You are on page 1of 28

Book Manuscript

Prinsip Pengurusan Risiko dan Insurans (2nd edition)


Hendon Redzuan & Rubayah Yakob

Bab 3

INSURANS
Objektif Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, anda patut boleh:

Menerangkan mengenai takrifan insurans daripada pandangan individu dan


masyarakat

Membincangkan konsep pindahan risiko, perkongsian risiko dan pengurangan


risiko dalam insurans

Membincangkan kepentingan konsep pooling of losses dalam insurans

Membincangkan bagaimana hukum bilangan besar membantu syarikat


insurans membuat ramalan kerugian yang lebih tepat

Menerangkan ciri-ciri yang patut ada pada risiko yang boleh diinsurans.

eperti yang telah dibincangkan dalam bab yang lepas, terdapat pelbagai kaedah
yang boleh digunakan untuk menguruskan risiko. Insurans merupakan satu
mekanisma kewangan yang digunakan dengan meluas dalam pengurusan risiko.

Bab 3 Insurans

Selama berabad-abad pengguna telah bergantung kepada insurans untuk


membayar kerugian luar jangka yang berlaku. Syarikat insurans mempunyai
kelebihan berbanding pelanggan mereka dalam menanggung kerugian kerana
mereka mempunyai mekanisma untuk membuat ramalan mengenai kerugian purata
yang akan dihadapi dan mengenakan pemium yang sewajarnya.
Hasilnya, kos yang ditanggung oleh pengguna untuk memindahkan risiko kepada
syarikat insurans melalui bayaran premium biasanya jauh lebih murah daripada
menanggung risiko sendiri. Oleh itu, insurans merupakan kaedah utama untuk
menangani risiko dalam program pengurusan risiko yang dilaksanakan oleh
organisasi perniagaan dan juga individu.
Fungsi utama insurans adalah pembentukan keselamatan. Insurans tidak boleh
menghalang sesuatu kejadian yang menyebabkan kerugian daripada berlaku, dan ia
juga tidak mengurangkan kebarangkalian berlakunya kejadian tersebut.
Kebarangkalian berlakunya sesuatu kerugian boleh dikurangkan melalui kaedah
pencegahan kerugian yang telah dibincangkan dalam topik pengurusan risiko. Tetapi
insurans boleh mengurangkan kebarangkalian kerugian kewangan yang dihadapi
oleh pengguna jika berlaku sesuatu kerugian yang diinsuranskan. Pembelian
perlindungan insurans yang mencukupi menghapuskan ketidakpastian terhadap
kerugian kewangan akibat berlakunya kerugian yang diinsuranskan. Dalam keadaan
ini, risiko yang dihadapi oleh individu terhadap kerugian tertentu dihapuskan.
Insurans melibatkan pemindahan risiko dan kesan kewangan akibat kerugian
yang dihadapi oleh organisasi atau individu kepada syarikat insurans. Kontrak
insurans dibentuk antara syarikat insurans atau insurer, dengan pembeli insurans
atau insured. Di bawah kontrak insurans, insurer berjanji untuk membayar ganti rugi
bagi kerugian yang dilindungi seperti yang dinyatakan dalam polisi, dan insured
dikehendaki untuk membayar premium dan mematuhi syarat-syarat kontrak
insurans.
Apabila insured membeli perlindungan insurans, apa yang dieproleh oleh
insured adalah jaminan
Unit pendedahan merujuk kepada individu atau objek yng terdedah kepada
risiko yang boleh menyebabkan kerugian kewangan. Sistem insurans yang ideal
memerlukan bilangan unit pendedahan yang besar dilindungi di bawah sesuatu
perlindungan insurans bagi membolehkan risiko yang dipindahkan daripada insured
kepada insurer dikurangkan. Seperti yang akan kita lihat di bawah nanti,
pengurangan risiko merupakan elemen yang sangat penting dalam sistem insurans.

Bab 3 Insurans

Definisi Insurans
Terdapat berbagai definisi insurans dari pandangan pelbagai pihak. Definisi insurans
yang diberikan dalam buku ini mengambarkan insurans dari perspektif individu.
Insurans boleh ditakrifkan seperti berikut:
Insurans adalah satu mekanisma ekonomi yang melibatkan pindahan risiko daripada
satu pihak, iaitu insured kepada satu pihak lain, iaitu insurer. Pihak insurer memberi
jaminan untuk membayar ganti rugi sekiranya berlaku kerugian yang yang dilindungi
di bawah kontrak insurans, sebagai balasan bagi premium yang dibayar oleh insured.
Melalui insurans, insured menggantikan risiko kerugian kewangan yang besar dan
tidak pasti (iaitu kerugian luar kawal yang mungkin berlaku), dengan kos kecil yang
pasti (iaitu premium insurans).
Apabila insured membeli sesuatu polisi insurans, insured sebenarnya membeli
perlindungan (protection). Perlindungan insurans merupakan jaminan atau janji
insurer bahawa jika berlaku kerugian yang dilindungi di bawah kontrak insurans,
maka insurer akan membayar ganti rugi yang sepatutnya. Walaupun kerugian
mungkin tidak dialami oleh insured, namun insured sentiasa menikmati jaminan
insurer untuk membayar ganti rugi andainya kerugian berlaku dalam sesuatu tempoh
insurans. Oleh itu, perlindungan insurans boleh mengurangkan beban kebimbangan
akibat ketidakpastian terhadap kerugian dan seterusnya memberikan ketenangan
fikiran kepada insured.

Ciri-ciri Asas Insurans


Terdapat empat ciri-ciri asas yang merupakan elemen penting yang membentuk
sistem insurans:

Pakatan kerugian (pooling of losses)


Pengurangan risiko (risk reduction)
Perkongsian kerugian (loss sharing)
Pindahan risiko (risk transfer).

Bab 3 Insurans

Pakatan Kerugian
Pooling of losses atau perkongsian kerugian dalam satu pakatan insurans boleh
ditakrifkan sebagai penyebaran kerugian yang dialami oleh sebilangan kecil insured
kepada kesemua insured dalam satu kumpulan insurans.
Dalam buku ini, istilah perkongsian kerugian dalam satu pakatan insurans akan
diringkaskan sebagai pakatan kerugian.
Melalui konsep pakatan kerugian, kerugian yang dialami oleh sebilangan kecil
insured disebarkan kepada kesemua insured dalam sesuatu kumpulan insurans.
Perkongsian kerugian berlaku melalui bayaran premium oleh semua insured ke
dalam tabung kutipan yang daripadanya ganti rugi dibayar kepada mana-mana
insured yang mengalami kerugian. Oleh itu, pakatan kerugian menghasilkan
penyebaran kerugian kewangan secara adil dalam kalangan semua ahli sesuatu
kumpulan insurans.
Pakatan kerugian adalah intipati kepada insurans. Konsep ini akan menghasilkan
dua ciri-ciri asas insurans, iaitu:

Perkongsian kerugian dalam kalangan insured


Pengurangan risiko yang dihadapi oleh syarikat insurans.

Tujuan utama pakatan kerugian adalah untuk membolehkan syarikat insurans


membuat ramalan kerugian dengan lebih tepat supaya sisihan dalam kerugian yang
mungkin berlaku dapat dikurangkan. Sisihan dalam keputusan yang mungkin berlaku
boleh diukur melalui sisihan piawai (standard deviation). Jika sisihan piawai sesuatu
kerugian dapat dikurangkan, maka risiko juga dikurangkan.
Sebagai contoh, katalah Ali memiliki rumah yang bernilai RM100,000. Katalah
kebarangkalian rumah tersebut musnah sepenuhnya akibat kebakaran dalam
sesuatu tahun ialah 10%. Oleh itu, kebarangkalian Ali tidak akan mengalami kerugian
akibat kebakaran ialah 90%. Taburan kerugian Ali boleh digambarkan seperti berikut:

Kerugian
Kebarangkalian kerugian

RM0

RM100,000

0.9

0.1

Kerugian purata jangka panjang yang mungkin dialami oleh Ali boleh dianggarkan
oleh kerugian terjangka (expected loss).

Bab 3 Insurans
Kerugian terjangka

= (0.9 x RM0) + (0.1 x RM100,000)


= RM10,000.

Sisihan piawai (standard deviation) digunakan untuk mengukur risiko atau lencongan
yang mungkin berlaku kepada kerugian terjangka. Kita boleh menganggarkan
ketepatan kerugian terjangka melalui nilai sisihan piawai. Pengiraan sisihan piawai
bagi contoh ini ditunjukkan dibawah.

Sisihan Piawai

= 0.9(0 10,000)2 + 0.1(1000,000 10,000)2


= RM30,000.

