You are on page 1of 8

AKAUN SEMASA

PENGENALAN
Akaun semasa merupakan sejenis akaun deposit yang membenarkan pembayaran melalui cek.
Laman web ini menerangkan keperluan asas mengenai operasi dan pengendalian akaun semasa
di samping beberapa tip berguna bagi melindungi akaun anda.

SIAPA BOLEH MEMBUKA AKAUN SEMASA


Setiap bank mempunyai kriteria yang berbeza bagi pembukaan akaun semasa. Secara amnya,
bank akan mempertimbangkan permohonan sekiranya pemohon adalah:
18 tahun atau ke atas
Bukan seorang bankrap
Berfi kiran waras dan mempunyai keupayaan mental dan fi zikal untuk mengendalikan akaun
dengan sempurna
Bagi pemilik perniagaan dan entiti profesional, mereka perlu memastikan perniagaan mereka
didaftarkan dengan pihak berkuasa yang berkenaan.
Walau bagaimanapun, pihak bank mempunyai budi bicara sama ada untuk menerima atau
menolak permohonan untuk membuka sebuah akaun.

KEPERLUAN UNTUK MEMBUKA AKAUN SEMASA


Anda mesti hadir sendiri ke bank
Anda memerlukan seorang pencadang yang diterima oleh pihak bank. Ini bagi membolehkan
pihak bank mendapatkan rujukan mengenai anda. Biasanya, pencadang merupakan pelanggan
bank atau seseorang yang dikenali oleh bank
Anda perlu mengemukakan dokumen pengenalan tertentu seperti kad pengenalan atau lesen
memandu bagi mengesahkan identiti anda
Anda perlu meletakkan deposit permulaan seperti yang ditetapkan oleh bank anda
Di samping itu, bagi perniagaan/persatuan/ kelab/pertubuhan/profesional yang berdaftar dengan
badan profesional (contohnya, Persatuan Perubatan Malaysia, dsb), anda perlu menyediakan
pendaftaran perniagaan, resolusi lembaga pengarah, memorandum dan artikel pertubuhan,
borang peruntukan saham serta senarai pengarah dan setiausaha (untuk akaun syarikat) atau
senarai terkini ahli lembaga pengarah dan ahli jawatankuasa (untuk akaun persatuan).

JENIS-JENIS AKAUN SEMASA


Sebagai seorang individu, anda bolehmembuka akaun semasa seperti berikut:
Akaun semasa peribadi di bawah nama anda; atau
Akaun semasa bersama yang dikendalikan oleh anda secara bersama dengan orang lain,
sebagai contoh:

Mana-mana pemegang akaun boleh mengendalikan akaun tersebut (contohnya, bagi


akaun yang dibuka oleh A dan B, sama ada A atau B yang perlu menandatangan)
Kesemua pemegang akaun diperlukan untuk mengendalikan akaun (contohnya, bagi
akaun yang dibuka oleh A dan B, kedua-dua A dan B perlu menandatangan)

Bagi akaun perniagaan/syarikat, akaun semasa adalah di bawah nama syarikat dan dikendalikan
oleh penandatangan yang dinamakan.

PENGGUNAAN AKAUN SEMASA


Anda boleh mula menggunakan akaun semasa anda sebaik sahaja ianya diluluskan oleh bank.
Pengeluaran daripada akaun anda (tertakluk kepada baki di dalam akaun tersebut) boleh dibuat
sama ada melalui cek atau ATM (bagi pemegang akaun individu sahaja) atau secara elektronik.
Anda tidak perlu mengekalkan amaun deposit permulaan, iaitu amaun minimum yang diperlukan
untuk membuka akaun apabila akaun anda sudah beroperasi. Anda tidak akan memperolehi
faedah daripada baki di dalam akaun semasa anda. Namun demikian, bagi akaun hibrid, iaitu
akaun yang menggabungkan ciri-ciri kedua-dua akaun semasa dan simpanan dalam satu akaun,
anda mungkin memperolehi faedah daripada bahagian simpanan akaun tersebut.

