You are on page 1of 10

‘BAJU ADIK’

Aminuddin TM

Perhimpunan hari ini adalah sejarah.


Aku pasti namaku dan beberapa orang pelajar lain akan dipanggil hari ini.
Banyak yang akan terkejut apabila mendengar namaku nanti. Bukan tidak pernah
namaku dipanggil ke hadapan sewaktu perhimpunan. Biasanya aku dipanggil untuk
menerima hadiah atau penghargaan setiap kali selesai peperiksaan penggal. Kadang-
kadang dijemput untuk mendeklamasikan sajak apabila aku memenangi pertandingan
deklamasi sajak peringkat PPD atau negeri.
Aku mendapat maklumat 5 orang pelajar akan dipanggil hari ini, Arni dan aku
dari kelas 5SN1 dan tiga pelajar lelaki dari kelas lain.
“Semua bangun, Assalamualaikum cikgu,” lantang suara Amir ketua tingkatan
5SN1 memberi arahan apabila tiba-tiba Cikgu Aziz, Cikgu Azmi dan Cikgu Rosnani
menyerbu masuk ke kelas kami. Kami hanya mengikut arahan Amir memberi salam
kepada cikgu-cikgu yang amat kami kenali dari unit displin itu.
“Baik, semua berdiri dan letakkan beg di atas meja, semua pelajar lelaki keluar
ke hadapan,” suara garau Cikgu Aziz memberi arahan. “Spot check”, bisik Milah
kepadaku. “Biasalah,” balasku sambil melihat pelajar lelaki bergerak ke hadapan.
Cikgu Aziz memeriksa pelajar lelaki seorang demi seorang, dari kepala hingga
ke kaki manakala Cikgu Rosnani dan Cikgu Azmi mula membuka satu persatu beg di
atas meja. Kami hanya memerhati saja. Tiada siapa yang berani bersuara apatah lagi
apabila melihat raut wajah Cikgu Aziz yang tidak pernah senyum.
“Baiklah, semua pelajar lelaki keluar kelas. Terima kasih atas kerjasama dan
tahniah kerana anda semua tiada masalah hari ini,” ujar Cikgu Aziz memecah
kesunyian setelah menerima isyarat ibu jari daripada Cikgu Azmi dan Cikgu Rosnani.
Mata kami turut menghantar pelajar lelaki keluar kelas.
“Pelajar perempuan, sila ke hadapan. Buat satu barisan panjang,” sekali lagi
Cikgu Aziz memberi arahan. Tanpa berlengah Cikgu Rosnani memeriksa kami dari atas
ke bawah seperti pegawai kastam membuat pemeriksaan terhadap PATI di Rantau
Panjang. Cikgu Aziz dan Cikgu Azmi terus ke meja kami membuka satu persatu beg di
atas meja.
Kami hanya memerhati dengan hati berdebar. Cikgu Aziz sememangnya tegas
dan sukar untuk bertolak ansur apabila pelajar-pelajar melanggar peraturan sekolah.
“Arni Mastura!, mari sekejab,” Cikgu Aziz memanggil Arni, pelajar paling cantik
dalam kelas kami. “ Tengok, apa yang awak bawa ke sekolah, awak ni nak belajar ke
apa?, suara Cikgu Aziz mula meninggi apabila Arni menghampirinya. “ Kan sudah
berkali-kali saya cakap, pelajar perempuan tidak dibenarkan membawa “make-up” ke
sekolah, awak tak dengar ke dalam perhimpunan, atau sengaja buat-buat tak faham?”
1
tegas Cikgu Aziz sambil mengeluarkan sikat, cermin kecil, bedak, gincu, dan minyak
wangi berjenama Silky Girl dari beg Arni..
“Maafkan saya cikgu, pagi tadi kami ada PJ,” Arni cuba bersuara.
“Habis tu, apa kaitannya mata pelajaran PJ dengan “make-up” awak, ini
bukannya kelas Seni Kecantikan, selepas PJ awak semua akan kembali ke kelas dan
teruskan semula pembelajaran, bukannya nak pergi buat konsert. Awak ni nak jadi artis
ke apa?” Tulis nama dalam buku ni, nanti perhimpunan kita jumpa,” arah Cikgu Aziz
sambil memasukkan barang-barang Arni dalam plastik hitam yang dibawanya.
Aku melihat Arni hanya diam dan menulis namanya dalam buku rekod displin
pelajar yang sentiasa dikelek oleh Cikgu Aziz.
Cikgu Rosnani sudah siap memeriksa kami dan menunggu arahan seterusnya
daripada Cikgu Aziz. Cikgu Azmi dan Cikgu Aziz meneruskan “spot check”, mereka
sedang memeriksa beg di meja barisan akhir. Hatiku mula berdebar apabila melihat
Cikgu Aziz mula begerak ke mejaku, walaupun yakin, tapi aku rasa tak sedap hati bila
Cikgu Aziz membuka beg aku.
Setelah berpuas hati Cikgu Aziz menzip semula beg aku. Kemudian aku lihat Cikgu
Aziz mengeluarkan 2 beg plastik dari laci mejaku. “Alamak! baju adik, Ya Allah,
selamatkan aku,” itulah ungkapan yang mampu aku ucapkan di hatiku.
“ Meja siapa ni?” sekali lagi suara garau Cikgu Aziz mengejutkan kami. “ Saya
Cikgu,” jawabku ringkas. “ Oh! Rashidah, sini kejab,” minta Cikgu Aziz. Aku bergerak ke
mejaku diiringi Cikgu Rosnani. Cikgu Azmi dan pelajar lain hanya memerhati sahaja
dengan penuh tanda tanya.
“ Cuba lihat ni, apa yang awak bawa?” tanya Cikgu Aziz. “Itu baju PJ cikgu,” aku
cuba menjawab. “Saya kenal itu memang baju PJ, tapi yang ini apa?, awak jangan cuba
nak main-main dengan saya,” suara Cikgu Aziz mula meninggi. Semua mata
memandang ke arahku.
“ Maafkan saya cikgu, itu baju adik saya,” jawabku ikhlas dengan suara yang
agak gementar. Pelajar lain ketawa apabila mendengar jawapanku, aku faham apa
yang mereka fikirkan.
“Oh!, baju adik, jadi sekarang awak pun dah pandai pakai baju adik, awak nak ke
mana dengan baju adik ni? Ingat Rashidah!, awak tu salah seorang pelajar cemerlang
sekolah ni, tak lama lagi awak akan menduduki SPM. Jangan cuba nak mencemarkan
nama baik awak dan sekolah dengan baju adik ini,” jelas Cikgu Aziz tanpa
menunjukkan belas kasihan terhadapku.
Semua pelajar SMK Tanah Merah (SMKTM) tahu perangai Cikgu Aziz, wajahnya
serius dan tidak pernah senyum, itu pun sudah cukup menggerunkan kami. Dia akan
bertegas dengan tindakannya. Sebagai SU Displin dia tidak mudah untuk berkompromi
apabila seseorang pelajar itu didapati melanggar peraturan sekolah sehinggalah
dibuktikan tidak bersalah.