Oleh itu, kerugian terjangka yang dihadapi oleh Ali berkaitan dengan risiko
kebakaran ialah RM10,000 dan sisihan piawai bagi kerugian terjangka ini ialah
RM30,000.
Katalah seorang rakan Ali bernama Sammy juga mempunyai sebuah rumah yang
serupa seperti Ali. Kedua-dua pemilik rumah ini kemudiannya bercadang untuk
menggabungkan pendedahan kerugian mereka dalam satu pakatan (pooling), dan
keduanya bersetuju untuk berkongsi kerugian yang mungkin berlaku secara sama
rata. Bagi keadaan ini, terdapat 4 gabungan kerugian yang mungkin dialami oleh Ali
dan Sammy. Taburan kerugian bagi Ali dan Sammy digambarkan seperti berikut:

Kerugian Yang Mungkin


Berlaku
Tiada kerugian berlaku keatas
kedua-dua rumah
Rumah Ai musnah, rumah
Sammy tidak
Rumah Ali tidak musnah,
rumah Sammy musnah
Kedua-dua rumah musnah

Kebarangkalian

Kerugian kepada
setiap pemilik rumah

0.9 x 0.9 = 0.81

0.1 x 0.9 = 0.09

50,000

0.9 x 0.1 = 0.09

50,000

0.1 x 0.1 = 0.01

100,000

Pengiraan kerugian terjangka dan sisihan piawai bagi pakatan ini ditunjukkan seperti
berikut:

Bab 3 Insurans

Kerugian terjangka = (0.81 x RM0) + (0.09 x RM50,000) + (0.09 x RM50,000)


+ (0.01 x 100,000)
= RM10,000.

0.81(0 RM10,000)2 + 0.09(RM50,000 RM10,000)2


Sisihan piawai =
+ 0.09(RM50,000 RM10,000)2
+ 0.01(RM100,000 RM10,000)2
= RM21, 213.

Dalam kes ini, kerugian terjangka masih sama iaitu RM10,000 manakala sisihan
piawai pula adalah RM21,213.
Perhatikan bahawa apabila dua pemilik rumah bergabung dalam satu kumpulan
pakatan kerugian, sisihan piawai kerugian terjangka menjadi lebih rendah
berbanding sisihan piawai jika setiap individu menanggung kerugian secara
bersendirian.
Katalah bilangan ahli pakatan (unit pendedahan) ditambah kepada 100, dan
seterusnya kepada 1,000 dan 10,000. Anggapkan setiap ahli memiliki rumah yang
serupa dengan kebarangkalian kerugian yang sama. Iaitu, semua unit pendedahan
adalah homogeneous. Nilai kerugian terjangka dan sisihan piawai berkaitan dengan
risiko kebakaran rumah bagi pakatan ini dianggarkan seperti berikut:

Bilangan unit
pendedahan
100

Kerugian terjangka

Sisihan piawai

RM10,000

RM3,000

1000

RM10,000

RM949

10,000

RM10,000

RM300

Dari contoh ini kita dapat lihat bahawa semakin besar bilangan unit pendedahan yang
bergabung di dalam sesuatu rancangan perkongsian kerugian, maka sisihan piawai
semakin menyusut. Semakin kecil sisihan piawai bermaksud semakin hampir
kerugian sebenar kepada kerugian jangkaan. Seperti dalam contoh ini, kerugian
jangkaan boleh kita anggarkan daripada pengalaman lepas. Jika sisihan piawai adalah

Bab 3 Insurans

kecil, maka insurer boleh meramalkan kerugian sebenar yang akan berlaku dengan
ketepatan yang tinggi. Dengan itu, insurer boleh mengutip premium yang mencukupi
untuk membayar kerugian yang akan berlaku.
Penggabungan unit pendedahan dengan bilangan yang cukup besar dalam satu
pakatan insurans membolehkan insurer meramal kerugian masa depan dengan
ketepatan yang lebih tinggi. Dari pandangan insurer, jika kerugian masa depan boleh
diramal, maka risiko objektif dikurangkan. Oleh itu, satu ciri insurans yang penting
hasil daripada pooling of losses adalah pengurangan risiko. Pengurangan risiko boleh
dicapai melalui aplikasi satu hukum matematik yang dipanggil hukum bilangan besar
(law of large numbers).

Hukum Bilangan Besar


Secara umumnya, hukum bilangan besar menyatakan bahawa:
Semakin besar bilangan unit pendedahan bagi sesuatu aktiviti, maka semakin hampir
keputusan sebenar mengenai hasil aktiviti tersebut kepada keputusan yang dijangka.
Keputusan sebenar merujuk kepada pengalaman sebenar yang dialami,
manakala keputusan yang dijangka merujuk kepada kebarangkalian yang
dianggarkan mengenai keputusan yang akan dialami. Sebagai contoh, katalah kita
melontar sekeping syiling yang betul-betul seimbang. Kebarangkalian untuk
memperoleh kepala adalah 0.5, maka keputusan yang dijangkakan adalah 50%
daripada lontaran akan menghasilkan kepala.
Jika kita lontarkan syiling tersebut sebanyak 10 kali, tidak ada jaminan yang kita
akan memperolehi kepala sebanyak 5 kali, walaupun kebarangkalian memperolehi
kepala adalah 0.5. Kita mungkin akan mendapat kepala sebanyak 3 kali atau 8 kali.
Begitu juga jika kita melontar sebanyak 100 kali, tidak semestinya kita memperolehi
kepala 50 kali. Kebarangkalian yang diketahui tidak relevan kepada bilangan lontaran
yang kecil. Namun demikian, berdasarkan hukum bilangan besar, dengan bilangan
lontaran yang besar kita menjangkakan akan memperoleh hampir separuh
daripadanya kepala dan separuh ekor. Misalnya jika lontaran dibuat 100,000 kali,
bilangan kepala yang diperolehi akan menghampiri 50,000 kali. Iaitu semakin besar
bilangan unit pendedahan bagi sesuatu aktiviti, maka keputusan aktiviti yang akan
diperolehi akan semakin menghampiri keputusan yang dijangka.

Bab 3 Insurans

Aplikasi Hukum Bilangan Besar Dalam Insurans


Dalam konteks insurans, hukum bilangan besar menyatakan bahawa:
Semakin besar bilangan unit pendedahan yang diinsuranskan, maka semakin hampir
pengalaman kerugian sebenar yang dialami oleh kumpulan pendedahan ini kepada
pengalaman kerugian yang dijangka.
Syarikat insurans biasanya tidak mengetahui kebarangkalian dan ketenatan
kerugian sebenar. Syarikat insurans perlu membuat anggaran mengenai
kebarangkalian sesuatu kerugian akan berlaku. Anggaran kebarangkalian ini boleh
dibuat menggunakan pengalaman lepas. Kebarangkalian seperti ini yang dikira
selepas kajian ke atas pengalaman lepas dipanggil kebarangkalian a posteriori.
Misalnya, kebarangkalian kematian bagi kumpulan insured yang memiliki insurans
hayat dan kebarangkalian kemalangan dalam kalangan insured yang dilindungi oleh
insurans motor.
Berdasarkan pengalaman lepas, insurer boleh membuat anggaran kekerapan dan
ketenatan purata kerugian. Iaitu, insurer boleh membuat anggaran mengenai
bilangan polisi yang akan mengalami kerugian dan saiz kerugian yang mungkin
berlaku. Kerugian yang dijangka (atau kerugian terjangka) boleh dianggar
menggunakan kerugian purata jangka panjang yang mungkin dialami oleh kumpulan
pendedahan. Variasi pada kerugian terjangka diukur menggunakan sisihan piawai.
Semakin kecil sisihan piawai, maka semakin hampir kerugian sebenar kepada
kerugian terjangka. Dalam perkataan lain, semakin kecil sisihan piawai, maka ramalan
bagi kerugian sebenar dapat dibuat dengan semakin tepat.
Berdasarkan hukum bilangan besar, semakin besar bilangan unit pendedahan
dalam satu pakatan insurans, maka semakin kecil sisihan piawai bagi kerugian yang
dijangka. Oleh itu, kerugian sebenar akan semakin menghampiri kerugian dijangka.
Penggabungan unit pendedahan dengan bilangan yang cukup besar dalam satu
kumpulan pakatan insurans membolehkan insurer meramal kerugian masa depan
dengan ketepatan yang lebih tinggi. Dan semakin tepat ramalan kerugian sebenar,
risiko objektif semakin berkurangan.
Sebagai contoh, dengan merujuk pada jadual mortaliti, kebarangkalian a
posteriori bagi lelaki yang berumur 60 tahun akan meninggal dunia dalam tempoh
satu tahun akan datang adalah 0.024. Oleh itu, jika insurer tersebut mempunyai
1,000 orang insured yang berumur 60 tahun, ia menjangkakan seramai 24 orang
darinya akan meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur 61 tahun (1,000 x
0.024 = 24). Jika insurer tersebut mempunyai 10,000 orang insured yang berumur 60
tahun, maka bilangan kematian dijangka dalam kalangan mereka adalah 240 orang.
Namun, bilangan kematian sebenar bagi insured berumur 60 tahun tidak dapat
dipastikan sehingga ia benar-benar berlaku. Tetapi berdasarkan hukum bilangan
besar, semakin tinggi bilangan unit pendedahan terhadap sesuatu peril, maka

