You are on page 1of 13

SISTEM PENGECAS

FUNGSI:
Sebaik sahaja enjin dihidupkan sistem pengecas akan mula mengecas bateri iaitu untuk
mengembalikan balik (memenuhkan) kuasa arus bateri yang telah berkurangan semasa
menghidupkan enjin.

Selain mengecas bateri, sistem pengecas juga berperanan untuk membekalkan arus pada semua
peralatan elektrik dan elektronik yang ada pada kenderaan. Ini bermakna sebaik sahaja enjin hidup,
bateri boleh ditanggalkan dari kenderaan dan dipasang semula apabila kenderaan tersebut hendak
dihidupkan semula.

ARUS:
Arus terbahagi kepada dua, arus terus dan arus ulang alik. Akan tetapi arus yang digunakan pada
kenderaan adalah arus terus dan semua komponen elektrik kenderaan termasuk mentol dari arus
jenis arus terus. Arus ulang alik boleh ditukar atau dijadikan arus terus dengan menggunakan diod.
Diod berperanan untuk menukar arus ulang alik kepada arus terus.

Terdapat 2 komponen yang boleh menghasilkan arus dari pergerakan komponen tersebut. Generator
dan alternator. Perbezaannya generator menghasilkan arus terus dan alternator pula menghasilkan
arus ulang alik. Bila alternator digunakan pada kenderaan ia mempunyai diod dimana arus ulang
alik yang dihasilkan oleh alternator ditukarkan kepada arus terus sebelum ianya dihantar ke semua
peralatan elektrik pada kenderaan dan untuk mengecas bateri.

JENIS SISTEM PENGECAS:


Terdapat dua jenis sistem pengecas yang digunakan pada kenderaan.

Sistem Pengecas Generator;


Sistem ini menggunakan generator yang digerakkan secara mekanikal oleh kuasa enjin dan boleh
menghasilkan arus. Arus yang dihasilkan adalah arus terus.

Kelemahan generator adalah pada kelajuan rendah ia tidak mampu untuk menghasilkan arus yang
cukup untuk mengecas bateri. Oleh itu jika digunakan juga generator tersebut mesti dibesarkan atau
dilajukan. Ini bermakna berat enjin akan bertambah dan kuasa enjin akan berkurangan kerana
menggerakkan generator.

Sistem Pengecas Alternator;


Sistem ini menggunakan alternator yang digerakkan secara mekanikal oleh kuasa enjin dan boleh
menghasilkan arus. Arus yang dihasilkan adalah arus ulang alik. Kenderaan hanya memerlukan
arusterus, oleh itu di alternator dipasang peralatan elektronik dipanggil diod yang boleh menukar
arus ulang alik kepada arus terus sebelum dihantar untuk mengecas bateri dan kegunaan semua
peralatan elektrik kenderaan.

Kelebihan alternator adalah, ia mampu menghasilkan arus yang cukupo untuk mengecas bateri
walaupun dalam kelajuan rendah dan saiznya boleh dikecilkan. Arus yang alternator hasilkan bukan
bergantung kepada saiz atau kelajuan pusingannya akan tetapi bergantung pada peralatan elektronik
(diod) yang dipasang di dalamnya. Oleh itu pada hampir ke semua kenderaan sekarang dipasang
dengan sistem pengecas alternator.

KOMPONEN-KOMPONEN SISTEM PENGECAS JENIS ALTERNATOR:


1. Bateri.
2. Fius.
3. Regulator.
4. Alternator.
5. Tali sawat alternator serta unit pelaras.

REGULATOR:
Berfungsi untuk mengawal arus yang dihasilkan oleh alternator. Alternator berkemampuan
menghasilkan arus yang jauh lebih tinggi semasa beroperasi. Jika arus ini tidak dikawal dan
dibenarkan mengecas bateri dengan arus yang tinggi maka bateri tidak dapat bertahan lama, air
bateri cepat kering dan bateri sentiasa mengalami keadaan yang panas lampau. Bukan itu sahaja
semua peralatan elektrik akan terbakar atau rosak kerana menerima arus yang berlebihan. Bateri
mesti dicas dengan arus yang rendah, proses cas perlahan.