2
Tetapi dalam hal ini, aku perlu berani kerana aku rasa aku tidak bersalah dan
perlu membela diri. “Betul cikgu, saya tak bohong. Saya beli baju tu semasa datang
kelas tambahan semalam. Sengaja saya simpan dalam laci dahulu kerana saya janji
nak berikan kepada adik saya hari ni, hari ini hari lahirnya cikgu,” aku cuba memberi
penjelasan namun usaha aku untuk membela diri nampaknya tidak berhasil
melembutkan hati Cikgu Aziz.
Cikgu Aziz sudah membuka buku rekod disiplinnya. “Saya tak nak dengar alasan
awak sekarang. Peraturan tetap peraturan. Jangan buangkan masa saya. Sekarang
tulis nama dalam buku ni dan baju ini saya akan simpan dahulu sebagai bahan bukti,
kita jumpa di perhimpunan minggu depan.” tegas Cikgu Aziz sambil memasukkan baju
adik ke dalam beg plastik hitam.
Cikgu Aziz meminta pelajar lelaki masuk kelas dan terus keluar bersama-sama
Cikgu Azmi dan Cikgu Rosnani.Suasana kelas agak bising seketika, rakan-rakan mula
datang kerumun aku dan Arni.Aku cuba menahan sebak tetapi apabila melihat Arni
mula menitiskan air mata, aku pun tidak mampu menahan lagi. Manik-manik mutiara
mula terbit dari kelopak mataku.
Aku terkenangkan adikku Rozi. Walaupun dia seorang istimewa, hubungan aku
dengannya amat akrab, dialah satu-satunya saudara yang aku ada di dunia ini. Tidak
seperti kawan-kawanku yang lain.. Kami hanya berdua.
“Kakak.., kakak.., kakak, bila nak beli baju adik?, kan kakak janji nak beli baju
baru, bila kak?” Itulah soalan yang akan diulang-ulang setiap kali aku balik dari
sekolah. Silap aku jugak kerana berjanji dengannya hendak belikan baju baru pada hari
lahirnya nanti. Adik manalah ingat bila tarikh hari lahirnya,kerana itulah hari-hari dia
akan menuntut janji.
“Dik, esok hari lahir adik, nanti esok bila akak balik sekolah kakak akan beli baju
baju yang adik nak tu. Warnanya, cantik sangat. Adik suka tak? Bisikku ke telinga adik
sebelum tidur semalam. Apa lagi, adik bertepuk-tepuk kegembiraan hingga lena dalam
tersenyum.
Aku agak terkejut apabila pengawas bertugas mengumumkan ketibaan pengetua
dan barisan pentadbir SMKTM. Pelajar-pelajar mula perlahankan suara, para guru mula
mengambil tempat sebelum ketibaan Pengetua diiringi barisan pentadbir apabila
dijemput oleh ketua Pengawas. Sebaik semua bersedia, bergemalah lagu Negaraku,
Selamat Sultan dan SMKTM Gemilang yang menjadi lagu wajib setiap kali perhimpunan
bermula.
Menjadi rutin perhimpunan di SMKTM, selepas guru bertugas memberi laporan
mingguan, SU Dispilin akan memanggil pelajar-pelajar yang melanggar peraturan
sekolah pada minggu sebelumnya ke hadapan untuk membuat akur janji tidak akan
mengulangi kesalahan yang telah dilakukan di hadapan Pengetua bersaksikan guru-
guru dan para pelajar.

