You are on page 1of 4

Soalan: Bincangkan faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 dan kesankesannya.

Jawapan cadangan:
Idea tentang pembentukan Persekutuan 1896 telah dicadangkan oleh Frank
Swettenham. Persekutuan bermaksud satu sistem pemerintahan yang menggabungkan
beberapa buah negeri bebas menjadi satu unit politik yang baru di bawah pentadbiran
kerajaan pusat. Menurut Perjanjian Persekutuan yang ditandatangani pada 1 Julai 1895,
Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan disatukan menjadi Negeri-Negeri Melayu
Bersekutu (NNMB). Tidak dinafikan Sistem Residen telah membawa kemajuan politik,
ekonomi, dan sosial di negeri-negeri Melayu. Namun, kemajuan yang dicapai tidak
menyeluruh kerana corak pentadbiran yang berbeza. Dengan penubuhan Persekutuan,
diharapkan masalah ini dapat diatasi. Hakikatnya, penubuhan Persekutuan 1895
merupakan helah British untuk mengurangkan kuasa raja-raja Melayu dan
mengukuhkan kedudukannya ke atas negeri-negeri Melayu. Terdapat beberapa faktor
utama yang mendorong British untuk menubuhkan Persekutuan 1896 dan penubuhan ini
turut mengakibatkan beberapa kesan.
Antara faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 ialah masalah kewangan
Pahang. British telah campur tangan di Pahang kerana menyangka negeri itu
mempunyai banyak hasil bumi seperti emas dan bijih timah. Setelah menduduki Pahang,
barulah British sedar beberapa kelemahan Pahang iaitu kedudukan Pahang yang sukar
dihubungi dari laut selama enam bulan, iaitu semasa musim tengkujuh (November
hingga Mac). Selain itu, Pahang juga sukar dihubungi oleh jalan darat kerana terhalang
oleh Banjaran Titiwangsa.Selain itu, Pahang tidak mempunyai hasil bijih timah yang
banyak. British mendapati hasil emas sudah habis kerana telah sekian lama dilombong
oleh orang Melayu, Cina, dan Siam. Tambahan pula, tidak banyak orang Cina yang
menetap di Pahang. Jadi kerajaan British kurang mendapat hasil cukai daripada candu,
judi, dan arak. Kerajaan British mengalami masalah kewangan yang kritikal setelah
menduduki Pahang kerana Pahang tidak mempunyai sumber kewangan yang
mencukupi, tambahan pula British terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk
membangunkan Pahang. Seterusnya, kerajaan British terpaksa meminjam wang
daripada NNS bagi membiayai kos pentadbiran Pahang. Pada tahun 1892, hutang
Pahang berjumlah $ 610 000. NNS sudah tidak mampu lagi untuk memberi pinjaman
kepada British untuk membiayai Pahang kerana sedang mengalami zaman
kemelesetan. NNS telah mencadangkan agar Pahang meminjam wang daripada
Selangor dan Perak. Kewangan British di Pahang bertambah teruk apabila terpaksa
mengeluarkan wang yang banyak untuk mengatasi penentangan masyarakat tempatan
yang diketuai oleh Dato Bahaman. Walaupun menghadapi masalah kewangan yang

serius di Pahang, kerajaan British tidak mahu menarik diri dari Pahang kerana tidak
mahu imejnya terjejas. British juga tidak mahu kuasa Barat seperti Jerman dan Perancis
menduduki Pahang. Dengan pembentukan Persekutuan, diharap negeri-negeri Melayu
yang kaya seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Perak boleh memberi bantuan
kewangan kepada Pahang. Dengan cara ini, masalah kewangan Pahang dapat diatasi.
Selain itu, faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 seperti kelemahan Sistem
Residan. Kerajaan British menyedari bahawa Sistem Residan mempunyai beberapa
kelemahan. Ini dibuktikan oleh penentangan masyarakat tempatan yang berlaku di
Perak, Pahang, dan Negeri Sembilan. Selain itu, kemajuan setiap negeri di bawah
Sistem Residen tidak seragam. Terdapat negeri yang berkembang pesat tetapi terdapat
juga negeri yang masih mundur dan mengalami banyak masalah. Keadaan ini
bergantung kepada kebolehan dan kecekapan seseorang residen itu. Selain itu,
kerajaan British mahu mengurangkan kuasa Residen. Setelah Sistem Residen
dilaksanakan di Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, residen merupakan
individu yang berkuasa menentukan politik dan ekonomi di negeri masing-masing.
Walaupun residen dikehendaki selalu merujuk kepada gabenor mengenai pentadbiran
negeri masing-masing, tetapi gabenor tidak dapat mengawal tindakan residen. Pada
tahun 1890-an, keempat-empat negeri tersebut terpisah dengan sendirinya di bawah
residen. Walaupun ditubuhkan Majlis Mesyuarat Negeri, tetapi Majlis Mesyuarat Negeri
tidak berkuasa menyekat kehendak dan kuasa residen. Penubuhan Persekutuan 1896
diharap dapat mengurangkan kuasa mutlak residen.
Faktor pembentukan Persekutuan 1896 lain pula adalah menyelaras dan
menyeragamkan pentadbiran. Sistem Residen menunjukkan bahawa setiap residen
mentadbir negeri dengan cara berbeza. Hal ini disebabkan kerajaan British tidak
menyediakan garis panduan tentang bidang kuasa residen. Maka, wujudlah
ketidakseimbangan dalam pentadbiran. Akibatnya, ada negeri-negeri yang kaya dan ada
negeri yang miskin. Kemajuan atau kemunduran sesebuah negeri bergantung kepada
inisiatif dan sikap residen. Kerajaan British cuba mewujudkan keseragaman dalam
perundangan, sistem pungutan cukai, pertanian, perhubungan, perlombongan, dan
kesihatan di negeri-negeri Melayu. Dengan penubuhan Persekutuan, diharapkan dapat
mewujudkan satu sistem pentadbiran yang selaras di bawah kawalan residen jeneral.
Penyeragaman bidang pentadbiran akan mempercepat pembangunan ekonomi dan
menjimatkan perbelanjaan. Sistem perhubungan seperti jalan raya dan jalan kereta api
tidak berkembang maju di negeri-negeri Melayu. Melalui Persekutuan, diharapkan
sistem pengangkutan dapat dimajukan. British akan mendapat faedah apabila terdapat
sistem jalan raya dan jalan kerata api menghubungkan antara negeri-negeri Melayu
yang terlibat. Sistem pengangkutan yang baik antara negeri dapat memudahkan dan
mempercepat proses penghantaran hasil bumi ke pelabuhan untuk dieksport.

