You are on page 1of 19

BAB 6

LAPORAN TAHUNAN SYARIKAT

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menjelaskan akta dan peraturan yang menguatkuasakan
keperluan pelaporan kewangan di Malaysia.
2. Menerangkan apa itu laporan kewangan.
3. Mengenalpasti kandungan laporan kewangan.
4. Membincangkan apa itu laporan tahunan.
5. Menghuraikan kandungan laporan tahunan syarikat.

6.1 PENGENALAN

Setiap entiti perniagaan yang menjalankan operasi dan aktiviti sudah


semestinya ingin mengetahui tentang prestasi dan pencapaian perniagaan
sepanjang tempoh beroperasi terutama sekali untuk mengetahui sama
ada perniagaan memperolehi keuntungan ataupun mengalami kerugian.
Bagi menilai prestasi dan kecekapan perniagaan maka maklumat
kewangan dan bukan kewangan amatlah diperlukan.

Kedua-dua jenis maklumat ini bukan hanya diperlukan oleh pihak


pengurusan perniagaan sahaja tetapi juga oleh pihak-pihak luar entiti
yang berkepentingan bagi membantu mereka membuat keputusan. Oleh
itu adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk membekalkan
dan mendedahkan maklumat yang diperlukan kepada semua pengguna
sama ada pengguna dalaman ataupun luaran entiti. Bab ini akan
membincangkan tentang pelaporan kewangan iaitu melihat apakah
maklumat kewangan yang dibekalkan kepada pengguna dan bagaimana
maklumat ini dipersembahkan.

SOALAN DALAM TEKS 6.1

1. Siapakah pengguna maklumat sesebuah entiti


perniagaan ?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

213
6.2 JENIS ENTITI PERNIAGAAN DAN PENDEDAHAN
MAKLUMAT KEWANGAN

Masih ingatkah anda tentang jenis-jenis entiti


perniagaaan yang terdapat di negara kita? Berapa jenis
kesemuanya?

Di Malaysia, lazimnya perniagaan diketegorikan kepada tiga (3) jenis yang


utama iaitu perniagaan tunggal, perkongsian dan syarikat. Terdapat
perbezaan dan ada juga persamaan di antara ketiga-tiga jenis entiti
perniagaan ini. Sekiranya anda telah tidak dapat mengingati perbezaan
dan persamaan ini, cuba rujuk semula kepada perbincangan dalam Bab
Satu modul ini.

Dari segi keperluan pendedahan maklumat kewangan, perniagaan jenis


tunggal adalah merupakan entiti yang paling longgar peraturannya. Tiada
keperluan perundangan yang khusus bagi perniagaan tunggal untuk
menyediakan penyata kewangan. Lazimnya peniaga hanya menyediakan
akaun perdagangan dan untung rugi (juga dikenali sebagai penyata
pendapatan) dan kunci kira-kira (juga dikenali sebagai lembaran
imbangan). Akaun perdagangan dan untung rugi disediakan untuk
menentukan untung atau rugi yang dialami untuk sesuatu tempoh
perakaunan. Manakala kunci kira-kira disediakan untuk menentukan
kedudukan aset dan liabiliti perniagaan pada akhir tempoh perakaunan.

Penyata ekuiti tidak disediakan hanya pengiraan modal akhir pemilik


ditunjukkan dalam kunci kira-kira. Akaun perdagangan dan untung rugi
dan kunci kira-kira yang disediakan tidak perlu diaudit tetapi sekadar
memenuhi keperluan maklumat untuk taksiran cukai pencapatan individu
peniaga (iaitu pemilik perniagaan) tersebut sahaja.

Bagaimana pula keperluan pendedahan maklumat kewangan perniagaan


perkongsian? Oleh kerana perkongsian adalah dimiliki oleh dua (2) atau
lebih pemilik, maka selain daripada akaun perdagangan dan untung rugi
dan kunci kira-kira, perkongsian juga menyediakan penyata ekuiti pemilik
bagi rakan kongsi yang dikenali sebagai penyata modal. Penyata modal
disediakan bertujuan untuk menerangkan tentang perubahan modal
rakan kongsi. Perubahan ini adalah disebabkan oleh sama ada berlaku
pertambahan atau pengurangan modal yang dilabur, keuntungan atau
kerugian yang dialami hasil operasi perniagaan dan juga ambilan oleh
rakan kongsi. Sama seperti perniagaan tunggal, maklumat kewangan yang
disediakan tidak perlu diaudit tetapi sekadar memenuhi keperluan
maklumat untuk taksiran cukai pencapatan individu setiap rakan kongsi
(iaitu pemilik perniagaan) sahaja.

214
Seterusnya mari kita bincangkan pula keperluan perundangan dan
pendedahan maklumat kewangan bagi jenis entiti perniagaan yang ketiga
iaitu syarikat. Peraturan pendedahan maklumat kewangan bagi syarikat
adalah yang paling ketat jika dibandingkan di antara tiga (3) jenis entiti
perniagaan di negara kita. Benarkah begitu? Sila ikuti perbincangan dalam
tajuk-tajuk berikutnya.

