You are on page 1of 4

NAMA : NUR FATEHAH BINTI BADHLY SHAM (162225)

TAJUK : DISKRIMINASI TERHADAP WANITA DALAM PEKERJAAN


NAMA PENSYARAH : PROFESSOR DR. SIVAMURUGAN A/L PANDIAN

Isu kesaksamaan gender merupakan manifestasi kepada kesedaran dalam politik agar
hak, peluang, dan perlindungan diberikan kepada setiap individu tanpa mengira jantina atau
peringkat umur. Malah, isu kesaksamaan gender ini juga telah diangkat menjadi teras kelima
dalam matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goals) seperti yang
digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini menjadikan isu ketaksamaan
gender bukanlah perkara baru di Malaysia. Isu ini bukan hanya berlaku dalam pekerjaan malah ia
juga wujud dalam pendidikan, pendapatan dan politik serta lain-lain.

Menurut Theodorson & Theodorson (1979), diskriminasi ialah layanan yang tidak sama
rata terhadap individu atau kumpulan berdasarkan sesuatu, biasanya sifat-sifat kategori atau
tersendiri seperti bangsa, etnik, agama atau keahlian kelas sosial. Diskriminasi jantina pula
dikatakan berlaku apabila sesuatu keputusan itu dibuat berdasarkan jantina, dan bukanlah
kelayakan individu atau prestasi kerja (Gutek, Cohen dan Tsui, 1996). Menurut Sultana dan
Erlina (2012), diskriminasi lebih lazim berlaku di negara sedang membangun yang mana wanita
dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi, yang akhirnya memberi kesan
kepada perbezaan upah atau gaji yang diterima berbanding golongan lelaki. Diskriminasi
terhadap wanita dapat dilihat dalam pelbagai bentuk. Sebagai contoh, tingkat pendapatan,
kenaikan pangkat, gangguan seksual dan lain-lain.

Antara bentuk diskriminasi wanita dalam pekerjaan adalah pembayaran upah yang
diberikan oleh majikan. Menurut Berita Harian Online, purata gaji dan upah bagi graduan lelaki
dan perempuan berkelulusan ijazah menunjukkan terdapat jurang hampir 20 peratus, sekali gus
menjadi penyebab utama wanita mempunyai simpanan yang sedikit berbanding lelaki. Menurut
pakar perunding kewangan iaitu Rohani Shahir, berkata berdasarkan laporan Statistik Siswazah
2019 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, purata gaji graduan lelaki adalah sekitar RM7,055
manakala wanita ialah RM5,348.
Seterusnya, diskriminasi juga wujud dalam pembahagian jenis pekerjaan, di mana secara
umumnya kebanyakan kaum wanita menceburi bidang pekerjaan perkeranian dan yang
berkaitan, professional, teknikal dan yang berkaitan, perkhidmatan dan jualan (Noor Rahmah
Abu Bakar, 2014). Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia 1991, didapati bahawa tidak ramai
kaum wanita yang memegang jawatan sebagai arkitek, jurutera, ahli teknologi, juruukur, ahli
sains, penyelia pengangkutan dan perhubungan dan pekerja khidmat kawal. Ia juga berlaku
disebabkan oleh sikap majikan yang sering kali mengaitkan gender dengan jenis pekerjaan
yang mana golongan wanita lebih tertumpu kepada pekerjaan yang lebih berkaitan dengan
ciri-ciri kewanitaan tanpa melihat kebolehan dan pengalaman yang dimiliki oleh seseorang
wanita.

Punca berlakunya diskriminasi wanita dalam pekerjaan adalah wanita sering dilihat
sebagai tenaga buruh yang boleh diambil dan dipecat dengan senang kerana mereka dianggap
bukan "pekerja tetap". Tambahan pula adalah dianggap kehidupan mereka akan disarai oleh
kaum lelaki, sama ada suami, ayah atau saudara kaum lelaki yang lain. Malah ramai juga kaum
wanita beranggapan bahawa mereka akan berumahtangga dan tanggungjawab mencari rezeki
terserah kepada suami selaku ketua keluarga. Golongan wanita juga sering didiskriminasikan
kerana mereka ini dianggap golongan yang senang dikawal dan tahan untuk melakukan kerja
yang sama dan berulang-ulang setiap hari. Diskriminasi terhadap wanita turut dilakukan
disebabkan wanita kurang ketrampilan diri, kurang daya tarikan dan kecantikan di samping usia
yang meningkat (Abd. Rahim. Abd. Rashid, 2006).

