You are on page 1of 37

1.0 PENGENALAN Terdapat tiga konsep dalam bahasa Melayu.

Antaranya ialah definisi awal istilah Melayu, definisi Melayu dari segi etimologi dan definisi Melayu berdasarkan bangsa. Para penyelidik telah memperoleh bukti penggunaan perkataan Melayu sejak abad kedua lagi. Sekitar tahun 100-150 Masihi, M.Ptolemy telah menggunakan istilah maleukolon dalam karyanya yang berjudul Geographike Sintaxis. Menurut Gerini, istilah ini diambil daripada kata bahasa Sanskrit malayakolam atau malaikurram, iaitu merujuk kepada suatu tempat di utara pantai Semenanjung Malaysia. Perkataan Melayu juga dikesan dalam sebuah kitab Hindu purba yang berjudul Purana. Dalam kitab tersebut, terdapat perkataan Malaya dvipa yang merujuk kepada Pulau Sumatera, tempat asal bahasa Melayu. Selain itu, penggunaan perkataan Melayu ditemukan juga dalam tulisan China yang ditulis antara 644 dan 645 Masihi (pada zaman Dinasti Tang). Tulisan itu menyatakan bahawa orang Mo-lo-yeu mengirimkan utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China. Para penyelidik percaya bahawa kerajaan Mo-lo-yeu yang dimaksudkan itu berpusat di daerah Jambi, Sumatera. Satu lagi tulisan China yang menyebut istilah Melayu terdapat pada catatan seorang rahib Buddha yang bernama ITsing. Beliau menggunakan perkataan Mo-lo-yu pada dua buah kerajaan di Sumatera yang dilawatinya kira-kira pada tahun 675 Masihi. Kerajaan-kerajaan itu ialah kerajaan Melayu yang berpangkalan di Sungai Batang dan kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang. I-Tsing juga mencatatkan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa penghantar untuk mengajarkan bahasa Sanskrit dan falsafah agama Buddha. Catatan dalam kesusasteraan China juga ada menyatakan bahasa yang digunakan di Nusantara. Menurut pengembara China yang singgah di Nusantara, bahasa yang dituturkan di Sriwijaya ialah bahasa Kun-lun. Bahasa Kun-lun ini bukan sahaja dituturkan oleh penduduk tempatan, malah turut dipelajari oleh orang asing untuk memudahkan mereka berkomunikasi. Para penyelidik percaya bahawa bahasa Kun -lun itu merujuk kepada bahasa Melayu kuno. Catatan pengembara China ini membuktikan bahasa Melayu kuno telah digunakan sebagai bahasa perantaraan atau lingua franca pada zaman kerajaan Sriwijaya. Dalam pada itu, catatan-catatan pengembara China juga menyebut bahawa bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya.

Seterusnya, perkataan Melayu turut ditemukan tertulis di bahagian belakang sebuah patung yang bertarikh 1286 M yang ditemukan di Padang Rocore di Sungai Batanghari, Sumatera Selatan. Di dalam buku Sejarah Melayu pula, perkataan Melayu dikaitkan dengan nama sebatang sungai, iaitu Sungai Melayu seperti dalam petikan yang berikut: Adapun Negeri Palembang itu, Palembang yang ada sekarang inilah. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya (Sejarah Melayu, 1977, halaman 16) Lebih-lebih lagi, terdapat beberapa pendapat tentang istilah Melayu daripada segi etimologi. Zuber Osman berpendapat bahawa perkataan Melayu berasal daripada perkataan Malaya yang merupakan kependekan bagi perkataan hima alaya. Sehubungan itu, pergunungan Himalaya dikatakan sebagai tempat asal orang Melayu. Rentetan itu, perkataan Malayapura yang bermaksud kota Melayu atau kerajaan Melayu juga ditemukan pada Batu Bersurat Bukit Gombak Satu. Perkataan Melayu juga dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa Kuno, mlayu, yang bermaksud mengembara atau pergi ke mana-mana. Mohd. Dahlan Mansoeer berpendapat bahawa perkataan Melayu berasal daripada nama sebatang sungai, iaitu Sungai Melayu seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu. Menurut Van der Tuuk pula, perkataan Melayu bererti menyeberang, iaitu merujuk kepada orang Melayu yang menyeberang atau menukar agama daripada agama Hindu-Buddha kepada Islam. Konsep ketiga, iaitu definisi Melayu berdasarkan bangsa dapat dilihat dalam dua pengertian, iaitu dalam pengertian yang luas dan dalam pengertian yang sempit. Dalam pengertian yang luas, istilah Melayu merujuk kepada bangsa-bangsa Austronesia yang terdapat di Kepulauan Melayu. Dalam konteks yang lebih luas, rumpun Austronesia juga meliputi kawasan Austronesia yang lain, iaitu kawasan di sebelah timur yang merangkumi keluarga Polinesia, Melanesia, dan Mikronesia. Berdasarkan pengertian yang diberikan oleh UNESCO pada tahun 1972 pula, istilah Melayu digunakan untuk merujuk kepada suku bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Madagaskar. Di Malaysia, pengertian istilah Melayu menjadi lebih sempit, iaitu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Di bawah Perlembagaan Malaysia Perkara 153, seseorang itu ditakrifkan sebagai bangsa Melayu apabila mereka dapat menuturkan 2

bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan beragama Islam. Dengan demikian, sekiranya orang itu murtad atau bertukar kewarganegaraan, maka taraf Melayu yang disandangnya akan hilang. Bahasa Melayu adalah ibunda kepada orang keturunan Melayu atau bangsa Melayu. Ismail Hussein menyatakan bahawa bahasa Melayu telah mengalami evolusinya yang pertama melalui pengaruh bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa sarjana atau bahasa golongan kelas atasan, dan telah digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu. Tahap bahasa Melayu Kuno berkembang dengan kelahiran kerajaan Jambi dan Srivijaya pada abad ke-7 hingga abad ke-13 yang banyak dipengaruhi oleh budaya lain seperti budaya India. Melalui pengaruh budaya Hindu, aksara mula diperkenalkan dan wujud bahasa Melayu kuno yang mempunyai tulisan. Bahasa kuno tersebut berkembang pesat pada zaman Srivijaya dengan melalui penemuan batu bersurat, catatan-catatan daripada pengembara serta rahib Buddha seperti I-Tsing dan WuHing yang menunjukkan bahasa Melayu Kuno menjadi bahasa rasmi dan lingua franca pada zaman kerajaan Srivijaya. Kini, bahasa Melayu kuno masih kekal berperanan sebagai bahasa perantaraan di Jambi. Zaman Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga abad ke-19. Pada zaman tersebut, bahasa Melayu mengalami evolusi kedua apabila mempunyai aksara sendiri, iaitu aksara Jawi dengan meminjam abjad Arab. Bahasa Malayu klasik mencapai tahap kegemilangannya pada zaman kerajaan Kesultanan Melaka, kerajaan Aceh, dan kerajaan Johor-Riau yang berperanan sebagai bahasa pentadbiran serta bahasa ilmu pengetahuan yang menyampaikan ajaran Islam dan kesusasteraan serta lingua franca seharian. Zaman Bahasa Moden pula bermula dengan karya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi atau dikenali sebagai Abdullah Munsyi pada abad ke-19. Pembaharuan dari segi bahasa yang digunakan oleh Abdullah dalam karyanya telah mempengaruhi corak perkembangan bahasa Melayu selepas itu. Pembaharuaan tersebut ialah hasil daripada pertembungan kebudayaan antara Timur dengan Barat. Namun, tahap bahasa Melayu sebenarnya bermula pada abad ke-20. Zaman Abdullah merupakan zaman peralihan antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa moden. 3

Sementelahan itu, terdapat banyak teori yang berbeza membincangkan teori tentang asal usul bahasa Melayu. Keluarga Austronesia yang dikenali sebagai keluarga bahasa Melayu-Polinesia merupakan sebuah keluarga bahasa yang besar. Kawasan keluarga bahasa ini meliputi lebih daripada separuh bulatan dunia. Pakar bahasa menggolongkan keluarga bahasa Austonesia kepada empat cabang yang utama iaitu Cabang Indonesia (istilah linguistik, bukan unit politik), tetapi sekarang lebih dikenali sebagai Cabang Nusantara, Cabang Polinesia, Cabang Malenesia dan Cabang Mikronesia. Cabang-cabang keluarga bahasa Austronesia dapat digambarkan dalam rajah yang berikut : Keluarga Bahasa Austronesia

Cabang Indonesia Atau Nusantara

Cabang Polinesia

Cabang Malenesia

Cabang Mikronesia

Namun, menurut Asmah Haji Omar, rumpun Melayu-Polinesia (Austronesia) yang terpecah kepada dua iaitu rumpun Austronesia Barat (Hesperanesia) dan rumpun Austronesia Timur (Ocenesia). Keluarga bahasa Ocenia boleh terbahagi kepada tiga subkeluarga bahasa, iaitu Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Bahasa Melayu yang tergolong dalam keluarga Austronesia telah dituturkan oleh penduduk di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan beberapa kawasan di dunia ini. Dianggarkan bahasa Melayu kini telah berusia lebih 1300 tahun. Jumlah penutur bahasa Melayu dikatakan berjumlah lebih kurang 250 juta orang dan dikatakan bahasa keempat terbesar di dunia di samping berperanan dalam penyebaran agama Islam.

2.1

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU KUNO Bahasa Melayu Kuno berkembang di Nusantara antara abad ke-7 hingga abad ke-13.

