You are on page 1of 2

PUNCA KENAIKAN HARGA BARANG

Umum mengetahui bahawa negara kita sedang menghadapi masalah kenaikan harga barang. Hal
ini dikatakan demikian kerana berlakunya inflasi yang merupakan kenaikan harga barang secara holistik.
Sebagai contoh, berlakunya inflasi tolakan kos yang wujud akibat kenaikan harga material untuk
menghasilkan sesuatu produk. Hal ini telah menyebabkan rakyat menghadapi masalah kewangan akibat
harga barangan yang terlalu tinggi namun tetap terpaksa dibeli oleh mereka akibat diperlukan untuk
meneruskan kehidupan harian. Persoalannya, apakah punca berlakunya kenaikan harga barang di negara
ini?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sikap pengeluar yang hanya mementingkan keuntungan
merupakan salah satu punca terbesar berlakunya kenaikan harga barang secara mendadak. Hal ini
dikatakan demikian kerana, pengeluar tidak mengambil kira kesusahan orang lain dan hanya
mementingkan diri mereka dengan memastikan hasil yang diperoleh adalah tinggi untuk hidup dalam
kekayaan. Sebagai contoh, pihak pengeluar meletakkan harga yang amat tinggi untuk sesuatu produk
yang mereka keluarkan. Kesannya, pembeli terpaksa membayar harga yang tinggi untuk barang yang
dibeli oleh mereka. Rentetan daripada itu, mereka terpaksa menghabiskan wang untuk membeli barang-
barang yang tinggi harganya dan tidak dapat menabung untuk masa hadapan. Oleh sebab itu jelaslah
bahawa sikap pengeluar yang mengutamakan keuntungan merupakan punca berlakunya masalah kenaikan
harga barang.

Ternyata masalah inflasi juga merupakan punca berlakunya kenaikan harga barang. Hal ini
disebabkan oleh pengeluar yang ingin mengurangkan kos pengeluaran bagi pihak mereka yang meningkat
akibat kenaikan kos faktor pengeluaran . Misalnya, inflasi tolakan kos berlaku apabila wujud kenaikan
kos pengeluaran dan pengeluar ingin mengurangkan kos tersebut, maka pengeluar akan meletakkan kos
itu kepada produk yang dihasilkan. Impaknya, pembeli terpaksa membeli produk dengan harga yang lebih
tinggi. Ekoran daripada itu, rakyat akan mengalami kerugian kewangan akibat masalah perlu membayar
barangan dengan harga yang amat tinggi, Huraian di atas jelas menunjukkan bahawa masalah inflasi
merupakan punca berlakunya kenaikan harga barangan secara mendadak.

Memang tidak dapat disangkal lagi permintaan barang yang melebihi penawaran barang
merupakan punca berlakunya kenaikan harga barang. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila jumlah
permintaan adalah melebihi jumlah penawaran barang, maka pengeluar perlu menaikkan harga barang
supaya tidak berlaku masalah kekurangan pengeluaran. Sebagai tamsilan, apabila permintaan jus
meningkat tetapi jumlah pengeluaran adalah kurang, maka pengeluar mesti menaikkan harga jus tersebut
agar tidak berlakunya kekurangan pengeluaran jus. Implikasinya, harga barang terpaksa dinaikkan untuk
mengelakkan masalah lebihan permintaan. Selaras dengan itu, pengguna terpaksa membeli barang dengan
harga yang tinggi atas sebab inisiatif pengeluar yang tidak mahu pengurangan pengeluaran berlaku.
Sekali lagi ditegaskan bahawa, permintaan barangan yang melebihi pengeluaran barangan merupakan
sebab berlakunya masalah kenaikan harga barang dalam negara.

Selain itu, bencana alam juga merupakan penyumbang berlakunya masalah kenaikan harga
barangan di negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila berlakunya bencana alam, maka hasil
keluaran akan merosot. Sebagai contoh, hasil keluaran tanaman seperti sayur-sayuran tidak mendapat air
yang secukupnya untuk membesar apabila musim kemarau akibat cuaca yang terlalu panas dan kering.
Kesannya, proses pengeluaran sayur-sayuran akan menjadi jauh lebih rumit berbanding apabila tumbuh
dalam keadaan cuaca yang baik. Sehubungan dengan itu, harga sayur-sayuran tersebut akan meningkat
dengan mendadak. Huraian di atas jelas menunjukkan bahawa bencana alam merupakan faktor
berlakunya kenaikan harga barang.

Punca lain berlakunya kenaikan harga barang adalah akibat mata wang negara kita yang
mengalami kemerosotan. Hal ini disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang dihadapi Malaysia yang
menyebabkan nilai mata wang terjunam. Misalnya, negara kita terpaksa mengimport barang-barang yang
tiada di negara kita untuk menghasilkan produk seperti buah-buahan yang hanya dapat dihasilkan dalam
iklim yang dingin. Impaknya, mata wang Malaysia yang rendah terpaksa dikeluarkan dalam amaun yang
banyak akibat perlu membayar kepada negara yang mempunyai nilai mata wang yang lebih tinggi seperti
di Amerika Syarikat dan China. Sejajar dengan itu, harga barang meningkat akibat nilai mata wang
tempatan yang keluar ke negara asing adalah lebih tinggi berbanding mata wang asing yang masuk ke
negara kita yang seterusnya menyebabkan lebihan imbangan pembayaran dalam ekonomi. Oleh sebab itu
jelaslah bahawa, kenaikan harga barang adalah disebabkan oleh masalah kemerosotan mata wang negara
kita.

Sudah terang lagi bersuluh terdapat pelbagai punca berlakunya masalah kenaikan harga barang di
negara kita. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan janganlah memandang enteng akan masalah ini
kerana apabila semakin lama diabaikan, lambat laun masalah ini akan berada di luar kawalan. Jadi,
masalah kenaikan harga barang perlulah ditangani segera supaya tidak memberi kesan yang buruk kepada
negara pada masa hadapan. Semoga Malaysia terus berjaya dalam memastikan masalah kenaikan harga
barang tidak berlaku demi keharmonian dan keamanan negara kita.

You might also like