You are on page 1of 12

Teori Psikoanalitik/Psikoanalisis Sigmund Freud

1.0 PENGENALAN LATAR BELAKANG SIGMUND FREUD


Sigmund Freud adalah merupakan pengasas dan pelopor kepada teori psikoanalitik
dimana beliau telah memperkenalkan teori ini sekitar tahun 80-an. Teori ini terhasil
semasa Sigmund Freud dan Josef Breurer membuat satu penyelidikan melalui
kaedah hipnosis yang dijalankan semasa membuat rawatan terhadap pesakit-pesakit
histeria. Menyingkap dari sudut latar belakangnya beliau dilahirkan di Freiberg,
Moravia yang kini dikenali sebagai Republik Czech pada 6 Mei tahun 1856.
Keluarganya mempunyai lapan orang adik beradik dan beliau adalah anak yang
paling tua, lima daripadanya adalah perempuan dan tiga lagi adalah lelaki. Sebagai
anak sulung yang paling tua dalam keluarga, hubungannya dengan adik beradiknya
adalah rapat. Suasana keluarganya yang luar biasa telah menyebabkan Freud peka
kepada keanehan hubungan keluarganya yang mana memberi dorongan yang
mendalam untuk beliau mengkaji dalam teorinya yang diutarakan selepas itu.
Bapanya bekerja sebagai seorang saudagar bulu kambing dan pernah berkahwin dua
kali. Ibu Freud adalah seorang yang mempunyai personaliti periang dan cerdas.
Ibunya meninggal dunia ketika berusia 95 tahun. Semasa berusia 4 tahun, Freud
dan keluarganya berpindah ke Vienna pada tahun 1680 dan tinggal ketika
pemerintahan Nazi yang menyebabkan beliau berpindah ke London pada tahun
1938.
Semasa berumur sembilan tahun, beliau belajar di sekolah tinggi Sperl Gymnasium
(Leopoldstdter Kommunal-Realgymnasium). Di sekolah itu, beliau telah mula
meminati bidang sejarah dan kemanusiaan sehingga menarik perhatian beliau
menceburi dalam kerjaya bidang undang-undang. Semasa berada pada tahun akhir
pengajian di Sperl Gymnasium, beliau berpeluang membaca esei yang berkaitan
dengan alam tabii sehingga membangkitkan cita-cita saintifiknya. Ketika berumur 17
tahun, Freud telah memasuki sekolah perubatan di universiti Vienna pada tahun
1873. Ketika di universiti Vienna, beliau telah banyak menemui beberapa orang guru
terkenal yang terdiri daripada ahli falsafah dan ahli psikologi. Antaranya ialah Franz
Brentano (1838-1917). Semasa belajar dengan Brentano, beliau telah mengambil
lima kursus elektif ketika dalam dua tahun pertama di sekolah perubatan. Beliau
juga berhasrat ingin mengambil ijazah dalam bidang perubatan selepas tamat
latihan tetapi tidak kesampaian.Seorang lagi tokoh yang banyak memberikan kesan
dalam kehidupan Freud ialah Ernst Brucke (1819-1892). Beliau merupakan pengarah
institut fisiologi universiti yang telah mendorong Freud menjadi penyelidik sukarela
di institut tersebut sehingga menyebabkan beliau lambat mendapat ijazah
perubatannya.
Menjelang tahun 1880, Freud telah menerbitkan empat artikel mengenai
neuroanatomi dan cuba memperolehi pekerjaan dalam bidang tersebut. Tetapi beliau
gagal kerana bidang penyelidikan yang bergaji tidak banyak, tambahan pula beliau
beragama Yahudi yang sering menghadapi diskriminasi bagi pemilihan kerja di
universiti. Freud telah melakukan latihan praktikal selama beberapa tahun di hospital
awam Vienna sehingga akhirnya membolehkan beliau membuka perubatan
persendirian. Ketika di hospital, Freud telah mengikuti pengkhususan dalam bidang
yang berkaitan dengan neurofisiologi dan memberi tumpuan kajiannya di bawah
seliaan ahli anatomi otak yang terkenal iaitu Theodor Meynert (1833-1893). Beliau
telah mahir dalam diagnosis kecederaan pada bahagian otak. Kemudian pada tahun
1885 beliau telah mendapat sokongan Menert untuk meneruskan pengajiannya di
Paris. Sekembalinya dari Paris, beliau telah memegang surat tauliah yang sempurna
dan telah mendirikan rumahtangga pada tahun 1886. Beliau telah mengahwini
Martha Bernays dan dikurniakan empat orang anak. Anna (1895) merupakan anak
bongsu Freud yang banyak menyumbang di dalam bidang psikoanalitik.
