You are on page 1of 3

Sebab-sebab masalah obesiti dalam kalangan pelajar

Secara amnya, obesiti merupakan pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan
seseorang. Hal ini terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi keterlaluan. Lebih teruk lagi, obesiti boleh
mengganggu dan mencederakan organ-organ badan dan seterusnya akan menyebabkan masalah
kesihatan yang serius. Berat badan berlebihan dikaitkan dengan risiko yang tinggi jika mengalami
masalah perubatan seperti diabetes dan penyakit jantung. Selain daripada mengehadkan kegiatan
fizikal dan sosial, jangka hayat penghidapnya juga semakin pendek.

Masalah obesiti kini semakin berleluasa dalam kalangan pelajar. Obesiti merupakan penyakit kedua
paling umum di Malaysia selepas penyakit jantung. Kajian menunjukkan bahawa 15% daripada
kanak-kanak berusia 12 - 19 tahun mempunyai masalah berlebihan berat badan dan kegemukan.
Masalah ini lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang berasal daripada keluarga miskin kerana
kurangnya kesedaran terhadap pentingnya mempunyai berat badan yang ideal berbanding dengan
keluarga kaya.

Apakah sebab-sebab masalah obesiti dalam kalangan remaja? Antaranya ialah cara pemakanan
yang tidak seimbang. Seimbang bermakna nilai kalori dan tenaga yang diperolehi mestilah berada
pada kadar yang sama dengan jumlah tenaga yang dikeluarkan. Tenaga atau kalori akan diperoleh
melalui pemakanan dan hanya akan dikeluarkan melalui aktiviti-aktiviti, senaman dan sebagainya.
Remaja lazimnya meminati makanan ringan seperti keropok, mi segera dan minuman berkarbonat
serta makanan yang tinggi dengan kandungan lemak. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya
makanan-makanan ini mengandungi kandungan kalori yang tinggi. Berat badan seseorang akan
bertambah apabila mereka makan lebih daripada apa yang boleh dibakar oleh badan dan kalori yang
berlebihan ini akan disimpan sebagai lemak. Peningkatan berat badan dan kegemukan serta obesiti
yang berpunca daripada pengambilan kalori yang berlebihan tidak akan berlaku dalam beberapa
hari atau minggu tetapi lemak dalam badan akan terkumpul dan tersimpan selama beberapa bulan
dan tahun. Bagi memastikan berat badan sentiasa berada pada BMI atau berat normal yang ideal,
seseorang perlulah memastikan bahawa nilai tenaga yang ada di dalam tubuh berada pada kadar
yang normal dan seimbang.

Selain itu, tempoh tidur juga boleh menyumbangkan kepada masalah obesiti. Sekiranya seseorang
terlebih tidur, individu tersebut cenderung mendapat penyakit obesiti. Sekiranya seseorang kurang
tidur, masalah yang sama akan dihadapi iaitu risiko pertambahan berat badan. Hormon yang
dikeluarkan oleh tubuh semasa tidur akan mengawal kadar selera makan dan kadar penggunaan
tenaga yang ada di dalam tubuh. Contohnya, hormon insulin akan mengawal kandungan gula di
dalam tubuh ketika seseorang sedang tidur. Oleh itu, sekiranya seseorang kurang mendapat tidur,
nilai kandungan tenaga dan gula yang ada di dalam tubuh hampir sama dengan penghidap penyakit
diabetes. Sekiranya remaja kurang mendapat tidur secara berterusan, mereka akan memiliki sejenis
hormon yang tinggi di dalam badan yang dipanggil sebagai ghrelin. Hormon ghrelin ini merupakan
hormon yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kadar selera makan seseorang. Pada masa
yang sama, apabila seseorang kurang mendapat tidur, individu tersebut juga akan memiliki
kandungan hormon leptin yang rendah di dalam tubuh. Hormon leptin ini bertanggungjawab untuk
menahan selera makan.

