You are on page 1of 3

Punca Jambatan Kedua Pulau Pinang Runtuh Dan Gambar Sekitar Runtuhan

Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menumpukan pada kegagalan
kerja struktur asas yang dipercayai menjadi punca keruntuhan tanjakan konkrit di susur keluar
Jambatan Kedua Pulau Pinang semalam.

Pengarah Dosh Pulau Pinang Mohd Anuar Embi berkata faktor utama kejadian itu mungkin akibat
kegagalan kerja struktur asas. Katanya beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca
daripada kurang penyelengaraan atau pemasangan struktur asas yang tidak betul.

❝ Saya tidak menolak kemungkinan lain tetapi siasatan awal kami adalah pada kerja-kerja asas
struktur binaan. Semua ini perlu dilakukan mengikut amalan kejuruteraan yang baik bagi
mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini - Pengarah DOSH Pulau Pinang, Mohd Anuar Embi
SUMBER

Runtuhan itu membabitkan tanjakan konkrit dan besi penyambung di Pakej 3A iaitu di susur keluar
dari jambatan itu ke lebuh raya di bahagian pulau. Beliau berkata siasatan mungkin boleh berlarutan
sehingga dua bulan bergantung kepada keadaannya yang rumit.
Jawatankuasa Khas Kaji Punca Keruntuhan Susur Jambatan Kedua Pulau Pinang

Isnin, 29 Julai 2013 12:00 AM.

KUALA LUMPUR: Insiden keruntuhan tanjakan susur kedua di Jambatan Kedua Pulau Pinang awal
bulan lepas diteliti sebuah jawatankuasa khas Kementerian Kerja Raya yang turut disertai pakar
industri pembinaan negara.

Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata antara perkara yang diteliti ialah
sama ada insiden berpunca daripada ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

"Apabila siap nanti hasil laporan jawatankuasa ini akan dibentangkan untuk pertimbangan dan
persetujuan kerajaan bagi tujuan penambahbaikan kepada amalan sedia ada," katanya ketika
menjawab soalan Datuk Chiw Tiang Chai pada persidangan Dewan Negara, di sini Isnin.

Kata beliau jawatankuasa itu juga akan mengemukakan syor-syor penambahbaikan kepada kerajaan.

Menurut Rosnah kerajaan memandang serius beberapa insiden keruntuhan bangunan yang berlaku
di negara ini kebelakangan ini.

"Terdapat pelbagai faktor atau punca boleh berlaku keruntuhan tersebut. Walau bagaimanapun ia
boleh disimpulkan kepada tiga faktor iaitu reka bentuk, faktor bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak
mengikut spesifikasi dan faktor pengawasan dan kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak projek,"
katanya.

Rosnah berkata tindakan perundangan ke atas pihak yang terlibat dengan insiden kecuaian boleh
diambil menerusi tiga kategori iaitu keahlian profesional, kontraktual dan kawal selia.

"Dari sudut keahlian profesional terdapat akta-akta yang boleh diguna pakai untuk mendakwa pihak-
pihak yang terlibat iaitu Akta Jurutera 1967, Akta Arkitek 1967 dan Akta Juru Ukur Bahan 1967.

"Pada aspek kontraktual pula melibatkan antaranya Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta
Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 dan Akta
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) 1994," katanya.

Aspek kawal selia pula melibatkan agensi seperti Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (DOSH). - BERNAMA
Besi penyokong jambatan tak stabil dipercayai punca runtuh

Aizat Sharif | Diterbitkan pada Jun 07, 2013 07:44 MYT

Facebook Twitter Email

Besi penyokong jambatan tak stabil dipercayai punca runtuh

KUALA LUMPUR: Ketidakstabilan besi penyokong pada struktur pembinaan Jambatan Kedua Pulau
Pinang dipercayai menjadi punca kepada runtuhnya struktur tersebut pada lewat petang semalam.

Penolong Pesuruhjaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah
memberitahu Astro Awani bahawa runtuhan telah menyebabkan sebuah kenderaan yang melalui
dibawah struktur tersebut dihempap dan terperangkap.

“Mengikut sumber dari pihak kontraktor, semasa kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan, didapati
besi penyokong jambatan tersebut berada dalam keadaan tidak stabil dan akibatnya berlakunya
runtuhan selepas itu,” kata Mohamad Shoki.

Sehingga jam 7 pagi tadi, seorang mangsa yang terperangkap telah berjaya dikesan oleh pasukan
mencari dan menyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang.

“Lebih kurang jam 12.05 pagi tadi, tinjauan pasukan penyelamat telah berjaya mengesan seorang
mangsa yang terperangkap didalam kereta dan usaha untuk mengeluarkan mangsa masih giat
dijalankan,” beliau berkata.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia akibat dihempap struktur konkrit itu.

Walau bagaimanapun, Mohamad Shoki yakin tiada lagi mangsa-mangsa lain yang terlibat dalam
kejadian tersebut.

Kesukaran utama yang terpaksa dihadapi oleh anggota bomba adalah untuk mengangkat konkrit
yang telah menghempap sebuah kereta Perodua Kelisa milik mangsa yang terkorban.

“Kerja-kerja masih dijalankan dan kita sedang cuba untuk memecahkan bongkah konkrit tersebut.
Apabila berjaya, kita akan membuat lubang untuk mengangkat bongkah konkrit tersebut untuk
mengeluarkan kereta yang terperangkap itu,” katanya lagi.

You might also like