You are on page 1of 13

RABU, 11 JUN 2008

Sekolah Yang Selamat (Bhg. 1)

MEREKABENTUK SEKOLAH YANG SELAMAT

BAGI MURID-MURID SEKOLAH RENDAH

oleh : Wan Rashid Mohammad

(Artikel ini adalah sedutan daripada sebahagian tulisan kertas kerja/kajian


penulis )

PENGENALAN KEPADA KAJIAN

1.1 PENDAHULUAN

Mutakhir ini media massa kita sering membuat liputan tentang


keselamatan sekolah yang agak longgar. Aspek fizikal, sosial, emosi dan
teknikal digambarkan seolah-olah kurang selamat dan kurang
menyakinkan orang ramai. Namun realitinya bukanlah semua sekolah
berkeadaan begitu kerana masih banyak lagi sekolah di negara ini
berkeadaan selamat dan berfungsi secara efektif.

Walau bagaimanapun kita memangnya sedar tentang wujudnya


sebilangan sekolah yang mengabaikan tentang keselamatan. Kita juga
menyedari faktor-faktor yang negatif yang terdapat di luar persekitaran
sekolah yang mampu mempengaruhi watak dan perilaku yang kurang
sihat seseorang murid sehingga mencorakkan suasana sekolah yang tidak
selamat.
Perubahan dalam iklim pendidikan dewasa ini telah mewujudkan
keperluan mengenal pasti kaedah, strategi dan model program yang
mampu mempertingkatkan keselamatan dan kejayaan murid serta guru.

Program Sekolah Selamat

Kementerian Pendidikan Malaysia (sekarang dinamakan Kementerian


Pelajaran Malaysia KPM) telah melancarkan Program Sekolah Selamat
untuk dilaksanakan oleh semua sekolah di seluruh negara bagi
membendung masalah disiplin para pelajar. Tujuan utama pelaksanaan
program ini ialah untuk mewujudkan persekitaran sekolah agar warga
sesebuah sekolah itu merasa selamat untuk menjalankan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran serta menjalankan kegiatan kokurikulum
tanpa gangguan dari mana-mana pihak sama ada dari luar mahu pun dari
dalam. Aspirasi Sekolah Selamat menjadikan sekolah sebagai tempat di
mana perbezaan budaya dan nilai setiap individu atau kumpulan dihargai
oleh semua pihak, disamping amalan menjaga keselamatan dijadikan
budaya dalam kehidupan seharian warga sekolah. Warga sekolah di
Malaysia bermaksud guru, pelajar, kakitangan sokongan, pentadbir
sekolah, kaunselor dan sebagainya. Setiap warga sekolah mestilah
mempunyai kesedaran tentang keselamatan dan diterjemahkan melalui
sikap dan tingkahlaku sensitif, prihatin dan tanggungjawab profesional
untuk menjamin suasana pembelajaran dapat berjalan dengan baik.

Keputusan KPM melancarkan Program Sekolah Selamat pada tahun 2002


sebenarnya bertunjangkan satu matlamat jitu iaitu mewujudkan budaya
selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan
keluarga dan komuniti setempat. Objektif umumnya ialah untuk
meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa keselamatan
hendaklah dijadikan agenda utama dalam semua aspek pendidikan di
sekolah. Jelas inisiatif baru itu bukan sekadar program tangkap muat
semata-mata.

Bahagian Sekolah KPM menyediakan buku Konsep dan Manual Sekolah


Selamat sebagai panduan pelaksanaan menjadikan sekolah, komuniti dan
keluarga selamat untuk kanak-kanak. Buku itu turut memuatkan aspek
manual untuk pelajar menangani isu keselamatan dalam bidang aktiviti
pelajar, bencana alam, fizikal dan bangunan sekolah, sosial, serta
persekitaran dan lokasi sekolah.

Akhbar Utusan (Edisi On line) 16 November 2004 melaporkan Timbalan


Ketua Pengarah Pendidikan (Jabatan Sekolah), Datuk Kusaini Hasbullah,
dalam satu pertemuan, menjelaskan sebenarnya konsep sekolah selamat
sudah pun ada dalam sistem pendidikan formal selama ini. Memanglah
menjadi hasrat guru, ibu bapa dan pelajar supaya semua yang dilakukan
tercapai dalam keadaan selamat. Sekiranya berjaya pun, berjaya dengan
selamat. Itu adalah hasrat serta cita-cita kementerian juga. Jadi konsep
sekolah selamat ini daripada begitu umum, dibina dan dikembangkan
menjadi satu konsep khusus yang dilaksanakan di sekolah seluruh negara.
Malah, didapati kira-kira 84 peratus daripada keseluruhan 10,000 sekolah
rendah dan menengah kini menjalankan konsep ini secara aktif, katanya.

