You are on page 1of 1

CikguOsmanZaini_MAKRIFAT_bm_upsr

Faedah Menabung
Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang untuk masa hadapan.
Sikap suka menabung perlu dipupuk sejak kecil. Menabung memberi banyak faedah
kepada kita.
Antara kebaikan menabung ialah kita dapat mengamalkan sikap berjimatcermat. Oleh sebab itu, kita perlu merancang segala perbelanjaan harian. Kita
hendaklah membawa bekalan air dan makanan ke sekolah. Justeru, baki duit yang
diberi ibubapa dapat disimpan ke dalam tabung.
Apabila kita menabung, kita mempunyai wang simpanan. Wang simpanan ini
boleh digunakan untuk menampung wang perbelanjaan kita untuk melanjutkan
pelajaran ke universiti. Selain itu, wang simpanan juga membantu kita membeli
barang-barang keperluan diri kita sendiri. Ibu bapa pasti akan berasa bangga
dengan sikap kita yang pandai berjimat cermat dan berdikari itu.
Menabung juga dapat membantu keluarga apabila ditimpa kesusahan. Jika
kita sakit wang itu juga boleh digunakan untuk mendapatkan rawatan. Selain itu,
wang ini juga boleh digunakan jika ahli keluarga kita sakit atau ditimpa kemalangan.
Justeru kita tidak perlu meminta-minta kepada orang lain.
Menabung juga boleh menambahkan wang simpanan kita. Jika kita
menyimpan wang di dalam bank, kita akan mendapat sebahagian keuntungan atau
faedah bank. Wang ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan masa
hadapan. Justeru kita dapat hidup dengan selesa dan tidak menyusahkan orang
lain.
Sesungguhnya menabung adalah amalan mulia dan banyak manfaatnya. Bak
kata pepatah, 'ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis'. Oleh itu , mulalah
menabung dari sekarang kerana 'sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

You might also like