You are on page 1of 15

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

KEPERLUAN MODUL KAUNSELING


STANDARD KEPADA MUALLAF DI
MALAYSIA
Nor Adibah Ibrahim
Razaleigh Muhamat @ Kawangit

ABSTRAK

Perkhidmatan kaunseling dan keperluan modul


kaunseling standard kepada muallaf sangat penting dan
perkhidmatan ini telah disediakan oleh pelbagai agensi
untuk memelihara kebajikan muallaf untuk meneruskan
kehidupan dalam suasana agama yang baru.
Permasalahan yang timbul adalah apabila penelitian
terhadap rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) menunjukkan bahawa 60% daripada golongan
muallaf yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di
JKM ini sering berulang iaitu muallaf yang sama dalam
tempoh tertentu. Hal ini menunjukkan terdapat
permasalahan dalam menguruskan sesi kaunseling
terhadap klien muallaf. Metodologi yang digunakan
dalam kajian ini adalah tertumpu kepada dua bentuk
kajian iaitu kajian perpustakaan dan kajian lapangan.
Kajian lapangan melibatkan 600 orang responden
muallaf yang berada di seluruh kawasan di Malaysia.
Hasil kajian mendapati kaunselor tidak mempunyai
persiapan yang cukup kerana tidak ada latihan atau
panduan khas untuk mengendalikan kaunseling khusus
untuk klien muallaf. Manakala dapatan kajian bekaitan
dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan
yang positif di mana hasil daripada edaran soal selidik
terhadap responden mencatat nilai skor yang tinggi iaitu
95.3% bersetuju dengan cadangan modul yang
diketengahkan.

Kata kunci: muallaf, cabaran, kaunseling, kaunselor,


modul kaunseling standard

115
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
NOR ADIBAH IBRAHIM
RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

ABSTRACT

Counselling services to convert is vital and this service is


provided by various agencies to ensure welfare of reverts
to practice the new religion. The problem is apparent
when a study of the records of the department shows that
60% of those who get the services in Social Welfare
Department (SWD) are often repeated converts that
come within a certain period of time. This shows that
there are some problems in managing the counselling
session to the client. The methodology used in this study
is focused on two forms, namely literature review and
field studies. Literature study by analytical assessment of
document which researcher examined in previous studies
related to the subject and then further analysed. A Field
study involving 600 respondents of converts was done
within Malaysia. The study found that counsellors did
not have enough preparation as no training or special
guidelines for handling special counselling cases of
convert. While the findings related to the proposed
construction of the module gives a positive result in the
from of distribution of questionnaires to 600 respondents
noted a high score of 95.3% which agreed with the
proposal to put forward a module pertaining to the target
groups needs.

Keywords: muallaf, challenges, counseling, counselors,


module standard counseling

PENDAHULUAN

Kaunseling amat penting dalam kehidupan manusia kerana


perkhidmatan ini merupakan proses tolong-menolong di antara seorang
dengan seorang yang lain. Agama Islam mewajibkan setiap orang yang
berkuasa membantu saudaranya yang tidak berkuasa dan orang yang
cerdik membantu orang yang lemah. Setiap manusia tidak terlepas
daripada pelbagai masalah hidup. Ini disebabkan fitrah manusia sudah
dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai makhluk yang lemah. Seseorang
yang didapati lemah imannya hendaklah dibantu ke arah jalan

116
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

kebenaran atau jalan yang diredhai oleh Allah. Oleh itu, pentingnya
perkhidmatan kaunseling dalam kehidupan bermasyarakat.

Muallaf atau saudara Muslim adalah golongan minoriti yang


terdapat di Malaysia. Dalam 10 prinsip Islam, hak-hak kepada kumpulan
minoriti seperti golongan muallaf perlu diberi perhatian. Hak-hak
mereka dijamin oleh undang-undang negara yang mana ia meliputi
beberapa aspek iaitu nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Muallaf
atau saudara Muslim merupakan istilah yang biasa digunakan dalam
kehidupan masyarakat di Malaysia. Pelbagai definisi muallaf
dikemukakan dalam kamus, pendapat ulama dan sebagainya. Menurut
bahasa, perkataan alafa membawa maksud cenderung atau jinak.
Menurut pandangan syara bermaksud orang kafir yang ada harapan
masuk Islam dan orang baru memeluk agama Islam yang imannya masih
lemah (Kamus al-Muhit: 793)

