You are on page 1of 1

Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

Kewajaran Penggunaan Telefon Bimbit di Sekolah

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa
digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau di
mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon bimbit
juga memperkenalkan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS). Selain itu, kamera serta
pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin canggih
hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah
dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit
termasuklah murid-murid sekolah rendah. Walau bagaimanapun, penggunaan telefon bimbit di
sekolah boleh mendatangkan kemudaratan. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke
sekolah, mereka akan mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-
nunjukkan telefon yang dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam
diri pelajar yang masih setahun jagung itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga
akan berasa tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai
telefon bimbit.

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar kerana
mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat deringan telefon
bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan berhadapan dengan gangguan. Semasa
ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej berbentuk
jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan tidak adil
terhadap pelajar lain.

Natijahnya, melalui perbincangan yang disampaikan di atas, kita dapat mengetahui impak
penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-
perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para pelajar menggunakan telefon bimbit apabila
dewasa nanti kerana telefon bimbit memerlukan kos penggunaan yang tinggi. Namun demikian,
semua hal ini tertakluk kepada diri individu itu sendiri bak peribahasa tepuk dada tanyalah
selera.

You might also like