You are on page 1of 14

SMA AL-KHAIRIAH AL-ISLAMIAH MERSING

PENGKARYA MUDA JOHOR

2021

CERPEN:

SAYANG CIKGU MAWAR

NURIN AISYAH BINTI SHAIFUL SHAFIK


SAYANG CIKGU MAWAR

Kring …. Kring …. Kring ….

“Masa dah tamat. Kelas, kita jumpa esok pada masa kelapan. Siapkan latihan yang

saya berikan tadi dan esok kita akan masuk tajuk baru” Kata Cikgu Ita kepada anak

muridnya.

“Kita belajar tajuk baru minggu depan sajalah, cikgu. Otak saya sudah tidak boleh

masuk apa–apa subjek lagi” keluh Tang Chen sambil memegang kepalanya yang

sedikit pening.

“Tidak boleh Tang. Kita mesti habiskan subjek ini secepat mungkin. Lagipun SPM

sudah hampir dekat” kata Cikgu Ita lagi dengan nada yang lembut. Sayu melihat

wajah anak muridnya yang keletihan semuanya.

“Baiklah, saya keluar dahulu. Jumpa lagi, semua” kata Cikgu Ita lalu beredar

daripada kelas.

“Jumpa lagi, cikgu” serentak mereka menjawab.

Cikgu Ita berasa sangat letih pada hari itu kerana dia terpaksa mengambil

masa dua jam untuk mata pelajaran Matematik. Seperti anak muridnya yang lain,

keletihan semuanya. Cikgu Ita terus masuk ke dalam bilik guru dan mendapatkan air

di atas mejanya lalu minum. Cikgu Ang dari jauh memerhatinya datang dan terus

menyapanya.

“Cikgu Ita, gelojohnya awak minum air. Perlahan–lahan. Nanti tersedak siapa mahu

tolong? Saya juga” gurau Cikgu Ang kepada Cikgu Ita.


Cikgu Ita hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Cikgu Ita

seorang yang lemah lembut dan penyayang. Jadi tidak hairanlah dia dinobatkan

sebagai Guru Penyayang setiap tahun.

“Saya sangat letih hari ini Ang. Saya terpaksa mengambil dua jam untuk mata

pelajaran Matematik. Saya rasa mahu rehat sebentar tetapi sekarang saya ada

kelas dengan murid Tingkatan 4. Saya pergi dahulu Ang” rintih Cikgu Ita dengan

wajah yang tampak penat lalu bergegas ke kelasnya.

Cikgu Ang berasa kasihan dengan Cikgu Ita. Jika Cikgu Ita ada sebarang

masalah, Cikgu Anglah tempat dia mengadu. Cikgu Ang merupakan seorang guru

kaunseling dan beliau sangat berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja. Beliau sangat

disegani oleh anak muridnya.

“Kelas awak sudah tamat?” tanya Cikgu Santesh yang merupakan Guru Penolong

Kanan di situ.

“Sudah cikgu” jawab Cikgu Ita lalu melemparkan sebuah senyuman.

“Kalau begitu, awak pulanglah ke rumah. Muka awak nampak kepenatan. Esok

sudah mula kelas tambahan dengan Tingkatan 5. Sebelum saya terlupa, nanti

hantar markah ujian Matematik Kelas 5 Emas kepada saya. Baiklah, saya pulang

dahulu. Jumpa lagi esok” kata Cikgu Santesh kepada Cikgu Ita.

Cikgu Ita hanya melemparkan sebuah senyuman sahaja kepada Cikgu

Santesh kerana tidak mampu untuk berkata-kata. Teringat kata Cikgu Santesh

tentang markah ujian membuat hatinya tidak tentu arah. Markah ujian anak murid

Kelas 5 Emas belum lagi Cikgu Ita selesaikan dan yang paling membuatkan hatinya

tidak tenteram, markah ujian dan kertas peperiksaan ada di kampung ketika cuti

panjang minggu lepas. Tanpa berlengah, Cikgu Ita terus membawa beg tepinya
sambil berlari ke arah keretanya. Di dalam fikirannya adalah pulang ke kampung.

Ketika hendak masuk ke kereta, Cikgu Ang sekali lagi menyapanya.

“Ita sudah mahu pulang ke rumah?” soalnya dengan lembut.