Menurut T.M Hasbi Ash Shiddieqy (1976), golongan muallaf


juga tidak ketinggalan disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman
Allah s.w.t dalam surah at-Taubah ayat 60. Dalam ayat di atas, golongan
muallaf disebut sebagai muallafati qulubuhum iaitu orang-orang yang
telah dilembutkan hatinya. Di antara penjelasan ringkas ayat tersebut
menyebut bahawa golongan muallaf adalah salah satu daripada golongan
yang berhak untuk menerima zakat selain fakir, miskin, amil dan ibnu
sabil fi sabilillah. Rasulullah s.a.w. pernah mengarahkan baitul mal
untuk mengeluarkan bantuan bagi mereka yang cenderung kepada Islam
sebagai satu galakan kepada mereka seperti al-Aqra bin Habis, Jubair bin
Mutim, al-Jad bin Qais, al-Hadith bin Hisham dan lain-lain lagi.

Berkenaan perkhidmatan kaunseling pula, ia adalah amat


penting dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan proses tolong-
menolong di antara seorang dengan seorang yang lain. Islam
mewajibkan setiap orang yang berkuasa membantu saudaranya yang
tidak berkuasa dan orang yang cerdik membantu orang yang lemah.
Setiap manusia tidak terlepas daripada pelbagai masalah hidup. Ini
disebabkan fitrah manusia sudah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai
makhluk yang lemah. Seseorang yang didapati lemah imannya
hendaklah dibantu ke arah jalan kebenaran atau jalan yang diredhai oleh
Allah. Oleh itu, pentingnya perkhidmatan kaunseling dalam kehidupan
bermasyarakat. Kini, perkataan kaunseling semakin dikenali dalam
masyarakat kita hari ini. Hal ini membawa maksud perkhidmatan
kaunseling ini semakin penting dan diperlukan oleh orang ramai.

117
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
NOR ADIBAH IBRAHIM
RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

Namun, ada juga sesetengah masyarakat di luar sana memandang


serong dan memberi tanggapan yang negatif terhadap perkhidmatan
kaunseling ini. Mereka beranggapan bahawa perkhidmatan kaunseling
ini untuk orang yang mempunyai masalah dan tekanan perasaan.

Perkhidmatan kaunseling sebenarnya bukan sesi bagi kaunselor


menyelesaikan masalah klien bahkan ia adalah satu proses khidmat
nasihat yang mana klien sendiri yang menyelesaikan masalah dan
membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Tugas kaunselor adalah
membantu klien berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Bimbingan kaunseling perlu dijalankan dengan menggunakan modul
standard khas untuk golongan muallaf supaya proses kaunseling dapat
dijalankan dengan jayanya dan menjimatkan masa proses kaunseling itu
sendiri. Hal ini kerana, golongan muallaf mempunyai cara atau
pendekatan kaunseling yang tersendiri berbanding dengan orang Islam
sedia ada. Pada hari ini, kebanyakan sesi kaunseling mengambil masa
yang agak lama dan kurang berkesan ekoran daripada ketiadaan modul
standard kaunseling.

PERKHIDMATAN KAUNSELING KEPADA MUALLAF

Kaunseling merupakan satu khidmat sokongan dan perkhidmatan untuk


menolong seseorang untuk membina jati diri mereka. Menurut Llyod
dan Aminah (1994) perkhidmatan kaunseling mula dikesan di Malaysia
pada tahun 1960-an. Kaunseling yang diamalkan di Malaysia dalam
sektor awam, swasta dan NGO adalah berasaskan kepada model
Amerika. Namun begitu, menurut Hassan (1990) perkembangannya
tidaklah sepesat seperti yang berlaku di negara Eropah (Zainab Ismail
2001:89). Akan tetapi kini, dengan perubahan negara yang begitu
pesat ke arah negara yang membangun menuntut agar perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling ini mempunyai kelayakan dan juga
pengkhususan yang lebih tinggi (Mizan Adiliah 2006:1). Perkhidmatan
kaunseling bukan sahaja terhad kepada pelajar di sekolah malah juga
perlu kepada masyarakat awam di negara ini. Nasib sesetiap manusia itu
berbeza terutamanya golongan muallaf yang baru memeluk agama
Islam amat memerlukan bimbingan untuk menyesuaikan diri dalam
mengamalkan agama Islam.