Sebelum wujudnya bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu yang digunakan dikenal sebagai bahasa Melayu purba.Bahasa Melayu purba tidak memiliki tulisan tetapi hanya wujud dalam bentuk lisan. Namun, disebabkan pengaruh budaya Hindu, bahasa Melayu purba akhirnya memperoleh aksara untuk disampaikan dalam bentuk tulisan. Kemasukan budaya Hindu ke Alam Melayu melalui para pedagang dan penyebar agama Hindu yang singgah di Nusantara sejak abad pertama Masihi telah menggalakkan penggunaan bahasa Sanskrit ke dalam bahasa Melayu purba. Menurut Ismail Hussein, melalui pengaruh bahasa Sanskrit, bahasa Melayu mengalami evolusinya yang pertama. Daripada bahasa masyarakat yang agak rendah kebudayaan serta ilmu pengetahuannya, bahasa Melayu mengalami perubahan pertama ke arah bahasa sarjana yang berupaya menyampaikan idea-idea baharu yang tinggi. Selain itu, budaya Hindu memperkenalkan tulisan dalam bahasa Melayu kuno, iaitu tulisan Palava, Nagiri dan Kawi yang mengevolusikan bahasa Melayu purba menjadi bahasa Melayu kuno. Bahasa Melayu kuno memainkan peranan yang penting dan berkembang pesat pada zaman kerajaan Sriwijaya. Pada zaman tersebut, bahasa Melayu mencapai kegemilangannya yang pertama. Penemuan beberapa buah batu bersurat pada zaman Sriwijaya serta catatan-catatan daripada para pengembara dan rahib Buddha seperti I-Tsing dan Wu-Hing membuktikan bahawa bahasa Melayu kuno digunakan sebagai bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya. Pada masa yang sama, bahasa Melayu kuno juga digunakan sebagai bahasa perantaraan untuk perhubungan umum dan perdagangan. Lebih-lebih lagi, catatan I-Tsing menyatakan bahasa Melayu kuno digunakan sebagai bahasa penghantar untuk mengajarkan tatabahasa Sanskrit dan falsafah agama Buddha. Zaman bahasa Melayu kuno berakhir pada abad ke-13 apabila kerajaan Majapahit yang berpusat di Jawa didirikan pada akhir tahun 1293. Pada masa itu, bahasa Jawa memainkan peranan yang utama. Namun demikian, pengaruh politik kerajaan Majapahit tidak mampu memalapkan kedudukan bahasa Melayu di rantau ini. Di beberapa daerah di pesisir Sumatera, khususnya di Jambi, masih terdapat negeri Melayu yang mengekalkan kebudayaan dan bahasa Melayu walaupun ditakluki oleh Majapahit. Malah, bahasa Melayu kuno terus kekal berperanan sebagai lingua franca (bahasa perantaraan) mengatasi bahasa Jawa kuno kerana bahasa Melayu kuno bersifat sederhana dan mudah menerima 5

pengaruh luar serta tidak terikat oleh perbezaan susun lapis masyarakat. Di samping itu, bahasa Melayu kuno mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa kuno. 2.2 BAHAN BUKTI PENGGUNAAN BAHASA MELAYU KUNO Terdapat beberapa jenis cara untuk membuktikan kewujudan bahasa Melayu. Bagi bahasa Melayu kuno, bukti bertulisnya terdapat pada beberapa buah batu bersurat. Contohnya, Batu Bersurat Kedudukan Bukit, Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Kota Kapur dan juga Batu Bersurat Karang Brahi. Batu Bersurat Kedukan Bukit yang bertarikh 605 Tahun Saka dijumpai di kaki Bukit Siguntang. Bahasa yang terkandung dalam batu bersurat ini ialah bahasa Melayu bercampur dengan bahasa Sanskrit. Batu bersurat ini menggunakan 10 baris ayat dalam tulisan Palava. Bukti yang seterusnya ialah batu bersurat Talang Tuwo. Batu bersurat ini bertarikh 684 Masihi dan dijumpai Talang Tuwo, di sebelah barat daya Bukit Siguntang oleh L.C.Westtenenk pada 17 November 1920. 14 baris ayat dalam huruf Palava telah dipahat di atas batu bersurat tersebut. Rentetan daripada itu, batu Bersurat Kota Kapur yang bertarikh 686 Masihi telah dijumpai di Pulau Bangka oleh J.K van der Meulen di Kota Kapur pada tahun 1892. Batu bersurat ini terletak jauh dari Palembang dan dipercayai dibawa ke pulau tersebut. 10 baris ayat dalam tulisan Palava telah diukir di atas batu yang berbentuk tiang.Batu bersurat yang keempat ialah Batu bersurat Karang Brahi yang bertarikh 692 Masihi telah dijumpai di Meringin, daerah hulu Jambi oleh L.Berkhout. Batu bersurat ini mengandungi 16 baris ayat dan banyak menggunakan bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Sanskrit. Kandungannya hampir sama dengan kandungan Batu Bersurat Kota Kapor iaitu menyeru dewa-dewa agar melindungi kerajaan Srivijaya serta memberikan kebahagian kepada mereka yang mengabdikan diri kepada kerajaan dan mengutuk mereka yang tidak setia. Selain empat buah batu bersurat tersebut, terdapat beberapa buah batu bersurat atau prasasti lain yang dapat dijadikan bahan bukti kewujudan bahasa Melayu kuno pada zaman kerajaan Sriwijaya. Antaranya termasuklah batu bersurat di Gandasuli, Bengkahulu, Joreng dan Padang Lawas, sebuah patung gangsa di sekitar Padang Lawas, Tanapuli yang mempunyai tulisan pada kaki alas serta sebuah patung di Padang Rocore yang mempunyai tulisan pada bahagian belakang patung. 6

2.3 CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KUNO Sistem Tulisan dan Ejaan Bahasa Melayu Kuno Keempat-empat buah batu bersurat pada abad ketujuh, iaitu batu bersurat di Kedudukan Bukit, Talang Tuwo, Kota Kapur dan Karang Brahi menggunakan tulisan atau skrip Palava. Menurut Casparis, tulisan Palava pada batu-batu bersurat tersebut merupakan jenis Palava Kemudian yang digunakan di Kepulauan Melayu dari abad ketujuh sehingga bahagian separuh pertama abad kelapan Masihi. Skrip Palava ini pada asalnya ialah skrip Grantha yang digunakan oleh golongan Brahman Dravidian untuk menulis kitab-kitab dalam bahasa Sanskrit di India Selatan. Casparis mengistilahkan skrip ini sebagai skrip Palava kerana skrip India ini digunakan pada zaman raja-raja Palava sekitar abad keempat Masihi. Berbeza dengan skrip Palava Awal yang menggunakan aksara besar-besar, tulisan Palava Kemudian menggunakan aksara yang sama tinggi, seolah-olah tertulis di antara dua garis lulus. Selain tulisan Palava, bahasa Melayu kuno juga ditulis dengan tulisan Nagiri yang berasal dari utara India. Tulisan Nagiri ini digunakan pada Batu Bersurat Gandasuli. Satu lagi tulisan yang digunakan dalam bahasa Melayu kuno ialah tulisan Kawi. Menurut Jensen, nama Kawi berasal daripada perkataan Sanskrit kavi yang bermaksud pensyair. Jensen berpendapat bahawa skrip Kawi ini bersumberkan skrip Pali Kyoktsa yang berasal daripada skrip Brahmi Purba di India. Tulisan Kawi yang berbentuk kursif ini pada peringkat awal ditulis pada daun lontar. Kemudian, tulisannya diubahsuaikan dan diukir pada batu. Tulisan Kawi ini digunakan pada batu bersurat di Joreng (bertarikh 1179 M) dan di Padang Lawas (bertarikh 1213 M), yang kedua-duanya terletak di Tapanuli, Sumatera Utara. Kosa Kata dalam Bahasa Melayu Kuno Daripada 50 baris teks bahasa Melayu kuno yang tertera pada batu-batu bersurat abad ketujuh, kita dapat mengenal pasti beberapa ciri kosa kata bahasa Melayu kuno. Salah satu aspek yang paling ketara ialah bahasa Melayu kuno banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit bukan sahaja memperkaya kosa kata bahasa Melayu, malah melalui pengaruhnya, bahasa Melayu mengalami perubahan ke arah bahasa sarjana 7

(bahasa ilmu). Bahasa Melayu kuno mudah dipengaruhi bahasa Sanskrit kerana adanya pengaruh agama Hindu-Buddha serta kekurangan kosa kata Melayu untuk

mengungkapkan konsep-konsep baru. Di samping itu, bahasa Sanskrit merupakan bahasa bangsawan dan mempunyai tamadun yang tinggi juga menyebabkan bahasa Melayu kuno mudah dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Berdasarkan bentuk-bentuk kosa kata, beberapa ciri yang jelas dalam bahasa Melayu kuno dapat dikesan. Ciri-ciri ini dapat diselidiki daripada sudut fonologi, morfologi dan makna perkataan tersebut. Ditinjau daripada segi fonologi, terdapat beberapa perbezaan yang ketara antara fonem yang wujud dalam bahasa Melayu kuno dengan fonem yang ada dalam bahasa Melayu moden. Antaranya Penggunaan bunyi separuh vokal dua bibir /w/ untuk letupan dua bibir bersuara /b/. Contohnya, wulan dalam bahasa Melayu kuno dibaca bulan dalam bahasa Melayu moden. Tidak ada bunyi e pepet atau vokal tengah dalam bahasa Melayu kuno. Bunyi ini biasanya digantikan dengan vokal depan luas /a/ atau digugurkan begitu sahaja. Contohnya, dngan dalam bahasa Melayu kuno dibaca dengan dalam bahasa Melayu moden. Penggunaan bunyi sengauan gusi /n/ untuk sengauan lelangit keras /ny/ dalam bahasa Melayu moden. Contohnya, sawanakna dalam bahasa Melayu kuno dibaca sebanyaknya dalam bahasa Melayu moden. Terdapat konsonan yang dihembuskan atau dieja dengan aspirasi seperti bh, th, kh, dh sebagai akibat pengaruh bahasa Sanskrit. Contohnya, bhakti dalam bahasa Melayu kuno dibaca bakti dalam bahasa Melayu moden. Bunyi /h/ pada perkataan tertentu dalam bahasa Melayu kuno telah hilang dalam bahasa Melayu moden. Contohnya, hanau dalam bahasa Melayu kuno dibaca enau dalam bahasa Melayu moden. Daripada segi morfologi, terdapat beberapa imbuhan dalam bahasa Melayu kuno yang telah mengalami perubahan dalam bahasa Melayu moden. Awalan mar- dalam bahasa Melayu kuno berubah menjadi ber- dalam bahasa Melayu moden. Contohnya, marlapas dalam bahasa Melayu kuno dijadikan berlepas dalam bahasa Melayu moden.

