya pengajaran perlu berpusat kepada pelajar melalui pelbagai aktiviti
pembelajaran. Mengamalkan prinsip kepelbagaian dalam pengajaran sebagai
rempah hidup di bilik darjah akan dapat mewujudkan keseronokan dalam
pembelajaran dan seterusnya keberkesanan pembelajaran kepada pelajar itu
sendiri .
Dalam penulisan ini, pemfokusan akan diberi kepada usaha-usaha yang boleh
dilaksanakan dalam proses P & P di bilik darjah untuk menarik minat pelajar untuk
belajar.
Pemikiran kreatif adalah kebolehan mengambil kira maklumat tanpa mengasingkan
ke dalam kotak-kotak tertentu. Satu kaedah berfikir yang memaksa kita mengenal
pasti kaitan-kaitan baru antara fakta-fakta yang dilihat yang dapat menerbitkan
idea yang menyimpang jauh daripada idea sedia ada (Pellegrino dan Politis, 1999).
Manakala pemikiran inovatif pula adalah kebolehan mengubah suai kepada benda
yang sedia ada untuk menjadi lebih baik dan berguna iaitu, sesuatu yang baru
diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru (Kamus Dewan,
Edisi Ketiga, 1994).
Guru berperanan menyampaikan pengajaran kepada muridnya. Sejauh mana
tercapainya objektif ini adalah bergantung kepada kaedah atau cara penyampaian
guru itu sendiri . Guru yang berjaya ialah guru yang bukan sahaja luas dalam ilmu
pengetahuannya, tetapi juga bijak menggunakan kaedah dan teknik pengajaran
yang berkesan . Antara kaedah dan teknik pengajaran bahasa Melayu yang
dikenal pasti sesuai untuk menarik minat pelajar ialah penggunaan keratan akhbar
dalam pengajaran, kerja kumpulan membina soalan, kaedah hafalan sifir bahasa,
aktiviti minda kreatif dan bimbingan khusus pelajar lemah.
Penggunaan Keratan Akhbar dalam Pengajaran
Satu daripada kaedah yang digunakan dalam pengajaran bahasa adalah melalui
penggunaan bahan bantu mengajar. Penggunaaannya bertujuan menarik perhatian
pelajar supaya meminati pelajaran yang diajarkan. Hal itu dikatakan demikian
kerana pengajaran secara langsung yang berterusan akan membosankan pelajar
dan mampu menghilangkan semangat untuk belajar.
Rasional penggunaan keratan akhbar sebagai bahan bantu mengajar disandarkan

kepada pendapat seorang pakar pendidikan, Edgar Dale (1978) yang menggariskan
tujuh kepentingan penggunaan BBM:
i. merangsang minat yang tinggi dalam kalangan pelajar.
ii. menyediakan satu dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman serta corak
pemikiran dan oleh itu mengurangkan pelbagai gerak lisan daripada pelajar.
iii. membekalkan satu dasar untuk perkembangan pemelajaran pelajar dan oleh
itu menjadikan pelajaran mereka lebih kekal.
iv. menyediakan pengalaman yang tidak dapat diperoleh dengan mudahnya
melalui cara-cara lain.
v. Menolong pelajar dalam kefahaman dan oleh itu mempercepat perkembangan
perbendaharaan kata.
vi. menawarkan pengalaman yang sebenar dan dengan demikian merangsangkan
kegiatan seorang pelajar.
vii. mendorong pelajar untuk menyiasat dan dengan demikian menambahkan
bacaan sukarela.
Berdasarkan hal yang diperkatakan oleh Dale, nyatalah bahawa bahan bantu
mengajar berupaya menanam minat dan mengembangkan kreativiti pelajar. Selain
itu, bahan bantu mengajar dapat juga memberikan keseronokan kepada pelajar
kerana dengan penggunaannya, pelajar akan mengalami situasi
yang terkeluar daripada suasana pemelajaran biasa dan seterusnya dapat
menghindarkan mereka daripada berasa bosan untuk belajar.
Penggunaan keratan akhbar boleh dijalankan dengan membuat perancangan pada
awal tahun lagi. Setiap pelajar akan diberi tugas secara bergilir-gilir untuk membuat
keratan akhbar, berupa keratan rencana pengarang akhbar. Tarikh giliran itu
ditetapkan oleh guru untuk satu tahun iaitu, satu sesi pengajian. Keratan akhbar
tersebut akan ditampal pada setiap hari di dalam buku khas yang akan disimpan
oleh setiausaha kelas.