KOMPONEN-KOMPONEN UTAMA ALTERNATOR:


1. Dua pasang kerangka hujung;
Ia biasanya dibuat daripada aluminium aloi dan digegaskan di bahagian hadapan pemutar dan
juga merupakan pencagak kepada pepasangan pemegun. Ia mencagak dengan galas jenis
bebola. Pada kerangka hadapan terdapat satu kipas penyejuk bersama kapi (pulley) yang
dihubungkan dengan talisawat untuk pacuan enjin.

2. Pepasangan rotor atau pemutar;


Ia merupakan ketulan belitan gegelung dawai yang dipasangkan ke dalam satu buku bongkol
besi lembut. Belitan dan bongkol disatukan di antara satu segmen besi lembut yang bersilang
dikenali sebagai kutub. Pepasangan mempunyai satu teras dan merupakan aci pemutar.

3. Pepasangan pemegun atau stator;


Ia dicagakkan di antara satu kerangka hujung. Ia terdiri daripada belitan dawai yang
dilingkarkan ke lapisan teras lembut. Terdapat tiga atau enam dawai sambungan luar dan
biasanya disambungkan ke pepasangan diod. Pemegun biasanya diperbuat dengan tiga belitan
berasingan. Terdapat dua jenis penyambungan tiga belitan dawai iaitu penyambungan star dan
delta.

4. Gelang gelincir (slip ring);


Ia merupakan tempat berus ditetapkan. Ia disambungkan ke penyambung pemutar. Terdapat
dua set gelang gelincir yang diperbuat daripada tembaga dan digegaskan ke hujung belakang
pemutar.

5. Pepasangan diod atau penerus (magnetizing diode);


Diod adalah peranti elektronik yang hanya membenarkan arus mengalir dalam satu arah
sahaja. Ia bertindak seperti injap. Dalam alternator terdapat banyak diod. Tiap-tiap sel terdiri
daripada tiga diod positif dan set lainnya terdiri daripada diod negatif. Tiap-tiap set
disambungkan selari dan dicagakkan ke atas kepingan pengalir haba sebagai empangan haba.
Pepasangan ini berperanan menukarkan arus ulang alik kepada arus terus. Pepasangan diod
dicagakkan ke kerangka hujung belakang.

KENDALIAN CAS ALTERNATOR:

Ketika Suis Utama Dipasang;


Arus mengalir dari bateri terus ke suis utama dan fius. Kemudian dibahagikan kepada dua
pencawang. Pencawang satu ke pengatur tamatan IG kemudian ke gelung pemutar apabila sesentuh
(P3, P4) menghubungkan ke tamatan F. Selepas mentenagakan teras pemutar, ia kemudian ke bumi
melalui tamatan E. Pencawang kedua ke lampu isyarat cas, lampu menyala apabila geganti voltan
mengadakan sesentuh (P0, P1) kemudian dibumikan.

Kendalian pada kelajuan rendah;


Apabila enjin dihidupkan tiga fasa arus ulang alik diaruhkan ke dalam gelung pemegun dan
kemudian diteruskan melalui pepasangan diod. Pada masa bekalan voltan melampaui voltan bateri,
bateri dicaskan semula melalui tamatan B. Dalam masa yang sama tamatan N dikenakan untuk
menekan geglung. Apabila voltan di gegelung tekanannya telah mencapai voltan kendalian maka
sesentuh P0 membuat sentuhan dengan P2 menyebabkan lampu isyarat padam.

Kendalian Pada Kelajuan Sederhana;


Apabila kelajuan alternator dikendalikan pada satu paras tertentu, gegelung voltan ditenagakan.
Dengan itu sesentuh P3 akan tertarik ke arah P5 dan kedudukan neutral diambil. Pada ketika ini
gelung pemutar dan perintang kawalan yang disambungkan bersiri bagi mengurangkan aliran arus
ke dalam gegelung pemutar. Ini menyebabkan daya magnet berputar menjadi lemah dan
menyelenggara voltan keluar pada aras malar.

Kendalian Pada Kelajuan Tinggi;


Apabila enjin dikendalikan pada kelajuan tinggi penambahan voltan menarik ke geglung voltan
menjadikan sentuhan P3 bersentuh dengan P5. Arus dipaksakan mengalir melalui perintang
kawalan kemudian terus ke bumi. Dengan ini arus mengalir ke pemutar lebih rendah daripada
kelajuan sederhana dan voltan diselenggara pada satu aras malar.