Dalam sejarah Islam golongan muallaf merupakan orang yang


paling penting dalam mengembangkan agama Islam. Antaranya adalah

118
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

golongan sahabat yang memeluk Islam dan mengembangkan Islam


dengan sepenuh jiwa dan raga mereka. Adalah menjadi tanggungjawab
orang Islam untuk memberi sokongan dan kekuatan kepada golongan
muallaf yang kini dianggap sebagai saudara dalam agama, terutamanya
dalam bentuk bantuan kebajikan, moral, kewangan dan pembelajaran.
Ianya hendaklah bermula dari seawal proses pengislamannya
sehinggalah kepada pengurusan kematiannya dan ini semua merupakan
satu tuntutan dalam Islam.

Statistik saudara baru yang memeluk Islam meningkat dari


sehari ke sehari dan Malaysia tidak ketinggalan hebatnya dengan
banyak badan kerajaan serta bukan kerajaan membantu kerajaan ke arah
penghayatan agama Islam. Pertukaran agama seorang bukan Islam
kepada Islam adalah satu penghijrahan memberi kesan besar kepada
orang yang memeluk Islam itu sendiri dan keluarganya. Keluarga
bersikap terbuka akan reda dan menghormati keputusan orang yang
memeluk Islam itu tetapi ada juga keluarga tidak dapat menerima
hakikat bahawa saudara mereka mendapat hidayah Allah SWT.
Golongan ini akan melakukan apa saja bagi mengembalikan saudara
mereka kepada agama asal. Memeluk Islam memerlukan pengkajian
teliti, keimanan yang jitu dan boleh dimantapkan sehingga mencapai
tahap tidak dapat digugat (http://www.esyariah.gov.my/. 5 Mac 2006).

Oleh sebab demikian, pendekatan kaunseling Islam merupakan


salah satu pendekatan yang boleh diberi dengan harapan agar
permasalahan yang dialami oleh muallaf dapat menemui jalan
penyelesaian yang memberi kesan yang besar dalam kehidupan mereka.
Pelbagai masalah yang dialami oleh mereka yang memeluk agama
Islam sama ada secara individu atau psikologi sebelum dan selepas
berlakunya penghijrahan besar dalam hidupnya. Perpindahan yang
melibatkan spiritual yang melibatkan keyakinan dan kepercayaan
apabila berlaku pertukaran agama tunjang (core beliefs) individu yang
kemudiannya dimanifestasikan dalam bentuk tingkah laku, iaitu
pengakuan terhadap kebenaran agama baru (Zulkiple Abd. Ghani
2006:72).

Melalui perkhidmatan kaunseling, biasanya muallaf (klien) akan


lebih mudah untuk berkongsi dan menceritakan masalah yang mereka
hadapi. Sebagai kaunselor, perlulah menarik perhatian klien agar
mereka tidak berasa malu dan yakin untuk berinteraksi. Biasanya pada
peringkat awal, kaunselor hanya akan memujuk klien untuk

119
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
NOR ADIBAH IBRAHIM
RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

menceritakan masalah dan puncanya sahaja. Selepas itu, barulah


kanselor memberi cadangan dan menasihati klien cara untuk mengatasi
masalah tersebut mengikut keadaan dan puncanya (Anuar Puteh
2006:125).

PERMASALAHAN KAJIAN

Golongan muallaf adalah golongan yang dilembutkan hatinya untuk


mendekati agama Islam. Kini, pelbagai cabaran kehidupan yang
semakin kompleks membuatkan golongan muallaf sukar untuk
menempuhinya sehingga sudah putus asa untuk meneruskan hidup.
Oleh sebab demikian, perkhidmatan kaunseling penting dalam
mengendalikan masalah yang berkaitan dengan muallaf dan juga dalam
sesi kaunseling, kaunselor dapat membantu bukan sahaja dari segi
pengurusan dalam kehidupan malah dapat menyebarkan dakwah secara
tidak langsung. Hal ini jelas terbukti apabila meneliti rekod dari Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bahawa 60% daripada
golongan muallaf yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di JKM
ini sering berulang iaitu muallaf yang sama dalam tempoh tertentu.
Tambahan pula, pihak kebajikan masyarakat tidak mempunyai modul
kaunseling standard bagi sesi kaunseling yang dijalankan. Oleh yang
demikian, ia menimbulkan satu permasalahan kajian tentang
keberkesanan perkhidmatan kaunseling yang dijalankan terhadap
golongan muallaf dan adakah modul kaunseling yang digunakan tidak
mencapai tahap standard muallaf menjadikan golongan ini tidak
berminat terhadap sesi kaunseling yang ditawarkan oleh jabatan ini.