Keratan rencana pengarang akhbar dapat memberikan sumbangan yang


besar kepada pelajar dalam aspek pengucapan lisan, terutama pelajar tingkatan 3
untuk ujian Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS). Aktiviti tersebut dapat
dijadikan sebagai latihan sebelum mereka diuji untuk PLBS.
Untuk aktiviti lisan, guru hendaklah memastikan setiap pelajar sentiasa
bersedia dengan keratan rencana pengarang akhbar masing-masing. Pada setiap
hari, iaitu pada sepuluh minit pertama masa pengajaran, guru akan
meminta pelajar tampil ke hadapan bagi memperkatakan topik atau fakta yang
terkandung dalam keratan rencana pengarang akhbar yang dibacanya. Fakta
tersebut hendaklah diucapkan secara lisan tanpa merujuk keratan tersebut.

Dengan cara itu, pelajar dapat dilatih menggunakan kreativiti sendiri untuk
berucap di khalayak atau pengucapan awam yang juga dapat menolong pelajar
dalam ujian lisan. Selain itu, cara ini juga dapat melahirkan pelajar yang petah
bercakap.
Keratan rencana pengarang akhbar juga dapat membantu pelajar dalam
penulisan karangan. Melaluinya, guru hendaklah meminta pelajar
menyenaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam keratan tersebut di dalam buku
latihan sebelum ditampal di dalam buku khas yang disediakan. Semasa pelajar
membentangkan keratan rencana pengarang akhbar di kelas, pelajar yang lain
hendaklah membuat catatan di dalam buku latihan. Kaedah tersebut tentunya
menjimatkan masa kerana dalam setahun, setiap pelajar hanya dikehendaki
membuat tujuh hingga lapan keratan sahaja. Hasil daripada perkongsian antara
pelajar, mereka berjaya mengumpul semua tajuk keratan rencana pengarang
akhbar untuk setahun (365 buah keratan akhbar).
Sepanjang sesi pengajian berlangsung, guru akan memilih tajuk yang tertentu
daripada keratan rencana pengarang akhbar yang dikira penting untuk
perbincangan di kelas bagi aktiviti penulisan karangan. Aktiviti tersebut akan
memberikan keseronokan kepada pelajar kerana mereka dapat berkongsi bahan
dan idea, serta dapat berbincang bersama-sama.

Kerja Kumpulan Membina Soalan


Kerja kumpulan membina soalan boleh dipraktikkan dalam pembelajaran
komponan sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Aktiviti ini
memerlukan kreativiti dan mencabar minda pelajar.
Untuk aktiviti ini para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap
kumpulan akan dibekalkan sebuah karya sastera yang terdapat dalam teks
KOMSAS. Setiap anggota dalam kumpulan akan menyumbangkan idea untuk
membina soalan dan menyediakan jawapan bagi setiap soalan yang dibina.
Rasional aktiviti ini dijalankan adalah untuk memastikan pelajar-pelajar membaca
karya berkenaan dengan teliti. Hal ini kerana untuk membina soalan memerlukan
`penggubal soalan itu benar-benar memahami jalan cerita dan setiap aspek sastera
yang terkandung di dalamnya. Soalan yang akan dibina pula sudah tentulah aspek
yang penting yang terkandung dalam karya sastera berkenaan, yakni soalan yang
mencabar minda.
Menelaah teks komsas untuk aktiviti membina soalan
Cara ini akan memberi pengalaman kepada pelajar untuk mengenal pasti
bahagian-bahagian yang penting yang terdapat dalam karya sastera berkenaan.
Pengalaman di bilik darjah mendapati pelajar mampu membina soalan hasil
daripada perbincangan dalam kumpulan.