PENYELENGGARAAN SISTEM PENGECAS:

Kerosakan Sistem Pengecas;


Walaupun sistem pengecas mempunyai dua komponen utama tetapi gerak kerja untuk menganlpasti
kerosakannya sangat merumitkan sekali. Ini kerana kerosakan komponen-komponen lain seperti
motor penghidup yang rosak, bateri yang lemah dan pendawaian yang rosak boleh menyebabkan
sistem pengecas gagal beroperasi dengan baik.

Antara tanda yang menunjukkan bahawa sistem pengecas tidak beroperasi termasuk:
1. Bateri lemah (engkolan yang lemah atau langsung tiada).
2. Bateri lampau cas (air bateri terpaksa ditambah dari masa ke semasa).
3. Menghasilkan bunyi yang luar biasa.
4. Penunjuk sistem pengecas mennjukkan ada masalah (lampu sistem cas sentiasa menyala atau
nilai bacaan meter cas tidak betul).

Pemeriksaan Secara Visual;


1. Buka hood kenderaan dan perhatikan semua komponen yang berkaitan dengan masalah sistem
pengecas.
2. Periksa masalah yang sering berlaku pada bateri seperti kabel bateri yang longgar, bateri yang
luput cas, terminal yang berkarat, paras air bateri yang kurang dan kotak bateri yang pecah.
3. Periksa masalah dengan talisawat alternator pastikan ketegangannya betul, keadaannya masih
baik dan tidak dicemari oleh gris atau minyak.
4. Periksa masalah yang berkaiatan dengan pendawaian sistem pengecas. Pastikan semua
penyambungannya kemas, tidak berkarat, longgar, tidak mempunyai litar pintas dan
sebagainya.
5. Berkenaaan dengan bunyi luar biasa yang dihasilkan oleh sistem pengecas, pastikan betul-
betul bunyinya dan dari arah mana.

Langkah-langkah keselamatan semasa bekerja dengan sistem pengecas;


Mesti mematuhi dan melakukan semua kerja dengan betul demi untuk menjaga komponen-
komponen sistem pengecas dan sistem elektrik dari mengalami kerosakan.
1. Sebelum melakukan gerak kerja dengan sistem pengecas pastikan bateri kenderaan
ditanggalkan dahulu. Jika sebarang wayar hidup menyentuh bumi, komponen-komponen
elektrik dan elektronik kenderaan mungkin mengalami kerosakan, jika baterinya tidak
ditanggalkan.
2. Semasa mengecas bateri di dalam kenderaan, pastikan juga kedua-dua terminal bateri tersebut
ditanggalkan. Jika tidak sekiranya berlaku voltage surge atau voltan cas yang tinggi akan
mengakibatkan kerosakan pada komponen elektronik yang terlibat di dalam alternator dan
regulator serta kerosakan juga pada sistem penyalaan berkomputer, sistem EFI dan sistem
kawalan pencemaran.
3. Semasa mengecas bateri di dalam kenderaan pastikan tidak tersalah polarity. Polarity yang
salah boleh merosakkan komponen elektrik dan elektronik kenderaan seperti diod, kapasitor
dan sebagainya.
4. Alternator tidak boleh digerakkan semasa wayar pengeluaran voltannya ditanggalkan. Jika
dikendalikan juga voltannya akan menjadi cukup tinggi dan mengakibatkan kerosakan
alternator dan litar elektrik yang lain.
5. Semua terminal sistem pengecas tidak boleh dibumikan atau dilitar pintaskan. Perbuatan yang
sedemikian boleh merosakkan komponen dan sistem elektrik yang lain.
6. Alternator tidak boleh dipolarize.

UJIAN SISTEM PENGECAS:


Sebelum melakukan sebarang ujian pada sistem pengecas eloklah bateri kenderaan tersebut
diperiksa dan diuji dahulu. Seperti yang diketahui bateri akan luput cas jika sistem pengecas tidak
beroperasi akan tetapi beteri tersebut juga dengan sendirinya akan luput cas jika bateri tersebut
sudah tidak elok dan telah lama digunakan. Dalam keadaan diatas ada kemungkinan sistem
pengecasnya tidak beroperasi dan ada kemungkinan juga bateri itu sendiri yang telkah rosak.

Lakukan ujian beban pada bateri dan ujian jangka tumpat. Jika bateri di dalam keadaan baik barulah
ujian sistem pengecas dapat dijalankan.

