You are on page 1of 7

TRANSKRIP VIDEO RUJUKAN KURSUS FALSAFAH DAN ISU SEMASA

KULIAH 3: LOGIK DAN METODOLOGI


TEMUBUAL NURFA FAILASUF (PENGACARA) DAN
PROF. HAZIM SHAH (PENSYARAH UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)

NURFA FAILASUF: Hai, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Hari ini kembali kita di Kuliah
Ketiga. Apa itu Kuliah Ketiga? Kuliah Ketiga ialah tentang Logik dan Metodologi. Untuk bermula, kita
lihat semua orang berfikir. Semua orang mempunyai cara berfikir. Tetapi dalam konsep falsafah ada
kaedah-kaedah berfikir. Jadi Prof. Hazim, Nurfa ada satu soalan. Bagaimanakah kaedah berfikir yang
dianjurkan dalam ilmu falsafah? Boleh Prof. terangkan kepada kita.

PROF. HAZIM SHAH: Terima kasih saudari Nurfa atas soalan itu mengenai berfikir, cara berfikir
ataupun kadar berfikir dalam ilmu falsafah. Jadi, dalam ilmu falsafah, cara atau kaedah befikir itu
dikaitkan dengan logik iaitu satu lagi cabang falsafah. Dalam logik, ada dua jenis logik iaitu Logik
Deduktif dan Logik Induktif. Sebelum itu saya jelaskan sikit apa yang kita maksudkan dengan apakah
itu logik dan kaitkan dengan cara berfikir yang ditanya mengenai cara berfikir menurut falsafah.

Jadi, logik itu adalah satu kajian mengenai penghujahan atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil
arguments. Logic is the study of arguments. Apakah sesuatu yang dimaksudkan mengenai
penghujahan (arguments)? Sesuatu yang terdiri daripada dua bahagian ayat iaitu pertama bahagian
yang dipanggil premis. Premis-premis ini menyokong apa yang dipanggil sebagai kesimpulan. Jadi, ada
dua bahagian disitu, pertama dipanggil premis dan satu lagi dipanggil kesimpulan. Logik adalah kajian
mengenai kaitan antara premis dan kesimpulan dan sama ada kesimpulan itu ditarik dengan secara
betul ataupun dengan secara sah daripada premis-premis yang dikemukakan.

NURFA FAILASUF: Akhir kata, logik adalah pengkajian tentang argument. Argument yang terdiri
daripada premis dan kesimpulan. Dalam falsafah logik terbahagi kepada logik deduktif dan logik
induktif. Boleh Prof. terangkan kepada Nurfa apa itu logik deduktif?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, terima kasih Nurfa atas soalan tersebut diminta saya menjelaskan logik
deduktif dahulu. Dalam logik deduktif, kita dapati terdapat premis-premis dan kesimpulan yang ditarik
daripada premis tersebut dan dalam logik deduktif yang sah (valid), didapati bahawa salah satu
sifatnya ialah jika premis-premisnya benar maka kesimpulan yang ditarik daripada premis tersebut
mestilah benar. Saya jelaskan dengan memberikan satu contoh di sini iatu dalam logik deduktif
terdapat sekurang-kurangnya dua atau lebih premis dari mana kesimpulannya ditarik. Dalam premis
yang pertama biasanya wujud satu pernyataan yang umum ataupun universal argument dan didalam
premis yang kedua tidak semestinya ada satu universal argument atau premis yang umum tetapi
sebaliknya satu pernyataan yang khusus dan contohnya ialah begini. Premis yang pertama yang
mengandungi pernyataan umum itu ialah satu pernyataan seperti “semua manusia mempunyai
jantung”. Itu premis pertama. Premis kedua pula mengatakan bahawa “Ali ialah seorang manusia”.
Jadi dari premis-premis tersebut saya boleh menarik kesimpulan bahawa “Ali juga mempunyai
jantung”. Jadi disini kita lihat bahawa sekiranya benar bahawa “semua manusia mempunyai jantung”
dan sekiranya benar seperti dinyatakan premis kedua bahawa “Ali juga seorang manusia” maka tidak