Awalan ni- dalam bahasa Melayu kuno telah berubah menjadi di- dalam bahasa Melayu moden. Contohnya, nitanam dalam bahasa Melayu kuno dijadikan ditanam dalam bahasa Melayu moden. Awalan rangkap nipar- dalam bahasa Melayu kuno berubah menjadi diper- dalam bahasa Melayu moden. Contohnya, niparwuat dalam bahasa Melayu kuno dijadikan diperbuat dalam bahasa Melayu moden. Apitan par--an berubah menjadi per--an dalam bahasa Melayu moden. Contohnya, parsumpahan dalam bahasa Melayu kuno dijadikan persumpahan dalam bahasa Melayu moden. Kata kerja aktif ditandai awalan ma- dan mang- dalam bahasa Melayu kuno. Contohnya, mawawa dalam bahasa Melayu kuno dijadikan membawa dalam bahasa Melayu moden. Terdapat akhiran -i yang sama dengan bahasa Melayu moden dan lazimnya hadir bersama-sama dengan awalan. Contohnya, manghidupi dalam bahasa Melayu kuno dijadikan menghidupi dalam bahasa Melayu moden. Tambahan pula, terdapat dua imbuhan dalam bahasa Melayu kuno yang sudah tidak dipakai dalam bahasa Melayu moden, iaitu awalan maka- dan akhiran -a. Contohnya, makasakit dalam bahasa Melayu kuno dijadikan menjadi sakit dalam bahasa Melayu moden serta datua dalam bahasa Melayu kuno dijadikan tanggungjawab menjadi datu dalam bahasa Melayu moden. Sementelahan itu, terdapat perkataan bahasa Melayu kuno yang sudah tidak dipakai dalam bahasa Melayu moden. Antaranya, tuwi dalam bahasa Melayu kuno yang bermaksud dengan dalam bahasa Melayu moden serta parlak dalam bahasa Melayu kuno yang bermaksud kebun dalam bahasa Melayu moden. Terdapat perkataan bahasa Melayu kuno yang juga sudah mengalami perubahan makna dalam bahasa Melayu moden. Antaranya, kita dalam bahasa Melayu kuno telah menjadi kamu dalam bahasa Melayu moden. Antara perkataan bahasa Melayu yang masih digunakan sehingga kini termasuklah aku, aur, banyak, bawa, datu, jangan, kayu, lepas, mula, orang, seribu dan lain-lain lagi.

3.1

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU KLASIK Sebelum memasuki zaman bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu telah mengalami

satu zaman transisi yang dikenal sebagai Zaman Bahasa Melayu Praklasik. Zaman praklasik ini dikatakan bermula pada abad ke-11 dan berlanjutan hingga abad ke-14. Pada zaman tersebut, pengaruh Islam atau Arab terhadap bahasa Melayu amat ketara. Adunan daripada kebudayaan India dan kebudayaan Arab menghasilkan bahasa Melayu yang bercampur aduk Bahasa yang digunakan masih bahasa Melayu kuno dengan pengaruh bahasa Sanskrit tetapi pada masa yang sama telah diresapi oleh istilah-istilah Islam atau kosa kata bahasa Arab. Aksara yang digunakan masih skrip Kawi tetapi bentuknya sudah menampakkan sifat kearaban, iaitu lebih kursif dan bundar. Dari zaman transisi ini, bahasa Melayu mengalami evolusi yang kedua sehingga akhirnya mempunyai aksaranya sendiri, iaitu aksara Jawi yang dinamakan bahasa Melayu klasik. Zaman Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga abad ke-19, iaitu bermula dari Batu Bersurat Kuala Berang, Terengganu sehinggalah zaman karya Abdullah Munsyi. Bahasa Melayu klasik ini mencapai kegemilangannya pada zaman kerajaan Melaka zaman kerajaan Aceh, dan zaman kerajaan Johor-Riau. Bahasa Melayu berkembang dengan pesat pada zaman Melaka kerana pengaruh politik Melayu membolehkan bahasa Melayu disebarkan dengan mudah. Selain itu, bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa penyebaran agama Islam yang tinggi darjah kebudayaannya serta perkembangan tulisan Jawi dan perbendaharaan kata daripada bahasa Arab yang membantu perkembangan bahasa Melayu dalam bidang kesusasteraan, sejarah dan undang-undang juga mengakibatkan bahasa Melayu berkembang pesat pada zaman Melaka. Pada Zaman Bahasa Melayu Klasik, bahasa Melayu mengekalkan peranannya sebagai bahasa perantaraan (lingua franca) di Kepulauan Melayu. Penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca di Alam Melayu pada abad ke-16 dapat dibuktikan daripada Daftar Kata Melayu-Itali yang disusun oleh Antonio Pigafetta pada tahun 1521. Penyusunan itu dilakukan beliau untuk memudahkan hubungan perdagangan antara orang Barat dengan penduduk tempatan. Kata-kata yang didaftarkan dalam daftar kata itu pula adalah berdasar pada bahasa Melayu yang dituturkan oleh penduduk Pulau Tidore. Kedudukan Pulau Tidore yang begitu jauh dari tempat asal bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya penyebaran bahasa Melayu pada ketika itu. Bukti lain yang menunjukkan pengaruh 10

bahasa Melayu klasik pada abad ke-16 terdapat pada catatan Jan Huyghen Van Linschoten, seorang Belanda yang pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586-1592. Beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja sangat harum namanya tetapi juga dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa negeri Timur yang lain sehinggakan orang yang tidak mengetahui bahasa Melayu di Alam Melayu disamakan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada masa itu. Selain berfungsi sebagai lingua franca, bahasa Melayu klasik digunakan sebagai bahasa pentadbiran atau bahasa rasmi. Sebagai buktinya, bahasa Melayu klasik digunakan dalam urusan surat-menyurat antara raja di Kepulauan Melayu, antara raja Melayu dengan raja negara asing dan antara raja Melayu dengan para pedagang Eropah. Perkembangan bahasa Melayu klasik juga memperlihatkan zaman keintelektualan Melayu. Di Aceh, bahasa Melayu digunakan dalam penulisan sastera tasawuf, syair sufi, falsafah, sejarah dan karya ketatanegaraan. Hal ini memperlihatkan bahawa bahasa Melayu klasik turut berperanan sebagai bahasa ilmu pengetahuan. Hakikatnya, bahasa Melayu klasik memainkan peranan yang lebih luas berbanding dengan bahasa Melayu kuno. Selain berfungsi sebagai bahasa perantaraan dan pentadbiran, bahasa Melayu klasik menonjolkan peranannya sebagai bahasa ilmu, iaitu sebagai wahana untuk bidang kesusasteraan, ajaran dan falsafah Islam, undang-undang, sejarah dan ketatanegaraan. 3.2 BAHAN BUKTI PENGGUNAAN BAHASA MELAYU KLASIK Bahan-bahan bukti penggunaan bahasa Melayu klasik terdapat pada Batu Bersurat Terengganu, surat-surat awal dan karya-karya kesusasteraan yang dihasilkan pada zaman bahasa Melayu klasik. Batu Bersurat Terengganu Batu bersurat ini dijumpai di Sungai Teresat, dekat Kuala Berang, Terengganu kirakira pada tahun 1899. Syed Muhammad Naquib al-Attas menetapkan bahawa tarikh yang tercatat pada batu bersurat itu ialah 4 Rejab 702 Hijrah (22 Februari 1303 M).Berdasarkan tarikh tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa orang Melayu di sebelah pantai timur Semenanjung Malaysia telah memeluk agama Islam lebih dahulu daripada orang Melayu di sebelah pantai barat. 11

Fakta ini membuktikan bahawa agama Islam tersebar ke pantai timur bukan dari Melaka tetapi dari negara China, iaitu oleh ahli perdagangan dan hulubalang Cina yang beragama Islam. Tulisan yang terdapat pada batu bersurat ini ialah tulisan Jawi. Kosa kata yang digunakan memperlihatkan percampuran kata asli bahasa Melayu dengan kata pinjaman bahasa Sanskrit, Jawa dan Arab. Kandungan batu bersurat ini adalah tentang suatu perintah yang mengumumkan beberapa syarat undang-undang yang terkandung dalam sembilan atau sepuluh bahagian. Pengaruh Islam amat ketara kerana kata-kata permulaannya menyeru raja dan orang besar supaya yakin dan berpegang teguh pada ajaran Rasulullah dan Islam. Selain itu, batu bersurat itu mencatatkan undang-undang hutang piutang dan hukuman kesalahan berzina yang boleh dikenakan kepada raja dan rakyat jelata berasaskan hukuman Islam. Surat-surat Awal dalam Bahasa Melayu Klasik Bukti dalam bentuk surat melibatkan surat-surat yang dikirimkan oleh para raja Melayu dalam hubungannya dengan raja Melayu lain, dengan raja negara asing dan dengan pedagang Eropah. Dalam Sejarah Melayu, tercatat dua pucuk surat yang dihantar oleh Sultan Mansor Syah, iaitu satu kepada raja Siam dan satu lagi kepada Maharaja Cina. Sultan Mansor Syah begitu berhati-hati semasa menentukan kandungan surat kepada raja Siam, seperti titah baginda: Kehendak kita, sembah pun jangan, salam pun tidak, surat kasih pun jangan. Surat-surat awal ini ditulis dengan tulisan Jawi dan sesetengahnya tersimpan sehingga kini. Antaranya termasuklah: dua pucuk surat Sultan Ternate kepada Raja Portugal (1521 M & 1522 M) surat Sultan Ala al-Din Syah kepada Kapten Harry Middleton (1602 M) surat izin perniagaan Sultan Aceh kepada nakhoda Inggeris (mungkin Sir James Lancester) bertarikh 1602 M surat Sultan Perkasa Alam Johan Berdaulat Aceh kepada King James I , England (1615 M) surat Raja Ambon (1658 M) surat Sultan Banjar Fuad Qasad al-Khair kepada Raja Besar Karang Asam di Sasak (1813 M)

12

Surat Sultan Ternate kepada Raja Portugal Surat ini merupakan teks tertulis di atas kertas yang paling tua dijumpai. Kedua-dua pucuk surat ini menggunakan tulisan Jawi. Surat yang bertarikh 1521 dan 1522 ini telah dikirimkan oleh Sultan Abu Hayat kepada John III. Kedua-dua pucuk surat ini dianggap sebagai surat emas kerana bahasa yang digunakan amat halus, beradab, bersopan-santun dan disusun dengan teratur dari semua segi seperti permilihan kata, letak kepala surat, puji-pujian pembuka surat dan sebagainya. Surat Sultan Ala al-Din Syah kepada Kapten Harry Middleton Surat bertulisan jawi itu dihantar kepada Harry Middleton, ketua kapal Susan yang tiba di Aceh untuk membeli rempah. Surat Izin Perniagaan Sultan Aceh kepada Nakhoda Inggeris (Mungkin Sir James Lancester) Surat izin perniagaan yang dikeluarkan oleh seorang Sultan Aceh kepada pedagang Inggeris yang bernama Sir James Lancester pada tahun 1602. Warkah ini mengandungi beberapa peraturan yang dikenakan kepada orang-orang Inggeris yang datang berdagang dan juga masyarakat tempatan. Larangan yang dikenakan kepada orang-orang Inggeris ialah mereka ialah sekiranya hutang mereka belum dibayar, mereka tidak dibenarkan belayar melainkan mereka telah dijatuhkan hukum oleh hakim terlebih dahulu. Manakala masyarakat tempatan diarah untuk berbuat baik dengan orang Ingglitir dan berurus niaga dengan mereka. Di samping itu, masyarakat tempatan juga mesti menolong orang Ingglitir jika ditimpa kecelakaan di laut tetapi barang-barang yang diselamatkan tidak boleh diambil melainkan diberi sebagai hadiah. Seterusnya, orang Inglitir yang mewasiatkan hartanya hendaklah disimpan wasiatnya dan diserahkan kepada pemiliknya. Selain surat-surat yang dikirimkan oleh raja-raja Melayu itu, terdapat surat-surat yang bukan dibuat oleh raja-raja Melayu. Antaranya termasuklah surat perjanjian jual beli yang bertarikh 1600 M dan surat Perisytiharan Lord Minto yang bertarikh 1811 M. Surat-surat yang ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu dan aksara Jawi ini membuktikan bahawa bahasa Melayu pada abad ke-16 hingga abad ke-19 telah dikuasai oleh orang Barat dengan baik. Fakta ini sekali gus menunjukkan bahawa bahasa Melayu pada zaman tersebut telah digunakan dalam hubungan antarabangsa dan diplomatik. 13