Ujian sistem pengecas mestilah dilakukan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan sistem
pengecas tersebut telah rosak atau arus dan voltan pengeluarannya didapati rendah dari normal.

Antara ujian yang mesti dijalankan adalah;


1. Ujian Pengeluaran Sistem Pengecas.
Ia dapat dijalankan dengan menggunakan load tester dan multimeter. Ujian ini dapat
menerangkan arus dan voltan pengeluaran sistem pengecas dalam beban maksima.
1.1. Dua kabel load tester disambungkan kepada bateri dan satu wayar lagi diklipkan pada
kabel negatif bateri.
1.2. Setkan load tester seperti yang diarahkan oleh pembuatnya. Onkan suis penyalaan di
dalam kedudukan penyalaan dan baca nilai ampere pada load tester. Catatkan
bacaannya.
1.3. Hidupkan enjin dan laras kelajuan melahu sehingga lebih kurang 2000 psm.
1.4. Laraskan load tester sehingga bacaan arusnya seperti yang dicadang oleh pembuatnya
tanpa menjatuhkan voltannya bawah daripada 12V. Catatkan nilai bacaan amperenya.
1.5. Analisa bacaan-bacaan yang diperolehi.

Menganalisa bacaan ujian pengeluaran sistem pengecas.


1.1. Campurkan kedua-dua bacaan ampere diatas. Jumlahnya adalah merupakan jumlah
pengeluaran sistem pengecas tersebut dan bandingkan dengan nilai yang tercatat di
dalam buku panduan servis.
1.2. Jumlah pengeluaran sistem pengecas bergantu pada saiz (rating) alternator yang
digunakan. Ada kenderaan yang menggunakan alternator bersaiz 35 amp. Kenderaan ini
hanya menggunakan sistem elektrik yang sedikit iaitu yang biasa sahaja. Bagi
kenderaan yang menggunakan litar elektrik tambahan terpaksa menggunakan alternator
yang bersaiz lebih besar iaitu 40 amp hingga 80 amp.
1.3. Jika jumlah pengeluaran sistem pengecas didapati rendah daripada yang sepatutnya,
ujian seterusnya mesti dijalankan supaya kita dapat mengetahui sama ada kerosakan
tersebut pada alternator, regulator atau litar pendawaiannya.

2. Ujian Rintangan Litar (Circuit Resistance Test).


Ujian ini dilakukan untuk mengenalpasti kerosakan pada litar pengecas antaranya adalah;
2.1. Penyambungan yang longgar.
2.2. Terminal yang berkarat.
2.3. Wayar yang terbakar.
2.4. Kerosakan lain.

Terdapat dua cara untuk melakukan ujian rintangan;


2.1. Insulated circuit resistance test:-
2.1.1. Sambungkan voltmeter pada alternator satu wayarnya pada terminal pengeluaran
dan satu lagi pada terminal positif bateri.
2.1.2. Sambungkan juga ammeter yang boleh dikawal arusnya pada alternator.
2.1.3. Hidupkan enjin pada kelajuan melahu yang deras dan setkan meter ke 20 amp
pada 15 V.
2.1.4. Tutup semua peralatan elektrik.
2.1.5. Baca nilai pada voltmeter.
2.1.6. Jika litarnya dalam keadaan baik, bacaan voltmeter tidak boleh melebihi 0.7 V
daripada nilat yang sedia ada (0.1 V bagi satu penyambungan elektrik).
2.1.7. Jika susutan voltannya melebihi 0.7 V menunjukkan litarnay mempunyai
rintangan yang tinggi. Ini menunjukkan terdapat penyambungan yang kotor atau
kurang baik.

2.2. Ground Circuit Resistance Test:-


2.2.1. Sambungkan voltmeter kepada alternator. Satu wayarnya pada terminal bateri
negatif dan satu lagi pada perumah alternator.
2.2.2. Voltmeter tidak boleh menunjukkan melebih 0.1 V bagi setiap penyambungan
elektriknya.
2.2.3. Jika bacaan voltmeter terlalu tinggi, menunjukkan ada penyambungan yang
longgar, soketnya yang terbakar dan lain-lain kerosakan.