Di samping itu, sejarah keluarga juga boleh menyebabkan penyakit obesiti. Kegemukan boleh
diturunkan daripada generasi sebelumnya kepada generasi berikutnya di dalam sesebuah keluarga.
Hal inilah sebabnya kita seringkali menemui ibu bapa yang gemuk cenderung memiliki anak-anak
yang gemuk juga. Dalam hal ini, nampaknya faktor genetik telah ‘ikut campur’ dalam menentukan
jumlah unsur sel lemak di dalam tubuh. Hal ini demikian kerana pada ketika ibu yang obesiti
sedang hamil, maka unsur sel lemak yang berjumlah besar dan melebihi ukuran normal, secara
automatik akan diturunkan kepada bayi sewaktu dalam kandungan. Maka, tidak hairanlah apabila
bayi yang lahir pun memiliki unsur lemak tubuh yang secara relatifnya sama besar.

Selain itu, faktor psikologikal termasuk pengaruh emosi, tekanan perasaan, kebimbangan dan
kebosanan juga boleh menyebabkan penyakit obesiti. Golongan remaja merupakan insan yang
sedang mengalami proses tumbesaran dan masih belum cukup matang untuk membuat keputusan
untuk diri mereka. Golongan remaja biasanya mengalami masalah keluarga, pelajaran dan cinta.
Suatu pandangan popular adalah bahawa obesiti bermula daripada masalah emosi yang tidak dapat
diatasi. Orang-orang obesiti ‘dahaga’ akan kasih sayang seperti kanak-kanak yang menganggap
bahawa makanan adalah simbol kasih sayang ibu atau makan lebih daripada hadnya adalah sebagai
elemen atau unsur untuk pengganti kepuasan lain yang tidak tercapai dalam kehidupannya.

Seterusnya, remaja semakin membesar dan proses pembelajaran mereka akan menjadi semakin
susah dan rumit. Tambahan pula, ibu bapa menginginkan setiap anak mereka agar mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Bagaimanakah mereka memastikan anak mereka
lulus dengan cemerlang? Mereka akan memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa
mereka belajar dan menghantar anak-anak ke pusat tuisyen walaupun jadual anak-anak sudah padat
dengan aktiviti-aktiviti lain terutama sekali aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini menyebabkan
golongan remaja mengalami tekanan dan stres yang berlebihan dan hal ini boleh meningkatkan
selera makan mereka.

Sebahagian orang yang mengalami berat badan yang berlebihan tidak terganggu secara psikologi
dibandingkan dengan orang yang memiliki berat badan secara normal. Meskipun banyak pendapat
yang mengatakan bahawa orang gemuk biasanya tidak bahagia, namun sebenarnya
ketidakbahagiaan tekanan batinnya adalah disebabkan oleh kegemukannya. Hal tersebut kerana
dalam sesebuah masyarakat, seringkali orang yang bertubuh kurus disamakan dengan kecantikan,
sehingga orang gemuk berasa malu dengan penampilan dan kesukaran mereka mengendalikan diri
terutama dalam hal yang berhubung dengan perilaku makan. Orang gemuk seringkali mengatakan
bahawa mereka cenderung makan lebih banyak apabila mereka dalam keadaan tegang atau cemas
dan eksperimen membuktikan kebenarannya. Orang gemuk makan lebih banyak dalam suatu
keadaan yang sangat mencengkam atau menekan manakala orang yang mempunyai berat badan
normal akan berada dalam keadaan yang kurang mencengkam atau menekan (McKenna, 1999).
Suatu kajian yang dilakukan oleh White (1977) pada sekumpulan orang dengan berat badan
berlebihan dan sekumpulan orang dengan berat badan yang kurang dengan menyajikan kerepek
(makanan ringan) setelah mereka menonton empat jenis filem yang mengundang emosi yang
berbeza, iaitu filem yang tegang, ceria, merangsang ghairah seksual, dan sebuah ceramah yang
membosankan menunjukkan perbezaan. Pada kumpulan yang mempunyai berat badan yang
berlebihan, didapati bahawa mereka lebih banyak menghabiskan kerepek setelah menyaksikan
filem yang tegang dibandingkan setelah menonton filem yang membosankan sedangkan pada
kumpulan yang mempunyai berat badan kurang, selera makan kerepek tetap sama setelah menonton
filem yang tegang mahupun filem yang membosankan.