Bab 3 Insurans

semakin kurang sisihan antara kerugian yang diperhatikan dengan kerugian


terjangka. Kajian menunjukkan jika terdapat 500,000 insured dilindungi di bawah
satu pakatan insurans hayat, sisihan piawai bagi kadar kematian yang diperhatikan
(kadar kematian sebenar) adalah kurang 1% dari kadar terjangka. Merujuk kepada
contoh di atas, katalah insurer tersebut mempunyai 500,000 insured yang berusia 60
tahun. Maka bilangan kematian dijangka bagi kumpulan ini dalam tempoh 1 tahun
yang akan datang adalah 12,000 (iaitu 500,000 x 0.024). Berdasarkan nilai sisihan
piawai 1%, maka sisihan yang mungkin berlaku ke atas ramalan yang dibuat adalah
120 (iaitu 12,000 x 1%). Oleh itu, bilangan kematian sebenar bagi kumpulan insured
tersebut kemungkinan besar adalah antara 11,880 dan 12,120 orang (iaitu 12,000 120 = 11,880 dan 12,000 + 120 = 12,120).
Jika insurer mempunyai unit pendedahan yang besar, kerugian sebenar dimasa
lampau boleh menjadi anggaran yang baik untuk kerugian masa depan. Seperti yang
telah kita lihat, apabila bilangan pendedahan semakin bertambah, variasi atau sisihan
kerugian sebenar daripada kerugian dijangka akan berkurangan. Oleh itu syarikat
insurans boleh meramal kerugian masa depan dengan darjah ketepatan yang lebih
tinggi. Konsep ini sangat penting kerana insurer perlu mengutip premium yang
mencukupi untuk membayar kerugian yang berlaku dan juga perbelanjaan yang
ditimbulkan disepanjang tempoh perlindungan. Semakin rendah tahap risiko
objektif, semakin tinggi keyakinan insurer bahawa premium yang dikenakannya akan
mencukupi untuk membayar semua tuntutan dan perbelanjaan, serta menyediakan
margin keuntungan yang berpatutan.

Pengurangan Risiko
Pengurangan risiko bermaksud ketidakpastian mengenai kerugian yang dihadapi
oleh syarikat insurans dikurangkan melalui ramalan kerugian masa depan yang
berpatutan.
Jika kerugian masa depan boleh dianggarkan dengan baik, maka insurer boleh
mengumpul dana yang mencukupi untuk membiayai kerugian yang berlaku melalui
kutipan premium; oleh itu ketidakpastian terhadap kerugian dapat dikurangkan.
Seperti yang telah kita lihat, konsep pooling of losses atau pakatan kerugian
membolehkan risiko dikurangkan dalam insurans.
Di samping menghapuskan risiko pada peringkat individu melalui pindahan,
mekanisma insurans juga mengurangkan risiko yang dihadapi oleh masyarakat
keseluruhannya. Risiko yang dihadapi oleh syarikat insurans bukanlah jumlah
kesemua risiko yang dipindahkan oleh individu kepadanya. Syarikat insurans
berupaya untuk melakukan sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh individu, iaitu
mengurangkan risiko yang dihadapinya. Ini dicapai dengan membuat ramalan atau

Bab 3 Insurans

10

jangkaan ke atas amaun kerugian sebenar yang mungkin berlaku dengan ketepatan
yang berpatutan. Semakin tinggi ketepatan ramalan yang boleh dibuat oleh insurer
terhadap kerugian masa depan, maka semakin kecil sisihan antara kerugian sebenar
dan kerugian jangkaan. Semakin kecil sisihan yang dihadapi, maka semakin kurang
risiko objektif. Ramalan kerugian masa depan yang baik sangat penting kepada
operasi insurans kerana premium dikutip terlebih dahulu sebelum kerugian berlaku,
oleh itu ia ditetapkan berdasarkan anggaran kerugian masa depan.
Andainya insurer boleh meramal kerugian masa depan dengan tepat, maka tidak
ada risiko yang akan dihadapinya, kerana insurer akan mengutip premium yang
secukupnya daripada insured untuk membayar kerugian yang berlaku dan
perbelanjaan yang ditimbulkan. Namun, tidak mudah untuk insurer membuat
ramalan yang betul-betul tepat. Apa yang amat dipentingkan oleh insurer adalah
sisihan antara kerugian sebenar dan kerugian jangkaan. Sisihan yang berlaku mestilah
berpatutan. Jika kerugian sebenar terlalu tinggi daripada kerugian terjangka,
premium yang dikutip mungkin tidak mencukupi. Keadaan ini boleh menjejaskan
keupayaan insurer untuk memenuhi obligasinya membayar ganti rugi. Jika
sebaliknya berlaku, insured mungkin dikenakan premium yang jauh lebih tinggi
daripada yang sepatutnya, dan ini boleh menyebabkan insured mungkin mencari
insurer alternatif. Oleh itu, keupayaan untuk membuat ramalan kerugian dengan
darjah ketepatan yang berpatutan adalah amat penting kepada syarikat insurans.

Perkongsian Kerugian
Insurans adalah satu mekanisma perkongsian kerugian yang bermaksud insured di
dalam satu pakatan insurans bersetuju untuk sama-sama bertanggungjawab ke atas
kerugian yang dialami oleh mana-mana insured melalui pembayaran premium.
Melalui proses penyebaran kerugian, kerugian sebenar yang dialami oleh insured
digantikan oleh kerugian purata. Kerugian purata merupakan amaun premium yang
perlu dibayar oleh insured. Mana-mana insured yang mengalami kerugian sebenar
akan dibayar ganti rugi yang diperolehi daripada kutipan premium. Oleh itu, kerugian
sebenar yang dialami oleh mana-mana insured dikongsi oleh semua insured dengan
membayar kerugian purata. Melalui pooling of losses, perkongsian kerugian berlaku
melalui penyebaran kerugian yang dialami oleh sebilangan kecil insured kepada
kesemua insured dalam sesuatu kumpulan insurans.
Untuk menggambarkan bagaimana perkongsian kerugian berlaku dalam
insurans, katalah terdapat 1000 buah rumah di satu kawasan perumahan, dan
anggapkan nilai setiap rumah adalah RM200,000. Setiap pemilik rumah menghadapi
risiko rumahnya akan mengalami kebakaran. Jika kebakaran berlaku, kerugian
kewangan boleh mencapai RM200,000. Tanpa sebarang kerjasama antara pemilik-

Bab 3 Insurans

11

pemilik rumah, mana-mana rumah yang terbakar akan menyebabkan kerugian yang
terpaksa ditanggung sendiri oleh pemiliknya. Katalah semua pemilik rumah
membentuk satu persetujuan untuk berkongsi kos kerugian apabila kebakaran
berlaku, jadi tidak ada pemilik yang terpaksa menanggung keseluruhan kerugian
sebanyak RM200,000 bersendirian. Apabila ada kebakaran berlaku, setiap daripada
1,000 pemilik rumah akan menyumbang bahagian perkongsiannya. Jika kerugian
yang berlaku adalah kerugian sepenuhnya, maka setiap pemilik akan menyumbang
RM200 (RM200,000 /1,000), dan pemilik rumah yang musnah akan menerima ganti
rugi sebanyak RM200,000. Mereka yang tidak mengalami kebakaran bersedia
membayar kepada yang mengalaminya kerana dengan cara ini, mereka membantu
menghapuskan kemungkinan mereka sendiri akan mengalami kerugian RM200,000
akibat kebakaran. Melalui persetujuan untuk berkongsi kerugian, beban ekonomi
akibat kerugian disebarkan kepada keseluruhan kumpulan, iaitu risiko dipindahkan
daripada individu kepada kumpulan. Ini adalah gambaran ringkas bagaimana
insurans berfungsi.
Untuk menjadikan pelan perkongsian kerugian yang digambarkan di atas lebih
efisien, bayaran sumbangan boleh dibuat terlebih dahulu, iaitu sebelum kebakaran
berlaku. Ini boleh menyelesaikan masalah yang mungkin timbul jika ada antara ahli
kumpulan yang enggan membayar bahagian mereka selepas kerugian berlaku. Jika
bayaran sumbangan hendak dibuat sebelum kerugian berlaku, maka perlulah ada
anggaran mengenai amaun kerugian yang akan berlaku. Ini mungkin boleh dilakukan
berdasarkan pengalaman lepas. Katalah berdasarkan pengalaman lepas, kita boleh
menganggarkan dengan ketepatan yang berpatutan bahawa 2 daripada 1000 rumah
akan terbakar. Jadi kita boleh mengenakan setiap ahli kumpulan RM400, supaya
RM400,000 dapat dikumpulkan bagi membiayai kerugian. Disamping kos kerugian,
pastinya akan ada perbelanjaan yang ditimbulkan untuk mengendalikanlam program
perkongsian ini. Dan ada kemungkinan jangkaan kerugian yang dibuat tidak begitu
tepat . Oleh itu, setiap ahli boleh dikenakan tambahan RM100 setiap orang misalnya,
untuk membiayai perbelanjaan dan sebagai persediaan andainya kerugian yang
berlaku lebih besar daripada yang dijangkakan. Oleh itu, setiap pemilik rumah dalam
kumpulan ini akan membayar kos kecil sebanyak RM500 sebagai ganti untuk jaminan
bayaran ganti rugi sebanyak RM200,000 jika rumahnya terbakar RM500 ini dipanggil
premium dan ia merupakan bahagian perkongsian ahli ke atas jumlah kerugian dan
perbelanjaan yang dihadapi oleh kumpulannya. Seperti yang telah digambarkan di
atas, perkongsian kerugian melibatkan kerugian besar yang dialami oleh sebilangan
kecil ahli pakatan diagihkan secara adil kepada semua ahli pakatan melalui bayaran
premium.

