You are on page 1of 5

CERPEN: “SEPUCUK SURAT KIRIMAN HATI”

“Perjalananku sungguh jauh. Ada jatuh, ada bangun,” nyanyi Ukasyah apabila
usai sahaja sesi pembelajaran untuk hari itu.
“Huh! Pulang ini aku nak melayari internet, hahaha!” ujarnya tanpa
memikirkan kerja-kerja sekolah yang telah diberikan oleh guru-gurunya. Telah
tertanam di benak fikirannya, hiburan lebih penting jika hendak dibandingkan
dengan pelajaran kerana hiburan boleh menghilangkan stres.
“Ukasyah, kau janganlah asyik memikirkan tentang hiburan. Nanti kau dapat
markah yang kurang memberangsangkan, kau juga yang susah!” tegur Ajmal
apabila melihat tingkah laku Ukasyah yang kurang menyenangkan itu. Ajmal
merupakan rakan karib kepada Ukasyah kerana mereka telah menghadiri
sekolah yang sama sejak usia tujuh tahun lagi. Sekarang, mereka merupakan
murid Tingkatan 3 di Sekolah Kebangsaan Melati Terbang.
“Ah! Macamlah aku peduli perihal semua itu. Daripada aku memikirkan fasal
belajar, lebih baik aku push rank permainan dalam talian aku, hahaha!” jelas
Ukasyah apabila ditegur oleh rakannya itu.
“Baiklah, mainlah permainan kau itu. Ingat Ukasyah, pelajaran pun penting
juga. Aku pun main permainan, tetapi aku juga mengagihkan masa aku untuk
belajar. Aku ni mampu tegur sahaja, kau patut berubah sendiri. Allah berfirman
dalam Surah al-Rad, ayat 11 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan
mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah nasibnya.
Jadi, berubahlah.” Ukasyah terus sentap apabila mendengar teguran yang sangat
mendalam daripada Ajmal itu. Namun, dia masih tetap dengan pendiriannya
untuk bermain permainan setelah sampai di rumah.
“Wah, lain macamlah kau sekarang! Sampai petik ayat daripada al-Quran.
Baiklah, nanti aku pertimbangkan apa yang kau cakap itu. Terima kasih kerana
menegur kawan kau ini.” sindir Ukasyah bagi menjawab teguran itu. Selepas
itu, mereka pun pulang ke rumah masing-masing.
Dalam perjalanan pulang, Ukasyah berasa haus. Dia pun pergi ke gerai Mak
Zaina untuk membeli minuman.
“Mak Zaina! Saya nak air teh ais cincau satu! Tak nak cincau, haha!” Gurau
Ukasyah kepada Mak Zaina yang sedang duduk pada waktu senggang. Hal ini
kerana para pelanggan jarang datang ke gerainya pada waktu itu.
“Ish kamu ini! Sering sahaja bergurau. Sebentar ya,”
Sambil menunggu pesanan, Ukasyah berbual-bual dengan Mak Zaina. Ukasyah
boleh dikatakan pelanggan tetap Mak Zaina kerana Ukasyah sering singgah
setelah selesai sesi pembelajaran. Mak Zaina pun sudah masak dengan kerenah
Ukasyah yang suka bergurau.
“Bagaimana dengan pelajaran kamu? Semuanya elok?” tanya Mak Zaina
sambil menyiapkan pesanan Ukasyah.
“Begitulah Mak Zaina, biasa-biasa sahaja.” jawab Ukasyah.
Jawapan tersebut seolah-olah satu-satunya jawapan yang bermain di gawang
minda Ukasyah. Setiap kali diajukan soalan tersebut, jawapannya sama sahaja
setiap masa. Mak Zaina ingin mengetahui mengapa Ukasyah sering mengelak
apabila ditanyakan soalan itu.
“Kamu jangan terlalu banyak bermain, Ukasyah. Kamu sudah berada di
Tingkatan 3. Jadi, kamu harus merancang masa hadapan kamu mulai sekarang
kerana inilah titik permulaan kamu dalam memilih kerjaya.” ujar Mak Zaina.
“Mengapa sekarang titik permulaan untuk memilih kerjaya Mak Zaina? Saya
baru Tingkatan 3, masih lama lagi untuk menongkah alam pekerjaan.” ujar
Ukasyah lagi.
“Sekarang merupakan masa yang sesuai kerana ujian yang akan kamu duduki
pada hujung tahun ini, akan menentukan aliran yang kamu hendak ceburi.