Freud telah mula mempraktiskan secara persendirian dalam merawat penyakit
neurologi. Freud kemudian mendapati bahawa beliau tidak mampu menyara hidup
hanya dengan merawat kes neurologi biasa walaupun beliau telah memperhebatkan
reputasi dengan menulis buku yang berkaitan dengan
sereblum palsi dan afasia. Bagi meningkatkan pendapatannya, beliau telah
menerima pesakit histeria dan beliau merupakan salah seorang doktor di Vienna
yang memberi perhatian serius terhadap penyakit tersebut sehingga ramai datang
menemuinya bagi mendapat perkhidmatan.
Freud telah menghasilkan lebih dari daripada 600 karya penulisannya. Beliau telah
menerbitkan karyanya dalam bahasa Inggeris sebanyak 24 volum yang dikenali
sebagai The Standard Edition of the Complete Psychological Works of Sigmund
Freud (1953-1964). Di antara karyanya yang terkenal ialah The Interpretation of
Dreams (1900), The Psychology of Everday Life (1901), Beyond the Pleasure
Principle (1920), The Ego and the Id (1923) dan Cvilization and Its Discontents
(1930). Freud telah merubah beberapa andaian teorinya selepas beberapa tahun
kemudiannya. Perubahan andaian ini telah dimuatkan dalam karyanya New
Introductory Lecture on Psychoanalysis (1933) dan An Outline of
Psychoanalysis (1940). kebanyakan karya tulisan daripada Freud masih lagi dikaji
sehingga sekarang. Terdapat beberapa orang pengamal teori psikoanalitik yang tidak
asing dalam bidang psikologi, mereka terdiri daripada Anna Freud (1966), Melanie
Klein (1959), Eric Erikson (1959), Erich Fromm (1955), Carl Jung, Karen Horney
(1950), dan Harry S. Sullivan (1964). Terdapat tokoh-tokoh ini yang kemudiannya
mencipta teori baru dari sudut pandangan mereka.
Kehidupan Freud dipenuhi dengan matlamat mencapai cita-citanya yang tinggi
walaupun dalam masa yang sama terpaksa menghadapai kesengsaraan akibat
daripada penyakit barah rahang yang dihadapinya dengan 33 pembedahan. Situasi
sebegini tidak sedikitpun menghilangkan semangatnya untuk mencapai cita-cita bagi
mendalami tentang kajian psikik manusia. Freud telah meninggal dunia pada tahun
1939 di London kerana penyakit barah rahang yang dialaminya sekian lama. Sebagai
pelopor teori psikoanalitik yang masyhur, Freud telah mencipta teknik-teknik yang
boleh diaplikasikan dalam memahami tingkah laku manusia dan beliau telah
mencipta satu teori yang komprehensif berkaitan dengan personaliti manusia dan
psikoterapi. Usaha beliau yang bersungguh-sungguh telah menghasilkan teori
personaliti yang masih panas dibincangkan sehingga sekarang (Shahabudin &
Rohizani, 2002).
2.0 PANDANGAN TEORI TERAPI PSIKOANALTIK TERHADAP KEJADIAN SIFAT
MANUSIA
Menurut Corey (1996), teori psikoanalitik adalah merupakan pendekatan yang mula-
mula muncul dalam tiga pendekatan psikologi yang utama. Dua pendekatan yang
lain ialah pendekatan tingkahlaku dan pendekatan kemanusiaan (humanistik). Pada
sudut pandangan falsafah, pendekatan ini telah mengemukakan konsep kegirangan.
