You are on page 1of 9

Nik Abdul Aziz Nik Mat (1931-2015)

Nik Abdul Aziz yang dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu dalam sebuah
keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam. Nik Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga
dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak.

Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.
Hidup beliau sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar. Umum mengetahui, Nik Abdul Aziz dan
keluarganya tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung.

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat
hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Yusuf
Rawa.

Pada 1978, Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan
pada Oktober 1990.

Sebelum terpilih menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semut Api dalam Pilihan Raya
Umum (PRU) 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Nik Abdul
Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Sejak 1967, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan
kematian Ahmad Abdullah pada 1969.

Beliau menyandang jawatan MP Pengkalan Chepa selama 19 tahun sebelum berpindah untuk
bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api (kini Chempaka) pada 1986.

Dalam sejarah politiknya sebagai MP, Nik Abdul Aziz pernah menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen iaitu
antara 1983 hingga 1986.

Walaupun sudah menjadi Menteri Besar, Nik Abdul Aziz tetap meneruskan rutinnya memberi kuliah di
Masjid Pulau Melaka dan di dewan Zulkifli Muhammad yang terletak di bangunan PAS serta meneruskan
program-program dakwah yang dilakukannya sebelum itu.

Sebagai ahli politik dan pemimpin utama PAS, Nik Abdul Aziz juga tidak terlepas dari kontoversi. Tidak
sedikit kata-katanya yang menjadi sensasi namun beliau tetap gagah menerajui pentadbiran Kelantan
hingga PRU13.

Biarpun dikenali sebagai seorang yang tenang, namun Nik Aziz juga seorang yang tegas. Sebagai
Mursyidul Am PAS, beliau lantang menegur pemimpin parti itu jika ada yang dirasakan tidak selari
dengan perjuangan parti. Antaranya pada 19 Jun 2009, beliau mendesak Nasharuddin meletakkan
jawatan Timbalan Presiden PAS dan ahli parlimen Bachok ekoran polemik kerajaan perpaduan bersama
UMNO.

Polemik kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang diputuskan oleh Presiden PAS
bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Parlimen yang menolak idea
kerajaan perpaduan.

Pada 23 Oktober 2009, Mursyidul Am PAS mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi
membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah".

Desakan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa pemimpin
parti, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr
Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

Itulah ketegasan Nik Abdul Aziz dalam perjuangannya bersama PAS.

Kepimpinan Ulama

Pada mulanya pelantikan Nik Abdul Aziz yang berpendidikan agama sebagai Menteri Besar Kelantan
pada 1990 dianggap perkara biasa.

Ia berikutan beliau bukanlah pemimpin berlatarbelakangkan agama yang pertama diangkat mengetuai
sebuah kerajaan negeri.

Untuk rekod, ketika PAS menguasai Kelantan pada 1959, Menteri Besarnya, Allahyarham Datuk Ishak
Lotfi Omar ialah seorang yang mendapat didikan agama di Makkah.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz berjaya mewujudkan era 'kepimpinan ulama' yang luar biasa di Kelantan.

Nik Abdul Aziz melihat koleksi dinar emas miliknya untuk lelongan amal pada Muktamar PAS ke-59.
Imejnya yang lebih selesa berjubah dan gaya hidupnya yang sederhana mencerminkan keperibadian
tokoh agama terkenal itu.

Malah selama 23 tahun mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz memilih untuk tidak berpindah ke kediaman
rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Baru, sebaliknya beliau lebih selesa untuk tinggal di
rumah asalnya di belakang masjid Pulau Melaka.

Lebih menarik, walaupun menggalas tugas besar sebagai ketua sebuah kerajaan, Nik Abdul Aziz tidak
pernah berhenti melakukan tugasnya sebagai pendakwah.

Bekas guru yang pernah mengajar di Ma'ahad Muhammadi di Kota Baru itu tidak pernah berhenti
memberi kuliah dan menyampaikan ceramah agama.

Walaupun memikul tanggungjawab yang besar, Nik Abdul Aziz tetap memilih untuk menjadi pendakwa
sepenuh masa.