“Saya mahu pulang ke kampung halaman saya Ang. Saya tertinggal markah ujian

dan kertas periksa di kampung. Esok saya mesti hantar pada Guru Penolong Kanan.

Saya sudah lambat. Saya gerak dahulu” kata Cikgu Ita lalu berlalu pergi dengan

kereta Myvinya itu.

Cikgu Ang tidak dapat menghalang tujuan Cikgu Ita. Dia hanya mampu

melihat sahaja Cikgu Ita. Cikgu Ita adalah seorang yang tegas dalam membuat

keputusan. Harapannya adalah ingin membantu Cikgu Ita dalam apa jua keadaan.

Cikgu Ita adalah rakannya semasa mereka di universiti dahulu. Mereka sangat akrab

sehingga kini.

Pada waktu Asar, Cikgu Ita sampai ke kampung kecil itu. Mujur

kampungnya dekat sahaja dengan rumahnya. Sesampai sahaja di sana, dia disapa

oleh ibunya, Puan Marina.

“Assalamualaikum. Mak sihat? Raudhah ada?” soal Ita lalu berjabat tangan dengan

ibu tercintanya itu.

“Sihat, alhamdulillah. Raudhah masih di sekolah. Kenapa balik kampung tak beritahu

mak? Boleh mak masak lauk kegemaran Ita” kata Puan Marina dengan teruja.

“Ita minta maaf mak. Ita tidak sempat untuk menelefon mak. Ita balik untuk ambil

barang yang tertinggal. Esok, Ita mesti hantar pada pihak atasan. Ita tinggal di sini

ya mak untuk satu malam. Ita belum solat lagi mak. Ita masuk bilik dulu mak” terang

Ita dengan sopan.


“Baiklah, Ita. Mak faham. Mak masakkan lauk untuk Ita makan” kata Puan Marina

lalu mengusap kepala anak sulungnya itu.

Cikgu Ita terus menuju ke kamar tidurnya dan menunaikan solat fardhu

Asar. Setelah itu, dia terus mengeluarkan satu kotak berwarna kuning yang dipenuhi

dengan kertas periksa lalu diletakkan di atas meja. Tiba-tiba potret ayahnya terjatuh

di atas lantai. Cikgu Ita mengambil potret itu. Dia menjadi sebak lalu dipegang erat

potret ayahnya itu. Tanpa disedari, air matanya mengalir deras apabila teringatkan

arwah ayahnya yang sudah dua tahun meninggalkan mereka. Perlahan-lahan dia

mengusap air matanya dan segera meneruskan kerjanya.

Ketika Cikgu Ita sedang menyemak kertas periksa Kelas 5 Emas, terdetik

di dalam hatinya untuk melihat markah ujian seorang anak muridnya. Alangkah

terkejutnya dia apabila markah ujian Mei Shin Ling hanya 5 markah. Cikgu Ita

menghela nafas panjang dan memejamkan mata seketika. Melihat markah anak

murid itu menyedarkan dia bahawa tugas seorang guru ialah perlu mendidik dan

membimbing muridnya sehingga cerdik. Cikgu Ita nekad untuk berjumpa dengan Mei

Shin Ling esok.

“Mak, Ita gerak dulu, ya. Nanti lambat sampai sekolah” kata Cikgu Ita lalu menyalam

tangan ibunya.

“Hati-hati Ita bila memandu kereta. Makan bekal yang mak beri itu. Beri pada Cikgu

Ang sekali” ucap ibunya.

“Baik mak. Ita ingat pesan mak.”

“Akak, jangan lupa pulang ke kampung lagi. Sunyi rumah ini tiada akak” rintih adik

tercintanya, Mawar Raudhah kepada kakak kesayangannya itu.


“Ya. Nanti hujung minggu akak pulang” katanya lalu menuju masuk ke dalam kereta.

Di dalam perjalanan, Cikgu Ita memasang niat untuk berjumpa dengan Shin

Ling. Dia mahu mengajar Shin Ling dengan kerap sehingga pandai.

“Ang, ini ada sedikit makanan. Ibu saya bekalkan untuk awak” kata Cikgu Ita lalu

menghulurkan mangkuk tingkat berwarna biru kepada Cikgu Ang.

“Wah, macam tahu saja saya belum makan. Terima kasih Ita. Ibu awak memang

orang yang berhati mulia” kata Cikgu Ang dengan gembira lalu mengambilnya.

