You are on page 1of 21

0

KPP 4023
APLIKASI PSIKOLOGI PENDIDIKAN

TAJUK
PELAJAR HILANG FOKUS SEMASA PROSES PEMBELAJARAN

PENSYARAH: DR MOHD RAZIMI BIN HUSIN

KUMPULAN KULIAH: E

DISEDIAKAN OLEH:

NAMA NO. MATRIK PROGRAM

Nik Nur Atikah binti Nik Abdul Aziz L20212012041 DPLI UPSI YIK

Nur ‘Aisyah Asyikin binti Adnan L20212011866 DPLI UPSI YIK

Nur Shahira binti mohamad Ashri L20212012168 DPLI UPSI YIK

Raidah Alimah binti Zuber Ahmadi L20212012196 DPLI UPSI YIK

Tuan Nur Atirah binti Tuan Rashid L20212012230 DPLI UPSI YIK

Tarikh: 24/6/2022
1

Isi Kandungan

Isi Kandungan 1
1.0 Pendahuluan 1
2.0 Definisi 1
3.0 Teori dan kajian saintifik 2
4.0 Punca 3
4.1 Suasana bilik darjah yang tidak kondusif 3
4.2 Pelajar sukar untuk memahami pengajaran guru 4
4.3 Pelajar tidak berminat dengan mata pelajaran yang diajar 4
4.4 Pelajar mengantuk di dalam bilik darjah 5
4.5 Rakan sekelas yang mengganggu/ banyak berbual 6
5.0 Cadangan penyelesaian 6
5.1 Masalah suasana bilik darjah yang tidak kondusif 6
5.2 Masalah pelajar yang sukar memahami pengajaran guru 7
5.3 Masalah pelajar tidak berminat untuk belajar 8
5.4 Masalah pelajar tidur di bilik darjah 8
5.5 Masalah rakan sebaya yang mengganggu 9
6.0 Tiga carta grafik yang menjelaskan laporan (Jadual, graf dan gambar rajah) 9
Instrumen soal selidik untuk mengenal pasti punca pelajar hilang fokus semasa
proses pembelajaran di sekolah. 11

Gambar rajah 1. Pelajar hilang fokus (Mohd Nazri, 2021) 13

8.0 Rujukan 14
Lampiran 1 16
2
1

1.0 Pendahuluan
Pada masa kini didapati ramai pelajar semakin kurang tumpuan dan minat dalam mengikuti sesi
pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Secara
keseluruhannya, memberi tumpuan di dalam bilik darjah boleh dijelaskan sebagai aktiviti mental
yang memerlukan pelajar memberi perhatian semasa guru menyampaikan sesi pengajaran. Definisi
yang telah dikemukakan oleh James juga telah menyatakan bahawa kurang tumpuan semasa guru
mengajar ini termasuklah melakukan aktiviti lain seperti membuat kerja sekolah yang tidak disiapkan,
berbual bersama rakan dan sebagainya. Tumpuan penuh daripada pelajar memberikan kesan yang
mendalam dalam proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP). Oleh yang demikian, bagi
memastikan proses PdP dilaksanakan dengan berkesan perlu ada satu mekanisma dalam mengurus
tingkah laku pelajar secara spesifik di dalam bilik darjah terutama pelajar yang kurang memberi
tumpuan di dalam bilik darjah. Menurut Reinhartz dan Beach, 1998; Wiles dan Bondi, (1998)
menyatakan bahawa penumpuan di dalam bilik darjah amat penting kerana sekiranya pelajar memberi
tumpuan semasa aktiviti PdP, maka seseorang pelajar itu dapat meningkatkan kecerdasan minda
pelajar agar pelajar dapat menyesuaikan diri, mencapai kejayaan dalam kehidupan serta bersedia
untuk berada dalam masyarakat masa hadapan yang kian mencabar pada masa kini.

2.0 Definisi
Isu boleh dikatakan sebagai persoalan, masalah, perkara, hal, pokok, perbincangan, tajuk, perbualan
atau topik (Kamus Dewan Edisi Keempat). Isu merupakan perkara yang menjadi permasalahan yang
dibangkitkan apabila terdapat kesan yang wujud akibat daripada isu itu sendiri. Menurut Kamus
Dewan (2002), istilah pelajar bermaksud orang yang belajar atau orang yang mengaji. Pelajar juga
membawa maksud orang yang menyelidiki ilmu. Selain itu, hilang membawa maksud tidak kelihatan
lagi, lenyap atau, tiada lagi. Seterusnya, Kamus Dewan Edisi Keempat memberi makna tumpuan
adalah perhatian atau perbincangan manakala Kamus Pelajar Edisi Kedua (2016) pula, tumpuan
merupakan pusat tempat berkumpul. Bilik darjah bermaksud tempat berlakunya proses pengajaran
dan pembelajaran dan merupakan tempat terpenting yang perlu ada pada sekolah. Ia juga merupakan
medan perjuangan utama kerjaya seseorang guru (Leonard & Karen, 1996). Secaranya amnya, bilik
darjah adalah bilik-bilik di sekolah yang melibatkan sekumpulan pelajar atau pelajar yang mengikuti
pelajaran atau belajar sesuatu mata pelajaran yang diajar oleh guru. Bagi konsep yang lebih luas, bilik
darjah tidak semata-mata merupakan ruang untuk proses pengajaran dan pembelajaran,tetapi
mencakupi pelajar-pelajar dan guru yang belajar dan mengajar serta berinteraksi antara satu sama lain
di dalamnya.
2

