You are on page 1of 14

ULASAN DAN KEUNIKAN HARI GAWAI ANTU

Gawai merupakan antara perayaan yang di sambut oleh masyarakat Iban di Sarawak.
Terdapat pelbagai jenis Gawai yang di sambut oleh masyarakat Iban. Antaranya ialah
Gawai Dayak, Gawai Nangga Langit, Gawai Tangga Hari dan Gawai Mangkung Tiang.
Sambutan hari Gawai yang pelbagai sentiasa di sambut oleh masyarakat Iban sama ada
di rumah panjang tradisional ataupun rumah panjang moden zaman sekarang. Jenisjenis hari-hari gawai yang lain termasuk Gawai Kenyalang, Gawai Batu (permulaan
musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau
mimpi yang tidak baik), Gawai Besimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan
Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia).
Antara yang paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. Bagi
masyarakat Iban, perayaan Gawai merupakan lambang ataupun identiti kaum itu sendiri.
Sambutan Hari Gawai bukan sahaja sekadar untuk berhibur malah mempunyai
maknanya sendiri. Menurut penceritaan secara lisan oleh generasi terdahulu, sambutan
Gawai merupakan suruhan Petara ( Tuhan ) masyarakat Iban yang tinggal di atas
kayangan iaitu Raja Petara, Sengalang Burung, Keling Gerasi Nading, Bungai Nuing
dan banyak lagi.
Sambutan Hari Gawai merupakan medium untuk masyarakat Iban merapatkan
lagi hubungan yang telah ada dan merapatkan lagi hubungan bersama kaum lain yang
turut berada di dalam lingkungan kehidupan masyarakat Iban. Semasa sambutan hari
gawai, semua kaum yang hadir akan dapat menyaksikan keunikan adat, sikap
menghormati tetamu, kelainan makanan dan gaya hidup rumah panjang yang amat
berbeza dari kaum lain.
Antara sambutan yang sering kali diadakan oleh masyarakat Iban ialah Gawai
Antu. Gawai Antu merupakan keramaian yang diadakan untuk roh atau orang yang
sudah meninggal dunia. Sambutan ini diadakan untuk memperingati si mati dan simbolik
kepada berakhirnya hubungan di antara yang hidup dan yang mati. Hubungan sama ada
dari segi fizikal ataupun mental seharusnya diputuskan tetapi ianya tidak bermakna
bahawa yang masih meneruskan kehidupan harus melupakan terus si mati. Ia hanya

adat yang wajib dijalankan untuk meneruskan kelangsungan hidup bagi mereka yang
ditinggalkan oleh si mati.
Sambutan Hari Gawai Antu memerlukan satu tempoh masa yang lama untuk
diadakan dan untuk di sambut. Hal ini kerana sambutan Gawai Antu memerlukan
persiapan yang sangat rapi dan tidak boleh di ambil ringan oleh masyarakat Iban.
Kerjasama yang erat diperlukan dalam kalangan penduduk rumah panjang. Banyak
persediaan yang perlu dilaksanakan sebelum sambutan ini diadakan. Sebagai contoh,
jumlah makanan yang perlu dihidangkan, jumlah tetamu yang akan di undang, dan kos
yang perlu di tanggung sepanjang keramaian ini diadakan.
Masa sambutan ini diadakan juga perlu di ambil kira, misalnya semasa musim
cuti sekolah agar semua saudara-mara dapat menghadiri upacara keramaian tersebut.
Sebelum sambutan ini diadakan, Ketua Rumah Panjang ataupun di gelar sebagai Tuai
Rumah dalam masyarakat Iban akan mengumpulkan semua penduduk rumah panjang
dan mengadakan mesyuarat. Semasa perjumpaan ini, semua pihak akan berbincang
mengenai sambutan gawai yang bakal diadakan. Antara perkara yang dibangkitkan ialah
tempoh sambutan hari gawai diadakan, tetamu yang bakal di undang dan atur cara
sambutan tersebut. Semasa mesyuarat ini diadakan, Tuai Rumah akan meminta
pendapat daripada anak buahnya sekaligus memutuskan segala perkara yang
dibangkitkan pada hari tersebut.
Seterusnya, selepas keputusan dipersetujui sebulat suara oleh penduduk rumah
panjang, persediaan rapi akan mula diadakan. Biasanya, persediaan sambutan hari
Gawai Antu memerlukan masa yang lama sehingga memakan masa bertahun-tahun.
Rumah panjang perlu diperbaiki agar semua tetamu berasa selesa. Kemudahan
pengangkutan juga dititikberatkan sekiranya rumah panjang tersebut sukar dihubungi
melalui jalan darat. Selain itu, tempat memasak makanan yang luas juga perlu di ambil
kira. Bukan itu sahaja, air tradisional masyarakat Iban iaitu ai tuak ataupun air tapai
perlu disediakan lebih awal sama ada enam bulan sebelum sambutan gawai atau tiga
bulan sebelumnya. Penyediaan air tapai merupakan suatu kemestian bagi setiap
masyarakat Iban tidak kira apa jua jenis perayaan.