Freud menyatakan bahawa seseorang individu normal adalah mereka yang dapat
menikmati kehidupannya dengan kasih sayang dan bekerja. Menurut Fine (1972),
konsep kegirangan yang dikemukakan oleh Freud ini dapat dihuraikan lagi dimana
terdapat aspek-aspek lain bagi memperoleh keseronokan, menghapuskan perasaan
negatif, melahirkan perasaan positif, mendapat identiti diri dan masyarakat, mencari
pengertian tentang perasaan dalam keluarga dan kepuasan bekerja.
Dari sudut pandangan yang lain, Morris (1976), melihat bahawa psikonanalitik telah
memberi penekanan pada bahagian tidak sedar, peranan naluri, peranan asas
keluarga, tekanan-tekanan dinamik, dan pembentukan personaliti. Pendekatan ini
juga telah memberi perhatian kepada proses-proses dalaman individu, tingkah laku
luaran, pengalaman masa lampau dan kini, dan keadaan sosial seseorang.
Patterson (1996), mengatakan bahawa pendekatan psikoanalitik merupakan
pendekatan pertama yang mengkaji peranan perasaan dan emosi dalam pengalaman
psikologi. Pendekatan ini telah diubahsuai oleh beberapa orang ahli teori
Psikoanalitik dari segi konsep dan prosedurnya dan mereka telah membentuk teori
masing-masing yang lebih dikenali sebagai pendekatan neo Freudians. Di antara ahli
psikologi yang telah mengubahsuai teori tersebut mengikut pendapat masing-masing
ialah Alfred Adler yang membentuk teori Psikologi Individu dan Carl Jung yang
membentuk teori Analisa. Menurut Marof Redzuan dan Haslinda Abdullah (2003),
penekanan Freud yang belebih-lebihan ke atas impuls seksual dan kelangsangan
telah menimbulkan pelbagai kontroversi, salah satu kesannya ialah pengikut dan
anak-anak murid Freud telah membentuk teori mereka sendiri. Kebanyakan mereka
menerima kepentingan motif alam tidak sedar, tetapi mereka lebih meletakkan
penekanan yang lebih kepada hubungan ego dengan masyarakat berbanding dengan
hubungan ego yang hanya memuaskan kehendak id.
Pada umumnya pendekatan psikoanalitik melihat manusia itu sebagai individu yang
telah ditentukan masa depannya. Kenyataan ini telah disokong oleh beberapa orang
tokoh terkenal. Di antaranya, Amir Awang (1991) yang menyatakan bahawa
pendekatan ini telah meletakkan manusia itu lahir bersama-sama dengan naluri-
naluri kebinatangan yang bersifat jahat. Kehidupannya telah ditentukan dari sejak
awal lagi oleh naluri-naluri tersebut. Naluri ini akan mempengaruhi tingkahlaku yang
tidak logik dan tidak rasional. Gladding (1996), menjelaskan keadaan semulajadi
manusia boleh diterangkan dalam terma-terma minda yang sedar, pra sedar, dan
tidak sedar. Mahmood Nazar Mohd (1990) mengatakan pendekatan ini menunjukkan
bahawa semua personaliti dewasa manusia dibentuk dari semenjak dilahirkan hingga
ke umur lima tahun.
Freud telah menegaskan bahawa manusia dilahirkan dengan dorongan naluri
dalaman yang bersifat biologi atau kebinatangan. Naluri ini telah dibahagikan kepada
dua bahagian iaitu naluri seksual atau eros (naluri hidup) dan naluri pembinasaan
atauthanatos (naluri mati). Semua kuasa naluri telah disimpan dalam tenaga yang
tidak bertambah. Tenaga ini akan wujud dalam bentuk yang dikenali sebagai tenaga
psikik dan tenaga determinisme psikik. Tenaga ini juga merupakan kuasa penggerak
kepada segala perilaku manusia dan mempunyai hubungan dengan naluri seksual
dan libido. Tenaga determinisme psikik merupakan tenaga penyebab yang
mengakibatkan tingkah laku fizikal dan mental manusia.