6.3 KEPERLUAN PERUNDANGAN DAN PENDEDAHAN


MAKLUMAT KEWANGAN SYARIKAT

Pendedahan maklumat kewangan dan bukan kewangan bagi syarikat


adalah suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah sahaja. Ini adalah
kerana terdapat akta-akta dan peraturan-peraturan tertentu yang
memperuntukkan secara khusus tentang keperluan pendedahan
maklumat ini. Peraturan utama tentang pelaporan kewangan yang mesti
dipatuhi ialah Akta Syarikat 1965. Di samping itu terdapat juga peraturan
yang dikeluarkan oleh pihak Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) iaitu
Keperluan Penyenaraian BSKL dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Dalam tempoh lima (5) tahun yang lalu, telah berlaku perubahan penting
dari aspek perundangan bertujuan untuk memperkemaskan lagi
pelaporan kewangan di Malaysia. Di antara perubahan tersebut adalah
perlaksanaan Akta Pelaporan Kewangan 1997, pindaan kepada Akta
Syarikat 1965, perlaksanaan Peraturan-peraturan Industri Sekuriti 1999
dan pindaan kepada Keperluan Penyenaraian BSKL.

Cuba anda berikan contoh-contoh maklumat kewangan


dan maklumat bukan kewangan.

6.3.1 Akta Syarikat 1965

Akta Syarikat merupakan peraturan utama yang mengawal selia


pelaporan kewangan di Malaysia. Di bawah Akta Syarikat 1965,
penjelasan tentang penyediaan maklumat kewangan boleh didapati di
Bahagian VI: Akaun dan Audit. Mengikut Seksyen 169 (1) akta ini,
sesebuah syarikat yang baru ditubuhkan hendaklah menyediakan dan
membentangkan penyata pendapatan dalam mesyuarat agung tahunan
dalam masa tidak lebih daripada lapan belas bulan semenjak ditubuhkan.
Seksyen yang sama juga menetapkan agar bagi tahun-tahun yang
berikutnya, penyata pendapatan perlu disediakan dan dibentangkan
sekurang-kurangnya sekali bagi setiap tahun perakaunan syarikat.

Tanggungjawab untuk memastikan pematuhan kepada S169(1) adalah


terletak di atas bahu pengarah-pengarah setiap syarikat. Mereka juga

215
perlu memastikan penyata pendapatan dan lembaran imbangan
disediakan dan dibentangkan kepada syarikat di mesyuarat agung tahunan
seperti mana yang dijelaskan di bawah Seksyen 169(3).

Seksyen 169(14) pula menekankan agar lembaran imbangan yang


disediakan hendaklah memberi gambaran yang sebenar dan adil tentang
keuntungan atau kerugian yang dialami oleh syarikat dan hal-hal
berkaitan kedudukan kewangan syarikat pada akhir tempoh kewangan.
Penyata pendapatan dan lembaran imbangan yang disediakan mestilah
mematuhi kehendak Jadual Sembilan, Akta Syarikat 1965.

SOALAN DALAM TEKS 6.2

1. Apakah maklumat yang boleh diperolehi daripada


penyata pendapatan dan lembaran imbangan
sesebuah entiti perniagaan ?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Seksyen 169(5) pula menghendaki pengarah-pengarah syarikat


menyertakan laporan pengarah berkenaan dengan untung rugi syarikat
dan keadaan hal ehwal syarikat dan anak-anak syarikat (jika ada) pada
akhir setiap tahun kewangan.

Pada tahun 1998, suatu pindaan telah dibuat ke atas akta ini yang mana
syarikat dikehendaki menyediakan akaun selaras dengan standard
perakaunan yang diluluskan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian
Perakaunan Malaysia atau Malaysian Accounting Standards Board (MASB)
bagi memberikan gambaran yang adil dan saksama tentang hal syarikat.

Sekiranya pengarah-pengarah syarikat gagal secara sengaja untuk


mematuhi peruntukan-peruntukan berkaitan penyediaan laporan
kewangan syarikat di bawah akta ini, mereka akan dikenakan penalti
seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 171. Menurut peruntukan
seksyen ini, mereka boleh dipenjarakan selama lima (5) tahun atau
didenda sebanyak tiga puluh ribu ringgit mengikut perintah mahkamah.
Oleh itu berhati-hatilah dalam melaksanakan tugas jika anda seorang
pengarah syarikat atau bercita-cita menjadi seorang pengarah syarikat
pada suatu hari nanti.

216
6.3.2 Keperluan Penyenaraian oleh Bursa Saham Kuala Lumpur
(BSKL)

Setelah membincangkan dengan panjang lebar peruntukan di bawah Akta


Syarikat 1965, sekarang mari kita teliti pula peraturan tentang pelaporan
kewangan yang digariskan dalam Keperluan Penyenaraian oleh BSKL.

BSKL mengkehendaki semua syarikat yang disenaraikan agar


menyediakan akaun mengikut standard perakaunan yang dikeluarkan
oleh MASB. Peraturan 9.2.2, Bab 9 menjelaskan tentang peraturan
pelaporan kewangan yang perlu bagi setiap syarikat yang menjadi ahli
BSKL. Peraturan 9.2.2 (1) menghendaki setiap syarikat menyediakan dan
menyerahkan satu laporan kewangan kepada Bursa dalam masa yang
ditetapkan oleh pihak Bursa.