1
boleh tidak kita harus menarik kesimpulan bahawa “Ali semestinya mempunyai jantung”. Ini adalah
kerana jika kenyataan yang menyatakan bahawa “semua manusia itu mempunyai jantung” adalah
benar dan kenyataan “Ali ialah seorang manusia” adalah benar, maka kita tidak boleh lari daripada
membuat kesimpulan bahawa “Ali juga mempunyai jantung”. Jadi, itu contoh dalam penerangan saya
mengenai logik deduktif.

NURFA FAILASUF: Prof., bolehkah saya bagi satu contoh logik deduktif dan kalau betul Prof. terima
dan kalau tak betul maka Prof. betulkanlah. Logik deduktifnya begini. Premis pertama ialah “semua
manusia akan mati” dan premis kedua pula “Ali seorang manusia”. Maka kesimpulannya “Ali akan
mati”. Betul tak Prof. contoh logik deduktif ini?

PROF. HAZIM SHAH: Ya, Nurfa telah berikan satu contoh logik deduktif yang saya anggap betul yang
jelas dan baik kerana disitu terdapat dua premis dan satu kesimpulan. Premis yang pertama itu yang
mengatakan bahawa “semua manusia akan mati” adalah satu ayat ataupun pernyataan yang umum
darimana kita dapati ianya berbeza daripada premis yang kedua yang berupa satu pernyataan khusus
yang mengatakan bahawa Ali ialah seorang manusia dan dari premis-premis tersebut maka ditarik
kesimpulan bahawa “Ali juga akan mati” dan disitu kita lihat ingin memenuhi ciri-ciri logik deduktif
yang sah kerana terdapat dua premis dan satu kesimpulan. Jika premis-premis tersebut adalah benar
iaitu jika benar bahawa “semua manusia akan mati” dan dalam kes ini memang benar dan “Ali adalah
seorang manusia” dan ini kita dapati juga benar kerana ada manusia bernama Ali disana yang juga
bersifat sebagai seorang manusia maka sudah tentulah dari kesimpulan yang boleh ditarik disini ialah
“Ali juga akan mati”. Jadi, inilah satu contoh yang baik yang telah Nurfa bagikan dan menunjukkan
penggunaan logik deduktif yang betul dan tepat.

NURFA FAILASUF: Terima kasih Prof. sebab puji Nurfa. Akhirnya Nurfa dapat buat satu contoh yang
betul dan alhamdulillah. Tapi Prof., Prof. macam lupalah atau Prof. hutang lagi satu logik induktif.
Boleh Prof. terangkan sikit tak, apa itu logik induktif.

PROF. HAZIM SHAH: Baiklah Nurfa, jadi seperti yang Nurfa katakan tadi saya masih lagi belum jelaskan
tentang logik induktif setelah menjelaskan logik deduktif. Terdapat masih lagi ada satu logik iaitu
induktif yang seperti yang Nurfa kata saya masih berhutang dan saya cuba lunaskan ataupun
langsaikan hutang itu sekarang dengan menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan logik induktif ini.

Baik jadi kalau kita lihat dari segi logik dan melihat logik induktif maka kita dapati bahawa bagi logik
induktif berbeza dari logik deduktif. Kita tidak memerlukan dua premis sekurang-kurangnya kita hanya
perlukan sekurang-kurangnya satu premis. walaupun kebiasaannya terdapat lebih daripada satu
premis yang digunakan dan dari premis tersebut ataupun dari premis-premis tersebut kita menarik
kesimpulan dari premis-premis itu. Dalam logik induktif kita tidak mempunyai kriteria atapun sifat
yang sama seperti yang terdapat dalam logik deduktif. Ini adalah kerana dalam logik induktif bahawa
sekiranya premis ataupun premis-premis ini betul, ini tidak semestinya bermakna bahawa
kesimpulannya juga semestinya betul, berbeza daripada logik deduktif tadi ya. Jadi kalau kita ambil