3.0 KONSEP DAN TEMA UTAMA TEORI PSIKOANALITIK.
3.1 Tahap kesedaran
Bagi menerangkan teori psikoanalitik ini, Sigmund Freud telah membahagikan tiga
tahap kesedaran di dalam diri seseorang manusia. Tiga tahap tersebut ialah alam
sedar, alam pra sedar dan alam tidar sedar. Setiap tahap kesedaran itu mempunyai
huraian yang berbeza antara satu sama lain. Bagi menerangkan tahap-tahap
kesedaran tersebut, Sigmund Freud telah membuat analogi dengan membuat
persamaan terhadap seketul iceberg yang besar. Seperti yang kita sedia maklum
iceberg ini biasanya akan terapung di atas permukaan air. Beliau menerangkan
bahawa kedudukan dan tahap pemikiran manusia adalah sama juga seperti struktur
iceberg.
Alam sedar merupakan tahap dimana ia merangkumi apa sahaja yang seseorang
sedari tentang perkara-perkara tertentu. Alam sedar berkaitan dengan pemikiran,
sensasi, perasaan, dan ingatan. Dalam erti kata lain ialah apa-apa yang kita sedang
rasakan, ingatkan dan fikirkan pada masa kini. Semua perkara ini adalah perkara
yang kita sedari sepenuhnya. Sebagai contohnya kita sedang gembira, marah, sepi,
lapar, kenyang, inginkan sesuatu dan sebagainya lagi. Berdasarkan iceberg yang
dirujuk oleh Freud itu tadi, peringkat alam sedar adalah di bahagian paling
atasiceberg yang timbul.
Alam pra sedar ialah tahap dimana ia mengandungi ingatan-ingatan yang tidak
disedari pada masa kini, tetapi sebenarnya ingatan-ingatan tersebut dapat dan boleh
disedari melalui proses memberi perhatian dan mengingat semula. Misalnya disini,
katakanlah kita tidak ingat apa warna baju yang telah kita pakai semalam, tetapi
perkara ini sebenarnya kita boleh ketahui dengan mengingat semula, kesannya
proses ingatan itu dapat membuatkan diri kita sedar. Alam pra sedar ini berada pada
tahap di antara tahap alam sedar dan alam tidak sedar, pada bahagian iceberg ia
digambarkan berada di antara bahagian iceberg yang yang timbul dan
bahagian iceberg yang tenggelam.
Tahap kesedaran ketiga ialah alam tidak sedar. Tahap ini menurut Freud adalah
merupakan tahap yang paling penting. Pada tahap ini, ingatan-ingatan yang
tersimpan pada waktu dahulu disisihkan daripada tahap sedar disebabkan oleh
kerana tidak membuatkan seseorang selesa dan membawa kebimbangan, sesuatu
perkara boleh menyebabkan perubahan-perubahan yang berlaku di dalam emosi.
Freud juga mengatakan bahawa tahap kesedaran adalah merupakan asas kepada
tingkah laku manusia. Tahap alam tidak sedar ini mengandungi kesemua naluri
(seksualiti) dan keinginan yang tidak dibenarkan masuk ke alam sedar. Tahap ini
digambarkan dengan bahagian iceberg yang terletak dibawah permukaan air. Freud
mengatakan bahawa hanya pakar sahaja yang boleh memahami tahap alam tidak
sedar seseorang berdasarkan teknik perkaitan bebas (free association) yang akan
dibincangkan dengan lebih lanjut dalam bahagian rawatan teori psikoanalitik ini.
3.2 Struktur personaliti
Dalam memahami pemikiran manusia, Freud telah mengutarakan konsep-konsep
personaliti yang mempunyai tiga sistem yang mana berkait antara satu sama lain.
Menurutnya, sistem ini berfungsi dalam membentuk personaliti seseorang yang
merangkumi cara-cara berfikir dan bertingkah laku. Tiga sistem tersebut ialah Id,
Ego, Superego.
Id merupakan tempat terletaknya dorongan biologikal dan tenaga-teaga naluri. Id
ini adalah diwarisi, bersifat primitif, dan tidak boleh disedari, ia terletak terletak pada
tahap alam tidak sedar. Naluri-naluri yang terdapat pada sistem id dapat
diklasifikasikan kepada dua, iaitu naluri hidup (eros) dan naluri mati (thanatos).