3. Ujian Voltmeter pada Sistem Pengecas.

Voltmeter juga boleh digunakan untuk menguji pengeluaran sistem pengecas. Terdapat tiga
peringkat ujian yang mesti dijalankan:-
3.1. Ujian base voltage
Bertujuan untuk mengukur voltan bateri semasa enjin tidak hidup.
3.1.1. Sambungkan voltmeter pada kedua-dua terminal bateri.
3.1.2. Untuk bateri 12 V bacaan voltmeter mestilah lebih kurang 12.6 V. Keadaan ini
menunjukkan bateri dalam keadaan baik dan cukup cas.
3.1.3. Jika bacaannya bawah daripada 11 V menunjukkan bateri itu telah lemah dan
ianya mesti dicas. Jika tidak bateri tersebut perlu ditukar dengan yang baru
setelah beberapa ujian lagi dilakukan pada bateri tersebut.

3.2. Ujian no load voltage


Bertujuan untuk mengukur voltan bateri semasa enjin sedang beroperasi dan semua
peralatan elektriknya dimatikan.
3.2.1. Sambungan voltmeter tetap sama.
3.2.2. Hidupkan enjin dan lajukan enjin sehingga 1500 psm.
3.2.3. Matikan semua peralatan elektrik kenderaan.
3.2.4. Bacaan voltmeter mesti lebih, dan tidak boleh melebihi 2 V dari bacaan base
voltage. Sebagai contoh jika base voltage 12.6 V maka bacaan ujian no load
voltage mestilah di antara 13 V hingga 14.5 V. Jika kenaikannya melebihi 2 V
hingga 3 V menunjukkan alternatornya dalam keadaan cas lampau. Keadaan ini
menerangkan sama ada voltage regulatornya atau litarnya yang rosak.
3.2.5. Jika kenaikannya lebih kurang 0.5 V hingga 2 V, menunjukkan semuanya dalam
keadaan baik dan elok.
3.2.6. Jika jarum voltmeter tidak bergerak dari bacaan base voltage menujukkan sistem
pengecasnya tidak beroperasi. Ini menerangkan sama ada alternator, regulator
atau litarnya yang bermasalah atau rosak. Dalam keadaan ini, ujian rintangan
mesti dijalankan untuk mencari punca kerosakan tersebut.

3.3. Ujian load voltage


Bertujuan untuk mengukur voltan bateri semasa enjin beroperasi dan semua peralatan
elektriknya dipasang. Jika ujian no load voltage lulus, ujian load voltage mesti juga
dijalankan.
3.3.1. Sambungan voltmeter tetap sama.
3.3.2. Hidupkan enjin dan lajukan enjin sehingga 2000 psm.
3.3.3. Pasang semua peralatan elektrik kenderaan seperti lampu, pengelap, blower dan
peralatan elektrik yang lain.
3.3.4. Bacaan voltmeter mesti melebihi 0.5 V lebih tinggi daripada bacaan base
voltage. Keadaan ini menunjukkan sistem pengecas walaupun dalam keadaan
beban yang tinggi masih mempunyai cas voltan yang cukup untuk mengecas
bateri.

MENSERVIS:

1. Menservis Alternator.
Setelah ujian-ujian dijalankan didapati alternatornya tidak beroperasi maka alternator mesti
ditanggalkan, dirombak, diperiksa dan diuji komponen-komponenya. Jika perlu diservis atau
diganti. Akhir sekali alternator tersebut dipasang kembali.

1.1 Menanggal alternator dari kenderaan.


1.1.1 Tanggalkan kedua-dua terminal bateri.
1.1.2 Longgarkan nat pelaras talisawat kipas pada alternator.
1.1.3 Longgarkan semua nat-nat pengikat alternator.
1.1.4 Tolak alternator kearah enjin dan keluarkan talisawat kipas.
1.1.5 Tanggalkan semua nat-nat yang dilonggarkan.
1.1.6 Keluarkan alternator dari enjin.

1.2 Merombak Alternator


1.2.1. Sebelum bahagian-bahagian alternator dipisahkan lakukan beberapa tanda-tanda
yang penting.
1.2.2. Dengan menggunakan allen wrench dan sepana yang sesuai, longgar dan
tanggalkan nat pulley alternator.
1.2.3. Dengan menggunakan puller yang sesuai, tanggalkan pulley alternator.
1.2.4. Longgar dan tanggalkan bolt-bolt pengikat bahagian-bahagian alternator.
1.2.5. Pisahkan bahagian belakang alternator.
1.2.6. Dengan bantuan alat pemateri tanggalkan wayar pepasangan diodnya.
1.2.7. Tanggalkan pepasangan diod, build-in regulator dan komponen–komponen yang
bersangkutan.
1.2.8. Setiap kali alternator dirombak berus karbonnya mesti ditukar dengan baru.
1.2.9. Semua komponen alternator tidak boleh dicuci dengan solvent memadai dengan
dilap sahaja. Dibersihkan dengan kain yang kering dan disembur udara mampat.