Sebelum upacara utama sambutan Gawai Antu diadakan, beberapa adat


ataupun upacara ritual harus dilakukan. Semasa membuat persediaan, semua
penduduk rumah panjang akan berada dalam keadaan yang sibuk namun keadaannya
tetap meriah. Antara perkara yang wajib dilaksanakan ialah, Gawai Beban Ramu.
Sambutan Gawai Beban Ramu ialah adat ritual untuk membina sebuah tempat
persinggahan buat para tetamu yang hadir. Adat Beban Ramu akan diikuti dengan
upacara ngeretok iaitu atur cara mengambil kayu-kayan dari hutan untuk membina
sungkup. Sungkup akan di bina di bahagian hadapan rumah panjang yang di panggil
sebagai tanju dalam Bahasa Iban. Selepas selesai upacara ngeretok, setiap keluarga
yang menyambut perayaan gawai ini akan memperbaik ataupun membina sebuah
panggau ataupun tempat khas buat para tetamu.
Setelah selesai semua persiapan yang harus dilakukan mengikut adat, semua
penduduk rumah panjang akan mengambil peluang yang ada untuk menghias bilik, ruai,
tanju dan halaman rumah mengikut cadangan yang telah diperstujui bersama. Biasanya,
tugas menghias akan diserahkan kepada tenaga muda agar tugas yang ada dapat
diselesaikan dengan cepat. Hiasan yang biasa di lihat semasa sambutan Gawai Antu
ialah bunga hiasan yang di buat sendiri oleh kaum wanita rumah panjang tersebut.
Manakala di sepanjang jalan memasuki kawasan rumah panjang akan dihiasi
menggunakan panji-panji yang berwarna-warni dan juga bendera negara Malaysia serta
bendera negeri Sarawak.
Keadaan rumah panjang yang ,meriah dan juga berwarna-warni akan dapat
menggambarkan bahawa terdapat keramaian yang bakal disambut oleh penduduk
rumah tersebut. Menjelang hari sambutan Gawai Antu, semua penduduk rumah panjang
dan juga saudara-mara yang hadir akan berada dalam keadaan yang sibuk. Para wanita
akan memulakan tugas memasak dan menyediakan makanan untuk sambutan
kemuncak Gawai Antu. Antara hidangan yang menjadi kemestian semasa sambutan
gawai ialah beras pulut yang di masak menggunakan buluh. Manakala para lelaki pula
akan di kerah untuk menyediakan dan mencari makanan yang harus dihidangkan buat
para tetamu. Tugas mencari kayu api untuk keperluan memasak juga diserahkan
kepada tenaga lelaki. Kemeriahan sambutan akan mula terasa beberapa hari sebelum
sambutan kemuncak disambut pada tarikh yang telah ditetapkan.

