You are on page 1of 2

Huraikan cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam hubungan etnik di Malaysia dan cadangkan usaha-

usaha yang boleh dilakukan bagi menangani cabaran-cabaran ini bagi memastikan matlamat integrasi
nasional tercapai.

Kepelbagaian agama, perbezaan bahasa, pengkhususan ekonomi, seni bina kediaman, hala tuju politik
dan sebagainya menjadi simbol kepada kepelbagaian kumpulan etnik yang ada di Malaysia. Malaysia
ialah sebuah negara yang sedang maju dan terdiri daripada pelbagai lapisan masyrakat majmuk yang
terdiri daripada pelbagai etnik misalnya Melayu, Cina, India, Iban, Melanau, Bidayuh, Kadazandusun dan
pelbagai lagi. Kepelbagaian kaum ini dilihat satu keistimewaan atau kekuatan yang menjadi
pembentukan identiti Malaysia melalui perpaduan. Perpaduan sangat penting kerana menjadi tonggak
kepada keharmonian Malaysia.

Pada dasarnya, tahap integrasi antara etnik di Malaysia masih berada dalam keadaan yang rapuh
walaupun terdapat pandangan yang bervariasi (Pandangan pesimis oleh Awang 2002, sedangkan
Optimis oleh Firdaus 2002, Lim 2002 dan Chiam 2002). Setiap etnik yang membentuk bangsa Malaysia
mempunyai tuntutan dan kepentingan masing-masing yang tentunya berlainan antara satu sama lain
Perbezaan ini bukan sahaja menyukarkan proses pembentukan identiti nasional bangsa, malah
menimbulkan banyak konflik dan pertentangan yang kadangkala begitu sulit diselesaikan.(Lokman &
Khaidzir 2003)

Akibat daripada dasar pecah dan perintah yang digunakan oleh penjajah British di Tanah Melayu telah
memberikan kesan kepada masyarakat berbilang kaum hidup dalam keterasingan. Kesan pelaksanaan ini
mengakibatkan polarisasi kaum masih wujud. Dalam pada itu, pelbagai cabaran timbul kerana wujudnya
konflik yang dapat menjejaskan perpaduan kaum yang telah disemai dan dibaja selama ini bagi
mewujudkan negara bangsa Malaysia. Terdapat tiga cabaran dalam hubungan etnik di Malaysia yang
berasaskan tiga faktor utama, yakni cabaran sosial, ekonomi dan politik dan cabaran nilai serta cabaran
globalisasi menurut Shamsul Amri (2012). Zaid Ahmad et al. (2018) juga menggariskan tiga cabaran
hubungan etnik melalui pembinaan personaliti rakyat berjiwa Malaysia, pembinaan jalinan harmoni
hubungan interetnik dan intraetnik serta menangani hubungan etnik pasca kemerdekaan. Oleh itu,
dapat dirumuskan bahawa cabaran hubungan etnik terbahagi kepada tiga seperti yang berikut:

Cabaran pertama merujuk dimensi SEK, iaitu sosial, ekonomi dan politik. Cabaran berdasarkan sosial
berlaku kerana pemisahan geografi atau penempatan sesuatu kaum atas dasar pecah dan perintah yang
dilakukan oleh penjajah dahulu. Situasi ini memberikan implikasi dari segi interaksi dan hubungan
silaturahim. Dari aspek interaksi, etnik di Malaysia agak kurang berinteraksi dengan kerapnya, misalnya
orang Cina bertutur dalam bahasa Mandarin dalam kalangan mereka, orang India juga. Di samping itu,
etnik ini tinggal di kawasan yang tertumpu sahaja misalnya orang Cina tinggal di pekan atau perumahan
yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina. Hal ini mengakibatkan tidak berlakunya hubungan
antara kaum lalu menimbulkan prasangka atau stereotaip dalam kalangan ahli etnik terhadap etnik yang
lain. Seterusnya, cabaran etnik berlaku dalam sistem pendidikan di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian
kerana setiap etnik besar, iaitu Cina dan India memiliki sistem pendidikan sendiri misalnya orang Melayu
belajar di sekolah kebangsaan dan menggunakan bahasa Melayu, orang Cina belajar di sekolah jenis
kebangsaan Cina dan menggunakan bahasa Mandarin. Hal ini sama berlaku kepada etnik India.
Pemisahan sistem pendidikan ini telah mengakibatkan sentimen etnik berlaku sehingga tiada integrasi
dalam kalangan murid. Keadaan ini menyebabkan interaksi mereka dalam kalangan etnik sendiri yang
tiada percampuran antara etnik. Selain itu, kontrak sosial juga dipolemikkan oleh pihak tertentu yang
boleh membawa kerenggangan hubungan etnik di Malaysia. Perkara ini berlaku kerana generasi baharu
etnik Cina dan India tidak memahami isu persetujuan kontrak sosial yang memberikan keistimewaan
kepada orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu seterusnya kemasukan pelajar ke IPTA
dan sebagainya lagi.