Masalah Keselamatan Di Sekolah Rendah :-

1.Rekabentuk kebanyakan sekolah rendah (sekolah kebangsaan dan


sekolah rendah jenis kebangsaan) yang ada tidak mesra kepada pengguna
yang terdiri daripada anak-anak kecil terutama dari aspek keselamatan
dan kesihatan.

2.Faktor dan aspek ergonomik tidak diberi perhatian utama dalam


penyediaan peralatan, kemudahan dan perabot sekolah.

3. Program Sekolah Selamat bermotokan 3K (Keselamatan, Keceriaan dan


Keindahan) yang di buat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) lebih
memberi fokus kepada keselamatan sekolah dari aspek pencerobohon,
pembulian dan gangsterisma iaitu keselamatan dari
sudut security bukannya safety.

4. Tiada rekabentuk standard yang digunapakai bagi kemudahan di dalam


bangunan dan di kawasan sekolah khususnya sekolah rendah.

Dicatat oleh Wan Rashid Mohammaddi 3:52 PTG

http://wanrashid.blogspot.my/2008/06/sekolah-yang-selamat.html

RABU, 11 JUN 2008

Sekolah Yang Selamat (Bhg. 3)

KESELAMATAN BANGUNAN

DEFINISI

Sebelum membicarakan tentang Keselamatan Bangunan kita mesti


memahami definisi-definisi penting yang berkaitan dengan keselamatan.

Kemalangan (accident)
Kemalangan ialah kejadian yang berlaku tanpa dijangka atau tidak
dirancang, dimana kejadian itu boleh menyebabkan kecederaan fizikal
atau mental kepada manusia, kerosakan harta benda serta kemusnahan
alam sekitar.

Kemalangan Hampir (near miss)


Kemalangan hampir ialah kejadian yang berlaku tetapi tidak menyebabkan
kecederaan atau kerosakan atau kemusnahan samada kepada manusia
ataupun hartabenda.

Hazad (hazard)
Hazad ialah sesuatu yang berbahaya yang boleh menyebabkan
kemalangan. Ia termasuklah :-

i) Kelakuan yang tidak selamat (unsafe action).


ii) Keadaan yang tidak selamat (unsafe condition).
iii)Kombinasi kelakuan dan keadaan yang tidak selamat itu.

Risiko (risk)
Risiko ialah sesuatu yang kebarangkalian atau kemungkinan yang
kerananya berlaku kejadian berbahaya.
PENGURUSAN RISIKO

Pengurusan risiko ialah suatu amalan pengurusan baik terhadap proses


interaktif yang mengandungi beberapa langkah-langkah yang perlu dibuat
secara berterusan bagi meningkat tahap keselamatan.

Pengurusan risiko ini lebih merujuk kepada keberkesanan cara dan


keputusan yang diambil seperti mengenalpasti hazad, menganalisa hazad,
langkah-langkah kawalan, pemantauan dan komunikasi terhadap aktiviti-
aktiviti yang berisiko. Ini adalah bertujuan bagi mengurangkan kadar
kehilangan atau kerugian terhadap sesuatu organisasi.

Mengapa Pengurusan Risiko Adalah Mustahak


Bagi apa jua jenis pekerjaan atau perniagaan, matlamat bagi
meningkatkan moral organisasi adalah sama penting dengan keuntungan
syarikat. Justeru itu pematuhan undang-undang dan peraturan bagi
menyedia dan mengekalkan persekitaran yang sihat dan selamat di
tempat kerja adalah mustahak.
Bagi mengurus keselamatan dan kesihatan secara berkesan, mana-mana
organisasi wajar peka terhadap perkara-perkara berikut :-

1. Sesuatu yang berpotensi berbahaya di tempat kerja hendaklah


dikenalpasti sebelum sebarang kemalangan berlaku.
2. Sesuatu yang berpotensi berbahaya hendaklah dibuat penilaian atau
kajian kemungkinan risiko terjadi.
3. Mengenalpasti langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang
bersesuaian dengan risiko tersebut
4. Langkah-langkah kawalan dan pencegahan itu dilaksana secara
berterusan dan dipantau bagi memastikan keberkesanannya.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) di bawah Seksyen


15(2) telah menetapkan tanggungjawab majikan iaitu :-

1. Mengadakan dan menyenggara setakat yang praktik tempat kerja dan


sistem kerja yang selamat;
2. Menyediakan kaedah atau cara yang boleh menjamin keselamatan dan
kesihatan semasa pengendalian, penggunaan, simpanan dan
pengangkutan bahan;
3. Memberi maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan;
4. Mengada dan menyenggara laluan masuk dan keluar dari tempat kerja
adalah selamat; dan
5. Mengada persekitaran kerja yang selamat dengan menyediakan
kemudahan bagi kebajikan pekerjanya.