Seterusnya, sambutan Gawai Antu yang sebenarnya akan di sambut pada hari
yang berikutnya. Pada pagi sambutan perayaan bermula, kesibukan akan mula terasa
apabila kaum wanita dan kaum lelaki mula menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Wanita akan mula memasak hidangan yang akan dihidangkan pada petang dan malam
berikutnya. Sesetengahnya pula akan mendirikan ranyai. Keseronokan yang dialami
amat sukar dirasai dan jarang sekali dialami. Tiada yang lebih menggembirakan apabila
dapat meluangkan masa bersama saudara-mara dan bergelak ketawa bersama-sama.
Ikatan kekeluargaan juga akansemakin bertambah rapat dan semangat kerjasama akan
dapat di semai pada saat ini. Manakala kaum lelaki pula akan akan menjalankan tugas
mereka di luar rumah. Misalnya menjaga dan memasak makanan yang perlu
menggunakan buluh seperti manuk pansuh (ayam di masak di dalam buluh) dan juga
menyediakan tempat untuk tetamu yang ditetapkan untuk menjaga ranyai antu. Tanju
yang di bina perlulah kukuh dan tidak boleh runtuh sepanjang perayaan diadakan.
Sekiranya tanju yang di bina runtuh semasa sambutan gawai diadakan, maka perkara
tersebut di anggap membawa sial. Maka persiapan yang rapi perlulah diadakan dengan
sempurna perlu disiapkan agar tidak membawa malu kepada keluarga.
Di sebalik semua kemeriahan yang dialami, roh si mati juga perlu dihormati.
Setiap perkara yang dilakukan perlulah menghormati si mati dan tidak melampaui batas.
Pada hari sebelum sambutan akan diadakan upacara sabung ayam. Upacara ini
diadakan bertujuan untuk memutuskan terus hubungan di antara si mati dengan yang
masih hidup dan menandakan tiada lagi kaitan sama ada dari segi hubungan fizikal dan
mental dengan si mati. Namun ini tidak bermakna si mati akan terus dilupakan oleh ahli
keluarga yang masih meneruskan kehidupan. Hal ini hanyalah sebagai simbolik dan
adat kemestian yang harus dilakukan oleh setiap keluarga si mati. Sambutan kemuncak
akan bermula apabila tetamu mula tiba dan pelbagai kerenah serta ragam dapat di lihat
pada ketika ini. Tetamu yang di undang biasanya tetamu yang tinggal berhampiran
dengan rumah panjang dan ada juga saudara-mara yang datang dari jauh semata-mata
untuk menghadiri upacara keramaian Gawai Antu.

Semasa ketibaan para tetamu, beberapa das tembakan akan dilepaskan ke arah
langit dan pukulan tabuh akan mula berkumandang. Tetamu yang tiba akan di sambut
dengan ai tuak dan juga beberapa jenis minuman yang beralkohol di hadapan rumah
panjang. Keadaan ini akan berterusan hingga ke penghujung rumah panjang apabila
semua anggota rumah panjang tersebut akan menyambut kedatangan para tetamu
dengan ai tuak. Adat sambutan ini bagaikan tol yang harus dilalui oleh para tetamu
untuk masuk ke rumah panjang tersebut. Kemeriahan menyambut kehadiran para
tetamu ini jarang sekali di lihat diamalkan oleh kaum ataupun etnik lain. Inilah di antara
keunikan sambutan upacara tersebut.
Setelah semua tetamu tiba, minuman akan mula dihidangkan. Minuman manis
seperti air berkarbonat akan dihidangkan terlebih dahulu dan bukan minuman beralkohol
yang dihidangkan. Para tetamu wanita kebanyakannya akan berada di dalam bilik dan
kaum lelaki akan berada di ruai. Setelah air minuman dihidangkan, makanan akan
dihidangkan. Pada ketika ini pelbagai jenis makanan akan dihidangkan untuk di jamu
oleh para tetamu. Kepelbagaian jenis makanan melambangkan kebaikan sesebuah
rumah panjang tersebut dan ia akan menjadi kenangan dan sebutan tetamu yang hadir.
Setelah selesai menjamu selera, sambutan Gawai Antu akan bermula secara
rasminya apabila Tuai Rumah mengalu-alukan kehadiran para tetamu. Setelah Tuai
Rumah mengucapkan kata alu-aluan leka geliga akan didengarkan kepada para tetamu.
Setelah leka geliga diperdengarkan,semua para hadirin yang ada akan menumpukan
perhatian kepada lemambang yang akan nimang jalong. Lemambang bagaikan seorang
tok dalang yang akan menghiburkan semua tetamu yang hadir pada malam tersebut.
Nimang jalong ataupun mantera yang dilagukan oleh lemambang. Lemambang akan
mengelilingi rumah panjang tersebut dan akan mengalunkan mantera yang berkaitan.
Aluan mantera mempunyai maksudnya yang tersendiri dan tidak boleh dialunkan
sekiranya lemambang tidak mempunyai kemahiran yang betul-betul diyakini.
Selain daripada lemambang yang nimang jalong, akan ada kaum wanita yang
berpakaian tradisional lengkap untuk mengiringi kumpulan lemambang tersebut untuk
mengelilingi rumah panjang tersebut. Oleh yang demikian, setiap keluarga di rumah
panjang yang menyambut perayaan ini akan menghantar seorang wakil anak
perempuan atau pun cucu perempuan yang masih lagi belum bersuami atau lebih tepat

