You are on page 1of 2

PENGADILAN MORAL

Apa itu pengadilan moral? Menurut Kassim Ahmad, pengadilan moral adalah satu perlakuan
untuk menjatuhkan hukuman ataupun memberikan penilaian tertentu terhadap kejadian ataupun
peristiwa dan juga ke atas pelaku yang terlibat dalam kejadian peristiwa sejarah. Pelaku sejarah adalah
manusia yang menyebabkan sesuatu kejadian ataupun peristiwa sejarah. Sebagai contoh, perkataan
yang digunakan oleh ahli-ahli sejarah seperti bersalah, tidak adil, dan membolot kuasa merupakan
tindakan yang menunjukan tindakan menjatuhkan pengadilan moral.

Jika hakikat diterima bahawa pengadilan moral adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan
dalam sejarah, maka soalan yang timbul ialah apakah hal-hal yang lazimnya diadili oleh para ahli sejarah.
Tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai hal diadili oleh sejarah, baik individu mahupun institusi, dasar
dan peristiwa.

Salah satu hal yang kerap diadili oleh ahli-ahli sejarah ialah tindak-tanduk individu ataupun
pelaku sejarah. Dalam meneliti peristiwa sejarah maka ahli-ahli sejarah akan mengkaji niat pelaku
sejarah yang mencetuskan kejadian peristiwa sejarah. Dalam mengkaji niat pelaku sejarah maka ahli-ahl
sejarah akan melabelkan pelaku sejarah yang mempunyai niat baik sebagai orang yang jujur. Manakala
bagi mereka yang mempunyai niat buruk maka akan dikritik dalam penulisan sejarah. Jadi ahli-ahli
sejarah telah bertindak sebagai hakim dalam mengadili pelaku sejarah yang mencetuskan kejadian
ataupun peristiwa sejarah.

Tindakan ahli-ahli sejarah mengkaji dari sudut niat tersebut akan menggambarkan kepada
masyarakat umum pelaku sejarah yang baik sama ada ia seorang negarawan ataupun seorang
pembunuh. Sebagai contohnya dalam kes pembunuhan J.W.W.Birch, Maharaja Lela telah dilabelkan
sebagai negarawan kerana bertindak untuk menghapuskan kuasa penjajah yang mencampuri urusan
pentadbiran kuasa penjajah yang mencampuri urusan pentadbiran negeri Perak. Walaupun
pembunuhan tersebut tidak dibenarkan sama sekali dalam semua agama di dunia ini namun begitu ia
telah diterima oleh ahli-ahli sejarah sebagai tindakan yang betul melalui penggunaan unsur pengadilan
moral. Maharaja Lela telah dilabelkan sebagai pejuang kebangsaan walaupun terlibat dalam kegiatan
pembunuhan kerana bertindak ke atas penjajah British yang mencampuri urusan pentadbiran tempatan.