Bab 3 Insurans

12

Pindahan Risiko
Dari perspektif individu, pindahan risiko bermaksud risiko tulen yang dihadapi oleh
insured dipindahkan kepada insurer yang biasanya mempunyai keupayaan
kewangan yang lebih tinggi untuk membayar kerugian yang berlaku.
Apabila insured membeli sesuatu polisi insurans, insured menikmati
perlindungan yang merupakan jaminan daripada insurer bahawa jika berlaku
kerugian yang dilindungi, maka insurer akan membayar ganti rugi untuk
meringankan beban kewangan insured. Perlindungan insurans diperolehi oleh
insured melalui bayaran premium. Oleh itu, melalui insurans, insured menggantikan
kerugian besar yang tidak pasti dengan kerugian kecil yang pasti. Kerugian besar yang
tidak pasti adalah kerugian luar kawal yang mungkin berlaku akibat peril tertentu
yang boleh mengakibatkan kerugian kewangan yang tinggi, misalnya kebakaran atau
kemalangan. Kerugian kecil yang pasti merupakan premium yang dikenakan kepada
insured bagi perlindungan yang dinikmati.
Walaupun kerugian mungkin tidak dialami dalam sesuatu tempoh insurans,
namun insured sebenarnya telah menerima sesuatu daripada pemilikan insurans,
iaitu insured menikmati jaminan atau janji insurer untuk membayar ganti rugi
andainya kerugian berlaku. Oleh itu, perlindungan insurans memberikan sesuatu
yang berharga kepada insured iaitu kebebasan daripada beban ketidakpastian
terhadap kerugian. Dan lagi, insurans juga memberikan ketenangan fikiran kepada
insured kerana insured telah memindahkan risiko kerugian yang dihadapinya kepada
syarikat insurans.
Dari perspektif masyarakat, konsep pindahan risiko boleh dilihat sebagai proses
pindahan risiko daripada individu kepada ahli-ahli satu kumpulan pakatan yang
dibentuk bagi tujuan perkongsian risiko yang mana semua ahli pakatan bersetuju
untuk sama-sama bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh mana-mana
ahli.
Secara idealnya, sesuatu pakatan perlu mempunyai bilangan ahli yang besar
dengan ahli-ahlinya mempunyai ciri-ciri yang hampir serupa, atau homogeneous, dan
terdedah kepada peril yang sama. Syarikat insurans mempunyai mekanisma untuk
membuat ramalan mengenai kerugian yang mungkin dihadapi oleh pakatan ini, dan
kos kerugian terjangka akan diagihkan dikalangan ahli secara adil. Setiap ahli
kumpulan akan dikenakan bayaran yang setimpal supaya insurer dapat
menggumpulkan dana yang mencukupi untuk membiayai kerugian yang akan
berlaku. Dalam perkataan lain, risiko yang dipindahkan kepada kumpulan dikongsi
dalam kalangan ahli-ahli kumpulan melalui bayaran premium.

Bab 3 Insurans

13

Pendedahan Kerugian Yang Boleh Di Insuranskan


Pernahkah anda terfikir, apakah perkara-perkara yang boleh anda insuranskan?
Bolehkah anda menginsuranskan rumah anda, pakaian, barang kemas, pinggan
mangkuk dan lain-lain? Bolehkah anda menginsuranskan anggota badan, ahli
keluarga atau binatang kesayangan anda? Bagi organisasi perniagaan pula, bolehkah
pemilik organisasi menginsuranskan premis serta peralatan perniagaannya?
Ada banyak perkara yang boleh diinsuranskan, dengan syarat ia memenuhi
syarat kebolehinsuranan yang akan kita bincangkan nanti. Pada amnya, kerugian
yang boleh diinsuranskan mestilah yang melibatkan risiko tulen, iaitu yang
melibatkan ketidakpastian akan berlakunya kerugian sahaja dan tidak ada
kemungkinan berlakunya keuntungan. Kerugian yang boleh diinsuranskan boleh
dibahagikan kepada 3 kategori iaitu

Kerugian harta,
Kerugian diri
Kerugian liabiliti.

1. Kerugian Harta
Kerugian harta (property loss) boleh dikategorikan kepada kerugian langsung (direct
loss) dan kerugian tidak langsung atau turutan (indirect / consequential loss).
(a) Kerugian langsung
Kerugian langsung merujuk kepada kerugian akibat kerosakan atau kemusnahan
fizikal sesuatu harta yang disebabkan oleh peril tertentu. Misalnya, kemusnahan
bangunan akibat kebakaran, kerosakan kereta akibat kemalangan, dan kecurian
barang berharga. Ganti rugi yang akan dibayar oleh insurer tidak boleh melebihi
dariapada kerugian yang berlaku. Saiz kerugian boleh dianggarkan daripada kos
membaikpulih atau mengganti harta yang rosak tadi. Bagi kerugian sepenuhnya ke
atas sesuatu harta, saiz kerugian ditentukan melalui nilai tunai sebenar (actual cash
value) harta tersebut. Nilai tunai sebenar menyamai kos penggantian (replacement
cost) ditolakkan dengan amaun susut nilai (depreciation). Polisi insurans harta
melindungi kerosakan fizikal harta akibat peril tertentu. Misalnya insurans motor
melindungi kerosakan keatas kenderaan yang diinsuranskan akibat peril
perlanggaran, kebakaran, kecurian dan lain-lain.

Bab 3 Insurans

14

(b) Kerugian turutan


Jika berlaku bencana terhadap harta, pemilik harta bukan sahaja mengalami kerugian
atas kerosakan fizikal harta, tetapi dia juga akan kehilangan kegunaan harta tadi.
Kehilangan kegunaan harta boleh menyebabkan kerugian pendapatan akibat
gangguan operasi. Selain itu, belanja tambahan boleh ditimbulkan, misalnya kos
sewaan premis sementara. Kerugian pendapatan dan belanja tambahan merupakan
kerugian yang boleh diinsuranskan. Sebagai contoh, fire consequential loss policy
atau profit policy akan melindungi kehilangan pendapatan akibat gangguan
perniagaan yang disebabkan oleh kebakaran premis perniagaan.

2. Kerugian Diri
Kerugian diri (personal loss) melibatkan kerugian yang mungkin dialami oleh individu
yang mengakibatkan kehilangan pendapatan atau pengurangan aset. Kerugian ini
boleh disebabkan oleh peril seperti kematian, kesihatan yang tidak baik, hilang
upaya, umur lanjut dan pengangguran. Individu yang mengalami kerugian yang
tersebut boleh juga menyebabkan kerugian kewangan kepada tanggungan atau
keluarganya. Terdapat pelbagai insurans yang boleh digunakan untuk menguruskan
kerugian diri. Misalnya, insurans hayat boleh digunakan untuk menangani risiko
kematian, insurans perubatan bagi risiko kesihatan merosot dan polisi anuiti bagi
risiko umur lanjut.

3. Kerugian Liabiliti
Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk tidak menyebabkan kecederaan
atau kerosakan harta benda kepada orang lain. Tanggungjawab ini di panggil liabiliti
kepada pihak ketiga. Jika seseorang individu menyebabkan kecederaan atau
kerosakan harta kepada pihak ketiga, maka pihak ketiga ini boleh mengambil
tindakan undang-undang dan menyaman pihak yang menyebabkan kerugian.
Insurans liabiliti boleh melindungi risiko yang timbul daripada tanggungjawab
terhadap pihak ketiga ini. Jika seorang insured disaman kerana menyebabkan
kecederaan atau kerosakan hartabenda pihak ketiga, dan jika dia dilindungi oleh
insurans liabiliti, maka insurer akan membayar ganti rugi seperti yang diarahkan oleh
mahkamah kepada pihak ketiga yang mengalami kerugian.

