You are on page 1of 6

SOALAN TOPIK 10: PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

1. Huraikan konsep asas beserta tujuan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS)


yang dilaksanakan oleh KPM.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah merupakan suatu pentaksiran yang bersifat holistik


yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan
psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Ia juga dilaksanakan di sekolah
secara terancang mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Lembaga
Peperiksaan. Seterusnya, PBS juga dikendalikan oleh pihak sekolah serta
dilaksanakan secara berterusan oleh guru mata pelajaran sewaktu proses
pengajaran dan pemudahcara berlangsung.

Tujuan PBS dilaksanakan adalah bagi mentaksir bidang akademik dan bukan
akademik murid. Melalui PBS juga, guru akan mendapatkan gambaran secara
keseluruhan tentang potensi murid. Selain itu, guru juga dapat memantau
pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi murid di samping dapat
membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran murid.

2. Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) merupakan penambahbaikan kepada


proses pentaksiran sedia ada yang dilaksanakan bagi memantau potensi murid
secara menyeluruh. Terangkan ciri-ciri utama pentaksiran berasaskan sekolah
dengan terperinci.

Ciri-ciri utama pentaksiran berasaskan sekolah ialah bersifat formatif dan berterusan.
Ini membolehkan murid berpeluang untuk meningkatkan pencapaian dan
memperbaiki skor mereka. Ciri seterusnya, guru diberikan autonomi untuk
melaksanakan pentaksiran mengikut kaedah yang dipilih. PBS juga mestilah
berasaskan kriteria iaitu mengikut hasil pembelajaran yang telah ditentukan. Selain
itu, PBS juga mempunyai ciri-ciri bagi menekankan perkembangan individu iaitu
berdasarkan kemampuan individu dan bukannya untuk perbandingan antara individu.
3. Bincangkan perbezaan antara pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dengan
pentaksiran sedia ada yang dijalankan sebelum ini.

PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek jasmani,
emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih
memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan
mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep
assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama
pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir
pembelajaran yang merupakan assessment of learning.

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran


Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk
melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian
prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang
sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang
dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut
tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid
dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan
menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam
pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan
pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat
meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan
orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan


- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran
murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan
murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.
4. Terangkan jenis pentaksiran yang sesuai digunakan untuk menguji kebolehan
murid-murid di sekolah. Berikan contoh ujian yang sesuai.

Jenis pentaksiran yang sesuai digunakan untuk menguji kebolehan murid-murid di


sekolah ialah pentaksiran akademik iaitu pentaksiran pusat dan pentaksiran sekolah
seperti ujian bulanan serta pentaksiran bukan akademik iaitu pentaksiran aktiviti
jasmani, sukan dan kokurikulum selain pentaksiran psikometrik seperti ujian SEGAK.

5. Cikgu Hamid mengajar pendidikan jasmani murid tahun 5. Bagaimanakah cara


yang sesuai untuk melakukan pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan
kokurikulum (PAJSK) bagi murid-murid tersebut.

Cara yang sesuai untuk melakukan pentaksiran aktivit jasmani, sukan dan
kokurikulum (PAJSK) bagi murid-murid tersebut adalah sebelum murid-murid
menjalani latihan sukan lari berganti, mereka dikehendaki untuk mengukur BMI dan
menjalani ujian segak terlebih dahulu. Kemudian setelah lulus ujian tersebut, murid-
murid dibenarkan untuk melaksanakan lari berganti. Kemudian, murid-murid yang
lulus ujian segak juga dilatih dalam pertandingan kawad kaki unit beruniform masing-
masing.

6. Pentaksiran sekolah sangat sesuai digunakan sebagai pentaksiran untuk


pembelajaran (assessment for learning). Cadangkan proses yang paling sesuai
untuk melakukan pentaksiran sekolah yang menjurus kepada kemaslahatan
dan mencapai standard prestasi yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan.

Proses Pentaksiran sekolah yang boleh dilaksanakan ialah mengenal pasti konstruk
atau perkara yang hendak ditaksir. Guru hendaklah merujuk standard prestasi yang
ditetapkan. Oleh demikian guru boleh merancang, memilih serta membina dan
mentadbir instrumen pentaksiran yang memberi peluang kepada murid
mempamerkan atau mempersembahkan hasil kerja yang relevan dan tepat. Dengan
cara ini instrumen yang ditadbir adalah mengikut landasan dan kehendak standard
prestasi yang telah ditetapkan. Seterusnya, guru hendaklah menilai hasil kerja murid
berdasarkan deskriptor dan evidens yang terdapat dalam standard prestasi bagi
menentukan tahap penguasaan murid. Dengan merujuk paduan deskriptor dan
evidens tersebut, ianya bebas dari sebarang unsur bias. Selain itu, guru mestilah
memberikan maklum balas kepada murid tentang prestasi mereka berdasarkan
kekuatan dan kelemahan serta merancang dan melaksanakan langkah
penambahbaikan. Oleh itu, murid dapat memperbaiki kelemahan mereka yang dapat
dikenalpasti.

