You are on page 1of 2

Laporan Iklim Sekolah Kebangsaan Convent Muar, Johor.

Sekolah Kebangsaan Convent Muar adalah sekolah berprestasi tinggi, justeru sekolah ini cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum. Terdapat pelbagai program yang dianjurkan untuk meningkatkan akademik murid-murid. Antaranya ialah kelas tambahan untuk murid tahap 2 pada waktu malam, iaitu pukul 8 hingga pukul 9. Selain itu, program Linus turut mengadakan aktiviti yang dikenali sebagai adik dan kakak angkat. Aktiviti ini bertujuan untuk membantu murid-murid yang lemah dalam matapelajaran tertentu. Murid yang berada di tahap 2 yang mahir dalam matapelajaran tertentu akan mengajar murid yang lemah. Program pencarian bakat diadakan pada setiap tahun untuk mencari muridmurid yang berkebolehan dalam Choral Speaking. Tambahan pula, sekolah ini memang sentiasa menjuarai pertandingan Choral Speaking peringkat zon. Selain itu, program pencarian bakat juga meliputi program Reading & Writing Skills, Young Genius bagi murid tahap 1, Bengkel Tarian Etnik, Boling, Badan Beruniform, Karnival Bahasa Malaysia, Bengkel Hoki dan banyak lagi. Young Genius bertujuan untuk mengenalpasti pelbagai kecerdasan murid-murid yang berada di tahun 1, tahun 2 dan tahun 3. Pelaksanaan program bagi bidang kokurikulum Sk. Convent Muar

sememangnya tidak dapat dinafikan kegemilangannya. Sekolah ini pernah menyertai Lantai Cilik RTM sehingga peringkat suku akhir iaitu sebuah pertandingan tarian. Di samping itu, sekolah ini turut menghantar murid-muridnya untuk menyertai pertandingan peringkat kebangsaan seperti taekwando. Setiap kelas turut mempunyai tong kitar semula dan secara tidak langsung, murid-murid dapat menanamkan semangat cintakan alam sekitar kerana mereka dididik untuk mengitar semula bahan-bahan terbuang seperti plastik, tin dan kertas. Manakala, susunan murid di dalam kelas juga sistematik dan sesuai kerana meja murid disusun satu-satu. Oleh itu, guru dapat mengelakkan murid daripada bercerita dan membuat bising di samping memberi perhatian kepada setiap murid memandangkan purata bilangan murid dalam kelas ialah 20 orang. Di samping itu, sekolah ini mengalami kekangan kawasan sekolah yang terhad kerana sekolah menengah dan sekolah rendah berkongsi tapak yang sama.

Justeru, sekolah ini mempunyai dua sesi persekolahan, sesi pagi untuk murid tahap 2 dan sesi petang untuk murid tahap 1, memandangkan kelas tidak mencukupi jika hanya satu sesi persekolahan sahaja. Walaupun sekolah ini mempunyai kawasan yang terhad, namun melalui pemerhatian yang dilakukan, sekolah ini memanfaatkan setiap kawasan yang ada. Balkoni kelas turut digunakan untuk mempamerkan hasil kerja murid, pencapaian murid serta info-info yang berguna untuk murid-murid. Hubungan antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan warga sekolah amat rapat. Hal ini adalah disebabkan pihak sekolah menitikberatkan peranan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak mereka kerana masa murid adalah lebih lama di rumah berbanding di sekolah. Murid hanya berada di sekolah bermula pukul 6.45 pagi sehingga pukul 1.00 petang. Seterusnya, murid berada di rumah bersama-sama dengan ibu bapa. Oleh itu, beberapa program yang dianjurkan oleh PIBG dengan warga sekolah ialah Jerayawara Ibu Bapa, Program Permata Hati, Program Motivasi Murid Tahun 6, Program Sarana Ibu Bapa dan PIBG serta Program Jom Sarapan. Melalui program ini, hubungan silaturahim antara ibu bapa, guru, murid serta warga sekolah amnya dapat dieratkan lagi. Secara keseluruhannya, sosioekonomi murid di sekolah ini rata-ratanya berkemampuan serta golongan ibu bapa yang amat mementingkan pendidikan anak-anak mereka. Tuntasnya, guru besar sekolah ini merupakan seorang ketua yang berwibawa, berdedikasi serta bermatlamat tinggi bersama-sama dengan guru-guru yang sangat tekun dan bertanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing merupakan faktor kejayaan Sk. Convent Muar, Johor sebagai sekolah berprestasi tinggi.

You might also like