2
sebagai contoh, misalnya premis pertama mengatakan bahawa “semua burung gagak yang saya lihat
selama ini mempunyai bulu yang berwarna hitam”. Maka dari premis tersebut saya simpulkan secara
induktif, bahawa “semua burung gagak, maksudnya semua burung gagak di dunia ini mempunyai bulu
hitam, bulu ataupun bulu yang berwarna hitam”. Jadi kita lihat disitu dari premis yang boleh kita
katakan bersifat khusus kerana ia merujuk kepada pemerhatian yang telah saya buat mengenai burung
gagak iaitu yang jumlahnya adalah terhad sangat, dari situ saya tarik kesimpulan yang mengatakan
bahawa semua burung gagak mempunyai bulu yang berwarna hitam.

Jadi daripada sebahagian kepada semua ini adalah suatu sifat logik induktif dan walaupun premis ini
benar iaitu walaupun benar bahawa semua burung gagak yang pernah saya lihat sebelum ini
mempunyai bulu yang berwarna hitam. Ini tidak semestinya bermakna bahawa kesimpulan yang saya
buat yang mengatakan bahawa “semua burung gagak iaitu termasuk yang belum saya lihat lagi juga
berwarna hitam”. Jadi kesimpulan ini yang melangkaui batas yang terdapat didalam premis yang diberi
ini tidak menjamin akan kebenaran kesimpulan tersebut. Jadi adanya elemen ketidakpastian dalam
penggunaan logik induktif itu yang berbeza daripada logik deduktif dimana kepastian terdapat dalam
kesimpulan yang ditarik daripada premis-pemis itu.

NURFA FAILASUF: Rumusannya, logik induktif tak semestinya memberi kesimpulan yang benar pada
akhirnya. Harini Nurfa nak beri satu contoh logik induktif iaitu premis pertama mengatakan bahawa
“Ali seorang datuk yang berkepala botak” dan premis kedua adalah “Ahmad seorang datuk yang
berkepala botak”. Kesimpulannya, “semua datuk berkepala botak”. Prof. rasa betulkah logik induktif
yang Nurfa buat ini?

PROF. HAZIM SHAH: Baik Nurfa. Nurfa telah memberikan satu contoh penggunaan logik induktif dan
logik induktif contoh yang diberikan tadi saya anggap betul kerana menepati syarat-syarat
penggunaan logik induktif yang betul kerana dalam contoh yang Nurfa berikan terdapat dua premis-
premis yang mana setiap premis itu mengandungi ayat yang berupa ayat khusus iaitu ayat pertama
atau premis pertama mengatakan bahawa “Ali adalah seorang datuk yang berkepala botak”, premis
kedua mengatakan “Ahmad adalah seorang datuk yang berkepala botak” dan dari dua kes itu maka
disimpulkan bahawa “semua datuk mempunyai kepala botak” dan itu merupakan satu kesimpulan
umum berdasarkan pada prems-premis yang khusus ditarik satu kesimpulan umum mengenai datuk-
datuk yang dikatakan mempunyai kepala botak. Kita dapat lihat bahawa kenyataan umum yang
terdapat didalam kesimpuan itu tidak semestinya benar walaupun premis-premisnya benar dan ini
adalah kerana mungkin ada datuk-datuk yang mempunyai cucu maksudnya yang masih lagi
mempunyai rambut dan tidak berkepala botak. Jadi, jika ada datuk-datuk yang masih lagi belum
berkepala botak maka ini sudah tentulah bermakna bahawa kesimpulan yang mengatakan bahawa
semua datuk mempunyai kepala botak itu adalah tidak benar (palsu) dan ini juga adalah satu sifat logik
induktif yang mana dari premis-premis yang benar kita menarik kesimpulan umum yang tidak
semestinya benar tetapi berdasarkan kepada premis-premis yang telah diberi itu.