OBJEKTIF KAJIAN

Dalam menjalankan sesuatu kajian, objektif kajian sangat penting bagi


menentukan hasil yang diperolehi diakhir kajian kelak. Oleh itu, kajian
ini telah menggariskan beberapa objektif kajian bagi menyelesaikan
beberapa masalah yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling
untuk golongan muallaf di Malaysia. Antara objektif-objektif kajian ini
adalah:
1) Untuk mengkaji keperluan modul kaunseling kepada muallaf di
Malaysia.
2) Mencadangkan modul yang sesuai bagi klien muallaf yang
mengikuti sesi kaunseling.

120
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

PERSOALAN KAJIAN

Golongan muallaf di Malaysia seringkali mendapatkan khidmat


kaunseling berkaitan dengan permasalahan hidup seperti masalah
pertukaran agama, adaptasi dengan agama dan budaya baru, masalah
sumber kewangan, masalah kekeluargaan serta masalah berkaitan
dengan penerimaan masyarakat sekeliling dari Jabatan Kebajikan
Masyarakat, satu-satunya jabatan yang menyediakan perkhidmatan
kaunseling umum diperingkat kebangsaan. Golongan ini menghadiri
sesi kaunseling yang diadakan oleh JKM secara random. Oleh itu,
kajian ini perlu dilakukan bagi menjawab beberapa persoalan yang
menjadi isu dan permasalahan berkaitan dengan sukatan modul
kaunseling khusus kepada golongan muallaf di Malaysia kerana modul
yang sedia ada tidak mencapai standard untuk digunapakai terhadap
golongan ini. Persoalan-persoalan tersebut akan terjawab setelah
penulis menganalisis keseluruhan hasil dapatan kajian yang diperolehi
daripada dokumen-dokumen dan bahan penerbitan yang lepas. Kajian
ini dijalankan bagi menjawab beberapa persoalan yang timbul seperti
berikut:
1) Adakah perlu modul kaunseling standard kepada muallaf di
Malaysia?
2) Apakah cadangan modul kaunseling kepada muallaf?

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian ini adalah penyelidikan kualitatif iaitu kajian yang
bersandarkan kepada kualiti sesuatu konteks yang menjadi fokus utama
penyelidikan. Kaedah keperpustakaan digunakan dalam membentuk
teori penyelidikan terutama berkaitan perkhidmatan kaunseling, latar
belakang muallaf menurut Islam dan dari konteks di Malaysia. Menurut
Ahmad Munawar dan Shahizan (2014) menyatakan bahawa landasan
teori ini akan menjadi asas kepada hasil kajian yang menggunakan
kaedah kerja lapangan selepasnya. Penyelidik membuat analisis
kandungan terhadap kajian dan laporan yang terdahulu dan
menganalisis dengan teliti hasil kajian tersebut. Analisis kandungan ini
merujuk kepada penjelasan secara objektif dan sistematik terhadap
maklumat-maklumat yang wujud secara tersurat dan menjawab
persoalan yang pertama iaitu adakah perlu modul kaunseling standard
kepada muallaf di Malaysia.

121
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
NOR ADIBAH IBRAHIM
RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