“Ini makanan kegemaran saya. Mesti sedap ibu awak masak.”

“Ang…”

“Ya, Ita. Kenapa? Ada apa-apa yang saya boleh bantu?”

“Saya perlukan bantuan awak.”

“Benarkah? Jika begitu, ceritakan pada saya dan mungkin saya boleh bantu awak.”

“Begini, seorang pelajar saya daripada Kelas 5 Emas sangat lemah dalam mata

pelajaran Matematik. Saya nekad untuk kerap mengajar dan membantu dia. Ketika

saya mengajar di dalam kelas itu tadi, saya melihatnya daripada jauh dan dia cuba

untuk memahami apa yang saya sedang ajar. Saya berasa sedih apabila melihat dia

begitu. Simbol Matematik seperti tambah dan tolak juga sukar untuk dia fahami.

Saya mahu awak bantu saya dengan berikan sedikit tips berkesan untuk

mengajarnya” terang Cikgu Ita panjang lebar.

“Saya boleh bantu awak tetapi siapakah murid yang awak maksudkan?” soal Cikgu

Ang yang penuh tanda tanya.

“Namanya ialah Mei Shin Ling.”


“Oh, murid itu bukan sahaja lemah dalam mata pelajaran Matematik malah boleh

dikatakan semua mata pelajaran yang dipelajarinya sangat lemah. Kalau tidak silap

saya, Shin ling seorang yang ‘istimewa’ berbanding dengan rakannya yang lain.

Pihak sekolah telah memasukkan Shin Ling ke kelas pendidikan khas tetapi

kehendak keluarganya mahu Shin Ling berada di dalam kelas biasa seperti orang

lain. Disebabkan itu, pihak sekolah akur. Beberapa guru sahaja yang tahu tentang

Shin Ling termasuk saya. Selain itu juga, Shin Ling dilarang keluarganya pergi ke

kelas tambahan sama ada petang atau malam. Keluarganya amat risau akan Shin

Ling” panjang lebar keterangan Cikgu Ang.

“Shin Ling merupakan seorang murid istimewa! Tidak mungkin Ang. Saya lihat wajah

dan anggota badannya kelihatan baik” keliru Cikgu Ita.

“Memang wajah dan anggota badannya kelihatan baik tetapi itu dari luaran sahaja.

Dari segi dalamannya, otaknya agak lambat untuk memproses sesuatu. Itulah

dikatakan istimewanya Shin Ling” terang Cikgu Ang dengan tenang.

Cikgu Ita menuju ke mejanya dan terduduk apabila teringat tentang Shin Ling.

Dia tidak percaya bahawa Shin Ling seorang yang istimewa. Dia perasan Shin Ling

sangat pendiam di dalam kelas dan tidak begitu bergaul dengan rakannya yang lain.

Namun begitu, ia tidak membuatkan Cikgu Ita terus berputus asa. Ini embangunkan

lagi semangat Cikgu Ita untuk mendidik Shin Ling.

Cikgu Ita termenung seketika di atas kerusi dan mendapat satu idea lalu terus

pergi berjumpa dengan Cikgu Ang. Selepas tamat sekolah, Cikgu Ita terus berjumpa

dengan Shin Ling. Shin Ling sangat teruja apabila guru kegemarannya ingin

berjumpa dengannya.
“Shin Ling, cikgu mahu tanya awak beberapa soalan boleh?” soal Cikgu Ita kepada

muridnya yang istimewa.

“Boleh, cikgu. Apa soalannya cikgu?” tanya Shin Ling dengan teruja.

“Cikgu ingin mengajar awak dengan kerap untuk mata pelajaran Matematik, boleh ke

jika cikgu datang ke rumah awak pada setiap minggu” kata Cikgu Ita dengan nada

lembut.

“Boleh cikgu tetapi saya kena beritahu pada mama dan papa saya dulu” gembira

bercampur sedih Shin Ling.

“Jangan risau Shin Ling. Saya sudah hubungi keluarga awak dan mereka bersetuju

untuk saya mengajar di rumah awak” kata Cikgu Ita sambil menatap wajah Shin

Ling. Ternyata Shin Ling sangat cantik jika tersenyum. Sejuk mata Cikgu Ita

melihatnya.