NURFA FAILASUF: Terima kasih Prof., kerana menerangkan tentang logik induktif dan deduktif.
Penjelasan yang sangat menarik dan kita dapat lihat beberapa contoh yang Nurfa bagi dan Prof. bagi.

3
Namun begitu dalam falsafah ini terdapat kaedah-kaedah berfikir lain seperti kaedah Abduksi dan
kaedah Heuristik. Bolehkah Prof. terangkan tentang apa itu kaedah Abduksi?

PROF. HAZIM SHAH: Baiklah soalan tadi mengenai kaedah berfikir yang lain dan yang pertama ialah
kaedah yang diberi nama abduction ataupun dalam Bahasa Malaysia, abduksi jadi dalam abduction
atau dalam Bahasa Inggeris juga disebut sebagai inference to the best explanation. Apa yang terdapat
disini ialah berlakunya sesuatu fenomena itu kita dapat melihat ada berlakunya sesuatu fenomena.
Dari situ kita cuba menyimpulkan apakah yang berlaku sebelum wujudnya fenomena itu yang boleh
menjelaskan kenapa fenomena tadi wujud. Maknanya, kita cuba memberi satu penjelasan atau
explanation yang terbaik berdasarkan kepada fenomena yang wujud itu. Dalam hal ini kita berfikir
dengan berfikir secara ke belakang ataupun thinking backwards dalam Bahasa Inggeris. Contoh yang
mudah, kita melihat sesuatu fenomena seperti kita memerhatikan kereta yang bergerak di jalan raya
dan kita timbulkan soalan, bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku? Apakah yang menyebabkan
kereta itu bergerak? Apakah yang mesti wujud? Iaitu kondisi ataupun keadaan yang mesti ada untuk
membolehkan fenomena seperti kereta bergerak tadi berlaku. Disitu kita fikir ke belakang dan
tanyakan apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi ataupun yang wujud sebelum kita boleh melihat
fenomena itu berlaku fenomena kereta bergerak. Kita boleh fikirkan tentang syarat-syarat seperti
pertamanya kereta itu mestilah mempunyai minyak ataupun petrol yang mencukupi kerana kereta tak
mungkin bergerak tanpa adanya petrol didalam tangki minyak. Yang kedua kita boleh simpulkan
bahawa mesti ada pemandu yang memandu kereta itu kerana walaupun saya tahu ada teknologi self-
drive cars, tapi teknologi itu belum sampai di negara kita dan kita masih menggunakan sistem
pemandu untuk menggerakkan kereta.

Kita boleh juga membuat kesimpulan-kesimpulan yang lain seperti misalnya terdapat empat tayar
yang berfungsi dengan baik kerana tanpa tayar yang berfungsi dengan baik iaitu kalau ada tayar yang
pancit misalnya maka kereta itu mungkin sukar untuk bergerak. Jadi dari satu fenomena yang mudah
seperti melihat kereta yang bergerak kita boleh menyimpulkan perkara-perkara yang tidak kita lihat
dengan mata kita sendiri tetapi kita boleh buat satu macam pentakulan ataupun inferens dengan
memikir ke belakang dengan cara bertanyakan apakah syarat-syarat yang perlu ada sebelum kereta
itu boleh bergerak. Kita sudah dapat mengetahui tentang benda-benda yang kita tidak lihat dengan
memeriksa keadaan kereta itu tetapi secara logiknya kita kata mesti wujud kerana kalau misalnya
kereta itu tidak ada pemandu atau kereta itu tidak ada minyak ataupun semua tayarnya pancit maka
mustahil kereta itu dapat bergerak di jalan raya. Jadi cara berfikir begini dipanggil abduction ataupun
memikirkan tentang apakah keadaan yang perlu wujud untuk membolehkan fenomena yang kelihatan
itu wujud. Jadi itu penerangan saya tentang penggunaan kaedah berfikir secara abduksi ataupun
abduction.