3.0 Teori dan kajian saintifik


Teori yang menyokong kajian ini ialah Teori Pembelajaran Sosial yang memberi tumpuan
terhadap perubahan tingkah laku, pemikiran, dan emosi yang terhasil daripada pemerhatian
terhadap orang lain. Teori Pembelajaran Sosial yang diperkenalkan oleh Albert Bandura
didefinisikan sebagai satu pembelajaran yang berlaku dengan memerhati orang lain melakukan
sesuatu atau menjadikan seseorang sebagai model tingkah laku. Ini bererti persekitaran dan
juga orang-orang disekeliling akan mempengaruhi tingkah laku. Teori ini menyatakan
seseorang individu akan memerhatikan sesuatu tingkah laku daripada orang lain yang
disekeliling dengannya dan menyimpan maklumat yang diperhatikan secara kognitif dan
seterusnya mempersembahkan tingkah laku tersebut. Justeru itu, tingkah laku dipelajari
daripada persekitaran sosial contoh dalam isu ini sesorang pelajar hilang fokus kerana kawan
sebelah membuat bising kesannya pelajar yang membuat bising tidak menumpukan perhatian
dan fokus pelajar lain juga turut terjejas . Teori Pelaziman Klasik Ivan Pavlov merupakan teori
pembelajaran behaviorisme yang memberi tumpuan kepada tindak balas emosi dan fisiologi
yang tidak disengajakan yang berlaku terhadap rangsangan. Hasil daripada kajian Pavlov,
beliau berpendapat bahawa pembelajaran boleh berlaku akibat perkaitan antara rangsangan dan
gerak balas. Pembelajaran yang berlaku akibat perkaitan tersebut dinamakan sebagai pelaziman
dan pembelajaran yang berlaku akibat rangsangan ialah pelaziman klasik. Sebagai contoh
seorang guru mata pelajaran Bahasa Melayu mengajar bilik darjah yang kurang minat terhadap
mata pelajaran Bahasa Melayu. Setiap kali guru tersebut mengajar di dalam bilik darjah,
didapati ramai pelajar yang tidak fokus seperti bermain dan kurang memberi perhatian di dalam
bilik darjah tersebut. Jadi guru tersebut mengambil keputusan untuk melakukan sesuatu supaya
pelajar tersebut dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap subjek Bahasa Melayu.
Guru tersebut telah mengenal pasti kecenderungan minat pelajar di dalam bilik darjah iaitu
mereka suka akan muzik dan nyanyian kerana jiwa remaja cenderung terhadap keseronokan.
Jadi guru tersebut mengubah gaya pengajaran dengan menambah muzik ketika proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kajian daripada Haseena Banu (2016) menyokong bahawa Teori Pembelajaran Sosial Bandura
memberi kesan yang mendalam kepada tingkah laku pelajar. Kajian ini menyatakan rakan
sebaya dapat mempengaruhi disiplin seseorang pelajar. sekiranya nilai-nilai rakan sebaya tidak
mementingkan ketekunan, tanggungjawab, kerjasama, menepati masa, menghormati guru dan
mematuhi peraturan, begitulah sikap murid berkenaan. Begitu juga sebaliknya, sifat-sifat sosial
positif rakan sebaya juga menghasilkan seseorang individu yang menekankan nilai moral.
3

Kajian daripada Khalim Zainal (2008) juga menyokong teori ini dengan menyatakan bahawa
Individu akan mengamalkan apa yang dilihat sebagai tingkah laku yang perlu diamalkan.
Sekiranya berterusan, tingkah laku tersebut akan kekal dalam diri individu. Tingkah laku
remaja di sekolah boleh dilihat daripada sudut pendekatan tingkah laku (behavioral). Remaja di
bangku sekolah daripada pelbagai latar belakang perlu dilihat secara berbeza kerana mereka
telah melalui pelbagai pengalaman hidup. Remaja ini telah menjadikan individu-individu lain
sebagai model tanpa mereka sedari. Maka wujudlah pelbagai tingkah laku yang menimbulkan
pelbagai masalah disiplin di sekolah. Seterusnya kajian daripada Mei Teng Ling menerangkan
bahawa PdP dalam kelas yang membosankan selalunya menyebabkan pelajar kurang berminat
untuk terus belajar subjek tersebut malah penglibatan pelajar dalam aktiviti PdP juga kurang
kerana pelajar sibuk membuat kerja sendiri, berbisik, mengganggu rakan, mengantuk dan
termenung. Menurut teori pelaziman klasik dalam Noriatiet al.,(2009) menyatakan bahawa
emosi pelajar dapat dibentuk melalui proses pelaziman. Jadi pembentukan emosi yang positif
sebelum memulakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran amatlah penting bagi memastikan
pelajar-pelajar bersedia meneruskan pembelajaran. Menurut Sulaiman (1997) terdapat
pelbagai cara guru menarik minat pelajar ketika proses pengajaran serta pembelajaran dalam
bilik darjah, salah satu daripadanya ialah menggunakan alat bantu mengajar yang menarik.

4.0 Punca
Berdasarkan dapatan kajian instrumen soal selidik, punca-punca yang menyebabkan masalah pelajar
tidak fokus berlaku adalah kerana suasana bilik darjah yang tidak kondusif, pelajar sukar faham, tidak
berminat, mengantuk dan rakan sekelas yang suka mengganggu.

4.1 Suasana bilik darjah yang tidak kondusif


Suasana kelas atau bilik darjah sangat penting bagi seorang pelajar kerana mereka banyak
menghabiskan waktu di sekolah untuk menimba ilmu. Menurut (Che Nidzam, 2011), persekitaran
bilik darjah mempengaruhi proses pembelajaran dan pengajaran. Salah satu punca suasana bilik
darjah tidak kondusif iaitu keadaan bilik darjah yang sesak. Bilik darjah yang sesak bermaksud
pelajar yang ramai tetapi ruang bilik darjah sempit ini akan menjadi penghalang kepada kecapaian
matlamat proses PdP yang dijalankan. Malah jika wujud ketidakselesaan akan mempengaruhi
motivasi pelajar untuk belajar. Seterusnya, masalah kebersihan bilik darjah sering berlaku, dimana
pelajar membiarkan sampah sarap tanpa diurus dan pelajar yang telah ditugaskan untuk melakukan
sesuatu tugas pembersihan bilik darjah seperti yang dipersetujui pada awal tahun bersama guru, tiada
rasa tanggungjawab untuk melaksanakannya (Misnah, 2010). Walaupun isu ini agak remeh namun isu
4