Misalnya, kamu berhasrat ingin menjadi doktor, kamu mesti menguasai subjek
sains dan matematik untuk menyambung pelajaran dalam aliran sains di
Tingkatan 4. Nah, air kamu.” jelas Mak Zaina kepada Ukasyah sambil
menyerahkan air teh ais cincau itu.
“Baiklah, Mak Zaina. Terima kasih kerana menerangkannya kepada saya. Nah,
ini wangnya. Keep the change, hehe.”
Ukasyah pun beredar dari gerai Mak Zaina dan meneruskan perjalanannya
pulang ke rumah. Tiba-tiba, Ukasyah terdengar laungan azan menunjukkan
telah masuknya waktu zohor. Walaupun sikapnya yang memandang remeh
terhadap sesuatu dan sambil lewa, pesanan ayahnya yang telah dijemput ilahi
tetap disemat di dalam hati. Arwah berpesan supaya Ukasyah menjaga solatnya
kerana Allah berfirman di dalam surah Ibrahim, ayat 40 yang bermaksud:
“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan
demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa
permohonanku.” Dia pun singgah ke surau berdekatan bagi menunaikan solat
fardu zohor secara berjemaah.
Setelah menunaikan solat fardu zohor, Ukasyah pun meneruskan
perjalanannya pulang ke rumah. Begitulah rutin seharian Ukasyah setiap kali
pulang dari sekolah. Setibanya di rumah, Ukasyah membuka pakaian
sekolahnya dan membersihkan dirinya. Selepas itu, dia terus menghadap skrin
komputer dan melayari internet seperti kebiasaannya.
Dua jam telah berlalu. Ukasyah masih lagi hanyut dibuai keasyikan melayari
internet. Teguran dan nasihat yang diterima oleh Ukasyah masih lagi bermain-
main di benak fikirannya. ‘Ada betul juga kata Ajmal dan Mak Zaina itu.
Sampai bila aku nak jadi macam ini? Aku rasa aku patut cari bidang yang aku
minati.’ kata Ukasyah bermonolog dalam hatinya. Lantas, dia pun mencari
bidang-bidang yang boleh dilopori di internet. Dalam proses pencarian itu,
sesuatu menangkap perhatiannya iaitu bidang mendeklamasikan sajak. Ukasyah
pun mencari maklumat mengenai mendeklamasikan sajak dengan lebih lanjut.
‘Wah, seronok juga mendeklamasikan sajak ini! Aku rasa hendak mencuba
nasib menjadi wakil sekolah. Belum cuba belum tahu, kan?’ katanya
bermonolog lagi. Ukasyah pun segera pergi ke ibunya, Puan Rafifah dan
meminta pendapat.
“Mak, kalau Ukasyah menyertai pertandingan mendeklamasi sajak, mak rasa
sesuai tak?” tanya Ukasyah dengan nada yang lembut.
“Wah, tiba-tiba sahaja kamu minat bidang sebegini. Jin apa yang merasuki
jasad anak mak ni? Mak rasa sesuai, suara kamu pun lantang. Kalau bercakap,
satu bandar riuh-rendah,” sindir Rafifah.
“Lihatlah anak siapa? Anak Puan Rafifah! Peguam tersohor di Bumi
Kenyalang ini! Baiklah, terima kasih mak kerana memberikan pendapat.” kata
Ukasyah yang membara semangatnya. Sindiran ibunya itu telah menambah
minyak dalam api semangat Ukasyah.
Pada suatu hari, Ukasyah dan Ajmal sedang berjalan pulang dari kantin
sekolah menuju ke kelas mereka. Mata Ukasyah tertarik kepada satu poster
yang ditampal di papan kenyataan sekolah. Tanpa membuang masa, Ukasyah
menarik tangan Ajmal ke papan kenyataan sekolah itu. Terbeliak kedua-dua biji
mata Ajmal apabila membaca poster yang menarik perhatian Ukasyah itu.
Poster itu mengenai pertandingan mendeklamasikan sajak yang terbuka untuk
semua murid di Sekolah Kebangsaan Melati Terbang.
“Sejak bila kau minat perkara seperti ini, Ukasyah?” kata Ajmal yang masih
dalam keadaan hairan bagai kerbau terkejut oleh gong.
“Beberapa hari lepas, Mak Zaina mencadangkan aku untuk mencari bidang
yang aku minat. Apabila sampai di rumah, aku melayari internet dan terjumpa
maklumat mengenai mendeklamasikan sajak ini.” jawab Ukasyah dengan rasa
bangga.