NURFA FAILASUF: Terima kasih Prof. kerana memberi penjelasan yang sangat menarik dan sangat
baik. Baik, tapi Prof., Prof ada satu lagi kaedah berfikir dalam falsafah iaitu kaedah Heuristik. Boleh
Prof. terangkan tak apa itu kaedah Heuristik?

4
PROF. HAZIM SHAH: Baik, jadi Nurfa tadi bertanyakan tentang kaedah berfikir secara heuristik. Saya
telah jelaskan tentang logik induktif, deduktif dan juga abduksi dan kesemua ini sebenarnya adalah
cara berfikir secara logik dimana terdapat peraturan pemikiran yang boleh diaplikasikan tetapi bagi
kaedah heuristik ianya berbeza daripada kadar-kadar yang saya sebutkan tadi kerana didalam kaedah
heuristik tidak ada peraturan-peraturan yang sistematik ataupun yang teratur yang boleh
diaplikasikan seperti didalam logik diduktif dan induktif dan ini membezakan ataupun membuatkan
heuristik itu suatu jenis berfikir yang berlainan daripada permikiran logik yang lain

Walaupun logic heuristik ini tidak mempunyai peraturan yang tertentu namun ada garis panduan yang
kita boleh gunakan untuk melaksanakan pemikiran heuristik ini. Dan satu lagi perkara yang harus saya
jelaskan disini ialah permikiran heuristik ini adalah bersifat penerokaan ataupun dalam Bahasa
Inggerisnya exploratory dan ianya bukan bersifat penilaian seperti yang terdapat dalam logik diduktif
dan induktif dimana kita menggunakan kaedah logik untuk menilai samada sesuatu penghujahan atau
pendalilan ataupun argumen itu boleh diterima sebagai sah ataupun tidak sah. Sebaliknya dalam
heuristik kita cuba meneroka keadaan-keadaan yang baru yang mempunyai permasalahan-
permasalahan tertentu. Kita cuba mencari penyelesaian ataupun jawapan kepada masalah-masalah
ataupun persoalan-persoalan tersebut jadi sudah tentulah kalau kita mencari penyelesaian kepada
masalah kita tidak mempunyai kaedah yang khusus kerana jika kita mempunyai kaedah yang khusus
yang boleh diaplikasikan dengan menjamin akan pencapaian kesimpulan ataupun jawapan yang
memuaskan dalam erti kata memberi penyelesaian yang memuaskan maka sudah tentulah tidak ada
masalah lagi yang tidak diselesaikan dalam dunia ini tetapi adanya masalah-masalah yang masih belum
diselesaikan menunjukkan bahawa kaedah heuristik itu walaupun mempunyai garis-garis panduan
yang boleh digunakan ianya tidak terjamin akan tercapainya satu penyelesaian.

Namun begitu ianya berguna kerana boleh meningkatkan kemungkinan ataupun kebarangkalian
tercapainya sesuatu penyelesaian iaitu ia boleh membantu kearah penyelesaian masalah dan antara
cara-cara yang boleh kita fikirkan dalam kaedah heuristik ialah antaranya dalam Bahasa Inggeris
dipanggil kaedah trial and error ataupun dalam Bahasa Malaysia, cuba dan lihat akan apakah
keputusan yang dicapai melalui percubaan tersebut. Jadi, apabila kita menggunakan cara ini yang
bukannya satu kaedah yang khusus tetapi boleh saya katakan sebagai satu rule of thumb ataupun garis
panduan kasar, maka kita akan lihat bahawa jika kita cuba beberapa cara dan mendapati bahawa
masih juga gagal dan kita cuba cara yang lain pula, maka mungkin dengan mengulangi kaedah-kaedah
yang berlainan ini didalam penyelesaian masalah ataupun cara-cara penyelesaian masalah yang
berbeza. Jika kita bernasib baik mencapai satu penyelesaian tetapi kita lihat disitu bahawa tidak ada
suatu jaminan. Namun begitu, ini adalah lebih baik daripada tidak mencuba langsung misalnya. Oleh
itu, trial and error itu adalah satu kaedah juga yang bersifat heuristik.