juga sering berlaku di sekolah. Kekurangan fasiliti di sekolah memberi kesan yang mendalam kepada
guru untuk melakukan PdP yang berkesan. Sebagai contoh, meja, kerusi, kipas dan tingkap yang
rosak boleh menggangu pelajar semasa waktu PdP. Selain itu, faktor geografi sekolah juga menjadi
punca suasana bilik darjah tidak kondusif iaitu terdapat pencemaran bunyi, sebagai contoh sekolah
yang terletak dalam zon pusat bandar Terengganu merekodkan aras kebisingan trafik yang melebihi
aras yang agak tinggi. Aras kebisingan yang tinggi di kebanyakan sekolah memberi satu gambaran
bahawa sekolah tersebut semakin kurang sesuai untuk PdP. Ini kerana setiap hari dan hampir
sepanjang waktu persekolahan pelajar dan guru sentiasa terdedah dengan gangguan kebisingan trafik
(Mohmadisa, 2015). Keterdedahan kepada bunyi latar yang tinggi di dalam bilik darjah juga
mengakibatkan guru-guru berkenaan terpaksa meninggikan suara semasa mengajar agar boleh
didengari oleh pelajar-pelajar secara optimal. Sebagai akibatnya, guru-guru tersebut boleh mengalami
gangguan kesihatan fizikal dan mental seperti kehilangan suara dan sakit tekak.

4.2 Pelajar sukar untuk memahami pengajaran guru


Terdapat beberapa punca pelajar sukar untuk memahami semasa guru mengajar adalah kerana sistem
pendidikan yang lama, tidak relevan untuk dipraktikkan di era generasi globalisasi ini, yang mana
menyebabkan pelajar tidak dapat mengikuti apa yang guru ajar kerana tahap mereka yang tidak sesuai
dengan keadaan pelajar. Sebagai contoh, mata pelajaran akademik sekarang banyak mengandungi
soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di mana soalan berasaskan pemikiran tinggi yang
melebihi had kemampuan seorang pelajar itu. Selain itu, setiap pelajar memiliki kebolehan yang
berbeza di dalam menerima dan memahami apa yang diajar oleh guru yakni ada di kalangan pelajar
yang pantas mentafsir, memahami dan menterjemahkan pemahaman mereka di atas kertas
peperiksaan atau menjawab soalan yang diajukan oleh guru. Namun, tidak dapat dinafikan
bahawasanya terdapat juga golongan pelajar yang lemah dalam mentafsir dan memahami pengajaran
yang dilakukan oleh guru mereka kerana pemahaman pelajar terhadap penyampaian dan pengajaran
guru mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar.

4.3 Pelajar tidak berminat dengan mata pelajaran yang diajar


Terdapat beberapa punca pelajar tidak berminat dengan subjek diajar oleh guru. Pelajar yang
mempunyai masalah tingkah laku yang menyebabkan terganggunya proses PdP di dalam bilik
darjah. Masalah tingkah laku ini boleh menyebabkan hilangnya minat untuk belajar. Gaya pengajaran
guru juga menjadi punca hilangnya minat pelajar untuk belajar. Gaya pengajaran yang membosankan
menyebabkan pelajar sukar bagi tumpuan dan susah untuk mengingati perkara yang diajar semasa sesi
pembelajaran dijalankan. pelajar yang mempunyai masalah tingkah laku ini tidak dapat memberi
5

tumpuan dalam tempoh masa yang lama, tidak berupaya untuk mengikut arahan dan peraturan,
melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang, kerap melakukan pergerakan dan tidak dapat duduk
diam dalam jangka masa yang panjang. Hal ini juga menyebabkan mereka hilang minat untuk
belajar dan juga boleh mengganggu rakan sekelas yang lain. Sikap dan minat pelajar amat penting
bagi keberkesanan sesuatu mata pelajaran. Pelajar akan mudah berasa bosan dan kurang minat untuk
mempelajari sesuatu yang berulang setiap hari. Seterusnya, pengajaran guru kurang berkualiti , tiada
rancangan pengajaran serta kurangnya alat bantu bahan mengajar menjadi kesan kepada hilangnya
minat pelajar untuk belajar.

4.4 Pelajar mengantuk di dalam bilik darjah


Pelajar yang mengantuk ketika pengajaran dan pembelajaran guru di dalam bilik darjah bukanlah satu
perkara yang baru. Namun begitu, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Hal ini kerana pelajar
yang mengantuk akan mengurangkan keberkesanan pembelajaran mereka. Kamus Dewan Edisi
Keempat mengatakan mengantuk bermaksud pelajar berasa ingin tidur. Pelajar ini sebenarnya berasa
lemau dan lesu ketika guru mengajar. Terdapat banyak faktor yang mengakibatkan pelajar menjadi
begini. Faktor-faktor tersebut adalah seperti suasana bilik darjah yang tidak kondusif, guru yang
mengajar dengan cara yang membosan, masa mata pelajaran yang tidak sesuai, kurang minat terhadap
mata pelajaran yang diajar, dan bebanan kerja rumah yang banyak. Selain daripada itu, faktor ekonomi
keluarga, kepenatan, sikap tidak menghormati, tahap fizikal pelajar juga banyak mempengaruhi
pelajar. Faktor ekonomi keluarga banyak mempengaruhi pelajar sama ada di rumah ataupun di
sekolah. Apabila pelajar mempunyai masalah keluarga seperti ibu bapa yang bercerai, ibu bapa yang
tidak bekerja, adik-beradik yang bermusuhan akan memberi kesan yang mendalam kepada pelajar.
Sebagai contoh, apabila kewangan keluarga tidak mencukupi untuk membantu keluarga, pelajar
terpaksa bekerja sambilan lebih-lebih lagi jika pelajar itu merupakan anak sulung. Tanggungjawab
yang mereka terpaksa mereka galas telah membuat mereka mengantuk semasa guru sedang mengajar.
Mereka juga beranggapan bahawa mencari nafkah adalah lebih penting berbanding fokus kepada
akademik. Selain daripada faktor sosioekonomi keluarga, pelajar juga kepenatan kerana menghadiri
bilik darjah tambahan yang banyak lebih-lebih lagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar.
Seterusnya, tahap fizikal setiap pelajar adalah berbeza. Sesetengah pelajar mudah berasa mengantuk
apabila mereka terlalu menggunakan otak mereka. Pelajar ini mempunyai daya tahan yang rendah
untuk fokus. Oksigen yang tidak mencukupi kemungkinan besar berpunca daripada bilik darjah yang
tidak kondusif juga boleh membuat pelajar berasa mengantuk ketika belajar. Sesetengah pelajar
memang berasa bosan dan tidak mahu belajar. Hal ini mengakibatkan mereka untuk tidur di dalam
bilik darjah walaupun guru sedang mengajar. Selain itu, sesetengah pelajar mempunyai rasa hormat
6