7. Pelaksanaan PBS didapati memberi kesan negatif kepada sesetengah pihak.


Bincangkan kelemahan dalam pelaksanaan PBS di sekolah.

PBS juga terdapat kelemahannya. Antaranya, sistem pendidikan Malaysia yang


bersifat berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan digubal pada
peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah. Dalam konteks pendidikan di
Malaysia, kebanyakan pentadbir atau guru tidak mempunyai pilihan melainkan
terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Pengupayaan kepada
sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu mengikuti satu sistem, prosedur
dan pendekatan yang seragam dan tidak mengambil kira kemampuan, keupayaan
khusus dan potensi untuk sekolah melaksanakan dasar dan program pendidikan
sendiri. Sebagai contohnya, apabila program Kelas Intervensi Awal Membaca dan
Menulis (KIA2M) diperkenalkan, guru mata pelajaran bahasa Malaysia dan subjek
teras lain terpaksa bertungkus lumus memberi perhatian kepada pelajar yang terlibat
dalam program berkenaan. Guru juga terpaksa membahagikan masa antara
mengajar murid kelas perdana dan murid program KIA2M selain daripada terpaksa
mengikuti kursuskursus dalaman yang berkaitan dengan program berkenaan.
Bagaimanapun, baharu saja guru yang terlibat dalam program berkenaan berusaha
meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan program tersebut, akhirnya ia
dimansuhkan dan digantikan dengan program Literacy and Numeracy Screening
(LINUS). Maka sekali lagi guru-guru terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa
yang jelas, banyak masa guru diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran dalam pelaksanaan sesuatu program berbanding masa untuk
melaksanakannya.

Isu kekangan ruang dan masa juga boleh menyukarkan usaha transformasi ke atas
program kurikulum atau kokurikulum yang hendak dilaksanakan. Pelaksanaan P & P
terancang di luar kelas sukar terutamanya bagi sekolah menumpang dan sekolah-
sekolah dua sesi yang menghadapi kekangan ruang. Kekangan ruang dan masa
memerlukan kepimpinan yang kreatif untuk mewujudkan dan memantapkan budaya
ownership. Kekurangan guru juga amat ketara di sekolah ekoran daripada kursus
anjuran PPG atau JPN dan juga program ko-kurikulum peringkat gabungan dan
negeri yang diadakan secara berterusan. Guru-guru terpaksa meninggalkan sekolah
dan akibatnya P & P terganggu. Semangat sepasukan sukar disemai kerana wujud
rasa tidak puas hati dalam kalangan guru yang asyik mengganti kelas mereka yang
sering berurusan rasmi di luar kawasan sekolah. Manakala guru-guru yang sering
keluar pula tidak berupaya untuk menjual beli mahupun membuat kelas tambahan
kerana kekangan tempat dan masa dan merasakan diri mereka tidak dihargai oleh
pemimpin sedangkan mereka telah memberi sumbangan kepada organisasi.

Tambahan lagi, sistem PBS ini juga mendatangkan kesulitan kepada guru sewaktu
ingin memasukkan markah ke dalam talian. Bagi guru yang bertugas di pedalaman,
masalah rangkaian internet merupakan faktor utama kelemahan sistem PBS ini.
Mereka perlu menunggu sehingga lewat malam bagi memasukkan markah pelajar ke
dalam sistem. Bagi ibu bapa yang kurang berkemahiran dalam teknologi dan
maklumat sudah tentu tidak dapat memantau perkembangan anak-anak mereka. Hal
ini menyebabkan mereka tertanya-tanya tentang perkembangan pelajaran anak-anak
mereka. Hal ini juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengetahui prestasi semasa
anak-anak dan membantu anak-anak mereka untuk mempertingkatkan prestasi
dalam pelajaran. Sistem band juga memeningkan ibu bapa. Pengetahuan tentang
sistem PBS yang tidak diambil kisah oleh ibu bapa  dan kurang maklumat yang
diberikan oleh pihak sekolah dan kerajaan menyebabkan mereka tidak tahu di mana
tahap penguasaan dan prestasi anak mereka. Hal ini mendatangkan kesan
sampingan kepada peningkatan prestasi pelajar.

8. Rekod dan pelaporan adalah perkara asas dalam mendapatkan gambaran


kemajuan murid dalam pelajaran. Huraikan alat yang sesuai digunakan bagi
melaksanakan pelaporan murid berdasarkan pelaksanaan PBS di sekolah.

Alat yang sesuai digunakan bagi melaksanakan pelaporan murid berdasarkan


pelaksanaan PBS di sekolah ialah Sistem Aplikasi Pengurusan Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (SPPBS). Ia bagi membantu guru menguruskan data PBS
seperti pengumpulan markah pencapaian, pemprosesan data dan pelaporan
berkaitan PBS agar dilaksanakan dengan cekap dan berkesan di semua peringkat
sekolah, JPN dan Lembaga Peperiksaan.

You might also like