Naluri hidup ialah naluri seperti seksual, lapar dan sebagainya dimana ia membantu
manusia untuk terus hidup (survival), manakala naluri mati pula ialah naluri
penghancur dimana manusia mempunyai hasrat dan kehendak untuk mati. Bagi
Freud, manusia adalah terlansang kerana hasrat untuk mati disekat oleh naluri
hidup. Daripada kedua-dua huraian tersebut dapat dikatakan bahawa naluri daripada
Id adalah terdiri daripada naluri seperti seksual, gesaan biologikal, impuls
kelangsangan dan juga kehancuran. Id merupakan sumber libido, iaitu satu tenaga
psikik yang berfungsi untuk menggerakkan pemikiran dan tingkah laku seseorang. Id
beroperasi berlandaskan kepada prinsip kenikmatan dengan mencari kepuasan dan
mengelak kesakitan. Dalam mencapai matlamat itu tidak semuanya naluri dapat
dipuaskan, kesannya timbul ketegangan dan pergelutan. Bagi mengurangkan
ketegangan tersebut, id menggunakan proses pemikiran asas atau premier (primery
process) dengan cara membentuk dan membayangkan objek yang diingini. Sebagai
contohnya apabila kita dalam keadaan mengantuk kita mungkin akan
membayangkan diri kita tidur di atas katil yang empuk.
Sistem personaliti yang kedua ialah ego, iaitu bahagian personaliti yang mempunyai
sifat realistik, rasional dan logikal. Ia bertindak seolah-olah seperti kuasa eksekutif
dan pengawal kepada tindakan-tindakan fikiran dan tingkah laku yang sesuai dengan
keadaan persekitaran. Ego beroperasi berlandaskan kepada prinsip realistik kerana
ia perlu mencari jalan yang realistik dan pertimbangan wajar dalam memenuhi
keperluan dan dalam masa yang sama cuba mengelak masalah yang disebabkan
oleh fikiran dan tingkah laku yang bersifat mementingkan diri sendiri. Bagi
memenenuhi kehendak id, ego yang menjalankan fungsi realistik akan melihat
halangan-halangan di dalam persekitaraan dalam konsep dunia yang nyata. Dalam
strategi ego untuk menyelesaikan masalah yang wujud, ego menggunakan proses
pemikiran sekunder (secondary process) dengan cara tertentu. Sebagai contonya
apabila kita rasa mengantuk, ego yang ada pada diri kita akan membuat keputusan
yang kita harus perlu pergi membasuh muka, meminum air kopi ataupun membuat
senaman ringan bagi menghilangkan rasa mengantuk.
Superego adalah sistem personaliti yang ketiga, ia merupakan komponen
personaliti yang mempunyai nilai moral. Menurut Freud, Id dan Ego tidak
mempunyai nilai-nilai moral dimana Id cuba bertindak memenuhi kepuasan segera
dan mengelak kesakitan, Ego pula cuba mencari jalan realistik memenuhi keperluan
tersebut tetapi sebenarnya tidak mengambil kira sama ada cara-cara tersebut betul
ataupun salah pada pandangan sistem sosial seperti dalam moral masyarakat,
agama budaya dan sebagainya. Superego akan bertndak mendesak Id untuk tidak
mengeluarkan impuls kepuasannya untuk mencapai kenikmatan semata-mata,
Superego juga akan mengarah ego agar dapat mengikuti nilai-nilai moral yang
dipegang oleh masyarakat sekeliling.
Superego dapat dibahagikan kepada dua komponen iaitu hati nurani (conscience)
dan ego ideal. Dari sudut pandangan Freud, hati nurani adalah merupakan kesemua
tingkah laku yang menyebabkan kanak-kanak dihukum dan kesannya mereka berasa
bersalah. Ego ideal pula adalah merupakan kesemua tingkah laku yang
menyebabkan kanak-kanak dipuji dan diberi ganjaran, kesannya mereka akan
berasa bangga dan mendapat kepuasan. Dalam erti kata lainnya ego ideal ini
diperolehi daripada perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk memberi satu
kebanggaan kepada diri sendiri. Secara ringkasnya kedua-dua komponen Superego
ini membantu dalam pembentukan Superego, dan ia terhasil daripada proses
ganjaran dan hukuman.