yang rendah kepada guru mereka. Hal ini menyebabkan mereka berani untuk tidur di dalam bilik
darjah apabila mereka berasa mengantuk. Pelajar ini juga dikenali sebagai kaki tidur di dalam bilik
darjah. Perbuatan pelajar sebeginilah yang telah menghalang guru untuk mencapai objektif pengajaran
ke tahap yang optimum.

4.5 Rakan sekelas yang mengganggu/ banyak berbual


Antara faktor penyebab kepada permasalahan ini ialah yang pertama pelajar ini merupakan pelajar
yang lemah dalam pembelajaran yang sentiasa memerlukan tunjuk ajar daripada guru. Oleh kerana
bilik darjah ini terdiri daripada pelajar yang mempunyai tahap pembelajaran yang berlainan, terdapat
pelajar yang dapat belajar dan faham dengan cepat dan bagi pelajar yang lemah pula lambat belajar
dan faham dalam pembelajaran. Oleh sebab itu, pelajar akan mudah berasa bosan dan mula bercakap.
Faktor yang kedua adalah pembelajaran yang hanya berpusatkan guru sahaja dan penggunaan
pendekatan yang kurang menarik dengan sifat pelajar. Cara penyampaian pengajaran dan bahan
pengajaran yang kurang menarik akan menyebabkan pelajar-pelajar mudah berasa bosan untuk
mengikuti pembelajaran tersebut. Faktor yang terakhir adalah susun atur pelajar di dalam bilik darjah
yang mana kebanyakan pelajar yang suka membuat bising adalah daripada kalangan pelajar yang
berada di barisan belakang. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Ragbir (2010), membuat bising
di dalam bilik darjah ialah tingkah laku disruptif yang mana boleh memberikan kesan-kesan seperti
menyebabkan proses PdP terganggu dimana guru terpaksa menghentikan proses pengajaran kerana
gangguan daripada pelajar. Hal ini menyebabkan matlamat pengajaran dan hasil pembelajaran sukar
untuk dicapai kerana kegagalan kawalan bilik darjah. Guru-guru biasanya akan menghabiskan
sebahagian masa mereka untuk mengawal pelajar mereka. Selain itu, kegagalan kawalan bilik darjah
menjadi faktor pelajar yang bertingkah laku baik terikut dengan tingkah laku pelajar yang bermasalah.
Akhir sekali, tingkah laku ini juga menjejaskan fokus pelajar dalam pembelajaran mereka. Pelajar
yang membuat bising tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran dan
seterusnya menyebabkan pencapaian mereka dalam peperiksaan merosot.

5.0 Cadangan penyelesaian


Beberapa cadangan penyelesaian dijelaskan dengan terperinci di bawah dalam menangani masalah ini
agar tidak semakin berlarutan.

5.1 Masalah suasana bilik darjah yang tidak kondusif


Dari segi susunan fizikal bilik darjah, meja dan kerusi pelajar perlu disusun dengan kemas dan rapi.
Guru memainkan peranan yang amat penting dalam pengurusan bilik darjah. Dari segi saiz bilik
darjah, ruang bilik darjah yang mencukupi diperlukan bagi sesebuah bilik darjah bagi memudahkan
7

pergerakan pelajar dan guru. Guru boleh berdiri di tengah bilik darjah serta dapat memberi perhatian
kepada semua pelajar dalam kumpulan atau berpasangan. Dengan ini, pelajar dapat memberi sepenuh
perhatian kepada guru yang mengajar di hadapan bilik darjah. Guru juga dapat mengubah, mengajar
dan menunjuk ajar kepada pelajar secara berkesan jika mereka melakukan apa jua kesalahan, sama ada
kesalahan tatabahasa atau karangan atau perbuatan yang tidak menyeronokkan. Saiz bilik darjah yang
besar akan memberikan keselesaan untuk pelajar bergerak dalam bilik darjah semasa aktiviti-aktiviti
dijalankan. Selain itu, sebagai seorang guru kita perlu mengawal bilik darjah dengan sebaiknya kerana
kejayaan guru mengurus fizikal, sumber dan suasana bilik darjah yang kondusif bermakna guru telah
berjaya membentuk budaya berdisiplin, menghargai alam sekitar dan mematuhi setiap arahan diberi
(Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010). Setiap kali memasuki bilik darjah, guru perlu membuat teguran
yang sama agar pelajar bertindak sewajarnya dalam memastikan suasana bilik darjah kondusif untuk
melaksanakan PdP sepanjang tahun. Seterusnya, dari segi kemudahan, bilik darjah dilengkapi dengan
kerusi dan meja, papan hitam, kipas, tingkap, pintu, papan pameran, rak-rak dan sebagainya hendaklah
disediakan dengan sempurna dan memastikan pelajar berada dalam keadaan yang baik serta selesa.
Selain itu juga, pendedahan bunyi melampau boleh mempengaruhi kesihatan dan kesejahteraan
manusia dan persekitarannya. Cara untuk mencegah ialah dengan memupuk kesedaran dalam kalangan
komuniti pendidik dan pihak berkuasa yang mana bilik darjah itu perlu dibina dengan menggunakan
bahan penebat dan penyerap bunyi secara optimum . Sebagai contoh bilik kedap bunyi dengan konsep
mengurangkan gelombang bunyi bising trafik yang meresap dalam bilik darjah untuk merendahkan
bacaan bunyi latar dari aliran trafik. Hasilnya, suasana bilik darjah menjadi lebih tenang dan suara
guru menjadi lebih jelas dan difahami. Guru juga boleh berinteraksi dengan pelajar dalam sesi PdP
menggunakan aras suara biasa sekaligus dapat mengelakkan risiko sakit tekak akibat penggunaan aras
suara yang tinggi.