“Benarkah cikgu? Wah, tidak sabar untuk belajar dengan cikgu! Bila kita boleh mula

kelas?” soal Shin Ling yang sangat gembira.

“Esok, saya akan datang ke rumah awak. Pastikan semua alat tulis dan buku sedia

ada” pesan Cikgu Ita.

“Baiklah cikgu. Saya akan ingat pesanan cikgu. Saya balik ke rumah dahulu cikgu.

Jumpa lagi esok” kata Shin Ling lalu melambaikan tangan ke arah Cikgu Ita sebelum

berlalu pergi.

Cikgu Ita sudah menghubungi keluarga Shin Ling dan keluarganya amat risau

akan keputusan Shin Ling tetapi Cikgu Ita sanggup menawarkan dirinya untuk

mengajar semua mata pelajaran demi kepentingan Shin Ling. Cikgu Ita boleh
mengajar subjek lain selain subjek Matematik. Itulah kelebihan yang ada pada Cikgu

Ita. Cikgu Ita masuk ke dalam bilik guru dengan wajah yang senang.

“Bagaimana dengan Shin Ling? Keluarganya membenarkannya?” tanya Cikgu Ang.

“Keluarganya sangat setuju dengan cadangan itu Ang. Saya sangat gembira dan

tidak sabar untuk mengajarnya esok. Terima kasih kerana banyak menolong saya”

kata Cikgu Ita dengan teruja.

“Sama-sama Cikgu Ita. Baguslah kalau begitu. Saya harap dia suka dengan cara

pengajaran baharu kita itu” kata Cikgu Ang sambil mengangkat kedua belah

keningnya itu.

“Mesti Shin Ling suka dengan pengajaran kita nanti” yakin Cikgu Ita.

Keesokannya, Cikgu Ita datang ke rumah Shin Ling dengan membawa sedkit

buah tangan yang berupa buah. Ibunya memberitahu Cikgu Ita bahawa Shin Ling

amat sukakan buah-buahan. Shin Ling yang dari tadi menunggu akhirnya berlari ke

arah gurunya dan menyapanya.

“Cikgu Mawar sudah sampai. Cikgu, jemput masuk ke rumah saya” pelawa Shin

Ling.

Cikgu Ita terkejut kerana di sekolah atau di rumah, orang akan

memanggilnya Ita tetapi muridnya yang istimewa ini memanggilnya Mawar.

Alangkah terkejutnya apabila Cikgu Ita masuk ke rumah Shin Ling. Rumahnya

dipenuhi dengan pokok Bunga Mawar berwarna-warni.

“Cikgu Mawar, hari ini kita mahu belajar tajuk apa?” soal Shin Ling dengan

melemparkan sebuah senyuman kepada guru kesayangannya itu.


“Panggil saja Cikgu Ita. Saya tidak biasa dengan panggilan Mawar” terang Cikgu Ita

sambil tersipu malu.

“Saya mahu panggil Cikgu Mawar sebab saya suka dengan Bunga Mawar. Bila saya

rasa jatuh, saya akan lihat dan bercakap dengan Bunga Mawar. Saya rasa dia

faham akan perasaan saya” ucap Shin Ling lalu menundukkan kepalanya. Cikgu Ita

berasa sedih apabila mendengar rintihan anak muridnya itu.

“Awak orang kedua yang panggil saya Mawar. Saya izinkan awak memanggil saya

dengan nama itu. Hati saya sangat tenang apabila orang memanggil saya Mawar.”

Kata Cikgu Ita lalu tersenyum.

“Kedua? Siapa yang pertama memanggil Cikgu Mawar?” soal Shin Ling.

“Ayah saya, Shin Ling. Cikgu ada bawa buku untuk semua mata pelajaran. Hari ini,

saya akan ajar awak subjek Bahasa Melayu. Bolehkah Shin Ling?” kata Cikgu Ita

yang sedang menahan sebak.

Ternyata dia terlalu rindukan arwah ayahnya itu. Namun sedaya upaya untuk

menyembunyikan kesedihannya itu daripada orang lain.

“Bukankah cikgu mengajar mata pelajaran Matematik?” tanya Shin Ling kehairanan.

“Untuk pengetahuan Shin Ling, cikgu boleh mengajar macam-macam subjek. Jadi

tanya saja apa-apa subjek kalau tidak faham” kata Cikgu Ita. Tiba-tiba tangannya

disentuh lembut oleh Shin Ling.