Selain daripada itu, faktor-faktor pembentukan Persekutuan 1896 juga


memperlihatkan pertahanan dan keselamatan. Kerajaan British mahu mewujudkan satu
pasukan keselamatan yang bertujuan untuk mempertahankan negeri-negeri Melayu
daripada ancaman di dalam dan di luar negeri. Semasa berlaku penentangan
masyarakat tempatan di Pahang dan Perak, British terpaksa meminta bantuan tentera
daripada Singapura, Hong kong, dan India. Oleh itu, British terpaksa mengeluarkan
wang untuk mengupah tentera tersebut. Kewujudan pasukan tentera Persekutuan British
telah memudahkan pentadbiran British kerana tentera ini dapat mempertahankan
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dan negeri-negeri lain sekiranya berlaku
penentangan dan peperangan.
Pembentukan Persekutuan turut memberikan beberapa kesan. Antara kesankesan pembentukan Persekutuan 1896 ialah pemusatan kuasa residen jeneral. Dalam
Sistem Persekutuan, residen jeneral merupakan ketua kerajaan pusat yang mempunyai
kuasa penuh dalam bidang pentadbiran di NNMB. Residen jeneral akan membuat
semua keputusan-keputusan penting terutamanya dalam soal kewangan. Sultan-sultan
dan residen-residen diarahkan supaya meminta nasihat residen jeneral dan mematuhi
arahan-arahan yang dikeluarkan terutamanya yang berkaitan soal pentadbiran. Residen
jeneral telah menubuhkan beberapa buah jabatan kerajaan untuk menyelaraskan
pentadbiran. Residen jeneral telah melantik pengawai-pengawai British untuk
berkhidmat dalam Jabatan Persekutuan. Sistem Persekutuan ini tidak berjaya untuk
membahagikan kuasa di antara kerajaan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Negeri
kerana residen jeneral mempunyai kuasa penuh.
Kesan-kesan lain seperti kemerosotan kuasa sultan, residen, dan Majlis
Mesyuarat Negeri. Pemusatan kuasa di tangan residen jeneral menyebabkan kuasa
raja-raja Melayu di NNMB semakin berkurangan. Pada mulanya, sultan-sultan bersetuju
menandatangani Perjanjian Persekutuan 1896 kerana mereka berharap kuasa mereka
yang diambil oleh residen akan dikembalikan. Namun, selepas beberapa tahun
Persekutuan dilaksanakan, barulah sultan-sultan sedar bahawa kuasa mereka semakin
kurang kerana berlaku pemusatan kuasa di tangan residen jeneral pula. Sultan mesti
menerima semua nasihat residen dalam hal ehwal pentadbiran kecuali yang berkaitan
dengan adat resam dan agama Islam. Sultan tidak mempunyai hak dalam pentadbiran.
Sultan hanya berperanan menandatangani rang undang-undang yang telah dipersetujui
oleh residen jeneral sahaja. Residen British juga kehilangan kuasa kerana terpaksa
menerima semua arahan daripada residen jeneral, tugas-tugas residen telah diagihkan
kepada Jabatan Persekutuan yang ditubuhkan. Majlis Mesyuarat Negeri juga tidak
berfungsi sepenuhnya kerana hanya meluluskan undang-undang yang telah ditetapkan
oleh residen di Kuala Lumpur.

Seterusnya, pemusatan dan penyelarasan pentadbiran melalui Persekutuan 1896


telah menunjukkan kejayaan dalam bidang pentadbiran dan pembangunan ekonomi.
Kemajuan ekonomi dapat dicapai dengan adanya sistem cukai yang seragam dan
sistem perhubungan yang baik. Keadaan ini telah menarik lebih ramai pelabur-pelabur
menanam modal dalam perusahaan bijih timah dan getah.
Kesimpulannya, pembentukan persekutuan 1896 sememangnya untuk
menyelesaikan masalah-masalah yang timbul seperti masalah kewangan Pahang,
masalah kelemahan sistem residen, masalah dalam pentadbiran dan juga untuk
mengatasi masalah pertahanan dan keselamatan. Pembentukan Persekutuan 1896 turut
memberi beberapa kesan seperti kuasa para residen British, sultan, dan pembesar
Melayu dikurangkan.

You might also like