Kajian lapangan pula melibatkan 600 orang responden muallaf


yang pernah mengikuti program kaunseling di mana-mana jabatan atau
pejabat-pejabat agama daerah. Pengkaji memilih enam kawasan bagi
mewakili sebuah negara iaitu kawasan pantai timur, pantai barat, utara,
selatan serta Sabah dan Sarawak. Daripada setiap kawasan yang dipilih,
seramai 100 orang sample dipilih menggunakan teknik rawak. Dalam
konteks ini, kita dapat lihat betapa mudah kaedah persampelan ini
kerana adalah sukar untuk mendapatkan senarai semua muallaf yang
mengikuti sesi kaunseling kerana mengikut Akta Kerahsiaan
Kaunseling. Sampel-sampel dipilih berdasarkan ciri-ciri sampel yang
dikehendaki oleh pengkaji sesuai dengan objektif dan matlamat kajian
dalam kata lain, latar belakang sampel telah diketahui pengkaji dan
dilakukan berdasarkan penilaian dan tujuan kajian penyelidikan
(Ahmad Sunawari Long 2014). Bagi mendapatkan sampel, pengkaji
telah berkunjung ke pusat-pusat pengajian muallaf di mana pusat ini
adalah tempat golongan muallaf berkumpul untuk mengikuti kelas
pengajian agama. Hal ini dapat melancarkan perjalanan penyelidikan
pengkaji kerana mereka berada di satu tempat yang sama diwaktu yang
telah ditetapkan.

KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD KEPADA


MUALLAF DI MALAYSIA

Kaunselor hari ini berdepan dengan pelbagai jenis latar belakang klien,
sehubungan dengan itu mereka perlu melengkapkan dan memantapkan
diri bukan sahaja ilmu kaunseling secara teori sahaja malah perlu
memiliki pelbagai kemahiran dan ilmu lain untuk berhadapan dengan
klien yang pelbagai. Sehubungan dengan itu, perkhidmatan kaunseling
haruslah selaras dengan keperluan semasa klien. Penambahbaikan serta
pengubahsuaian perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan klien
yang pelbagai dan memerlukan pendekatan yang khusus bagi
mengatasinya.

Kaunselor tidak mempunyai persiapan yang cukup untuk


mengendalikan klien muallaf. Menurut kajian yang telah dijalankan
oleh Samsiah Jayos dan Kamarul Azmi Jasmi (2013) mendapati
kaunselor tidak mempunyai persiapan yang cukup kerana tidak ada
latihan atau panduan khas untuk mengendalikan kaunseling khusus
untuk klien muallaf. Oleh sebab itu, saranan daripada kajian lepas
bahawa Model Kaunselor Muallaf penting diwujudkan untuk memberi

122
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

garis panduan kepada kaunselor yang mengendalikan klien muallaf


yang mengcangkupi bukan sahaja kemahiran kaunseling tetapi akan
menggabungkan elemen-elemen lain dapatan dari maklum balas
responden seperti pengetahuan agama, silang budaya, akidah, etika,
berperanan sebagai pendakwah dan islah, pengalaman pengislaman,
mahir dalam undang-undang berkenaan pengislaman dan memahami
undang-undang mahkamah syariah dan sivil serta kehakiman yang ada
hubung kait dengan isu-isu klien muallaf (Samsiah dan Kamarul Azmi
2013).

Golongan muallaf perlu diambil berat oleh masyarakat supaya


golongan ini tidak berasa asing meneruskan kehidupan dalam agama
Islam. Menurut Nur Athiroh Masyaail Tan Abdullah (2013), beliau
menyarankan agar ada pihak yang berusaha untuk mempertingkatkan
kehidupan muallaf serta dapat memberi perhatian agar golongan ini
dapat mengecapi keindahan hidup dalam Islam. Penambahbaikan
terhadap sesuatu program yang dijalankan terhadap golongan muallaf
perlu dilakukan supaya dapat melahirkan muallaf yang berkualiti serta
dapat membantu usaha dakwah di Malaysia. Demi membantu golongan
muallaf di Malaysia, pengkaji akan membina satu modul kaunseling
standard khusus untuk muallaf di Malaysia. Oleh sebab demikian,
modul kaunseling standard perlu diwujudkan bagi memastikan terdapat
penambahbaikan terhadap program yang dijalankan untuk golongan
muallaf di Malaysia selain dapat mempertingkatkan kehidupan muallaf
selepas mengikuti sesi kaunseling berdasarkan modul yang akan
dicadangkan.