Surat Sultan Ternate kepada Raja Portugal

14

Surat Sultan Ternate kepada Raja Portugal 15

Karya-karya Sastera dalam Bahasa Melayu Klasik Pada Zaman Kesultanan Melaka, pujangga-pujangga istana telah diarah oleh Sultan Mansur Shah untuk menyalin naskah-naskah tertentu atau mengarang karya-karya sastera. Sementelahan itu, pujangga-pujangga turut diarah untuk menterjemah hasil kesusasteraan Arab dan Parsi seperti kitab Dar al Mazlum yang ditulis oleh Maulana Abu Ishak, seorang ulama dari makkah, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu di Pasai. Rentetan itu, sebuah karya agung telah dihasilkan, iaitu Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin. Walaupun tarikh yang tercatat menunjukkan bahawa teks ini dihasilkan pada 1612 M, iaitu pada zaman Johor, tetapi kisah yang terkandung dalam Sejarah Melayu ini menunjukkan bahawa teks ini terhasil di Melaka sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud Shah (1488-1511 M).Teks undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut juga dihasilkan oleh cendekiawan-cendekiawan Islam dalam Zaman Kegemilangan Kesultanan Melaka. Selepas kejatuhan kerajaan Melaka, pusat perkembangan bahasa Melayu berpindah ke Aceh. Di Aceh, bahasa Melayu digunakan dalam penulisan sastera tasawuf, syair sufi, falsafah dan karya ketatanegaraan. Antara tokoh penulis yang penting termasuklah Hamzah Fansuri yang terkenal dengan karya-karyanya yang berjudul Syair Dagang, Syair Burung Pingai, Syair Si Burung Pungguk, Syair Perahu, Syair Syarab al-Asyikin; Syamsuddin al-Sumaterani yang terkenal dengan karya-karyanya yang berjudul Mirat alMukminin, Miratul Iman, Syarah Rubai Hamzah Fansuri; Syeikh Nuruddin al-Raniri yang terkenal dengan karya-karyanya yang berjudul Siratul Mustakim, Asrar al-Insan, Bustan alSalatin serta Abdul Rauf al-Singkel yang terkenal dengan karyanya yang berjudul Mirat alTulub. Perkembangan bahasa Melayu seterusnya berpindah ke Johor-Riau.

Perkembangannya berpusat di Pulau Penyengat. Tokoh penulis yang penting pada waktu itu ialah Raja Ali Haji.Selain karya sastera yang mengikut zaman kerajaan tersebut, terdapat beberapa buah karya sastera lain dalam bahasa Melayu klasik. Antara yang terkenal termasuklah Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Seri Rama, Misa Melayu, Hikayat Negeri Johor, Kisah Pelayaran Abdullah, Hikayat Anggun Cik Tunggal, Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat Panji Semerang.

16

3.3 CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KLASIK Sistem Tulisan dan Ejaan Bahasa Melayu Klasik Pada zaman peralihan daripada bahasa Melayu kuno kepada bahasa Melayu klasik, sistem tulisan yang digunakan dalam bahasa Melayu masih menampakkan pengaruh daripada kebudayaan India. Sebagai contohnya, Batu Bersurat Pagar Ruyung,

Minangkabau (1356 M) dan Batu Bersurat Minye Tujuh, Aceh (1380 M) masih menggunakan huruf yang berasal dari India. Namun demikian, apabila kebudayaan Islam mula bertapak di Kepulauan Melayu, tulisan yang terdapat pada batu-batu bersurat yang ditemukan sedikit demi sedikit mula memperlihatkan perubahan. Pada mulanya, bahasa yang digunakan pada batu bersurat ialah bahasa Arab dan menggunakan tulisan Arab berbentuk kufi. Batu-batu bersurat yang bertulisan demikian ditemukan di Pekan, Pahang (1020 M), di Wilayah Phanrang, Champa (1039 M) dan di Bandar Seri Begawan, Brunei (1048 M). Batu bersurat lain yang menunjukkan penggunaan tulisan Arab ialah batu nisan Sultan Malik al-Salleh yang bertarikh 1297 M. Batu nisan itu ditulis dalam bahasa Arab dengan kaligrafi niski yang popular di India sekitar pertengahan abad ke-13. Bukti pertama yang menunjukkan tulisan Arab mula digunakan dalam bahasa Melayu terdapat pada Batu Bersurat Terengganu (1303 M). Tulisan yang digunakan untuk mengeja teks berbahasa Melayu ini dikenal sebagai tulisan Jawi. Tulisan Jawi ialah sejenis sistem tulisan yang menggunakan abjad Arab dan enam abjad tambahan yang dicipta oleh orang Melayu sendiri. Sistem tulisan ini ditulis dari kanan ke kiri dan tidak mempunyai huruf besar atau huruf kecil. Bentuk huruf-hurufnya akan berubah apabila ditulis secara tunggal atau berantai/bersambung. Dalam Daftar Ejaan Melayu oleh Zaba, jumlah huruf yang terdapat dalam sistem ejaan Jawi ialah 33 huruf. Sebaliknya, dalam Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1986), jumlah hurufnya ialah 35. Dalam Daftar Ejaan Rumi-Jawi (1988), jumlah hurufnya ialah 37. Daripada 37 huruf Jawi tersebut, enam huruf tambahan ialah (ga), (nya) dan (va). Huruf (ca), (nga), (pa), (ga) dan (ca), (nga), (pa),

(nya) sudah terdapat

pada Batu Bersurat Terengganu (1303 M). Huruf

(va) ditambah oleh Dewan Bahasa dan

Pustaka dalam Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan (1986) sebagai keputusan daripada Konvensyen Tulisan Jawi di Terengganu pada tahun 1984. 17

Dengan adanya pengaruh Islam, kosa kata bahasa Melayu telah diperkaya dengan kata-kata atau istilah-istilah yang dipinjam/diserap daripada bahasa Arab. Peminjaman/ penyerapan kosa kata ini perlu untuk menyatakan pemikiran baru tentang agama Islam. Namun demikian,hal ini tidak pula bermakna perkataan-perkataan bahasa Melayu kuno dan istilah-istilah Sanskrit dikesampingkan. Istilah-istilah tersebut tetap digunakan tetapi konsepnya telah diubahsuaikan supaya sejajar dengan konsep Islam. Sebagai contohnya, kata syurga berubah daripada konsep syurga dalam pengertian Hindu kepada konsep yang didukung oleh Islam, iaitu dengan pengertian al-Jannah, dan konsep neraka disesuaikan dengan pengertian an-Nar. Demikian juga konsep kata-kata seperti dosa, pahala dan puasa diubahsuaikan supaya mengikut konsep Islam yang terdapat dalam al-Quran. Tatabahasa Ciri-ciri tatabahasa bahasa Melayu Klasik dapat ditinjau daripada aspek penggunaan perkataan, imbuhan dan struktur ayat. Daripada aspek penggunaan perkataan, bahasa Melayu klasik banyak menggunakan bahasa istana, kosa kata klasik, kata pangkal ayat (perdu perkataan), partikel atau kata penegas -lah dan pun serta kosa kata daripada bahasa Arab. Contoh penggunaan bahasa istana dalam bahasa Melayu klasik. santap dalam bahasa Istana bermaksud makan dalam bahasa Biasa. Contoh penggunaan kosa kata klasik dalam bahasa Melayu klasik. masyghul dalam bahasa Melayu klasik bermaksud dukacita/sedih dalam bahasa Melayu moden. Penggunaan kata pangkal ayat (perdu perkataan) dalam bahasa Melayu klasik pula terlihat menerusi penggunaan kata-kata seperti Alkisah, Sebermula, Hatta, Adapun, Syahadan, Maka dan Arakian. Seterusnya, penggunaan partikel atau kata penegas -lah dan pun dalam bahasa Melayu klasik terlihat pada frasa seperti tersebutlah perkataan, batu pun habis berpelantingan dan lain-lain. Manakala penggunaan kosa kata daripada bahasa Arab terlihat melalui pemakaian kata-kata Allah taala, makhdum, daulat, wallahualam, takzim, ainulbanat dan sebagainya. Daripada segi penggunaan imbuhan pula, awalan mar- dan ni- dalam bahasa Melayu kuno telah digantikan dengan awalan ber- dan di- dalam bahasa Melayu klasik. Sebagai 18

contohnya, kata marlapas telah digantikan dengan kata berlepas manakala kata niparwuat telah digantikan dengan kata diperbuat. Ditinjau daripada segi sudut sintaksis pula, beberapa ciri ayat bahasa Melayu klasik dapat dikesan. Antaranya termasuklah banyak menggunakan ayat majmuk yang panjangpanjang, bertele-tele serta memasukkan kata-kata yang tidak berfungsi dalam penulisan. Contohnya Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik. Sementelahan itu, bahasa Melayu klasik dari sudut sintaksis banyak menggunakan ayat songsang dengan pendepanan prediket sebagai akibat pengaruh tatabahasa bahasa Arab. Contohnya Maka berperanglah Feringgi dengan orang Melaka . Lebih-lebih lagi, bahasa Melayu klasik juga banyak menggunakan ragam ayat pasif. Contohnya Maka dilihatlah tanah nagara bukit menjadi seperti warna emas.