Selain itu, diskriminasi dalam pembahagian kerja berdasarkan gender juga berlaku
disebabkan oleh faktor kemahiran dan fizikal pekerja. Pekerja lelaki lebih diberi keutamaan
untuk memegang jawatan-jawatan tinggi dan bergaji besar dalam organisasi seperti Juruteknik,
Arkitek, Operator dan sebagainya. Hal ini kerana pihak majikan mempercayai bahawa
pekerja lelaki lebih banyak memiliki kemahiran dalam pekerjaan tersebut disebabkan oleh
pengalaman-pengalaman kerja sebelumnya. Selain itu, fizikal lelaki yang lebih kuat dan tahan
lasak membolehkan mereka diberi pekerjaan yang bergaji besar kerana pekerjaan tersebut
terdiri daripada pekerjaan yang tahan lasak dan memerlukan kekuatan yang besar. Bagi
pekerja wanita pula, mereka lebih cenderung untuk memilih pekerjaan dalam sektor
perkhidmatan dan perkeranian yang mana tugas kerjanya lebih mudah dan sesuai dengan ciri-ciri
wanita yang ternyata lebih lemah-lembut.

Diskriminasi terhadap wanita ini akan memberi kesan negatif. Antaranya adalah peluang
wanita untuk mendapatkan pekerjaan juga adalah sangat tipis apabila mereka hadir ke temuduga
dalam keadaan mengandung. Hal ini kerana majikan akan terus menolak permohonan mereka
kerana majikan beranggapan bahawa wanita yang mengandung akan menaikan kos organisasi.
Wanita yang umurnya telah meningkat juga akan cenderung untuk diberhentikan kerja kerana
bagi majikan wanita yang berusia akan melambatkan produktiviti pengeluaran organisasi.

Selain itu, diskriminasi bukan sahaja mendatangkan kesan buruk kepada individu atau
mangsa tetapi juga kepada organisasi secara amnya. Pekerja yang mengalami diskriminasi akan
mengalami kemurungan dan menjejaskan prestasi kerja. Gangguan seksual yang berlaku di
tempat kerja akan menyebabkan persekitaran kerja menjadi tidak kondusif dan menjejaskan
produktiviti syarikat, masalah ketidakhadiran kerja meningkat, dan peningkatan kadar berhenti
kerja. Organisasi juga akan menghadapi risiko dikenakan tindakan undang-undang yang boleh
menjejaskan nama baik organisasi sekiranya disabitkan kesalahan tersebut.

Kesimpulannya, isu diskriminasi wanita perlulah diberi perhatian kerana ia juga diberi
penumpuan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Ini membuktikan bahawa Persatuan
Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil serius terhadap perihal diskriminasi gender ini. Oleh itu,
setiap wanita yang bekerja dan mempunyai pangkat dalam organisasi syarikat perlulah
mengetahui hak-hak yang dimiliki oleh mereka. Menurut Rohani Shahir, dasar mengenai wanita
terpinggir harus dirangka berlandaskan fakta dan wanita yang berada di sektor perkilangan dan
kebajikan mereka harus dibela. Selain itu, wanita juga perlulah mengetahui tentang hak-hak
mereka sebagai pekerja yang dilindungi di bawah akta dan perlembagaan Malaysia seperti Akta
Kerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta
Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1954.
RUJUKAN

Azizan M., Winnie S. (2017, Mac). Diskriminasi Wanita Dalam Sektor Pekerjaan.
https://www.researchgate.net/publication/315457238_DISKRIMINASI_WANITA_DAL
AM_SEKTOR_PEKERJAAN

Nurasmiza M. I., Rabeatul H. A. R., Salwa A. P. (2020, Disember 15). Hubungan Antara
Diskriminasi Jantina Dengan Niat Pekerja Wanita Untuk Kekal. Jurnal Kemanusiaan.
file:///C:/Users/User/Downloads/admin,+08+Artikel++12+-+Asmaniza.pdf

Nidhal Rawa. (2021, Disember 30). Merapatkan Jurang Gender. Penang Institute.
https://penanginstitute.org/publications/suara-nadi/merapatkan-jurang-gender/

Saadiah Ismail. (2023, Januari 3). Gaji Wanita Lebih Rendah Berbanding Lelaki. Berita Harian
Online.https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2023/01/1047020/gaji-wanita-lebih-
rendah-daripada-pekerja-lelaki

You might also like