4.0 RAWATAN KAEDAH PSIKOANALITIK
Bagi melancarkan proses kaunseling maka pendekatan psikoanalitik telah
menggariskan lima kaedah seperti berikut;
4.1 Perkaitan bebas
Teknik ini dilakukan dengan meminta klien berbaring di atas kerusi manakala
kaunselor berada di belakang atau di hujung kepala klien. Kaunselor akan cuba
menenangkan fikiran klien. Klien digalakkan meluahkan segala isi hati dan
perasaannya yang tidak logik dan tidak rasional. Kaedah perkaitan bebas ini
digunakan untuk mengingat dan meluahkan emosi yang berkaitan dengan keadaan-
keadaan traumatik masa lalu. Proses ini di kenali sebagai katarsis. Semasa proses ini
dilakukan, kaunselor berperanan mengenalpasti bahan represi yang masih terkunci
di alam tidak sedar. Dalam hal ini, pendekatam hipnosis juga boleh di gunakan.
4.2 Penafsiran
Penafsiran ialah prosedur asas yang digunakan untuk menganalisis perkaitan bebas,
mimipi, penahanan, dan pemindahan. Prosedurnya, kaunselor perlu memberikan
petunjuk, penjelasan dan nasihat kepada klien tentang makna-makna tingkah laku
yang dimanifestasikan daripada perkaitan bebas, mimpi, penahanan, dan hubungan
terapiutik itu sendiri. Fungsinya ialah memberi peluang kepada ego
mengasimilasikan bahan-bahan baru dan mempercepatkan pendedahan lanjut
bahan-bahan alam tidak sedar. Penafsiran kaunselor membantu klien kepada celik
akal dan sedar segala yang terpendam di dalam dunia tidak sedar klien.
4.3 Takbir Mimpi
Analisis mimpi digunakan untuk mendedahkan bahan-bahan tidak sedar klien dan
memberi celik akal klien untuk menyelesaikan masalah yang tidak dapat di
selesaikan. Freud beranggapan bahawa mimpi adalah jalan diraja ke alam tidak
sedar. Kerana dalam mimpi terdapat manifestasi perkara atau peristiwa yang tidak
biasa muncul dalam alam sedar. Dalam mimpi, alam tidak sedar akan melahikan
impian, keperluan, kebimbangan dan sebagainya.
4.4 Analisa penahanan
Semasa perkaitan bebas atau perkaitan mimpi dijalankan, klien mungkin tidak
bersedia untuk menceritakan beberapa fikiran, perasaan dan pengalamnya. Keadaan
tidak mahu atau tidak berupaya melahirkan perasaan seperti ini disebut sebagai
penahanan. Freud melihat bahawa penahanan sebagai dinamika alam tidak sedar
yang cuba melindungi daripada menjai sedar akan dorongan dan perasaannya yang
tertindas. Selagi penahanan ini tidak diatasi maka selama itulah klien akan
mengalami kerisauan dan permasalahan. Dengan itu, kaunselor perlu menjelaskan
perkara ini dan klien pula mesti menghadapinya sekiranya ingin menyelesaikan
konflik yang dihadapinya secara realistik.
4.5 Analisa Pemindahan
Kebanyakan terapi analitik percaya bahawa klien akan membentuk pemindahan
neurosis kerana neurosis klien berasal dari zaman kehidupan lima tahun yang
pertamanya. Tapi sekarang klien tidak seharusnya membawa unsur-unsur tersebut
kedalam zaman dewasanya sebagai kerangka kehidupanya. Dalam pemindahan ini,
klien akan memindahkan perasaan dan pengalaman yang di alaminya semasa zaman
kanak-kanak dahulu kepada kaunselor. Kaunselor pula akan menggalakkan
pemindahan neurosis denganbersikap neutral, objektif, anonymity, dan pasif.