Jelas sekali bahawa Seksyen 15(2) ini menuntut suatu pengurusan risiko
yang terbaik dari para majikan di Malaysia.
KAWALAN RISIKO

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) majikan


bertanggungjawab mengambil langkah-langkah bagi menghapus risiko
atau sekiranya tidak praktikal untuk dihapuskan maka hendaklah
membuat kawalan dengan mengurangkan risiko itu seberapa praktik,
yang bermaksud :-

1. mengetahui tahap bahaya hazad atau risiko itu;


2. mempunyai pengetahuan mengenai hazad atau risiko dan pengetahuan
mengenai cara menghapus atau mengalih hazad atau risiko tersebut;
3. kesediaan dan kesesuaian cara atau teknologi yang digunakan bagi
menghapus atau mengalih hazad atau risiko itu; dan
4. mengetahui kos yang diperlukan bagi menghapus atau mengalih hazad
atau risiko itu.

REKABENTUK
Sebagai seorang Pengurus Projek di sebuah firma arkitek bumiputera yang
terkemuka, Seksyen 15(2) AKKP merupakan satu tanggungjawab besar.
Lebih-lebih lagi apabila membicara MEREKABENTUK BANGUNAN SEKOLAH
YANG SELAMAT BAGI MURID MURID SEKOLAH RENDAH

Bagi projek sekolah milik kerajaan, klien ialah Kementerian Pelajaran


Malaysia (KPM) yang merupakan majikan kepada guru-guru seramai
346,673 di seluruh negara dan kakitangan-kakitangan lain di sekolah yang
sudah siap dibina dan beroperasi. Seluruh kawasan sekolah adalah tempat
berkerja.

Adalah tanggungjawab majikan iaitu KPM mematuhi peruntukan Seksyen 4


AKKP yang menjadi objektif penggubalan akta tersebut.

Seksyen 4 AKKP menyatakan objektif Akta ialah :-

a) Melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat


kerja.
b) Melindungi 'orang lain' yang berada di tempat kerja.
c) Menggalakkan suasana kerja yang selamat dan sihat yang bersesuaian
dengan psikologi dan fisiologi manusia.
d) Menjadikan keselamatan dan kesihatan sebagai satu budaya kerja yang
praktis dan standard yang boleh digunapakai di dalam sistem pengurusan
dan operasi sesuatu organisasi.
Perkara (b) di atas secara jelas menyatakan objektif Akta ialah melindungi
orang lain yang bukan pekerja yang berada di tempat kerja, dimana
murid-murid merupakan orang lain dalam konteks sebuah sekolah
sebagai tempat kerja. Seksyen 4 ini sangat berkait rapat dengan Seksyen
15 memperincikan tanggungjawab majikan terhadap pekerja-pekerjanya.
Maka menjadi tanggungjawab para Arkitek Profesional bagi memastikan
peruntukan Seksyen 4 dan Seksyen 15(2) terlaksana dengan cara
merekabentuk bangunan sekolah yang selamat, agar selamat diguna oleh
murid-murid, para guru dan seluruh warga sekolah.

PENTINGNYA KESELAMATAN

Menurut Abdullah Al-Hadi dan lain-lain (2001). Kekurangan prasarana,


kemudahan pembelajaran, suasana pembelajaran yang tidak selesa,
selamat, dan kondusif terutama merupakan antara faktor yang
mempengaruhi pelajar berpencapaian rendah.
Terdapat bangunan sekolah yang usang, atap bocor, dinding rosak, kerusi
meja yang tidak bersesuaian dengan murid yang mempunyai saiz badan
yang lebih besar, dan tiada kemudahan asas atau kemudahan asas yang
kurang memuaskan seperti gangguan bekalan air dan elektrik. Tandas
yang tidak sempurna dan selalu rosak menjadikan sekolah tidak selamat
dan mendatangkan stress kepada murid-murid.

Perkara-perkara yang menyebabkan stres boleh memberi kesan negatif


kepada kesihatan murid. Apabila seseorang murid menghadapi stres,
mereka boleh terjejas dari segi emosi, kelakuan dan akademik.

Merekabentuk bangunan sekolah yang selamat pemilihan lokasi adalah


penting. Lokasi sekolah yang kurang sesuai seperti persekitaran yang
bising di tengah bandar dan sekolah yang terlalu jauh sehingga pelajar
menghabiskan banyak masa dalam perjalanan mempengaruhi
pembelajaran dan emosi pelajar.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Wee Ka Siong dipetik sebagai
berkata Tahap keselamatan bangunan di sekolah perlu diberi penekanan
bagi memastikan keselamatan murid-murid terjamin. Beliau berkata,
pemantauan dan penilaian berhubung tahap keselamatan bangunan di
sekolah perlu dilakukan secara berkala bagi tujuan tersebut. Masalah
bangunan sekolah yang sudah lama seperti Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina (SJKC) Chung Hwa 1 menyebabkan sekolah itu mengalami masalah
kekurangan murid kerana ibu bapa tidak mahu menghantar anak-anak ke
sekolah itu kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Kementerian tidak mahu masalah membabitkan bangunan sekolah
mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran seperti insiden
serangan ulat bulu di Sekolah Kebangsaan Bandar, Kota Tinggi, Johor 22
April lalu, sehingga sekolah tersebut terpaksa ditutup selama dua hari,
katanya ketika ditemui pemberita di SJKC Pei Yang di Muar.