Satu lagi contoh yang boleh saya berikan ialah lateral thinking yang digunakan oleh Edward De Bono.
Lateral thinking ini saya anggap sebagai sejenis pemikiran heuristik kerana ia boleh membantu kita
kearah penyelesaian masalah. Satu contoh yang saya ingat daripada apa yang diajar oleh Edward De
Bono mengenai lateral thinking ialah dimana kadang-kadang kesilapan kita ataupun kebolehan kita
ataupun kegagalan kita untuk menyelesaikan masalah konseptual itu ialah kerana kita mengambil satu
pendekatan yang salah ataupun membuat andaian ataupun tanggapan yang silap dan jika kita ubah
andaian atau tanggapan itu mungkin kita akan dapat meyelesaian masalah itu. Contoh yang diberikan
oleh Edward De Bono sendiri dan ini saya dengari daripada beliau sendiri apabila beliau memberi satu
ceramah di tempat yang mana saya pernah belajar dulu iaitu di Athlantic College di Wales. beliau

5
menceritakan bagaimana pengalamannya sebagai seorang undergraduate student di University
Oxford. Dimana beliau dan rakan-rakan telah keluar lewat malam dan apabila kembali ke tempat
penginapan beliau dan rakan-rakan mendapati bahawa pintu pagar telah sudah tertutup rapat dan
oleh kerana beliau ingin masuk ke dalam kawasan penginapan itu maka beliau dan kawan-kawan
beliau memanjat pagar itu untuk masuk ke dalam kawasan penginapan apabila sudah masuk ke dalam
kawasan penginapan barulah mereka sedar bahawa pintu pagar itu sebenarnya tidak berkunci cuma
tertutup. Jadi disitu Edward De Bono mengatakan bahawa apa yang silap disitu didalam pemikiran
mereka adalah mereka membuat andaian yang silap iaitu menganggap bahawa pagar yang tertutup
bermaksud bahawa ianya juga berkunci sedangkan jika dia mengubah andaian itu dan ataupun
memeriksa semula sudah tentulah mudah masuk ke dalam kerana tidak perlu memanjat pagar tetapi
cuma membuka pintu pagar yang tidak berkunci itu.

Ini terdapat juga dalam kes-kes seharian dalam kehidupan, misalnya saya sendiri pernah mengalami
kadang-kadang saya cuba membuka skru dengan memutar ke sebelah kiri ataupun ikut arah anti-
clockwise tetapi mungkin skru itu jenis yang lain jadi saya sepatutnya menukar andaian tadi dan
mengubah haluan pembukaan skru iaitu ke arah yang sebaliknya iaitu clockwise atau pusing ke sebelah
kanan dan saya pernah cuba ini dan saya berjaya menyelesaikan masalah-masalah seperti itu jadi ini
saya anggap kaedah tersebut kaedah heuristik.

NURFA FAILASUF: Dalam kaedah-kaedah berfikir ini kadangkala kita melakukan kesilapan, kesilapan
ini dipanggil falasi. Bolehkah Prof. terangkan apa itu maksud Falasi?

PROF. HAZIM SHAH: Baik, seperti yang Nurfa juga ada sebut tadi iaitu falasi itu merujuk kepada
kesilapan dalam penggunaan kaedah-kaedah ataupun teknik-teknik berfikir seperti logik deduktif,
logik induktif dan lain-lain lagi. Jadi, umumnya falasi ini merujuk kepada kesilapan didalam
mengunakan kaedah-kaedah berfikir tersebut dimana kita misalnya dalam logik diduktif dan induktif
telah menarik kesimpulan dengan secara tidak sah daripada premis-premis implikasi ataupun menarik
kesimpulan yang tidak betul daripada premis-premis tersebut.

