You are on page 1of 2

ULASAN TEMA DAN LOGO HARI

KEBANGSAAN MALAYSIA 2018

Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Terima kasih tuan pengerusi


majlis. Yang berusaha Tuan Pengetua, En. Mohamad Diah Bin Ibrahim, Yang
dihormati Guru Penolong Kanan Pentadbiran, En. Hosnaini Bin Ahmad,
Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En Sahar Bin Bakar, Guru Penolong
Kanan Kokurikulum, En. Malek Bin Hussien, Guru Penolong Kanan
Tingkatan 6, Puan Liza Binti Mamat, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Puan Lim Hong Ting, Guru-guru kanan mata pelajaran, guru-guru serta
rakan-rakan yang saya kasihi sekalian.Pada hari ini saya akan membacakan
Ulasan Tema Dan Logo Hari Kebangsaan Malaysia 2018.
Sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan serta Hari Malaysia
pada tahun 2018 adalah bertemakan Sayangi Malaysiaku seperti
diumumkan oleh Perdana Menteri pada 30 Mei 2018. Penetapan Sayangi
Malaysiaku sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun 2018 adalah
bagi menunjukkan bahawa betapa pentingnya rakyat warganegara Malaysia
yang berbilang kaum dan agama saling memahami dan hormat menghormati
serta bersatu padu untuk menentukan masa depan negara agar lebih
gemilang, stabil dan aman damai.
Tema Sayangi Malaysiaku juga dilihat menepati dengan usaha
kerajaan yang mahu memberi penekanan kepada rakyat Malaysia bahawa
bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan selain memastikan semangat
bersatu padu serta muafakat terus dicapai demi kemakmuran negara. Selain
menyemarakkan semangat patriotisme serta memperluas dan memperkukuh
semangat kekitaan, “Sayangi Malaysiaku” juga seiring dengan perpaduan
atau kesepakatan yang menjadi penggerak kepada agenda memperkasakan
integrasi nasional dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di
Malaysia.
Sebagai makluman, sambutan Hari Kebangsaan 2018 akan diadakan
di Putrajaya pada 31 Ogos bakal menampilkan sambutan penuh bersejarah
kerana buat pertama kalinya ianya diraikan di bawah tampuk kepimpinan
kerajaan baharu. Sambutan Hari Malaysia 2018 pula akan diadakan pada
16 September di Kota Kinabalu, Sabah. Sambutan Hari Kemerdekaan akan
bermula di Padang Kota Lama, Pulau Pinang di mana akan berlangsungnya
majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang
akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 4 Ogos. Pelbagai acara
menarik telah diatur dari 3 hingga 5 Ogos di Pulau Pinang seperti
pertunjukan bunga api, kembara Merdeka Jalur Gemilang, Pameran Caring
Bridge dan MyMerdeka, karnival trak makanan, larian merdeka dan jualan
My Best Buy FAMA. Sementara itu, pelepasan program kembara Merdeka
Jalur Gemilang yang menjelajah ke seluruh negara bermula di Pulau Pinang
pada 4 Ogos dan dijadualkan tamat di Putrajaya pada 31 Ogos.
Logo tema Hari Kebangsaan 2018 iaitu Sayangi Malaysiaku
merupakan ciptaan Nik Zulkifli Nik Hitam. Logo ini menggambarkan simbol
rakyat melakukan gerakan riang mengangkat tangan dengan satu bentuk
hati di hadapan menyatukan mereka. Simbol ini membawa maksud
warganegara Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa hidup dalam
kepelbagaian, harmoni, seia sekata, bersatu padu dan terpahat perasaan
kasih sayang yang kukuh kepada negara Malaysia.
Lagu ‘Kita Punya Malaysia’ nyanyian kumpulan Bunkface, dicipta oleh
vokalisnya, Sam telah dipilih sebagai lagu tema Hari Kebangsaan 2018. Lagu
tema kali ini menggambarkan Malaysia ini kita punya dan kita perlu bersatu
dalam kepelbagaian serta mempunyai jati diri yang tinggi, berganding bahu
dalam membangunkan negara tercinta. Untuk makluman, logo dan lagu
tema Hari Kebangsaan 2018 adalah pilihan daripada Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad sendiri, yang telah memilih daripada tema serta lagu
yang dihantar untuk pemilihan.
Oleh itu, saya menyeru agar guru-guru dan rakan-rakan pelajar
supaya melibatkan diri dalam aktiviti sambutan Hari Kebangsaan 2018 di
peringkat sekolah bagi menyemarakkan lagi semangat cinta akan negara
dalam diri kita sekali gus memupuk semangat bersatu padu dalam kalangan
masyarakat berbilang kaum di sekolah ini.
Sekian, terima kasih.

You might also like