“Wah, teruskan semangat kau itu, Ukasyah.” ringkas dan padat. Mereka pun
kembali ke kelas mereka kerana loceng sudah berdering menandakan tamatnya
waktu rehat.
Setelah selesai sesi pembelajaran untuk hari itu, Ukasyah segera mengemas
begnya dan terus ke bilik guru untuk mendaftarkan namanya kepada Cikgu
Halwa untuk menyertai pertandingan mendeklamasikan sajak itu. Cikgu Halwa
mengarahkan Ukasyah untuk mencari sajak yang diingini dan berlatih kerana
pertandingan akan diadakan dua minggu dari sekarang. Ukasyah pun
mengangguk tanda faham kepada arahan guru Bahasa Melayu itu.
Setibanya di rumah, Ukasyah melakukan rutinnya apabila sampai di rumah
lalu melayari internet untuk mencari sajak yang sesuai. Setelah satu jam
melayari internet, Ukasyah telah menjumpai sajak yang hendak dia
deklamasikan pada hari pertandingan nanti. Tajuk sajak itu ialah ‘Sepucuk Surat
Kiriman Hati’ yang mengisahkan kasih sayang seorang ayah kepada anaknya.
Hari demi hari telah berlalu, hari pertandingan seperti telur di hujung tanduk.
Debaran kian terasa. Seperti biasa, Ukasyah singgah ke gerai Mak Zaina seusai
sesi persekolahan. Ukasyah meminta Mak Zaina untuk mendoakan kejayaannya
dalam menyertai pertandingan itu yang akan diadakan dua hari lagi. Selepas itu,
Ukasyah pun pulang dengan teh cincau panas kerana ingin menjaga suaranya
untuk hari pertandingan.
Dalam perjalanan pulang, Ukasyah menggunakan jalan yang biasa dilalui
untuk balik ke rumah. Tiba-tiba, terdapat seorang pemuda mabuk yang sedang
memandu kereta seperti ular kena palu. Kereta Vios hitam itu menuju ke arah
Ukasyah dari belakang. Ukasyah sempat mengelak kereta tersebut tetapi
malangnya dia mengalami kecederaan yang agak parah kerana Ukasyah terjatuh
ke dalam longkang impak daripada mengelak kereta tersebut. Dengan izin Allah
yang Maha Kuasa, ada seorang pemuda yang menunggang motosikal Kawasaki
melihat kejadian itu. Tanpa berfikir panjang, dia terus menuju ke arah Ukasyah
yang cedera di dalam longkang lalu mendukung Ukasyah keluar. Pemuda
tersebut terus menghubungi ambulans untuk rawatan selanjutnya. Beberapa
minit kemudian, ambulans pun tiba lalu mengusung Ukasyah masuk kedalam
ambulans untuk dibawa ke hospital.
Pihak hospital dapat menghubungi Puan Rafifah berkat buku maklumat pelajar
yang terdapat di dalam beg Ukasyah. Puan Rafifah bergegas ke hospital kerana
bimbang akan anak tunggalnya itu. Tangan dan kaki kiri Ukasyah telah didapati
patah akibat terjatuh ke dalam longkang. Sesaat Ukasyah mengetahui hal ini,
semangatnya rapuh bagai kaca dihempas ke batu. Namun, kehadiran Puan Zaina
di sisi Ukasyah saat di titik terendahnya mengubati kegundahan Ukasyah.
“Tidak mengapa, sayang. Mak ada. Mak tahu kamu sangat teruja hendak
menyertai pertandingan mendeklamasikan sajak itu. Tapi apakan daya, kita
hanya manusia yang mampu merancang. Selebihnya Allah yang menentukan
kerana Allah ialah sebaik-baik perancang. Apakah kamu ingat ayat al-Quran
yang selalu ayah pesan kepada kita? Surah al-Imran, ayat 54 yang bermaksud:
Mereka merancang, dan Allah merancang, dan ketahuilah, Allah ialah sebaik-
baik perancang. Jangan bimbang sayang, setiap perkara yang berlaku pasti ada
hikmahnya. Mak sayang akan Ukasyah!” pesan Puan Rafifah kepada anak
tunggalnya untuk menenangkan fikiran dan hati Ukasyah. Ukasyah
mengangguk akur dan menundukkan kepalanya. Persoalannya, adakah tragedi
ini akan menyebabkan Ukasyah hilang minat terhadap bidang mendeklamasikan
sajak?

You might also like