Kaunselor akan cuba memahami dan mentafsirkan curahan perasaan dan
pengalaman ini supaya klien sedar akan sebab-sebab berlakunya tindakan yang
tidak rasional didalam dirinya selama ini.
5.0 APLIKASI TEORI PSIKOANALITIK
Disebabkan sifat psikoanalitik yang rumit dan kompleks maka aplikasi psikoanalitik
adalah agak terhad. Maka untuk memudahkan teori ini diaplikasikan maka seseorang
kaunselor perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dan serasi dengan pendekatan
ini. Teori ini dapat digunakan untuk; pertama, mengenalpasti masalah klien dengan
menghubungkaitkan dengan keterencatan pada peringkat-peringkat tertentu
perkembangan klien, kedua menguji sejauh mana pengalaman masa lampau klien
menimbulkan kesan yang tidak baik pada diri klien sekarang, ketiga mengatasi
konflik yang sekian lama dan berurutan dalam hidup klien, keempat pula ialah
mengenalpasti struktur psyche (id, ego, superego) yang sedang mengawal klien.
Dapatlah dikatakan bahawa teori ini dapat diaplikasikan dalam kaunseling bagi
menyediakan suasana untuk membantu klien mengalami semula pengalaman awal
hidupnya secara individu mahupun dalam kekeluargaan serta persekitarannya. Ianya
juga bertujuan untuk menyelami dan membongkar perasaan yang terpendam
disebabkan oleh peristiwa atau pengalaman masa lampau yang boleh
mempengaruhi tingkahlaku masa kini. Ia juga dapat membantu kepada celik akal
kepada punca keterencatan perkembangan psikologikal kemudian merangsang
penyembuhan pengalaman emosi klien. Dari segi tatacara terapi ini juga dapat
diaplikasikan dalam kaunseling seperti teknik perkaitan bebas. Tetapi mungkin
caranya diubahsuai mengikut semasa.
6.0 SUMBANGAN TEORI PSIKOANALITIK
Freud merupakan seorang tokoh psikologi yang dapat menentukan dan telah
mendahului zamannya dengan pemikiran ilmiah dan psikologi. Kerajinan dan
kesungguhan beliau telah menghasilkan dapatan-dapatan yang telah dipraktikan
oleh Freud di klinik persendiriannya dan didapati telah berkesan . beliau juga telah
menghasil beberapa buku yang menjadi rujukan oleh ahli-ahli psikologi di seluruh
dunia hingga kini.
Pendekatan yang diperkenalkan oleh Freud ini seperti kaedah hipnosis, perkaitan
bebas dan analisis mimpi telah memberi sumbangan yang besar terhadap kaedah
terapi psikoanalisis bagi merawat pesakit-pesakit neurosis. Diantara sumbangan
yang besar yang dicurahkan oleh freud ialah; pertama, melalui teorinya, kita dapat
mengetahui tentang dinamika yang sering berinteraksi dalam jiwa kita sehingga
membawa kepada kerisauan, kedua kaedah-kaedah yang dicadangkan oleh Freud
dapat membantu di dalam kaitan memahami penahanan dan kepentingan
perhubungan kaunselor dan klien, nilai-nilai pemindahan dan mekanisme bela diri,
kita juga dapat mengetahui peringkat-peringkat perkembangan personaliti dan
permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengannya serta tingkah laku yang
terhasil akibat terlekatnya perkembangan tersebut dalam sesuatu peringkat tertentu.
Menurut Shahabudin Hashim dan Rohizani Yaakub (2002), terdapat dua matlamat
utama teori psikoanalitik iaitu pembentukan semula watak dan menguatkan fungsi
ego. Daripada kedua-dua matlamat tersebut, ramai penyelidik psikoanalitik
berpendapat bahawa Freud memberikan tugas tersebut terutamanya kepada
kaunselor ataupun aktiviti kaunseling itu sendiri. Pengalaman masa lampau sangat
penting untuk membolehkan seseorang individu ataupun kaunselor memahami
secara mendalam masalah yang mempengaruhi pemikiran klien yang ada pada masa
kini.