5.2 Masalah pelajar yang sukar memahami pengajaran guru


Terdapat beberapa cara untuk mengatasi masalah pelajar yang sukar memahami pengajaran guru
semasa proses pembelajaran. Antaranya adalah yang pertama guru perlu mengaplikasikan teknik
pengajaran yang lebih menarik minat pelajar dengan menggunakan BBM yang kreatif dan tidak hanya
terhad kepada silibus dan penerangan sahaja, sebaliknya menjalankan pelbagai aktiviti berbentuk
projek, sumbang saran, lakonan, nyanyian, didik hibur, main peranan, pembelajaran berbalik dan
kajian kes yang memberi ruang dan peluang untuk pelajar terbabit aktif dalam pembelajaran. Selain
itu, untuk memastikan bahawa setiap pelajar dapat memberi fokus kepada pembelajaran di dalaman
bilik darjah, maka pedagogi pembelajaran bermakna (New Deep Learning Pedagogies) sangat penting
dalam memastikan bahawa setiap pelajar menyedari akan kepentingan untuk pembelajarannya. Guru
8

juga harus memahami keupayaan setiap pelajar dengan cara memberi kerja dan latihan pada masa
yang sesuai dan mewujudkan suasana yang tenang dan mesra dalam proses pengajaran. Guru juga
perlu diingatkan bahawa bukan semua pelajar boleh mendapatkan bantuan di rumah terutama untuk
mata pelajaran yang susah seperti Bahasa Inggeris. Hal ini kerana, kita sebagai guru akan berasa cepat
marah, putus asa dan sedih apabila pelajar tidak mampu menyiapkan ‘homework’. Walaupun latihan
yang diberikan oleh guru dikategorikan senang, tetapi mampu memberi kepuasan kepada pelajar jika
mereka dapat menyelesaikannya sendiri dan membuatkan mereka berasa seronok dengan pengajaran
guru.

5.3 Masalah pelajar tidak berminat untuk belajar


Pendekatan pengajaran guru hendaklah sesuai dengan gaya pembelajaran pelajar. Cadangan
bagi memperbaiki amalan ini juga turut diketengahkan oleh pengkaji yang memfokuskan
kepada amalan gaya pembelajaran Visual, Auditori dan Kinestetik (VAK) yang digunakan oleh guru
yang mengajar pelajar bermasalah. Peranan guru dalam memilih kaedah dan aktiviti pengajaran yang
sesuai merupakan perkara yang penting untuk menjamin keberkesanan pembelajaran. Terdapat tiga
gaya pembelajaran yang lebih umum iaitu gaya pembelajaran visual, gaya pembelajaran
auditori, dan gaya pembelajaran kinestetik. Gaya pembelajaran visual adalah orang yang gemar
belajar dengan huruf , gambar rajah, teks, benda-benda maujud dan sebagainya. Gaya pembelajaran
auditori merupakan jenis pembelajaran yang menekankan pendengaran perkataan dan arahan
lisan. Guru juga perlu menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai dengan kebolehan kognitif
pelajarnya. Sebagai contoh, guru ingin mengajar tentang kata imbuhan. Guru boleh memberikan
pelajar contoh BBM seperti sekuntum bunga, makanan dan aktiviti yang menggunakan apitan seperti
pertuturan, perbincangan dan persekitaran . Disamping itu, bahan bantu mengajar yang digunakan
perlulah sesuai dengan tahap perkembangan pelajar. Beberapa kajian telah dijalankan menunjukkan
bahawa penggunaan peta i-think sangat memudahkan pelajar untuk mengingati sesuatu pelajaran.
Oleh itu, sebagai guru kita perlulah memperbanyakkan menggunakan peta minda dalam proses PdP
supaya pelajar akan lebih mudah untuk memahami dan mengingati isi-isi penting yang diajar.

5.4 Masalah pelajar tidur di bilik darjah


Masalah pelajar yang tidur di dalam bilik darjah selalu dipandang rendah oleh masyarakat kerana
dianggap perkara yang remeh. Perkara yang remeh inilah yang membuatkan guru menjadi tertekan
kerana pelajar tidak menumpukan perhatian kepada pengajaran. Antara cara untuk mengatasi masalah
ini adalah dengan melakukan energizer. Pelajar perlu menggerakkan badan iaitu secara fizikal dengan
cara yang menyeronokkan. Aktiviti begini akan mencerdaskan minda pelajar untuk lebih fokus di
dalam bilik darjah. Selain itu, guru perlu menggunakan aktiviti didik hibur. Aktiviti ini dapat mendidik
9

pelajar untuk menggunakan pengetahuan yang mereka ada dengan cara yang seronok dan santai.
Contoh aktiviti yang boleh dilakukan ialah menyanyi, sketsa, drama, pop kuiz, kotak beracun dan dam
ular. Seterusnya, guru perlu sentiasa melakukan aktiviti hands on. Aktiviti ini tidak hanya
menfokuskan pelajar untuk mendengar pengajaran guru sahaja namun pelajar akan mengaktifkan diri
dengan menulis, melukis atau mencipta sesuatu dengan BBM yang guru atau pelajar sediakan sendiri.
Hal ini memudahkan pelajar untuk memahami apa yang dipelajarinya dengan lebih mendalam lagi.
Bagi menjayakan aktiviti-aktiviti ini, guru perlu merancang dengan teliti bagi setiap aktiviti. Selain itu,
guru perlu berasa seronok dan ceria terlebih dahulu agar aura itu dapat diberikan kepada pelajar.
Seterusnya, guru perlu mempunyai persediaan yang kemas dan rapi dengan BBM yang kreatif untuk
menarik perhatian pelajar. Akhir sekali, guru perlu melibatkan semua pelajar agar tiada yang
ketinggalan dan dapat mengikuti pengajaran bersama rakan sekelas yang lain.