Dicatat oleh Wan Rashid Mohammaddi 4:20 PTG

http://wanrashid.blogspot.my/2008/06/keselamatan-bangunan-sekolah.html
Sekolah Yang Selamat (Bhg. 4)

ANALISA KAJIAN

4.1 PENDAHULUAN

Membicara rekabentuk sekolah yang selamat sudah pasti Program Sekolah Selamat
KPM menjadi bandingan dalam kajian ini. Selain bertujuan untuk menjawab
persoalan mengenai aspek rekabentuk sekolah yang selamat di sekolah-sekolah
rendah di seluruh Malaysia, kajian ini juga ingin mengenalpasti sekiranya terdapat
perbezaan pandangan antara sekumpulan responden yang dikaji.

4.1.1 Alat Kajian

Kajian ini menggunakan borang kaji selidik yang direka sendiri oleh Penyelidik
berasaskan kepada persoalan dan tujuan kajian serta telah dikaji kesesuaiannya
melalui kajian awal yang dijalankan. Borang-borang kaji selidik telah dikirimkan
secara pos kepada responden. Sebahagian borang juga dihantar secara serahan tangan.
Borang yang diserah secara serahan tangan kebanyakkannya pihak responden
memberi maklumbalas serta merta berdasarkan soalan-soalan dalam borang tersebut.

4.1.2 Responden

Responden adalah terdiri daripada sekumpulan Arkitek Profesional, sekumpulan


Pengetua atau Guru Besar sekolah, sekumpulan guru biasa dan sekumpulan murid
sekolah. Mereka ini adalah dari kalangan populasi menggunakan persampelan
berkelompok dengan mengambil kira zon atau kawasan atau kumpulan yang diwakili.

Menurut Ary et al .(1990) suatu sampel yang baik mestilah mempunyai dua kriteria
iaitu perwakilan dan kecukupan. Perwakilan membawa pengertian bahawa sampel
yang dipilih mestilah mewakili populasi kajian. Perwakilan pula membawa maksud
bahawa bilangan sampel yang digunakan adalah mencukupi untuk membuat
kesimpulan dan generalisasi yang meyakinkan.

Dengan mengambil kira formula penentuan saiz sampel ini, saiz sampel yang
digunakan untuk kajian ini adalah terdiri daripada 31 orang Pengetua atau Guru Besar,
20 orang guru biasa, 20 orang murid dan 10 orang arkitek.

Pengetua atau Guru Besar yang terpilih adalah terdiri daripada sekolah-sekolah yang
terlibat dengan projek rintis penulisan buku Konsep dan Manual Sekolah Selamat
iaitu 16 buah sekolah rendah dan 15 buah sekolah menengah. Sekolah-sekolah yang
dimaksudkan itu ialah :-

1. Sekolah Kebangsaan Kesang Tasik, Muar Johor;


2. Sekolah Kebangsan Ayer Hitam, Alor Star, Kedah;
3. Sekolah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis;
4. Sekolah Kebangsaan Duyong, Melaka;
5. SJK (C) Chung Hwa, Teluk Kemang, Negeri Sembilan;
6.Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir, Semenyih, Selangor;
7. Sekolah Kebangsaan TUDM II, Lumut, Perak;
8. Sekolah Kebangsaan Chini 3 & 5, Pekan, Pahang;
9. Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu, Terengganu;
10. SJK (T) Vivekananda, Brickfields, Kuala Lumpur;
11. Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam, Labuan;
12. Sekolah Kebangsaan Tun Datu Haji Mustaffa, Kudat, Sabah;
13. Sekolah Kebangsaan Temenggung Datuk Muip, Miri, Sarawak;
14. Sekolah Kebangsaan Mempelam, Kuala Krai, Kelantan;
15. Sekolah Kebangsaan Long Tuma, Lawas, Sarawak;
16. Sekolah Kebangsaan Teluk Bahang, Pulau Pinang;
17. Sekolah Menengah Agama Syarifah Rodziah, Teluk Mas, Melaka;
18. Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kayangan, Perlis;
19. Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, Jitra, Kedah;
20. Sekolah Menengah Kebangsaan Kg Kastam, Butterworth;
21. Sekolah Menengah Kebangsaan Alang Iskandar, Bagan Serai, Perak;
22. Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur;
23. Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, 70200 Seremban, Negeri
Sembilan;
24. Sekolah Menengah Kebangsaan St. Anne, Peti Surat 69, Labuan;
25. Sekolah Menengah Sains Johor, Johor Bahru, Johor;
26. Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan;
27. Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, Terengganu;
28. Sekolah Menengah Kebangsaan Riam, Taman Tunku, Miri, Sarawak;
29Sekolah Menengah Kebangsaan Wallace Bay, Tawau, Sabah;
30 Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, 27200 Kuala Lipis; dan
31 Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko, Kajang, Selangor.

