You are on page 1of 3

Selepas kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan selesai mengadakan majlis

perkahwinan sama ada bertempat di gereja bagi yang beragama kristian ataupun di
masjid bagi yang beragama muslim, kedua-dua pengantin tersebut akan dibawa ke
rumah pengantin perempuan. Mereka menghadiri majlis ‘Keramaian’ yang diadakan
bagi tetamu yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis perkahwinan di
tempat pertama atau tempat ibadat seperti gereja dan masjid. Kebiasaannya, setelah
tiba di rumah pengantin perempuan, kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan akan
menukar pakaian mereka yang dipakai di tempat ibadat seperti sut hitam bagi
pengantin lelaki dan gaun putih bagi pengantin perempuan kepada baju tradisional
etnik Dusun Tindal iaitu ‘Sinimpak’. Namun begitu, perkara ini bukanlah suatu
kewajipan ataupun adat yang harus dipatuhi kerana ia adalah atas kemahuan dan
persetujuan kedua-dua pengantin.

Majlis ‘Keramaian’ adalah seperti satu kewajipan yang harus dilakukan selepas
sesebuah majlis perkahwinan berlangsung. Majlis ini dilakukan atas beberapa tujuan
iaitu untuk menyambut penyatuan antara kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan,
untuk mengeratkan lagi hubungan antara keluarga pihak lelaki dan keluarga dari
pihak perempuan dan sebagai tanda terima kasih kepada saudara-mara dan tetamu
yang hadir. Majlis ‘Keramaian’ ini biasanya diadakan di halaman rumah atau sekitar
rumah pengantin sama ada pengantin lelaki ataupun perempuan dengan dipasang
kanopi, meja dan kerusi untuk tetamu. Majlis ini juga boleh dibuat di dewan
serbaguna kampung pengantin atau menyewa dewan yang besar jika halaman rumah
mereka tidak mencukupi untuk bilangan tetamu yang datang.

Upacara utama yang dilangsungkan semasa majlis ‘Keramaian’ adalah acara


memotong kek dimana pengantin lelaki dan perempuan akan bersama-sama
memotong kek sebagai simbolik perkahwinan mereka berdua. Seterusnya, tarian
Sumazau akan dipersembahkan oleh sekumpulan penari yang terdiri daripada saudara
terdekat kedua-dua pengantin. Tarian Sumazau ini ditarikan secara berpasangan dan
kedua-dua pengantin turut menyertai tarian tersebut dengan belatarbelakangkan
paluan alat muzik tradisional seperti gong dan kulintangan. Persembahan nyanyian
dan karaoke juga terdapat juga diadakan untuk memeriahkan majlis ‘Keramaian’.
Dalam masa yang sama, ahli keluarga dan tetamu akan dihidangkan dengan makanan
yang telah disediakan oleh keluarga pihak perempuan. Adat perkahwinan dusun
Tindal dengan etnik kadazandusun yang lain mempunyai persamaan yang hampir
iaitu dari segi penyediaan makanan untuk majlis ‘Keramaian’. Keluarga kedua-dua
pihak pengantin akan bersama-sama bergotong-royong untuk menyedia dan memasak
makanan yang akan dihidangkan untuk tetamu. ‘Berian’ untuk bahagian penyediaan
makanan haruslah digunakan dengan sebaiknya agar tidak berlaku penyelewengan
seperti kuantiti makanan yang sedikit, wang digunakan untuk urusan lain atau lebih
bajet.

Makanan yang dihidangkan semasa majlis ‘Keramaian’ dalam perkahwinan etnik


Dusun Tindal tidak jauh beza daripada makanan dalam perkahwinan etnik-etnik lain
seperti ayam masak kicap, kari ayam, ikan goreng dan sebagainya. Antara makanan
tradisional yang dihidangkan semasa majlis tersebut adalah Linopot, Hinava,
Bambangan. Dalam kebanyakan majlis ‘Keramaian’, tidak kira untuk sambutan hari
lahir atau sambutan untuk meraikan sesuatu peristiwa, arak tradisional yang dikenali
sebagai ‘Lihing’ dan ‘Tapai’ akan disediakan dalam majlis tersebut. Namun begitu,
dalam perkahwinan etnik Dusun Tindal yang beragama muslim, mereka
menggantikannya dengan minuman yang lain.

Selepas selesai acara ‘Keramaian’ di rumah pengantin perempuan, kedua-dua


pengantin akan dibawa ke rumah pengantin lelaki. Rumah pengantin lelaki adalah
destinasi terakhir bagi kedua-dua pengantin kerana kedatangan kedua-dua pengantin
tersebut menandakan kepulangan si lelaki bersama isterinya. Rumah pengantin lelaki
juga mengadakan majlis ‘Keramaian’ bagi menyambut kepulangan kedua-dua
pengantin tersebut. Namun, tidak seperti di rumah pengantin perempuan yang
mempunyai banyak acara diadakan, rumah pengantin lelaki hanya mengadakan acara
karaoke dan tetamu dihidangkan dengan makanan yang disediakan oleh keluarga
kedua-dua pengantin. Hal ini kerana, mengikut adat Dusun Tindal, sebuah
perkahwinan tidak digalakkan untuk berlangsung lebih dari sehari. Oleh itu, majlis
perkahwinan termasuk majlis ‘Keramaian’ haruslah tamat selewat-lewatnya malam
hari perkahwinan itu diadakan.

You might also like