7.0 LIMITASI TEORI PSIKOANALITIK
Antara limitasinya adalah masa dan tenaga yang digunakan dalam proses teori ini
adalah terlalu panjang sehingga memakan masa 2 hingga 5 tahun untuk
menyelesasikan satu-satu kes, tidak sesuai untuk digunakan bagi melayan jumlah
klien yang ramai, teori ini lebih menekankan kepada masalah dalaman dan
mempunyai kesan perubatan yang sedikit kepada klien, teori ini terlalu menekankan
tentang naluri seks manusia, pendapat atau pandangan freud terlalu terkongkong
dan berpegang kepada sebaran agama Freud terlalu bersikap berat sebelah (bias)
terhadap golongan wanita, tidak sesuai digunakan untuk klien yang menghadapi
masalah krisis yang memerlukan penyelesaian segera. Teori ini mempunyai
sokongan empirikal yang terhad iaitu hanya berdasarkan pengalaman freud sendiri.
8.0 PENUTUP
Secara ringkasnya kita mengetahui bahawa teori ini sebenarnya sukar
diterjemahkan ke dalam dunia nyata namun kita seharusnya menghargai
sumbangan yang besar diberikan oleh Freud dari segi kefahaman, kaedah-kaedah,
peringkat-peringkat perkembangan personaliti dan masalah manusia dan bagaimana
sifat semulajadi manusia. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa teori yang
diperkenalkan oleh Freud telah menjadi asas dan menjadi pelopor kepada teori-teori
psikoterapi yang lain. Terdapat banyak perkara yang seharusnya kita pelajari
daripada teori psikoanalisis ini, kerana teorinya yang sangat kompleks maka kita
tidak dapat mengetahui maksud-maksud yang dinyatakan sama ada secara tersurat
atau pun secara tersirat. Terdapat beberapa hal yang penting mengenai teori ini
yang boleh dijadikan sebagai satu proses pembelajaran sepanjang hayat, dan
khususnya sebagai seorang kaunselor, pengetahuan tentang teori psikoanalitik ini
haruslah menjadi panduan untuk membantu klien. Teori ini akan dapat membantu
kita dalam mengendalikan kaunseling dengan lebih berkesan apabila ianya
dijalankan dengan kaedah-kaedah yang betul. Dalam teori ini juga telah ditekankan
tentang perkembangan awal kanak-kanak pada peringkat lima tahun pertama dan
interaksi ketiga-tiga unsur id, ego, superego yang amat penting dalam pembentukan
personaliti seseorang. Walaupun idea-idea yang dikemukakan oleh freud bukanlah
sesuatu yang komprehensif, sebagai contohnya hanya menekankan kepada hal
berkaitan seks tetapi pada asasnya teori ini telah meletakkan asas dan rangsangan
yang positif ke arah kewujudan teori-teori lain selepasnya.
RUJUKAN
Amir Awang. (1991). Teori-teori Kaunseling & Psikoterapi. Pulau pinang : Universiti
Sains Malaysia.
Corey, G. (1996). Theory and practice of of counseling and psychotherapy (6
th
ed).
Pacific Grove: Brooks/Cole.
Daniels, V. (2003). Sigmund Freud & Psychoanalysis Notes. Website
in The Psychology Department at Sonoma State University. Diterima pada Mac,
2010 daripadahttp://www.sonoma.edu
Gladding, S.T. (2000). Counseling; A comprehensive Profession. (4
th
ed). New
Jersey: Prentice Hall.
Guy, S. (2009). The Psychoanalytic Model Of Therapy. Bukisa share your knowledge
online. Diterima pada Mac, 2010 daripada http://www.bukisa.com
Marof Redzuan & Haslinda Abdullah. (2003). Psikologi. (2
nd
ed). Universiti Putra
Malaysia. Shah Alam: McGraw Hill.
Othman Mohamed. (2001). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling.
Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Shahabudin Hashim & Rohizani Yaakub. (2002). Teori Personaliti Dari Perspektif
Islam, Timur dan Barat. Bentong: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.
Disediakan Oleh:
A. Rahman A. N. dkk (Mac, 2010).

You might also like