You are on page 1of 4

Kurang guru, tak suka membaca punca kelas sastera tutup

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mei 9, 2023 @ 10:54am

bhpendidikan@bh.com.my

Kurang guru, sikap tak suka membaca memberi cabaran kepada subjek Kesusasteraan Melayu
sehinggakan banyak sekolah tidak lagi menawarkan mata pelajaran itu. Gambar arkib NSTP.

Kurang guru, sikap tak suka membaca memberi cabaran kepada subjek Kesusasteraan Melayu
sehinggakan banyak sekolah tidak lagi menawarkan mata pelajaran itu. Gambar arkib NSTP.

Sikap tidak suka membaca memberi cabaran kepada subjek Kesusasteraan Melayu sehinggakan
banyak sekolah tidak lagi menawarkan mata pelajaran itu.

Hal ini diburukkan lagi dengan kekurangan guru opsyen malah selepas subjek itu dijenamakan
semula sebagai Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK), ia dilihat masih kurang mampu menarik
perhatian murid.

Apatah lagi KMK adalah subjek elektif. Hal ini tentu berbeza dengan subjek Sejarah yang meskipun
turut menuntut murid banyak membaca tetapi ia disebabkan mata pelajaran wajib, pelajar tiada
pilihan.

Presiden Persatuan Penulisan Budiman Malaysia (BUDIMAN), Prof Dr Abdul Halim Ali, berkata
fenomena penutupan kelas KMK adalah 'tidak sihat'.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Murid SJKC tak minat subjek Bahasa Melayu?

Sisi positif sekolah kurang murid

MCLC nafi murid SJKC tidak minat subjek Bahasa Melayu

Dua bekas presiden kesatuan guru terkejut 269,332 murid gagal kuasai pembelajaran

Tiada diskriminasi dalam penganjuran bengkel SPM

Ajar subjek bukan opsyen, tambah beban guru

Diskriminasi pendidikan sekat pengembangan potensi pelajar

UPSR tersasar matlamat, tidak perlu dikembalikan

Katanya, beliau maklum banyak kelas KMK di sekolah-sekolah sekitar Melaka, Perak, Selangor dan
Johor selain Kedah, Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan serta Kuala Lumpur semakin berkurangan
ketika ini.
Bagaimanapun di negeri seperti Kelantan, Sabah, Sarawak masih banyak menawarkan mata pelajaran
itu pada peringkat menengah dan prauniversiti.

Beliau yang juga Pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan
Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata antara faktor yang biasa disebut oleh
pihak sekolah yang tidak menawarkan subjek KMK termasuklah murid kurang minat membaca dan
tiada guru opsyen.

"Apa yang berlaku, kurang kefahaman dan maklumat mengenai kepentingan KMK dalam kalangan
pentadbir dan murid-murid di sekolah.

"Selain itu wujud persepsi salah terhadap KMK sebagai mata pelajaran tidak bernilai komersial turut
menyebabkan perkara ini berlaku.

"Ia juga turut berpunca daripada pilihan mata pelajaran elektif yang banyak, komposisi kelompok
mata pelajaran elektif dihadkan atau ditutup," katanya.

Abdul Halim berkata subjek KMK di sekolah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai satu
pelajaran elektif sebaliknya ia perlu dilihat sebagai wadah pembinaan dan pengukuhan jati diri
bangsa.

Kesusasteraan Melayu katanya adalah satu daripada juzuk khazanah peradaban bangsa Melayu. Ia
adalah identiti bangsa pemiliknya sekali gus menjadi sumber yang memperkenalkan adab dan
kesantunan serta kekayaan akal budi bangsa.

"Bagaimana bangsa Malaysia pada masa hadapan dapat diterapkan nilai-nilai murni budi pekerti
yang kaya dalam sastera Melayu jika sekiranya mata pelajaran ini tidak ditawarkan kepada murid-
murid?

"Mengajar subjek ini juga bererti kita menyambung mata rangkai warisan bangsa yang akan
disambung generasi baharu kemudiannya," ujarnya.