Selepas aktiviti membina soalan dijalankan, sesi kuiz pula diadakan. Guru akan
mengumpul soalan-soalan yang dibina oleh pelajar dan memilih soalan-soalan yang
sesuai untuk dijadikan soalan kuiz dengan sedikit pengubahsuaian. Selain dapat
mencungkil kreativiti pelajar melalui aktiviti yang dijalankan, pelajar-pelajar juga
akan berasa bangga apabila soalan-soalan yang mereka bina terpilih. Manakala bagi
mereka yang soalan mereka tidak terpilih akan berusaha pada sesi pembelajaran
lain supaya soalan yang dibina akan terpilih. Suasana pembelajaran seperti ini akan
mewujudkan iklim pembelajaran yang sihat kerana masing-masing pelajar bersaing
antara satu sama lain membina soalan yang berkualiti untuk dipilih sebagai soalan
kuiz.

Kaedah Hafalan Sifir Bahasa


Dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa
Melayu, khususnya dalam tatabahasa yang rata-ratanya pelajar lemah dalam
aspek ini, kaedah hafalan boleh diperkenalkan.
Kaedah pengajaran secara hafalan, sebagaimana hafalan sifir dalam matematik,
mempunyai kaitan dengan penggunaan kata dalam bahasa. Hal ini demikian kerana
terdapat banyak pelajar yang tidak mampu menggunakan kata dengan tepat.
Dalam penulisan, penggunaan kata sendi nama dan kata hubung banyak
digunakan. Maka, pelajar mesti cekap dalam kedua-dua penggunaan kata itu bagi
menghasilkan penulisan yang baik, terutamanya dari segi penggunaan kata dalam
ayat. Kata sendi dan kata hubung biasa sangat digunakan dalam penulisan sebagai
perangkai kata atau penanda wacana. Perangkai kata digunakan untuk
menghubungkan perkataan dengan perkataan, ayat dengan ayat dan perenggan
dengan perenggan. Sekiranya pelajar tidak menguasai perangkai-perangkai kata
itu, sukar untuk mereka menggunakannya dalam penulisan.
Semua guru bahasa akan mengajarkan golongan kata yang terdapat dalam sukatan
pelajaran bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah, tetapi kerap kali pelajar
lupa akan fungsi kata bagi setiap kata atau bertukar antara satu sama lain.
Contohnya, antara sendi nama dari dan daripada. Berdasarkan pengalaman penulis,
diperhatikan bahawa pelajar kerap bertukar antara kedua-duanyanya. Contohnya;
1) *Ahmad menerima surat dari kawannya.
2) *Dia tinggal tidak jauh daripada rumah ibunya.
Kedua-dua perkataan sendi nama di atas telah disalahgunakan. Ayat (1)
sepatutnya menggunakan kata sendi daripada manakala bagi ayat (2), kata sendi
yang betul ialah dari. Hal itu berlaku dalam kalangan pelajar kerana mereka tidak
benar-benar faham akan fungsi atau penggunaan kata sendi berkenaan. Kata sendi
dari hanya boleh digunakan untuk arah datangnya sesuatu dan untuk menyatakan
permulaan masa. Kata sendi daripada pula digunakan untuk hal-hal lain, seperti
orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak dan untuk menunjukkan
keanggotaan.

Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku inilah memerlukan suatu perkaedahan


dalam pengajaran dijalankan di dalam bilik darjah, salah satunya melalui aktiviti
sifir bahasa.
Operasi Aktiviti Sifir Bahasa
1)

Kaedah hafalan atau Sifir Bahasa ini digunakan


untuk mengajarkan kesemua jenis golongan kata.
2) Fokus diberikan kepada kata sendi nama dan kata hubung terlebih
dahulu kerana kedua-dua kata itu kerap digunakan dalam penulisan sebagai
penanda wacana atau perangkai kata. Kemudian diikuti dengan golongan kata
yang lain pula.
3)
Pelajar diberikan senarai kata sendi nama dan kata hubung berserta
dengan fungsi atau cara penggunaannya untuk dihafal di rumah.
4) Semasa di bilik darjah guru akan memperuntukkan masa antara lapan hingga
10 minit pertama sebelum sesi pengajaran dimulakan untuk aktiviti sifir bahasa.
Guru akan meminta semua pelajar berdiri dan akan mengemukakan soalan terbuka
menanyakan fungsi kata sendi nama atau kata hubung.
5) Pelajar yang tidak berjaya semasa sesi soal jawab akan didenda iaitu membuat
kerja rumah. Pelajar dikehendaki merujuk kepada lima kata
sendi nama atau kata hubung dengan menyatakan fungsi setiap kata tersebut.
6) Pada hari-hari yang berikutnya guru akan meneruskan aktiviti hafalan ini di
bilik darjah hingga semua pelajar dapat menguasai fungsi kata sendi nama dan kata
hubung.
7) Pada hari-hari seterusnya aktiviti golongan kata yang
lain pula dijadikan
sebagai aktiviti seperti sebelumnya.
8)
Aktiviti ini hendaklah dibuat sepanjang tahun. Setelah kesemua golongan
kata telah dijalankan, guru akan membuat ulangan untuk memantapkan lagi
ingatan dan kefahaman pelajar.
Kaedah ini sangat berfaedah kepada pelajar. Suasana yang menyeronok di bilik
darjah dengan sedikit `tekanan (denda) dapat membantu pelajar menguasai
tatabahasa, terutama golongan kata. Dengan menggunakan sifir bahasa pelajar
akan bersedia sebelum memulakan sesi pembelajaran. Lebih daripada itu, aktiviti
ini akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar. Mereka akan
membuat hafalan sebagaimana mereka menghafal sifir (kalian) untuk matematik.

Aktiviti Minda Kreatif


Kreativiti pelajar dapat dicungkil seandainya guru bijak menjalankan aktiviti yang
boleh merangsang minda pelajar. Kadang-kadang pengajaran dan pembelajaran
secara biasa tidak mampu menajamkan kreativiti pelajar.

Pelajar yang dikategorikan sebagai remaja merupakan golongan yang mempunyai


tingkat sensitiviti yang tinggi. Sensitiviti yang ada pada para remaja membolehkan
mereka mengungkapkan kata-kata yang menghasilkan pelahiran perasaan dan
membangkitkan rasa keindahan bahasa. Kalangan pelajar atau
remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 15 tahun berupaya merumuskan kata
yang berkesan sehingga terbentuk satu rangkai kata yang boleh memberikan
maksud dan kesan mendalam berupa kata-kata hikmat. Rasional aktiviti ini
dijalankan adalah untuk penulisan karangan kerana markah bonus ada
diperuntukkan kepada pelajar-pelajar yang mampu memasukkan kata hikmat dalam
penulisan karangan.
Aktiviti ini boleh dijalankan di dalam bilik darjah. Para pelajar diminta secara
spontan menghasilkan ungkapan penarik atau kata-kata hikmat secara spontan
dalam sesi pembelajaran. Pelajar-pelajar diberikan masa selama lebih kurang 25
minit untuk berfikir dan mengungkapkan kata. Pengalaman penulis mendapati
hasilnya sangat mengagumkan apabila majoriti pelajar dapat menghasilkan katakata hikmat sendiri. Diperturunkan beberapa contoh kata hikmat yang dihasilkan
oleh pelajar.

i. Jadikan hari ini sebagai permulaan


dan hari esok sebagai penentuan hidup
anda.

ii. Orang yang berjaya dengan cemerlang


dalam hidupnya ialah orang yang tidak
pernah memikirkan tentang kegagalan.
iii. Setitis air tidak boleh menjadi selautan
air, tetapi sedikit ilmu boleh menjadi
selautan ilmu.
iv.