lagi masih suci. Kaum wanita yang berpakaian tradisional lengkap berperanan untuk
memanggil indu antu ataupun dewi agar majlis yang diadakan mempunyai keberkatan.
Kaum wanita yang mengenakan ngepan hanya akan menyertai para lemambang
menjelang waktu dini hari. Keunikan upacara sebeginilah yang semakin sukar di lihat
pada zaman sekarang kerana ramai masyarakat Iban yang sudah memeluk agama
Kristian. Upacara sebegini hanya akan dapat disaksikan sekiranya penduduk rumah
panjang tersebut masih lagi mengekalkan adat lama dan berpegang kepada
kepercayaan asal nenek moyang.
Lemambang akan mengalunkan mantera sepanjang malam hingga menjelang
subuh. Setiap bait mantera yang dialunkan akan memanggil dewa agar air jalong yang
bakal dihidangkan akan diberkati. Ai jalong merupakan penghormatan kepada si mati.
Orang yang dibenarkan menghirup ai jalong merupakan kaum lelaki yang berani dan
bersemangat waja seperti askar yang pernah menumpaskan musuh semasa
menghadapi peperangan. Biasanya, lelaki berani yang menghirup ai jalong merupakan
warga emas dan pernah menewaskan musuh pada suatu ketika dahulu. Sekiranya lelaki
yang di pilih untuk menghirup ai jalong tidak pernah bedengah atau menghadapi
cabaran seperti peperangan, orang tersebut akan terkena sumpahan orang yang sudah
meninggal dan mampu menyebabkan si lelaki yang minum air tersebut mendapat
penyakit hingga meninggal dunia.
Upacara meminum ai jalong akan diadakan pada waktu dini hari misalnya pada
pukul tiga pagi. Upacara ini di gelar sebagai upacara nuntungke jalong. Pada ketika
inilah lelaki berani yang telah di pilih akan minum ai jalong yang telah disediakan. Kaum
wanita yang akan menghidangkan ai jalong tersebut kepada lelaki yang telah di pilih.
Upacara minum ai jalong ini merupakan acara kemuncak bagi upacara sambutan Gawai
Antu. Setelah selesai upacara ngirup ai jalong maka selesailah sebahagian daripada
upacara yang perlu diadakan oleh masyarakat Iban di rumah panjang semasa sambutan
Gawai Antu.
Setelah selesai upacara nimang jalong, adat muai rugan pula akan diadakan.
Adat ini bertujuan untuk untuk memusnahkan bakul yang telah di anyam oleh kaum
wanita pada awal permulaan Gawai Antu. Bakul ini mengandungi beberapa jenis
hidangan atau santapan untuk dipersembahkan kepada roh si mati. Antara santapan

yang menjadi kemestian ialah nasi pulut hitam, nasi pulut perang, nasi pulut biasa, salai
ikan keli dan banyak lagi. Ikan di anggap sebagai antara makanan yang paling digemari
oleh si mati. Hanya lelaki yang sudah berusia dibenarkan untuk muai rugan kerana
dikhuatiri jika lelaki muda yang muai rugan lelaki tersebut akan mendapat musibah
ataupun penyakit. Hal ini kerana lelaki muda dianggap tidak mempunyai kekuatan
tenaga dalaman atau tidak mempunyai semangat spiritual yang tinggi.
Seterusnya, upacara bebungkar ruang akan diadakan. Upacara ini merupakan
simbolik kepada berakhirnya adat nimang jalong dan muai rugan. Semasa upacara ini,
tetamu akan dihidangkan daging dan ai tuak yang dikhaskan untuk adat bebungkar
ruang. Nama lain bagi upacara ini ialah makai dagin yang bermaksud makan daging.
Apabila upacara muai rugan ini berakhir, ianya akan disusuli oleh upacara ngambi
tebalu. Bagi masyarakat lain selain daripada bangsa Iban, upacara begini mungkin tidak
pernah diadakan. Upacara ngambi tebalu menjadi simbol berakhirnya hubungan antara
balu dan suami atau isteri mereka yang sudah meninggal. Ini bermakna balu si mati
boleh membina kehidupan baru bersama orang lain tanpa perlu merasa bersalah dan
berdosa terhadap suami atau isteri mereka yang sudah meninggal dunia. Oleh itu,
pengakhiran janji suci dan abadi yang disebut semasa hayat si mati masih ada boleh
dimungkiri.
Selesai upacara ngambi tebalu adalah upacara berangap. Hidangan terakhir
buat para tetamu akan dihidangkan. Biasanya, upacara ini hanya akan mengambil
tempat pada waktu awal pagi. Setelah selesai upacara menghidangkan makanan, para
tetamu akan beransur pulang dan hanya saudara-mara yang terdekat sahaja yang akan
tinggal untuk membantu ahli keluarga si mati untuk upacara seterusnya. Upacara
terakhir yang perlu dilaksanakan semasa sambutan Gawai Antu ialah nganjung
sungkup. Sungkup merupakan ukiran kayu yang di ukir indah oleh saudara terdekat si
mati. Biasanya saiz sungkup ialah 6 kaki panjang dan 4 kaki lebar. Sungkup akan di
bawa ke kubur si mati dan dipakukan di atas rumah yang telah di bina khas untuk si
mati. Semasa nganjung sungkup pelbagai makanan akan di bungkus untuk si mati dan
akan dihidangkan kepada si mati semasa berada di kubur.