19

4.1 TAHAP PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU MODEN Perkembangan bahasa Melayu moden bermula pada abad ke-19. Permulaan zaman bahasa Melayu moden ditandai oleh hasil karangan Abdullah Munsyi. Namun demikian, ada pengkaji yang berpendapat bahawa zaman Abdullah Munsyi merupakan zaman peralihan daripada bahasa Melayu klasik kepada bahasa Melayu moden. Menurut mereka, zaman bahasa Melayu moden sebenarnya bermula pada awal abad ke-20. Bahasa Melayu moden berkembang pesat setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Di bawah Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu memikul tugas sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum, bahasa penghantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Tahap perkembangan bahasa Melayu moden dapat dibahagikan kepada zaman bahasa Melayu moden pramerdeka dan zaman bahasa Melayu moden pascamerdeka. 4.2 BAHASA MELAYU MODEN PRAMERDEKA Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan dan bahasa penghantar di pusat pendidikan Islam. Pada awal pemerintahan British, kedudukan bahasa Melayu masih tidak tergugat, malah tetap digunakan dalam urusan rasmi jabatan-jabatan kerajaan tertentu. Pegawai British yang bertugas di negeri Melayu dikehendaki mempelajari bahasa Melayu dan lulus dalam peperiksaan bahasa Melayu. Sebagai hasilnya, muncullah sarjana-sarjana bahasa Melayu seperti R.O. Winstedt, R.J.Wilkinson, C.C.Brown, W.E.Maxwell, W.Marsden, O.T.Dussek, W.G.Shellabear, J.Crawfurd dan A.M. Skinner. Kedudukan bahasa Melayu mula terancam selepas Perang Dunia Kedua. British telah mengubah dasar pendidikannya dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam sistem pendidikan. Kononnya, bahasa Inggeris mempunyai nilai ekonomi dan status yang tinggi berbanding dengan bahasa Melayu. Namun begitu, perjuangan dan pengembangan bahasa Melayu terus dipelopori oleh cendekiawan berpendidikan Melayu dan Arab. Mereka terdiri daripada wartawan, sasterawan, budayawan, guru-guru dan ahli-ahli politik Melayu. Pertubuhan-pertubuhan bahasa Melayu juga ditubuhkan untuk memperjuangkan dan memperkembang bahasa Melayu. 20

Tokoh-tokoh Penting Bahasa Melayu Moden Pramerdeka


Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi (1796-1854) Beliau dilahirkan di Kampung Masjid, Melaka dan mendapat gelaran Munsyi pada usia sebelas tahun. Beliau mendapatkan pendidikan Inggeris dan pemikirannya banyak dipengaruhi oleh bangsa Inggeris. Beliau menghasilkan karya-karya berdasarkan pengamatan dan pengalaman yang dilaluinya. Misalnya, beliau mengkritik golongan raja dan pembesar yang menindas golongan rakyat. Beliau juga menyentuh sikap orang Melayu yang kurang mengambil berat bahasa Melayu dan tidak berusaha mempelajari bahasa ibunda sendiri. Daripada segi gaya bahasa, Abdullah Munsyi menggunakan bahasa perbualan sehari-hari yang mudah difahami. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasanya masih terpengaruh oleh bahasa Melayu klasik dengan penggunaan kata-kata pangkal ayat seperti maka, sebermula, syahadan, arakian dan sebagainya. Beliau turut menterjemahkan Hikayat Kalilah dan Daminah daripada bahasa Tamil serta menerbitkan Sejarah Melayu dengan memberikan pengenalan sendiri. Raja Ali Haji (1809-1870) Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyengat, iaitu sebuah pulau di Riau yang pada ketika itu menjadi pusat kebudayaan dan ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu. Beliau berpendidikan Arab dan mempunyai pengetahuan yang luas dalam agama Islam. Latar belakang pendidikan yang diterimanya membolehkan beliau menghasilkan karya dalam bidang bahasa, sejarah, sastera, agama dan undang-undang. Dua buah karya bahasa Raja Ali Haji yang penting ialah Bustanul Katibin Lissubyanilmutaalimi (Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut Belajar akan Dia) dan Kitab Pengetahuan Bahasa. Raja Ali Haji telah meletakkan asas pembinaan dan pembakuan bahasa Melayu dan dianggap sebagai pencatat sejarah Nusantara yang pertama. Antara kitab sejarah penting yang dihasilkan oleh beliau ialah Kitab Salasilah Melayu dan Bugis dan Tuhfat al-Nafis (Hadiah yang Bernilai). Mohd. Said bin Haji Sulaiman (1876-1955) Mejar Dato Haji Mohd. Said bin Haji Sulaiman dilahirkan di Teluk Belanga, Singapura dan merupakan tokoh persuratan Melayu Johor. Antara sumbangan penting beliau kepada perkembangan bahasa Melayu moden termasuklah menjadi penunjang Pakatan Bahasa 21

Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (Pakatan). Pada tahun 1934, beliau menghidupkan Pakatan semula dengan menggerakkan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan Pakatan. Atas usaha beliau, banyak buku dapat dihasilkan oleh Pakatan dalam siri Peredar. Selain menulis buku dan makalah untuk Pakatan, Mohd.Said turut menulis makalah-makalah untuk Malayan Branch of the Royal Asiatic Society dan majalah terbitannya sendiri, Pelangi pada tahun 1926. Dalam bidang bahasa, karya-karya beliau meliputi bidang perkamusan, ejaan, tatabahasa dan penggunaan bahasa. Atas sumbangan Mohd.Said dalam bidang persuratan Melayu, amnya, dan persuratan Melayu Johor, khususnya, beliau dikurniai bintang kebesaran Seri Mahkota Johor dan Seri Paduka Mahkota Johor. Seterusnya, beliau mendapat penghormatan tertinggi daripada D.Y.M.M. Sultan Ibrahim dengan kurniaan Kerabat Diraja. Zainal Abidin Ahmad (1895-1973) Beliau lebih dikenal sebagai Zaba. Selain Zaba, beliau turut menggunakan beberapa nama samaran lain seperti Anak Melayu Jati, Patriot dan Zai Penjelmaan. Zaba merupakan tokoh bahasa yang memberikan sumbangan dalam bidang tatabahasa. Buku tatabahasa Beliau, Pelita Bahasa Penggal I,II dan lll, menjadi buku rujukan utama di sekolah-sekolah Melayu dan maktab perguruan. Karya bahasa lain yang dihasilkan oleh beliau ialah Kitab Ilmu Bahasa Melayu, Kitab Rahsia Ejaan Jawi, Daftar Ejaan Melayu JawiRumi, Ilmu Mengarang Melayu dan Petua-petua Ejaan Rumi Melayu di Malaya. Selain menghasilkan karya-karya, Zaba juga memberikan sumbangan mengangkat martabat bahasa Melayu menerusi jawatan yang dipegang oleh beliau. Antara jawatan yang disandang beliau termasuklah Ketua Pengarang dan Penterjemah Kanan Pejabat Karang Mengarang di Maktab Perguruan Sultan Idris, Ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Sumbangan Zaba yang lain termasuklah memperjuangkan penubuhan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya di Singapura serta perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Atas sumbangan Zaba dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu, beliau telah dianugerahi gelaran Pendeta oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956) serta Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Malaya (1959) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (1973). Pada tahun 1962, beliau dianugerahi oleh DYMM Yang di22

Pertuan Agong dengan darjah Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri kepadanya.

Pertubuhan-pertubuhan Bahasa Melayu Moden Zaman Pramerdeka


Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB atau Pakatan) Pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1888 dan merupakan pertubuhan bahasa yang pertama untuk mengembangkan bahasa Melayu. Pengasas pertubuhan ini ialah Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak dan Datuk Muhammad Ibrahim Munsyi.Pada peringkat awal penubuhannya, aktiviti utama pertubuhan ini ialah mengadakan majlis-majlis ceramah dan perbincangan tentang pelbagai aspek ilmu bahasa Melayu seperti persoalan ejaan dan perkataan, sesuai dengan konsep belajar dan mengajar pertubuhan tersebut. Pada akhir abad ke-19, kegiatan Pakatan agak lembap kerana kekurangan sambutan dan menghadapi masalah kewangan. Pertubuhan ini dihidupkan semula untuk kali kedua pada tahun 1934. Pada 14 April 1935, pertubuhan ini diberi gelar an Diraja oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim. Susulan daripada gelaran itu, nama pertubuhan ini ditukar menjadi Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (PBmPBD). Matlamat PBmPBD adalah untuk memelihara, memperlengkap dan memodenkan bahasa Melayu dengan menyeragamkan ejaan, mencipta perkataan baharu, menyediakan daftar kata (gugus katan) dan memelihara ejaan Jawi.Kegiatan utamanya ialah menerbitkan buku, membentuk istilah dan mengadakan majlis-majlis ceramah dan perbincangan. Pada masa tersebut, Mohd. Said Sulaiman menjadi tonggak utama yang menggerakkan aktiviti PBmPBD. Beliau banyak menyumbang makalahnya dalam jurnal PBmPBD, menghasilkan buku-buku untuk diterbitkan oleh PBmPBD. Antara tahun 1935-1947, PBmPBD berjaya menerbitkan 34 buah buku. PBmPBD juga telah menggubal istilah bagi perkara yang belum mempunyai istilah dalam bahasa Melayu. Antara istilah yang dicipta oleh PBmPBD termasuklah jurucakap, setiausaha dan kerja raya. Sehubungan itu, PBmPBD mengeluarkan peraturan melarang anggota-anggotanya mengeja atau menyebut sesuatu perkataan selain yang telah ditetapkan oleh PBmPBD. Persaudaraan Sahabat Pena Malaysia (PASPAM) Pertubuhan ini bermula dengan ruangan Sahabat Pena dalam akhbar Saudara pada tahun 1934. Pengarang Saudara, Syed Syeikh Ahmad al-Hadi, telah mengembangkan aktiviti Sahabat Pena dengan menubuhkan Persekutuan Pena yang kemudiannya ditukar 23 Peredar, di samping