2. Menservis Rotor.
2.1. Pastikan acinya tidak bengkok, jika bengkok tukar dengan yang baru.
2.2. Pastikan slip ringnya tidak kotor dan cacat, jika perlu bersihkan dengan menggunakan
kertas pasir yang halus.
2.3. Perhatikan lilitan wayarnya tidak ada yang putus, terbumi atau terbakar. Jika berlaku
salah satu di atas maka rotor tersebut perlu ditukar dengan yang baru.
2.4. Seterusnya jika keadaan fizikal rotor nampak baik dan elok, lakukan beberapa ujian lagi
pada rotor tersebut bagi menentukan ianya beroperasi dengan baik setelah dipasang
kembali.
2.5. Dengan menggunakan ohmmeter lakukan ujian terbumi pada rotor. Satu wayar
ohmmeter pada slip ring dan sentuhkan wayar yang satu lagi pada aci rotor. Jika
ohmmeter menunjukkan bacaan infiniti menerangkan keadaan baik tidak terbumi.
2.6. Dengan menggunakan ohmmeter lakukan ujian litar terbuka. Sentuhkan satu wayar
ohmmeter pada salah satu slipnya dan wayar yang satu lagi kepada slip ring yang kedua.
Jika bacaan ohmmeter lebih kurang 2 Ω hingga 4 Ω ia menunjukkan tidak ada litar yang
terputus atau terbuka.
2.7. Dengan menggunakan bateri kenderaan 12 V dengan sebuah ammeter, lakukan ujian
arus motor. Sambungkan bateri dan ammeter pada kedua slip ringnya. Ammeter mesti
menunjukkan bacaan lebih kurang 3 A hingga 6 A.
2.8. Jika salah satu daripada ketiga-tiga ujian di atas gagal, rotor tersebut mesti diganti
dengan yang baru.

3. Menservis Stator.
3.1. Lihat dan pastikan lilitan stator tidak ada tanda-tanda terbakar.
3.2. Sambungkan ohmmeter pada satu bumi iaitu badan stator dan satu lagi pada
terminalnya. Jika bacaannya tinggi atau infiniti menunjukkan tidak ada yang terbumi.
Jika bacaannya rendah menunjukkan ada yang terbumi maka stator tersebut mesti
diganti baru. Lakukan yang sama pada kedua-dua terminal stator yang masih perlu diuji
sama ada berbumi atau tidak.
3.3. Seterusnya sambungkan ohmmeter di antara kedua-dua terminal stator dan diubah-ubah,
untuk menguji semua terminalnya. Jika bacaan ohmmeter tinggi atau infiniti
menunjukkan ada lilitannya yang terputus, maka stator mesti diganti dengan yang baru.

4. Menservis Diod.
Sesebuah alternator mempunyai lebih daripada satu diod. Ijka ada diodnya yang rosak maka
voltan dan arus pengeluarannya akan berkurangan dan alternator tersebut dianggap tidak
beroperasi dengan baik. Diod dipasang di dalam satu pepasangan. Jika salah satu diodnya
rosak maka pepasangan diod itu mesti diganti dengan yang baru. Kerosakan diod kerap
berlaku pada alternator. Oleh itu ia mesti diperiksa dan diuji setiap kali alternator diservis.
Diod boleh diuji dengan menggunakan ohmmeter, lampu uji dan penguji diod yang khas.
Penggunaan ohmmeter merupakan ujian yang selalu dilakukan.
4.1. Dengan menggunakan alat pemateri tanggalkan penyambungan diod di antara satu
dengan yang lain.
4.2. Sambungkan ohmmeter pada terminal positif dan negatif diod dan perhatikan jarum
ohmmeter. Lepas itu terbalikkan sambungan ohmmeter pada diod yang sama dan
perhatikan jarum ohmmeter semula.
4.3. Jika dalam kedua-dua ujian jarum ohmmeter bergerak sekali dan ujian yang satu lagi
jarumnya tidak bergerak menunjukkan diod tersebut masih elok.
4.4. Jika kedua-dua ujian jarumnya bergerak atau tidak bergerak menunjukkan diodnya telah
rosak.
4.5. Lakukan ujian yang sama pada semua diod alternator. Jika didapati salah satu diodnya
rosak maka pepasangan diod tersebut mesti ditukar dengan yang baru.