Selain itu, Mohd Farid Ravi (2004) juga ada menyatakan untuk
memastikan keberkesanan dakwah terhadap muallaf, setiap pendakwah
atau sesiapa sahaja yang ingin mendidik dan membentuk muallaf
termasuklah kaunselor perlu memahami psikologi muallaf itu sendiri
sama ada orang India, Cina dan orang Asli. Selain itu, pendakwah juga
perlu mengenalpasti sebab utama yang mendorong muallaf memeluk
Islam, mengelakkan daripada paksaan mengikut budaya Melayu serta
mewujudkan elemen sokongan yang boleh merangsang semangat
muallaf untuk meneruskan kehidupan dalam agama Islam. Cara
mendidik dan membentuk muallaf itu memerlukan pendekatan yang
sesuai supaya golongan muallaf ini tidak berasa tertekan dengan
suasana kehidupan yang baru dan memerlukan masa yang sesuai untuk
menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim. Hal ini
selaras dengan proses kaunseling yang dijalankan di Malaysia malah

123
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
NOR ADIBAH IBRAHIM
RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

perlu ada sedikit penambahbaikan dalam sesi kaunseling tersebut


supaya selaras dengan keadaan klien kerana proses kaunseling terhadap
orang Islam yang sedia ada sedikit berbeza daripada golongan muallaf
yang baru mengenali agama Islam. Proses yang khusus perlu untuk
memastikan golongan muallaf terus dekat dan mengenali dengan lebih
lanjut tentang Islam serta mendapat keberkesanan yang baik hasil
daripada sesi kaunseling yang dihadiri.

Keperluan modul juga dapat memberi banyak manfaat dan


kebaikannya. Shaharom Noordin dan Yap Kueh Chin (1991)
menyatakan bahawa pembinaan modul dapat mendatangkan banyak
kebaikan kepada penggunanya antaranya boleh mengurangkan saingan
dan ancaman menghadapi kegagalan. Begitu juga dengan keadaan
muallaf yang mana masih berada dalam suasana baru dan mahu
mencapai kemanisan dalam Islam, mereka perlu melalui pelbagai
cabaran dan dugaan dan dengan adanya modul kaunseling standard ini
dapat membantu untuk mencapai apa yang dihajati. Modul juga dapat
meningkatkan motivasi muallaf kerana peluang yang diberikan kepada
mereka untuk memilih melakukan sesuatu aktiviti mengikut keperluan
dan keselesaan yang boleh menarik minat mereka mengikutinya dengan
sempurna. Setiap modul mempunyai objektif yang hendak dicapai.
Aktiviti yang dilakukan lebih santai dan mudah dituruti oleh peserta.

Kajian terhadap cadangan pembinaan modul juga telah


dijalankan yang melibatkan 600 orang responden di seluruh negara
termasuk Sabah dan Sarawak. Sebaik sahaja dapatan daripada kajian
kuantitatif diperolehi, pengkaji akan membina modul kaunseling
standard untuk muallaf di Malaysia. Menurut Sidek Mohd Noah dan
Jamaludin Ahmad (2005), sebelum sesuatu modul dicipta, adalah perlu
mengambil kira faktor perbezaan individu. Hal ini penting untuk
memastikan objektif dan matlamat modul akan mudah tercapai. Oleh
sebab setiap individu berbaza keupayaannya, maka keupayaan mereka
untuk membuat sesuatu tugasan juga berbeza-beza. Memetik kata-kata
Sharifah Alwiah Alsagoff (1981) dalam menegaskan sesuatu bahan
pembelajaran haruslah sesuai dengan tahap kebolehan dan kecerdasan
seseorang bahkan urutan langkah-langkah pembinaan modul harus
dipatuhi. Sidek Mohd Noah dan Jamaludin Ahmad (2005) juga
menegaskan bahawa sesuatu modul yang hendak dibina perlu
mengambil kira perbagai peraturan dan prosedur yang harus diikuti agar
modul yang akan dihasilkan nanti benar-benar boleh mendatangkan

124
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

kesan yang baik. Begitu juga dalam kajian ini, untuk memastikan
pembinaan modul yang baik, pengkaji melakukan beberapa proses
penting bagi memastikan keberkesanan modul dan sesuai dengan
muallaf di Malaysia.