5.5 Masalah rakan sebaya yang mengganggu


Terdapat beberapa cara untuk mengatasi masalah pelajar yang suka membuat bising di dalam bilik
darjah. Pertama sekali, guru perlu mengubah susun atur meja yang sesuai dengan bilangan pelajar di
dalam bilik darjah dan seterusnya membahagikan tempat duduk mengikut kebolehan yang berbeza
seperti campuran pelajar yang pandai dan pelajar yang lemah dan meletakkan pelajar yang suka
membuat bising di barisan paling hadapan. Cara yang seterusnya ialah guru boleh melakukan aktiviti
yang dapat menarik minat pelajar yang mana PdP mestilah berpusatkan kepada guru dan pelajar.
Dengan pelbagai kaedah PdP yang menarik dapat menarik perhatian pelajar untuk belajar. Secara tidak
langsung, tingkah laku pelajar yang bermasalah akan mula berubah daripada yang tidak baik kepada
yang lebih baik sedikit demi sedikit dan menganggap belajar itu sesuatu yang menyeronokkan. Selain
itu, guru juga boleh menggunakan cara peneguhan positif kepada pelajar yang berkelakuan baik
dengan memberikan bintang iaitu ganjaran pada setiap hari. Bagi yang sentiasa mematuhi peraturan
bilik darjah guru akan menggunakan sistem pemberian markah secara berkumpulan. Sekiranya
ahli-ahli kumpulan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, markah akan diberi kepada kumpulan
tersebut. Manakala markah kumpulan akan ditolak sekiranya terdapat salah satu ahli melakukan
kesalahan. Hadiah akan diberikan kepada kumpulan yang mempunyai markah tertinggi selepas 3
minggu.

6.0 Tiga carta grafik yang menjelaskan laporan (Jadual, graf dan gambar rajah)
Setelah menganalisis isu pelajar hilang fokus semasa proses pembelajaran, satu instrumen borang soal
selidik atas talian iaitu Google Form telah dihasilkan untuk mengenal pasti punca pelajar hilang fokus
semasa proses pembelajaran. Seramai 28 orang responden yang dipilih secara rawak menjadi sampel
dalam kajian ini. Responden kajian perlu menjawab sama ada Ya atau Tidak bagi setiap soalan yang
10

diberikan di dalam Google Form. Kepelbagaian budaya yang wujud di dalam bilik darjah seperti
jantina, agama, jenis geografi sekolah merupakan aspek yang penting untuk dikuasai oleh guru agar
pengajaran yang bersesuaian dapat diberikan kepada pelajar. Berdasarkan Rajah 1 di atas, bilangan
responden lelaki adalah lebih ramai berbanding pelajar perempuan iaitu 15 dan 13. Faktor jantina
memberikan kesan dalam motivasi dan emosi pelajar untuk mengekalkan kefokusan mereka apabila
guru mengajar di dalam bilik darjah.

Rajah 1. Jantina Pelajar

Rajah 2 menunjukkan kesemua pelajar yang terlibat sebagai responden kajian ini adalah beragama
Islam. Agama Islam merupakan agama yang menerapkan penganutnya untuk sentiasa melakukan
kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Guru yang bertanggungjawab mampu memberikan nilai-nilai
agama yang baik walaupun terdapat agama yang pelbagai di dalam bilik darjah.

Rajah 2. Agama Pelajar


11

Rajah 3 menyatakan bahawa terdapat 12 orang responden yang belajar di sekolah yang berada di
bandar manakala 16 orang responden di sekolah luar bandar. Jenis geografi sekolah turut memainkan
peranan dalam mempengaruhi persekitaran yang selesa dalam pengajaran dan pembelajaran.

Rajah 3. Jenis Geografi Sekolah Pelajar

Instrumen soal selidik untuk mengenal pasti punca pelajar hilang fokus semasa proses pembelajaran di
sekolah.
Jadual 1. Punca Pelajar Hilang Fokus di dalam Bilik Darjah

Item Punca pelajar hilang fokus Ya(%) Tidak (%)

