You are on page 1of 3

Bagaimankah komuniti anda dapat bekerjasama dalam mencegah jenayah di

kawasan kejiranan anda?


Situasi 1:

Akhbar tempatan kerap menyiarkan berita kejadian jenayah yang berlaku di kawasan
perumahan. Hal ini pastinya menimbulkan kerunsingan masyarakat. Sebenarnya, ada
banyak cara mengatasi kejadian jenayah di kawasan perumahan.

Cara paling efektif pastinya dengan menubuhkan Rukun Tetangga di kawasan


kejiranan. Dengan langkah ini, pihak Rukun Tetangga boleh melakukan rondaan
secara bergilir-gilir bagi mengawal kejadian jenayah daripada berlaku.

Seterusnya, kita boleh berdaftar sebagai rakan 'cop' bagi melaporkan sebarang
kejadian yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. Secara tidak langsung,
penjenayah akan takut untuk melakukan jenayah.

Langkah berikutnya sudah pastinya dengan menganjurkan kempen-kempen


antijenayah. Namun demikian, kempen yang dijalankan perlulah berterusan dan
bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Kesimpulannya, semua pihak perlulah berganding bahu bagi menangani


masalah ini. Sekiranya permasalahan ini dapat diatasi, komuniti setempat dapat hidup
dalam keadaan aman dan makmur.

Situasi 2:

Sejak akhir-akhir ini, media massa sering memaparkan berita tentang pelbagai
kegiatan jenayah yang berlaku di seluruh negara. Berleluasanya kegiatan ini sudah
tentu akan menimbulkan kegelisahan atau kebimbangan dan secara tidak langsung
mencetuskan rasa tidak tenteram dalam masyarakat. Antara kegiatan jenayah yang
sering dilaporkan ialah rompakan, pecah rumah, penculikan, ragut dan bunuh.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di kawasan bandar malah melibatkan kawasan
kampong.

Menjaga keselamatan diri dan juga keselamatan kawasan kediaman merupakan


tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak. Sikap saling membantu,
bekerjasama dan keprihatinan akan dapat mewujudkan satu komuniti yang seia
sekata dan dapat hidup dalam suasana aman dan harmon. Setiap penduduk perlulah
memastikan rumah mereka dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti gril, kamera
litar tertutup (cctv), loceng amaran dan sebagainya. Sebelum meninggalkan rumah,
setiap penduduk perlu memastkan pintu rumah dan pintu pagar telah dikunci dengan
rapi. Jika hal ini dilakukan, pastilah kediaman kita akan selamat daripada ancaman
jenayah.

Selain itu, pihak berkuasa iaitu pihak polis perlulah melakukan rondaan secara berkala
disemua kawasan kediaman terutamanya di kawasan yang berisiko berlakunya
kejadian jenayah. Rondaan perlu dilakukan lebih kerap pada waktu penduduk sedang
bekerja dan juga pada waktu malam. Pemantauan yang berterusan ini akan menutup
ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan perbuatan tidak bermoral
mereka. Sikap sudah terhantuk baru terngadah amatlah dikesali. Janganlah bila sudah
berlaku kejadian jenayah, barulah kita mahu bertindak.

Di samping itu, penduduk perlu menggerakkan pasukan rukun tetangga bagi


mengawasi kawasan kediaman mereka. Permuafakatan yang jitu dalam kalangan
penduduk sudah pasti dapat mengelakkan kawasan kediaman mereka daripada
ancaman jenayah. Penduduk perlu menyediakan jadual waktu bertugas untuk
melakukan rondaan bagi mengawasi seluruh kawasan kediaman mereka. Sikap saling
membantu bagai aur dengan tebing akan mendatangkan kesan positif kepada
semua masyarakat. Jika hal ini dapat dilakukan dengan sempurna, sudah pasti
ancaman jenayah dapat dibanteras.