3
Satu persatu nama pelajar yang melanggar peraturan minggu lepas dipanggil.
Apalah yang mampu aku buat selain daripada berdoa agar aku dikuatkan semangat
menghadapi situasi yang amat genting dalam sejarah persekolahanku ini.
Nasib baiklah adikku berjaya dipujuk dengan ais krim “connetto” apabila
menuntut baju barunya tempoh hari. Hati kecilku menangis kerana terpaksa berbohong
dengannya.
Aku rasakan ujian ini adalah terlalu berat bagiku, aku rasa amat sedih, seolah-
olah jasaku menaikkan nama sekolah sebelum ini tidak dihargai langsung. Mahu
rasanya aku memohon untuk bertukar sekolah.Tapi bila mengenangkan SPM hanya 2
bulan lagi, aku terpaksalah memujuk hatiku agar bersabar sajalah.
“ Rashidah Rashid 5SN1, sila keluar,” Cikgu Aziz memanggil aku.
Sebaik sahaja aku bangun. Lebih kurang 1,250 mata warga SMKTM memandang aku.
Aku tidak nampak apa-apa, aku rasa mual, seperti nak pitam. Kakiku terus sahaja
melangkah ke hadapan seolah-olah dipukau.
“ Rashidah Rashid, awak didapati melanggar peraturan membawa pakaian
selain pakaian yang dibenarkan ke sekolah, alasan bahawa baju itu baju adik awak
tidak boleh diterima. Sekarang ni , memang ramai pelajar perempuan yang suka pakai
‘baju adik’.Banyak maklumat yang kita perolehi, ada dalam kalangan pelajar perempuan
membawa dan memakai ‘baju adik’ sebaik sahaja keluar dari kawasan sekolah. Balik je
sekolah, mereka akan menyalin pakaian dan dengan ‘baju adik’ itulah mereka
melencong ke tempat lain sebelum pulang ke rumah,” Cikgu Aziz memberi penjelasan
tentang kesalahanku dan ada sebahagian pelajar yang ketawa mendengar penjelasan
tersebut.
Aku merasa amat malu. Aku tahu apa maksud Cikgu Aziz dengan ‘baju adik’
tersebut. Terpancar wajah-wajah simpati daripada beberapa orang guru yang rapat
dengaku. Cikgu Mala, guru kelasku hanya menundukkan muka, kerana tak sanggup
menatap wajah anak murid kesayangannya berada di hadapan perhimpunan dalam
situasi yang memalukan dan mennyedihkan itu.
Cikgu Aziz menghulur kad akur janji kepadaku. Aku menerimanya dengan
tenang sambil mengawal perasaan sebak dan berselawat beberapa kali dalam hati
kerana itulah pesanan arwah ayah apabila kita berada dalam kesusahan.
“ Saya Rashidah Rashid dari tingkatan 5 SN 1, dengan ini berjanji, tidak akan
melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Sekiranya
saya, masih melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah
lagi. Saya bersedia menerima tindakan yang lebih tegas daripada pihak sekolah,” aku
membaca kad akur janji yang disediakan oleh Cikgu Aziz dengan suara tersangkut-
sangkut.
Suasana agak hening seketika. Ramai guru dan pelajar tidak menyangka.
Pelajar yang selalu keluar ke hadapan untuk mendeklamasikan sajak dengan suara

