You are on page 1of 3

Ciri-ciri Murid Cemerlang

Kecemerlangan dalam bidang akademik merupakan idaman dan impian setiap pelajar.
Pelajar cemerlang merupakan aset negara. Golongan pelajar seperti inilah yang akan
mencorakkan masa depan negara.

Antara ciri utama pelajar cemerlang ialah pencapaian yang memberangsangkan dalam
bidang akademik. Pelajar cemerlang sentiasa memberikan tumpuan terhadap pelajaran dan
proses pembelajaran di sekolah. Pelajar seperti ini akan membuat persediaan awal bagi
menghadapi peperiksaan. Justeru, pelajar cemerlang akan belajar bersungguh-sungguh
untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti kata peribahasa kalau
tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Selain itu, pelajar cemerlang ialah pelajar yang mengutamakan disiplin diri. Disiplin
merupakan penentu kejayaan seseorang dalam kehidupan. Pelajar cemerlang sentiasa
mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak sekolah
mahupun ibu bapa. Oleh hal yang demikian, pelajar yang berdisiplin tidak akan mendekati
gejala sosial yang merugikan agama, bangsa dan negara.

Pelajar yang cemerlang juga merupakan pelajar yang cergas dalam kegiatan kokurikulum.
Pelajar cemerlang akan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti luar bilik darjah secara
aktif seperti kegiatan-kegiatan persatuan, badan beruniform, permainan dan sukan. Pelajar
cemerlang sedar bahawa penyertaan mereka dalam aktiviti tersebut akan dapat
menyihatkan tubuh badan mereka. Badan yang cergas akan membina otak yang cerdas.

Seterusnya pelajar cemerlang ialah pelajar yang bijak menguruskan masa kerana masa
itu emas. Pengurusan masa yang terancang membolehkan segala kerja dan program
berjalan dengan lancar. Pelajar seperti ini akan menyediakan waktu belajar peribadi di
rumah. Pelajar yang merancang jadual waktu sudah pasti dapat menyiapkan kerja rumah,
kerja kursus dan membuat ulang kaji secara sistematik.

Ijmalnya, mentimun dan pisau di tangan kita. Justeru, kitalah yang wajar mencorakkan
nasib dan masa depan kita, bukannya orang lain. Oleh itu, berusahalah membalas jasa
kedua-dua orang tua kita yang tersayang dengan menjadi pelajar cemerlang.

Ciri-ciri Murid Cemerlang


Setiap tahun apabila keputusan peperiksaan awam seperti UPSR diumumkan sudah pasti
akan muncul ribuan pelajar yang cemerlang. Apakah ciri-ciri pelajar cemerlang?

Pelajar yang cemerlang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa


mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar
yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar
adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada
suatu masa kelak.

Di samping itu, pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan
menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau
peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya
dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang
dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan
sebagainya lagi.
Selain itu, pelajar yang cemerlang perlu mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan
sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Contohnya
apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan
kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru
bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

Kesimpulannya, setiap pelajar mestilah berusaha untuk menjadi pelajar yang cemerlang
agar mereka berjaya dalam hidup kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Pendahuluan: konsep pelajar cemerlang, mengapa cemerlang, gambaran isi, peribahasa


Isi karangan: 1) cemerlang akademik - pencapaian pembelajaran, pencapaian peperiksaan
awam, lanjut pelajaran
2) cemerlang kokurikulum - penglibatan, perkhidmatan / sumbangan,
kepimpinan
3) cemerlang disiplin - patuh peraturan, tepat masa, tugas selesai
4) cemerlang sahsiah - asertif, sopan santun, boleh dipercayai
Penutup: kesimpulan am, saranan, harapan.

Karangan Penuh

Antara tajuk pilihan utama program motivasi ialah tentang ciri-ciri pelajar cemerlang.
Malah, kebanyakan organisasi yang berkaitan dengan pendidikan menjadikan ungkapan
pelajar cemerlang sebagai cogan kata utama. Pendek kata, ciri-ciri pelajar cemerlang
menjadi dambaan semua pihak sama ada pihak berkuasa pendidikan, masyarakat dan para
pemimpin semua peringkat. Pelajar cemerlang umpama benih yang baik, campak ke laut
menjadi pulau.

Ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan ialah dari segi pencapaian akademik.
Pelajar cemerlang akan sentiasa mengutamakan pembelajaran menerusi aktiviti terancang
di bilik darjah, dan pembelajaran kendiri serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik
darjah. Pelajar cemerlang sentiasa menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada
dalam diri mereka bagi memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka
menetapkan matlamat pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya.
Dengan itu, pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan.

Semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan terhadap


aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Pelajar cemerlang akan menunjukkan
motivasi pembelajaran yang maksimum dengan memberi kerjasama dan perhatian yang
tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang
datang daripada dalam diri sendiri, apatah lagi daripada pendapat yang bersifat songsang.
Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat dalam pembelajaran supaya
semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat sentimental dengan terlalu banyak
berharap tentang guru yang sempurna atau persekitaran bilik darjah yang sempurna.
Mereka mampu bertahan dalam iklim pembelajaran yang seadanya.

Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai


kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak
terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki banyak
idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang tidak cuba
berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin yang boleh
dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi, bukan dengan
tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana aktiviti
pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan sekadar melukut
di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.

Pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam peperiksaan awam.
Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi dibuktikan menerusi strategi dan
usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus
terhadap perancangan jawapan yang menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang
menggunakan segala pengalaman pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala
kehendak sukatan pelajaran yang menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan
awam. Dengan meletakkan sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar
cemerlang berpeluang mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang
diklasifikasikan sebagai kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di
institut pengajian tinggi terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij.

Pelajar cemerlang tidak rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata.
Mereka juga menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya
bidang kokurikulum ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti
kokurikulum ialah wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar
cemerlang menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat
kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati
aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada sebagai
pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian seragam,
permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan mengamalkan
sikap ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan sebarang aktiviti
kokurikulum.

Pelajar cemerlang juga sinonim dengan amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak
kisah jika digelar sebagai sebagai pelajar skema yang akur dengan segala peraturan
sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza dari segi penampilan dan tingkah laku,
pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang
sinikal, mahupun rakan yang kurang beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk
muncul sebagai peribadi rujukan yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya
bersikap positif dalam menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu
membutirkan tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang
disenangi. Pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa melaksanakan
sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Pelajar cemerlang tidak seperti "melepaskan batok
di tangga". Batok merujuk kepada bekas air basuhan kaki pada zaman dahulu yang
dilempar semula ke bawah setelah seseorang itu menaiki tangga tanpa turun semula.

Pelajar cemerlang juga menampilkan sahsiah yang mulia dan murni. Percakapan
mereka dihiasi dengan sopan santun bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan
akan berasa selamat dan dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-
baik, serta tidak mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia
biasa, pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba
melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada mana-
mana pihak.

Pelajar cemerlang selanjutkan menampilkan ciri asertif secara konsisten.


Maksudnya, mereka sentiasa mengimbangi hak diri sendiri dengan hak orang lain. Mereka
tidak bersikap agresif, iaitu hanya menjaga hak diri sendiri, atau bersikap permisif dengan
hanya mementingkan hak orang lain semata-mata. Sikap asertif bererti tegas diri. Dengan
sikap asertif, pelajar cemerlang sentiasa berupaya mempertahan pendirian, tetapi dalam
masa yang sama menghormati pendapat yang berbeza. Mereka menyedari bahawa rambut
sama hitam, tetapi hati lain-lain.

Kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang tinggi dari
segi akademik, kokurikulum, disiplin dan sahsiah. Mereka menepati ciri-ciri modal insan
minda kelas pertama yang disebut sebagai hala tuju pendidikan negara. Mereka menjadi
harapan negara untuk meletakkan daya saing negara di pentas antarabangsa. Pelajar
cemerlang tidak menganggap bahawa diri mereka serba sempurna, sebaliknya sentiasa
berusaha melakukan penambahbaikan. Maka, wajar sekali ciri-ciri pelajar cemerlang
dijadikan slogan dan tema untuk semua organisasi yang berkaitan dengan pendidikan.
Posted by CIKGU AZHAR RODZI at 6:07 AM

You might also like