“Cikgu Mawar, jika hati merindukan seseorang, adakan satu cara untuk cikgu

mengubati perasaan rindu itu” kata Shin Ling sambil mengusap lembut kedua

tangan gurunya itu.


Kata-kata dan perbuatan Shin Ling kepadanya membuatkan dia amat

terkejut. Dia kembali teringatkan ayahnya apabila Shin Ling memegang tangannya.

Ketika dia masih kecil, ayahnya akan memegang dan mengusap lembut kedua

tangannya serta akan memberi 1001 nasihat dan pesanan kepadanya setiap hari.

Shin Ling seakan-akan tahu isi hatinya. Dia menahan sebak sekali lagi. Dia tidak

tahan untuk menahan sebak di dadanya terus melanjutkan pengajarannya kepada

anak murid istimewanya itu. Dia terus mengajar Shin Ling dengan teknik yang diajari

oleh Cikgu Ang.

“Itu sahaja untuk kelas hari ini. Kita jumpa esok, Shin Ling. Jangan lupa malam ini

untuk mengulangkaji semula pelajaran yang kita belajar tadi” kata Cikgu Ita.

“Terima kasih Cikgu Mawar. Saya amat faham apa yang cikgu ajar. Tidak sabar

untuk menanti hari esok” kata Shin Ling teruja lalu menyalam kedua tangan gurunya

itu.

“Saya pergi dahulu” ucap Cikgu Ita lalu melemparkan sebuah senyuman yang manis

kepada Shin Ling dan menuju masuk ke perut kereta.

Ternyata Shin Ling amat fasih berbahasa melayu tetapi dia sukar untuk

menulis dalam Bahasa Melayu. Ada saja tulisan Bahasa Cina yang dicampurkan ke

dalam penulisannya. Ketika dalam perjalanan pulang, tiba-tiba dia teringat akan

kata-kata Shin Ling yang menyuruhnya adakan satu cara untuk mengubati perasaan

rindu. Setelah berfikir lama, akhirnya dia telah menemukan satu cara untuk

mengubat perasaan rindunya akan ayahnya.

Panggilan Mawar membuatkan hatinya terubat darpada perasaan rindu. Pada

firasatnya, Shin Ling pelajar yang amat luar biasa. Namun begitu, dia tidak pernah

membandingkan Shin Ling dengan pelajar lain. Paginya, Cikgu Ita ke sekolah dan
petang ke rumah Shin Ling untuk mengajarnya. Sesekali dia akan menelefon ibunya

di kampung. Setiap hari Jumaat, Cikgu Ita akan mengunjungi pusara ayahnya.

Setiap hujung mingu, dia dan Cikgu Ang akan pergi beriadah bersama-sama di

sebuah taman permainan yang berhampiran dengan sekolah. Itulah rutin Cikgu Ita

setiap hari. Hatinya lebih tenang dan gembira.

Hari silih berganti, peperiksaan hampir tiba. Cikgu Santesh mengumpulkan

semua pelajar tingkatan 5 di dataran sekolah, untuk sesi motivasi bersama dengan

Cikgu Ang. Cikgu Ang selaku guru bimbingan dan kaunseling telah memberi kata-

kata semangat kepada pelajar-pelajar tingkatan 5.

“Pada hari esok, kamu semua akan menjalani Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Saya harap semua sudah bersedia untuk menjalani peperiksaan tersebut. Bacalah

buku-buku dan nota-nota yang diberikan oleh guru-guru kamu. Keputusan

peperiksaan ini akan menentukan kamu untuk masuk ke universiti. Sepanjang 5

tahun kamu di sini, semoga ada hasil yang baik apabila kamu semua keluar dari

sekolah ini. Sentiasa kuatkan diri dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi

peperiksaan esok. Buatlah yang terbaik dan banggakan ibu bapa awak. Mereka

setiap hari mencari rezeki untuk kamu semua. Mereka tidak pernah mengeluh untuk

memberi yang terbaik untuk kamu. Tugas kami sebagai guru kamu di sini sudah

berakhir. Jangan lupa apa yang diajari oleh guru-guru kamu. Mereka tidak pernah

kenal erti lelah atau penat. Saya yakin kamu semua dapat mencapai impian dan

cita-cita masing. Semoga kamu dapat menjawab kertas soalan dengan baik esok”

ucap Cikgu Ang panjang lebar dan diakhiri dengan senyuman.