4
yang bersemangat sebelum ini, terpaksa memlafaz akur janji dengan suara terketar-
terketar.
Sebaik sahaja selesai membaca surat akur janji itu, aku terus kembali ke tempat
dudukku disambut beberapa rakan karib yang telah menitiskan air mata simpati
terhadapku. Memandang wajah mereka, sebakku semakin kencang. Aku sudah tidak
mampu lagi menahan air mata membasahi pipi yang merah sejak tadi.
Dalam hati aku berjanji, tidak akan keluar ke hadapan perhimpunan. Hari ini
adalah yang terakhir.

* * *

Selepas rehat, suasana dalam kelasku agak bising. Rakan-rakan sekelasku


memberitahu keputusan peperiksaan percubaan SPM sudah ditampal di papan
kenyataan utama sekolah.Aku nampak raut kegembiraan di wajah mereka. Boleh
dikatakan semua pelajar kelasku adalah pelajar harapan sekolah.
Aku hanya diam. Sememangnya semenjak peristiwa hitam dalam sejarah
persekolahku tempoh hari, aku lebih suka mendiamkan diri. Aku tidak lagi ke kantin
pada waktu rehat. Cukuplah hanya minum air yang dibawa. Sebelum ke sekolah aku
mengambil sarapan yang disedikan oleh emak terlebih dahulu. Aku lebih suka
menggunakan masa rehat untuk menggulangkaji.
Alia dan Aina memanggil aku sebaik sahaja masuk ke kelas. Mereka terus ke
mejaku. “Hei, Idah kenapa dengan kau ni? Percubaan kau.. teruk sangat, paling
rendah dalam kelas kita. Kau hanya dapat satu A saja. Itu pun Bahasa Melayu, yang
lain semua B,” beritahu Alia.
“Alhamdulillah..” Aku hanya tersenyum. Aku tahu mereka kecewa dengan
keputusan peperiksaanku kerana biasanya kami bertiga sering bersaing mengumpul A.
Di majlis penyampaian hadiah setiap kali peperiksaan penggal sebelum ini pun kami
bertiga tidak pernah ketinggalan.
Semua pelajar kembali ke tempat masing-masing apabila guru kelasku, Cikgu
Mala masuk bersama-sama buku rekod kemajuan. Satu persatu buku rekod
dibahagikan. Bermula dengan Alia diikuti Aina dan seterusnya. Namaku dipanggil akhir
sekali.
Dengan tenang aku ke meja Cikgu Mala untuk mengambil buku rekod
kemajuanku.
“ Rashidah, apa masalah awak? Subjek saya saja yang awak dapat A, yang lain
semua B. Peperiksaan penggal lepas tidak seteruk ini dan setahu saya awak tidak
pernah mendapat kedudukan terakhir dalam kelas kita ni. Saya nampak awak sekarang
ni tidak seperti dulu.Awak ada masalah ke?”. Cikgu Mala cuba mendapatkan
penjelasanku.

5
“Tiada apa-apa cikgu, saya kurang bersedia. Boleh saya masuk,” aku mohon izin
daripada Cikgu Mala. Cikgu Mala hanya menggangguk.
Aku melihat Cikgu Mala kurang berpuas hati dengan jawapanku. Sebelum ini aku
serta rakan yang lain sangat rapat denganya. Sebagai guru kelas dialah guru yang
paling rapat dengan kami dan segala masalahku akan ku ceritakan kepadanya. Tetapi
sekarang aku menjadi malu untuk menceritakan masalahku kepadanya.