Setelah selesai upacara nganjung sungkup, maka berakhirlah sambutan Gawai


Antu. Apabila berakhirnya perayaan ini, semua saudara-mara yang dekat mahupun jauh
akan membawa haluan masing-masing dan akan meneruskan kehidupan mereka
seperti biasa. Sambutan yang seumpamanya hanya akan dapat dirasai setelah berbelas
atau berpuluh tahun kemudian. Pastinya upacara ini akan membawa seribu makna dan
kenangan yang tak mungkin akan dapat dilupakan oleh setiap tetamu yang datang
terutamanya saudara-mara yang jauh dengan ahli keluarga. Adalah sukar untuk
penduduk rumah panjang untuk bertemu dengan saudara-mara yang jauh setelah
sambutan Gawai Antu selesai.
Antara keunikan upacara ini ialah ianya mampu memaparkan kebudayaan asal
masyarakat Iban dan betapa indahnya adat asal yang dimiliki oleh masyarakat Iban.
Jarang ada kaum lain yang mrempunyai begitu banyak sambutan perayaan dan adat
yang begitu kompleks seperti masyarakat Iban. Upacara dan perayaan yang dimiliki oleh
masyarakat Iban bukan sahaja jarang ditemui di negara lain, malah ianya mampu
merapatkan lagi hubungan di antara tetamu yang hadir dan saudara-mara yang datang.
Tiada yang lebih mengujakan apabila dapat bersua dengan saudara-mara atau rakanrakan yang telah lama terpisah dan jarang sekali bertemu muka.
Sesungguhnya, setiap adat yang diwarisi dari zaman nenek moyang harus
dikekalkan dan dipelihara agar ianya tidak pupus di telan zaman. Generasi zaman
sekarang juga seharusnyalebih cekal dan bersemangat untuk meneruskan kebudayaan
warisan bangsa yang sukar didapati dan jarang di lihat di mana-mana tempat melainkan
negara Malaysia dan negeri Sarawak. Jangan hanya mengagung-agungkan budaya luar
tetapi budaya sendiri dianaktirikan. Hargai apa yang ada dan bersyukur atas segala
nikmat yang telah diperolehi. Tuntasnya, apa yang kita miliki sekarang adalah hasil
usaha nenek moyang kita sejak berabad yang lalu dan ia sudah menjadi tanggungjawab
kita untuk memelihara apa yang sudah kita miliki.