Kontroversi

Ketika hayatnya, Allahyarham yang juga bekas Menteri Besar Kelantan paling lama berkhidmat iaitu
sejak 1990 hingga 2013 tidak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi.

Sama ada ucapan, kenyataan media, serta komen-komen Nik Abdul Aziz yang lebih senang dipanggil
'Tok Guru' sering ditunggu-tunggu oleh kawan dan lawannya dalam politik.

Menariknya, ahli politik berimej ulama itu ternyata mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan
kontroversi yang diciptanya sendiri.

Nik Abdul Aziz sentisa menjadi tumpuan pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai isu
politik semasa.

Sekadar mengimbas kembali beberapa kenyataanya yang sering menghangatkan dunia politik negara,
Nik Abdul Aziz pernah mengemukakan kiasan "Tak salah berkawan dengan syaitan" bagi
menjustifikasikan kerjasama politik antara PAS dan DAP.

Bukan itu sahaja, Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 'Tuhan pun mencarut' serta
mendakwa 'Umno menolak ajaran Islam'.

Bagaimanapun politikus hebat yang mengabdikan diri dalam dunia politik sejak 1967 itu amat 'berseni'
mengilas hujah dan kritikan terhadapnya.

Walaupun ada kalanya kenyataan kontroversi yang diungkapnya meletakkan PAS dalam situasi yang
merumitkan, Nik Abdul Aziz sangat tenang mematahkan hujah dan kritikan lawan politiknya.

Sikap dan kebijaksanaan beliau itu ternyata sentiasa dipandang tinggi oleh penyokongnya.
Tegas

Dalam kelembutannya berbicara, Nik Abdul Aziz merupakan pemimpin PAS paling 'pantang' mendengar
idea kerajaan perpaduan antara parti itu dengan Umno.

Idea kerajaan perpaduan BN-PAS mula timbul selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 apabila
menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ketegasan Nik Abdul Aziz itu kian memuncak apabila pada 19 Jun 2009, beliau mendesak supaya
Timbalan Presiden PAS ketika itu, Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan.

Bagaimanapun desakan berkenaan ditarik balik tiga hari selepas itu apabila polemik kerajaan perpaduan
berjaya dihentikan segara menerusi kenyataan media bersama pimpinan pakatan pembangkang di
Parlimen menolak idea berkenaan.

Nik Abdul Aziz bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul PAS, Datuk
Dr Haron Din.

Namun ia tidak terhenti di situ apabila pada 23 Oktober 2009, Mursyidul Am PAS itu mencadangkan PAS
mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu 'dua tiga kerat pemimpin bermasalah' dalam PAS.

Kali ini 'sasarannya' ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Nik Abdul Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti,
antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr
Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

Pengganti

Pemergian Tok Guru sukar diganti. Idea, nasihat serta komen-komennya sudah pasti akan dirindui.

Buktinya walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selepas Mei 2013, Nik
Abdul Aziz tetap menjadi sasaran pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai situasi politik
semasa.
Pemergian Seorang Ulama

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disahkan menghidap kanser prostat tahap empat dan dirawat di Unit
Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari 2015 di rumahnya di Pulau Melaka dan
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka. Jenazah bekas Menteri Besar itu disemadikan
bersebelahan pusara ayahandanya, Allahyarham Nik Mat Raja Banjar yang meninggal dunia pada tahun
1975.
Nik Abdul Aziz meninggal pada usia 84 tahun.

'Nik Aziz pemimpin berpandangan jauh' - Ahli politik

T K Letchumy Tamboo, Astro Awani | Februari 13, 2015 01:00 MYT

Keadaan di rumah Allahyarham di Pulau Melaka, Kota Baharu malam tadi. - facebook/Nik Abdul Aziz Nik
Mat

PETALING JAYA: Pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat amat dirasai oleh ahli-ahli
politik.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata Malaysia telah kehilangan seorang pemimpin yang berpandangan
jauh.

"Saya ingin sampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang disegani dan dihormati oleh semua kaum kerana hujah-hujah
beliau dapat mengangkat politik perkauman sehingga dapat melangkaui pertelingkahan di kalangan
rakyat Malaysia dengan menunjukkan nilai-nilai agama Islam adalah konsep universal yang akan
membawa manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada Astro AWANI apabila ditemui di
sebuah majlis di sini pada Khamis.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong pula berkata Allahyarham sangat berbakti kepada negara.