nama menjadi Persaudaraan Sahabat Pena Malaysia (PASPAM). Tujuan pertubuhan ini adalah untuk mengeratkan hubungan persaudaraan antara pencinta bahasa Melayu serta menggalakkan penulisan dan pembacaan buku-buku bahasa Melayu. Oleh sebab akhbar Saudara mempunyai edaran yang luas, maka keahlian PASPAM lebih menyeluruh berbanding dengan PBmPBD yang hanya terbatas di negeri Johor. Dengan demikian, PASPAM dapat menganjurkan kegiatan pada peringkat kebangsaan. Pada 11 November 1934, buat pertama kalinya PASPAM berjaya menganjurkan persidangan orang Melayu di seluruh Tanah Melayu yang diadakan di Taiping, Perak. Pada tahun 1938, untuk mengkhususkan kegiatan dalam bidang bahasa dan persuratan, PASPAM telah menubuhkan Lembaga Bahasa. Antara kegiatan Lembaga Bahasa termasuklah menerbitkan buku dan kamus Melayu, membeli karangan daripada ahli-ahli PASPAM, mengadakan peraduan karang-mengarang dan menggunakan perkataan Melayu baru daripada perkataan bahasa Inggeris. PASPAM berjaya menyebarkan semangat persaudaraan dalam kalangan ahlinya di seluruh Tanah Melayu menerusi kegiatan persuratan dan kebahasaan yang dianjurkannya. Perhubungan melalui surat-menyurat dalam kalangan ahli memberikan latihan karangmengarang kepada anggota PASPAM. Selain itu, kegiatan kebahasaan dan persuratan PASPAM tersebar melalui pelbagai majalah yang diterbitkan oleh cawangan-cawangannya. Pejabat Karang Mengarang Pertubuhan ini ditubuhkan di Maktab Perguruan Sultan Idris(MPSI) pada tahun 1924. Pengasasnya ialah Pengetua maktab tersebut. O.T.Dussek dan Zaba. Zaba dilantik sebagai Ketua Pengarang dan Penterjemahah Kanan Pejabat Karang Mengarang manakala R.O.Winstedt dan O.T.Dussek menjadi penasihat. Tujuan penubuhan Pejabat Karang mengarang adalah untuk mengatasi masalah kekurangan bahan bacaan sekolahsekolah Melayu khususnya serta dalam kalangan masyarakat Melayu, amnya. Oleh itu, kegiatannya meliputi penerbitan buku-buku sekolah Melayu dan bahan-bahan bacaan untuk masyarakat Melayu. Antara tahun 1924-1957, Pejabat Karang Mengarang berjaya menerbitkan 85 buah buku untuk bacaan sekolah di bawah Malay School Series. Buku-buku teks yang diterbitkan mencakup bidang ilmu penulisan, ejaan, tatabahasa bahasa Melayu, sejarah, ilmu hisab, ilmu alam dan kesihatan. Di bawah The Malay Home Library Series pula, 24

sebanyak 64 buah buku untuk bacaan umum diterbitkan antara tahun 1929-1957. Kebanyakan buku yang diterbitkan merupakan karya terjemahan daripada bahasa Inggeris. Sumbangan Pejabat Karang Mengarang yang mustahak ialah membina asas pengetahuan bahasa Melayu dan ilmu karang-mengarang dalam kalangan orang Melayu. Penerbitan buku untuk sekolah dan bacaan umum banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu di samping memajukan pendidikan orang Melayu. Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) ASAS 50 merupakan pertubuhan sebelum merdeka yang paling besar sumbangannya kepada perancangan dan perkembangan bahasa. Persatuan penulis ini dibentuk oleh satu angkatan penulis generasi muda (Tongkat Warrant, Keris Mas, A.Samad Ismail, Masuri S.N., Asraf dan lain-lain) untuk mengembangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di samping menjaga kebajikan dan kepentingan mereka. Perjuangannya tertumpu kepada pembaharuan dalam sastera dengan slogan Seni untuk Masyarakat dan status politik bahasa, iaitu perjuangan bahasa dan politik berjalan serentak. ASAS 50 menghimpunkan persatuan bahasa, sastera dan budaya sehingga berjaya menganjurkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Pertama(1952) yang memutuskan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua (1954) memutuskan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi untuk memudahkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956), ASAS 50 mencadangkan penubuhan Balai Pustaka, penyatuan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia serta bahasa Melayu dijadikan bahasa penghantar di sekolah di samping diberi nilai ekonomi dengan mengutamakan kelulusan dalam bahasa Melayu untuk memperoleh pekerjaan. Peranan ASAS 50 dalam pengembangan bahasa Melayu termasuklah aspek ejaan dan peristilahan hingga mengangkat taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Sumbangannya dalam bidang bahasa dan persuratan amat penting ketika negara kita sedang menuju kemerdekaan.

25

Peranan Akhbar dan Majalah Sebelum kemerdekaan, pertumbuhan persuratkhabaran Melayu di Tanah Melayu begitu pesat kerana perkembangan lapangan pendidikan Melayu serta perkembangan alat cetak. Sejarah persuratkhabaran Melayu bermula pada tahun 1876 apabila akhbar pertama, Jawi Peranakan, diterbitkan. Selepas kemunculan Jawi Peranakan, bilangan akhbar dan majalah berbahasa Melayu terus bertambah sehingga sebelum Perang Dunia Kedua. Antara akhbar dan majalah yang wujud sebelum Perang Dunia Kedua termasuklah Pengasuh, Al-Iman, Majalah Guru dan Panduan Guru. Kewujudan akhbar dan majalah ini membolehkan karya berbahasa Melayu disalurkan kepada masyarakat Melayu, sekaligus mengembangkan bahasa Melayu moden pada zaman pramerdeka. 4.3 BAHASA MELAYU MODEN PASCAMERDEKA Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara itu. Sejajar dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi serta bahasa penghantar dalam sistem pendidikan negara. Untuk memikul tugas sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar ilmu, proses perancangan bahasa telah dilakukan untuk membina dan memupuk bahasa Melayu ke arah taraf yang lebih maju. Perancangan bahasa Melayu ini dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Penubuhan dan Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan sebagai sebuah jabatan di bawah Kementerian Pelajaran pada 22 Jun 1956. Pada mulanya badan ini dikenal sebagai Balai Pustaka tetapi atas cadangan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga. Namanya telah diubah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1959, Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka diluluskan dan DBP dinaikkan statusnya menjadi badan berkanun. Matlamat DBP, sebagaimana yang termaktub dalam Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka adalah untuk memajukan dan memperkaya bahasa kebangsaan, memajukan bakat kesusasteraan terutama dalam bahasa kebangsaan, menerbitkan buku, kamus dan bahanbahan persuratan lain dalam bahasa kebangsaan, menyeragamkan ejaan dan sebutan serta menggubal istilah di samping menyusun dan menerbitkan sebuah kamus bahasa kebangsaan. 26

Perancangan bahasa oleh DBP bertumpu kepada penyelidikan bahasa dalam aspek fonologi, kosa kata, sintaksis dan semantik serta peristilahan dengan memperkaya dan memperlengkap bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan, budaya dan bahasa ilmu tinggi. DBP juga fokus kepada perkamusan dengan menerbitkan pelbagai jenis kamus kamus umum ekabahasa, kamus umum dwibahasa, kamus istilah, kamus peribahasa dan tesaurus. Lebih-lebih lagi, DBP fokus dalam pelaksanaan bahasa dengan menyebarkan maklumat bahasa baku, memberikan khidmat nasihat dan galakan serta mengawasi penggunaan bahasa Melayu. 4.4 PERANCANGAN BAHASA MELAYU MODEN Perancangan bahasa di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka disebut sebagai pembinaan dan pengembangan bahasa. Aktiviti-aktiviti perancangan bahasa Melayu terdiri daripada perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Perancangan Taraf Bahasa Perancangan taraf bahasa merujuk kepada usaha meluaskan dan meningkatkan taraf penggunaan atau peranan bahasa dalam masyarakat. Di Malaysia, usaha ini melibatkan pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar dalam sistem pendidikan negara. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menetapkan bahawa: Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undangundang oleh Parlimen. Penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan disertai dengan syarat-syarat seperti tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan, mengajar atau belajar apa-apa bahasa lain, selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap negeri dan bagi segala maksud rasmi yang lain dan selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskah yang sahih: I. bagi segala Rang Undang-undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana Majlis Parlimen II. bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris

27

Antara perkara penting yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia termasuklah pertimbangan sewajarnya untuk mewujudkan satu bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu, pertimbangan sewajarnya untuk memelihara bahasa ibunda kaum lain yang tinggal di negara ini supaya tidak ditindas, iaitu bahasa ibunda kaum masing-masing boleh digunakan dalam hal tidak rasmi atau tidak formal dan pembelajaran bahasa ibunda tidak dihalang serta penukaran bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi secara beransuransur kepada bahasa Melayu untuk membolehkan bahasa Melayu berkembang sebelum dapat mengambill tugas bahasa Inggeris. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 telah menguatkuasakan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, iaitu semua urusan kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri. Akta ini memberikan beberapa kekecualian kepada maksud rasmi dengan memberikan kuasa kepada Yang di -Pertuan Agong untuk membenarkan penggunaan bahasa Inggeris dalam perkara-perkara tertentu seperti undang-undang, hubungan dengan negara asing, latihan yang disampaikan oleh pakar asing, laporan, preskripsi dan arahan pembedahan serta urusan Jabatan Hasil Dalam Negeri dalam perkara-perkara tertentu. Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dinyatakan dalam Laporan Razak (1956) dan kemudian dipertegas dalam Laporan Rahman Talib (1960) memperakukan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara. Laporan Razak mengesyorkan bahawa bahasa Melayu mestilah dipelajari di semua sekolah dan dijadikan syarat bantuan diberikan oleh kerajaan kepada semua sekolah. Bahasa Melayu mesti dijadikan satu pelajaran yang penting untuk mendapat Sijil Rendah dan Sijil Pelajaran Kebangsaan. Laporan Rahman Talib pula mengesyorkan supaya kelulusan dalam bahasa Melayu sebagai syarat wajib untuk memasuki mana-mana skim latihan perguruan. Dasar bahasa Melayu di universiti tempatan juga mewajibkan pelajar yang mengikuti pengajian di universiti mestilah mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Akta Pendidikan 1996 mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama untuk semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan. Bagi institusi pendidikan yang bahasa penghantar utamanya bukan bahasa Melayu, bahasa Melayu hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.