KEPUTUSAN KAJIAN

4.2.1 Analisis Data Statistik

Analisis data statistik kajian ini dibuat secara manual memandangkan tempoh masa
serta bilangan responden memberi maklumbalas adalah kecil. Penggunaan perisian
The Statistical Package for the Social Science (SPSS) (Norusis 1988) adalah lebih
sesuai untuk menganalisis data yang berskala besar. Walaupun analisis dibuat secara
manual, ketepatan pengiraan adalah menjadi keutamaan dalam kajian ini.

4.2.2 Mengenai AKKP 1994

Apabila membicarakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Akta Keselamatan dan


Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 sudah menjadi sinonim dengan tugasan dan
kehidupan seharian. Sungguhpun begitu masih ada dari kalangan responden dari
kalangan guru dan Pengetua tidak memiliki pengetahuan mengenai AKKP 1994. Dari
segi perlaksanaan AKKP 1994 di sekolah-sekolah, cuma 51.6 peratus Pengetua
bersetuju, manakala guru biasa pula sebanyak 25.0 % sahaja.

4.2.3 Mengenai Program Sekolah Selamat

Kajian mengenai program sekolah selamat hanya melibatkan Pengetua atau Guru
Besar, guru biasa dan murid-murid yang berjumlah 71 responden. Apa yang sangat
mengejutkan ialah 66.2 % responden bersetuju bahawa Program Sekolah Selamat
sebenarnya lebih mementingkan aspek kecantikan dan keceriaan sekolah .

4.2.4 Pencegahan Kebakaran

Sebagaimana Program Sekolah Selamat, kajian mengenai pencegahan kebakaran juga


mengejutkan. Berdasarkan Jadual 3 di bawah, 30 responden atau 42.2 % mengatakan
bahawa alat pemadam api yang disediakan di sekolah tidak mencukupi. Manakala 34
responden atau 47.9 % memberitahu bahawa guru-guru tidak diajar menggunakan alat
pemadam api dan alat pancur mula di sekolah.
Apalah gunanya peralatan melawan kebakaran disediakan tetapi tidak tahu cara
menggunakannya.

4.2.5 Rekabentuk Sekolah

Kajian mengenai rekabentuk mendapati 69.0 % responden bersetuju bahawa


rekabentuk bangunan mempunyai kaitan dengan keselamatan murid-murid di sekolah,
manakala 91.4 % ianya berkaitan dengan rekabentuk infrastruktur. Begitu juga
tentang rekabentuk perabot dan kemudahan dalam bangunan, dimana ianya juga
mempunyai kaitan dengan keselamatan.

Keputusan kajian yang ditunjukkan pada Jadual 5 mendapati sebahagian besar


responden berpendapat saiz dan rekabentuk tangga, tandas, kerusi dan meja tidak
sesuai bagi murid-murid sekolah rendah.

4.2.6 Kemalangan

Kajian mengenai kemalangan di sekolah diperolehi daripada 51 responden yang


terdiri daripada 31 orang Pengetua atau Guru Besar dari 31 buah sekolah di seluruh
Malaysia bagi tahun 2007 dan 3 bulan pertama tahun 2008. Maklumbalas yang
diperolehi adalah sebagaimana Jadual 6. Punca-punca kemalangan pula ditunjukkan
di dalam Jadual 7 di bawah.

PERBINCANGAN KEPUTUSAN

Secara keseluruhannya, kajian ini mengesahkan bahawa rekabentuk kebanyakan


sekolah yang ada di seluruh negara tidak mesra kepada murid-murid sekolah rendah
samada dari segi rekabentuk atau kemudahan yang disediakan.

Ramai guru dan Pengetua tidak mengetahui tentang AKKP 1994, jauh sama sekali
untuk mengamal dan mempraktiknya di sekolah. Sebab itulah kajian mendapati
peralatan untuk mencegah dan melawan kebakaran disediakan secara ala kadar.
Bukan setakat sahaja, guru-guru pula mengakui bahawa mereka tidak pernah diajar
cara bagaimana menggunakan peralatan-peralatan tersebut.

Cuba bayangkan kebakaran berlaku di sekolah. Guru-guru yang diharapkan


terkehadapan untuk mencegah api daripada merebak, tetapi guru hanya mampu
menjadi penonton sahaja atau mungkin juga guru-guru lebih dahulu lari
menyelamatkan diri mereka. Kejadian sebegini boleh terjadi apabila guru-guru
berterusan jahil tentang AKKP 1994.
Program Sekolah Selamat mempunyai matlamat yang baik, iaitu bagi mewujudkan
budaya selamat di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan
keluarga dan komuniti setempat. Bagaimanapun, selepas 6 tahun pelaksanaan
program itu, masyarakat masih digemparkan dengan insiden memalukan dan
berlawanan arus dengan usaha bersungguh-sungguh banyak pihak untuk menjadikan
negara pusat kecemerlangan pendidikan.
Beberapa kejadian bumbung asrama melayang ditiup angin, bangunan makmal
komputer roboh dan terbaru bumbung bangunan dewan di sebuah sekolah di Dungun,
Terengganu bulan lepas telah ranap menyembah bumi. Itu belum lagi dikira kes-kes
keracunan makanan yang berlaku hampir setiap minggu di seluruh negara sejak awal
tahun ini.