Modul yang dicadangkan mempunyai 10 unit yang dipecahkan


berdasarkan matlamat kaunseling dan telah digariskan oleh Aziz Salleh
(1995) dan Mizan Adiliah (2006) antaranya menyelesaikan masalah
yang dihadapi oleh klien, membimbing klien untuk membuat keputusan
yang bijak, mempermudahkan atau menggerakkan perubahan tingkah
laku, membantu klien menjadi lebih produktif, memperbaiki imej diri
dan membantu klien berubah ke arah yang lebih baik. Antara modul
yang dihasilkan ialah modul mengenal potensi diri, modul pembinaan
hubungan sesama manusia, modul perubahan tingkah laku, modul
pemikiran rasional, modul kemahiran membuat keputusan, modul
kemahiran daya tindak, modul perubahan dan pembukaan minda, modul
pembinaan keyakinan diri, modul pengurusan emosi dan modul
perkembangan bakat semulajadi.
Modul kaunseling standard khusus untuk golongan muallaf
sangat penting bagi menjamin keberkesanan perkhidmatan kaunseling
yang disediakan. Melalui hasil kajian yang telah dijalankan terhadap
600 orang responden muallaf yang berada di seluruh negara mendapati
cadangan modul kaunseling standard disokong sepenuhnya oleh
responden. Antara intipati cadangan modul ini adalah berkenaan dengan
modul mengenal potensi diri, modul pembinaan hubungan dengan
keluarga dan masyarakat, modul perubahan tingkah laku, modul pemikiran
rasional, modul membuat keputusan, modul kemahiran daya tindak, modul
perubahan dan pembukaan minda, modul keyakinan diri, modul pengurusan
emosi dan modul perkembangan bakat semulajadi.

Cadangan modul kaunseling standard yang tertingi peratusan


kekerapannya adalah modul berkenaan dengan perkembangan bakat
semulajadi iaitu sebanyak 378 orang (63.0%). Hal ini kerana, kebanyakan
daripada responden tidak mengetahui bakat semulajadi yang ada dalam diri
mereka dan perlu diketengahkan untuk digunakan pada masa tertentu. yang
ada dalam diri mereka dan perlu diketengahkan untuk digunakan pada masa
tertentu. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan
cadangan modul kaunseling standard, boleh dilihat secara terperinci di Jadual
1.

125
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
NOR ADIBAH IBRAHIM
RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

Jadual 1: Taburan kekerapan dan peratusan cadangan modul kaunseling


standard
Pernyataan STS TS TP S SS
F F F
F (%) F (%)
(%) (%) (%)
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 4 15 239 341
menyediakan modul berkenaan (0.2) (0.7) (2.5) (39.8) (56.8)
dengan mengenal potensi diri.
Perkhidmatan kaunseling perlu 3 3 7 259 328
menyediakan modul berkenaan (0.5) (0.5) (1.2) (43.2) (54.7)
dengan pembinaan hubungan
dengan keluarga dan masyarakat.
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 2 13 246 338
menyediakan modul berkenaan (0.2) (0.3) (2.2) (41.0) (56.3)
dengan perubahan tingkah laku.
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 2 11 232 354
menyediakan modul berkenaan (0.2) (0.3) (1.8) (38.7) (59.0)
dengan pemikiran rasional.
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 3 16 225 355
menyediakan modul untuk (0.2) (0.5) (2.7) (37.5) (59.2)
membuat keputusan.
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 3 23 223 350
menyediakan modul kemahiran (0.2) (0.5) (3.8) (37.2) (58.3)
daya tindak.
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 4 10 229 356
menyediakan modul berkenaan (0.2) (0.7) (1.7) (38.2) (59.3)
dengan perubahan dan
pembukaan minda.
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 2 12 224 361
menyediakan modul berkenaan (0.2) (0.3) (2.0) (37.3) (60.2)
dengan pembinaan keyakinan
diri.
Perkhidmatan kaunseling perlu 1 2 10 221 366
menyediakan modul berkenaan (0.2) (0.3) (1.7) (36.8) (61.0)
dengan pengurusan emosi stabil.
Perkhidmatan kaunseling perlu 3 2 9 208 378
menyediakan modul berkenaan (0.5) (0.3) (1.5) (34.7) (63.0)
dengan perkembangan bakat
semulajadi.
Sumber: Soal Selidik (2015)

Kesemua 10 modul yang dicadangkan mendapat sambutan yang baik


daripada responden dengan mendapat peratusan sangat setuju melebihi 50%

126
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

dan pembinaan modul akan dilakukan oleh pengkaji khusus untuk golongan
muallaf yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling di jabatan-
jabatan yang disediakan.