Laporan yang disediakan mestilah mematuhi peraturan yang ditetapkan


dalam Jadual 6B dan ditandatangani oleh pengarah eksekutif operasi yang
diberi kuasa oleh lembaga pengarah untuk berbuat demikian [Peraturan
9.2.2 (2)]. Pihak Bursa berhak memeriksa rekod kewangan dan rekod-
rekod lain syarikat ahli untuk memastikan pematuhan kepada Bab 9,
Peraturan BSKL [Peraturan 9.2.2 (3)]. Pada tahun 1999, suatu semak
semula telah dibuat ke atas Keperluan Penyenaraian ini yang
mengkehendaki syarikat supaya menyerahkan penyata kewangan secara
suku tahunan (quarterly). Pada tahun 2001 pula, Keperluan Penyenaraian
ini telah disemak semula sekali lagi bagi menerima pakai Malaysian Code of
Corporate Governance. Malaysian Code of Corporate Governance ini telah
dikuatkuasakan mulai Mac 2000. Kod ini menggariskan prinsip dan
praktis-praktis terbaik (best practices) yang perlu diterima pakai oleh
syarikat untuk meningkatkan standard kawalselia korporat (corporate
governance).

6.3.3 Akta Pelaporan Kewangan 1997

Pendedahan maklumat kewangan juga turut diberi penekanan oleh


MASB. MASB ditubuhkan untuk membangun dan mengeluarkan
standard-standard perakaunan yang akan menjadi pematuhan mandatori
dalam penyediaan akaun syarikat. Standard-standard perakaunan yang
diluluskan yang dikeluarkan oleh MASB dikenali sebagai Standard
Perakaunan Malaysia atau Malaysian Accounting Standard (MASB – dibaca
sebagai MAS B).

Akta Pelaporan Kewangan 1997, yang dikeluarkan oleh pihak MASB ada
memperuntukkan tentang keperluan pendedahan maklumat kewangan di
bawah Subseksyen 7(1). Selain daripada itu, MASB juga menekankan
tentang penyediaan pelaporan kewangan melalui penguatkuasaan MASB
1. Objektif MASB 1 ialah untuk menentukan persembahan penyata
217
kewangan untuk tujuan umum bagi memastikan kebolehbandingan
dengan penyata kewangan perniagaan lain atau dengan penyata kewangan
tahun-tahun lalu bagi perniagaan yang sama. Bagi mencapai objektif ini,
maka MASB 1 menggariskan semua perkara yang perlu diambilkira untuk
menyediakan penyata kewangan, panduan untuk struktur dan keperluan
minimum kandungan penyata kewangan.

Mengikut MASB 1, satu set penyata kewangan yang lengkap


mengandungi lima (5) komponen, iaitu

a. Kunci kira-kira
b. Penyata pendapatan
c. Suatu penyata yang menunjukkan sama ada

(i) Semua perubahan dalam ekuiti; atau


(ii) Perubahan dalam ekuiti selain daripada
perubahan yang timbul daripada urus niaga modal
bersama pemilik dan pengagihan kepada pemilik.

d. Penyata aliran tunai.


e. Polisi perakaunan dan nota penjelasan.

6.3.4 Peraturan-Peraturan Industri Sekuriti 1999

Selain daripada BSKL, Suruhanjaya Sekuriti, pada 18 Jun 1999, telah


menguatkuasakan Peraturan-peraturan Industri Sekuriti (Pematuhan
kepada Piawaian Perakaunan yang Diluluskan) 1999. Peraturan ini juga
mengkehendaki semua syarikat yang disenaraikan agar menyediakan
akaun selaras dengan standard yang dikeluarkan oleh MASB.
Penguatkuasaan peraturan ini adalah bagi meningkatkan kualiti maklumat
yang didedahkan dalam penyata kewangan dan untuk memastikan
pendedahan maklumat adalah mematuhi standard MASB.

Mulai tahun 2001, Suruhanjaya Sekuriti telah menguatkuasakan Peraturan


Berasaskan Pendedahan (Disclosure-based Regulation) bagi menggantikan
Sistem Berasaskan Merit. Di bawah sistem baru ini, syarikat yang
berurusan dengan pasaran sekuriti dikehendaki menyediakan maklumat
yang lengkap, tepat dan sesuai pada masanya (timely). Tanggungjawab
untuk menyediakan maklumat adalah terletak di bahu promoters, pengarah
dan penasihat termasuk advising merchant bank, reporting accountants, peguam
dan jurunilai. Peraturan Berasaskan Pendedahan adalah bertujuan untuk
meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam pasaran modal melalui
pendedahan, due diligence dan kawalselia korporat (corporate governance) yang
baik.

218
6.3.5 Akta Cukai Pendapatan 1967

Keperluan kepada pelaporan kewangan juga turut diperuntukkan di


bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Mengikut Seksyen 82(1)(a), setiap
orang yang menjalankan sebuah perniagaan hendaklah menyimpan
rekod-rekod yang memadai untuk membolehkan pendapatan atau
kerugian terlaras daripada perniagaannya dalam tempoh asas untuk
mana-mana tahun taksiran ditentukan dengan mudah oleh pihak
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Dalam erti kata lain, penyata
tentang keuntungan atau kerugian perniagaan perlu dikemukakan kepada
pihak LHDN untuk membolehkan taksiran cukai dibuat ke atas
pendapatan daripada operasi perniagaan bagi setiap tempoh perakaunan.