Bab 3 Insurans

15

Ciri-ciri Risiko Yang Boleh DiInsuranskan


Syarikat insurans biasanya hanya memberi perlindungan kepada risiko tulen.
Namun, tidak semua risiko tulen boleh diinsuranskan. Dari pandangan insurer,
beberapa kriteria perlu dipenuhi untuk menjadikan sesuatu risiko itu sesuai untuk
diinsuranskan. Walaupun secara teorinya semua kerugian boleh diinsuranskan,
namun sesetengahnya tidak boleh diinsuranskan pada harga yang munasabah. Oleh
kerana sebab-sebab yang praktikal, insurer tidak bersedia menerima kesemua risiko
tulen yang hendak dipindahkan keapda mereka. Pendedahan yang sesuai untuk
diinsuranskan perlu mempunyai ciri-ciri tertentu seperti yang disenaraikan di bawah.
1.

Perlu terdapat unit pendedahan yang hampir serupa (homogeneous) dengan


bilangan yaang cukup besar, serta terdedah kepada peril yang sama.

Insurans berfungsi berasaskan kepada operasi hukum bilangan besar. Bilangan unit
pendedahan yang cukup besar meningkatkan keupayaan insurer untuk membuat
anggaran kerugian dengan lebih baik, dengan itu memastikan insurer dapat
memenuhi semua obligasinya terhadap pemilik polisi. Pendedahan homogenous
diperlukan untuk memastikan semua pendedahan menghadapi kebarangkalian
kerugian yang hampir sama. Contohnya, sekumpulan individu yang mempunyai
tahap kesihatan dan dalam lingkungan usia yang sama dan terdedah kepada peril
kematian pramatang.
2.

Kerugian berlaku secara tidak sengaja dan diluar kawal.

Kerugian yang boleh diinsuranskan perlu merupakan kerugian yag tidak dijangka dan
diluar kawalan dan berlaku secara kebetulan (fortuitous losses). Dalam perkataan
lain, kerugian yang menimpa individu atau harta mestilah berlaku secara tidak
sengaja. Sebagai contoh, kemalangan jalanraya dalah kerugian yang tidak
disengajakan. Kerugian juga mestilah merupakan satu kontingensi, iaitu sesuatu yang
mungkin berlaku atau mungkin tidak berlaku, bukannya sesuatu yang pasti berlaku.
Kerugian yang berlaku dengan sengaja tidak boleh diinsuranskan kerana ini boleh
menimbulkan hazad moral. Kerugian yang pasti akan berlaku tidak lagi melibatkan
risiko dan tidak lagi diluar kawal.
3.

Kerugian boleh dipastikan kejadiannya dan boleh di ukur saiznya.

Kerugian yang berlaku mestilah boleh dibuktikan. Misalnya jika berlaku kemalangan,
gambar yang menunjukkan kerosakan kenderaan yang terlibat dan laporan polis oleh

Bab 3 Insurans

16

pemilik kenderaan berhubung dengan kemalangan adalah bukti kemalangan benarbenar berlaku. Kerugian juga mesti boleh diukur tahapnya dalam nilai kewangannya.
Misalnya bagi kenderaan yang rosak dalam kemalangan, kos membaik pulih
kenderaan tersebut merupakan ukuran kerugian yang berlaku. Kerugian seperti
perasaan sedih atau kecewa tidak boleh dipastikan kejadiannya dan tidak boleh
diukur, oleh itu tidak ideal untuk diinsuranskan.
4.

Kerugian mestilah tidak bersifat katastrofik.

Kerugian katastrofik adalah kerugian yang sangat besar yang boleh menjejaskan
keupayaan kewangan syarikat insurans. Kerugian akibat bencana seperti taufan,
banjir, gempabumi, peperangan dan nuklear boleh menyebabkan kerugian yang
sangat besar. Peril-peril seperti ini boleh menyebabkan kerugian kepada sebahagian
besar insured dalam sesuatu kumpulan pakatan kerugian, dan ini bercanggah dengan
konsep perkongsian risiko yang andaiannya adalah kerugian akan dialami oleh hanya
sebahagian kecil ahli dan dikongsi oleh keseluruhan pakatan. Syarikat insurans
biasanya akan mengelak daripada perlu bertanggungjawab keatas kerugian besar
seperti ini kerana keadaan sebegini boleh menyebabkan syarikat gagal memenuhi
tuntutan yang dikemukakan.
5. Kerugian yang berlaku akan menyebabkan kerugian kewangan yang tenat
kepada insured.
Harta yang hendak diinsuranskan mestilah bernilai tinggi supaya jika harta musnah,
pemilik akan mengalami kerugian kewangan yang serius. Jika seseorang membeli
insurans untuk harta yang tidak menyebabkan kerugian tenat akibat
kemusnahannya, kos kendalian insurans mungkin lebih tinggi daripada kos
menggantikan harta yang musnah dengan harta yang baru. Misalnya, mungkin tidak
wajar untuk menginsuranskan buku, kasut, pakaian dan lain-lain barangan yang kecil
nilainya, kerana jika berlaku kerosakan kepada harta ini, kos untuk membaik pulih
atau menggantikannya tidaklah begitu tinggi.
6.

Kebarangkalian kerugian mesti boleh dianggarkan

Insurer perlu berupaya menganggarkan purata kekerapan dan purata ketenatan bagi
kerugian depan dengan ketepatan yang sewajarnya. Ini perlu dilakukan supaya
premium yang mencukupi boleh dikenakan terhadap insured untuk membayar
semua tuntutan dan perbelanjaan yang akan timbul. Walau bagaimanapun,
sesetengah kerugian memang sukar untuk diramal, misalnya yang berkaitan dengan

Bab 3 Insurans

17

bencana alam seperti banjir dan gempa bumi. Biasanya, kerugian begini tidak
dilindungi oleh syarikat insurans swasta.
7.

Premium yang munasabah

Premium yang dikenakan kepada insured perlulah munasabah, iaitu insured mestilah
mampu untuk membayar premium. Dan lagi, untuk menjadikan insurans menarik
kepada pengguna, premium yang perlu dibayar mestilah jauh lebih rendah daripada
jumlah insurans. Premium yang dikenakan kepada insured berkadaran dengan
kebarangkalian kerugian berlaku. Semakin tinggi peluang kerugian berlaku, maka
semakin tinggi premium yang akan dikenakan. Oleh itu, insurans lebih sesuai untuk
risiko yang mempunyai kebarangkalian kerugian yang rendah.
Selain memenuhi ciri-ciri risiko yang ideal untuk diinsuranskan seperti yang
dibincangkan di atas, semua pendedahan yang hendak dilindungi oleh insurans perlu
mematuhi satu prinsip insurans yang sangat penting, iaitu kepentingan boleh
insurans (insurable interest). Kepentingan boleh insurans wujud antara seseorang
dengan sesuatu harta jika dia akan mengalami kerugian kewangan atas kemusnahan
harta tersebut. Kepentingan boleh insurans wujud antara seseorang individu dengan
individu yang lain jika kematian individu yang lain itu akan menyebabkan kerugian
kewangannya kepadanya. Insurans hanya boleh dibeli untuk sesuatu harta atau
individu lain jika wujud kepentingan boleh insurans. Konsep kepentingan boleh
insurans akan dibincangkan dalam bab yang akan datang.
Walaupun ciri-ciri risiko yang ideal untuk diinsuranskan amat dipentingkan oleh
syarikat insurans, namun pengecualian boleh diberikan kepada ciri bilangan
pendedahan yang besar. Perlindungan masih boleh diberikan oleh insurer kepada
pendedahan yang melibatkan bilangan yang kecil. Misalnya seorang pengumpul
lukisan memiliki sebuah lukisan ciptaan Picasso. Atau pemilik barang antik yang
mempunyai koleksi barang antik yang berharga. Begitu juga dengan ahli sukan atau
selebriti yang mahu menginsuranskan anggota badan tertentu seperti kaki, tangan
atau hidung. Perlindungan insurans masih boleh diberikan dalam kes-kes begini,
namun hukum bilangan besar tidak boleh diaplikasikan dan risiko tidak dapat
dikurangkan. Oleh kerana salah satu daripada elemen insurans yang sangat penting,
iaitu pengurangan risiko, tidak dipenuhi, maka pindahan risiko dalam kes ini
merupakan pindahan bukan insurans.