Pertandingan 3K (Keselamatan, Kebersihan dan Keceriaan) peringkat kebangsaan


setiap tahun hanya melahirkan sekolah-sekolah yang berlumba-lumba mencantikkan
sekolah masing-masing, sebab saban tahun sekolah yang paling cantik memenangi
Anugerah 3K. Program Sekolah Selamat seolah-olah tidak bermakna apabila aspek
keselamatan tidak dititikberatkan. Kalaupun diberi perhatian cuma keselamatan dari
sudut security iaitu, pencerobohon, pembulian, gangsterisma padahal keselamatan
dari sudut safety juga perlu diutamakan.

Menurut pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH), Tan Sri
Lee Lam Thye konsep sekolah selamat tidak seharus terbatas kepada masalah
disiplin, jenayah, ancaman kepada pelajar, membuli dan sikap gengster semata-mata,
tetapi juga perlu meliputi aspek keselamatan bangunan, peralatan dan kemudahan
sekolah. Sekolah-sekolah perlu sedar tentang kewujudan dan kepentingan Akta
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta aplikasinya kepada institusi
pendidikan bagi kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan.

Menurut beliau walaupun keutamaan akta tersebut untuk melindungi pekerja, tetapi ia
termasuk juga peruntukan mencukupi bagi melindungi perkara-perkara lain yang
terjejas. Lee berkata selaras dengan akta itu, pihak pengurusan sekolah dan Jabatan
Pelajaran yang mewakili majikan, mempunyai tanggungjawab am bagi memastikan
keselamatan dan kebajikan guru dan kakitangan sokongan serta melindungi pelajar
dan pelawat.

Perubahan iklim pendidikan telah mewujudkan keperluan mengenal pasti kaedah,


strategi, dan model program yang mampu mempertingkatkan keselamatan dan
kecemerlangan murid serta guru. Pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan komuniti
setempat seharusnya bertanggungjawab untuk sama-sama mewujudkan dan
melaksanakan Polisi Sekolah Selamat.

Memberi perhatian kepada aspek keselamatan dalam rekabentuk bangunan dan


kemudahan infrastruktur di sekolah adalah sebahagian daripada langkah kawalan
risiko seperti yang dibincang di dalam Bahagian 3 terdahulu. Walaupun piihak
sekolah menyalahkan kecuaian murid sebagai sebab kemalangan, namun kajian
mendapati kemalangan yang berlaku di sekolah sebahagiannya disebabkan rekabentuk
yang tidak mesra kepada pelajar khususnya murid-murid sekolah rendah yang kita
bincangkan. Selain itu saiz dan rekabentuk perabot yang tidak ergonomik akan
menyebabkan ketidakselesaan kepada murid-murid.
Kajian juga menunjukkan bahawa kemalangan di bahagian tangga pada tahun 2007
mencatatkan kadar kemalangan yang paling tinggi iaitu 36.3 % berbanding bahagian-
bahagian lain seperti bilik darjah, tandas, kantin dan lain-lain. Bagi tempoh 3 bulan
pertama tahun ini, tangga mencatatkan kadar kemalangan sebanyak 28.6 %. Oleh
kerana itu rekabentuk tangga perlu diberi perhatian khusus dalam cadangan
penambahbaikan rekabentuk sekolah.

Dicatat oleh Wan Rashid Mohammaddi 7:05 PTG

http://wanrashid.blogspot.my/2008/06/sekolah-yang-selamat-bhg-4.html

Sekolah Yang Selamat (Bhg. 5)


CADANGAN DAN KESIMPULAN

CADANGAN

Berdasarkan dapatan kajian, analisis dan perbincangan yang telah diutarakan dalam kajian ini,
berikut dikemukakan beberapa cadangan penambahbaikan bagi amalan keselamatan agar lebih
mesra dan selamat kepada murid-murid sekolah rendah.

5.1.1 Tangga Sekolah

Ukuran dalam binaan tangga adalah sangat penting. Peraturan mengenai tangga telah termaktub
di dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL). Peraturan yang ada mensyarat
ukuran ketinggian maksima anak tangga ialah 177 mm manakala kelebaran minima anak tangga
ialah 255 mm.