SOALAN DALAM TEKS 6.3

Bagi setiap kenyataan di bawah, nyatakan sama ada benar


(B) atau palsu (P):
1. Mengikut Akta Syarikat 1965, sesebuah syarikat
yang baru ditubuhkan hendaklah menyediakan
laporan kewangan selewat-lewatnya 12 bulan
daripada tarikh penubuhannya.
2. Pihak pengurusan bertanggungjawab memastikan
laporan kewangan dibentangkan dalam mesyuarat
agung tahunan syarikat.
3. Sesebuah syarikat tidak perlu menyediakan laporan
kewangan sekiranya operasi perniagaan bagi
sesuatu tempoh tidak mencapai sasaran hasil yang
telah ditetapkan.
4. Syarikat yang disenaraikan di BSKL bebas
menyediakan laporan kewangan mengikut format
yang disukai oleh akauntan masing-masing.
5. Sesebuah syarikat tidak perlu menyediakan penyata
kewangan jika mengalami kerugian.
6. Syarikat yang tersenarai di BSKL perlu menerima
pakai Malaysian Code of Corporate Governance.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

219
6.4 LAPORAN KEWANGAN

Laporan kewangan syarikat adalah terdiri daripada beberapa laporan dan


penyata seperti yang ditetapkan dalam Bahagian VI: Akaun dan Audit,
Akta Syarikat 1965. Sekarang mari kita bincangkan dengan lebih lanjut
tentang laporan dan penyata tersebut.

6.4.1 Laporan Pengarah

Mengikut Seksyen 169(5), Akta Syarikat 1965, pengarah-pengarah


syarikat hendaklah menyertakan laporan pengarah berkenaan dengan
untung rugi syarikat dan keadaan hal ehwal syarikat dan anak-anak
syarikat (jika ada) pada akhir setiap tahun kewangan. Kandungan laporan
ini diperincikan di bawah Seksyen 169(6), (11) dan (12) dan Seksyen
172(2) akta yang sama dan terdapat juga keperluan yang diperuntukkan di
bawah MASB 1.102(b).

Secara amnya, maklumat yang terdapat dalam laporan pengarah adalah


seperti nama pengarah-pengarah dan jawatan masing-masing sehingga
tarikh laporan, aktiviti-aktiviti utama syarikat dalam tahun kewangan dan
apa-apa perubahan aktiviti atau peristiwa penting jika ada, amaun bersih
untung atau rugi selepas peruntukan cukai pendapatan, amaun dan butir-
butir pemindahan yang material dalam simpanan atau peruntukan, hal-
hal berkaitan terbitan saham dan debentur, maklumat tentang aset dan
liabiliti syarikat, peristiwa kewangan yang penting, manafaat dan
kepentingan pengarah serta maklumat-maklumat lain yang diperlukan di
bawah Seksyen 169(6), (11) dan (12) dan Seksyen 172(2).

6.4.2 Laporan Juruaudit

Penyata pendapatan dan lembaran imbangan yang akan dibentangkan


dalam mesyuarat agung tahunan mestilah diaudit terlebih dahulu
sepertimana yang dikehendaki oleh Seksyen 169(4), Akta Syarikat 1965.
Seterusnya laporan juruaudit perlu dikeluarkan oleh juruaudit yang telah
mengaudit kedua-dua penyata tersebut [Seksyen 174(1), Akta Syarikat
1965]. Maklumat yang perlu dimasukkan dalam laporan juruaudit pula
diperincikan di bawah Seksyen 174(2)(a) hingga (c). Di antara maklumat
tersebut adalah pendapat mereka tentang kecukupan rekod-rekod
kewangan yang disimpan oleh syarikat, sama ada akaun telah disediakan
mengikut kehendak akta dan standard perakaunan yang diluluskan.

220
6.4.3 Lembaran Imbangan, Penyata Pendapatan, Penyata
Perubahan Ekuiti, Penyata Aliran Tunai dan Nota kepada
Akaun

Kedua-dua Lembaran Imbangan dan Penyata Pendapatan mestilah


disediakan mengikut peruntukan di bawah Jadual Sembilan (9), Akta
Syarikat 1965 dan mengikut MASB 1.

Di bawah MASB 1, syarikat juga dikehendaki menyediakan Penyata


Perubahan Ekuiti. Penyata ini menerangkan perubahan yang berlaku (jika
ada) dan baki akhir bagi saham modal, saham premium, rezab penilaian
semula (revaluation reserve), rezab terjemahan (translation reserve) dan
unappropriate profit.

Tidak ketinggalan juga suatu Penyata Aliran Tunai atau juga dikenali
sebagai penyata perubahan dana perlu disediakan. Perincian tentang
maklumat yang perlu dimasukkan dalam penyata ini boleh diperolehi
dalam MASB 1. Penyata ini menunjukkan sumber dan penggunaan tunai
daripada aktiviti operasi, pelaburan dan pembiayaan serta baki akhir tunai
atau tunai yang setara (cash equivalent).

Sekiranya terdapat anak-anak syarikat, samada syarikat subsidiari atau


syarikat bersekutu, maka perlu disediakan penyata pendapatan, lembaran
imbangan, penyata perubahan ekuiti dan penyata aliran tunai yang
disatukan. Kesemua penyata ini perlu dibaca bersama dengan Nota
kepada Akaun yang turut disediakan. Keperluan penyediaan Nota kepada
Akaun ini dinyatakan di bawah Jadual Sembilan (9), Akta Syarikat dan
MASB 1.