28

Perancangan Korpus Bahasa Perancangan korpus bahasa juga diistilahkan sebagai perancangan bahan bahasa. Perancangan korpus bahasa terdiri daripada dua bahagian, iaitu pengekodan atau kodifikasi serta pemupukan. PENGEKODAN/KODIFIKASI Pengekodan bermaksud penyeragaman, iaitu usaha untuk menghasilkan satu variasi bahasa baku atau standard yang sempurna. Di Malaysia, kodifikasi melibatkan aspek ejaan, perkamusan, peristilahan dan tatabahasa. Pengekodan Perkamusan Dalam konteks perancangan bahasa, penyusunan kamus merupakan satu usaha kodifikasi bahasa yang penting dalam proses pembinaan, pengembangan dan pembakuan bahasa. Di Malaysia, tugas penyusunan kamus diberikan kepada DBP. Dalam matlamat kelima undang-undang DBP tahun 1959, Bahagian (5) menyatakan bahawa DBP perlu menyusun dan menerbitkan sebuah kamus dalam bahasa kebangsaan. Tiga program utama penyusunan kamus yang diusahakan oleh DBP ialah program penyusunan kamus ekabahasa, dwibahasa dan kamus istilah. Pada peringkat awal, kamus yang perlu diterbitkan di DBP ialah kamus ekabahasa. Kamus ekabahasa yang pertama diterbitkan ialah Kamus Dewan. Kerja-kerja penyusunan Kamus Dewan telah dimulakan pada tahun 1963 dan edisi pertama kamus ini diterbitkan pada tahun 1970. Kamus ini disusun bagi merakamkan perkembangan kosa kata bahasa Melayu moden. Kamus yang menggunakan sistem ejaan Zaba ini disusun oleh sekumpulan penyusun kamus yang diketuai oleh Teuku Iskandar. Penyusunan kamus ini juga telah mendapat khidmat seorang pakar, iaitu A.Teeuw yang dipinjamkan oleh Universiti Leiden atas biaya UNESCO. Sejak penerbitan edisi pertamanya, kamus ini telah disemak dan dikemaskinikan sebanyak tiga kali. Pada tahun 1984, Kamus Dewan Cetakan Kedua telah diterbitkan. Dalam cetakan kedua ini, sistem Ejaan Rumi Baru digunakan supaya sejajar dengan pedoman serta senarai perkataan yang terdapat dalam Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Pada tahun 1989, pembaikan dan pengemaskinian terhadap Kamus Dewan dilakukan dengan penghasilan Kamus Dewan Edisi Baru. Dalam edisi baharu ini, kira-kira 2 000 patah kata, termasuk kata dasar dan juga kata terbitan, dipilih sebagai kata masukan baharu. Penambahan ini telah memantapkan lagi kandungan kamus ini. 29

Seterusnya, DBP menyemak dan mengemaskinikan kandungan kamus ini pada tahun 1994. Sebagai hasilnya, lahirlah Kamus Dewan Edisi Ketiga yang memuatkan kira-kira 6 000 kata masukan baharu. Kata-kata baharu ini terdiri daripada kata umum, istilah umum dalam pelbagai bidang ilmu, kata pinjaman Arab, kata dialek, kata klasik, kata slanga dan sebagainya. Pembaikan dan pengemaskinikan terhadap Kamus Dewan akan dilakukan dari semasa ke semasa, dengan penambahan kata entri dan pemindaan makna perkataanperkataan tertentu supaya makna yang diberikan lebih tepat dan jelas serta dapat menggambarkan penggunaan bahasa Melayu moden yang sebenarnya. Selain Kamus Dewan, DBP turut menerbitkan kamus pelajar. Kamus pelajar yang pertama diterbitkan ialah Kamus Bahasa Malaysia pada tahun 1975. Kamus ini telah diulang cetak pada tahun 1987 dan diberi nama Kamus Pelajar. Selain kamus ekabahasa, DBP turut menerbitkan kamus dwibahasa pada tahun 1979, iaitu Kamus Dwibahasa. Kamus ini telah dicetak sebanyak tiga kali. Kamus dwibahasa yang disifatkan paling komprehensif ialah Kamus Inggeris-Melayu Dewan (KIMD) yang diterbitkan pada 14 Februari 1992 yang dikatakan setaraf dengan kamus-kamus di Eropah. DBP turut menerbitkan kamus istilah bagi memperkaya dan memantapkan bahasa Melayu di samping membuktikan kemampuan bahasa Melayu mengungkapkan ilmu sains. Selain DBP, kamus turut diusahakan oleh orang perseorangan dan organisasi penerbitaan. Antaranya Kamus Umum Bahasa Malaysia (1972) yang disusun oleh Yang Kui Yee dan Kamus Fajar Rumi-Jawi (1984) yang disusun oleh Yunus Maris. Pengekodan Ejaan Sebelum wujudnya tulisan Jawi dan Rumi, bahasa Melayu telah mempunyai tradisi tulisan, iaitu tulisan Kawi, Batak, Lampung dan Rencong. Sarjana Inggeris yang mula-mula membincangkan ejaan bahasa Melayu ialah William Marsden (1812) dalam bukunya A Grammar of Malayan Language. Dalam kajiannya, Marsden mendapati bunyi ch, d, ng, p, g dan ny merupakan huruf-huruf yang ditambah oleh orang Melayu pada 28 huruf Arab. Pada tahun 1901, Jawatankuasa Ejaan yang diketuai oleh R.J.Wilkinson berusaha membentuk satu sistem ejaan Rumi kerana ejaan Jawi didapati tidak menggambarkan sistem bunyi bahasa Melayu yang sebenarnya. Sistem ejaan Rumi yang terhasil dikenal sebagai Ejaan Wilkinson.

30

Selepas Perang dunia Kedua, Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dengan kebijaksanaan Zaba, telah menghasilkan suatu sistem ejaan yang dikenal sebagai Sistem Ejaan Zaba. Sistem ini merupakan gabungan Ejaan Wilkinson dengan beberapa perubahan yang dilakukan oleh Zaba. Sistem ini digunakan sebagai ejaan sekolah dan ejaan rasmi kerajaan sehinggalah ejaan baru diisytiharkan pada tahun 1972. Pada zaman Jepun, wujud pula satu lagi sistem ejaan yang dikenal sebagai Sistem Ejaan Fajar Asia. Sistem ejaan ini kemudian digunakan secara rasmi oleh ASAS 50. Pada tahun 1956 pula, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga menetapkan penggunaan sistem ejaan Rumi baharu yang dikenal sebagai Ejaan Kongres. Ejaan Kongres ini mempunyai beberapa persamaan denan Ejaan Fajar Asia seperti keharmonian vokal dan penulisan bentukbentuk terikat tanpa menggunakan tanda sempang. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga itu juga menetapkan bahawa ejaan di Tanah Melayu dan Indonesia hendaklah disamakan, peraturan ejaannya dipermudah dan kata-kata daripada bahasa asing hendaklah disesuaikan dengan sistem fonologi Melayu. Berdasarkan revolusi itu, satu rundingan telah diadakan di Jakarta pada tahun 1959 antara Jawatankuasa Ejaan Rumi Persekutuan Tanah Melayu yang diketuai oleh Syed Nasir Ismail dengan Panitia Pelaksanaan Kerjasama Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia yang dipimpin oleh Dr.Slametmuljana. Hasil daripada rundingan ini, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk membentuk ejaan baru yang dinamakan Ejaan Melindo. Sistem Ejaan Melindo tidak dapat dilaksanakan kerana berlakunya konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia. Kegiatan untuk melaksanakan penyatuan ejaan disambung semula setelah hubungan diplomatik dipulihkan pada tahun 1965. Kedua-dua pihak telah mengkaji Sistem Ejaan Melindo semula dan akhirnya menolak sistem ejaan tersebut kerana didapati tidak praktis dan tidak ekonomis. Kerjasama dalam usaha menyatukan ejaan antara Malaysia dan Indonesia diteruskan sehingga berjaya menghasilkan sistem ejaan bersama yang dikenal sebagai Sistem Ejaan Baru Bahasa Malaysia. Sistem ejaan ini diisytiharkaan secara rasmi serentak di kedua-dua negara pada 16 Ogos 1972. Pada tahun 1975, DBP menerbitkan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia yang kemudiannya dibaiki dan diterbitkan dengan judul Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia ini seterusnya dikemaskinikan sekali lagi pada tahun 1988.

31

Terdapat beberapa perubahan yang ketara dalam sistem ejaan baharu berbanding dengan sistem ejaan lama (Sistem Ejaan Zaba). Antara perubahan tersebut termasuklah: perubahan lima huruf konsonan. Contohnya, chabang dalam ejaan lama dijadikan cabang dalam ejaan baru; dharurat dalam ejaan lama dijadikan darurat dalam ejaan baru; ladzat dalam ejaan lama dijadikan lazat dalam ejaan baru; meshuarat dalam ejaan lama dijadikan mesyuarat dalam ejaan baru serta mithal dalam ejaan lama dijadikan misal dalam ejaan baru. pengguguran atau penggantian penggunaan lambang koma di atas () dan () dengan huruf konsonan Rumi baru seperti alam dijadikan alam. pengenalan tiga huruf konsonan supaya digunakan secara tetap, iaitu q, v dan x: 1. huruf q digunakan untuk melambangkan huruf Jawi qaf bagi mengeja istilah yang berhubung dengan agama Islam seperti Quran, Quraisy dan qari. 2. penggunaan huruf v untuk mengeja kata pinjaman daripada bahasa Inggeris atau bahasa asing lain seperti Deepavali, kavadi dan revolusi. 3. penggunaan huruf x hanya pada pangkal kata istilah khusus yang tidak ditukar menjadi z seperti xenon dan x-ray. pengguguran tanda sempang (-) pada awalan di- dan sa- (kini dieja sebagai se), akhiran -nya, kata depan di- dan ka- (kini dieja sebagai ke), serta partikel -lah, -kah dan -tah. Contohnya di-baca menjadi dibaca serta sa-orang menjadi seorang. pemansuhan penggunaan angka 2 untuk menulis kata ganda dan digantikan dengan penggunaan tanda sempang. Contohnya anak2 menjadi anak-anak. Sistem Ejaan Baru Bahasa Melayu juga menetapkan bahawa: tanda sempang hendaklah digunakan apabila awalan se- diikuti oleh kata nama khas untuk mengeja kata seperti yang berikut ini se-Malaysia dan se-Nusantara. tanda sempang perlu digunakan apabila bentuk terikat (anti-, pan-, pra-, pro- dan sebagainya) diikuti oleh kata nama khas untuk mengeja kata seperti anti-Amerika, panAsia dan pro-Barat. partikel pun yang membawa maksud juga haruslah ditulis terpisah.