Bab 3 Insurans

18

Risiko Yang Tidak Sesuai Untuk DiInsuranskan


Walaupun terdapat banyak risiko yang boleh diinsuranskan, terdapat banyak juga
risiko yang tidak sesuai untuk diinsuranskan. Kebanyakan risiko pasaran, risiko
kewangan, risiko pengeluaran dan risiko politik tidak sesuai diinsuranskan oleh
syarikat insurans swasta. Ini adalah kerana risiko-risiko ini bersifat spekulatif, iaitu
insured boleh mendapat kerugian atau keuntungan daripada sesuatu kejadian yang
berlaku. Insurans hanya sesuai untuk melindungi risiko tulen. Tujuan insurans adalah
untuk memastikan insured dipulihkan kedudukan kewangannya kepada keadaan
yang sama seperti sebelum kerugian berlaku. Insurans tidak boleh menyebabkan
seseorang mendapat keuntungan daripada perkara yang diinsuranskan. Risiko
spekulatif boleh menimbulkan hazad moral dan hazad morel jika perlindungan
insurans diberikan.
Selain daripada itu, risiko-risiko yang disebutkan di atas boleh menyumbang
kepada kebarangkalian kerugian katastrofi yang tinggi. Sebagai contoh, risiko politik
boleh mencetuskan peperangan. Risiko pasaran boleh menyebabkan keadaan
ekonomi yang tidak stabil yang boleh memberi kesan kepada sebahagian besar
masyarakat. Dan juga, pengiraan premium yang wajar dikenakan sukar dilakukan
kerana kebarangkalian berlakunya kerugian akibat risiko tersebut tidak boleh
dianggarkan dengan baik. Misalnya, tiada data yang dikumpulkan berkaitan dengan
kerugian yang dialami oleh peruncit akibat perubahan citarasa pengguna.

Pilihan Sakal
Pilihan sakal (adverse selection) atau anti-pemilihan (anti-selection) merujuk kepada
kecenderungan individu yang mempunyai kebarangkalian kerugian yang lebih tinggi
daripada purata untuk mendapatkan insurans pada kadar purata atau kadar biasa
(standard rate). Individu berisiko kurang baik ini (poor risk) biasanya memang lebih
cenderung untuk membeli dan mengekalkan insurans berbanding dengan individu
yang berisiko baik (good risk). Jika tidak dikawal, pilihan sakal boleh mengakibatkan
kerugian sebenar yang lebih tinggi daripada kerugian yang dijangkakan. Sebagai
contoh, pilihan sakal boleh timbul daripada individu yang menghidap penyakit kronik
seperti diabetis yang ingin mendapatkan insurans hayat atau insurans perubatan
pada kadar biasa. Pilihan sakal boleh juga timbul daripada individu yang gemar
memandu laju yang mahukan perlindungan insurans motor pada kadar biasa, atau
daripada firma perniagaan yang seringkali dirompak dan dipecah masuk yang
mahukan perlindungan insurans jenayah pada kadar biasa.
Syarikat insurans perlu meminimumkan pilihan sakal kerana ia mendedahkan
syarikat kepada bilangan tuntutan yang tinggi. Tuntutan yang lebih tinggi dari yang

Bab 3 Insurans

19

dijangkakan boleh menjejaskan kedudukan kewangan syarikat. Kaedah untuk


mengurangkan pilihan sakal adalah melalui proses pengunderitan (underwriting).
Pengunderitan adalah proses memilih dan mengelaskan risiko yang sedang
dipertimbangkan untuk ditawarkan perlindungan insurans. Risiko atau pemohon
insurans yang memenuhi syarat pengunderitan bagi sesuatu jenis insurans akan
diberikan perlindungan pada kadar biasa. Jika seseorang pemohon tidak dapat
memenuhi syarat pengunderitan yang ditetapkan kerana dia merupakan risiko yang
kurang baik, dia masih boleh diberikan perlindungan insurans pada kadar yang lebih
tinggi daripada purata, iaitu dengan premium tambahan atas kadar purata. Dalam
sesetengah keadaan, permohonan daripada risiko kurang baik akan ditolak. Masalah
pilihan sakal timbul apabila pemohon dengan kebarangkalian kerugian lebih tinggi
daripada purata berjaya mendapatkan perlindungan pada kadar biasa atau kadar
purata.

Insurans dan Perjudian


Insurans kadangkala dikelirukan dengan perjudian. Terdapat dua perbezaan utama
antara keduanya. Pertama, perjudian mewujudkan risiko spekulatif yang baru,
manakala insurans adalah kaedah untuk menangani risiko tulen yang memang telah
sedia wujud. Sesebelum seseorang itu terlibat dengan perjudian, tidak wujud risiko
sama ada dia akan menang atau kalah. Jika dia melibatkan diri dalam perjudian,
barulah dia akan menghadapi risiko menang atau kalah dalam perjudian tersebut.
Insurans pula akan hanya menguruskan risiko tulen, iaitu ketidakpastian yang
melibatkan kerugian sahaja, misalnya risiko kematian, kemalangan kerosakan harta
benda. Risiko-risiko ini memang telah sedia wujud. Jika kerugian tidak berlaku,
individu berada dalam keadaan status quo, dan tidak ada keuntungan yang diperoleh.
Sebagai contoh, jika anda bertaruh RM100 untuk perlumbaan kuda, maka satu
risiko spekulatif yang baru dibentuk. Tetapi jika anda membayar RM100 kepada
syarikat insurans sebagai premium insurans kebakaran, maka risiko tulen berkaitan
kebakaran memang telah sedia ada, dan melalui insurans kebakaran, risiko ini
dipindahkan kepada insurer. Tiada risiko baru yang diwujudkan dalam transaksi
insurans.
Kedua, perjudian adalah satu aktiviti yang tidak produktif dari segi sosial. Hal ini
disebabkan keuntungan orang yang menang diperoleh atas kerugian orang lain.
Sebaliknya, insurans adalah produktif dari segi sosial kerana kedua-dua insured dan
insurer tidak terdedah kepada keadaan yang keuntungan sesuatu pihak adalah
berasaskan kepada kerugian pihak lain. Insured dan insurer kedua-duanya
mempunyai kepentingan dalam pencegahan kerugian. Kedua-dua pihak akan
menang jika kerugian tidak berlaku. Selain itu, transaksi perjudian yang konsisten

Bab 3 Insurans

20

tidak akan memulihkan kedudukan kewangan orang yang sering kalah dalam
perjudian. Namun, kontrak insurans bertujuan memulihkan kedudukan kewangan
insured kepada paras sebelum kerugian berlaku.

Produk Insurans
Di kebanyakkan negara, pengeluar produk insurans biasanya terdiri daripada
kerajaan dan juga syarikat insurans swasta. Di Malaysia, syarikat insurans swasta
merupakan pengeluar insurans yang utama.

Pengkelasan Produk Insurans


Produk insurans boleh dibahagikan kepada dua kategori:
1. Insurans Am (General insurance)
2. Insurans Hayat (Life insurance).
Insurans am dikenali juga sebagai insurans harta dan liabiliti (property and
liability insurance) atau insurans bukan hayat (nonlife insurance). Insurans am terdiri
daripada produk-produk insurans harta, insurans liabiliti dan gabungan insurans
harta dan liabiliti. Insurans harta memberi perlindungan terhadap kerosakan atau
kemusnahan fizikal harta benda. Jika berlaku kerosakan terhadap harta yang
diinsuranskan, maka pemiliknya atau orang yang mempunyai kepentingan terhadap
harta itu akan dibayar ganti rugi yang setimpal dengan kerugian yang dialami. Contoh
insurans harta adalah insurans kebakaran, insurans peralatan elektronik dan insurans
kecurian.
Insurans liabiliti melindungi insured daripada liabiliti yang timbul terhadap
pihak ketiga. Liabiliti tersebut boleh timbul jika seseorang individu menyebabkan
kecederaan atau kerosakan hartabenda kepada pihak lain, dan pihak itu mengambil
tindakan undang-undang ke atas individu yang menyebabkan kerugian yang dialami.
Contoh insurans liabiliti adalah insurans liabiliti awam, insurans liabiliti produk dan
insurans liabiliti profesional. Insurans harta dan liabiliti pula memberikan kedua-dua
perlindungan harta dan liabiliti, misalnya insurans motor, insurans pemilik rumah dan
insurans marin.
Insurans hayat memberi perlindungan kepada insured terhadap peril kematian.
Ini bermaksud jika insured yang dilindungi di bawah polisi insurans hayat meninggal
dunia, maka warisnya akan dibayar sejumlah pampasan oleh syarikat insurans untuk
meringankan bebannya. Selain kematian, kebanyakan polisi insurans hayat juga
memberikan perlindungan terhadap hilang upaya atau penyakit yang dialami oleh

Bab 3 Insurans

21

insured. Disamping itu, terdapat juga polisi yang khusus untuk membayar ganti rugi
kepada insured jika insured memerlukan rawatan kesihatan akibat kecederaan atau
penyakit. Polisi begini dipanggil insurans perubatan atau insurans kesihatan. Polisi
anuiti pula akan membayar pendapatan tetap kepada insured selama dia masih
hidup atau untuk tempoh tertentu. Tujuan polisi anuiti adalah untuk memastikan
insured tidak akan kehabisan sumber pendapatan selama dia masih hidup.