Nota kepada Akaun bertujuan memperjelaskan lagi item-item atau


angka-angka yang terdapat dalam penyata pendapatan, lembaran
imbangan, penyata perubahan ekuiti dan penyata aliran tunai. Contoh
maklumat yang dinyatakan dalam nota kepada akaun adalah seperti asas
penyediaan penyata kewangan, polisi-polisi perakaunan yang penting
berkaitan muhibah, aset tetap dan kaedah susut nilai yang digunakan
untuk setiap kategori aset tetap, asas terjemahan kepada mata wang
Malaysia (jika ada), manfaat persaraan, cukai tertunda, kos penyelidikan
dan pembangunan, pajakan, pengiktirafan hasil, aktiviti utama
perniagaan, maklumat berkaitan saham dan dividen, dan kepentingan
dalam syarikat subsidiari atau syarikat bersekutu jika ada.

6.4.4 Kenyataan Pengarah

Mengikut Seksyen 169(15), Akta Syarikat 1965, penyata pendapatan dan


lembaran imbangan yang dibentangkan perlu disertai dengan kenyataan
pengarah. Dua (2) orang pengarah syarikat perlu menandatangani
221
kenyataan ini untuk mengesahkan bahawa penyata pendapatan dan
lembaran imbangan yang disediakan adalah memberi gambaran yang
sebenar dan adil tentang hasil operasi perniagaan dan hal ehwal
kewangan syarikat serta anak-anak syarikat (jika ada). Kenyataan tersebut
juga mengesahkan bahawa akaun-akaun yang disediakan adalah
mematuhi MASB 1.

6.4.5 Perisytiharan Berkanun

Menurut Seksyen 169(16) pula, penyata pendapatan dan lembaran


imbangan syarikat yang disediakan perlu disertakan dengan perisytiharan
berkanun. Perisytiharan berkanun ini perlu ditandatangani oleh dua (2)
orang pengarah syarikat yang tidak terbabit dengan pengurusan
kewangan syarikat bagi menyatakan pendapat mereka bahawa laporan
kewangan yang disediakan adalah betul. Pengakuan ini perlu
ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah.

SOALAN DALAM TEKS 6.4

1. Apakah yang terkandung dalam pelaporan kewangan


sesebuah syarikat?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Contoh Kenyataan Pengarah:


Statement by Directors

We, xxxxx and xxxxx, being two of the directors of xxxxxx, do hereby state that, in
the opinion of the directors, the financial statements set out on page xx to xx give a
true and fair view of the state of affairs of the company and of the group as at 30
June, 2001 and of their results and cash flow for the year then ended, and have been
properly drawn up in accordance with applicable approved accounting standards in
Malaysia.

Signed on behalf of the Board


in accordance with a
resolution of the directors

XXXXXXXXXXXXX

XXXXXXXXXXXXX

Kuala Lumpur
29 August, 2001

222
Contoh Perisytiharan Berkanun:
Statutory Declaration

I, xxxxxxx, the director primarily responsible for the financial management of


xxxxxxxx, do solemnly and sincerely declare that the financial statements set out on
pages xx to xx are, to the best of my knowledge and belief correct, and I make this
solemn declaration conscientiously believing the same to be true and by virtue of the
provisions of the Statutory Declarations Act, 1960.

Subscribed and solemnly declared by the )


Abovenamed xxxxxxxx at Kuala Lumpur )
In Wilayah Persekutuan on 29 August, 2001 ) XXXXXXXXXXX

Before me:

Commissioner for Oaths

6.5 LAPORAN TAHUNAN SYARIKAT

Lazimnya laporan kewangan adalah dimuatkan dalam laporan tahunan


syarikat. Laporan tahunan ini dikeluarkan sekali bagi setiap tahun
kewangan. Di samping laporan kewangan, beberapa maklumat lain turut
dimuatkan dalam laporan tersebut seperti falsafah korporat, maklumat
korporat, struktur korporat, ringkasan peristiwa penting, penyata
pengerusi, imbasan peristiwa penting berkaitan operasi dan kewangan,
ringkasan kewangan lima (5) tahun, analisis pemegangan saham dan
senarai hartanah syarikat. Selain daripada itu, laporan tahunan juga turut
dimuatkan dengan notis mesyuarat agung tahunan dan borang proksi.

Pernahkah anda melihat laporan tahunan syarikat? Jika


belum pernah, eloklah hari ini anda cuba dapatkan
senaskah dan teliti kandungan maklumat di dalamnya.

Sehingga kini, tidak ada satu format atau tatacara persembahan yang
khusus bagi laporan tahunan yang dikeluarkan oleh mana-mana syarikat.
Namun pada kebiasaannya ia bergantung kepada saiz dan kemampuan
syarikat itu sendiri. Semakin besar saiz dan semakin berjaya sesebuah
syarikat, maka laporan yang dikeluarkan juga adalah semakin menarik dan
indah dari segi warna dan rekabentuknya. Ini adalah kerana secara tidak
langsung laporan tahunan juga melambangkan imej syarikat di samping
menarik minat pembaca terutamanya pihak-pihak yang ada kepentingan
dalam syarikat berkenaan seperti pemegang saham, kreditor, pekerja dan
sebagainya.