1 Adakah suasana bilik darjah yang tidak selesa mengganggu anda? 82.1 17.9

2 Adakah susun atur meja di dalam bilik darjah tidak tersusun? 32.1 67.9

3 Adakah anda susah faham apa yang guru ajar? 50 50

4 Adakah silibus pembelajaran sukar untuk anda ikuti? 64.3 35.7

5 Adakah anda berminat dengan mata pelajaran yang guru ajar? 85.7 14.3

6 Adakah anda tidak tertarik dengan gaya pengajaran guru anda? 39.3 60.7

7 Adakah anda mengantuk di dalam bilik darjah? 75 25

8 Adakah anda selalu rasa penat ketika di dalam bilik darjah? 64.3 35.7

9 Adakah rakan sebelah menganggu/gemar bercakap dengan anda? 42.9 57.1

Adakah rakan sebelah anda selalu bertanya soalan ketika guru


10 sedang mengajar? 57.1 42.9

11 Adakah anda pernah tidur dalam bilik darjah? 85.7 14.3


12

Jadual 1 menunjukkan terdapat 11 item dalam bentuk soalan yang menggambarkan punca pelajar
hilang fokus semasa proses pembelajaran di sekolah.. Jadual menunjukkan dapatan dalam bentuk
peratusan. Item 1 menunjukkan sebahagian besar pelajar iaitu sebanyak 82.1% merasakan suasana
bilik darjah yang tidak selesa menyebabkan mereka hilang fokus semasa proses pembelajaran
manakala 17.9% tidak bersetuju. Item 2 mengesan sebahagian besar pelajar iaitu sebanyak 67.9%
tidak bersetuju susun atur meja di dalam bilik darjah dalam keadaan tidak tersusun menyebabkan
mereka rasa rimas manakala 32.1% bersetuju dengan susunan meja yang sedia ada. Item 3 pula
mendapati separuh pelajar iaitu sebanyak 50% bersetuju bahawa mereka berasa susah untuk
memahami apa yang diajar oleh guru manakala 50% lagi tiada masalah untuk memahaminya. Item 4
turut mendapati lebih daripada separuh pelajar iaitu 64.3% bersetuju dengan kesukaran untuk
mengikuti silibus pembelajaran dan 35.7% tidak bersetuju dan beranggapan silibus mudah untuk
diikuti. Item 5 menjelaskan 85.7% berminat dengan mata pelajaran yang guru ajar manakala 14.3%
berasa tidak minat dengan mata pelajaran tertentu yang menjurus mereka untuk tidak memberi
tumpuan sepenuhnya di dalam bilik darjah. Item 6 menunjukkan gaya pengajaran guru hanya mampu
menarik 39.3% pelajar dan selebihnya tidak berjaya untuk menimbulkan tarikan iaitu sebanyak 60.7%.
Item 7 menunjukkan sebanyak 75% merasa mengantuk di dalam bilik darjah menyebabkan mereka
tidak mampu untuk meneruskan pembelajaran mereka manakala 25% masih lagi mampu
meneruskannya. Item 8 mengesan 64.3% pelajar berasa selalu rasa penat ketika di dalam bilik darjah
menyebabkan mereka berasa lesu dan lemau manakala 35.7% berasa segar dan bertenaga untuk
memberikan sepenuhnya perhatian. Item 9 pula mengatakan 57.1% pelajar mempunyai rakan sebelah
yang kerap mengganggu mereka sehingga menyebabkan mereka rasa rimas manakala 42.9% bebas
daripada gangguan rakan sebelah. Item 10 menyebut bahawa 57.1% pelajar mempunyai rakan sebelah
yang selalu bertanya soalan ketika guru sedang mengajar manakala 42.9% tiada rakan sebegitu. Item
11 yang mana item terakhir mengenal pasti sebahagian besar pelajar iaitu 85.7% pernah tidur dalam
bilik darjah yang mengakibatkan mereka tidak mendengar pengajaran guru di hadapan manakala
14.3% tidak pernah tidur. Secara keseluruhannya, melalui maklum balas yang diberikan, jelas
menunjukkan punca-punca pelajar hilang fokus semasa proses pembelajaran di sekolah adalah
disebabkan faktor guru, suasana di dalam bilik darjah, rakan sekelas dan juga kerana kepenatan.
13

Gambar rajah 1. Pelajar hilang fokus (Mohd Nazri, 2021)

Keratan akhbar di atas melaporkan guru bakal berhadapan dengan pelbagai situasi yang di luar jangka.
Kerenah pelajar yang pelbagai dalam bilik darjah perlu dihadapi dengan bijaksana. Antaranya telatah
pelajar yang enggan hadir ke sekolah, tidak bersedia untuk mengikuti sesi pembelajaran dalam bilik
darjah malahan masih ada pelajar tiada motivasi untuk kembali ke sekolah. Turut dikongsikan lima
tips mudah untuk mendepani cabaran pelajar malas belajar dan tidak fokus semasa dalam sesi
pembelajaran iaitu kenali gaya pembelajaran pelajar, pelbagaikan aktiviti pembelajaran, wujudkan
suasana kondusif untuk pembelajaran, memberi bimbingan positif dan memberi penghargaan dan
pengiktirafan.

7.0 Penutup
Kajian ini adalah untuk mengkaji masalah pelajar hilang fokus dalam kalangan pelajar sekolah
menengah. Secara khususnya, kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan
pelajar hilang fokus ketika sesi PdP yang dilakukan oleh bakal-bakal guru dari Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI). Melalui kajian ini, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar kurang
fokus di dalam bilik darjah. Antara faktor yang mempengaruhi hilang fokus ialah suasana bilik darjah
yang tidak kondusif, sukar untuk memahami pengajaran guru, tidak berminat dengan subjek yang
diajar, mengantuk di dalam bilik darjah dan rakan sekelas yang mengganggu. Selain itu, kesan hilang
fokus yang nyata diperolehi ialah keputusan peperiksaan menurun dan berlaku interaksi antara pelajar
dan guru. Kajian ini membuktikan bahawa keputusan peperiksaan pelajar menurun disebabkan hilang
fokus di dalam bilik darjah. Kesan kepada kurang fokus ini memberi impak yang besar dalam
kalangan pelajar. Proses Pdp dilihat tidak berjalan dengan lancar. Sehubungan dengan itu, beberapa
cadangan cara mengatasi perlu diberi perhatian. Kesimpulannya daripada hasil kajian yang dijalankan
diharapkan dapat memberi impak yang positif daripada semua pihak terutamanya pelajar itu sendiri.
14

8.0 Rujukan
A. H. Noriati, P. Y. Boon, & Sharifah Fakhirah.(2009). Murid dan alam belajar. Shah Alam: Oxford
Fajar Sdn. Bhd.

Bandura, Albert. (1973). Aggression: A social learning analysis. New Jersey: Prentice-Hall
(Englewood Cliffs, N.J)

Berita Harian (2021). 5 kaedah mudah menangani murid malas belajar, tidak fokus.