Kata-kata Cikgu Ang sangat mendalam. Semua murid tercengang melihat

Cikgu Ang. Mereka memang suka akan kata-kata Cikgu Ang. Jadi tidak hairanlah
jika anak-anak muridnya di sekolah itu sama ada lelaki atau pertempuan rapat

dengannya. Cikgu Ang juga amat fasih berbahasa melayu.

Hari demi hari, selepas tamat Peperiksaan SPM pada 4 bulan lepas, kini

Cikgu Ita menanti keputusan SPM murid-murid Tingkatan 5 tahun lepas. Semua

pelajar datang ke sekolah dan bersalaman dengan guru-guru di sekolah itu. Cikgu

Ita melihat ke arah pintu pagar sekolah. Dia menanti kedatangan seseorang.

“Hai, Cikgu Mawar Rozita binti Daud, awak menunggu kedatangan Mei Shin Ling

ke?” tanya Cikgu Ang lalu melihat keluar.

“Bagaimana awak tahu saya menunggunya?” soal Cikgu Ita kepada Cikgu Ang yang

seakan-akan tahu isi hatinya.

“Mestilah saya tahu. Saya sahabat awak. Lagipun, Shin Ling antara pelajar yang

sangat rapat dengan awak. Ita, cuba awak lihat di luar” kata Cikgu Ang lalu

menunjukkan jari telunjuknya ke arah luar.

Cikgu Ita melihat keluar pagar dan mendapati Shin Ling melambaikan

tangan ke arahnya. Cikgu Ita membalas lambaian itu dan tersenyum. Shin Ling terus

berlari dan seraya memeluk tubuh kecil Cikgu Ita. Cikgu Ang melihat mereka turut

tersenyum.

“Saya sangat rindu sama Cikgu Mawar. Cikgu sihat? Cikgu sudah makan?” tanya

Shin Ling kerisauan.

“Cikgu pun rindu dengan Shin Ling. Cikgu sentiasa sihat. Cikgu sudah makan pagi

tadi” jawab Cikgu Ita kegembiraan.

Lega Shin Ling mendengar jawapan daripada Cikgu Ita. Mereka terus pergi

ke dewan sekolah. Cikgu Ita duduk di tempat guru-guru manakala Shin Ling dan
keluarganya duduk di kawasan pelajar Tingkatan 5 berkumpul. Mereka sedang

menanti keputusan SPM masing-masing.

“Beliau adalah pelajar yang istimewa tetapi berada di dalam kelas biasa seperti

pelajar lain. Pelajar ini ingin menjadi seorang guru suatu hari nanti. Beliau telah

meraih 15 A dalam SPM. Dijemput Mei Shin Ling untuk naik ke pentas dan berikan

sepatah dua kata” ucap Cikgu Alia selaku pengacara majlis di dewan tersebut.

Semua yang ada di situ berdiri dan menepuk-nepuk tangan kepada Shin Ling. Cikgu

Ita yang ada di situ mengalirkan air mata kerana dia berjaya mendidik seorang

pelajar istimewa menjadi pelajar yang luar biasa.

“Terima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik saya selama 5 tahun di sini.

Saya telah membanggakan mama dan papa saya. Terima kasih mama dan papa.

Akhir sekali, saya mahu berterima kasih kepada Cikgu Mawar yang setiap hari

datang ke rumah saya untuk mengajar saya semua subjek. Cikgu Mawar tidak

pernah mengeluh dan penat kepada saya. Cikgu Mawar, saya berharap saya boleh

jadi guru macam cikgu” ucap Shin Ling di atas pentas lalu tersenyum ke arah Cikgu

Ita.

“Saya sayang Cikgu Mawar!” teriak Shin Ling dan membuatkan semua pelajar dan

guru-guru di situ menangis dan memberi sokongan kepada Shin Ling. Cikgu Ita

berharap pelajar lain dan Shin Ling dapat mencapai impian dan hasrat masing-

masing. Cikgu Ita adalah guru yang melahirkan pelajar istimewa kepada pelajar

yang luar biasa. (3004 Patah Perkataan)

You might also like