"Saya pernah berjumpa dengannya dua kali. Gaya politiknya matang dan sofistikated.

"Kalau tiada Nik Aziz pada tahun 2008, tidak ada lah Pakatan Rakyat.
"Saya ucapkan takziah kepada keluarganya," katanya.

Aktivis Datuk S. Ambiga pula berkata Allahyarham seorang tokoh yang dipandang tinggi.

"Beliau adalah sumber inspirasi kepada kita semua," katanya kepada Astro AWANI apabila ditemui di
majlis yang sama.

Sementara itu, di laman Twitter, ucapan takziah buat keluarga Allahyarham juga tidak putus diberikan.

Antaranya ialah ucapan takziah daripada Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri juga telah
menghentikan sebentar majlis yang dihadirinya untuk memimpin bacaan al-Fatihah dan mendoakan roh
Allahyarham dicucuri rahmat oleh-Nya, sebaik sahaja diberitahu tentang pemergian Nik Abdul Aziz.

Allahyarham Nik Abdul Aziz pemimpin Islam dikagumi ( sinar harian)

13 FEBRUARI 2015

Nik Aziz
KUANTAN - Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyampaikan ucapan
takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang
meninggal dunia malam tadi di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bahru.

"Al-Fatihah ... Tok Guru Nik Aziz seorang pemimpin Islam yang dikagumi dan dihormati," titah baginda
dalam kumpulan media sosial pegawai-pegawai baginda.

Tengku Mahkota Pahang telah menitahkan Setiausaha Sulit Khas baginda, Left Kol (B) Nor Hashim
mengutus ucapan takziah daripada baginda sekeluarga kepada keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz.

Baginda turut menitahkan semua masjid di Pahang supaya mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil
untuk Allahyarham selepas solat Jumaat hari ini.

Titah baginda itu dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Khas baginda kepada semua imam masjid di seluruh
Pahang awal pagi ini.

Sementara itu, lebih 2,000 jemaah Masjid Lapang Besar di sini mengadakan tahlil untuk Allahyarham
selepas solat Jumaat sebagaimana titah Tengku Mahkota Pahang.

Nik Abdul Aziz, 84, yang juga Mursyidul Am Pas dan Adun Chempaka meninggal dunia di kediamannya di
Pulai Melaka di sini pukul 9.40 malam tadi selepas dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM)
sejak 19 Jan lalu kerana kanser prostat.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kerajaan negeri dan
rakyat Kedah berkongsi kesedihan dengan rakyat Kelantan yang kehilangan pemimpin kesayangan
mereka.

"Saya sebagai mewakili rakyat Kedah, mengucapkan takziah kepada rakyat Kelantan terutama keluarga
Allahyarham Nik Abdul Aziz," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada upacara pengebumian
jenazah Nik Abdul Aziz di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka hari ini.

Mukhriz berkata soal politik yang berbeza tidak menghalang rakyat kedua-dua negeri berkongsi
kesedihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pemergian Allahyarham
merupakan satu kehilangan yang besar buat negara.

"Ia merupakan satu kehilangan besar bagi negara meskipun kami berbeza pendapat dari segi politik dan
aliran parti tetapi sebagai Muslim kami rasai kehilangannya.

"Beliau (Allahyarham) mendidik masyarakat dan umat Islam dalam pendekatan dakwah, saya bagi pihak
kerajaan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga (Allahyarham," katanya.

Di ALOR SETAR, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyatakan pemergian ke
rahmatullah Nik Abdul Aziz merupakan suatu kehilangan yang besar kepada umat Islam di nusantara dan
dunia.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Allahyarham telah meninggalkan khazanah ilmu serta
kebijaksanaan sebagai seorang pendakwah.

"Kami meletakkan Almarhum sebagai guru umat yang sangat besar jasanya bukan sahaja dalam arena
politik Islam malah dalam pentarbiahan umat yang sangat mendalam kesannya," katanya dalam
kenyataan. -Bernama

You might also like