Justeru katanya, kurang minat membaca boleh ditangani dengan memperbanyakkan usaha itu oleh
sekolah dan ibu bapa.
Katanya ia boleh bermula di tapak perhimpunan dengan aktiviti NILAM, sesi pengajaran dan
pembelajaran, sisipan jadual waktu untuk murid membuat aktiviti bacaan di pusat sumber selain
aktiviti kokurikulum dan aktiviti lanjutan pada masa senggang dan cuti sekolah.

"Jika Dasar 1 Murid 1 Sukan boleh dilaksanakan, apa susahnya melaksanakan aktiviti 1 murid 1 buku
1 hari 1 cerita ?

"Guru adalah manusia kreatif dan inovatif. Mereka tahu untuk merancang dan melaksanakan
pelbagai aktiviti sesuai dengan tahap murid dan kemudahan yang ada.

"Persoalannya, sejauh manakah sesuatu dasar atau aktiviti itu dapat dilaksanakan secara konsisten
dan berimpak," katanya.

Katanya, pandangan yang menyebut KMK kurang nilai ekonomi adalah salah dan tidak benar. Malah,
ia adalah pandangan yang semborono, tidak disokong dengan data yang boleh
dipertanggungjawabkan.

Tambahnya, murid-murid di sekolah adalah kelompok generasi akan datang yang bakal mengisi
keperluan modal insan. Justeru, mereka bukan sekadar perlu bijak menguasai teknologi maklumat
tetapi juga mesti bijaksana membuat pertimbangan moral, kemahiran sosial dan kemanusiaan yang
tinggi.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Unit Komunikasi Korporatnya ketika
dihubungi mengesahkan antara punca penutupan kelas KMK di sekolah disebabkan kurang
permintaan terhadap mata pelajaran itu dengan bilangan murid sedikit yang tidak memenuhi syarat
pembukaan kelas.

"Selain itu, murid turut dilihat cenderung kurang berminat mengambil mata pelajaran yang
memerlukan banyak pembacaan.

"Berdasarkan statistik seramai 13,044 calon berdaftar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
pada 2022, berbanding 14,045 pada 2021, 14,972 (2020), 15,857 (2019) dan 16,394 (2018).

"Sebagai rekod terdapat seramai 29,544 murid membabitkan 1,132 buah kelas yang mengambil mata
pelajaran Kesusasteraan Bahasa Melayu di seluruh negara," katanya.
Menurut KPM, Kesusasteraan Melayu (KM) adalah subjek elektif bagi Tingkatan Empat dan Lima
dalam kurikulum Kebangsaan turut dilaksanakan dalam Kurikulum Baharu Sekolah Menengah
(KBSM) sehingga 2019.

"Bagaimanapun mulai tahun 2020 bermula pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM) bagi murid Tingkatan Empat dan Lima, KM dijenamakan semula dengan KMK bagi memugar
kembali KM dengan beberapa penambaikan yang mengikut situasi semasa," katanya.

"Walaupun terdapat penjenamaan semula KM kepada KMK namun 'roh' KM masih kekal malah karya
yang digunakan sewaktu KM masih diguna pakai sehingga hari ini," jelasnya.

Tambahnya, sesuai perkembangan semasa dan keperluan RI 4.0, elemen baharu dalam pembelajaran
Kesusasteraan Melayu perlu diterapkan.

Untuk itu mata pelajaran KM yang dijenamakan semula sebagai KMK menerapkan elemen
multimedia sastera dalam KMK bagi membantu usaha KPM melaksanakan pendigitalan pendidikan.

Melalui elemen baharu ini, aspek didik hibur juga diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran
(PdP) KMK dengan KPM akan terus mempergiat usaha dalam menjelaskan kepentingan mata
pelajaran KMK dalam kalangan murid sekolah dan dalam masyarakat.

Subjek itu akan diteruskan dan tiada cadangan untuk memansuhkannya. Bagaimanapun ia
bergantung kepada tawaran mata pelajaran elektif peringkat sekolah masing-masing.

You might also like