Walaubagaimanapun, partikel pun hendaklah digabungkan (ditulis bersambung) Pengekodan Peristilahan Pengekodan istilah dalam pelbagai bidang ilmu amat penting dalam usaha hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Aktiviti-aktiviti pembentukan istilah ini 32

dilakukan oleh Jawatankuasa Istilah (JKI), DBP. Jawatankuasa istilah pertama yang ditubuhkan oleh DBP ialah Jawatankuasa Istilah Kerajaan yang ditubuhkan pada 15 Januari 1957. Pembentukan istilah yang baku (seragam) bermula apabila Majlis Bahasa IndonesiaMalaysia(MBIM) pada tahun 1972 membuat suatu ketetapan untuk

menyediakan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUPIBM). PUPIBM dilaksanakan pada tahun 1975. Hal ini bermakna, sejarah pengekodan peristilahan bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada zaman sebelum 1975 dan zaman selepas 1975, iaitu tahun PUPIBM dilaksanakan. Pada zaman 1957-1960, tiada sebarang pedoman pembentukan istilah pada tempoh ini. Cara pembentukan istilah adalah dengan mempertahankan sifat bahasa Melayu dan dengan yang demikian menolak unsur asing. Contohnya, herbivore dalam bahasa Inggeris maun dalam bahasa Melayu. Kelemahannya ialah pengguna bahasa Melayu sukar untuk mengenali istilah daripada segi sejarah pembentukan atau maknanya. Pada zaman 1960-1975, terdapat tiga pedoman pembentukan istilah pada zaman tersebut, iaitu Pedoman Membentuk istilah-istilah Baharu DBP, (1959), Dasar, Cara dan Pedoman Membentuk Istilah Baharu Bahasa Melayu DBP(1970) serta Pedoman Pembentukan Istilah Universiti Malaya (1971) yang disusun oleh Asmah Haji Omar. Pada zaman selepas 1975 pula, Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu (PUBIBM) yang ditetapkan oleh Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) mula dilaksanakan pada tahun 1975. Pembentukan istilah berjalan dengan pantas dan bersifat akademik kerana bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa penghantar di maktabmaktab dan universiti-universiti. Selain itu, wujudnya kerjasama yang erat antara Malaysia dan Indonesia dalam aspek kebahasaan juga mengakibatkan pembentukan istilah berjalan dengan cepat dan bersifat akademik. Berdasarkan Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, terdapat tujuh langkah dalam proses pembentukan istilah iaitu: I. penggunaan kata dalam bahasa Melayu yang lazim dipakai, misalnya garis pusat dan daya pengeluaran II. penggunaan kata dalam bahasa Melayu yang sudah tidak lazim dipakai, misalnya cerakin dan hablur

33

III.

penggunaan kata bahasa serumpun ataupun dialek Melayu yang lazim dipakai seperti dermaga (bahasa Jawa) dan labur (dialek Negeri Sembilan)

IV.

penggunaan kata bahasa serumpun atau dialek yang sudah tidak lazim dipakai seperti riam (dialek Johor) dan nyeri (bahasa Sunda)

V. VI. VII.

penggunaan kata dalam bahasa Inggeris, misalnya struktur dan atom penggunaan kata bahasa asing yang lain, misalnya esprit de corps dan ad hoc memilih istilah yang terbaik Kriteria yang terdapat dalam PUPIBM ini memperlihatkan bahawa istilah yang

dibentuk perlu mengutamakan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa yang serumpun dengannya. Peminjaman kosa kata asing dilakukan sebagai pilihan terakhir. Proses pembentukan istilah dilakukan melalui beberapa kaedah, iaitu melalui proses pinjam terjemah dan proses pinjaman. Pinjam terjemah dilakukan dengan lima cara, iaitu: o o o o o terjemah langsung, misalnya resistance dijadikan rintangan penggabungan dua kata umum, misalnya design dijadikan reka bentuk penciptaan kata baharu, misalnya office dijadikan pejabat peluasan makna, misalnya biji dijadikan bijiran pembentukan kata ganda separa, misalnya radius dijadikan jejari

Proses pinjaman pula dilakukan dalam dua bentuk, iaitu: o pengambilan dengan penyesuaian ejaan, misalnya geography dijadikan geografi o pengambilan tanpa perubahan ejaan, misalnya atom dijadikan atom Pengekodan Tatabahasa Pengekodan tatabahasa membolehkan pengguna bahasa menggunakan tatabahasa yang betul dan seragam. Sejarah pengekodan tatabahasa bermula dengan para sarjana Barat yang mengkaji dan menulis tatabahasa Melayu. Bahan yang menjadi kajian mereka ialah khazanah kesusasteraan Melayu lama. Pengekodan tatabahasa Melayu giat dilakukan kerana pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta perkembangan ilmu pengetahuan moden yang menuntut keupayaan bahasa Melayu mengungkapkan pelbagai konsep ilmu moden, bidang baru dan pemikiran yang tinggi. Selepas merdeka, pengekodan tatabahasa dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang bertanggungjawab membina dan mengembangkan penggunaan bahasa Melayu. Pengkajiannya mencakup bidang morfologi dan sintaksis supaya selaras dengan 34

pelbagai bidang ilmu pengetahuan moden. Buku tatabahasa Melayu yang menjadi pegangan umum sekarang ialah Tatabahasa Dewan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasil daripada pengekodan tatabahasa Melayu, bidang morfologi dan sintaksis bahasa Melayu telah mengalami perkembangan yang pesat. Dalam bidang morfologi, perubahan yang ketara berlaku dalam pertambahan kosa kata, pengimbuhan dan struktur kata. Dari segi kosa kata, beberapa cara pembentukan kata baru telah diketengahkan o penggabungan suku kata, contohnya makan daging dijadikan maging o penggandaan penuh, contohnya undang-undang dan pundi-pundi o penggandaan separa, contohnya sesungut dan gegendang o penggabungan kata, misalnya garis pusat dan kuasa kuda o proses transkripsi, misalnya teknologi dan psikologi Daripada segi pengimbuhan, imbuhan pinjaman daripada bahasa asing (Sanskrit, Arab dan Inggeris) telah diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Yang berikut ini adalah imbuhan pinjaman yang dimaksudkan itu: Daripada segi struktur kata, proses pengambilan perkataan daripada bahasa-bahasa asing menyebabkan bahasa Melayu menerima pola-pola yang mengandung gugus konsonan. Dalam bidang sintaksis, terdapat cara-cara tertentu untuk membina ayat. Misalnya, bagi membina ayat pasif dengan ganti nama diri orang pertama dan kedua, kedua-dua ganti nama itu perlu hadir di hadapan kata kerja pasif seperti yang berikut ini: Surat itu saya tulis. (ayat pasif dengan ganti nama diri pertama) PEMUPUKAN Pemupukan merujuk kepada usaha yang dilakukan untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan saling menterjemah dengan beberapa bahasa moden. Aktiviti pemupukan bahasa melibatkan penciptaan istilah, khususnya istilah-istilah dalam bidang ilmu tertentu seperti sains, perubatan, undang-undang, ekonomi, komputer, teknologi maklumat dan sebagai. Melalui pemupukan, bahasa Melayu berupaya memperkatakan pelbagai bidang ilmu dalam disiplin-disiplin yang berbeza. Dengan ini, jumlah laras bahasa Melayu akan bertambah, sekali gus membantu bahasa Melayu mencapai status bahasa moden. 35

5.0 PENUTUP Secara keseluruhannya, bahasa Melayu telah diggunakan di kepulauan Melayu

sejak lebih 1000 tahun yang lalu. Rekod awal yang menunjukkan kewujudan bahasa Melayu kuno adalah pada batu bersurat yang bertarikh 683 Masihi. Selain itu, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei. Menurut statistik, penutur bahasa Melayu di dunia ini dianggarkan berjumlah lebih 300 juta orang. Lebih-lebih lagi, bahasa Melayu juga diajarkan sebagai satu kursus di universitiuniversiti Barat. Di Malaysia, bahasa Melayu telah mengalami perubahan nama beberapa kali dan sejak akhir-akhir ini, bahasa kebangsaan ini dinamakan balik sebagai bahasa Malaysia. Pada tahun 1968, bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi Malaysia. Oleh sebab penutur bahasa Melayu terdapat di kesemua negara di Asia Tenggara, maka pada tahun 2004, DBP dan MABBIM mencadangkan bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi bagi negaranegara anggota ASEAN. Dari segi perkembangan bahasa Melayu sejak zaman awal penemuannya hingga kini, ahli-ahli bahasa telah membahagikannya kepada tiga tahap, iaitu bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden. Kedatangan agama Hindu, Islam dan penjajah Eropah di Asia Tenggara telah menyebabkan perbezaan yang ketara antara ketiga-tiga peringkat perkembangan bahasa Melayu ini. Terdapat beberapa pihak yang berperanan dalam perkembangan bahasa Melayu. Antaranya ialah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) yang tujuan pertubuhannya mencapai matlamat seperti memajukan bahasa kebangasaan dan meluaskan pemahamannya sebagai bahasa rasmi negara. Seterusnya, matlamat DBP adalah untuk menyelaras sisitem ejaan sebutan dan mengubah istilah bagi memenuhi keperluan dari masa ke semasa di samping penerbitan buku, risalah dan lain-lain bentuk bahan bacaan yang boleh memajukan bahaasa juga objektif DBP. Institusi-institusi bahasa Melayu moden zaman pramerdeka seperti Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBmPB) juga melibatkan diri dalam usaha ini. Institusi yang merupakan badan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang pertama ini telah menukar namanya kepada Pakatan Bahasa Melayu Persatuan Buku Diraja Johor

36

(PBmPBD) pada tahun 1935. Tujuan insitusi ini adalah untuk mewujudkan perpustakaan, mincipta perkataan baru dan mengadakan ceramah. Penubuhan Persaudaraan Sahabat Pena Malaysia (PASPAM) turut terlibat dalam perkembangan bahasa Melayu. Matlamatnya adalah untuk mengeratkan hubungan persaudaraan sesama ahli, menggalakkan penulisan dan pembacaan dalam bahasa Melayu serta mendirikan perpustakaan. Lebih-lebih lagi, Pejabat Karang Mengarang yang ditubuhkan pada tahun 1924 di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) juga bertujuan untuk mengeluarkan buku-buku sekolah Melayu, menerbit jurnal bergambar, mengeluarkan bahan bacaan orang Melayu dan sebagainya. Akhir sekali ialah Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50). Angkatan ini ditubuhkan di Singapura dan matlamatnya adalah untuk mengadakan pembaharuan dalam bidang penulisan, mengembangkan bahasa Melayu dan kesusasterawan Melayu. Selain daripada pihak-pihak diatas, terdapat juga tokoh-tokoh bahasa Melayu Moden zaman Pramerdeka yang menyumbang sumbangan dalam perkembangan bahasa Melayu. Contohnya, Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, Raja Ali Haji dan Zainal Abidin bin Ahmad. Bahasa Melayu menghadapi masa hadapan yang cerah. Kedudukannya sebagai bahasa utama negara Malaysia sudah terjamin, dari segi penggunaan yang luas dan perakuan oleh rakyat Malaysia. Namun, status penggunaan bahasa Melayu perlu ditingkatkan terutamanya dari segi unsur-unsur keindahan. Justeru, demi menjaga kedaulatannya, kita harus berusaha mengindahkannya, mewujudkan unsur-unsur yang menjadikannya lebih murni, supaya apa-apa yang diperkatakannya bukan sahaja tepat tetapi juga dalam bentuk yang menarik dan menyentuh cita rasa yang tinggi. Perkara tersebut merupakan cabaran yang harus diterima oleh rakyat Malaysia kelak.

37

You might also like