You are on page 1of 3

Pengenalan projek

Tema yang digunakan untuk model ini ialah pembangunan bandar terancang yang
berkonsepkan teknologi hijau. Objektif pembangunan bandar ini adalah untuk menghasilkan
sebuah model bandar baru terancang yang mengaplikasikan konsep teknologi hijau dengan
mengambil kira sektor-sektor seperti tenaga, bangunan dan lain-lain. Perkara ini perlu dicapai
bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Teknologi hijau atau teknologi alam sekitar adalah penggunaan sains alam sekitar untuk
memulihara sumber dan alam sekitar semula jadi dan mengawal kesan negatif aktiviti manusia.
Pembangunan mampan adalah teras kepada teknologi alam sekitar yang bermaksud penyelesaian
perlu mengambil kira aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar. Kini, berasaskan teknologi
hijau,kami mengambil kesempatan untuk membina sebuah bandar terancang yang tidak lagi
mencemarkan alam.

Bandar ini terletak berhampiran dengan pantai yang jaraknya kira-kira perjalanan 5 minit
dengan motosikal. Cuaca yang berangin menyebabkan bandar ini memilih kincir angin yang
menggunakan sumber yang boleh diperbaharui dan tidak akan habis digunakan untuk
memperoleh tenaga di bandar ini. Selain itu, ia mempunyai kawasan yang bertanah pamah dan
sedikit berbukit di kawasan hujung bandar yang meliputi 1/7 daripada keseluruhan bandar.
Iklimnya pula bersuhu panas dan lembap sepanjang tahun. Pembangunan dilakukan tanpa
menggondolkan keseluruhan hutan dan hanya menebang sebahagian pokok untuk dijadikan
kawasan bandar. Dengan ini, pokok yang tidak ditebang dapat dijadikan kawasan hutan bandar
tanpa perlu menanam semula pokok yang baru.

Perkhidmatan yang tersedia di bandar ini adalah balai polis, balai bomba dan hospital.
Tram merupakan salah satu pengangkutan awam yang disediakan. Ia mempunyai dwifungsi iaitu
sebagai kemudahan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain di dalam bandar dan
seterusnya pengangkutan awam ini dimanfaatkan untuk menikmati keindahan hutan dengan
membuat laluan tram mengelilingi kawasan hutan. Dobi, kedai runcit dan kedai serbaneka
merupakan sektor perkhidmatan perumahan dibina bagi membantu suri rumah melengkapkan
keperluan rumah.

Terdapat pelbagai kemudahan misalnya pusat sisa dan air sisa, pusat pertanian, pusat
pendidikan, kawasan rekreasi dan hotel hijau. Dari sudut kejuruteraannya pula, bangunan
sekolah menengah dan sekolah rendah digabungkan sebagai pusat pendidikan bagi menjimatkan
ruang yang digunakan di dalam bandar. Bagi memudahkan jaringan pengangkutan, flyover
dibina di suatu kawasan di dalam bandar. Pengangkutan awam pula dibuat di tengah-tengah
bandar iaitu kawasan perumahan yang terdapatnya perkhidmatan untuk keperluan asas, sektor
pendidikan serta sektor perkilangan dan pertanian.

Pengudaraan di bandar ini bebas daripada sebarang asap industri seperti kilang-kilang
kerana ia menggunakan wet scrubber. Hal ini menyebabkan udara menjadi segar dan selamat
untuk dinikmati semua penduduk di kawasan bandar. Pusat sisa dan air sisa mempunyai empat
bangunan utama iaitu bangunan untuk sisa pepejal, sisa e-waste iaitu bahan elektronik, air sisa
penduduk dan air berbahaya yang dihasilkan oleh sektor perkilangan. Keunikan infrastruktur
yang dibina di bandar ini adalah homestay yang bertempat di pinggir hutan yang penuh dengan
flora dan fauna di sekelilingnya. Tambahan lagi, hotel dibina di kawasan hutan bandar bagi
memudahkan mereka yang ingin menikmati pemandangan hijau di samping bersiar-siar di
bandar. Pelan bandar hijau ini menjadikan kincir angin sebagai sumber utama tenaga elektrik
yang menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui dan tidak akan habis digunakan. Terdapat
kawasan tadahan hujan di atas bangunan pusat bandar yang hanya akan dibuka oleh pekerja-
pekerja jika hujan dan ditutup setelah hujan berhenti. Hal ini dapat mengelakkan pembiakan
nyamuk yang berkemungkinan membawa penyakit berbahaya seperti nyamuk Aedes yang
menyebarkan demam denggi. Hasil tadahan tersebut, airnya dijadikan sebagai penggunaan
sambilan contohnya menyiram pokok bunga, air untuk sinki dan lain-lain.

Bagi sektor pertanian, setiap tanaman tumbuh dengan sihat di dalam rumah hijau iaitu
sebuah bangunan khas untuk tanaman bagi mengelakkan udara yang kurang bersih atau air hujan
yang terlalu banyak yang berkemungkinan menyebabkabkan penyakit pada tanaman. Sistem
tanamannya pula menggunakan tanaman hidroponik bagi memastikan tumbuhan memperoleh air
yang mencukupi di samping mudah untuk mengurusnya. Bangunan utama dalam sektor
pertanian pula memasang panel solar di atas bumbung bagi mengurangkan penggunaan tenaga
yang dihasilkan oleh kincir angin untuk seluruh bandar.

Kesimpulannya, bandar ini memanfaatkan teknologi untuk menikmati flora dan fauna
secara optima sebagai tanda mensyukuri pemberian tuhan di samping mengelakkan sebarang
aktiviti haram yang akan memusnahkan kawasan hutan. Harapan kami adalah agar bandar yang
berasaskan teknologi hijau ini dapat membangun dengan pesat tanpa merosakkan alam
semulajadi terutamanya kawasan hutan dan hidupan yang mendiaminya.

You might also like