Che Nidzam Che Ahmad, Saidatul Ainoor Shaharim dan Asmayati Yahaya. (2016). Kesesuaian
Persekitaran Pembelajaran, Interaksi Guru-Pelajar, Komitmen Belajar Dan Keselesaan
Pembelajaran Dalam Kalangan Pelajar Biologi . 1 JUN 2016.

Dr Mohd Nazri, Abdul Rahman. 5 kaedah mudah menangani murid malas belajar, tidak fokus, 16
November 2021.

Haseena Banu A. Kalam, (2016) . Pengaruh persekitaran sosial terhadap tingkah laku disiplin murid
sekolah rendah di Klang, Selangor, Malaysia. Universiti Putra Malaysia.

Kamarudin Hj Husin, et al (2014). Pedagogi:asas pendidikan (edisi baharu) perak:emeritus


publications.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Pelajar Edisi Kedua (2016). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khalim Zainal, (2008). Memahami tingkah laku remaja bermasalah dari perspektif teori tingkah laku,
humanistik, psikoanalitik & tret personaliti. Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara. UKM.

Leonard, M. S., & Karen, L. (1996). Guru yang kreatif, isu-isu teorikal & aplikasi praktikal.
Kuala Lumpur:Arena Buku Sdn Bhd.
15

Mei Teng Ling, (2014) Pembelajaran Aktif Melalui Whole Brain Teaching Bagi Menarik Dan
Mengekalkan Perhatian Pelajar Dalam Subjek Sains Tingkatan Tiga . Universiti Malaysia Sabah.

Misnah A. Hamid, (2010). Hubungan kepimpinan dan pengurusan bilik darjah dengan prestasi
pelajar di sekolah rendah. Tesis Ijazah Sarjana. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Mok, soon sang. (2010). Teori-teori pembelajaran. Selangor: penerbitan multimedia sdn.bhd.

Moskowitz, G., & Hayman, J., L. (1976). Success strategies of inner - City teachers: A yearlong study.

Mohmadisa Hashim, Rohayu Arifin, Yazid Saleh, Nasir Nayan, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah
(2015). Tahap kebisingan trafik dan kesannya terhadap persekitaran pengajaran-pembelajaran
sekolah di pusat bandar Kuala Terengganu. Jabatan Geografi & Alam Sekitar, Fakulti Sains
Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Nolan. J., F. (2004). Principles of classroom management: a professional decision-making model.


Journal of educational research.

Noriati A., R., Pong Y., B. dan Sharifah F., S., A. (2009). Murid dan alam belajar. Selangor : Oxford
fajar sdn. Bhd.

Ragbir kaur J., S. (2010). Panduan llmu pendidikan komprehensif untuk kpli (sekolah rendah). Kuala
lumpur: kumpulan budiman sdn.bhd.

Shah Bin Mohamed Arip, Mohammad Aziz (2014) Faktor, kesan dan strategi menangani
permasalahan kurang tumpuan pelajar sekolah Menengah di dalam kelas: suatu kajian kualitatif.
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan, Abdul Aziz Abdul Shukor. (2008). Psikologi pendidikan .
Oxford fajar sdn. Bhd. Selangor

Sulaiman Ngah Razali (1997). Pedagogi teori dan praktikal. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
16

Syed Ismail Bin Syed Mustapa, Ahmad Subki Bin Miskon. (2010). Guru dan cabaran semasa.
Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd

Syed Ismail Syed Mustafa dan Ahmad Subki Maskon (2010). Budaya dan pembelajaran. Ipoh:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Zaiton Haron, (2020). Mampukah bilik darjah kedap bunyi bising direalisasi?. Utusan Malaysia .

Lampiran 1
Berikut merupakan contoh soal selidik kajian kami. Kami telah mengedarkan pautan Google Form
yang mengandungi soalan kepada pelajar untuk memudahkan pelajar menjawab soalan.

Borang Soal Selidik Tentang Masalah Hilang Fokus di dalam Bilik Darjah

BAHAGIAN A – Maklumat Demografi

Arahan: Sila Tandakan ( ✔ ) bagi jawapan yang sesuai

1. Jantina

Perempuan ( ) Lelaki ( )

2. Agama

Islam ( ) Hindu ( ) Buddha ( ) Kristian ( ) Lain-Lain ( )

3. Jenis geografi sekolah

Bandar ( ) Luar bandar ( )

BAHAGIAN B – Penilaian Kehilangan Fokus dalam Kalangan Pelajar

Arahan: i.. Sila baca kenyataan yang diberikan.

ii. Sila tandakan ( ✔ ) dalam petak berkenaan.

4. Adakah suasana bilik darjah yang tidak selesa mengganggu anda?

Ya ( ) Tidak ( )
17

5. Adakah susun atur meja di dalam bilik darjah tidak tersusun?

Ya ( ) Tidak ( )

6. Adakah anda susah faham apa yang guru ajar?

Ya ( ) Tidak ( )

7. Adakah silibus pembelajaran sukar untuk anda ikuti?

Ya ( ) Tidak ( )

8. Adakah anda berminat dengan mata pelajaran yang guru ajar?

Ya ( ) Tidak ( )

9. Adakah anda tidak tertarik dengan gaya pengajaran guru anda?

Ya ( ) Tidak ( )

10. Adakah anda mengantuk di dalam bilik darjah?

Ya ( ) Tidak ( )

11. Adakah anda selalu rasa penat ketika di dalam bilik darjah?

Ya ( ) Tidak ( )

12. Adakah rakan sebelah menganggu/gemar bercakap dengan anda?

Ya ( ) Tidak ( )

13. Adakah rakan sebelah anda selalu bertanya soalan ketika guru sedang mengajar?

Ya ( ) Tidak ( )

14. Adakah anda pernah tidur dalam bilik darjah?

Ya ( ) Tidak ( )

TERIMA KASIH ATAS KERJASAMA ANDA


18

You might also like