223
6.6 KANDUNGAN LAPORAN TAHUNAN SYARIKAT

Seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini, kandungan laporan


tahunan syarikat adalah berbeza di antara sebuah syarikat dengan sebuah
syarikat yang lain. Namun demikian, pengarah setiap syarikat perlu
memastikan sekurang-kurangnya laporan-laporan seperti yang ditetapkan
di bawah Seksyen 169, Akta Syarikat 1965 dimuatkan dalam laporan
tahunan syarikat masing-masing.

Apakah kandungan laporan tahunan syarikat?

Sekarang mari kita bincangkan laporan-laporan dan maklumat-maklumat


yang biasanya dimuatkan dalam laporan tahunan sesebuah syarikat.

6.6.1 Notis Mesyuarat Agung Tahunan

Notis mesyuarat agung tahunan adalah merupakan suatu makluman yang


dikeluarkan oleh setiausaha syarikat dengan perintah lembaga pengarah
bertujuan untuk mempelawa atau menjemput semua ahli mesyuarat
untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan syarikat. Ahli-ahli mesyuarat
adalah termasuk pemegang saham berdaftar, pihak-pihak lain jika
dijemput seperti juruaudit, kreditor dan lain-lain.

Maklumat yang terkandung dalam notis ini adalah tarikh, masa dan
tempat mesyuarat, agenda mesyuarat dan maklumat lain berkaitan
mesyuarat.

6.6.2 Maklumat dan Struktur Korporat

Maklumat korporat mendedahkan tentang ahli lembaga pengarah syarikat


dan jawatan masing-masing, setiausaha syarikat, alamat pejabat berdaftar,
pendaftar saham syarikat, juruaudit syarikat, bank-bank syarikat dan
penyenaraian bursa saham. Di samping itu, ada juga syarikat yang
mendedahkan tentang dana pemegang saham iaitu modal dibenarkan,
modal dibayar dan rezab syarikat, peguamcara syarikat dan jawatan kuasa
audit dalam ruangan maklumat korporat. Ruangan struktur korporat pula
mendedahkan maklumat tentang anak-anak syarikat, syarikat-syarikat
subsidiari dan bersekutu serta peratus pemilikan saham masing-masing
dalam kumpulan syarikat berkenaan.

6.6.3 Penyata Pengerusi

Penyata pengerusi lembaga pengarah syarikat selalunya khusus ditujukan


kepada pemegang-pemegang saham syarikat. Biasanya penyata dimulakan

224
dengan ulasan prestasi keseluruhan syarikat dan diikuti dengan prestasi
kewangan syarikat bagi tahun semasa. Selain daripada itu, maklumat
tentang pembayaran dividen kepada pemegang-pemegang saham,
peristiwa-peristiwa korporat yang penting yang berlaku dalam tahun
semasa dan jangkaan kedudukan serta pencapaian syarikat pada masa
hadapan juga turut dilaporkan.

Sebagai penutup, pengerusi selalunya akan menghulurkan penghargaan


kepada ahli-ahli lembaga pengarah, pihak pengurusan, staf syarikat,
pemegang saham, pelanggan, sekutu perniagaan dan semua pihak yang
terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam operasi syarikat.

6.6.4 Maklumat Penting Kewangan

Maklumat pada bahagian ini selalunya disediakan dalam bentuk penyata


perbandingan di antara tahun semasa dengan tahun-tahun sebelumnya.
Maklumat yang lazimnya didedahkan adalah seperti pendapatan operasi,
keuntungan sebelum cukai, keuntungan selepas cukai tetapi sebelum
kepentingan minoriti, aset dan liabiliti syarikat, dana pemegang saham,
kadar pertumbuhan dan nisbah-nisbah yang utama seperti perolehan
sesaham, dividen sesaham dan pulangan atas dana pemegang saham.

Selain daripada penyata perbandingan, terdapat juga syarikat yang


memuatkan graf dan carta-carta tentang maklumat daripada penyata
perbandingan yang menggambarkan prestasi syarikat. Sepertimana yang
kita sedia maklum, graf dan carta adalah salah satu kaedah persembahan
maklumat yang memudahkan pemahaman pembaca.

6.6.5 Kalendar Peristiwa Penting dan Aktiviti Korporat

Ruangan ini selalunya dimuatkan dengan gambar-gambar dan ulasan


peristiwa penting yang berlaku dalam tahun semasa. Di antaranya adalah
seperti pelancaran produk atau perkhidmatan baru, upacara memeterai
perjanjian atau memorandum persefahaman di antara syarikat dengan
pihak-pihak lain, lawatan pembesar negara atau pihak-pihak luar ke
syarikat, anugerah-anugerah yang diterima oleh syarikat, perasmian
cawangan atau anak syarikat yang baru, pengambilalihan syarikat dan juga
aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti penganjuran, tajaan atau
sumbangan untuk upacara sukan, majlis amal, derma kepada tabung dan
badan kebajikan serta aktiviti-aktiviti lain yang berlaku sepanjang tahun.