KESESUAIAN SAMBUTAN HARI GAWAI ANTU DIPERTAHANKAN


Memang sudah menjadi lumrah bahawa berlakunya perubahan terhadap kebudayaan
sesuatu bangsa dan kaum kerana dipengaruhi oleh persekitaran yang lebih dominan
dan mudah diterima ramai. Begitu juga dengan kaum Iban yang mengalami perubahan
budaya yang sangat ketara apatah lagi dipengaruhi oleh arus pemodenan yang berlaku
di sekeliling sekitar 1980-an dan juga ada sesetengah budaya tersebut tidak sinonim lagi
diamalkan pada masa kini.
Dapat dilihat dengan begitu jelas kebudayaan kaum Iban yang harus menjadi
warisan adalah ia tidak tahu dan bersesuaian dengan peredaran zaman telah
dipertahankan. Perubahan kebudayaan ini juga turut mempengaruhi cara kehidupan
masyarakat Iban secara keseluruhannya. Kebanyakan mereka sudah meninggalkan
amalan hidup yang lama dan memulakan diari kehidupan yang baru. Perkembangan ini
secara jelasnya membawa kepada kelahiran masyarakat Iban yang baru.
Malaysia sudah mencapai era pemodenan maka ia secara tidak langsung
membawa sama masyarakat Iban mengalami perubahan untuk terus relevan kekal
sebagai anggota masyarakat yang dinamik. Ini juga bersangkutan dengan keperluan
ekonomi yang sudah berubah di mana kegiatan ekonomi tradisional yang sudah
ditinggalkan kerana tidak sesuai dengan peredaran zaman. Budaya hidup yang tidak
konsisten menyebabkan sebilangan besar masyarakat Iban terutamanya golongan belia
juga memilih gaya hidup moden. Perkembangan teknologi maklumat memainkan
peranannya apabila media cetak dan elektronik mula menjadi pilihan masyarakat untuk
mengikuti keadaan semasa. Faktor penolak kepada isu ini ialah budaya baru yang
dominan mengambil alih tempat kebudayaan tradisional yang dilihat tidak begitu popular
bagi masyarakat Iban. Tambahan pula golongan muda lebih senang menerima budaya
baru memandangkan mereka mula berhijrah ke kawasan bandar dan juga merantau ke
tempat orang. Dalam keadaan yang sedemikian juga, pilihan haruslah ditentukan sama
ada memilih corak hidup lama atau melih corak kehidupan baru.

Seiring dengan perubahan zaman yang menganjak ke arah ke pemodenan,


maka cara dan pendekatan yang dilakukan oleh kaum Iban dalam mengadakan
perayaan juga turut berubah. Banyak perkara yang perlu diambil kira dalam perubahan
yang dilakukan oleh masyarakat Iban ini. Dalam perkara ini, perubahan yang dilakukan
telah mengubah landskap budaya itu sendiri kerana keaslian budaya tradisi telah
berasmilasi dengan budaya baru yang datang menyerap ke dalam kehidupan
masyarakat Iban. Dalam perayaan dan festival tradisional yang dilangsungkan, sudah
tertera dengan jelas bagaimana bentuk yang dimaksudkan tersebut.
Namun yang demikian, ada juga segelintir daripada kumpulan masyarakat Iban
yang sedaya upaya mempertahankan keaslian budaya tersebut khususnya sebahagian
besar masyarakat Iban pedalaman dan tidak kurang juga orang Iban yang
berpendidikan juga masih memegang kuat adat dan mengadakan festival dan perayaan
mengikut adat tradisi kerana seperti yang sudah dijelaskan mereka masih patuh kepada
pemikiran bahawa kaum Iban ini masih berpegang kuat kepada perkara yang spiritual
dan juga roh alam ghaib sentiasa bersama mereka. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa kemasukan budaya baru dan juga penyerapan agama luar khususnya Kristian
dan juga sebilangan kecil yang menganut Islam telah mengikis tatacara yang diamalkan
dalam menyambut perayaan dalam masyarakat Iban.
Gawai besar yang diamalkan oleh masyarakat Iban seperti Gawai Antu telah
mengalami banyak perubahan terutamanya dalam ritual dan juga pengisiannya. Dalam
era pemodenan yang telah mula bercambah di Sarawak, kaum Iban lebih senang
merayakannya dengan cara yang baru dengan alasan tidak bercanggah dengan ajaran
Kristian.

Manakala

merayakannya

yang

kerana

ia

sudah
adalah

menganut
tabu

Islam

dalam

sebilangan

pegangan

kecilnya

mereka.

tidak

Upacara

seperti mengap (nyanyian ritual), ngirup jalong (tuak yang telah mengalami proses
nyanyian ritual) dan nyungkup (mendirikan rumah si mati di atas kubur) langsung tidak
ada dalam pengisian tetapi digantikan dengan upacara menyalakan lilin di kuburan dan
kerja membersihkan kubur dan juga paderi mengambil alih tempat untuk memimpin
dalam ritual memperingati roh si mati dengan doa dan juga amalan Kristian.