KESIMPULAN

Secara umumnya, kajian ini merupakan satu kajian yang baru dan
memerlukan sokongan daripada semua pihak demi menjaga kebajikan
golongan muallaf di Malaysia khususnya yang baru memeluk agama
Islam dalam menyesuaikan diri dalam kehidupan Islam supaya dapat
beramal dan menghayati ajaran agama Islam dengan sempurna. Oleh
yang demikian, pengkaji berharap agar kajian ini dapat menjadi satu
tempat rujukan dan maklumat dalam melaksanakan tugasan dakwah
yang lebih berkesan oleh pegawai kaunseling khususnya di jabatan-
jabatan yang menyediakan perkhidmatan bimbingan kaunseling di
seluruh negara. Selain itu juga, penulis juga berharap agar satu modul
kaunseling standard yang terbaik dapat dihasilkan supaya boleh
digunapakai dalam meyakinkan golongan muallaf untuk terus hidup
dalam Islam.

RUJUKAN

Anuar Puteh. 2006. Khidmat Kaunseling dalam Menangani Masalah


Saudara Baru. Dlm. Fariza Md.Sham, Siti Rugayah Hj.Tibek & Othman
Talib (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling Islam. Hlm. 118-129. Bangi:
Penerbit UKM.

Ahmad Munawar Ismail & Mohd Nor Shahizan Ali. 2014. Mengenali
Kuantitatif dan Kualitatif dalam Penyelidikan Pengajian Islam. Bangi:
Penerbit Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Ahmad Sunawari Long. 2014. Metodologi Penyelidikan Pengajian Islam.


Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali &
Hanit Osman. 2006. Kaunseling dalam Islam. Nilai, Negeri Sembilan:
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Mohd Farid Ravi bin Abdullah. 2004. Metode Dakwah Kepada Saudara
Baru. Dlm. Koleksi Kertas Kerja Isu Semasa: Menghurai Permasalahan
Islam Semasa. Siri 2. hlm. 55-65. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

127
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
NOR ADIBAH IBRAHIM
RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

Nur Athiroh Masyaail Tan bt Abdullah @ Tan Ai Pao. 2013. Program


Dakwah Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) kepada Saudara
Baru: Kajian Tentang Perspeksi dan Keberkesanannya. Thesis Ijazah
Doktor Falsafah, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Samsiah Jayos & Kamarul Azmi Jasmi. 2013. Perkhidmatan Bimbingan


dan Kaunseling di Kalangan Klien Saudara Baru dlm Prosiding Seminar
Pertama Pendidikan dan Penyelidikan Islam (SePPIM13). 17-18
September. Hlm. 357-370. Universiti Teknologi Malaysia

Shahrom Nordin dan Yap Kueh Chin. 1991. Ke arah mengindividukan


pengajaran menerusi pengajaran bermodul. Jurnal Pendidikan Guru 7:
89-107. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sharifah Alwiah Alsagoff (1981). Pengenalan Pengajaran Individu dengan


Tumpuan Khas kepada Modul Pengajaran dan Modul Pembelajaran.
Jurnal Pendidik dan Pendidikan 3(1): Hlm 54-62. Pulau Pinang: Universiti
Sains Malaysia.

Sidek Mohd Noah dan Jamaludin Ahmad. 2005. Pembinaan Modul:


Bagaimana Membina Modul Latihan dan Modul Akademik. Serdang:
Penerbit Universiti Putra Malaysia.

T.M Hasbi Ash Shiddieqy. 1976. Beberapa Permasalahan Zakat. Terj.


Salim Bahreisy. Jakarta: Tintamas Indonesia

Zulkiple Abd Ghani. 2006. Konversi Agama: Memahami Psikologi dan


Komunikasi Berkesan kepada Saudara Baru. Dlm. Fariza Md.Sham, Siti

Rugayah Hj.Tibek & Othman Talib (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling


Islam. hlm. 72-80. Bangi: Penerbit UKM.

Zainab binti Ismail. 2001. Proses Kaunseling Islam di Kalangan


Pasangan yang Bermasalah: Satu Kajian Kes di Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tesis Doktor Falsafah. Universiti
Sains Malaysia.

128
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

BIOGRAFI

Nama : Nor Adibah binti Ibrahim


Universiti : Calon Ijazah Sarjana Pengajian Islam, Fakulti
Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Emel : adibahibrahim1989@gmail.com
Tel : 013-2778459 (h/set)

129

You might also like