Kontrak Insurans
Kontrak insurans dibentuk antara syarikat insurans atau insurer, dengan pembeli
insurans atau insured. Apabila insured membeli sesuatu produk insurans dan insurer
bersetuju untuk menawarkan perlindungan, maka kontrak insurans akan
berkuatkuasa. Di bawah kontrak insurans, syarikat insurans berjanji untuk membayar
faedah insurans kepada insured jika berlaku kerugian yang dilindungi akibat peril
yang diinsuranskan. Syarikat insurans dirujuk juga sebagai penanggung insurans.
Manakala insured boleh juga dirujuk sebagai empunya polisi, pemilik polisi (policy
owner) atau pemegang polisi (policy holder).
Kontrak insurans adalah kontrak undang-undang. Kedua-dua pihak insurer dan
insured perlu memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang dinyatakan di bawah
kontrak insurans supaya kontrak dapat berkuatkuasa. Tanggungjawab insured adalah
untuk membayar premium dan mematuhi syarat dan terma kontrak, manakala
tanggungjawab insurer adalah untuk membayar ganti rugi jika berlaku kerugian yang
dilindungi. Kegagalan memenuhi tanggungjawab oleh insured boleh menyebabkan
kontrak dibatalkan dan perlindungan insurans dihentikan; kegagalan oleh pihak
insurer boleh menyebabkannya didakwa dimahkamah. Kontrak insurans akan
dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Bab 4 buku ini.

Polisi Insurans
Apabila kontrak insurans dibentuk antara insurer dan insured, pihak insurer akan
mengeluarkan satu dokumen kepada insured sebagai bukti perlindungan insurans.
Dokumen ini dipanggil polisi insurans. Polisi insurans menyenaraikan maklumat
terperinci mengenai perlindungan yang diberikan, misalnya maklumat berkenan
pemilik polisi, individu atau harta yang dilindungi, kerugian dan peril yang dilindungi,
lokasi yang dilindungi, jumlah perlindungan insurans, premium, sebarang
pengecualian yang dikenakan terhadap perlindungan, peruntukan seperti deduktibel
dan koinsurans, syarat serta terma kontrak insurans. Polisi insurans dan borang
permohonan membentuk kontrak insurans diantara insured dan insurer.

Bab 3 Insurans

22

Premium
Apabila membeli produk insurans, insured perlu membuat bayaran sebagai balasan
kepada perlindungan insurans yang diberikan oleh insurer. Bayaran ini dikenali
sebagai premium. Premium yang dibayar oleh insured kepada insurer bagi
memperoleh perlindungan insurans dipanggil sebagai premium kasar (gross
premium). Premium kasar dibentuk oleh sama ada premium bersih (net premium)
atau premium tulen (pure premium) dan ditambahkan dengan bebanan (loading).
Bagi insurans hayat,
Premium Kasar = Premium Bersih + Bebanan
Bagi insurans harta,
Premium Kasar = Premium Tulen + Bebanan.
Premium bersih dan premium tulen ada kos sebenar bagi perlindungan insurans. Kos
ini boleh dipanggil kos insurans atau kos kerugian. Dalam insurans hayat, ia juga
dipanggil sebagai kos mortaliti. Bebanan pula merujuk kepada kos operasi syarikat
seperti belanja kendalian, komisen, cukai, keuntungan dan lain-lain. Satu lagi elemen
dalam bebanan adalah rizab bagi kerugian luar jangka. Rizab ini penting bagi
memastikan insurer mempunyai dana yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan
jika kerugian sebenar lebih besar daripada yang dijangkakan. Satu lagi elemen
bebanan adalah perolehan pelaburan. Elemen ini mengurangkan saiz bebanan yang
dikenakan kepada insured. Dalam bab ini, contoh ringkas pengiraan premium
diberikan bagi insurans harta sahaja. Premium bagi insurans hayat adalah lebih
kompleks kerana ia melibatkan pengiraan aktuarial dan tidak dibincangkan dalam
bab ini. Appendiks 3.1 memberikan satu contoh ringkas pengiraan premium kasar
bagi insurans harta.

Faedah Insurans
Tujuan utama seseorang membeli insurans adalah untuk menerima faedah insurans
(insurance benefit) jika berlaku sesuatu kerugian luar jangka yang dilindungi. Apabila
insured membeli insurans, insured sebenarnya memperoleh perlindungan.
Perlindungan yang diberikan oleh insurer merupakan jaminan insurer untuk
membayar faedah jika berlaku kerugian yang diinsuranskan.
Di bawah insurans harta, faedah yang akan dibayar jika berlaku kerugian yang di
insuranskan di panggil pampasan (compensation) atau ganti rugi (indemnity). Bagi

Bab 3 Insurans

23

insurans harta, pembayaran ganti rugi bertujuan memulihkan kedudukan kewangan


insured kepada keadaan yang hampir sama seperti sebelum berlaku kerugian.
Sebagai contoh, jika berlaku kebakaran, ganti rugi yang akan dibayar kepada insured
akan memulihkan keadaan kewangan insured seperti sebelum berlaku kebakaran.
Insured akan menerima ganti rugi setakat nilai kerugian yang berlaku sahaja dan
insured tidak sekali-kali boleh menerima amaun ganti rugi yang melebihi amaun
kerugian.
Di bawah insurans hayat, faedah yang akan dibayar oleh insurer kepada waris
jika berlaku kematian kepada insured dipanggil sebagai faedah kematian (death
benefit). Faedah kematian juga dirujuk sebagai prosids (proceed). Jumlah faedah
yang akan dibayar biasanya menyamai amaun muka (face amount) polisi insurans
hayat. Amaun muka adalah jumlah perlindungan insurans yang dibeli di bawah polisi
hayat dan dikenali juga sebagai sums insured.

Kebaikan Insurans Kepada Masyarakat


Sistem insurans memberikan banyak kebaikan dan faedah kepada individu dan
masyarakat.
1.

Pembayaran Ganti rugi Terhadap Kerugian

Pembayaran ganti rugi membolehkan individu dan keluarga pulih kepada kedudukan
kewangan yang asal selepas berlakunya kerugian. Oleh itu, mereka boleh memelihara
keselamatan kewangan mereka. Ganti rugi kepada organisasi membolehkan
organisasi yang terlibat dalam kerugian meneruskan perniagaan dan membolehkan
pekerja terus mempunyai pekerjaan. Pembekal boleh terus menerima pesanan, dan
pengguna boleh terus menerima barangan dan perkhidmatan yang mereka perlukan.
Secara ringkasnya, pembayaran ganti rugi insurans menyumbang kepada kestabilan
keluarga dan perniagaan, dan ini merupakan faedah sosial dan ekonomi insurans
yang paling penting.
2.

Mengurangkan Kebimbangan dan Kerisauan

Kebaikan insurans yang kedua adalah kebimbangan dan kerisauan dapat dikurangkan
sebelum kerugian berlaku mahupun selepas kerugian berlaku. Sebagai contoh,
seorang ketua keluarga yang mempunyai perlindungan insurans hayat yang
mencukupi akan merasa lebih tenang dan kurang bimbang mengenai keselamatan
kewangan tanggungannya jika dia meninggal secara pramatang. Individu yang
memiliki insurans perubatan tidak perlu bimbang mengenai kos rawatan perubatan

Bab 3 Insurans

24

jika dia ditakdirkan menghidap penyakit yang memerlukan rawatan atau


penghospitalan. Pemilik harta akan berasa lebih tenteram jika hartanya dilindungi
oleh insurans kerana jika berlaku kerugian akibat peril yang diinsuranskan, kerugian
kewangan yang timbul akan dipulihkan oleh ganti rugi insurans.
3.

Sumber Dana Pelaburan

Industri insurans merupakan sumber dana yang penting untuk penggumpulan dan
pelaburan modal. Premium dikutip terdahulu daripada kerugian dan dana yang tidak
digunakan untuk membayar kerugian dalam tempoh yang terdekat boleh digunakan
bagi tujuan pelaburan. Dana ini boleh dipinjamkan kepada firma-firma perniagaan
yang biasanya melabur dalam projek perumahan, pusat beli belah, bangunan
komersial dan lain-lain. Pelaburan sebegini membantu pertumbuhan ekonomi dan
guna tenaga sesebuah negara.
4.

Pencegahan Kerugian

Syarikat insurans menggalakkan pelaksanaan aktiviti pencegahan kerugian di


kalangan insured. Sesetengah jenis insurans menhendaki aktiviti pencegahan
tertentu dilaksanakan oleh insured sebelum perlindungan diberikan. Sebagai contoh,
bagi insurans kebakaran, premis atau rumah yang hendak dilindungi mestilah
memenuhi ciri-ciri keselamatan tertentu, misalnya pendawaian yang selamat,
pemasangan alat pengesan asap dan penggera kebakaran. Sesetengah jenis insurans
memberi insentif keatas aktiviti pencegahan kerugian yang boleh mengurangkan
risiko kerugian yang dilindungi melalui diskaun terhadap premium. Program
pencegahan kerugian yang dilaksanakan oleh organisasi boleh mengurangkan
kerugian langsung dan juga kerugian tidak langsung, dan ini boleh memberi manfaat
kepada masyarakat pada umumnya.
5.

