You are on page 1of 3

1.

0 Pengenalan
Teori Pembelajaran Humanistik merupakan teori yang melihat manusia sebagai makhluk
yang istimewa dan tidak serupa dengan haiwan. Teori ini juga menekankan bahawa kajian
secara menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap setiap individu. Hal ini demikian kerana
menurut Teori Humanistik, seseorang manusia akan bertindak berdasarkan keperluan, motivasi
dan nilai. Salah seorang pelopor kepada teori ini ialah Carl Rogers.

2.0 Konsep Utama Teori Pembelajaran Humanistik

Menurut Noriati, Boon dan Sharifah (2017), Rogers berpendapat bahawa setiap
manusia adalah baik dan sentiasa mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai
keupayaan diri masing-masing. Hal ini menjelaskan bahawa setiap individu boleh
mengembangkan diri dengan sendirinya apabila termotivasi. Dalam konteks kesesuaian di bilik
darjah, teori ini menyatakan setiap murid mempunyai potensi diri yang tersendiri. Mereka akan
terdorong untuk membawa bakat dan potensi masing-masing ke tahap yang lebih tinggi
sekiranya ada motivasi intrinsik untuk memajukan diri. Hal ini disokong oleh Norlia, T.Subahan,
Meerah dan Kamisah (2011) menerusi kajian mereka yang menyatakan motivasi mempunyai
hubungan dengan amalan gaya pembelajaran murid. Motivasi dalaman akan menyumbang
kepada gaya pembelajaran yang mendalam. Oleh itu, bagi mengaplikasikan teori ini di dalam
bilik darjah, guru seharusnya memberi sokongan kepada murid untuk meneroka potensi diri
masing-masing dan tidak boleh menyekat mereka untuk meneruskan bakat yang tersedia ada
supaya mereka menjadi insan yang berguna di masa hadapan. Hal ini disokong oleh Noriati
et.al. (2017) yang menyatakan jika potensi tersebut dijuruskan ke arah yang betul, ia akan
berkembang secara positif sama ada dari segi rohani dan juga jasmani.

Selain itu, Rogers mengemukakan bahawa seseorang itu tidak boleh mengajar
individu lain secara langsung tetapi hanya boleh membimbing pembelajarannya sahaja.
Prinsip ini amat bersesuaian untuk digunakan oleh guru kepada murid di dalam darjah. Hal ini
selaras dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK 21) yang diperkenalkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia. Dalam PAK 21, guru berfungsi sebagai fasilitator untuk memastikan
kelangsungan pembelajaran berpusatkan murid. Melalui teori ini, guru perlu membimbing setiap
murid dalam menjayakan setiap tugasan. Oleh hal yang demikian, guru perlu mewujudkan
suasana pembelajaran yang membolehkan murid untuk berkomunikasi bagi memastikan segala
tugasan di dalam bilik darjah dapat dilaksanakan secara kolaboratif. Kaedah ini lebih efisien
berbanding sistem pembelajaran konvensional yang hanya melibatkan guru sahaja memberi
input kepada murid. Hal ini disokong oleh Kamarul dan Norhafizah (2013), yang menyatakan
bahawa sistem interaksi dua hala lebih memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran
kerana kaedah ini bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman murid malah turut
membantu murid untuk lebih mudah mengingati apa yang dipelajari.

Seterusnya, menurut Noriati et.al. (2017), seseorang akan berasa kurang terancam
apabila struktur dan organisasi diri kurang rigid melalui Teori Humanistik Carl Rogers. Hal
ini bermaksud guru tidak perlu menetapkan satu garis panduan yang khusus seperti memaksa
murid belajar mengikut cara guru tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Tindakan tersebut akan mengakibatkan murid berasa terancam dan kurang fleksibel untuk
belajar. Berdasarkan prinsip Teori Humanistik oleh Carl Rogers, guru perlu memberi
keselesaan kepada murid untuk belajar. Guru seharusnya tidak memberi paksaan atau tekanan
diberikan kepada murid ketika belajar. Sebagai contoh, guru tidak boleh mengkritik segala hasil
kerja atau pandangan yang diberikan oleh murid sebaliknya menjadi pendorong kepada mereka
untuk memajukan diri ke arah yang lebih baik. Hal ini disokong oleh Uci (2013), yang
mengatakan bahawa sesuatu pembelajaran akan menjadi lebih mudah untuk disimpan dan
diproses oleh murid apabila mereka bebas daripada ancaman. Hal ini kerana apabila proses
pembelajaran berjalan dengan lancar, maka murid dapat melakukan penerokaan terhadap ilmu
baru dan tidak takut sekiranya melakukan kesalahan sepanjang proses penerokaan kertana
bebas daripada sebarang kritikan yang mampu menyebabkan mereka berputus asa.

3.0 Penutup

Secara keseluruhannya, prinsip-prinsip utama Teori Humanistik Carl Rogers sangat


sesuai diaplikasikan oleh guru kepada pengajaran dan pembelajaran murid. Oleh hal yang
demikian, seorang guru perlu memahami dan meneliti prinsip-prinsip utama tersebut secara
mendalam dan terperinci seterusnya mengaplikasikannya dengan baik kepada murid-murid di
sekolah tanpa mengenal latar belakang mereka.
4.0 Rujukan

Norlia Abd. Aziz T. Subahan M., Meerah Lilia Halim & Kamisah Osman. Jurnal Pendidikan
31 (2006) 123 - 141 123 Hubungan Antara Motivasi, Gaya Pembelajaran Dengan
Pencapaian Matematik Tambahan Pelajar Tingkatan 4 diakses daripada
http://eprints.utm.my/id/eprint/11875/1/Hubungan_Antara_Tahap_Motivasi_Dengan_Pen
capaian_Akademik_Pelajar_Pendidikan_Jarak_Jauh_Universiti_Sains_Malaysia.pdf
pada 28 Mac 2019

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan
Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar.

Jasmi, K. A. & Salleh, N. (2013). Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Berpusatkan


Pelajar dalam Kecemerlangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam dan Guru di Sekolah
Menengah: Satu Kajian Kes (Teaching and Learning-Centered Approach Student
among Islamic Education Outstanding Teacher and Teachers in
Secondary Schools: A Case Study) in 3d International Conference on Islamic
Education 2013 [ICIED2013]) at EPF Institute, Selangor, Malaysia diakses daripada
https://www.researchgate.net/publication/293097633_Pendekatan_Pengajaran_dan_Pembelaja
ran_Berpusatkan_Pelajar_dalam_Kecemerlangan_Guru_Cemerlang_Pendidikan_Islam_dan_G
uru_di_Sekolah_Menengah_Satu_Kajian_Kes pada 28 Mac 2019

Uci Sanusi.(2013). Pembelajaran Dengan Pendekatan Humanistik. Jurnal Pendidikan Agama


Islam Ta’lim Vol.11 No.2-2013. Indonesia. Diakses daripada
http://jurnal.upi.edu/file/04_Pembelajaran_dengan_Pendekatan_Humanistik_-_Uci_Sanusi.pdf
pada 28 Mac 2019

You might also like