* * *

Seperti biasa Rozi adikku akan bertepuk tangan apabila menyambuk


kepulanganku. Aku mesti peluk dan cium dia dahulu barulah dia benarkan aku naik ke
rumah. Aku terus ke dapur bertemu emak sebelum ke bilik untuk mandi dan solat.
Selepas solat aku ke dapur untuk makan tangahari bersama emak dan adik.Masakan
emak ala kadar, hanya ikan rebus goreng dan sayur kangkung tetapi aku makan cukup
berselera.
“Dah, tadi Cikgu Mala dan Cikgu Ros datang,” emak mula bersuara sebaik
melihat aku membasuh tangan. Aku hanya diam untuk mendengar cerita mak
seterusnya. Sudah menjadi amalan emak, akan menunggu selepas makan untuk
menceritakan sesuatu masalah kepadaku.
“Mereka beritahu mak tentang peperiksaan percubaan SPM. Dah hanya dapat
satu A. Mereka ingin tahu apa masalah Dah?” .
“Apa mak beritahu mereka,” tanyaku
“Mak nak beritahu apa lagi?, mak cakap Dah tidak ada apa-apa masalah, itu je,”
sambung Mak.
“Mak, tak payahlah nak difikirkan tentang peperiksaan percubaan Dah. Sebenarnya
Dah hanya menjawab sebahagian soalan sahaja bagi setiap subjek kecuali bahasa
Melayu. Dah sudah berjanji dengan diri Dah tidak mahu lagi ke hadapan sewaktu
perhimpunan, walaupun untuk menerima hadiah kecemerlangan seperti yang pernah
Dah terima,” ceritaku kepada mak
“Sekarang fokus Dah hanya kepada peperiksaan SPM yang sebenar nanti, dan
mak tidak perlu bimbang. Dah sudah lama bersedia dan tidak sabar lagi untuk
menghadapinya, apa yang Dah harapkan hanya doa daripada mak,” sambungku lagi
sambil mencuim pipi emak.
Mak hanya diam dan tersenyum sambil mengosok-gosok kepalaku. Adik
bertepuk tangan, terus duduk di ribaku.

* * *

6
Sudah lebih empat bulan aku bekerja sambilan , di kedai buku popular di bandar
Tanah Merah. Paling tidak, aku dapat memgumpul sedikit wang , sebagai bekalan
kiranya aku dapat melanjutkan pelajaran nanti. Emak tidak pernah menghalang, kerana
faham dengan keadaan ekonomi kami. Wang pencen arwah ayah sebagai pemandu di
sebuah jabatan kerajaan hanya cukup untuk menampung perbelajaan asas sahaja.
Hampir setiap petang, mak dan adik menunggu kepulanganku di laman rumah.
Adik akan melambai tangan, memanggilku dan terus berlari mendapatkan aku sebaik
nampak kelibatku. Tapi hari itu, hanya mak yang menungguku. “ Adik mana?” tanyaku
ambil mencuim tangan dan pipi mak. ‘Ada, kat bilik”, balas mak ringkas.
“Dah, tadi Cikgu Mala dan Cikgu Ros datang, mereka cuba hubungi dah, tapi tak
dapat. Pengetua minta semua pelajar target, bersama ibu bapa ke sekolah esok.
Pengarah JPN akan datang ke SMKTM, nak umumkan keputusan SPM. SMKTM,
antara sekolah yang cemerlang tahun ni”,mak membuka cerita. “Alhamdulillah” , dalam
diam aku mengucap syukur.
“Cikgu Aziz pun datang”. “Cikgu Aziz.., buat apa?” tanyaku. “Dia nak pulangkan
baju”, sambung mak. “Baju adik, ya Allah” aku cuba mengawal perasaan.
“Kakak! Tengok baju adik,cantik tak?” Adik tiba-tiba muncul.
“Aaadik!!, buka!, buka!, jangan pakai baju tu!, kakak kata jangan!, jangan!” aku sudah
tidak dapat mengawal perasaan.Tanpa sedar aku telah menengking adik
kesayanganku.
Adik terkejut lalu menangis mendapatkan emak.
“Kenapa ni Dah? apa yang sebenarnya, cuba ceritakan pada mak?” emak besuara
tenang. Aku hanya mampu menanggis, sambil memeluk mak dan adik. “Maafkan Dah,
mak.”
“Adik, adik jangan pakai lagi baju ni ok, nanti esok adik pakai ,dan kakak nak
bawa adik dan mak pergi sekolah kakak, nak?” dengan perlahan aku memberitahu
adik.
Dengan wajah sedih adik mula membuka bajunya, menyerahkan kepada mak,
meninggalkan aku sendirian..
“ Ya Allah!, ampunkan hamba Mu ini, makbulkanlah doaku serta ibuku.”
Insya Allah, aku yakin satu kejutan akan berlaku lagi di sekolah esok.
Dan “baju adik” akan dipakai oleh adikku ke sekolah esok.

Tamat cerita.

7
8
9
10

You might also like