6.6.6 Laporan Kewangan

Laporan kewangan terdiri daripada beberapa laporan dan penyata yang


perlu didedahkan oleh syarikat seperti yang ditetapkan dalam Bahagian

225
VI: Akaun dan Audit, Akta Syarikat 1965. Penerangan bagi pelaporan
kewangan telahpun dibincangkan dalam bahagian 5.3 bab ini.

6.6.7 Kenyataan Berkenaan Kawalselia Korporat (Statement on


Corporate Governance)

Bagi syarikat-syarikat yang disenaraikan di BSKL, suatu kenyataan


berkenaan kawalselia korporat perlu dimasukkan ke dalam laporan
tahunan. Ini adalah merupakan suatu kenyataan bahawa syarikat telah
menerima pakai Malaysian Code of Corporate Governance dan melaksanakan
prinsip-prinsip serta praktis yang digariskan oleh kod berkenaan.

6.6.8 Analisis Pemegangan Saham

Ruangan ini pula mendedahkan tentang statistik pemegangan saham


dalam syarikat atau kumpulan syarikat. Agihan pemegangan saham oleh
pemegang saham dalam negara dan luar negara juga ditunjukkan jika ada.
Selain daripada itu, nama-nama 20 pemegang saham yang terbanyak turut
disenaraikan beserta dengan bilangan saham yang dipegang dan
peratusan pemegangan. Kadang-kadang maklumat tentang perubahan
dalam modal saham dibenarkan dan modal saham terbitan juga
dimuatkan.

6.6.9 Senarai Hartanah Syarikat

Maklumat tentang hartanah yang dimiliki oleh syarikat atau kumpulan


syarikat adalah diperincikan dalam ruangan ini. Setiap hartanah syarikat
akan disenaraikan beserta maklumat lokasi, jenis hartanah, kegunaan
semasa, keluasan, tempoh pemegangan, usia hartanah, nilai buku bersih
dan maklumat lain yang berkaitan.

6.6.10 Borang Proksi

Borang proksi merupakan suatu dokumen yang membolehkan seseorang


pemegang saham yang tidak dapat menghadiri mesyuarat agung tahunan
melantik seorang wakil untuk hadir ke mesyuarat dan mengundi bagi
pihaknya. Wakil ini tidak semestinya seorang ahli syarikat. Borang ini
hendaklah diisi dan dikembalikan kepada pihak syarikat tidak lewat
daripada 48 jam sebelum masa yang ditetapkan oleh mesyuarat itu.

Daripada semua item yang dibincangkan, item yang


mana yang mesti dimuatkan dalam laporan tahunan?

226
Kandungan laporan tahunan bagi item 5.6.2 hingga 5.6.5 adalah
maklumat yang didedahkan secara sukarela oleh syarikat. Boleh ditambah
atau dikurangkan memandangkan tiada keperluan perundangan yang
mengkehendaki maklumat ini didedahkan. Item 5.6.6 merupakan
maklumat yang mesti dilaporkan oleh semua syarikat sebagaimana yang
telah ditetapkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan MASB 1. Manakala
bagi item 5.6.7 dan 5.6.9 perlu didedahkan oleh syarikat yang
disenaraikan di BSKL sebagaimana yang telah ditetapkan dalam
Keperluan Penyenaraian oleh BSKL di bawah Peraturan 62(5) dan 64.

6.7 KESIMPULAN

Laporan kewangan merupakan suatu alat untuk mengkomunikasikan


maklumat kewangan sesebuah entiti perniagaan kepada pihak-pihak yang
ada kepentingan dalam entiti tersebut. Maklumat yang didedahkan akan
membantu pengguna-pengguna membuat keputusan berkaitan dengan
bidang kepentingan masing-masing. Bagi membolehkan maklumat
didedahkan dan boleh disandari, maka pihak kerajaan telah
mengeluarkan peraturan-peraturan dan akta-akta tertentu sebagai asas
untuk menguatkuasakan peraturan pendedahan maklumat kewangan
seperti Akta Syarikat 1965, Keperluan Penyenaraian oleh BSKL dan
sebagainya.

Sesebuah syarikat biasanya menerbitkan laporan tahunan yang


memuatkan laporan kewangan di samping maklumat-maklumat yang lain
berkaitan dengan syarikat. Laporan tahunan amat berguna terutamanya
kepada pihak luaran yang ada kepentingan dalam syarikat berkenaan
seperti pemegang saham, kreditor, bakal-bakal pelabur dan kepada
masyarakat umumnya. Tanggungjawab mendedahkan maklumat kepada
pengguna luaran dan dalaman syarikat adalah terletak di atas bahu
pengarah-pengarah syarikat. Mereka perlu memastikan maklumat yang
dikeluarkan adalah mematuhi akta-akta dan peraturan-peraturan yang
sedia ada dan mereka juga bertanggungjawab sepenuhnya atas kebenaran
dan kesahihan maklumat yang dikeluarkan.

Perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat dan penggunaan


internet yang meluas pada hari ini telah memajukan lagi bidang
komunikasi dan menjadi pemangkin kepada kepantasan perubahan
terutamanya dalam dunia perniagaan. Pada hari ini, terdapat syarikat yang
mengeluarkan laporan tahunan melalui laman web syarikat masing-
masing. Maklumat kini hanya berada di hujung jari, kita boleh
mendapatkan maklumat berkaitan perniagaan termasuk maklumat
kewangan dan bukan kewangan dengan hanya klik pada homepej mana-
mana syarikat dalam internet. Maklumat kini lebih mudah dicapai dan
boleh diperolehi dengan cepat apabila diperlukan sebagai asas untuk
membuat keputusan.
227
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Yang manakah di antara berikut benar berkenaan pelaporan


kewangan sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta
Syarikat 1965?