Peranan jiran tetangga juga penting dalam usaha untuk menjadikan kawasan
kediaman bebas daripada ancaman jenayah. Sikap jujur, amanah dan
bertanggungjawab harus ada dalam jiwa semua jiran. Jika kita hendak pergi bercuti,
kita boleh meninggalkan kunci rumah kepada jiran tetangga untuk mereka membantu
mengawasi dan menjaga rumah kita. Jika ini dapat direalisasikan, sudah pasti rumah
kita akan selamat.

Daripada huraian di atas, sudah terang lagi bersuluh, semua pihak perlu
bekerjasama untuk memastikan kawasan kediaman selamat. Sikap bagai enau dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis dalam jiwa masyarakat.
Menjaga keselamatan kediaman kita perlu diberi keutamaan. Keselamatan kawasan
kediaman akan memastikan kehidupan kita sekeluarga juga akan selama

Situasi 3:

Kesedaran hidup berjiran mampu membawa kepada jaminan keselamatan penduduk


setempat. Hal ini kerana dengan wujudnya Rukun Tetangga yang terdiri daripada ahli-
ahli masyarakat di kawasan kejiranan itu sendiri, mereka akan menjalankan rondaan
pada waktu malam secara berkumpulan bagi memastikan kawasan perumahan
mereka berada dalam keadaan selamat sejahtera. Program ini juga mampu
membantu pihak polis dalam usaha untuk mengurangkan kegiatan jenayah yang
biasa berlaku di kawasan perumahan seperti pecah masuk rumah. Jika perkara ini
tidak ditegah secara serius, dikhuatiri akan membawa kepada banyak implikasi seperti
harta benda dirompak dan yang paling memilukan jika membawa maut kepada ahli
rumah yang menjadi mangsa keadaan dalam kegiatan kebejatan moral ini. Maka,
apabila terlaksananya program sebegini yang melibatkan semua pihak, purata kes
jenayah dalam negara akan berkurangan dari semasa ke semasa. Hal ini sama
dengan cogan kata “jiran sepakat membawa berkat”. Tegasnya, semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat mampu menjana kawasan perumahan yang harmoni
dan aman.

Situasi 4:

Selain itu, para penduduk di setiap presint sewajarnya mengamalkan semangat


kejiranan dalam kehidupan seharian. Dengan berbuat demikian, keselamatan di
kawasan perumahan akan terjamin dan para penduduk tidak akan berasa bimbang
dan gusar tentang keselamatan mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat
memupuk perpaduan kaum dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk. Bagi
mengatasi masalah jenayah yang kian serius ini, para penduduk seharusnya
memaklumkan jiran terdekat jika hendak ke sesuatu tempat. Oleh hal demikian,
semangat kejiranan begitu penting dalam menghindari sebarang kejadian yang tidak
diingini daripada berlaku.

Di samping itu, rondaan yang kerap perlu dilakukan supaya kawasan kediaman
berada dalam keadaan aman dan selamat. Pihak polis dan masyarakat setempat
perlu membuat rondaan pada waktu malam secara berterusan. Dengan cara ini, kes-
kes jenayah di kawasan yang kerap berlaku kejadian jenayah dapat dikurangkan.
Sebagai contohnya, pihak polis atau ahli Rukun Tetangga hendaklah melakukan
rondaan terutamanya pada musim-musim perayaan pelbagai kaum. Hal ini demikian
kerana, pada musim perayaan statistik kejadian jenayah adalah lebih tinggi
berbanding pada hari-hari biasa. Lantaran itu, pihak polis dan masyarakat setempat
perlu mengadakan rondaan lebih kerap lagi bagi mengelakkan sebarang kejadian
jenayah.

Natijahnya, jika setiap masyarakat berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke
lurah sama dituruni, insya-Allah isu-isu jenayah akan merudum dan kesejahteraan
rakyat dapat dicapai sejajar dengan visi kudsi Wawasan 2020. Oleh hal yang
demikian, semua pihak tidak seharusnya melepaskan batuk di tangga malah perlu
merealisasikan matlamat ‘Sifar Jenayah’ kerana jenayah ini ibarat api, tatkala kecil
menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Jadi, marilah kita bersama-sama
menggembleng tenaga bagi membanteras kegiatan jenayah ini.

You might also like