You are on page 1of 2

Soalan: 

Perniagaan internet semakin popular dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat dalam
era globalisasi ini.
Huraikan kelebihan dan kelemahan perniagaan internet kepada masyarakat pada masa ini.

Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan teknologi yang
canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan jual beli antara peniaga
dengan pengguna melalui internet. Di Malaysia, aktiviti perniagaan internet semakin terkenal dan
mendapat sambutan pada masa ini, selaras dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi di
peringkat globalisasi. Di samping itu, perniagaan internet bukan sahaja untuk syarikat-syarikat
besar, tetapi juga untuk syarikat kecil. Walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap, mereka juga
boleh menjalankan perniagaan ini bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan
bahawa perniagaan internet semakin mendapat sambutan hangat dan memberikan kebaikan kepada
peniaga dan pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan internet juga mempunyai kelemahannya
yang tersendiri.

Perniagaan internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan dengan lebih
mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak peniaga
tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan promosi di tepi-tepi jalan,
pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga juga boleh membuat promosi dengan
mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka dengan menggunakan kemudahan internet. Kerja-
kerja promosi bukan sahaja dapat dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat
dikurangkan, antaranya kos pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini
turut memudahkan pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang
masa untuk membuat tempahan di kedai tetapi mereka boleh membuat tempahan melalui internet
sahaja.

Pasaran bagi perniagaan internet tentunya dapat dikembangkan dengan cara yang meluas ke serata
dunia. Produk dari Malaysia seperti pencuci muka berkualiti dengan harga yang murah bukan sahaja
tertumpu di dalam negara sahaja tetapi juga boleh diluaskan pasarannya ke luar negara seperti
Indonesia, Filipina, Singapura, India, dan Amerika Syarikat. Penjualan barangan ke luar negara
bukan sahaja dapat memperkenalkan jenama produk Malaysia tetapi juga memberikan keuntungan
besar di samping meningkatkan ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana wujudnya
pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli antara peniaga dari negara ini dengan peniaga
dari luar negara. Peniaga dari luar negara mula berminat terhadap barangan dari Malaysia dan
mereka akan menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Perniagaan internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara. Impak tersebut dapat dilihat
dalam sektor pelancongan. Melalui kemudahan internet, setiap hotel dan pusat pelancongan akan
memperkenalkan produk pelancongan mereka dengan membuat promosi mereka melalui internet
supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang
lebih banyak untuk datang dan bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata
wang asing bukan sahaja meningkat tetapi juga persaingan antara negara maju yang lain juga dapat
ditingkatkan. Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan
yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan berteknologi
tinggi seperti internet.

Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila peniaga menceburkan diri dalam perniagaan
internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan. Sebagai
contohnya, walaupun Malaysia semakin maju, terdapat banyak lagi anggota masyarakat yang tidak
biasa menggunakan teknologi maklumat. Di samping itu, terdapat juga pengguna yang terlalu
cerewet dan menyusahkan peniaga atau usahawan internet. Oleh itu, peniaga terpaksa bersabar
dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan produk yang dipasarkan atas
alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan
impak kepada peniaga yang terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang
yang diganti itu semula demi kepuasan pengguna. Keadaan ini berlaku kepada peniaga yang
mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar harga barangan
tersebut terlebih dahulu sebelum mereka menerima dan boleh menggunakannya.
Pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko perlu dihadapi oleh
peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu seperti produk atau perkhidmatan yang dipasarkan
hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi sesetengah produk, terutamanya makanan dan
produk kesihatan. Hal ini dikatakan demikian kerana ada sesetengah daripada produk tersebut
berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor pelancongan pula, kebanyakan pelanggan
membuat aduan bahawa tempat-tempat percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam
internet tidak secantik seperti yang ditunjukkan melalui iklan dalam internet. Keadaan ini tentunya
akan memberikan kesan negatif kepada negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan. Hal ini
menyebabkan berlakunya tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu
oleh promosi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan
tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan internet bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna
tetapi juga memberikan kemudahan dan kelebihan kepada peniaga. Walau bagaimanapun, kita
bukan sahaja menerima kebaikan dan faedahnya, malahan perniagaan tersebut turut memberikan
impak negatif juga kepada negara. Jadi kita tidak mahu kelemahan tersebut menjejaskan negara
kita dan kita mahu terus bersaing dengan negara maju yang lain. Selain itu, pihak peniaga dan
pengguna juga harus berhati-hati kerana terdapat beberapa risiko yang akan dihadapi oleh mereka.
Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa atau kerajaan haruslah mengawal dan memantau aktiviti
perniagaan melalui internet ini supaya bentuk perniagaan dan kemudahan ini tidak disalahgunakan
oleh pihak yang bertanggungjawab kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak tengadah.

You might also like