A. Sesebuah syarikat yang baru ditubuhkan perlu


menyediakan satu laporan tahunan selewat-lewatnya 12
bulan daripada tarikh ia didaftarkan.
B. Laporan juruaudit luar adalah antara perkara yang perlu
ada di dalam laporan tahunan.
C. Syarikat tidak perlu menyediakan laporan tahunan
sekiranya ia tidak beroperasi secara aktif ataupun tidak
mendapat keuntungan yang dijangkakan pada tahun
tersebut.
D. Laporan tahunan perlu mengandungi sekurang-kurangnya
laporan pengarah dan struktur korporat sahaja.

2. Manakah di antara yang berikut bukan tujuan pelaporan


kewangan?

A. Menyediakan maklumat yang berguna bagi membuat


keputusan pelaburan dan memberi pinjaman.
B. Menyediakan maklumat berhubung perancangan sumber,
tuntutan terhadap sumber dan perubahannya.
C. Menyediakan maklumat berhubung nilai pembubaran
perniagaan.
D. Menyediakan maklumat yang berguna dalam menilai
prospek aliran tunai.

3. Seksyen 169, Akta Syarikat 1965 telah menetapkan perkara yang


perlu dilaporkan dalam laporan tahunan adalah:

A. Penyata pendapatan
B. Lembaran imbangan
C. Laporan pengarah
D. Semua di atas

4. Maklumat yang biasanya terdapat dalam laporan tahunan adalah


seperti berikut kecuali:

A. Laporan juruaudit
B. Maklumat korporat

228
C. Belanjawan syarikat
D. Notis mesyuarat agung tahunan

5. Yang manakah di antara berikut merupakan akta yang


dikuatkuasakan bagi hal-hal berkaitan pelaporan kewangan di
Malaysia:

i. Akta Pelaporan Kewangan 1997


ii. Akta Perkongsian 1961
iii. Akta Syarikat 1965
iv. Akta Cukai Pelaburan 1967

A. i dan ii sahaja
B. i, ii, iii sahaja
C. i, iii, iv sahaja
D. semua di atas

6. Nyatakan sama ada kenyataan berikut adalah benar (B) atau


palsu (P).

a. Notis mensyuarat agung tahunan ditujukan khusus


kepada ahli lembaga pengarah syarikat.
b. Penyata pengerusi adalah sebahagian daripada laporan
kewangan yang perlu disediakan oleh syarikat.
c. Ruangan kalendar peristiwa penting dan aktiviti korporat
bukanlah ruangan yang mesti dilaporkan dalam laporan
tahunan syarikat.
d. Borang proksi digunakan untuk melantik wakil bagi
menghadiri mesyuarat agung tahunan syarikat.
e. Pelaporan kewangan adalah kandungan utama dan yang
paling penting dalam laporan tahunan syarikat.
f. Hanya syarikat dalam industri tertentu sahaja yang
dimestikan untuk meyediakan laporan kewangan yang
mematuhi standard perakaunan yang diluluskan (MASB).

7. Apakah tujuan laporan kewangan dan laporan tahunan syarikat


disediakan?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

229
CADANGAN PENYELESAIAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 6.1

1. Pengguna maklumat sesebuah entiti perniagaan boleh


dibahagikan kepada dua kategori iaitu pengguna dalaman dan
pengguna luaran. Pengguna dalaman terdiri daripada individu
yang berada di dalam entiti perniagaan berkenaan seperti pihak
pengurusan dan pekerja. Pengguna luaran pula terdiri daripada
pihak luar yang mempunyai kepentingan langsung dan tidak
langsung dalam entiti perniagaan berkenaan contohnya seperti
bakal pelabur, pihak LHDN, pemegang saham, pelanggan dan
sebagainya.

SDT 6.2

1. Penyata pendapatan mendedahkan maklumat tentang hasil


operasi perniagaan, hasil-hasil lain dan belanja yang dilibatkan
oleh perniagaan dalam sesuatu tempoh perakaunan. Dengan
adanya maklumat ini, dapatlah ditentukan sama ada operasi
perniagaan membawa kepada keuntungan atau mengalami
kerugian. Lembaran imbangan pula mendedahkan maklumat
tentang kedudukan kewangan perniagaan pada akhir tempoh
perniagaan. Kita dapat mengetahui maklumat tentang aset,
liabiliti dan baki akhir ekuiti pemilik peniagaan dengan meneliti
lembaran imbangan yang disediakan.

SDT 6.3

1.
1. P
2. B
3. P
4. P
5. P
6. B

230
SDT 6.4

1. Penyata dan laporan yang terkandung dalam laporan kewangan


syarikat adalah

i. Laporan pengarah
ii. Laporan juruaudit
iii. Penyata pendapatan
iv. Lembaran imbangan
v. Penyata perubahan ekuiti
vi. Penyata aliran tunai
vii. Nota kepada akaun
viii. Kenyataan pengarah
ix. Perisytiharan berkanun

231

You might also like