PENANDATANGAN DAN PERTUKARAN PENANDATANGAN


Apabila anda membuka akaun semasa, bank anda akan mendapatkan spesimen tandatangan
anda. Bank akan membandingkan tandatangan anda pada cek yang dikeluarkan dengan
spesimen tandatangan tersebut. Sekiranya tandatangan tersebut berbeza, bank akan menolak
untuk membayar cek dan memulangkan cek tersebut atas alasan "tandatangan berbeza".
Untuk akaun semasa bersama, semua tandatangan pemegang akaun mestilah disertakan
dengan arahan khusus seperti siapa yang boleh mengendalikan akaun bersama tersebut.
Bagi akaun semasa yang dikendalikan oleh sebuah perniagaan/syarikat, spesimen tandatangan
penama yang dibenarkan untuk menandatangani cek bagi pihak perniagaan/syarikat dan had
kuasa yang dibenarkan hendaklah dikemukakan dalam bentuk mandat ataupun resolusi.
Sebarang pertukaran penandatangan hendaklah dimaklumkan secepat mungkin kepada bank
oleh pemegang akaun. Di samping itu, salinan resolusi Ahli Lembaga Pengarah/ Jawatankuasa
yang telah ditandatangani selaras dengan syarat-syarat pengendalian akaun yang menyatakan
pertukaran serta tarikh pertukaran berkuat kuasa hendaklah dikemukakan kepada pihak bank.
Resolusi tersebut hendaklah disahkan oleh setiausaha syarikat dan ditandatangani oleh korum
pengarah seperti yang dinyatakan di dalam memorandum dan artikel pertubuhan.

ELEMEN YANG TERDAPAT PADA SEKEPING CEK


Pengetahuan mengenai elemen-elemen yang terkandung di atas cek adalah penting untuk
memastikan cek ditulis dengan betul memandangkan cek yang lengkap dan telah ditandatangani
merupakan satu kebenaran kepada bank pesuruh bayar untuk mengeluarkan wang daripada
akaun anda untuk dibayar kepada penerima.

1. Nama bank anda yang juga dipanggil bank pesuruh bayar atau
bank pembayar.

2. Palang Akaun Penerima Sahaja merupakan arahan kepada bank


pemungut untuk membuat bayaran ke dalam akaun penerima

3. Penerima merupakan penama yang mana cek tersebut dikeluarkan


kepadanya. Pastikan ejaan nama penerima adalah betul dan ditulis
berdekatan dengan perkataan bayar kepada. Lukislah satu garisan di
ruang selepas nama penerima bagi mengelakkan sebarang pindaan

4. Tarikh cek. Untuk memastikan pembayaran diterima, tarikh cek tersebut


mestilah tarikh terkini

5. Orang yang memegang dan menuntut pembayaran cek di bank.


Anda dinasihatkan supaya membatalkan perkataan atau pembawa
bagi mengelakkan cek yang dicuri dibayar kepada pihak ketiga

6. Amaun untuk pembayaran dalam perkataan. Nilai yang sama akan


ditulis di dalam kotak yang bersebelahan dengannya. Pastikan amaun
dalam perkataan dan nombor ditulis berdekatan dengan perkataan

Ringgit Malaysia dan RM yang dicetak di atas cek dan jangan


tinggalkan sebarang ruang dengan melukis garisan selepas menulis
perkataan dan nombor tersebut. Pastikan jumlah dalam perkataan dan
nombor adalah sama. Jika tidak, bank akan menolak cek anda

7. Tandatangan anda sebagai penyuruh bayar cek

8. Nombor siri cek. Setiap cek mempunyai nombor siri yang berbeza bagi
tujuan pengenalan

9. Kod bank pesuruh bayar bagi negeri dan cawangan

10. Nombor akaun semasa anda

11. Kod dalaman bank pesuruh bayar untuk produk akaun semasa

NASIHAT SEMASA MENGGUNAKAN CEK


KENA BUAT

Tulis cek dengan jelas dan terang serta gunakan pena dakwat kekal seperti pena mata
bulat.

Pastikan tiada pindaan, pembetulan ataupun pemadaman di atas cek tersebut untuk
mengelakkan cek tersebut dikembalikan.

Tulis jumlah dalam perkataan berdekatan dengan perkataan Ringgit tanpa


meninggalkan ruang di antara perkataan dan pastikan jumlah yang dibayar sentiasa
diakhiri dengan perkataansahaja. Jumlah dalam angka hendaklah ditulis
berdekatan dengan huruf RM dan ditulis dengan terang.

Pastikan tiada cek dikeluarkan daripada buku cek tanpa pengetahuan anda dan pastikan
cek yang rosak dimusnahkan sepenuhnya.

Pastikan cek disimpan di tempat selamat dan berkunci serta jangan tinggalkan cek sama
ada yang telah ditandatangani atau belum tanpa pengawasan.

Semak sekerap mungkin bilangan cek yang belum digunakan dan buat pelarasan amaun
cek yang telah dikeluarkan dengan penyata akaun anda.

Laporkan kepada bank anda dengan segera sekiranya terdapat helaian cek yang hilang
daripada buku cek atau sebarang percanggahan dalam penyata akaun anda.