Pada malam perayaan, penghuni rumah panjang dan tetamu hanya dihidang
dengan juadah dan minuman serta berhibur dengan hiburan kontemporari sehinggalah
ke pagi keesokkannya. Kalau hendak diambil perbandingan, hanya segelintir kecil yang
masih mengamalkan amalan sambutan Gawai Antu secara tradisi dan tidak dapat
dipastikan sampai bila ia akan dapat dipertahankan. Bagi yang sudah berhijrah ke
kawasan bandar, perayaan ini langsung tidak disambut dan hanya pergi menziarahi
kuburan ahli keluarga bila tibanya Krismas untuk sedekahkan doa dan mengingati si
mati. Kekangan budaya terhadap cara hidup mungkin menjadi punca masyarakat Iban
moden mengambil pendekatan membuang amalan yang kompleks dan mengambil yang
masih relevan dalam mengadakan festival Gawai Antu.

RUMUSAN
Adat, kebudayaan dan kepercayaan masyarakat Iban yang unik ini ialah warisan turun
temurun yang berkaitan rapat dengan amalan hidup masyarakat Iban awal. Sehubungan
dengan itu juga, ia juga turut berkait rapat dengan kepercayaan tradisional masyarakat
Iban kerana beberapa adat dan kebudayaan yang mengandungi unsur-unsur ritual yang
yang berkaitan rapat dengan kepercayaan. Malah adat, kebudayaan dan kepercayaan
ini dilihat sebagai asas pembinaan ketamadunan Iban walaupun ia tidaklah menonjol
namun tetap menarik perhatian untuk dikaji. Seperti dalam perayaan yang mempunyai
unsur ritualnya sendiri, dalam upacara miring yang merupakan persembahan kepada
Tuhan Adat sehinggakan ke dalam upacara ngayau, menyabung ayam dan juga
tenunan yang mempunyai unsur-unsur ghaibnya yang tersendiri. Namun perubahan
zaman secara tidak langsung telah menghakis amalan budaya tradisi masyarakat Iban
kerana masyarakatnya perlu fleksibel dengan zaman. Namun yang demikian, ia masih
tidak pupus malah kebudayaan Iban ini masih dikekalkan walaupun secara asasnya ia
tidaklah setulen kebudayaan Iban yang lama. Seharusnya adat, kebudayaan dan
kepercayaan adalah sesuatu yang sangat bernilai kerana ia adalah identiti dan juga
sebagai warisan asal usul kewujudan satu-satu kaum ataupun bangsa. Tanpa budaya
tradisi yang sejati, maka bangsa tersebut tidak akan tahu asal usul dan identiti mereka
kelak.

REFLEKSI
EDU 3063 Budaya dan Pembelajaran merupakan kursus wajib yang perlu dilaksanakan
oleh setiap mahasiswa guru yang berada pada Semester 5. Pada semester ini, setiap
mahasiswa guru perlu melaksanakan kerja kursus projek (KKP) berasaskan kefahaman
terhadap konsep dan kepelbagaian kelompok di Malaysia. Selain mengadakan pameran
bagi etnik atau kaum yang dipilih, kami juga perlu melaksanakan satu rakaman video
berkaitan budaya seperti tarian tradisional, perkahwinan, perayaan dan lain-lain bagi
satu etnik atau kaum yang dipilih.
Bagi melaksanakan keperluan kerja kursus ini, saya telah memilih video
mengenai satu perayaan yang disambut oleh masyarakat saya sendiri iaitu kaum Iban.
Perayaan yang saya pilih ialah sambutan Hari Gawai Antu. Rasional saya memilih
perayaan tersebut adalah kerana pada cuti pertengahan semester yang lepas, saya
telah berpeluang balik ke negeri asal saya iaitu Sarawak. Demi memenuhi keperluan
tugasan ini, iaitu melaksanakan rakaman video berkaitan budaya, saya sanggup balik ke
Sarawak kerana saya telah dimaklumkan oleh keluarga bahawa ada sebuah rumah
panjang di kawasan kampung saya akan mengadakan sambutan Hari Gawai Antu. Saya
berasa teruja untuk bersama-sama dalam merayakan sambutan Hari Gawai Antu
sambutan Hari Gawai Antu memerlukan satu tempoh masa yang lama untuk diadakan
dan untuk di sambut. Ia jarang sekali dilakukan dan kadang-kadang selang 25 tahun
baru sambutan tersebut akan diadakan. Ia tidak boleh dibuat selalu kerana untuk
mengadakan sambutan hari tersebut memerlukan belanja yang sangat besar. Hal ini
kerana sambutan Gawai Antu memerlukan persiapan yang sangat rapi dan tidak boleh
di ambil ringan oleh masyarakat Iban.
Perasaan ingin tahu saya mengenai sambutan Hari Gawai Antu adalah amat
membuak-buak kerana saya sendiri tidak pernah mengikuti perayaan ini sepanjang
umur saya. Ini adalah pertama kali saya dapat merasai nikmat dan kemeriahan
sambutan Hari Gawai Antu. Melalui tugasan ini, saya dapat mengkaji salah satu
daripada adat dan budaya masyarakat kaum saya sendiri yang saya langsung tidak
pernah ambil kisah mengenai kewujudan perayaan ini. Walhal perayaan seperti Hari
Gawai Antu ini sudah hampir pupus dalam kalangan masyarakat Iban, namun rata-rata
kebanyakkan anak muda pada masa kini sudah tidak ambil peduli mengenai adat dan