Di samping itu, pengaruh budaya sosial dan sekeliling menjejaskan tabiat pemakanan remaja. Pada
zaman globalisasi ini, semakin banyak rancangan di televisyen yang menyiarkan pelbagai jenis
makanan dan diet yang tidak seimbang. Remaja merupakan golongan yang cenderung melakukan
sesuatu yang baru. Apabila mereka menonton rancangan seperti 'Hot Guys Who Cook', 'MasterChef'
dan 'Top Chef', mereka akan mencuba cara pemakanan negara barat yang tidak sihat seperti daging-
daging yang berlemak dan tingginya risiko mendapat penyakit obesiti kerana diet pemakanan yang
tidak seimbang.
Tahap pengeluaran tenaga tubuh sangat peka terhadap pengendalian berat tubuh. Pengeluaran
tenaga bergantung kepada dua faktor, iaitu tahap aktiviti dan sukan secara umum dan angka
metabolisme atau tahap tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh.
Daripada kedua-dua faktor tersebut, metabolisme mempunyai tanggungjawab dua pertiga daripada
pengeluaran tenaga orang yang normal. Meskipun aktiviti fizikal hanya mempengaruhi satu pertiga
pengeluaran tenaga seseorang dengan berat normal, tetapi bagi orang yang memiliki kelebihan berat
badan, aktiviti mempunyai peranan yang sangat penting. Pada waktu bersukan kalori terbakar,
makin banyak bersukan, maka semakin banyak kalori yang hilang. Kalori secara tidak langsung
mempengaruhi sistem metabolisme. Orang yang duduk bekerja sehari-harian akan mengalami
penurunan metabolisme tubuhnya. Kekurangan aktiviti ‘gerak’ akan menyebabkan suatu siklus
yang hebat. Obesiti membuatkan aktiviti sukan menjadi sangat sukar serta kurang dinikmati dan
kurangnya sukan secara tidak langsung akan mempengaruhi penurunan metabolisme tubuh individu
tersebut. Oleh itu, sukan sangat penting dalam penurunan berat badan, bukan sahaja kerana dapat
membakar kalori, malahan dapat membantu metabolisme agar berfungsi dengan normal.

Seterusnya, kerosakan pada salah satu bahagian otak juga boleh menyebabkan penyakit obesiti.
Sistem pengawal yang mengatur perilaku makan terletak pada suatu bahagian otak yang disebut
‘hipotalamus’, sebuah kumpulan inti sel dalam otak yang berhubungan dengan bahagian-bahagian
lain daripada otak dan kelenjar di bawah otak. ‘Hipotalamus’ mengandungi lebih banyak pembuluh
darah dari bahagian lain di dalam otak, sehingga lebih mudah dipengaruhi oleh unsur kimia
daripada darah. Dua bahagian ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan, iaitu
‘hipotalamus lateral’ yang meningkatkan nafsu makan manakala 'hipotalamus ventromedial'
bertugas dalam mengekang nafsu makan. Daripada hasil kajian, didapati bahawa apabila
‘hipotalamus ventromedial’ rosak atau hancur, maka individu akan menolak untuk makan atau
minum dan akan mati kecuali dipaksa untuk makan dan minum dengan memberi infus sedangkan
apabila kerosakan terjadi pada bahagian ‘hipotalamus ventromedial’, maka seseorang akan menjadi
rakus atau gelojoh dan kegemukan akan berlaku.

Kesimpulannya, terdapat banyak sebab yang menyebabkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar.
Setiap pelajar haruslah bijak mengatur masa tidur, mengawal emosi dan mengamalkan diet
pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan agar menjadi seorang pelajar yang holistik
dan seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani. Dengan ini, barulah Malaysia dapat
mengurangkan kadar masalah obesiti yang semakin meningkat di negara kita. Bersama-samalah kita
hidup secara sihat. Badan cergas, otak cerdas.

Sumber

1. Internet
a) http://virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=50089
b) http://sangmentari.wordpress.com/2010/04/18/10-punca-kegemukan/

2. Artikel – Utusan Sarawak bertarikh 18 Mac 2012, bertajuk 'Obesiti – Di kalangan kanak-
kanak membimbangkan'

3. Orang sumber – Bapa ( Gilbert Rusin)

You might also like