Selain itu ahli-ahli sejarah juga memberi perhatian kepada kejadian-kejadian sejarah dalam
menjatuhkan pengadilan moral. Misalnya Dr. Lim Teck Ghee ketika meninjau kejadian pengenalan
Rancangan Stevenson yang bertujuan menghadkan pengeluaran getah di Tanah Melayu dalam tahun
1920-an telah menuduh bahawa pihak berkuasa British telah berlaku tidak adil kepada para peladang
tempatan, baik di peringkat menggubal rancangan ini mahupun semasa rancangan itu dilaksanakan.
Mengikut Lim dorongan untuk menggubal rancangan ini berpunca dari desakan para paladang Eropah
yang memiliki estet-estet getah yang besar, sedangkan para pedagang tempatan yang memiliki ladang-
ladang yang kecil bukan sahaja tidak menyokong rancangan itu malah telah membantahnya oleh kerana
sedar bahawa kepentingan mereka akan terjejas. Rayuan-rayuan dari peladang tempatan pada amnya
tidak mendapat layanan yang saksama dari pihak berkuasa British. Jelaslah bahawa Lim Teck Ghee
dalam menjatuhkan pengadilan moral terhadap kejadian Rancangan Stevenson telah bertolak dari
tanggapan bahawa sesebuah kerajaan sepatutnya bertindak secara adil kepada semua golongan di
bawah jagaannya. Beliau menyelar pengenalan Rancangan Stevenson kerana kesan-kesan buruk dari
rancangan itu hanya ditanggung oleh para peladang tempatan.
Ahli-ahli sejarah juga menjatuhkan pengadilan moral ketika mengkaji hal-hal yang berkaitan
dengan institusi-institusi seperti perhambaan, feudalisme, kasta, gereja dan perlimen dan sebagainya.
Contohnya, Aminuddin Baki yang mengkaji institut perhambaan dalam masyarakat tradisional Melayu
telah mengutuk institusi itu sebagai “bukan sahaja kejam, tetapi pula satu cabaran secara langsung
kepada ajaran-ajaran Islam”. Aminuddin Baki juga mengutuk tuan-tuan hamba yang mengenepikan
peraturan yang wujud bertujuan menjaga kepentingan hamba-hamba berhutang itu. Misalnya,
peraturan yang tidak membenarkan tuan hamba memukul hambanya tidak dipatuhi. Menurut
Aminuddin Baki, tuan-tuan hamba yang terdiri darpada kaum istana dan pembesar negeri untuk
menjaga kepentingan mereka sendiri dengan menggunakan tenaga hamba sebagai pekerja tanah,
pengawal keselamatan, dayang-dayang, pelacur dan sebagainya yang menguntungkan pihak tuan
hamba.

Hal-hal lain yang diadili oleh ahli-ahli sejarah ialah pelaksanaan dasar-dasar oleh kerajaan.
Dalam hal ini ahli-ahli sejarah telah mengutuk sesuatu dasar kerajaan yang tidak mendatangkan
kelebihan kepada masyarakat tempatan. Sebagai contoh, R.O Winstedt dalam bukunya A History of
Malaya telah mengutuk sekeras-kerasnya dasar-dasar yang diamalkan oleh pemerintahan Jepun di
Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua kerana ia telah membawa pelbagai penderitaan kepada
masyarakat tempatan. Misalnya menggunakan tenaga buruh untuk membina landasan kereta api Siam
melalui Burma yang meragut nyawa beribu-ribu orang, merampas harta orang, mengeluarkan mata
wang secara berlebihan yang megakibatkan kenaikan harga barang-barang keperluan, mengenakan
cukai yang tinggi, memaksa kaum China untuk menderma sebanyak $50 juta kepada usaha perang Jepun,
dan gagal membanteras rasuah di kalangan kakitangan polis.

Ahli-ahli sejarah juga mengadili zaman untuk memberikan justifikasi dalam pengadilan moral.
Misalnya ahli-ahli sejarah yang mengkaji zaman penjajahan di Tanah Melayu telah melabelkan penjajah
sebagai pihak yang dating untuk menghakis sumber kekayaan negara dan berselindung dengan golongan
pemerintah untuk memegang teraju pentadbiran negeri. Ahli-ahli sejarah menganggap zaman
penjajahan merupakan zaman yang tidak menguntungkan bagi masyaraakt Tanah Melayu.

Kesimpulannya pengadilan moral memang dibolehkan dalam penulisan sejarah tetapi


bergantung kepada bukti yang tepat dan rumusan yang dibuat oleh ahli sejarah apabila menjatuhkan
pengadilan moral. Jelaslah bahawa soal pengadilan moral telah mendapat perhatian teliti dari ahli-ahli
sejarah. Perkara yang harus diadili telah dipilih secara wajar, bukti yang mencukupi mengenai apa yang
diadili itu telah disampaikan, dan kesimpulan diketengahkan sebagai titik kesudahan kepada kajian itu.

You might also like