You are on page 1of 3

Keburukan Menceburi Bidang Seni Suara di Peringkat Sekolah

Bidang seni suara sememangnya suatu bidang yang amat popular dalam
kalangan masyarakat hari ini. Kita sering melihat di kaca televisyen, membaca
di dada akhbar ataupun majalah tentang penglibatan pelajar sekolah dalam
bidang seni suara walaupun mereka masih berada di bangku sekolah. Senario
ini dilihat kian menjadi-jadi dan sukar dihalang. Satu pertanyaan yang perlu
dijawab sekarang ialah wajarkah dalam usia semuda itu mereka
mengorbankan alam persekolahan?

Terdapat seribu satu jawapan untuk menjawab persoalan tersebut. Yang


pasti, menjadi artis ketika masih di bangku sekolah atau berstatus pelajar
merupakan perkara yang lebih banyak membawa keburukan daripada
kebaikan. Hal ini kerana setiap pelajar mempunyai tanggungjawab utama,
iaitu belajar. Belajar dalam erti kata yang lebih luas ialah melengkapkan diri
dengan ilmu pengetahuan sebanyak mungkin. Bekalan ilmu yang dimiliki itu,
tentunya akan menjadi harta yang amat bermakna. Malah, menunaikan
tanggungjawab sebagai seorang pelajar sedikit sebanyak akan melengkapkan
diri manusia kepada satu kitaran hidup yang lebih terancang.

Tugas seorang pelajar sebenarnya ialah belajar atau melengkapkan diri


dengan ilmu akademik dalam usia muda. Ilmu ini hanya boleh didapati di
peringkat sekolah. Oleh itu, adalah tidak wajar sekiranya pelajar lebih banyak
menumpukan perhatian kepada bidang yang bukan utama seperti bidang seni
suara. Pelajar sepatutnya menghabiskan sebahagian daripada kehidupan
mereka di sekolah bukan di studio rakaman, pusat hiburan atau pusat
dangdut. Cuba kita sama-sama fikirkan, apakah yang akan berlaku sekiranya
masa remaja tidak dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan? Jawapannya
mudah, iaitu sudah tentu remaja akan hanyut dibuai arus hiburan yang tidak
menjanjikan masa depan yang baik.
Kita akui bahawa bidang seni suara merupakan satu saluran yang betul
bagi seseorang pelajar mengembangkan bakat semula jadi. Penglibatan
mereka dalam bidang ini setidak-tidaknya dapat membantu mereka mengisi
masa lapang, mencari sumber pendapatan tambahan atau menjauhkan diri
mereka daripada gejala yang tidak sihat. Soalnya, sejauh manakah kebenaran
kenyataan itu? Pelajar mungkin berjaya mengisi masa lapang dengan baik,
tetapi bagaimanakah pula dengan pengisian akademik mereka? Kesibukan
berkecimpung dalam bidang seni suara sudah tentu menjadi penghalang
kepada mereka untuk belajar dalam jangka waktu yang terancang. Kesannya
mereka akan ketinggalan dalam bidang akademik.

Cita-cita untuk menjadi seseorang yang terkenal dan popular ialah cita-
cita yang murni. Kita tidak mahu menjadi seperti sesetengah artis yang gagal
dalam pelajaran kerana bidang seni suara. Kita juga tidak mahu pelajar
dibuang sekolah gara-gara gagal mengawal diri sendiri akibat dilamun
keseronokan. Oleh itu, jelaslah bahawa amat tidak bersesuaian sekali pelajar
menceburkan diri dalam bidang seni suara. Kekuatan diri yang kurang akan
menyebabkan mereka mudah terjebak dengan kegiatan yang kurang
bermoral seperti merokok, melepak, mengambil dadah dan sebagainya.
Kesannya mereka ketinggalan dalam mengejar cita-cita. Janganlah nanti
dikata orang yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kepadatan masa sebagai artis sebenarnya tidak sesuai dengan


kehidupan seorang pelajar. Akibat terlalu mengejar glamor, mereka terpaksa
meninggalkan bilik darjah semata-mata untuk menerima tawaran
mengadakan persembahan atau membuat latihan. Hal ini sedikit sebanyak
akan memberikan kesan sampingan kepada mutu pelajaran mereka.
Kemerosotan mutu pelajaran mereka akan menjejaskan imej sekolah
seterusnya kepada diri pelajar sendiri.
Pelajar hari ini perlu sedar bahawa kehidupan pada alaf ini memerlukan
dua perkara dalam hidup, iaitu akademik dan kerjaya. Masyarakat pula akan
memberikan sanjungan kepada seorang yang memiliki kedua-dua perkara itu.
Dr.Fazley misalnya, yang satu ketika dahulu merupakan seorang penyanyi,
kini merupakan seorang ahli perniagaan dan juga pakar motivasi yang
semakin terkenal. Jika dilihat kehidupannya, dia berjaya dalam kedua-dua
bidang disebabkan dia mempunyai taraf akademik yang tinggi. Hal seperti ini
jarang dimiliki oleh artis-artis lain. Oleh itu, yang boleh disimpulkan ialah dia
menjadi artis yang cepat matang berbanding artis-artis lain yang gagal di
tengah jalan.

Kesimpulannya, memilih untuk menjadi artis ketika di bangku sekolah


bukanlah satu tindakan yang wajar. Tugas utama seorang pelajar adalah
melengkapkan diri dengan ilmu akademik sejajar dengan pepatah Melayu
yang berbunyi 'Ilmu Itu Pelita Hidup'. Oleh itu, mengapa tidak pepatah
Melayu ini dijadikan iktibar oleh pelajar-pelajar hari ini. Pelajar dan remaja
hari ini perlu sedar bahawa cabaran dalam dunia tanpa sempadan ini lebih
menuntut manusia yang berilmu daripada berbakat.

You might also like