Ukuran ketinggian 177 mm yang seperti dalam UBBL adalah ukuran ketinggian maksima. Tiada
had bagi ukuran minima. Tetapi kebanyakan tangga sekolah-sekolah di seluruh negara telah
dibina menggunakan ukuran 150 mm tinggi dan 255 mm lebar. Ukuran tinggi anak tangga yang
dibina itu sebenarnya ukuran yang sepadan dengan orang dewasa. Bagi anak-anak kecil di
sekolah rendah apatah yang baru memasuki darjah satu dan terpaksa membawa beg sekolah
yang berat sudah tentu saiz yang sedia ada itu tidak bersesuaian.

Kajian dan pemerhatian yang dibuat selama berkhidmat sebagai arkitek ukuran anak tangga yang
sesuai bagi sekolah rendah ialah 100 mm tinggi dan 300 mm lebar seperti Gambar 21 di bawah.

Selain anak tangga, pembinaan susur tangan (handrail) besi pada tangga bertujuan untuk
berpegang, tetapi dalam masa yang sama ianya tidak selamat kepada kanak-kanak kecil kerana
mereka akan mudah tergelicir apabila terjatuh. Susur tangan seperti ini banyak terdapat di
sekolah-sekolah yang dibina secara kontrak reka dan bina (design and build).

Bangunan sekolah-sekolah dahulu susur tangan dibina menggunakan batu-batu kerana kosnya
yang murah (lihat Gambar 23). Sebenarnya pembinaan tembok batu-bata sebagai susur tangan
adalah lebih selamat kepada murid-murid berbanding susur tangan jenis besi seperti di atas.

Boleh dikatakan kesemua tangga di sekolah hari, binaan susur tangan hanya dibina di satu sisi
tangga sahaja. Adalah dicadangkan supaya susur tangan di sekolah rendah dibina pada kedua-dua
sisi tangga. Murid-murid amat gemar berlari dan berkejar-kejaran termasuklah semasa menaiki
atau menuruni tangga. Dengan adanya susurtangan di kedua-dua sisi tangga, ia akan membantu
murid-murid berpegang dan daripada mengelak kejadian yang tidak diingini.

5.1.2 Tandas

Pembinaan tandas murid juga perlu diberi perhatian. Permukaan lantai tandas didapati kerap
menyebabkan murid-murid terjatuh. Selain permukaan lantai yang licin, murid-murid mudah
tersepak drop pada bahagian pintu tandas.

Adalah dicadangkan supaya lantai drop tandas murid di sekolah rendah digantikan dengan lantai
slope sebagaimana kini terdapat pada tandas-tandas orang kurang upaya (OKU).

Jubin lantai tandas juga hendaklah ditukar kepada jubin jenis unglazed kerana ianya lebih
selamat apabila berkeadaan basah. Aksesori tandas juga hendaklah diganti kepada model yang
lebih ergonomik dan sesuai bagi murid-murid sekolah rendah. Banyak kes berlaku dimana murid
tergelincir kaki di dalam mangkuk tandas (w.c.). Ini adalah kerana saiz mangkuk tandas itu tidak
bersesuaian dengan mereka. Di pasaran sudah banyak mangkuk tandas (w.c.) dan basin
berukuran kecil khusus untuk kanak-kanak kecil, tetapi kenapa masih menggunakan aksesori
bersaiz besar.

5.1.3 Koridor dan Laluan

Koridor, kakilima dan laluan pejalan kaki juga perlu kepada penambahbaikan untuk keselamatan
murid-murid. Sepertimana tangga, binaan susurtangan pada koridor juga wajar dibina dengan
tembok batu-batu.

Koridor, kaki lima dan kesemua laluan pejalan kaki adalah laluan keselamatan bila berlaku
kebakaran. Kesemua koridor dan laluan itu hendaklah bebas daripada objek yang boleh
menghalang orang berjalan.

Kelebaran koridor iaitu 120 cm mencukupi sebagai laluan selamat apabila berlaku kecemasan,
tetapi oleh kerana murid-murid hari ini menggunakan beg sekolah yang besar dan bertroli
lantaran banyaknya buku-buku kerja setiap hari, kelebaran koridor perlu fikirkan semula. Ukuran
150 cm adalah dirasakan lebih wajar dan munasabah untuk berselisih dan keselamatan.

5.1.4 Kemudahan Infrastruktur

Rekabentuk kemudahan infrastruktur seperti jalan dan longkang juga penting untuk kawalan
keselamatan murid-murid. Tidak kurang juga kes-kes yang melibatkan murid terjatuh longkang
samada longkang di sekeliling bangunan ataupun longkang di tepi jalan.

Longkang yang tidak bertutup seperti dalam Gambar 27 adalah mendatangkan bahaya kepada
murid-murid. Adalah dicadangkan supaya kesemua longkang di dalam kawasan sekolah terutama
di kawasan yang menjadi laluan murid-murid di tutup. Adalah lebih selamat sekiranya ditutup
menggunakan lantaian konkrit (concrete slab).

