You are on page 1of 4

TEKS UCAPAN

MAJLIS PENUTUPAN BULAN

KEMERDEKAAN

SMK TAMAN CONNAUGHT 2019


Yang Dihormati,

Pn.Hasnah Bt Haron,

Penolong Kanan Pentadbiran,

Pn Yean Hoor Shian,

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

Pn Norina Bt Mahmod,

Penolong Kanan Kokurikulum

Guru-guru kanan mata pelajaran, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi.

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Sayangi Malaysia, Malaysiaku Bersih.

Saya berasa gembira kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini

sempena Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Taman

Connaught bagi tahun 2019. Sesungguhnya, kehadiran warga sekolah pasti akan

menyemarakkan lagi program kita pada pagi ini dan seterusnya memberi sokongan

yang padu dalam aktiviti yang telah dianjurkan sepanjang bulan kemerdekaan.

Guru-guru dan murid sekalian,

Terlebih dahulu pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi

tahniah dan syabas kepada ahli jawatankuasa Bulan Penghayatan Kemerdekaan

Peringkat SMK Taman Connaught bagi tahun 2019 kerana usaha gigih tuan-tuan dan
puan-puan merencana, merancang, menyusun sekali gus menzahirkan pelbagai

aktiviti yang telah direalisasikan pada majlis sambutan ini di peringkat sekolah.

Hasil permuafakatan dan canaian idea yang bernas ahli jawatankuasa, maka lahirlah

pelbagai program dan aktiviti yang dirasakan cukup mantap dalam melahirkan warga

SMK Taman Connaught yang patriotik serta nasionalisme. Sesungguhnya, aktiviti-

aktiviti yang telah dijalankan ini berpaksikan kepada satu matlamat iaitu menyemai

semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan kita semua sebagai

warganegara. Ibarat kata bidalan, jika tidak lalu dandang di air, di gurun dirangkakan.

Inilah saatnya bagi kita semua menumpahkan taat setia dan meluahkan kecintaan

buat negara Malaysia yang tercinta.

Sayangi Malaysia, Malaysiaku Bersih merupakan tema sambutan Bulan

Kemerdekaan Malaysia pada tahun ini. Saya percaya tema ini akan memberikan

kesan mendalam dan melahirkan semangat kecintaan terhadap negara dalam hati

kita semua sebagai seorang warganegara Malaysia yang cinta akan tanah air.

Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada

rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecap kehidupan

dalam suasana yang harmonis, aman serta sejahtera. Dengan nikmat kemerdekaan,

rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur

dalam menjalin hubungan perpaduan kaum.

Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.

Perpaduan dalam kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang agama yang kita

anuti, warna kulit yang menyaluti tubuh badan kita, pangkat atau darjat.
Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup

menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati. Sejarah telah membuktikan betapa

keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak

bestari semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat.

Guru-guru dan murid sekalian,

Kita seharusnya menggembleng tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan

murid-murid yang berjiwa patriotisme dan kental akar umbi nasionalismenya. Mereka

inilah yang bakal menjadi barisan pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti. Saya

amat bertuah dan berbangga kerana warga SMK Taman Connaught selama hari ini

telah menunjukkan sikap yang positif, saling membantu serta bekerjasama dalam

segala aspek .Benarlah sudah kata bidalan, yang berat sama dipikul, yang ringan

sama dijinjing membuktikan permuafakatan dan perpaduan yang telah terjalin sekian

lama di sekolah ini.

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan

syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah melaksanakan pelbagai

aktiviti sepanjang Bulan Penghayatan Kemerdekaan SMK Taman Connaught bagi

tahun 2019. Tanpa melengahkan masa, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis

Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Taman Connaught bagi

tahun 2019.

Sekian, terima kasih.

You might also like