Pastikan akaun anda mempunyai dana yang mencukupi sebelum mengeluarkan cek.
Bank anda tidak bertanggungjawab untuk menelefon anda apabila berlaku
ketidakcukupan dana dalam akaun anda walaupun sesetengah bank mungkin berbuat
demikian sebagai sebahagian daripada perkhidmatan yang diberi kepada para
pelanggan.

Apabila menghantar cek melalui mel menggunakan sampul surat bertingkap, pastikan
sampul surat tersebut berkualiti baik. Ini akan mengelakkan cek daripada kelihatan
apabila sampul surat diletakkan di bawah sinaran cahaya.

JANGAN BUAT

Menulis di bawah kawasan MICR (Magnetic Ink Character Recognition) bagi


membolehkan penjelasan cek dibuat dengan lancar. Kawasan MICR selalunya
berukuran 5/8 inci daripada bahagian bawah cek.

Menandatangan sebarang cek kosong atau mengeluarkan sebarang cek kosong untuk
pembayaran.

Menggunakan mesin pencetak laser, pena mata tajam, pena boleh padam atau pensel
atau teknik cetak lain yang mudah dipadam atau ditulis semula untuk menulis butiran di
atas cek. Sekiranya anda menggunakan mesin taip, jangan gunakan reben yang boleh
dibetulkan.

Membuat pembayaran dalam mata wang asing menggunakan cek berdenominasi RM.

Lipat, pin dan mengokot cek yang telah ditulis. Sekiranya cek tersebut dilipat, perkataan
di atas cek yang selari dengan garisan lipatan mungkin akan terjejas.

Di samping itu, lipatan tersebut mungkin menjejaskan kawasan MICR cek yang mana
boleh menyebabkan cek tersebut ditolak oleh sistem pemprosesan cek.

Cek tidak harus dikokot bagi mengelakkan cek tersebut daripada terkoyak tanpa
disengajakan.

SEBAB-SEBAB CEK DIKEMBALIKAN

Bank anda akan menolak untuk membayar cek yang dikeluarkan oleh anda atas
sebabsebab berikut:

Ketidakcukupan dana dalam akaun untuk membayar cek tersebut

Ketiadaan tandatangan

Tandatangan tidak serupa dengan spesimen tandatangan yang terdapat di dalam rekod
bank

Cek tarikh hadapan

Cek luput (cek bertarikh lebih daripada 6 bulan)

Jumlah dalam perkataan dan nombor berbeza

Pindaan ke atas cek (Nota: Sebarang pindaan adalah tidak dibenarkan)

Arahan henti bayar telah dikeluarkan

Akaun ditutup atau akaun "ditahan atas sebab undang-undang"

Cek-cek yang ditolak akan dikembalikan kepada pemegang akaun. Pengeluar cek akan
dikenakan fi oleh bank untuk membayar sebahagian daripada kos pentadbiran yang
terlibat.

ARAHAN HENTI BAYAR


Sekiranya cek yang dikeluarkan oleh anda tidak dapat dikesan, anda boleh mengelakkan
pembayaran ke atas cek tersebut dengan memberi arahan henti bayar kepada bank anda. Anda
boleh memberikan arahan henti bayar melalui telefon tetapi bank anda mungkin akan meminta
anda mengesahkan arahan henti bayar secara bertulis. Di samping itu, anda akan dikenakan fi
untuk perkhidmatan tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mengeluarkan arahan henti
bayar kerana ketidakcukupan dana dalam akaun, anda akan dikenakan denda. Sekiranya anda
berulangkali mengeluarkan arahan henti bayar apabila akaun anda tidak mempunyai dana yang
mencukupi, akaun anda mungkin akan ditutup oleh bank. Tindakan sebegini diambil untuk
memastikan cek diterima sebagai kaedah pembayaran yang boleh dipercayai.

PENYIMPANAN REKOD
Bank anda akan memberi anda penyata akaun bagi membolehkan anda memeriksa transaksitransaksi yang telah berlaku tetapi penyata akaun tidak menunjukkan baki terkini akaun anda.
Biasanya, penyata akaun hanya menunjukkan transaksi-transaksi terdahulu dan tidak termasuk
transaksitransaksi yang dibuat selepas tempoh yang dirujuk dalam penyata akaun terbabit. Anda
seharusnya menyimpan semua rekod deposit dan pengeluaran wang untuk mengira baki semasa
akaun anda.

TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB PEMEGANG AKAUN


Antara tugas dan tanggungjawab anda sebagai seorang pemegang akaun adalah:

Merahsiakan nombor akaun anda dan menyimpan penyata akaun anda di tempat yang
selamat dan terjamin
Menjaga dan merahsiakan sebarang nombor PIN yang diberikan dan berkaitan dengan
kemudahan ATM, perbankan telefon dan/atau perbankan internet
Memusnahkan cek-cek yang telah dibatalkan
Segera memaklumkan bank anda berhubung:
Sebarang pertukaran alamat
Sebarang pertukaran nombor telefon
Kehilangan cek/buku cek
Sebarang percanggahan dalam penyata akaun bank anda

AKAUN TIDAK AKTIF


Akaun yang tidak mempunyai sebarang transaksi (sama ada pengeluaran atau deposit) bagi
tempoh tujuh tahun akan diklasifi kasikan sebagai wang tidak dituntut. Di bawah Akta Wang
Tidak Dituntut 1965, dana di dalam akaun tersebut akan dihantar kepada Pendaftar Wang Tidak
Dituntut. Sebelum dana tersebut dihantar, bank akan mengeluarkan notis meminta pelanggan
mengaktifkan semula atau menutup akaun tersebut.

Pemilik wang tidak dituntut boleh mendapatkan wang tersebut daripada Pendaftar sama ada
dengan datang sendiri atau secara bertulis. Untuk tujuan ini, anda hendaklah mengemukakan
dokumen-dokumen berikut:
Borang permohonan bayaran balik wang tidak dituntut (UMA7). Borang tersebut boleh diperolehi
daripada pejabat Pendaftar atau dimuat turun daripada laman web Jabatan Akauntan Negara di
http://www.anm.gov.my
Dokumen yang menyokong tuntutan terhadap wang tidak dituntut seperti penyata akaun atau
surat daripada bank anda
Salinan kad pengenalan anda
Alamat Pendaftar adalah seperti berikut:
Pendaftar Wang Tidak Dituntut
Jabatan Akauntan Negara
Tingkat 42, Menara Maybank
100, Jalan Tun Perak
50050 Kuala Lumpur

PENUTUPAN AKAUN SEMASA


Sesebuah akaun semasa boleh ditutup dalam keadaan-keadaan berikut:

Atas permintaan pemegang akaun pemegang akaun hendaklah membuat permohonan


secara bertulis dan mengembalikan cek-cek yang tidak digunakan untuk pembatalan

Atas budibicara bank akaun ditutup oleh pihak bank atas sebab-sebab seperti
pengeluaran cek tak laku atau akaun tidak aktif (akaun dorman). Dalam hal ini, akaun
tersebut hanya akan ditutup setelah notis bertulis yang secukupnya telah diberikan
kepada pemegang akaun.

Surat pemberitahuan akan dihantar kepada pemegang akaun sebaik sahaja akaun
tersebut ditutup

PENJELASAN CEK
Apabila anda mendepositkan cek ke dalam akaun anda, bank anda selaku bank pemungut akan
menghantar cek tersebut ke pusat penjelasan tertentu untuk diasingkan dan dihantar kepada
bank pembayar untuk penjelasan. Tempoh yang diambil bagi wang daripada cek tersebut
dikreditkan ke dalam akaun anda bergantung kepada bilangan hari yang diperlukan untuk
menjelaskan cek tersebut. Bilangan hari untuk menjelaskan cek mungkin dipengaruhi oleh cuti
umum yang jatuh dalam tempoh penjelasan.
Secara umumnya, cek-cek yang dipungut boleh dibahagikan kepada 3 kategori:
Jenis-jenis cek dan definisi

Cek dalaman
Cek milik bank pembayar daripada cawangan yang sama

Cek tempatan

Cek yang dikeluarkan dan didepositkan di bank yang terletak di dalam zon penjelasan
tempatan

Cek luar kawasan


Cek yang dikeluarkan oleh bank yang terletak di luar zon penjelasan tempatan
Lazimnya, cek dalaman tidak perlu melalui proses penjelasan. Oleh itu, anda akan
menerima wang anda pada hari yang berikutnya. Walau bagaimanapun, tempoh yang
diambil mungkin berbeza di antara sebuah bank dengan bank yang lain bergantung
kepada tempoh yang diperlukan untuk mengesahkan butiran pembayaran.

Namun demikian, cek tempatan dan luar kawasan perlu melalui proses penjelasan dan tempoh
yang diperlukan untuk menjelaskan cek tersebut bergantung kepada lokasi cawangan. Biasanya,
cek tempatan akan dijelaskan dalam tempoh 2-3 hari bekerja manakala tempoh penjelasan cek
luar kawasan mungkin di antara 3-8 hari bekerja.
Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan supaya menyemak dengan bank anda berhubung
tarikh sebenar dana daripada cek yang dijelaskan dikreditkan ke dalam akaun anda.

You might also like