Cabaran etnik dari aspek ekonomi memainkan peranan yang sungguh penting. Dalam sektor ekonomi,
terdapat jurang yang luas. Hal ini berlaku kerana pegangan ekonomi dikuasai oleh etnik Cina yang
merupakan etnik minoriti, iaitu 28% manakala etnik Melayu sebagai majoriti hanya menguasai sektor
pertanian. Perkara ini mewujudkan jurang pendapatan dan ketidakseimbangan pendapatan turut
berlaku. Oleh sebab itu, setiap etnik berusaha untuk mendapatkan hak dan keuntungan lebih besar
daripada pertumbuhan ekonomi di Malaysia. Hal sama turut berlaku dalam sektor pekerjaan kerana
dasar British dahulunya menghumban orang Melayu ke sektor pertanian, nelayan dan perkhidmatan
awam berbanding etnik Cina yang terlibat dalam sektor perniagaan dan perlombongan manakala etnik
India pula di estet. Perbezaan pekerjaan ini membawa kepada garis pemisahan yang cukup besar hingga
hari ini. Selain itu, kepentingan etnik yang dibawa oleh parti politik tertentu menyebabkan semangat
perkauman menebal, misalnya parti politik memperalatkan isu perkauman, bahasa, kebudayaan,
pendidikan, kerakyatan dan ekonomi bagi mendapat sokongan.

Cabaran seterusnya berkaitan dengan budaya, nilai dan jati diri etnik. Perbezaan agama, budaya dan
nilai hidup berlaku kerana setiap etnik mengutamakan etnik mereka sendiri lebih-lebih lagi tiada
penerapan yang bersifat kemalaysiaan. Hal ini menunjukkan bahawa setiap etnik perlu menghayati
hasrat dan dasar kesatuan untuk sama-sama bertolak ansur dan mencari titik persamaan bagi suasana
masyarakat berbilang kaum hidup dengan damai, harmoni dan sejahtera tanpa prasangka.

Cabaran yang terakhir merujuk penglobalisasian. Perkara ini berlaku kerana penjajahan telah
meninggalkan sistem, ideologi, budaya, ekonomi, politik dan pendidikan serta teknologi komunikasi
kepada Malaysia. Hal ini tidak dinafikan kerana Malaysia merupakan negara acuan British dengan Sistem
Demokrasi Berpelembagaan. Pengaruh yang ditinggalkan ini terus dijadikan model. Oleh sebab itu,
cabaran globalisasi ini telah memindahkan segala kerosakan negara, alam sekitar, budaya hiburan dan
ekploitasi sumber manusia dan mentah. Penglobalisasian ini telah menjejaskan pembinaan jati diri dan
tamadun Malaysia kerana dibelenggu oleh tinggalan budaya penjajah kerana Malaysia tidak berupaya
menyediakan kaedah terbaik untuk pengurusan multietnik. Keadaan ini secara tidak langsung
memberikan implikasi kepada hubungan etnik dan mengundang konflik malah ditambah dengan
rusuhan kaum.

You might also like