5.1.5 Perabot

Di sekolah kerusi dan meja murid walaupun tidak dianggap berbahaya, tetapi sebenarnya boleh
memberikan kesan kronik pada jangkamasa yang panjang. Kerusi dan meja yang dibina daripada
kayu yang keras, rekabentuk yang tegak lurus, serta ketinggian yang tidak sesuai adalah tidak
ergonomik kepada murid-murid sekolah rendah.

Fizikal badan murid-murid darjah satu hingga tiga tidak sama dengan murid-murid darjah empat
hingga enam. Apatah lagi kalau dibandingkan dengan murid-murid sekolah menengah.
Pembesaran tubuh badan kanak-kanak adalah cepat di antara umur 7 hingga 12 tahun. Oleh
sebab itulah fizikal murid-murid darjah tiga begitu berbeza dengan rakan mereka di darjah
enam.

Adalah dicadangkan supaya kerusi murid direka dan dibuat menggunakan bahan yang lebih
selesa. Saiz kerusi dan meja sekolah rendah hendaklah didatangkan dalam dua saiz bagi dua
kelompok pelajar. Kelompok pertama pelajar darjah satu hingga tiga manakala kelompok kedua
ialah pelajar darjah empat hingga enam.

Kerusi dan meja komputer serta meja di Bilik Sains di sekolah rendah juga dicadang agar diganti
kerana ketinggiannya tidak sesuai. Ukuran yang ada hanya sesuai untuk murid sekolah
menengah.

Kepada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) iaitu persatuan yang mewakili Arkitek Profesional
dalam negara dicadangkan supaya menyediakan satu manual yang standard bagi rekabentuk
perabot dan peralatan disekolah khususnya sekolah rendah. Untuk tujuan itu suatu seminar perlu
diadakan dan dihadiri oleh semua pengamal senibina berdaftar bagi tujuan menghasilkan manual
standard rekabentuk yang dimaksudkan itu.

5.2 KESIMPULAN

Untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan lebih selamat, usaha-usaha secara bersepadu
perlu dilaksanakan bukan sekadar merekabentuk dan membina bangunan sekolah yang selamat.
Usaha bersepadu itu bukan sahaja oleh pengetua sebagai pengurus sekolah tetapi juga seluruh
warga sekolah termasuk guru, pelajar, ibu bapa, dan PIBG, pihak berkuasa Kementerian
Pelajaran dan ahli komuniti termasuk pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan. Strategi
perancangan dan pelaksanaannya juga perlu dilakukan dalam proses yang berterusan tidak kira
elemen-elemen yang menggugat keselamatan berkenaan sudah wujud atau belum di sekolah.

Sekolah dan persekitaran merupakan faktor utama dalam mempengaruhi pembentukan sahsiah
dan pencapaian pelajar. Faktor sekolah termasuklah guru, kemudahan pembelajaran,
persekitaran pembelajaran, pembiayaan pendidikan, sistem pendidikan, cara penyampaian
pendidikan, program sokongan, dan hubungan sekolah dan komuniti. Faktor persekitaran
termasuk komuniti, budaya sesuatu bangsa atau kaum serta sistem sokongan yang wujud dalam
masyarakat akan terus mewarnai kehidupan seseorang murid. Dengan lain perkataan, budaya
belajar seseorang pelajar itu dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah faktor keselamatan,
keluarga, sekolah serta persekitaran yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang
pelajar baik dalam apa bidang pun serta dalam kehidupan sebenarnya.

RUJUKAN

Konsep dan Manual Sekolah selamat. 2002. Kuala Lumpur: Bahagian Sekolah, Kementerian
Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/1997.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.6/2000.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/2000.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.9/2000
Kementerian Pendidikan Malaysia. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.4/2002.
Dewan Masyarakat. Jun 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Halaman 14-16.
Hussein Mahmood (1993). Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Mohd.Ismail Othman (2004). Undang-Undang Untuk Pengetua dan Guru Besar. Pahang: PTS
Publications & Distributions Sdn.Bhd.
Salleh Buang (1996). Sejarah Undang-Undang Malaysia: Kes dan Material. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Akhbar Utusan (Edisi On line). 16 November 2004. Perkenalkan Dasar Keselamatan, Kesihatan Di
Sekolah. http://www.utusan online .com.my
Akhbar Utusan (Edisi On-Line). 7 Jun 2004. 19 Pelajar Cedera, Paip Gas Makmal Meletup.
http://www.utusan online .com.
Akhbar Utusan (Edisi On-Line). 13 Julai 2005. Lebih 100 Pelajar sisyaki Keracunan Makanan.
http://www.utusan online .com.my
Akhbar Berita Harian. 25 September.2003. Pengetua, Pelajar Mesti Kerap Berbincang.
Azrina Ahzan (1999). Langkah Memperkukuhkan Keselamatan Sekolah. Berita Minggu 11 Jun
1999.Halaman 4.

Dicatat oleh Wan Rashid Mohammaddi 7:18 PTG

Tiada ulasan:

http://wanrashid.blogspot.my/2008/06/sekolah-yang-selamat-bhg-5.html

You might also like