Peningkatan Kredit

Insurans boleh meningkatkan kredit seseorang individu. Insurans menjadikan


seseorang peminjam sebagai risiko kredit yang lebih baik kerana ia menjamin nilai
cagaran peminjam atau ia memberikan keyakinan yang lebih tinggi bahawa pinjaman
akan dibayar balik. Sebagai contoh, jika sebuah rumah dibeli mengunakan pinjaman,
syarikat kewangan tempat pinjaman dibuat biasanya mensyaratkan supaya insurans
kebakaran dibeli keatas rumah yang dibeli dan insurans gadai janji (mortgage
protection insurance) dibeli ke atas peminjam. Insurans kebakaran memelihara
kepentingan peminjam jika harta rosak atau musnah akibat kebakaran. Insurans

Bab 3 Insurans

25

gadai janji memelihara kepentingan syarikat kewangan jika peminjam meninggal


dunia sebelum selesai membayar balik hutang.

Kos Insurans Kepada Masyarakat


Walaupun siatem insurans membuat sumbangan sosial dan ekonomi yang besar,
tetapi ia juga menimbulkan kos yang perlu ditanggung oleh masyarakat.
1.

Kos Menjalankan Perniagaan Insurans

Kos yang utama adalah kos menjalankan perniagaan. Syarikat insurans perlu
menggunakan sumber ekonomi yang telah sedia terhad, antaranya tanah, buruh dan
modal, dalam menyediakan insurans kepada masyarakat. Kesemua kos yang terlibat
di dalam menjalankan perniagaan diagihkan kepada pemilik polisi. Bebanan
perbelanjaan perlu ditambahkan kepada premium tulen untuk menampung
perbelanjaan yang ditimbulkan oleh insurer dalam operasi harian mereka. Oleh itu,
insured perlu membayar bukan sahaja kos perlindungan insurans, tetapi juga kos
yang berkaitan dengan operasi syarikat. Sebagai contoh, katalah sebuah negara kecil
yang tidak mempunyai sistem insurans mengalami kerugian purata akibat kebakaran
bernilai RM100 juta setahun. Katalah sistem insurans kemudiannya diwujudkan, dan
bagi insurans kebakaran, kadar bebanan yang ditetapkan adalah 30% daripada
kerugian. Oleh itu, jumlah kos untuk negara ini meningkat kepada RM130 juta.
Walau bagaimanapun, kos tambahan yang timbul daripada operasi insurans
boleh dijustifikasikan. Pertama, dari pandangan insured, ketidakpastian terhadap
kerugian kewangan daripada sesuatu kerugian yang diinsuranskan
dapat
dikurangkan. Keduanya, syarikat insurans biasanya terlibat dengan berbagai aktiviti
pencegahan kerugian yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat. Dan
ketiganya, syarikat insurans menyediakan pekerjaan kepada ribuan penduduk.
2.

Tuntutan Palsu

Kos insurans yang kedua melibatkan hazad moral yang dilakukan oleh insured. Ia
berkaitan dengan tuntutan palsu, kerugian yang disengajakan dan tuntutan yang
ditokok. Tuntutan palsu melibatkan kerugian yang sebenarnya tidak berlaku, tetapi
sengaja direka atau dibuat-buat seolah-olah ia berlaku supaya insured dapat
menuntut ganti rugi daripada insurer. Antara contoh tuntutan palsu adalah kematian
yang direka bagi mendapatkan faedah insurans hayat, kemalangan yang dibuat-buat
bagi tuntutan insurans motor, laporan perubatan yang dipalsukan bagi tuntutan
insurans kesihatan dan kecurian atau pecah masuk premis yang direka bagi tuntutan

Bab 3 Insurans

26

insurans kecurian. Pelbagai lagi tuntutan palsu boleh berlaku. Bayaran gantirugi
terhadap tuntutan palsu meningkatkan premium kepada semua insured.
Selain daripada tuntutan palsu, syarikat insurans juga terdedah kepada kerugian
yang disengajakan. Dalam keadaan ini, insured menyebabkan kerugian dengan
sengaja kerana mahu mendapatkan ganti rugi insurans. Satu contoh hazad moral
yang utama adalah arson, iaitu seseorang yang sengaja menyebabkan kebakaran
hartanya bagi tujuan memperoleh ganti rugi insurans kebakaran. Seperti tuntutan
palsu, kerugian sengaja merupakan kos sosial insurans.
3.

Tuntutan Yang Di Tokok

Satu lagi kos insurans adalah berkaitan dengan tuntutan insurans yang sengaja
ditokok atau dibesarkan melebihi daripada yang sepatutnya. Walaupun kerugian
tidak berlaku dengan sengaja, namun amaun tuntutan mungkin melebihi daripada
amaun kerugian kewangan yang sebenar. Contoh tuntutan yang dibesarkan adalah
insured menokok kerugian ke atas kerosakan kenderaan akibat kemalangan, mangsa
produk rosak mengemukakan saman liabiliti pada amaun yang jauh lebih tinggi
daripada kerugian ekonomi sebenar dan individu yang menikmati faedah
hilangupaya dan telah pulih menipu sakit untuk terus menerima faedah tersebut.
Kesemua kos sosial yang timbul daripada tuntutan palsu, kerugian yang disengajakan
atau tuntutan yang ditokok terpaksa ditanggung oleh masyarakat melalui
peningkatan premium.

Bab 3 Insurans

27

Appendiks 3.1
Contoh Pengiraan Premium Insurans Harta
Berdasarkan perbincangan mengenai premium sebelum ini, komponen premium
kasar insurans harta boleh digambarkan seperti berikut:
Premium = Premium tulen + (Kos operasi dan kendalian
+ Rizab kerugian luar jangka - Perolehan pelaburan).
Sebagai contoh, katalah terdapat 1000 pemilik rumah di sebuah bandar dan
kesemua pemilik rumah berhasrat membeli insurans kebakaran daripada sebuah
syarikat insurans. Daripada data kebakaran lepas, insurer menganggarkan kerugian
akibat kebakaran yang mungkin dihadapi oleh pakatan kerugian ini setiap tahun
adalah 1% daripada nilai kesemua rumah. Jika setiap rumah bernilai RM200,000,
maka nilai kesemua 1000 rumah adalah RM200,000,000. Dengan menggunakan 1%
sebagai anggaran kerugian, maka jumlah kerugian yang dijangka adalah RM2,000,000
(1% x RM200,000,000). Jumlah kerugian terjangka ini akan dikongsi oleh semua
pemilik rumah, setiap pemilik akan mengalami kerugian sebanyak RM2,000
(RM2,000,000 /1000). Kerugian terjangka yang dihadapi oleh setiap pemilik rumah
merupakan kos perlindungan sebenar insurans, ataupun premium tulen. Jika setiap
pemilik rumah dalam contoh di atas membeli perlindungan penuh ke atas rumah
mereka, maka mereka perlu membayar RM2,000 seorang sebagai premium tulen.
Amaun bebanan ditetapkan oleh syarikat insurans. Bagi contoh di atas, andaikan
bahawa bagi setiap RM1 premium tulen, kos kendalian adalah 30% (atau 30 sen),
rizab untuk kerugian luar jangka ialah 10% (atau 10 sen), dan pulangan daripada
premium yang dilaburkan adalah 3% (atau 3 sen). Jadi, bagi setiap RM1 premium
tulen, bebanan yang akan dikenakan adalah 30 sen + 10 sen - 3 sen = 37 sen. Oleh
itu, setiap insured dalam pakatan kerugian yang digambarkan di atas perlu
membayar premium tahunan sebanyak RM2,740 iaitu RM2,000 ( 1 + 0.37) bagi
perlindungan insurans kebakaran dengan jumlah insurans RM200,000.

Bab 3 Insurans

28

Rujukan

1.

Black, K. & Skipper, H.D. 2000. Life and Health Insurance. 13th edition.
Prentice-Hall, New Jersey, USA.

2.

Dorfman, M. S. & Cather, D. A. 2013. Introduction to Risk Management &


Insurance. 10th edition. Pearson Education Limited. New Jersey, USA.

3.

Hendon Redzuan, Rubayah Yakob & Mohamad Abdul Hamid. 2006. Prinsip
Pengurusan Risiko dan Insurans. Pearson Prentice-Hall. Kuala Lumpur.

4.

Redja, G. E. & McNamara, M. J. 2014. Principles of Risk Management &


Insurance. 12th edition. Pearson Education Limited. Global Edition.

5.

Vaughan, E.J & Vaughan, T. 2003. Fundamentals of Risk and Insurance. 9th
edition. John Wiley & Sons, Inc, USA.

6.

Zuriah Abdul Rahman & Hendon Redzuan. 2009. Takaful: The 21st Century
Insurance Innovation. McGraw-Hill. Kuala Lumpur.

You might also like