5. Menservis Galas Alternator.


Galas alternator yang kering atau rosak boleh menghasilkan bunyi yang merungsingkan dan
tidak dikehendaki semasa alternator beroperasi. Jika ianya telah longgar ia boleh
menyebabkan rotor bergerak lebih daripada biasa dan keadaan ini akan mengganggu voltan
dan arus keluaran alternator tersebut. Setiap kali alternator diservis galasnya mesti diganti
baru.
5.1. Untuk mengganti galas hadapannya tanggalkan plat pengadang galas. Lepas itu galas
yang lama dikeluarkan dan galas yang baru dipasang.
5.2. Untuk mengganti galas belakangnya, galasnya dikeluarkan dengan cara menukulnya
keluar dan galas yang baru ditekan ke dalam perumahnya.

6. Menservis Berus Karbon.


Berus karbon yang telah haus atau rosak boleh menggangu voltan dan arus pengeluaran
alternator. Perhatikan keadaan fizikal berus karbon dan ukur panjangnya. Jika ianya masih
elok dan masih panjang ianya masih boleh digunakan. Akan tetapi setiap kali alternator
diservis barus karbonnya mesti diganti dengan yang baru.

6.1. Memasang Alternator seterusnya ke Enjin.


6.1.1. Mula-mula setkan dan kemaskan pepasangan built-in relgulator, pepasangan
diod, pepasangan berus karbon, galas belakang, terminal dan skru pada perumah
belakang alternator.
6.1.2. Dengan menggunakan dawai halus kedua-dua berus karbon dapat disetkan
keseluruhannya ke dalam perumahnya supaya pepasangan rotor dapat dilakukan
dengan baik dan kemas.
6.1.3. Cantumkan bahagian hadapan dan belakang alternator serta kemaskan boltnya.
6.1.4. Akhir sekali pasang semua komponen-komponen bahagian hadapan yang telah
ditanggalkan.
6.1.5. Uji pergerakan alternator dengan cara memusingkan pulleynya untuk
memastikan pusingan licin dan lancar.
6.1.6. Pasang semula alternator ke enjin.
6.1.7. Laraskan talisawat.

7. Menservis Regulator.
Apabila didapati regulator gagal di dalam ujian voltannya maka regulator tersebut mesti
diganti dengan yang baru, ini kerana jarang sekali regulator diservis. Jika pelarasan hanya
tinggi sedikit sahaja atau rendah maka ianya boleh dilaras, itu pun jika boleh dilaras. Jika
tidak regulator itu mesti diganti dengan yang baru.

8. Menservis Electronic Regulator.


Kebiasaannya electronik regulator yang rosak mesti diganti dengan yang baru. Ianya selalu
dipasang pada bahagian belakang alternator atau di dalam alternator. Setelah yang baru
dipasang ianya mesti diuji untuk menentukan ianya boleh berfungsi dengan baik dan betul.
Ada sesetengah regulator boleh dilaras. Bagi jenis ini ia mempunyai lubang di bahagian
belakang regulator tersebut dimana skru pelarasannya ditempatkan. Skru pelarasan tersebut
boleh dilaras untuk meninggikan atau mengurangkan voltage pelarasannya. Skru pelarasannya
boleh dilaras semasa enjin tersebut sedang beroperasi supaya voltagenya dapat dilaras dengan
betul dan tepat.

9. Menservis Regulator jenis Titik Sesentuh.


Ia jarang digunakan kerana ia hanya digunakan pada kenderaan lama sahaja. Ia lebih senang
mengalami kerosakan kerana titik sesentuhnya selalu haus, berlubang atau terbakar. Jika
lilitannya rosak atau terbakar ianya mesti diganti baru. Ia dilaras hanya bila pengeluarannya
tinggi atau rendah daripada sepatutnya. Pelarasannya dilakukan semasa enjin beroperasi sama
seperti melaras electronic regulator.

You might also like