Latihan berterusan telusnya kemahiran.

v. Setiap langkah adalah permulaan yang


akan menyelesaikan permasalahan.
vi. Menyeru manusia kepada kebaikan adalah
sukar berbanding mengajak manusia ke
arah keburukan.
vii. Pengalaman lalu tidak boleh dijadikan
pengalaman yang abadi untuk dicontohi.

viii. Semalam merupakan kenangan manakala


hari esok merupakan harapan dan pastikan
harapan itu akan menjadi kenyataan.

Aktiviti ini menjelaskan bahawa, pelajar peringkat sekolah pun mampu


berfalsafah jika mereka diberi peluang.
Pembaharuan dalam P & P dapat
menggalakkan pelajar untuk menulis kata-kata hikmatnya sendiri yang sudah
tentulah akan dapat membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan
pelajar.

Bimbingan Khusus Pelajar Lemah


Guru juga tidak seharusnya melupakan pelajar yang lemah di dalam kelas yang
diajar. Mereka tidak boleh diabaikan dan usaha hendaklah diambil menangani
kelemahan pelajar. Untuk aspek penulisan umpamanya, guru boleh meminta pelajar
menulis karangan dengan bimbingan guru. Misalnya, dalam penulisan ringkasan
karangan, guru boleh membimbing pelajar menulis ringkasan karangan dengan
cara menulis karangan yang tidak lengkap pada papan kapur. Dua kaedah boleh
dijalankan oleh guru seperti di bawah.
1) Mengosongkan bahagian isi dalam karangan
yang perlu dilengkapkan oleh pelajar.
2) Mengosongkan bahagian pangkal ayat untuk
pelajar memasukkan penanda wacana yang
sesuai dalam ayat.
Pengajaran seperti ini hendaklah dilakukan oleh pelajar tanpa jemu-jemu oleh
guru. Pengalaman penulis dalam pengajaran kaedah ini sangat menakjubkan
apabila didapati pelajar mampu menulis karangan dengan baik setelah menjalani
latihan buat beberapa ketika.
Kesimpulan
Kepelbagaian perkaedahan dalam mengajar adalah penting. Kaedah-kaedah
yang telah diutarakan semuanya adalah berpusat kepada pelajar dan guru sebagai
fasilitator, yang lebih menjurus kepada pembudayaan pemikiran pelajar yang kreatif
dan inovatif.
Para pelajar akan seronok belajar apabila guru menggunakan pelbagai pendekatan
dalam pengajaran. Keseronokan dalam menjalankan aktiviti akan menyebabkan
mereka minat untuk belajar dan guru dapat menerapkan input-input berkaitan
dengan kreativiti dan inovasi dalam P & P, supaya nanti institusi sekolah bukan

sahaja dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik
semata-mata tetapi seorang pelajar yang kompeten, inovatif, kreatif dan
berkebolehan dalam usaha membangun modal insan minda kelas pertama sejajar
dengan teras kedua yang terdapat dalam PIPP. Seterusnya, memenuhi keperluan
Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

Bibliografi
Edgar Dale 1978. The Good Mind : Phi Delta Kappa Educational
Foundation.
Izani Hj Daud 2010. Belajar Bahasa dengan Keratan Akhbar. dlm.
Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 05: 5 Mei. hlm. 24-25.
__________ 2009. Sifir Bahasa. dlm. Pelita Bahasa: Jld. 22, Bil. 04:
4 April, hlm. 38-39.
Kamus Dewan 1994(Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pellegrino,Richard & Politis,Michael 1999. Improving Your IQ..New York :
A Simon & Schuster Macmillan Company.

You might also like