budaya mereka sendiri. Pada pendapat saya, anak muda serta masyarakat Iban moden
sekarang ini tidak boleh dipersalahkan seratus peratus kerana mereka seolah-olah
kurang melaksanakan sambutan seperti Hari Gawai Antu mahupun perayaan-perayaan
lain. Hal ini demikian kerana kebanyakan masyarakat pada masa kini telah memeluk
agama Kristian dan Islam. Justeru perayaan yang melibatkan adat dan kepercayaan
seperti ini adalah bertentangan dengan agama yang mereka anuti. Namun ada segelintir
masyarakat Iban yang tinggal di pedalaman yang masih berpegang kepada adat dan
kepercayaan lama serta masih mengamalkan perayaan-perayaan dan amalan ritual.
Pada pendapat saya, sebagai anak muda yang juga kaum Iban sendiri adalah
tidak salah untuk bersama-sama turut meraikan dan merasai sendiri kenikmatan
sambutan perayaan yang diwarisi secara turun-temurun daripada nenek moyang kita
dulu asalkan kita tidak terlepas daripada ajaran agama masing-masing. Namun untuk
menyaksikan dan belajar budaya serta nilai murni yang terdapat dalam setiap perayaan
adalah digalakkan bagi anak-anak muda pada zaman sekarang. Bagi masyarakat Iban,
perayaan Gawai merupakan lambang ataupun identiti kaum itu sendiri. Sambutan Hari
Gawai bukan sahaja sekadar untuk berhibur malah mempunyai maknanya sendiri.
Melalui tugasan penghasilan video yang telah saya rakamkan, terlalu banyak
pengalaman yang telah saya perolehi. Saya telah belajar dan mengetahui sesuatu yang
baru yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Pelbagai peristiwa yang baru saya
saksikan dan alat-alat untuk perayaan Hari Gawai Antu yang belum pernah saya lihat.
Dengan penghasilan tugasan ini, saya telah mendapat banyak ilmu yang sangat
berguna mengenai adat dan budaya kaum Iban. Saya berasa teruja untuk saling
berkongsi video yang telah saya hasilkan bersama pensyarah dan rakan-rakan supaya
mereka dapat mengetahui sesuatu yang baru mengenai adat dan budaya kaum Iban.
Untuk proses penghasilan tugasan ini, saya telah membuat banyak rujukan
secara lisan iaitu melalui sesi temu ramah bersama orang-orang tua di kampung saya.
Mereka telah memberikan saya maklumat sebanyak mungkin yang diperlukan. Selain itu
juga, saya telah membuat kajian melalui pemerhatian semasa saya merakamkan video
mengenai perayaan tersebut. Terdapat banyak istilah yang saya baru pelajari yang
selama ini saya tidak ambil tahu mengenai perkara tersebut.

Melalui penghasilan tugasan ini juga, saya telah belajar mengenai penghasilan
suatu video. Pada pendapat saya, bukan senang untuk menghasilkan suatu video yang
boleh menarik minat orang lain untuk menontonnya. Dari proses merakam, mengedit
dan seterusnya menambah unsur yang menarik adalah suatu proses yang mengambil
masa yang lama untuk disiapkan. Namun saya dapat mengaplikasikan ilmu Teknologi
Maklumat dan Komunikasi melalui penghasilan video tersebut.
Secara kesimpulannya, melalui penghasilan tugasan ini adalah wajar untuk
dilaksanakan kepada setiap pelatih guru kerana mereka akan belajar sendiri mengenai
keunikan etnik dan budaya setiap kaum. Setiap guru perlu memahami bahawa setiap
bangsa atau etnik yang terdapat di Malaysia mempunyai budaya masing-masing yang
diperturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

You might also like