Jadi ini semua melibatkan kesilapan didalam penggunaan logik-logik tersebut dan pada umumnya
terdapat dua jenis falasi iaitu disebut sebagai falasi yang bersifat formal ataupun Formal Fallacy dan
falasi yang bersifat tidak formal ataupun Informal Fallacy. Falasi yang jenis pertama iaitu formal falasi
itu berlaku apabila kita tidak menggunakan peraturan-peraturan yang betul di dalam logik deduktif
dan induktif. Bila kita mengabaikan penggunaan peraturan -peraturan yang betul didalam menarik
kesimpulan daripada premis-premis, maka kita telah melakukan satu kesilapan ataupun falasi.
Sebaliknya dalam falasi informal pula ianya tidak melibatkan pelanggaran apa-apa peraturan logik
dalam menarik kesimpulan daripada premis-premis. Mungkin saya boleh berikan beberapa contoh
untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan non ataupun informal fallacy ini.

Contoh yang pertama dipanggil ad hominem iaitu serangan peribadi keatas orang yang membuat
kenyataan ataupun yang mengeluarkan pandangan itu dan bukannya kepada pandangan ataupun
penghujahan yang dibuat oleh seseorang itu. Jadi serangan peribadi ini merupakan satu kesilapan juga
didalam berhujah ataupun didalam berfikir kerana ia tidak ada kena mengena dengan kandungan
ucapan itu ataupun penghujahan yang dibuat ataupun idea-idea yang diberi tetapi sebaliknya

6
mengatakan bahawa pandangan itu tidak boleh diterima kerana sifat peribadi seseorang itu.
Contohnya begini, seseorang itu mengeluarkan sesuatu teori, misalnya teori sains dan dikritik oleh
seseorang yang tak bersetuju dengan teori itu dengan mengatakan bahawa orang itu adalah seorang
Yahudi. Jadi, kritikan tersebut bukan terhadap idea ataupun teori saintifik yang dikemukakannya
tetapi diatas dasar bahawa orang yang mengeluarkan teori itu berbangsa Yahudi dan ini dianggap
sebagai satu falasi kerana tidak menunjukkan apakah kesilapan didalam pemikiran orang itu tapi
sebaliknya menyerang akan peribadi orang itu kerana ianya adalah seorang Yahudi yang rata-rata
ditolak oleh kebanyakan rakyat yang beragama Islam di negara ini.

Jadi ini satu jenis retorik dan bukannya merujuk kepada satu kritikan yang berasaskan kepada
pemikiran yang logikal. Satu lagi contoh ialah apa yang dikatakan dalam Bahasa Latin, post hoc ergo
propter hoc maksudnya apa sahaja yang berlaku maka apa yang berlaku sebelumnya dianggap sebagai
penyebab berlakunya perkara itu. Contohnya, kita masuk ke hutan dan terlanggar tunggul dan
esoknya kita jatuh demam, jatuh sakit. Jadi di situ, tersepaknya tunggul di hutan itu ialah penyebab
kepada kita jatuh sakit. Iaitu dikaitkan sesuatu itu dengan apa yang berlaku selepas itu iaitu tersepak
tunggul berlaku sebelum kita jatuh sakit dan ini dikatakan sebagai penyebab kepada kita jatuh sakit.
Sedangkan tidak ada kaitan sebab dan akibat (causal relation) yang sebenar di antara tersepak tunggul
dan jatuh sakit. Oleh kerana sesuatu itu berturutan dengan sesuatu yang lain, maka dianggap ada
hubungan sebab akibat di situ tetapi tidak semestinya. Jadi apabila seseorang membuat kesimpulan
yang sedemikian, ia dikatakan telah membuat kesilapan tetapi kesilapan secara informal kerana tidak
membuat pelanggaran hukum-hukum logik.

NURFA FAILASUF: Akhir kata, sudah tamatlah Kuliah Ketiga kita iaitu Kuliah Logik dan Metodologi.
Nurfa berharap sangat semua akan faham dan memanfaatkan segala ilmu yang Prof. Hazim ceritakan
tadi. Okay, jumpa lagi semua. Selamat belajar.

You might also like